Tersebar dalam kalangan sebahagian umat Islam, kata-kata yang dinisbahkan kepada Saidina Ali
الحق بلا نظام يغلبه الباطل بالنظام
Maksudnya: “Kebenaran yang tidak tersusun, akan dikalahkan oleh kebatilan yang tersusun.”
Sekadar penelitian saya, ia tidak ditemui dalam mana-mana rujukan. Pun begitu, saya berpandangan ia adalah kata-kata yang disimpulkan daripada khutbah Saidina Ali.
هؤُلاءِ القَوْمَ سَيُدَالُونَ مِنْكُمْ بِاجْتِماعِهمْ عَلَى بَاطِلِهمْ، وَتَفَرُّقِكُمْ عَنْ حَقِّكُمْ، وَبِمَعْصِيَتِكُمْ إِمَامَكُمْ في الْحَقِّ، وَطَاعَتِهِمْ إِمَامَهُمْ في البَاطِلِ
Maksudnya: “…Bahawasanya kaum ini [pengikut Mu’awiyah iaitu orang-orang Syam] akan mengalahkan anda semua disebabkan berhimpunnya mereka atas kebatilan dan disebabkan perpecahan kamu semua [pengikut Saidina Ali iaitu orang Kufah] atas kebenaran, serta maksiat kamu semua yang menjadi pemimpin dalam kebenaran, begitu juga ketaatan mereka yang menjadi pemimpin dalam kebatilan.”
Petikan khutbah ini diambil daripada kitab Nahjul Balaghah. Adapun status kitab Nahjul Balaghah ini dipertikaikan oleh sebahagian ulama’ Ahli Sunnah wal Jama’ah sebagai ucapan, khutbah dan surat yang disandarkan kepada Saidina Ali. Ini kerana, ia bercampur aduk antara yang benar dan palsu sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam al-Zahabi dalam Siyar A’lam al-Nubala’.
Walaubagaimanapun, kandungan kata-kata berkenaan ada kebenarannya. Ia satu peringatan yang perlu menjadi muhasabah semua parti politik, mereka yang bergiat aktif dalam politik dan khususnya pemimpin politik.
Kebenaran perlu sentiasa kuat, tersusun, dan bersatu. Jika kebenaran itu lemah, ia selama-lamanya akan ditindas kebatilan.