“Apa lagi yang kita boleh buat untuk usaha inovasi Pejabat Mufti? Ana nak masyarakat lebih dekat dengan Pejabat Mufti kita ni…”, tanya Zulkifli pada satu petang kepada beberapa orang pegawainya. Persoalan yang dilontarkan biasanya beliau sudah ada jawapannya tapi sekadar ingin mendapatkan pandangan untuk mengembangkan idea.

Razif menggelengkan kepala. Fahmi dan Mushfique saling berpandangan. Umar tersengih-sengih melihat reaksi sahabat-sahabatnya.

“Apa pandangan antum kalau ana nak buat Klinik Hukum?”. Zulkifli menimbulkan satu lagi persoalan.

Mereka semua memandang Zulkifli dengan penuh kehairanan dan tertanya-tanya. Apa agaknya dalam fikiran Mufti Wilayah Persekutuan sekarang ini?

Zulkifli tersenyum dan mula membentangkan idea beliau.

********************

Bunyi bingit keretapi di Shohada Square Metro adalah halwa telinga pengguna stesen keretapi di Kaherah itu. Masih awal pagi dan pengguna keretapi juga masih tidak ramai. Di satu sudut yang sempit, ada sebuah reruai besi dengan empat buah kerusi dan beberapa buah kitab di atas meja.

Tiga orang lelaki berpakaian lengkap kakula hitam dengan serban Al-Azhar duduk di sebuah kiub khas, mendaftarkan maklumat peribadi peminta fatwa dalam buku nota besar. Seorang memberi fatwa, yang dua lagi merekodkan secara terperinci. Setiap orang yang mendapatkan nasihat diminta mengisi buku log yang disediakan. Hanya seorang dibenarkan masuk untuk bertanya soalan pada satu-satu masa kerana ruangnya yang agak kecil.

Inisiatif oleh Majma’ al-Buhuth al-Islamiyyah Al-Azhar itu menarik perhatian Zulkifli semasa kunjungannya ke Mesir. Beliau mengeluarkan buku nota kecilnya dan mencatat sesuatu sambil menikmati hidangan burung merpati yang disumbat nasi dan dipanggang yang lebih dikenali dengan nama Hamam Mahsyi di sebuah restoran yang tidak perlu diperkenalkan lagi di Kaherah, Farhat. Sedap dimakan bersama Jus Avocado.

Kalau nak buat di Wilayah, sebaiknya mula di masjid dan surau Jumaat. Kerjasama dengan JAWI. Buka sebelum solat Jumaat dan lepas solat Jumaat. Muslim dan bukan Muslim boleh tanya soalan. Panel klinik hukum dari kalangan penyelidik pejabat mufti dan pegawai kanan.

Itulah antara catatan Zulkifli di buku nota kecilnya sebelum pulang ke Malaysia.

********************

Klinik Hukum dan Fatwa Irsyad al-Fatawi wa al-Ahkam (IFA) dengan tema “Memasyarakatkan Fatwa, Membudayakan Ilmu” berhasrat untuk menimbulkan kesedaran akan kepentingan merujuk pihak yang berautoriti dalam fatwa bagi sebarang permasalahan agama.

Ketika pelancarannya pada Mac 2017, Menteri di Jabatan Perdana Menteri YB Mejar Jeneral (B) Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom berkata, “Saya berharap inisiatif yang diwujudkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan ini dapat dikembangkan di negeri-negeri lain. Ia adalah usaha proaktif institusi kefatwaan untuk lebih dekat dengan masyarakat. Ini Klinik Hukum dan Fatwa pertama dalam Malaysia yang dibuat oleh institusi fatwa. Tahniah Datuk!”.

Setelah hampir setahun dijalankan, buku log klien atau pengguna khidmat Klinik Hukum IFA sudah hampir penuh. Program Klinik Hukum IFA ini sudah merentasi masjid dan surau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Sudah ramai yang mendapat manfaat daripada program ini termasuk bukan Muslim. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang bertempat di Putrajaya juga semakin meriah dengan pengunjung yang hadir untuk bertanyakan soalan. Dalam buku log tersebut tertulis jenis soalan, latar belakang penanya dan pelbagai maklumat umum yang berkaitan. Ada soalan tentang fiqh kekeluargaan, falak, akidah, ibadah dan sebagainya.

Klinik Hukum IFA ditambah baik dari semasa ke semasa, terutamanya dari sudut pengukuhan ilmu para panel yang bertugas. Setiap soalan yang diperoleh, akan direkodkan termasuk jawapannya. Jawapan terkumpul akan dikemaskini dan dimasukkan terus ke dalam web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan untuk rujukan umum. Itulah yang berlangsung setiap hari, setiap minggu, setiap bulan tanpa henti.

Zulkifli berpesan kepada semua panel Klinik Hukum IFA dalam satu pertemuan, “Marhalah fatwa ni dulu sampai sekarang tak berubah. Mula dengan al-taswir, al-takyif, ma’rifah al-hukm dan al-ifta’. Memang kita bermula dengan macam-macam kesusahan. Tak kurang orang yang pertikai hasrat ana untuk buat Klinik Hukum ni. Tapi insya-Allah kalau kita konsisten, tak lama untuk kita jadi macam Dar al-Ifta’ al-Misriyyah. Antum semua ada kemampuan masing-masing.”

Ustaz Tarmizi mengangkat tangan dan bertanya, “Datuk. Kalau sahabat-sahabat kita yang jadi panel ni dapat soalan-soalan fiqh nawazil, apa pandangan dan cadangan Datuk?”

Zulkifli mengangguk dan membalas, “Soalan baik, Mizi. Isu nawazil ni isu yang baru berlaku pada zaman kita. Kena ada ijtihad, sudut pandang yang mendalam. Dalam hal ini, amat perlu diraikan suasana dan maslahat. Ada beberapa dhawabit fatwa apabila bertembung perkara baru. Antaranya meraikan darurat atau hajat. Dalam ilmu usul kaedah mengharuskan yang haram kerana darurat dinamakan rukhsah. Ada 3 bentuk rukhsah; (i) Keharusan selama mana darurat berlangsungan seperti makan bangkai kerana terpaksa dengan sebab kelaparan yang melampau sekadar untuk menolak binasa; (ii) Perbuatan kekal sebagai haram tetapi rukhsah syarak diberikan ke atasnya kerana daruarat seperti menghilangkan atau meluputkan harta orang Islam. Tetapi ia dikenakan dhaman atau gentian; (iii) Darurat yang tidak harus dalam apa jua keadaan seperti membunuh orang Islam jika tanpa sebarang paksaan yang kuat. Antara lain, kena raikan maslahat, uruf, istihsan, mengelak mafsadah, perubahan semasa, elak perbalahan. Seingat ana, itulah antara yang disebut oleh guru ana, almarhum Syeikh Dr. Wahbah Al-Zuhayli.[1]

Zulkifli membelek-belek buku log yang diserahkan kepadanya oleh para panel setiap minggu. Satu persatu maklumat diteliti dengan baik. “Dengan data yang kita ada ni, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan boleh bantu untuk perkukuh polisi-polisi semasa kerajaan untuk manfaat rakyat. Analisis betul-betul. Banyak pelajar-pelajar Master dan PhD boleh ambil manfaat dari maklumat ni!”, ujar Zulkifli penuh terharu dan bangga kepada Ustaz Ridzuan, Ketua Penolong Mufti yang bertanggungjawab dalam menyelia Klinik Hukum IFA.

Hanya selepas setahun ia dilancarkan, Klinik Hukum IFA berjaya memenangi Tempat ke-3 Kategori non-ICT Anugerah Inovasi JPM (AIJPM) 2018. Penampilan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam anugerah berprestij itu membuka mata ramai pihak akan kemampuan institusi kefatwaan untuk melangkah lebih jauh dalam idea dan inovasi semasa. Ketika dibentangkan kepada para juri, semua teruja dengan dapatan dan data yang diperoleh kerana tidak mudah untuk mendapatkannya data selengkap itu jika menggunakan kaedah sebagaimana lazimnya satu-satu penyelidikan kuantitatif dibuat.

“Alhamdulillah. Tahniah semua panel. Ini kejayaan kita bersama…Tahun depan kita masuk lagi. Ada lagi benda baru ana nak perkenalkan!”, ucap Zulkifli penuh kegembiraan kepada semua kakitangan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan semasa perhimpunan bulanan.

_____________________

[1] Mausu’ah al-Fiqh al-Islami al-Mu’asirah, (5/498-530)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *