SOALAN
Apakah hukum ambil buah dan makan buah daripada pokok jiran yang jatuh di halaman rumah saya?
JAWAPAN
Secara asasnya, mengambil hak orang lain tanpa izin adalah haram. Firman Allah SWT:
وَلاَ تَأْكُلُواْ أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah…”[1]
Begitu juga sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam:
لاَ يَحِلُّ مَالُ امْرِئٍ مُسْلِمٍ إِلاَّ بِطِيْبِ نَفْسٍ مِنْهُ
“Tidak halal mengambil harta seorang Muslim kecuali dengan kerelaan dirinya.”[2]
Para ulama’ Syafi’iyyah menjelaskan sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam al-Nawawi, hukum buah-buahan yang jatuh adalah sama seperti hukum buah-buahan yang berada di atas pokok. Maksudnya, diharamkan untuk mengambilnya dan memakannya tanpa izin. Sekiranya buah tersebut jatuh di luar pagar, hukumnya juga haram diambil dan dimakan tanpa izin kecuali jika diketahui adat kebiasaan pemilik pokok membenarkannya atau ada sangkaan pemilik pokok mengizinkannya.[3]
Pun begitu, boleh juga kita raikan kebiasaan budaya kita yang menghormati hidup berjiran dengan memaklumkan kepadanya terlebih dahulu sebelum mengambil buah berkenaan. Itu lebih mendamaikan hati daripada timbul sebarang salahfaham di kemudian hari. Wallahu a’lam.
[1] Surah al-Baqarah: 188.
[2] Riwayat Abu Ya’la, no. 1570. Isnadnya dhaif.
[3] Al-Majmūʿ Sharḥ al-Muhadhdhab, 9/54.