“Para penuntut ilmu yang dirahmati Allah,
Universiti Islam Madinah sentiasa mengutamakan pengukuhan hubungan persaudaraan sesama Muslim sebagai asas kepada pembentukan ummah yang cemerlang. Kami menjunjung firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”[1]
Itulah antara keunikan di Universiti Islam Madinah. Para mahasiswa ditempatkan di satu bilik yang memuatkan 4 orang dengan bangsa yang berbeza. Zul pernah tinggal bersama mahasiswa daripada Mesir, India, Pakistan, Singapura, Thailand dan lain-lain. Apa kelebihannya? Kita “terpaksa” berinteraksi dalam Bahasa Arab dan mengasah kemahiran bertutur dalam Bahasa Arab. Tambahan pula, mereka semuanya bijak pandai dan secara tidak langsung, ia juga membantu dalam membentuk suasana pembelajaran yang baik.
********************
“Ni, marilah bilik Fauzi. Ana beli doh kakah nok buat Sup Daging Kemboja. Puok-puok Kemboja ni panda buat sup. Sedap do’oh!”. Zul mengajak Zaini menghadiri jamuan makan yang disediakan sahabat-sahabatnya daripada Kemboja. Fauzi, Abdul Karim, Ahmad, Syafie, adalah antara mahasiswa Universiti Islam Madinah daripada Kemboja yang menjadi sahabat Zul.
“Sila…sila makan. Kami masak sup. Zul beli barang-barang semua.”, Fauzi mempelawa Zaini yang baharu tiba. “Zul ni, kalau bab makanan, mesti kena sedap. Jadi, kami masak sedap-sedap hari ni. Penat dia keluar beli barang tadi. Hahaha…”, kata Syafie sambil menepuk bahu Zul. Zul cuma tersengih sambil menceduk sup ke mangkuk Afandi, Ali dan rakan-rakannya yang lain. Turut hadir, rakan-rakan daripada Thailand seperti Ghazali,dan Abdul Ghani. Tidak sampai 15 minit, tiba pula rakan-rakan Zul daripada Malaysia antaranya Ismail, Hamid, Ashraf dan Najib Al-Qari. Melihat kehadiran mereka, Fauzi bersuara dari dapur, “Haaa..mari dah. Antum ni kalau bab makanan memang laju. Kalau bab memasak, aku sorang jelah…Hahaha”. Kesemuanya ketawa dengan usikan Fauzi.
Hubungan Zul dengan rakan-rakannya daripada Kemboja amat erat sehinggakan pernah Zul diajak untuk menyampaikan ceramah di Kampung Cham pada tahun 1992. Itulah pengalaman pertama Zul ke Kemboja. Zul teruja melihat Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh sentiasa dipenuhi orang ramai. Suasana bandarnya seakan tidak jauh beza dengan Kuala Lumpur cuma lebih sesak pada waktu puncak. Zul disambut oleh senior-seniornya di Universiti Islam Madinah daripada Kemboja antaranya Ustaz Yusuf dan Ustaz Zulkarnain.
Tiba di Kampung Cham, Zul melihat satu suasana yang amat asing. “Macam dalam filem P. Ramlee!”, Zul berbisik sendirian. Kaum lelaki memakai kain pelikat dengan semutar atau lebai di kepala, kebanyakannya tidak berbaju. Kaum wanitanya ada yang berkemban, ada juga yang memakai baju t-shirt, berkain batik dan skarf yang dipakai di kepala. Zul disambut bagaikan VVIP di sana! “Zi, ana rasa macam di kampung sendiri. Semua baik-baik.”, kata Zul kepada Fauzi. Persamaan Bahasa Cham dan Bahasa Melayu dapat ditemui pada nama tempat-tempat seperti Kampong Cham, Kambujadesa, Kampong Chhnang dan sebagainya. Sejarah Melayu dengan jelas menyebut terdapatnya komuniti Cham di Melaka sekitar tahun 1400. Pada pertengahan tahun 1400 apabila Cham tewas kepada orang-orang Vietnam, lebih kurang 120,000 orang terbunuh dan pada sekitar tahun 1600 Raja Champa memeluk Islam. Pada sekitar tahun 1700 Raja Muslim terakhir Champa Po Chien mengumpulkan orang-orangnya dan berhijrah ke selatan Kemboja sementara mereka yang tinggal sepanjang pesisir pantai berhijrah ke Terengganu dan ada yang ke Kelantan.
Ceramah Zul di surau Kampung Cham yang diterjemahkan Abdul Halim, mendapat sambutan yang amat baik dengan kehadiran ramai orang kampung. Selepas ceramah, seorang pemuda Kampung Cham datang dan berbisik kepada Abdul Halim sambil tangannya ditunjuk kepada Zul. Beliau mengangguk dan tersenyum. Zul terpinga-pinga seketika. “Aku tersaloh cakak ke? Ade hok die dop puah hati ke?”. 1001 persoalan bermain di minda Zul saat itu. Melihat sahabatnya yang mula cemas, Abdul Halim ketawa dan menenangkan Zul. “Tak ada apa-apa. Pakcik tadi namanya Kasim. Dia suka enta ceramah. Dia suruh ana bawak enta lagi lain kali. Kalau nak duduk sini terus pun boleh. Dia boleh tolong carikan pasangan!”. Berderai ketawa keduanya. Pak Karim pun turut ketawa dan berkali-kali mengucapkan terima kasih kepada Zul atas kesudiannya menyampaikan ceramah.
Petang itu, Zul dan rakan-rakan Kembojanya berada di Sungai Mekong. Sungai Mekong, yang berukuran 4180km panjang, bermula dari Tibet dan melalui Yunnan, wilayah China, Myanmar, Thailand, Laos, Kemboja dan Vietnam. Zul terlopong melihat aksi seorang remaja menangkap ikan di Sungai Mekong dengan tangan kosong. “Wah, hebatnya. Macam mana dia boleh buat tu?”, kata Zul sambil menepuk peha Fauzi dan menunjukkan ke arah tersebut. Fauzi hanya ketawa dan berseloroh, “Itu dah biasa di sini, Zul. Kami pun pandai, cuma di Madinah tak tunjuklah. Hahaha. Lagipun, nak tangkap apa di padang pasir? Biawak dhab ada lah…”.
Mereka turut singgah ke beberapa buah madrasah Arab di Phnom Penh. Usaha dakwah nampaknya sangat pesat berkembang di sini. Banyak pertubuhan dan hartawan menyumbang untuk pembangunan Islam di Kemboja. Ketika berada di Madrasah milik Kuwait di sana, Zul sempat bertukar-tukar buah fikiran dengan seorang guru berbangsa Somalia, Ustaz Khamis berkenaan usaha dakwah di Kemboja.
*********************
Pagi hujung minggu. Kampus biasanya sunyi dan tidak ramai yang datang. Kebanyakannya berada di asrama atau keluar ke mana-mana. Sesekali, bunyi sorak sorai mereka yang bermain bola.
“Ayub. Aku wase aku untungla. Ade saing-saing di sini hok sokmo ingatkang aku pade Allah.”, kata Zul kepada Khairul sambil tertawa kecil. “Bakpe mung cakak gitu?”, tanya Khairul kehairanan.
“Mung tengokla saing-saing aku dari Afghanistan. Nama Qaribullah, Fathullah, Sibghatullah…Hujung name ade Allah blake.”, ujar Zul sambil menikmati teh panas. “Hahaha…aku ingatkang mung nok bagi tazkirah mende tadi.”, Khairul ketawa besar dengan gurauan abangnya.
Rakan-rakannya berbangsa Afghan mempunyai tubuh yang tegap, dan tapak tangan yang kasar. Jauh bezanya dengan orang Asia. Pada masa itu, Taliban masih belum memerintah negara yang terletak di laluan Asia Selatan dan Asia Tengah itu. Afghanistan terkenal dengan kumpulan mujahidin pimpinan Sibghatullah Mojaddedi, Burhanuddin Rabbani, Gulbuddin Hekmatyar, Mohammad Nabi Mohammadi dan beberapa orang lagi.
********************
Sepanjang 4 tahun di Madinah, tidak ada peristiwa yang paling sedih bagi Zul kecuali pada saat beliau menghantar Shohor Bani yang membuat keputusan untuk berjihad di Bosnia Herzegovina. Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz yang sesak, terasa sunyi. “Enta nok pegi sungguh ke ni?”, tanya Zul sambil memegang tangan sahabatnya itu. Zul merenung jauh ke dalam mata sahabatnya. Bangga dengan pendirian Shohor namun terselit kerisauan. Zaini di sebelah hanya mendiamkan diri menahan sebak.
“Ye, ana dah tekad. Enta kene doa sokmo ke ana.”, jawab Shohor Bani ringkas. Beliau senyum, namun senyuman yang sengaja diukir untuk menenangkan sahabat-sahabatnya. Ada beberapa orang mahasiswa Universiti Islam Madinah pergi berjihad di Bosnia Herzegovina dan syahid di sana. Perang Bosnia 1992-1995 menyebabkan lebih 100,000 nyawa terkorban – majoritinya Muslim – dan 2 juta orang hilang tempat tinggal serta menjadi pelarian. “Moga selamat kembali…”. Zul berbisik dalam hati, melihat kapal terbang sudah menghilang ke dalam celahan awan.
____________________________
[1] Surah al-Hujurat: 13