“Assalamualaikum Dr., kami dah sampai depan rumah Dr.”

Kedengaran suara garau lelaki menelefon Zulkifli. Beliau bergegas keluar daripada rumah dan menaiki kenderaan yang siap menunggu di hadapan pagar rumahnya. Ustaz Jamali, pegawai JAKIM yang bertugas di Kem Tahanan Kamunting menyambut beliau dengan senyuman dan mempersilakannya masuk ke dalam kereta.

Begitulah rutin Zulkifli dalam beberapa tempoh lamanya. Beliau akan dibawa daripada Nilai menuju ke Kamunting, Perak untuk menyampaikan perkongsian kepada rakyat Malaysia yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA).

Mempunyai keluasan 93.3. hektar dan terletak kira-kira 8 KM dari Bandar Taiping serta 3 KM dari Pekan Kamunting, tempat tahanan ini dibuka pada 1 November 1973 dan mula beroperasi pada 14 November 1973 dengan perpindahan seramai 91 tahanan dari Tempat Tahanan Batu Gajah,Perak dan 191 tahanan yang dipindahkan dari Pusat Pemulihan Akhlak Muar, Johor yang terdiri daripada anggota Parti Komunis Malaya (PKM).

Walaupun pada peringkat awal pembukaannya hanya menempatkan tahanan-tahanan yang sebahagian besarnya merupakan anasir-anasir subversif, ia kemudiannya telah diperluaskan kategori penahanan seperti ekstremis politik, pelampau-pelampau agama dan juga bekas-bekas anggota komunis yang telah menyerah diri.

Pada 9 Mei 2014, Tempat Tahanan Perlindungan Taiping telah ditukarkan secara rasminya kepada Pusat Koreksional Kamunting yang dirasmikan oleh Menteri dalam Negeri YB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid bin Hamidi. Selain itu, institusi ini juga telah diwartakan sebagai Tempat Tahanan Khas pada 16 Januari 2017 bagi menempatkan tahanan- tahanan yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keganasan (POTA) 2015 yang telah berada di Fasa IV serta penahanan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi banduanita.

********************

Golongan ekstremis atau radikal ini merupakan ancaman yang agak besar khususnya bagi umat Islam. Kemunculan kefahaman atau kumpulan yang lahir akibat dari pengamalan ekstrem terutamanya dalam agama dapat menjauhkan atau menzahirkan salahfaham masyarakat bukan Islam ataupun mereka yang baru untuk mendekati Islam dan membawa kepada Islamofobia. Mereka hakikatnya adalah golongan yang keterlaluan atau melampau (ghuluw) di dalam memahami atau mengambil sesuatu tindakan.  Oleh itu, ghuluw dalam beragama adalah sikap melampau batas-batas dalam perintah agama.

Ekstremis adalah gejala yang melangkaui rasional manusiawi. Ekstremisme menggalakkan sesetengah pihak bertindak di luar kesederhanaan manusia. Melihat kepada sejarah, banyak konflik serta peperangan berlaku akibat gejala ekstremis. Antara yang jelas sehingga hari ini adalah penjarahan Palestin oleh tentera Zionis Israel, membisunya negara besar yang melindungi Israel, serta tragedi penghapusan etnik Rohingya.

Antara faktor penyumbang kepada sifat ekstrem adalah kedangkalan dalam ilmu agama yang mengakibatkan sikap suka melabel seseorang atau kumpulan tertentu dengan kufur, sesat, fasik bidaah, khurafat sedangkan pada sebahagian besar isunya, masih boleh berlapang dada.

Faham ekstremisme juga berpunca daripada sifat taksub, fanatik yang melampau sama ada pegangan mazhab, buah fikiran, ideologi yang dianuti, tersalah memilih rakan taulan dan kumpulan, termasuk mempertajamkan isu khilafiyyah sehingga membawa kepada retaknya hubungan ukhuwwah Islamiyyah. Benarlah firman Allah SWT:

وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ

Maksudnya: “…dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu…”[1]

****************

“Jihad di jalan Allah SWT adalah syariat-Nya yang tidak mungkin kita mampu untuk memadamnya. Cuma, kita perlukan kefahaman yang tepat tentang apa itu jihad yang sebenar dari sudut syarak pada masa kini…”, ujar Zulkifli dengan penuh bersemangat kepada lebih 50 orang tahanan pesalah Islamic State of Iraq and Syria (ISIS) di hadapannya.

Kebanyakannya berbual sesama sendiri, tidur dan ketawa sendirian. Tidak kurang jugak yang mencebikkan mulut ketika mendengar ceramah yang disampaikan oleh Zulkifli.

Zulkifli berhenti seketika daripada ceramahnya dan bertanya, “Sebelum saya teruskan, ada sesiapa nak tanya apa-apa?”

Seorang tahanan bangun dan tersenyum. Tangan kanannya di dalam poket dan beliau menoleh melihat para tahanan lain dengan senyuman sinis. “Ustaz, kami dah penat dengar ustaz-ustaz ceramah kat kami. Puas dah. Asyik goreng benda sama. Tak ada dalil yang jelas. Ustaz ada dalil tak wujudnya ekstremisme dalam agama dan larangan untuk tak bersikap ekstrem? Sebab bagi kami, kami tak ekstrem. Kami cuma ikut ajaran agama kami!”, tegasnya dengan penuh angkuh. Beberapa orang tahanan lain mengangguk tanda setuju.

Zulkifli mencatatkan soalan tersebut pada kertas yang tersedia di mejanya. Beliau mengangguk perlahan dan memulakan bicaranya.

“Baik. Dalil pertama, Firman Allah SWT:

قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ لَا تَغْلُوا فِي دِينِكُمْ غَيْرَ الْحَقِّ وَلَا تَتَّبِعُوا أَهْوَاءَ قَوْمٍ قَدْ ضَلُّوا مِن قَبْلُ وَأَضَلُّوا كَثِيرًا وَضَلُّوا عَن سَوَاءِ السَّبِيلِ

Maksudnya: Katakanlah: “Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampau dalam ugama kamu secara yang tidak benar, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia, dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul.”[2]

Boleh rujuk tafsiran para ulama antaranya Syeikh Mustafa Al-Maraghi yang berkata: “Allah SWT melarang ahli kitab yang hidup pada masa Nabi SAW bersikap fanatik buta seperti yang dilakukan oleh nenek moyang sebelum mereka dan bersikap fanatik terhadap tradisi yang menyebabkan mereka ini sesat kerana mereka telah mengikuti larangan hawa nafsu dan meninggalkan ajaran para rasul, para nabi dan orang soleh terdahulu. Mereka ini semua terdiri daripada ahli tauhid, menolak kemusyrikan dan tidak bersikap berlebih-lebihan dalam urusan agama.”

Dalil kedua, Rasulullah SAW bersabda:

إِيَّاكُمْ وَالْغُلُوَّ فِى الدِّيْنِ، فإِنَّمَا هَلَكَ مَنْ قَبْلِكُمْ بِالْغُلُوِّ فِى الدِّيْنِ

Maksudnya: Awasilah kamu dalam melampau dalam beragama, karena binasanya orang-orang sebelum kamu adalah disebabkan sikap ghuluw mereka dalam beragama.[3]

Dalil ketiga, sabda Rasulullah SAW:

إِنَّ الدِّينَ يُسْرٌ، وَلَنْ يُشَادَّ الدِّينَ أَحَدٌ إِلَّا غَلَبَهُ، فَسَدِّدُوا وَقَارِبُوا، وَأَبْشِرُوا، وَاسْتَعِينُوا بِالْغَدْوَةِ وَالرَّوْحَةِ وَشَيْءٍ مِنَ الدُّلْجَةِ

Maksudnya: Sesungguhnya agama (Islam) itu mudah, dan tidaklah sama sekali seseorang yang tasyaddud dalam beragama melainkan pasti agama itu akan mengalahkannya, oleh sebab itu hendaklah kamu menepatinya dan menghampirinya dan bergembiralah (dengan berita itu). Dan mohon pertolonganlah kamu dengan waktu pagi dan petang dan sedikit daripada waktu malam. (Dan dalam lafaz yang lain pula): Hendaklah kamu bersikap sederhana, hendaklah kamu bersikap sederhana, niscaya kamu akan sampai (kepada tujuan yang selamat).[4]

Zulkifli berhenti untuk minum seteguk air dan menyambung, “Ana bagi tiga dulu dalilnya. Mungkin kita boleh sama-sama renungi kalam Al-Hasan al-Basri yang pernah sebut: “Orang yang bekerja tidak atas dasar ilmu, sama dengan orang yang berjalan tidak di atas jalan yang benar. Orang yang bekerja tidak berdasarkan ilmu, akan membuat lebih banyak kerusakan daripada kebaikkan. Oleh sebab itu, hendaklah kalian menuntut ilmu, tanpa meninggalkan ibadah dan mengerjakan ibadah tanpa merugikan ilmu. Ada satu kaum yang tekun beribadah, tetapi meninggalkan ilmu. Oleh kerana itu, mereka bangkit memikull senjata memerangi ummat Muhammad SAW. Sekiranya mereka menuntut ilmu, maka ilmu itu tidak akan membimbing mereka berbuat apa yang seperti mereka perbuat.”

Tahanan yang bertanya itu terdiam. Tetapi, nampaknya beliau masih belum berpuas hati. “Kerajaan Malaysia sekarang adalah kerajaan kafir. Mereka tak laksana hukum Allah. Siapa yang tak berhukum dengan hukum Allah, KAFIR!!! Baca Surah Al-Ma’idah ayat 44. Ustaz berani bantah?!”, bentak tahanan tersebut.

“Insya-Allah, saya jawab.”. Zulkifli membetulkan kerusinya.

Banyak nas syarak yang menjelaskan kewajipan mentaati pemerintah dan larangan memerangi mereka. Antaranya adalah hadith-hadith berikut:

السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ عَلَى المَرْءِ المُسْلِمِ فِيمَا أَحَبَّ وَكَرِهَ، مَا لَمْ يُؤْمَرْ بِمَعْصِيَةٍ، فَإِذَا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلاَ سَمْعَ وَلاَ طَاعَةَ

Maksudnya: “(Wajib) dengar dan taat (kepada pemimpin) ke atas setiap orang Muslim pada apa yang ia suka dan ia benci, selagi mana ia tidak diperintah melakukan maksiat, apabila ia diperintah melakukan maksiat, maka tiada lagi dengar dan taat.”[5]

Hadith yang saya baca tadi menunjukkan, jika seseorang pemerintah itu menyuruh kepada kemaksiatan sekalipun, rakyat masih tidak dibenarkan untuk memerangi mereka. Tetapi cukup dengan tidak mentaati perintah tersebut. Ini sebagaimana dalam hadith yang lain, Baginda SAW bersabda:

خِيَارُ أَئِمَّتِكُمُ الَّذِينَ تُحِبُّونَهُمْ وَيُحِبُّونَكُمْ، وَيُصَلُّونَ عَلَيْكُمْ وَتُصَلُّونَ عَلَيْهِمْ، وَشِرَارُ أَئِمَّتِكُمُ الَّذِينَ تُبْغِضُونَهُمْ وَيُبْغِضُونَكُمْ، وَتَلْعَنُونَهُمْ وَيَلْعَنُونَكُمْ»، قِيلَ: يَا رَسُولَ اللهِ، أَفَلَا نُنَابِذُهُمْ بِالسَّيْفِ؟ فَقَالَ: «لَا، مَا أَقَامُوا فِيكُمُ الصَّلَاةَ، وَإِذَا رَأَيْتُمْ مِنْ وُلَاتِكُمْ شَيْئًا تَكْرَهُونَهُ، فَاكْرَهُوا عَمَلَهُ، وَلَا تَنْزِعُوا يَدًا مِنْ طَاعَةٍ

Maksudnya: “Sebaik-baik pemimpin kamu adalah mereka yang kamu cintai dan mereka meyintai kamu, mereka mendoakan kamu dan kamu mendoakan mereka. Manakala seburuk-buruk pemimpin adalah mereka yang kamu benci dan mereka membenci kamu, kamu melaknat mereka dan mereka melaknat kamu. Lalu baginda ditanya: Wahai Rasulullah! Tidakkah kita boleh memerangi mereka dengan pedang? Baginda bersabda: Tidak, selagi mana mereka mendirikan solat bersama kamu. Jika kamu melihat sesuatu yang kamu benci daripada pemimpin kamu, maka bencilah perbuatannya, dan jangan meninggalkan ketaatan (kepadanya).”[6]

Sememangnya Rasulullah SAW telah memberikan perkhabaran agar umat Islam bersiap sedia untuk menerima pelbagai perangai pemerintah. Termasuk mereka yang zalim dan bergelumang melakukan maksiat. Sabda Rasulullah SAW:

يَكُونُ بَعْدِي أَئِمَّةٌ لَا يَهْتَدُونَ بِهُدَايَ، وَلَا يَسْتَنُّونَ بِسُنَّتِي، وَسَيَقُومُ فِيهِمْ رِجَالٌ قُلُوبُهُمْ قُلُوبُ الشَّيَاطِينِ فِي جُثْمَانِ إِنْسٍ»، قَالَ: قُلْتُ: كَيْفَ أَصْنَعُ يَا رَسُولَ اللهِ، إِنْ أَدْرَكْتُ ذَلِكَ؟ قَالَ: «تَسْمَعُ وَتُطِيعُ لِلْأَمِيرِ، وَإِنْ ضُرِبَ ظَهْرُكَ، وَأُخِذَ مَالُكَ، فَاسْمَعْ وَأَطِعْ

 Maksudnya: “Akan datang selepasku, para pemimpin yang tidak mengambil petunjuk dengan petunjukku, tidak mengambil sunnah dengan sunnahku. Akan ada kalangan mereka pemerintah-pemerintah yang hati mereka bagaikan hati para syaitan dalam jasad seorang manusia. Dia (Huzaifah bin al-Yaman) bertanya: Bagaimana aku perlu lakukan jika aku sempat melalui demikian itu wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Dengar dan taat kepada pemerintah walaupun dipukul belakangmu dan dirampas hartamu, maka dengarlah dan taatlah.”[7]

Dalam menjelaskan hadith-hadith di atas, al-Nawawi mengatakan perbuatan memberontak terhadap pemerintah itu haram secara ijmak. Walaupun mereka terdiri dari kalangan golongan yang fasiq lagi zalim. Bahkan Ahli Sunnah Wal-Jamaah telah ijmak bahawa seseorang pemerintah tidak boleh dilucutkan dengan sebab kefasiqan. Al-Nawawi menolak pendapat sesetengah para ulama fiqh yang mengatakan pemerintah boleh dijatuhkan bahkan menganggap ia pendapat yang silap dan menyalahi ijmak. Beliau menegaskan pengharaman tersebut berdasarkan akibat terhadap perbuatan tersebut yang boleh membawa kepada fitnah, pertumpahan darah dan perpecahan sehingga mudaratnya menjadi lebih besar berbanding kekalnya mereka di tampuk pemerintahan.[8]

Suasana di dalam dewan menjadi sunyi. Zulkifli menyambung huraiannya, “Saudara sebut tadi firman Allah SWT:

وَمَن لَّمْ يَحْكُم بِمَا أَنزَلَ اللَّـهُ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْكَافِرُونَ

Maksudnya: “Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang kafir.”

(Surah al-Ma’idah: 44)

Justeru kata saudara, kerajaan Malaysia adalah kerajaan kafir. Pemimpin kita kafir. Saya katakan pandangan saudara kurang tetap. Ada dua sebab:

Pertama, pengkafiran tersebut dilakukan secara mutlak tanpa mengambil kira faktor-faktor yang menyebabkan kekufuran. Ia juga dilakukan tanpa melihat sama ada ia bertepatan dengan maqasid syariah ataupun tidak. Maka hukum kufur itu diletakkan dengan gopoh, tanpa usul periksa. Mereka yang terjebak dalam mengkafirkan sesuatu perbuatan yang hanya menyalahi keutamaan (khilaf awla), atau pendapat yang tidak kuat (ra’yun marjuh) yang dipilih disebabkan oleh maslahah tertentu yang tidak difahami oleh mereka. Sedangkan dengan maslahah tersebut mungkin menjadikan pendapat yang marjuh itu rajih dan pendapat yang rajih itu marjuh, tertakluk kepada perubahan masa, tempat dan situasi.

Bagi saudara dan orang-orang yang sefaham dengan saudara, hanya dengan berhukum dengan hukuman yang menyalahi syariat Allah SWT, maka ia dihukumkan kafir. Padahal maksud ayat tersebut tidak boleh difahami secara literal dan simplistik sedemikian. Seseorang yang beriktikad bahawa hukum Islam adalah yang terbaik, namun disebabkan situasi dan keadaan yang tidak mengizinkan, memaksa ia berhukum dengan selainnya, maka ini tidak menjadikan ia kafir. Sebagaimana situasi darurat boleh berlaku kepada individu, demikian juga darurat boleh berlaku kepada sesebuah kerajaan yang memerintah.

Kedua, dalam membahaskan surah al-Ma’idah ayat 44 di atas, ia perlu dirujuk kepada perbahasan ulama dan tidak boleh difahami secara literal. Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan dengan sanad yang sahih daripada Ibn ‘Abbas:

وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الْكَافِرُونَ

Maksudnya: “Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir.” (Surah al-Ma’idah :44), bukannya kekafiran pada Allah, para malaikat, kitab-kitab, dan para rasul”. (Lihat Tafsir al-Tabari, 10/355)

Riwayat lain dari beliau tentang ayat ini:

لَيْسَ بِالْكُفْرِ الَّذِي يَذْهَبُونَ إِلَيْهِ إِنَّهُ لَيْسَ كُفْرًا يَنْقِلُ عَنِ الْمِلَّةِ {وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الْكَافِرُونَ} [المائدة: 44] كُفْرٌ دُونَ كُفْرٍ “

Maksudnya: “Itu bukan kekafiran yang mereka fahami, itu bukan kekafiran yang mengeluarkan dari Islam, kekafiran yang bukan kekafiran (akbar)”.[9]

Ibn Kathir menukilkan dalam Tafsirnya dari al-Hakim, bahawa beliau berkata: “Sahih memenuhi syarat Syaikhain”.[10]

Pada riwayat lain dari beliau, melalui riwayat ‘Ali bin Abi Thalhah dari Ibn ‘Abbas, berkata: “Siapa yang menentang apa yang diturunkan Allah maka dia telah kafir, sedangkan siapa yang mengakuinya tetapi tidak berhukum dengannya maka dia zalim lagi fasiq”.[11]

Menurut al-Syanqiti, para ulama berkhilaf mengenai kepada siapakah ayat ini ditujukan. Adakah ditujukan kepada orang Islam atau orang kafir? Diriwayatkan daripada al-Sya’bi ia diturunkan kepada orang Islam. Daripada beliau juga terdapat riwayat ia diturunkan kepada Yahudi. Daripada Tawus pula meriwayatkan ia diturunkan kepada orang Islam. Tetapi yang dimaksudkan dengan kufur bukan kufur yang mengeluarkan daripada Islam. Demikian juga seperti yang dinyatakan oleh Ibn ‘Abbas.[12]

Al-Qurtubi berpandangan semua ayat 44, 45 dan 47 dari surah al-Ma’idah turun kepada orang kafir. Ini sebagaimana yang sabit dalam hadith al-Bara’ yang diriwayatkan oleh Muslim. Adapun orang Islam, maka ia tidak menjadi kafir walaupun melakukan dosa besar. Dikatakan pada ayat tersebut diandaikan; sesiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah kerana menolak al-Qur’an, dan membantah kata-kata Rasulullah SAW, maka ia kafir. Ini pendapat yang dikemukakan oleh Ibn ‘Abbas dan Mujahid.

Menurut Ibn Mas’ud dan al-Hasan, ayat tersebut turun secara umum ke atas setiap orang yang tidak berhukum dengan hukum Allah sama ada orang Islam, Yahudi dan golongan kafir yang lain, yakni disertai dengan iktikad dan mengharuskannya. Adapun mana-mana orang Islam yang melakukannya tetapi kekal beriktikad akan keharamannya, maka ia termasuk dalam kalangan orang yang fasiq. Mereka tertakluk kepada kehendak Allah SWT sama ada diazab atau diampunkan.[13]

Jadi kesimpulannya saudara, al-Syanqiti menyimpulkan, ketiga-tiga ungkapan iaitu kufur, zalim dan fasiq dilafazkan oleh syarak dengan membawa dua maksud. Adakala ia memberi maksud maksiat dan di tempat lain ia memberi maksud kufur yang terkeluar daripada Islam.[14]

Zulkifli merenung wajah tahanan tersebut. “Ada lagi soalan?”, tanya beliau. Tahanan itu menggelengkan kepalanya. Tergamam dengan hujah yang dikemukan Zulkifli. Jelas riak terkejut di wajahnya.

Bangun tahanan kedua dan berkata dengan nada yang tinggi. “Ustaz tak layak cakap tentang jihad. Ustaz pun tak pernah berjihad!”

BERSAMBUNG…

__________________

[1] Surah al-Anfal: 46.

[2] Surah Al-Maidah: 77

[3] Riwayat Ibn Hibban (3871)

[4] Riwayat al-Bukhari (39)

[5] Riwayat al-Bukhari (7144)

[6] Riwayat Muslim (65)

[7] Riwayat Muslim (52)

[8]  Lihat Syarh Sahih Muslim, 12/229

[9] Lihat al-Mustadrak ‘ala al-Sahihain, 2/342 (No. 3219).

[10] Lihat Tafsir Ibn Kathir, 3/109.

[11] Lihat Tafsir al-Tabari, 10/355.

[12] Lihat Adhwa’ al-Bayan fi Idhah al-Qur’an bi al-Qur’an, 407.

[13] Lihat Tafsir al-Qurtubi, 6/190.

[14] Lihat Adhwa’ al-Bayan fi Idhah al-Qur’an bi al-Qur’an, 407.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *