BAB 51
Suasana di Bilik Lekir tenang, sebagaimana kebiasaannya. Bayu laut daripada Pantai Port Dickson yang terletak bersebelahan dengan Kolej UNITI, membangkitkan suasana yang amat mendamaikan. Zulkifli memulakan tugasnya seperti biasa, tanpa ada yang mengetahui rumahnya digeledah perompak malam semalam.
Malam itu adalah malam yang amat mencemaskan. Zulkifli, isteri, anak-anaknya yang menetap di Kuarters Hospital Linggi diikat dengan tali. Pisau berkilat yang diacukan kepada Zulkifli, tidak sampai 1 inci daripada lehernya.
“Cepaaaatt!!! Di mana kau letak semua uangnya???!!”, gertak seorang perompak. Disampingnya ada 3-4 orang perompak lain. Kesemuanya tidak menutup wajah masing-masing. Melalui lenggok percakapan, kemungkinan besar mereka adalah warganegara Indonesia.
Zulkifli hanya mengulang-ulang istighfar dan mengharapkan tragedi di malam yang panjang itu segera selesai dengan selamat. Peluh memercik di dahinya. Beliau hanya mampu memandang setiap tindak tanduk para perompak yang menggeledah rumahnya. Barang kemas, sejumlah besar wang dan Nissan Sentra milik ibu saudara isterinya dibawa lari pada malam itu juga. Peliknya, mulutnya seakan terkunci dan tidak ada apa-apa yang dapat dilakukan.
Keesokan paginya, Zulkifli membuka pintu rumahnya dan terlihat najis manusia di hadapan rumahnya. Beliau menggelengkan kepalanya lantas dilafazkan doa:
اللَّهُمَّ رَحْمَتَكَ أَرْجُو فَلَا تَكِلْنِي إِلَى نَفْسِي طَرْفَةَ عَيْنٍ، وَأَصْلِحْ لِي شَأْنِي كُلَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ
Maksudnya: “Ya Allah, rahmatMu yang aku harapkan, maka jangan Engkau serahkan urusanku kepada diriku meskipun sekejap mata (tanpa pertolongan atau rahmat dariMu). Perbaikilah seluruh urusanku, tidak ada sembahan yang berhak disembah kecuali Engkau.”[1]
Zulkifli juga teringatkan anjing yang biasa menyalak berdekatan rumahnya. “Saya nampak ada najis orang depan rumah kita. Anjing yang biasa menyalak tu pun, tak menyalak malam tadi. Saya rasa, mungkin perompak tu pakai ilmu pukau…”, cerita Zul kepada isterinya.
Laporan polis segera dibuat bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang. Bagaimana nasib kumpulan perompak bersenjata tersebut? Entah. Zulkifli menyerahkannya kepada kecekapan pihak berkuasa. Nalurinya kuat mengatakan yang mereka telah pun ditumpaskan.
Firman Allah SWT:
إِنَّمَا جَزَاءُ الَّذِينَ يُحَارِبُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَيَسْعَوْنَ فِي الأَرْضِ فَسَادًا أَنْ يُقَتَّلُوا أَوْ يُصَلَّبُوا أَوْ تُقَطَّعَ أَيْدِيهِمْ وَأَرْجُلُهُمْ مِنْ خِلافٍ أَوْ يُنفَوْا مِنَ الأَرْضِ ذَلِكَ لَهُمْ خِزْيٌ فِي الدُّنيَا وَلَهُمْ فِي الآخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيمٌ
Maksudnya: “Hanyasanya balasan orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi ialah dengan dibalas bunuh (kalau mereka membunuh sahaja dengan tidak merampas), atau dipalang (kalau mereka membunuh dan merampas), atau dipotong tangan dan kaki mereka bersilang (kalau mereka merampas sahaja), atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman umum). Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang amat besar.”[2]
*******************
Jika tidak ada kelas, Zulkifli bersama beberapa orang para pelajarnya seperti Hasrul Nizam, Razman, dan lain-lain akan berkampung di Bilik Lekir bagi menyiapkan beberapa buah buku secara serentak yang akan diterbitkan dalam masa terdekat. Mereka digajikan sendiri oleh Zulkifli, lengkap dengan makan minum dan tempat tinggal. Hasrul Nizam misalnya, dibayar RM800 sebulan untuk membantunya dalam penulisan buku.
“Mea, kita ni kena kejar masa.”, ujar Zulkifli kepada pelajarnya, Razman. “Cuba enta tengok Rasulullah SAW. Nabi ni bijak susun masa. Bijak manfaatkan masa yang berkualiti. Bayangkan Rasulullah SAW dalam masa 10 tahun pembentukan negara Madinah, Nabi dah bina hubungan dan menghantar risalah dakwah kepada pembesar Rom, Parsi, Mesir, Habsyah dan lain-lain. Banyak kali jadi peperangan tetapi kebanyakannya berpihak kepada Islam. Pendekatan tu diteruskan zaman Khulafa’ al-Rasyidin. Kita kena macam tu…”
Buku pertama Zulkilfi yang berjudul Hukum Wanita Menjadi Imam Solat: Kontroversi Solat Jumaat Dr. Amina Wadud mendapat sambutan yang amat hangat di pasaran. Ia diikuti dengan lebih 10 siri buku-buku lain selepas itu. Dalam masa yang sama, Zulkifli mula aktif menulis di ruangan Tafsir al-Qur’an pada setiap hari Rabu dalam akhbar Utusan Malaysia.
Walaupun kurang mahir menggunakan komputer, Zulkifli memanfaatkan para pelajarnya untuk membantunya menyiapkan buku. Selalunya, Zulkifli akan menulis terlebih dahulu di atas helaian kertas kajang dan para pelajarnya akan menyalin semula setiap patah perkataan di dalam Microsoft Word. Jika ada masa yang terluang, beliau sendiri akan bercakap, menterjemah dan menghuraikan secara langsung kepada mereka dan terus ditaip. Bahan rujukan tidak menjadi masalah besar kerana perpustakaan peribadi Zulkifli sendiri sudah memadai untuk menyiapkan pelbagai genre buku-buku agama dan artikel.
Jadual Zulkifli semakin padat apabila beliau mula mendaftar sebagai pelajar Doktor Falsafah pada tahun 2001 di bawah seliaan Dr. Radzi Osman daripada Universiti Sains Malaysia selepas mendapat saranan daripada para gurunya di Madinah, semasa beliau menunaikan umrah pada tahun 2001. Kuliahnya di masjid dan surau sekitar Negeri Sembilan, berlangsung hampir setiap hari. Ia tidak termasuk kuliah-kuliah di luar Negeri Sembilan, seminar dan persidangan peringkat negeri dan kebangsaan. Malah, sejak Zulkifli mula muncul dalam rancangan al-Kuliyyah di TV3 yang diadakan di Dewan Kolej UNITI, beliau mula dikenali ramai.
Alhamdulillah, Dr. Radzi Osman adalah seorang yang amat prihatin dan memahami kesibukan Zulkifli. Sebulan sekali, Zulkifli akan ke Pulau Pinang bagi membentangkan perkembangan penulisan tesisnya yang bertajuk “Institusi Mufti Dan Fatwa: Satu Analisa Terhadap Enakmen Dan Beberapa Fatwa Pilihan Negeri Sembilan”.
Setahun kemudian, beliau menamatkan penulisan tesisnya dan dihantar pada penghujung tahun 2003. Alhamdulillah, sesi viva voce berlangsung dengan jayanya. Namun, disebabkan Pilihanraya Umum yang berlangsung pada Mac 2004, penganugerahan Ijazah Doktor Falsafah terpaksa ditangguhkan beberapa ketika selepas itu.
Disamping itu, beliau juga mendaftar sebagai calon Malaysian University English Test (MUET) bagi mendapatkan nilai tambah sijil akademik yang beliau telah miliki. “Ana dah lama tinggal Bahasa Inggeris ni. Ana harap, Sir dapat ajar ana…”, kata Zulkifli kepada rakan sekerjanya, Sir Khuzaimi. Jika ada waktu terluang, Sir Khuzaimi akan ke Bilik Lekir dan di situlah Zulkifli belajar Bahasa Inggeris bermula daripada asas, sehinggalah berjaya memperoleh Band 3.
“Razman. Ana rasa cukup dah taip buku tu. Enta siap-siap dulu. Jam 11 pagi kita nak bertolak ke Johor.”, pesan Zulkifli kepada pelajarnya. Beberapa orang pelajar yang menjadi pembantunya dalam tugas penulisan buku, turut berperanan sebagai pemandu sekiranya Zulkifli terlibat dalam apa-apa program, di seluruh Malaysia. Pernah satu kemalangan kecil berlaku, ketika beliau dan Razman dalam perjalanan ke Ipoh. Sebelum kedua-duanya bertolak ke Ipoh, Razman bertanya kepadanya, “Ustaz, boleh ke kita ke Ipoh ni? Ana tengok tayar dah botak.” Tayar hadapan kereta Kelisa milik Zulkifli dibelek-belek. Kelisa itu jugalah yang berjasa membawa Zulkifli dan Hasrul Nizam daripada Seremban ke Singapura untuk berceramah.
“Insya-Allah, boleh lagi tu.”, jawab Zulkifli ringkas. Tepat jam 9 pagi, mereka bertolak daripada Surau Kolej UNITI. Ketika berada di atas jalanraya di laluan KLIA, hujan lebat mula turun. Razman cuba memintas kenderaan di hadapannya namun kereta tiba-tiba berpusing dan berdentum, melanggar pembahagi jalan. Nasib mereka baik, jalanraya pada ketika itu agak lengang.
“Bumper depan tercabut ni. Takpe, alhamdulillah. Kita selamat.”, kata Zulkifli kepada Razman sambil melihat beberapa kerosakan pada keretanya. Tanpa berlengah, kedua-duanya menuju ke exit Putrajaya dan berpatah balik ke Seremban. Kereta dihantar ke bengkel dan Zulkifli menggunakan Proton Wira milik isterinya untuk ke Ipoh.
Amat jarang atau hampir tidak ada kuliah-kuliahnya yang dibatalkan walaupun terpaksa hadir lewat disebabkan kekangan masa. Beliau tidak gemar mengecewakan penganjur yang sudah pasti berhempas pulas berusaha untuk menganjurkan program dan menjemputnya. Satu ketika, kedua-duanya ke Sendayan daripada Kuala Terengganu. Bergilir-gilir Zulkifli dan Razman membawa kereta untuk mengelakkan mengantuk. Kuliah Maghrib di Sendayan bertukar menjadi Kuliah Isyak dek kelewatan mereka tiba di sana. Pun begitu, jemaah tetap setia menunggu.
Semasa di dalam kereta, Razman bertanya kepada Zulkifli, “Ustaz, ustaz tak penat ke? Siang malam menulis buku. Lepas tu ceramah lagi. Masuk TV lagi.”
Zulkifli tersenyum dan membalas ringkas, “Itulah dakwah. Penat, tapi nikmat. Kita dapat kongsi ilmu dengan masyarakat. Dapat lihat masyarakat kita sememangnya dahagakan ilmu. Itu satu kepuasan bagi ana walaupun kadang-kadang tak dapat apa-apa.”
____________________
[1] Riwayat Abu Daud, no. 5090.
[2] Surah al-Ma’idah: 33