Bab 78: Kajian Kefatwaan di Institut Jantung Negara

Pada suatu pagi Jumaat yang kelam kabut, hujan renyai-renyai membasahi Kuala Lumpur. Zulkifli menarik nafas panjang, melihat ke luar tingkap kereta, memikirkan khutbah yang akan disampaikan sebentar lagi di Institut Jantung Negara (IJN). Setiap Jumaat biasanya dipenuhi dengan rutin yang sama, dari masjid ke masjid, tapi kali ini sesuatu yang lebih menarik. Kebetulan, ada beberapa permasalahan fiqh berkaitan jantung yang sedang difikirkannya.

Kereta rasmi Mufti Wilayah Persekutuan berhenti di lobi IJN. Dia melangkah keluar dan disambut oleh Prof Datuk Dr Mohd Ezani, Ketua Pegawai Eksekutif IJN. Ketika melangkah masuk ke surau hospital itu, dia disambut oleh beberapa kakitangan yang sudah bersiap sedia untuk solat Jumaat. Ruang surau mula dipenuhi oleh para doktor, pakar bedah, dan jururawat. Keadaan sedikit sunyi, dan sesekali kedengaran bacaan al-Qur’an daripada para jemaah.

Saat melangkah ke mimbar, Zulkifli sempat memandang wajah-wajah yang hadir—kebanyakan mereka adalah manusia yang setiap hari bergelut antara hidup dan mati. “Bagaimana rasanya bekerja setiap hari dengan menyelamatkan nyawa, sedangkan nyawa mereka sendiri berada di tangan Tuhan?”

Khutbah dimulakan dengan tenang. Zulkifli berbicara tentang jantung—bukan sekadar organ fizikal, tetapi simbol kehidupan. “Setiap degupan,” katanya, “adalah rahmat daripada Allah, dan setiap degupan yang berlalu, adalah saat di mana kita makin mendekati Dia.” Seusai khutbah dan solat, Ketua Pegawai Eksekutif IJN menyapa mesra, “Makan dengan kami?”

Ketika makan, Zulkifli mendengar kisah-kisah yang tidak pernah didengarinya sebelum ini—pesakit yang berada di antara hidup dan mati, detik-detik genting di bilik pembedahan, dan bagaimana ilmu perubatan terus berkembang, tetapi tetap menzahirkan kekuasaan Ilahi. Tiba-tiba  beliau bertanya, “Boleh saya lihat sendiri pembedahan jantung? Saya nak memahami apa yang berlaku agar fatwa terkait isu-isu jantung lebih jelas.”

Prof Datuk Dr. Mohd. Ezani tersenyum. “Tak ada masalah. Kami akan aturkan semuanya. Datuk cuma beri kepada kami tarikhnya.”

***

Beberapa hari kemudian,  Zulkifli melangkah masuk ke dalam bilik pembedahan, kali ini bukan sebagai seorang Mufti, tetapi sebagai pemerhati yang ingin belajar. Uniform bedah hijau membalut tubuhnya, topeng menutup wajah, hanya mata yang kelihatan.

“Bersedia, Datuk?” seorang doktor bertanya, memandangnya dari sebalik topeng.

Dia mengangguk, jantungnya berdegup kencang.

Di depannya, seorang lelaki terbaring tanpa sedar, dadanya terbuka, jantungnya… terhenti. Seketika, dia terasa kecil, seolah-olah diletakkan dalam posisi di mana dia menyaksikan rahsia Allah yang paling agung—kehidupan, dan bagaimana manusia berusaha untuk “menghidupkannya” kembali.

“Ini adalah saat paling kritikal,” bisik seorang doktor di sebelahnya. “Jantung sedang direhatkan, dan mesin ini menggantikan fungsinya buat sementara.”

Dia melihat mesin itu—sebuah alat yang mengepam darah ke seluruh tubuh lelaki itu. Terdiam, dia memerhati dengan teliti, hampir tidak percaya bahawa manusia boleh melakukan perkara ini. “Subhanallah,” bisiknya dalam hati.

Setelah beberapa ketika, doktor-doktor itu mula menyiapkan prosedur terakhir. Dia melihat dengan penuh kagum bagaimana jantung lelaki itu kembali berfungsi, disambung semula ke tubuhnya, dan perlahan-lahan, dada lelaki itu ditutup. Zulkifli merasa betapa besarnya kuasa Allah yang mencipta kehidupan ini—dan betapa naifnya manusia dalam memahaminya.

Keluar dari bilik pembedahan, dia termenung sejenak.

“Macam mana, Datuk?” Prof Datuk Dr. Ezani bertanya, muncul di belakangnya dengan senyuman dan mematikan lamunan Zulkifli.

Beliau menggeleng kepala, mencari kata-kata yang sesuai. “Saya… saya tak tahu apa yang nak dikatakan. Selama ini saya bercakap tentang kehidupan, tentang jantung, tapi sekarang… saya faham. Saya faham bagaimana rapuhnya kita. Bagaimana setiap detik kita hidup atas belas kasihan Allah. Alhamdulillah, banyak persoalan fiqh yang bermain di fikiran saya terjawab dengan penjelasan doktor pakar tadi.”

Prof Datuk Dr. Ezani tersenyum. “Itulah realitinya. Dan itulah sebabnya kita, walau pun dengan ilmu perubatan yang hebat, sentiasa bergantung kepada-Nya.”

Zulkifli tersenyum lemah. “Saya rasa, selepas ini, nak kena lebih berhati-hati jaga pemakanan. Jantung nak pakai lama…!”

Kedua-duanya tertawa kecil, dan mereka berjalan keluar dari hospital, meninggalkan bilik pembedahan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *