Keluarga Yasir adalah maula kepada Bani Makhzum. Mereka telah memeluk agama Islam. Orang Musyrikin yang diketuai oleh Abu Jahal telah membawa mereka ke tengah padang ketika hari yang sangat terik lalu menyeksa mereka di bawah panas matahari. Ketika mereka sedang diseksa itu, Rasulullah SAW lalu disitu dan terlihat mereka sekeluarga. Lantas, Rasulullah SAW bersabda:

صَبْرًا آلَ يَاسِرْ إِنَّ مَوْعِدَكُمُ الْجَنَّةُ 

Maksudnya:Sabarlah wahai keluarga Yasir, sesungguhnya yang dijanjikan bagi kalian adalah Syurga.”

Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (5646). Riwayat ini dinilai sahih berdasarkan Sahih al-Sirah (hlm. 154) dan Hasan Sahih dalam Fiqh al-Sirah (hlm. 103) 

Dalam penyeksaan itu, Yasir telah meninggal dunia. Abu jahal pula telah menikam Sumayyah pada kemaluannya sehingga beliau meninggal dunia. Sumayyah merupakan orang pertama yang syahid dalam Islam.

Penyeksaan terhadap ‘Ammar diperhebatkan lagi. Sesekali dia dijemur di tengah panas dengan diletakkan batu besar yang panas di atas dadanya. Sesekali dia direjam di dalam air. Mereka berkata kepadanya: “Kami tidak akan membiarkan kamu sehinggalah kamu sanggup mencaci Muhammad, atau berkata yang baik terhadap al-Lata dan al-‘Uzza.” Lalu, ‘Ammar pun bersetuju dengan kehendak mereka kerana terpaksa. Setelah itu, ‘Ammar datang kepada Rasulullah SAW sambil menangis untuk meminta maaf atas apa yang terpaksa dilakukannya. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 79).

Maka, turunlah firman Allah:

 مَن كَفَرَ بِاللَّهِ مِن بَعْدِ إِيمَانِهِ إِلَّا مَنْ أُكْرِهَ وَقَلْبُهُ مُطْمَئِنٌّ بِالْإِيمَانِ وَلَٰكِن مَّن شَرَحَ بِالْكُفْرِ صَدْرًا فَعَلَيْهِمْ غَضَبٌ مِّنَ اللَّهِ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ 

Maksudnya: “Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah ia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka hatinya menerima kufur maka atas mereka tertimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar.

(Surah al-Nahl: 106)

  • Yasir bin ‘Amir al-‘Anasi R.A

Beliau ialah Yasir bin ‘Amir bin Malik bin Kinanah bin Qais bin al-Husain bin al-Wazim bin Tha‘labah bin ‘Auf bin Harithah bin ‘Amir al-Akbar bin Yam bin ‘Ans bin Malik bin Adad bin Zaid bin Yasyjab al-‘Anasi. Beliau ialah bapa kepada ‘Ammar bin Yasir.

Beliau berada di bawah jagaan Bani Makhzum, dan digelar sebagai Abu ‘Ammar. Apabila beliau tiba dari Yaman, maka Abu Huzaifah bin al-Mughirah al-Makhzumi melindunginya dan mengahwinkannya dengan hambanya bernama Sumayyah. Apabila Sumayyah melahirkan ‘Ammar, Abu Huzaifah memerdekakannya.

Yasir dan anaknya ‘Ammar terus tinggal bersama Abu Huzaifah sehingga Abu Huzaifah meninggal dunia. Apabila Islam datang, maka Yasir, Sumayyah, Ammar dan saudaranya Abdullah bin Yasir memeluk Islam. Disebabkan itu, Yasir, Ammar dan ibu Ammar diseksa kerana mempertahankan akidah mereka. (Lihat Usd al-Ghabah fi Ma‘rifah al-Sahabah, 5/433).

Sebab kedatangan Yasir ke Makkah adalah kerana beliau dan dua orang saudaranya, yang dipanggil al-Harith dan Malik, datang untuk mencari saudaranya yang keempat. Kemudian, al-Harith dan Malik kembali ke Yaman, dan Yasir tetap tinggal di Makkah, lalu Abu Huzaifah bin al-Mughirah bin Abdullah bin Umar bin Makhzum memberikan perlindungan kepadanya. (Lihat Usd al-Ghabah fi Ma‘rifah al-Sahabah, 4/122).

  • Sumayyah R.Anha 

Beliau ialah Sumayyah bin Khabat, ibu kepada ‘Ammar bin Yasir. Beliau ialah seorang hamba kepada Abu Huzaifah bin al-Mughirah al-Makhzumi. Yasir yang berada di bawah jagaan Abu Huzaifah mengahwini Sumayyah, maka lahirlah ‘Ammar. Kemudian Abu Huzaifah memerdekakannya. Beliau antara yang terawal memeluk Islam. Dikatakan beliau orang yang ketujuh yang memeluk Islam. Beliau antara yang diseksa dengan sangat dahsyat disebabkan mempertahankan akidah Islamnya. (Lihat Usd al-Ghabah fi Ma‘rifah al-Sahabah, 7/152).

  • ‘Ammar bin Yasir R.Anhuma

Beliau ialah ‘Ammar bin Yasir bin ‘Amir bin Malik bin Kinanah bin Qais bin al-Husain bin al-Wazim bin Tha‘labah bin ‘Auf bin Harithah bin ‘Amir al-Akbar bin Yam bin ‘Ans bin Malik bin Adad bin Zaid bin Yasyjab al-‘Anasi.

Beliau ialah Abu al-Yaqazan dan merupakan antara yang terawal memeluk Islam. Beliau berada di bawah jagaan Bani Makhzum. Ibunya yang bernama Sumayyah pula adalah orang pertama yang syahid dalam Islam. Umurnya ketika memeluk Islam 30 tahun lebih. Beliau memeluk Islam di Dar al-Arqam bersama-sama dengan Suhaib bin Sinan dalam waktu yang sama. (Lihat Usd al-Ghabah  fi Ma‘rifah al-Sahabah, 4/122).

‘Ammar bin Yasir termasuk dalam kalangan sahabat yang awal memeluk Islam. Hal ini sehinggakan beliau berkata:

رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَمَا مَعَهُ إِلَّا خَمْسَةُ أَعْبُدٍ وَامْرَأَتَانِ، وَأَبُو بَكْرٍ

Maksudnya:Aku melihat Rasulullah SAW (di awal Islam) dan tidak ada bersamanya kecuali lima orang hamba lelaki, dua orang wanita, dan Abu Bakar.”

Riwayat al-Bukhari (3857) 

Ini menunjukkan ‘Ammar adalah orang yang kesembilan memeluk Islam dan mengikut Nabi SAW. Ini satu kelebihan dan kedudukan yang besar dan mulia yang ada pada ‘Ammar bin Yasir.

Ammar bin Yasir berkata lagi:

 لَقِيتُ صُهَيْبَ بْنَ سِنَانٍ عَلَى بَابِ دَارِ الْأَرْقَمِ، وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِيهَا، فَقُلْتُ لَهُ: مَا تُرِيدُ؟ فَقَالَ لِي: مَا تُرِيدُ أَنْتَ؟ فَقُلْتُ: أَرَدْتُ أَنْ أَدْخُلَ عَلَى مُحَمَّدٍ، فَأَسْمَعَ كَلَامَهُ، قَالَ: وَأَنَا أُرِيدُ ذَلِكَ فَدَخَلْنَا عَلَيْهِ فَعَرَضَ عَلَيْنَا الْإِسْلَامَ فَأَسْلَمْنَا

Maksudnya:Aku berjumpa Suhaib bin Sinan di pintu Dar al-Arqam, dan Rasulullah SAW berada di dalamnya. Aku pun bertanya kepadanya: ‘Apakah yang kamu mahu?’ Suhaib pun kembali bertanya kepadaku: ‘Apa pula yang kamu mahu?’ Aku menjawab: ‘Aku ingin bertemu dengan Muhammad dan mendengar kata-katanya.’ Beliau pun berkata: ‘Aku juga menginginkan perkara seperti itu.’ Maka kami masuk bertemu Baginda dan Baginda menunjukkan kepada kami Islam, dan kami masuk Islam.

Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (5698). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij Siyar A‘lam al-Nubala’ (2/19) menyatakan, dalam sanad hadith ini terdapat perawi bernama al-Waqidi dan dia adalah seorang yang matruk (ditinggalkan hadithnya).

‘Ammar R.A termasuk dalam kalangan sahabat yang dijamin syurga. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Anas R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الْجَنَّةَ تَشْتَاقُ إِلَى ثَلاَثَةٍ عَلِيٍّ وَعَمَّارٍ وَسَلْمَانَ

Maksudnya: “Sesungguhnya syurga benar-benar merasa rindu kepada tiga orang iaitu Ali, ‘Ammar dan Salman.”

Riwayat al-Tirmizi (3797)

Dalam riwayat lain, daripada Anas bin Malik R.A, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الْجَنَّةَ تَشْتاقُ إِلَى أَرْبَعَةٍ: عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ، وَعَمَّارِ بْنِ يَاسِرٍ، وَسَلْمَانَ الْفَارِسِيِّ، وَالْمِقْدَادِ بْنِ الْأَسْوَدِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ 

Maksudnya: “Sesunguhnya syurga benar-benar merasa rindu kepada empat orang iaitu Ali bin Abu Talib, ‘Ammar bin Yasir, Salman al-Farisi dan al-Miqdad bin al-Aswad R.Anhum.

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Kabir (6045); riwayat Abu Nu‘aim dalam Ma‘rifah al-Sahabah (3346); al-Albani dalam Dha‘if al-Jami‘ (1427) menilainya sebagai dhaif; al-Haithami dalam Majma‘ al-Zawa’id (9/310) menyebutkan, di dalamnya terdapat perawi yang bernama Salamah bin al-Fadhl dan ‘Imran bin Wahb. Para ulama berselisih mengenai hadith kedua-duanya sebagai hujah, sedangkan baki perawinya yang lain adalah thiqah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *