Sale!
Original price was: RM28.00.Current price is: RM20.00.
Sale!
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
Sale!

Buku Fizikal

Taufan Al-Aqsa

Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM40.00.Current price is: RM30.00.
Sale!
Original price was: RM70.00.Current price is: RM60.00.
Sale!
Original price was: RM310.00.Current price is: RM160.00.

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Ketika khutbah Jumaat disampaikan oleh khatib, saya terasa mengantuk dan hampir terlelap. Apa yang boleh saya lakukan? Adakah saya boleh berpindah tempat duduk untuk mengatasi hal ini? Mohon pandangan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Pada asasnya, terdapat dua perkara umum yang menjadikan seseorang itu dianggap sebagai lagha solat jumaatnya. Kami nyatakan perinciannya seperti berikut:

Pertama: Perkataan

Terdapat hadith Nabi SAW yang menyebut larangan seseorang itu berkata-kata ketika khatib sedang berkhutbah. Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا قُلْتَ لِصَاحِبِكَ يَوْمَ الجُمُعَةِ: أَنْصِتْ، وَالإِمَامُ يَخْطُبُ، فَقَدْ لَغَوْتَ

Maksudnya“Jika kamu berkata kepada sahabatmu pada hari Jumaat: Diam dan ketika itu imam sedang berkhutbah, maka sesungguhnya kamu telah lagha (melakukan perkara yang sia-sia).”[1]

Saidina Ali RA berkata, “Barangsiapa yang sia-sia bererti tidak beroleh apa-apa pada solat Jumaatnya.” Ertinya tidak diperolehi kelebihan Jumaat yang dituntut dan pahala yang diharapkan.[2]

Para ulama’ telah berijma’ bahawa afdhal (sebaik-baiknya) bagi sesiapa yang mendengar khutbah imam untuk diam dan dengar. Perbuatan itu lebih afdhal daripada dia menyibukkan diri dengan berzikir secara sendiri, membaca al-Quran atau berdoa.[3]

 

Kedua: Perbuatan Anggota Badan

Sebarang pergerakan dan perbuatan yang menyebabkan hilang tumpuan dan fokus kepada khutbah yang disampaikan turut menyebabkan seseorang itu menjadi lagha. Hal ini berdalilkan sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ تَوَضَّأَ فَأَحْسَنَ الْوُضُوءَ ثُمَّ أَتَى الْجُمُعَةَ فَاسْتَمَعَ وَأَنْصَتَ غُفِرَ لَهُ مَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْجُمُعَةِ وَزِيَادَةُ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ وَمَنْ مَسَّ الْحَصَى فَقَدْ لَغَا

Maksudnya: “Sesiapa yang berwuduk dan dia perelokkan wuduknya, kemudian dia pergi menuju solat jumaat serta mendengar (khutbah) dengan teliti, dan diam (semasa khutbah), akan diampunkan dosa-dosanya dalam tempoh antara dirinya dan juga hari jumaat (yang akan datang), serta pertambahan 3 hari lagi. Dan sesiapa yang bermain dengan batu kecil, maka dia telah lagha.”[4]

Berdasarkan hadis di atas, dapatlah difahami bahawa perbuatan bermain-main batu kecil ketika khatib sedang berkhutbah adalah dilarang, serta menjadikan pelakunya lagha. Hal ini diluaskan lagi kepada perbuatan-perbuatan lain yang menyebabkan hilangnya fokus dan tumpuan dalam mendengar khutbah. Ia seperti bermain telefon bimbit, tidur, makan dan minum tanpa sebab dan seumpamanya.

Perbuatan Yang Membantu Fokus Untuk Mendengar Khutbah

Namun, di sana terdapat pengecualian ke atas perbuatan-perbuatan yang membantu menambahkan fokus untuk mendengar khutbah. Terutamanya perbuatan yang dapat menghilangkan perasaan mengantuk bagi seseorang itu semasa khutbahnya. Sandaran bagi hal ini adalah sebuah riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

إِذَا نَعَسَ أَحَدُكُمْ وَهُوَ فِي الْمَسْجِدِ فَلْيَتَحَوَّلْ مِنْ مَجْلِسِهِ ذَلِكَ إِلَى غَيْرِهِ

Maksudnya: “Apabila salah seorang kamu mengantuk semasa dia berada di dalam masjid (pada hari Jumaat) maka hendaklah dia beralih kedudukan dari tempat duduknya itu kepada tempat yang lain.”[5]

Hadis ini menunjukkan, tidaklah semua pergerakan anggota badan itu dilarang semasa khutbah. Akan tetapi, perbuatan seperti beralih kedudukan dari satu tempat ke tempat yang lain itu dibolehkan bahkan disunatkan, dengan tujuan untuk mengelakkan mengantuk serta dapat terus fokus mendengar khutbah.

Berikut adalah hikmah kepada perbuatan beralih kedudukan ini:

  • Pergerakan dapat menghilangkan rasa mengantuk.
  • Tempat duduknya yang menyebabkan dia tidur itu terdapat padanya syaitan.

Dua hikmah di atas ini disebutkan oleh al-Sayyid Muhammad Siddiq Hasan di dalam kitabnya al-Din al-Khalis (4/145-146).

Maka perbuatan dan pergerakan seperti ini tidak dilarang dan dianggap sebagai lagha. Bahkan ia suatu yang dituntut lagi disunatkan.

Kesimpulan

Kami nyatakan bahawa seseorang yang berasa mengantuk semasa khutbah, disunatkan kepadanya untuk beralih kedudukan tempat duduknya ke tempat yang lain di dalam masjid.

Walaupun begitu, memandangkan suasana setempat kita pada hari ini yang mana saf telahpun penuh semasa khutbah, maka tidaklah perlu untuk seseorang yang mengantuk itu beralih ke tempat lain sehingga menyebabkan gangguan kepada jemaah lain. Akan tetapi, boleh untuknya melakukan perbuatan lain yang dapat menghilangkan perasaan mengantuk seperti memicit lehernya, atau badannya, dan selainnya.

Semoga pencerahan ini memberikan kefahaman yang jelas dan tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 14 Januari 2022 bersamaan 11 Jamadil Akhir 1443H

[1] Riwayat al-Bukhari (934)

[2] Lihat al-Mu`tamad, 1/533

[3] Lihat Fath al-Bari, 8/274

[4] Riwayat Muslim (857)

[5] Riwayat Abu Daud (1119)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *