Kenangan yang Tersimpan

“Ayub, cepat skek. Nanti lambat ana sapa kelas Syeikh Muhammad ‘Ali Thani!”, Zul memanggil adiknya dari dalam kereta. Kereta terpakai Mazda 929 yang dibeli Zul semasa Khairul mula mendaftar di Universiti Islam Madinah, memudahkan pergerakannya ke mana-mana. Pemandunya, sudah pastilah Khairul. Bermula dengan berbasikal mencari ikang sekila di baruh sehinggalah di berkereta Madinah, Khairul tetap setia sebagai pemandunya. Kereta itu telah sampai ke Masjid Nabawi untuk halaqah ilmu di sana. Kedai kitab di serata Madinah juga telah sampai dengan asbab kereta itu.

Muat turun tesis yang telah dibukukan ini di https://waqfeya.net/book.php?bid=618

Kereta itu juga telah membawa Zul ke viva Doktor Falsafah guru beliau, Syeikh Muhammad bin Muhammad Mukhtar al-Syinqiti. Sesi viva tesis Doktor Falsafah dengan tajuk Ahkam al-Jirahah al-Tibbiyyah wa al-Athar al-Mutarattibah ‘alaiha itu berlangsung lebih 2 jam 45 minit dan dihadiri ramai para ulama’. Ketika itu, Zul hanya bersila dengan berhimpit-himpit di lantai kerana kerusi telah penuh. Ia dikendalikan oleh Syeikh ‘Atiyyah Muhammad Salim, Qadhi Mahkamah Syariah Utama di Madinah dan Syeikh Dr. Umar ‘Abd al-Aziz, pensyarah di Universiti Islam Madinah.[1] Zul juga pernah menghadiri sesi viva Syeikh ‘Abd al-Aziz al-Sudais, abang kepada Syeikh Abd al-Rahman al-Sudais, imam dan khatib di Masjidil Haram. Syeikh Abd al-Rahman al-Sudais datang daripada Mekah ke Universiti Islam Madinah untuk memberi sokongan kepada abangnya. Apabila tiba waktu solat, Syeikh ‘Ali al-Huzaifi dan Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Sudais saling tolak menolak, mendahulukan satu sama lain untuk menjadi imam di masjid Universiti Islam Madinah.

“Eh, bukan ke esok mung ade imtihan[2]? Bakpe nok gi talaqqi?”, tanya Khairul kehairanan. Biasanya, jika ada peperiksaan pada esok hari, mahasiswa sudah tidak ke mana-mana di sebelah petang dan malam sebelumnya. Sibuk mengulangkaji pelajaran. “Dakpe. Imtihan tu esok. Petang dengan malam ni dang lagi nok talaqqi. Rugi kalu tinggal…”, jawab Zul sambil meneliti kitab Fath al-Bari dan Sahih Muslim yang dibawanya. Apabila Zul masuk ke Masjid Nabawi untuk menghadiri halaqah ilmu, Khairul biasanya akan berada di tiang berdekatan untuk mengulang hafazan al-Quran sambil menunggu abangnya.

Mazda 929 milik saya berwarna oren muda

******************

Dari jauh, kelihatan sosok tubuh kecil lelaki berjubah dan berserban putih sedang duduk bersimpuh, berhampiran Raudhah. Zul menghampirinya perlahan-lahan, dan menyapanya. “Tok Guru. Maaf ganggu Tok Guru i’tikaf di Sejik Nabi ning. Ambe Zul, pelajar Malaysia di Madinah. Nok mitok nasihat dan pandangang Tok Guru…”, Zul bertutur dengan penuh santun. Hormat dan kasih kepada sosok di hadapannya ini. Lelaki berkaca mata itu mengangguk dan tersenyum memandang Zul.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz semasa usia mudanya

Ambe nok tanye Tok Guru. Ape pandangang Tok Guru dengan sistem pengajian agama di Malaysia?”, tanya Zul kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz.  Ketika itu, beliau baharu dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan setelah PAS berjaya mengambil alih semula Kelantan selepas kalah pada tahun 1978. Pilihanraya Umum ke-8 (PRU8) yang berlangsung pada 21 Oktober 1990 benar-benar mengubah lanskap politik Malaysia.

“Gapo namo enta? Zul?”, Tuan Guru Nik Abdul Aziz bertanya dan membetulkan simpuhannya. Beliau menarik nafas panjang dan berkata, “Tok Khurose rajin[3] ghoyak[4] ko gemuloh ayoh ambo. Kalu nok jadi alim, buke di Malaysia. Tok dapat tidok, keno ngaji di India atau negaro Arab. Enta ada di sini, molek doh. Ngaji sungguh-sungguh…”, beliau menepuk-nepuk bahu Zul. Terselit rasa bangga di hati apabila seorang Menteri Besar, tidak kisah untuk berbual-bual dengan beliau yang cuma seorang pelajar biasa.

Ziarah kubur almarhu Tuan Guru Nik Abdul Aziz pada Februari 2015

Pernah sekali Zul mendapat makluman Tuan Guru Nik Abdul Aziz akan menyampaikan kuliah di Surau Kelantan, Bukit Jiyad, Mekah. Maka berbondong-bondonglah pelajar Malaysia di Madinah dan Mekah serta masyarakat Melayu Mekah, untuk mendengar pengisian yang disampaikan oleh Menteri Besar Kelantan tersebut. Di sana, Zul berkenalan dengan komuniti Melayu Kelantan dan Pattani yang menetap di Bukit Jiyad. Antara guru-guru Melayu yang hebat di Bukit Jiyad adalah Abe Li Chaya, Ustaz Husin Sirat, dan Tuan Guru Abdul Karim Palembani. Di sana juga Zul bertemu dengan Syeikh Muhammad Abdul Qadir al-Mandili, anak kepada tokoh ulama’ terkenal, Syeikh Abdul Qadir al-Mandili. Sambil menuruni ratusan anak tangga daripada Bukit Jiyad, Zul suka menikmati panorama malam Masjidil Haram yang cukup indah bersama rakannya yang memondok di Bukit Jiyad iaitu Aziz Pendang dan Li Bukit Depu. Sedar tak sedar, habis sekotak air tamar hindi (asam jawa) yang dibawa bersamanya.

Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din semasa muda

Bumi Madinah juga mempertemukannya dengan Prof. Dato’ Dr. Haron Din. Selepas kuliah beliau yang dianjurkan oleh Persatuan Pelajar Malaysia Madinah (PPM), Zul mengambil peluang bertanyakan kepada beliau berkenaan hukum anggota badan manusia yang terpotong. Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia dan juga pimpinan utama PAS itu menghuraikan dengan panjang lebar hukumnya dan menyimpulkan bahawa menurut jumhur fuqaha’, anggota badan manusia yang terpotong daripada jasad yang masih lagi hidup hendaklah ditanam tanpa dibasuh dan juga disolat walaupun ia hanyalah kuku atau rambut.[5]

Ustaz Harun Taib

Zul juga pernah bersama Pak Ayub, mertua Dr. Mahmud Qadah untuk menemani Ustaz Harun Taib ketika kunjungan beliau ke Madinah. Turut ada dalam pertemuan itu adalah Pak ‘Aq, seorang aktivis PAS daripada Kedah. Begitu bersemangat beliau menceritakan perjuangan PAS di Kedah, tanpa mengenali Ustaz Harun Taib.

“Alhamdulillah PAS di Kedah ni koi[6] kuat. Tak macam hat lain, cempegha[7] semua! Kita banyak rujuk tulisan-tulisan Ustaz Harun Taib dalam usrah. Baguih no Ustaz Harun ni. Saya tak besa jumpa dia. Jauh sangat nak pi Terengganu sana nu…!”, bersemangat Pak ‘Aq mengupas sejarah perkaderan PAS di Kedah pada zamannya. Ustaz Harun Taib sejak awak pertemuan, hanya mendiamkan diri dan tersenyum. Sesekali ketawa, terhibur dengan keletah Pak ‘Aq yang pekat loghat Kedahnya. “Punyalah lama aku sembang dengan hangpa. Lupa nak tanya nama. Nama tuan sapa tak tau?”, Pak ‘Aq menunjuk ke arah Ustaz Harun Taib dengan ibu jarinya. “Nama saya Harun.”, jawab Ustaz Harun Taib ringkas. Air muka Pak ‘Aq berubah. “Allahuakbar…Segan saya. Ni Ustaz Harun Taib ka? Minta maaf ustaz, saya kurang adab dengan ustaz…”, kata Pak ‘Aq sambil tersipu-sipu.

Bersempena kunjungan tersebut, Zul juga ada membawa rakan-rakan Arab Mesir daripada Ikwan Muslimin untuk bertemu dengan Ustaz Harun Taib. Panjang perbincangan mereka seputar isu-isu gerakan Islam di Malaysia dan luar negara, hubungan PAS dan Ikhwan Muslimin serta prospek masa depan kerjasama antara gerakan Islam sedunia.

Ustaz Fadzil Noor

Setahun sebelum Zul bergraduasi, beliau sempat bertemu dengan Ustaz Fadzil Noor, Presiden PAS ketika beliau menunaikan ibadah umrah dan singgah ke Madinah. Pada 6 Disember 1992, dunia Islam kecoh dengan peristiwa perobohan Masjid Babri di India oleh puak pelampau Hindu yang dihasut oleh pemimpin politik terutama daripada Parti Bhartiya Janata (BJP). Ramai umat Islam di India terkorban. Berita itu sampai ke Arab Saudi dan menjadi liputan akhbar beberapa hari lamanya. Mengambil peluang kehadiran Ustaz Fadzil Noor, Zul pun bertanya, “Ustaz, FIS di Algeria dah diharamkan selepas menang pilihan raya pusingan pertama kebangsaan pada 21 Disember 1991. Di Asia Barat, secara umumnya Ikhwan Muslimin menghadapi tekanan oleh rejim yang pro-Amerika Syarikat. Jami’at Islami di Pakistan pula turut kena tempiasnya apabila rusuhan dan perobohan Masjid Babri di India. Boleh ana tahu pendirian PAS dalam isu perobohan Masjid Babri? Apa yang PAS dah buat untuk bantah tindakan tu?”.

Soalan yang tajam daripada seorang anak muda yang sentiasa berkobar-kobar semangatnya. Oleh kerana Zul datang bersama rakannya yang merupakan Arab Libya, Ustaz Fadzil Noor menjawab dalam Bahasa Arab dengan penjelasan yang panjang lebar. Beliau menjelaskan pendirian PAS yang menolak sekeras-kerasnya perobohan masjid Babri dan memaklumkan bahawa PAS telah menghantar memorandum bantahan ke Kedutaan India di Malaysia. “Ana sendiri bersama pimpinan PAS Pusat, menghantar memorandum tu. Kita nak habaq[8] kepada India bahawa PAS selaku gerakan Islam di Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tak bertamadun lagu[9] tu!” Begitulah tegasnya Ustaz Fadzil Noor apabila ditanya berkenaan isu Masjid Babri[10].

Hubungan Malaysia dan Arab Saudi pada era Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad adalah amat erat. Sejurus selepas dilantik sebagai Perdana Menteri, beliau bersama-sama Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah; Menteri Perdagangan dan Industri, Tengku Ahmad Rithaudden; dan Menteri Luar, Tan Sri Ghazali Shafiee mengadakan kunjungan rasmi Bahrain, Oman, Emiriah Arab Bersatu dan Arab Saudi.  Kunjungan itu dan beberapa lawatan kerja susulan, berjaya memperkukuh ekonomi dan perdagangan kedua-dua buah negara dengan pelbagai bentuk kerjasama termasuk kelulusan pinjaman daripada Saudi Fund bernilai $252.2 milion sehingga tahun 1984.  Pada awal 1990-an di mana Malaysia dan Arab Saudi ada rancangan untuk menandatangani perjanjian Avoidance of Double Taxation Agreement 1993, Dr. Mahathir telah melakukan kunjungan ke Madinah.

“Doh enta sempat dop salam dengan die?”, tanya Zaini dengan penuh teruja sambil mengunyah syawarma. Zul menggelengkan kepala dan tergelak kecil, “Dop dang. Ana tengok dari jauh je. Dop menasaboh ana nok tepik panggil name die. Rama do’oh polis. Hehe…Tapi Ni, satu hari nanti aku akan sapa di pejabat die, insya-Allah…”.

Sempat berada pada zaman Tun sebagai Perdana Menteri dan saya sebagai Mufti Wilayah Persekutuan. Pertemuan berkala kami di pejabatnya untuk membincangkan isu semasa Islam dan fatwa

___________________

[1] Ikuti rakaman audio viva di https://www.youtube.com/watch?v=WwimruuEdWg

[2] Peperiksaan

[3] Pernah

[4] Pesan

[5] Lihat Badai’ al-Sanai’ fi Tartib al-Syarai’, 2/28, al-Mudawwanah al-Kubra, 1/256; Mughni al-Muhtaj, 1/518-519; al-Mughni, 1/88; al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 30/146

[6] Semakin

[7] Berterabur, tidak terurus

[8] Maklumkan

[9] Seperti

[10] Alhamdulillah, tanpa disangka-sangka pada tahun 2019, perancang utama yang meruntuhkan kubah Masjid Babri telah memeluk Islam dan datang ke Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Ketika itu saya menjawat jawatan sebagai Mufti Wilayah Persekutuan. Lawatan itu adalah rentetan daripada permintaan saya kepada Dr. Kalim Siddiqi pada tahun 2018 untuk membawa individu tersebut bertemu saya. Sejujurnya, saya melihat individu tersebut berubah sepenuhnya menjadi Muslim yang baik dan taat kepada syeikhnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *