Catatan Umrah 5 Hari

6 APRIL 2023

Alhamdulillah, kesyukuran yang tinggi saya panjatkan kepada-Nya, kerana dengan izin-Nya jua pada Ramadhan kali ini 1444 H, kaki saya dapat menapak ke kota suci Mekah al-Mukarramah dan Madinah al-Munawwarah. Pada 6 April 2023 bersamaan 15 Ramadan 1444 H, saya memulakan perjalanan musafir umrah bersama isteri dan 7 orang sahabat. Di KLIA, saya menerima kunjungan ramai sahabat-sahabat daripada Pustaka Cahaya Kasturi, Maktabah al-Bakri termasuk Ustaz Fawwaz (CEO Mutiara Travel), Ustaz Mursyid (CEO Mursyid al-Haramain) dan beberapa orang lain lagi. 

Saya menaiki Saudi Airlines yang berlepas dari KLIA pada jam 2.00 pagi dan tiba sekitar 6.00 pagi di Jeddah. Urusan di imigresen sedikit bermasalah kerana imbasan cap jari tidak jelas. Alhamdulillah setelah lebih 15 minit, ia selesai dan saya disambut oleh Dr Shahbodin bersama dengan seorang pemandu berbangsa Arab yang berasal daripada Khulais, sebuah bandar di Mekah. Perjalanan satu jam tak terasa lamanya. Sampai di Al Safwah Royale Orchid, kami meletakkan bagasi dan memperbaharui wudhu’.

Di Al Safwah Royale Orchid, saya disambut Ustaz Nazrul. Anak muda yang ramah dan amat membantu memudahkan urusan saya. Sekitar jam 9.30 pagi waktu tempatan, saya mulakan langkah menuju ke Masjidil Haram. Lebih kurang 2 jam 30 minit selepas itu, saya menamatkan umrah dengan lancar. Memandangkan waktu Zohor sudah hampir menjengah, saya terus duduk di Marwah dan menunggu sehingga masuknya waktu solat. Kesempatan yang terluang selepas solat Zohor saya penuhi dengan zikrullah dan membaca al-Qur’an. Lebih kurang jam 1.15 petang, saya pulang semula ke hotel dan bertemu dengan Ustaz Nazrul. Beliau meminta izin untuk pulang ke Madinah atas beberapa urusan lain.

Suasana solat Asar di Masjidil Haram lebih padat daripada waktu Zohor tadi. Mungkin kerana esoknya adalah hari Jumaat. Menjadi kelaziman penduduk sekitar untuk memenuhi Masjidil Haram pada hujung minggu, apatah lagi dalam bulan Ramadhan. Saya beriktikaf di sana sehinggalah menghampiri waktu Maghrib. Beberapa ketika sebelum masuk waktu Maghrib, saya terus menuju ke musolla hotel dan berbuka puasa di sana. Juadahnya ringan namun memadai untuk mengalas perut. Roti, laban, air mineral sebagai menu awal dan kami sama-sama menunaikan solat Maghrib berjemaah.

Pulang ke hotel, ada pelbagai sajian Arab, Barat dan Asia yang tersedia. Saya makan dengan agak tergesa-gesa memandangkan waktu ‘Isyak tidaklah lama selepas Maghrib. Jemaah solat ‘Isyak pada malam itu di musolla hotel menghampiri 2,000 orang pada congakan saya. Meriah!

Solat Tarawih pada malam pertama saya di Mekah cukup indah. Alunan Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Sudais cukup syahdu dan bersemangat pada malam itu. Pada rakaat terakhir solat Witir, suara beliau kedengaran begitu sayu mendoakan bumi Palestin khususnya Masjidil Aqsa dan rakyatnya terkait pencerobohan Zionis Israel baru-baru ini.

7 APRIL 2023

Penghulu segala hari sudah tiba. Saya menunaikan solat Jumaat di dataran bawah Masjidil Haram. Syeikh Bandar Balelah selaku khatib pada waktu itu membicarakan berkenaan dengan puasa dan hikmah kesabaran. Khutbahnya cukup ringkas tetapi mendalam dan sampai kepada maksudnya. Beginilah falsafah sebenar khutbah. Tidak terlalu melewah, isu yang bersifat semasa, dan khatib yang benar-benar berketerampilan.

Kalau berada di Mekah, memang tidak sah kalau tidak berkunjungan ke Restoran Raydan. Itulah tempat wajib yang saya akan singgah untuk menjamu selera. Atas bantuan Dr. Shahbodin, beliau telah bungkuskan untuk saya dan kami bersama-sama menikmatinya di hotel semasa berbuka puasa. 

8 APRIL 2023

 

Hari ini masing-masing mengatur perancangan sendiri. Ada yang memilih beriktikaf di Masjidil Haram. Ada juga yang senang beriktikaf di musollla hotel. Pada sebelah malamnya, Dr Shahbodin mengajak saya berbuka puasa di luar. Kabsah Hashi menjadi pilihan kami. Restoran tersebut terletak berhampiran dengan Restoran Raydan di Aziziah. Alhamdulillah, makanannya cukup lazat dan daging anak untanya cukup lembut. Di sini saya bertemu dengan ramai jemaah Malaysia, sebahagian besarnya daripada Sabah. Menjeling ke arah jam tangan, waktu ‘Isyak semakin menghampiri. Saya mengajak semua sahabat-sahabat pulang untuk solat ‘Isyak di Masjidil Haram. Tiba di sana, nampaknya sudah tiada peluang untuk solat di dataran bawah. Polis melorongkan kami menaiki tingkat 3 Masjidil Haram. 

9 APRIL 2023

Selepas berbincang dengan sahabat-sahabat, kami sepakat untuk mengadakan tawaf wada’ pada pagi Ahad sekitar jam 7.30 pagi. Jam 9.45, kami lantas check-out dari hotel menuju ke stesen kereta api laju di Mekah. 

Apabila sampai, saya check-in secara dalam talian dan memasuki business lounge untuk berehat seketika. Tepat jam 12 tengahari, kereta api meluncur laju meninggalkan bumi Mekah. Ini pengalaman pertama saya menaiki kereta api laju di sini.  Semoga Allah SWT merahmati Kerajaan Arab Saudi atas usahanya yang penuh manfaat ini. 

Selepas hampir 2 jam, kami tiba di kota Madinah. Kami menaiki van menuju ke Millennium Taiba Hotel Madinah berhampiran dengan Masjid Ghamamah. Setepatnya, 250 meter dari Masjid al-Nabawi. Masjid Ghamamah dikenali sebagai tempat terakhir Nabi Muhammad SAW sembahyang hari raya dan sembahyang sunat istisqa’. 

Ustaz Nazrul menyambut saya di sini dan membawa saya berbuka puasa dengan menu ala Malaysia di Restoran Rasa Malaysia. Nasi putih panas-panas yang dihidangkan bersama Sambal Tumis Sotong, Sambal Tumis Udang, dan Gulai Ayam  menggamit kerinduan kepada tanah air. Siapa sangka, lebih 7000 kilometer dari tanah air, wujud sebuah restoran makanan Melayu yang amat enak dan menepati lidah orang Melayu seperti kita. Syabas dan tahniah kepada Ustaz Mursyid dan rakan-rakannya yang mengusahakan restoran ini.

Solat Tarawih di Madinah, membangkitkan kembali memori 35 tahun lalu ketika saya masih bergelar pelajar di Universiti Islam Madinah. Para imamnya bersilih ganti kecuali Syeikh Ali al-Huzaifi. Selepas solat Tarawih, saya membuat temujanji dengan bekas pensyarah merangkap bekas Timbalan Rektor Univerisiti Islam Madinah iaitu Dr Mahmud Abdul Rahman Qadah. Orang Melayu Kedah yang menjadi kepercayaan pihak Kerajaan Arab Saudi sehingga dilantik memegang jawatan kedua tertinggi di universiti ternama itu. Saya keluar dengan keretanya bersama dengan Dr Shahbodin dan Dr. Idris. Banyak topik-topik yang kami bualkan berkaitan kisah-kisah silam, dan keadaan semasa para pelajar Universiti Islam Madinah. Beliau menceritakan kepada saya, beliau telah berkhidmat untuk Universiti Islam Madinah melebihi 40 tahun. Seolah-olah ⅔ dari kehidupannya diwakafkan untuk ilmu dan pembangunan universiti. Jazahullahu khaira jaza’. 

Selesai pertemuan dengan Dr. Abdul Rahman Qadah, saya singgah semula ke Restoran Rasa Malaysia untuk memenuhi permintaan stafnya mendoakan agar diberi keberkatan dan kemajuan dalam perniagaan. Terima kasih tak terhingga atas layanan istimewa.

10 APRIL 2023

Hari terakhir sebelum pulang ke Malaysia, keadaan kesihatan saya agak menurun. Sesekali batuk dan sakit dada dan sakit kepala menyerang.  Saya meminta isteri saya terlebih dahulu pergi ke masjid untuk menunaikan solat Subuh. Saya masih berkira-kira antara pergi dengan tidak kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan. Dengan lafaz bismillah, saya tekadkan hati untuk melangkah menuju ke Masjid al-Nabawi untuk solat Subuh yang terakhir dalam umrah Ramadhan kali ini. Masya-Allah, pagi yang hening itu bumi Madinah disimbah dengan hujan rahmat dan saya bersembahyang bertemankan hujan yang turun renyai-renyai. Sekitar jam 9 pagi, saya mengajak semua sahabat-sahabat untuk menziarahi Masjid Quba’. Sahl ibn Hunaif RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَطَهَّرَ فِي بَيْتِهِ ثُمَّ أَتَى مَسْجِدَ قُبَاءٍ فَصَلَّى فِيهِ صَلاَةً كَانَ لَهُ كَأَجْرِ عُمْرَةٍ

Maksudnya: Sesiapa yang bersuci di rumahnya, dan datang ke masjid Quba’ kemudian solat, maka pahalanya seumpama pahala mengerjakan umrah.

Riwayat Ibn Majah (1412)

Destinasi seterusnya adalah Bukit Uhud untuk menziarahi singa Allah dan juga bapa saudara Nabi SAW, Hamzah bin Abdul Muttalib serta para syuhada Uhud lain. Peluang yang sudah pasti tidak dilepaskan adalah menziarahi Rasulullah SAW, Abu Bakar dan Umar. Urusan ziarah Rasulullah SAW kini lebih lancar dan dengan adanya kemajuan teknologi. Tempahan slot ziarah dilakukan menerusi aplikasi dalam telefon.

Selepas solat Asar di Masjid al-Nabawi dengan perasaaan yang amat sayu, kami singgah ke Mat’am Hana’ untuk membeli Nasi Bukhari kegemaran saya sejak 35 tahun lalu. Lauk-pauk yang dibungkus daripada Restoran Rasa Malaysia di bawa bersama untuk berbuka puasa di lapangan terbang Madinah.

Tak ramai jemaah daripada Malaysia yang pulang pada hari ini. Masuk sahaja waktu Maghrib, saya berbuka puasa dan sembahyang Maghrib dan Isyak secara jamak taqdim di masjid lapangan terbang. Solat Tarawih kami laksanakan setelah masuk waktu ‘Isyak, walaupun dibolehkan seseorang yang melaksanakan solat jamak taqdim dengan menghimpunkan solat ‘Isyak dengan solat Maghrib untuk melaksanakan solat Tarawih dan Witir selepas menunaikan solat isyak. Hal ini ada dinyatakan dalam kitab Busyra al-Karim Syarh al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah, hlm. 313 dan 316  oleh Syeikh Sa`id Ba `Isyn al-Hadhrami Rahimahullah.

Selepas bertemu Ustaz Nazrul bagi menyampaikan ucapan penghargaan atas bantuan beliau, saya meneruskan dengan tazkirah ringkas kepada sahabat-sahabat. Mungkin ada yang ingin mereka kongsikan sepanjang umrah “ekspres” 5 hari ini. Sambil itu, kami menjamah bekal Nasi Bukhari yang dibeli. Alas perut itu sudah memadai kerana di dalam kapal terbang, saya lebih selesa merehatkan badan sehinggalah sampai ke destinasi.

Jam menunjukkan 9.30 malam maka saya mula melangkah masuk ke perut kapal terbang. Satu perkara yang saya syukur dalam penerbangan kali ini adalah dapat menunaikan solat Subuh berjemaah dengan melengkapkan segala rukunnya tanpa perlu duduk. Itulah kelebihan Saudi Airlines yang mempunyai kemudahan musolla mini. Alangkah baiknya jika hal seperti ini juga dapat dilakukan oleh syarikat penerbangan lain seperti MAS dan AirAsia yang membawa penumpang ke destinasi yang jauh seperti Jeddah, Madinah atau Riyadh. 

11 April 2023

Alhamdulillah, pada 11 April 2023 bersamaan 20 Ramadan 1444 H, sekitar jam 12.00 tengah hari waktu tempatan saya tiba ke KLIA. Di sini, saya disambut oleh saudara Shafiq dan Wajdi. Saya terus masuk  pejabat kerana ada beberapa program yang memerlukan perbincangan dan penyelarasan. 

Umrah Ramadan pada kali ini hakikatnya adalah anugerah Allah SWT. Tidak sedikit mereka yang berkemampuan, tetapi belum pernah menunaikan umrah. Tidak kurang juga mereka yang tidak berkemampuan, sudah pasti ingin merasai pengalaman yang sama. Itu semuanya adalah dengan ketentuan Allah SWT. 

Alhamdulillah, berkat berada di kota suci Mekah, dapatlah saya khatam al-Quran sebanyak dua kali. Kali pertama di Mekah dan sekali dalam perjalanan ke kota Madinah. Indahnya aturan-Mu ya Allah!

3 thoughts on “Catatan Umrah 5 Hari

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *