Soalan
Assalamualaikum ustaz. Bagaimana seorang mualaf yang masih belum menghafal surah al-Fatihah ingin melakukan solat?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Solat adalah satu ibadah yang wajib ditunaikan oleh semua yang bergelar Muslim iaitu yang melafazkan dua kalimah syahadah. Firman Allah SWT:
وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ
Maksudnya: “Dan dirikanlah kamu akan sembahyang.”[1]
Sabda Nabi SAW:
بُنِيَ الْإِسْلَامُ عَلَى خَمْسٍ ، شَهَادَةِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ ، وَإِقَامِ الصَّلَاةِ ، وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ ، وَالْحَجِّ ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ
Maksudnya: “Islam terbina atas lima perkara: penyaksian bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan, dan menunaikan haji ke baitullah bagi yang mampu.”[2]
Maka, apabila seseorang mualaf sudah bergelar Islam, wajib ke atasnya mempelajari tatacara solat dan menunaikannya sekadar kemampuannya sebagai seorang yang baru mempelajari Islam.
Hukum Bacaan al-Fatihah dalam Solat
Solat mempunyai rukun-rukunnya yang tersendiri yang antaranya merangkumi rukun fi’li (perbuatan), rukun qauli (ucapan) dan rukun qalbi (hati). Membaca al-Fatihah merupakan salah satu daripada rukun qauli yang wajib dibaca dalam solat, selain bacaan tasyahhud dan selawat ke atas Nabi SAW. Manakala bacaan-bacaan lain adalah sunat.
Solat tidak sah jika tidak membaca surah al-Fatihah. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada ‘Ubadah bin al-Somit R.A, Rasulullah SAW bersabda:
لَا صَلَاةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ
Maksudnya: “Tidak ada solat bagi orang yang tidak membaca al-Fatihah.”[3]
Begitu juga hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ صَلَّى صَلاَةً لَمْ يَقْرَأْ فِيهَا بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ فَهْىَ خِدَاجٌ. يَقُولُهَا ثَلاَثًا
Maksudnya: “Barangsiapa yang melaksanakan solat dan tidak membaca al-Fatihah di dalamnya, maka solatnya itu kurang.” Perkataan ini diulang sehingga tiga kali.[4]
Imam al-Nawawi Rahimahullah berkata: “Membaca al-Fatihah bagi yang mampu untuk membacanya merupakan kefarduan dan rukun yang mana tidak diterjemahkan kepada bahasa selain dari bahasa Arab dan juga tidak boleh diganti dengan bacaan yang lain daripada al-Quran. Ianya juga wajib dibaca pada kesemua solat sama ada solat fardu mahupun solat sunat.”[5]
Jika seseorang terlupa membaca al-Fatihah, kewajipan tersebut tidak tergugur daripadanya. Pandangan ini adalah kesepakatan yang telah disebut oleh jumhur ulama yang mazhab Syafie. Inilah yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi di dalam al-Majmuk.[6]
Manakala berkenaan bacaan makmum ketika bersama imam, Imam Nawawi menyebut:
وَاَلَّذِي عَلَيْهِ جُمْهُورُ الْمُسْلِمِينَ الْقِرَاءَةُ خَلْفَ الْإِمَامِ فِي السِّرِّيَّةِ وَالْجَهْرِيَّةِ
Maksudnya: Jumhur umat Islam berpendapat wajib membaca al-Fatihah di belakang imam sama ada pada solat Sirr (perlahan) atau Jahr (kuat).[7]
Imam al-Baijuri ada menjelaskan berkenaan beberapa syarat yang perlu dijaga ketika membaca surah al-Fatihah dalam sembahyang, antaranya:
- Membacanya dalam bahasanya yang asal iaitu bahasa Arab dan tidak menterjemahkannya ke dalam bahasa lain, kerana jika diterjemahkan akan hilanglah mukjizat al-Qur‘an itu.
- Khusus bagi orang yang tidak mampu membaca surah al-Fatihah, hendaklah membaca penggantinya dari surah-surah lain juga dalam bahasa Arab.[8]
Kami nyatakan juga daripada pendapat al-Baijuri, bahawa jika sekiranya tidak mampu membaca apa-apa hatta doa sekalipun, hendaklah dia berdiri seperti biasa sekadar membaca al-Fatihah.[9]
Keadaan Mualaf Tidak Tahu Baca al-Fatihah dalam Solat
Pada asalnya, dua bacaan yang wajib dibaca dalam solat adalah Surah al-Fatihah, tasyahhud dan selawat ke atas Nabi SAW. Manakala bacaan-bacaan lain adalah sunat. Bagi mualaf, kami melihat ada beberapa aturan utama yang boleh diikuti jika belum menghafal Surah al-Fatihah.
- Jika sudah boleh membaca tetapi tidak menghafalnya, dibolehkan memegang lampiran kertas yang ada Surah al-Fatihah. Atau disimpan bacaannya dalam telefon pintar, tabdan sebagainya yang mudah dipegang ketika solat.
- Jika sudah boleh membacanya tetapi tidak menghafal sepenuhnya, diwajibkan membaca Surah al-Fatihah sekadar kemampuan dan hafalannya dan diulang-ulang.
- Jika tidak boleh membaca dan tidak menghafalnya tetapi mampu mengikut bacaan, dicadangkan untuk mualaf terbabit dibantu oleh seorang fasilitator yang boleh membaca Surah al-Fatihah dengan baik.[10]
- Jika tidak mampu membaca, menghafal Surah al-Fatihah dan mengikut bacaan fasilitator ataupun tiada fasilitator yang dapat membantu, dibolehkan membaca 7 ayat daripada mana-mana surah dalam al-Qur’an ataupun diulang-ulang ayat al-Qur’an yang sama. Boleh juga digabungkan bacaan sebahagian Surah al-Fatihah dan sebahagian surah-surah lain yang dihafal.
- Jika tidak tahu membaca dan tidak menghafalnya, berzikirlah dengan apa-apa sahaja zikir yang telah dihafal. Misalnya (سبحان الله والحمد لله ، ولا إله إلا الله ، والله أكبر ، ولا حول ولا قوة إلا بالله)
- Jika tidak tahu membaca, tidak menghafalnya dan tidak tahu apa-apa zikir yang boleh dibaca, maka dia hanya perlu menuruti sahaja imam tanpa perlu membaca apa-apa. Walaubagaimanapun, tetap wajib baginya untuk belajar sehingga mampu membaca dan menghafalnya dengan fasih.[11]
Penutup
Islam itu satu agama yang lengkap, menyeluruh dan sentiasa sesuai dengan kondisi penganutnya. Firman Allah SWT:
لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا
Maksudnya: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.”[12]
Firman Allah SWT:
فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ
Maksudnya: “Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu;…”[13]
Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita untuk terus mendalami ilmu agama dan menyebarkan kefahaman dan keindahan Islam kepada masyarakat sekeliling kita.
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 9 Februari 2022 bersamaan 7 Rejab 1443H
[1] Surah al-Baqarah: 43
[2] Riwayat al-Bukhari (7)
[3] Riwayat al-Bukhari (756) dan Muslim (900)
[4] Riwayat Muslim (907)
[5] Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/283
[6] Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/288
[7] Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/365
[8] Lihat Hasyiyah al-Baijuri, 1/290. Lihat juga al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 1/255
[9] Lihat Hasyiyah al-Baijuri, 1/290
[10] Contohnya, fasilitator berkenaan boleh bersolat dengan menjadi imam / bersolat di sebelah / tidak bersolat dengan menguatkan bacaannya supaya diulangi oleh mualaf. Selain itu, mualaf berkenaan boleh juga menggunakan sarana teknologi moden seperti alat perakam suara, telefon pintar yang disertakan earphone supaya tidak mengganggu jemaah lain.
[11] Lihat perbahasan lebih lanjut dalam al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 217; al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 1/255-256; Nihayat al-Muhtaj, 1/484-485; Mughni al-Muhtaj, 1/357-358; Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/374
[12] Surah al-Baqarah: 286
[13] Surah al-Taghabun: 16