“Hadirin yang dirahmati Allah SWT. Islam pun mula berkembang di Madinah di tahun tersebut. Seperti yang dijanjikan, sekumpulan orang Ansar pun tiba seramai dua belas orang naqib bertemu di Al-‘Aqabah. Pertemuan ini dikenal dengan ‘Aqabah Pertama (al-‘Aqabah al-Ula)…”
Syeikh Dr. Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buti pada malam itu sedang mengajarkan Fiqh al-Sirah yang disusunnya sendiri. Kitab tersebut mula diterbitkan pada tahun 1977 dan telah diterjemah ke dalam puluhan bahasa. Zul mengenali kitab tersebut sejak di peringkat Thanawi di SMAASZA dan peluang untuk bertalaqqi dengan penulisnya, sudah pasti tidak akan disia-siakan. Sahabat-sahabat Zul daripada Halab, Salqin yang mengunjungi Damsyik, biasanya tidak akan melepaskan peluang untuk mengikuti pengajian dengannya. Bahkan, pelbagai bangsa dalam kalangan Arab dan bukan Arab sentiasa memenuhi pengajiannya.
“Dakwah yang kita fahami dalam sirah Nabi, ada ditunjukkan contohnya oleh ulama ulung kita di bumi Syam, Syeikh Badruddin al-Hasani. Pada suatu ketika pernah Syeikh Badruddin al-Hasani di beri hadiah daripada kerajaan Uthmaniyyah, Turki pada masa itu. Kemudian, beliau mengagihkan duit yang di letakkannya ke dalam uncang-uncang melalui murid-muridnya supaya di hantar kepada pelacur-pelacur.”
Tutur katanya yang jelas, indah dan fasih, menjadi faktor utama tarikan orang ramai kepada kuliahnya. Setelah membetulkan mikrofon, beliau menyambung semula kisah tersebut. “Syeikh Badruddin al-Hasani sempat berpesan kepada murid-muridnya supaya menyampaikan salam daripadanya dan meminta kepada mereka (para pelacur) agar mendoakan syeikh selamat di dunia dan di akhirat. Semua pelacur apabila mendengar permintaan Syeikh Badruddin, masing-masing menepuk dahinya seraya berkata, ‘Syeikh dengan sifat warak, zuhud dan kaki ibadat masih mengharapkan doa daripada kami! Lantas mereka semua bertaubat dan menjadi wanita solehah.”. Zul mencatat kisah itu dengan penuh teliti. Suasana Masjid Tenkiz yang padat dengan orang ramai, sedikit pun tidak menganggu tumpuan Zul kepada pengajian Syeikh al-Buti. Beliau seolah-olah tenggelam dalam perbahasan sirah yang amat mendalam, namun membumi dengan realiti. Itulah keunikan olahan Syeikh al-Buti.
“Ana bace lame doh kitab ning, Li. Dari jamang Thanawi lagi. Masa ana di Madinah dulu, kalua de pesta buku, kitab Syeikh wojik ade. Rugi kalu kite ade sini, dop ambik ilmu dari Syeikh!”, kata Zul kepada Azli. Ketika itu, Zul baharu mendapatkan sebuah basikal dan ia memudahkannya untuk bergerak ke mana-mana khususnya majlis ilmu.
********************
Dr. Syeikh Muhammad Ramadan al-Buti berasal daripada perkampungan Jilka, Kepulauan Butan, satu wilayah Anatolia, yang kini terletak di bawah negara Turki pada tahun 1929. Selepas empat tahun berada di sana, bapanya berhijrah dan membawanya menetap di kota Damsyik. Bapanya tidak selesa dengan pemerintahan Turki pada ketika itu, Mustafa Kamal Ataturk yang baru sahaja menjatuhkan kerajaan Uthmaniyyah ketika itu.
Ibu beliau meninggal dunia ketika usianya 13 tahun dan bapanya berkahwin dengan seorang wanita berbangsa Turki. Dengan sebab itu, tidaklah pelik jika sekiranya Syeikh al-Buti dapat menguasai Bahasa Turki, Bahasa Kurdi yang merupakan bahasa ibundanya dan bahasa Arab. Di katakan juga, Syeikh juga mampu berucap dalam Bahasa Inggeris. Bapanya merupakan seorang yang alim, zuhud, warak, soleh dan begitu berpegang teguh dengan Islam.
Pada peringkat permulaannya, bapanya sendiri mengajar anaknya dan kemudian semasa berada di Damsyiq, beliau telah berkenalan dan menemui ramai tokoh-tokoh yang hebat antaranya Al-Allamah Syeikh Hasan Habannakah al-Maidani, seorang ulama dan mujahid bermazhab Syafie yang cukup terkenal dengan kealiman dan keberaniannya. Pada tahun 1953, Syeikh al-Buti menamatkan pengajian menengahnya di Maahad at-Tawjih al-Islami yang diuruskan oleh Syeikh Hasan Habannakah.
Pernah dalam satu kuliah Syeikh al-Buti mengisahkan kepada semua hadirin, tatkala kumpulan pertama pelajar Syeikh Hasan Habannakah dihantar untuk melanjutkan pengajian di Universiti al-Azhar, Syeikhul Azhar Syeikh Muhammad al-Khidr Husain mengutuskan surat kepada Syeikh Hasan Habannakah. Antara isi suratnya menyatakan: “Sesungguhnya kamu menghantar kepada kami para tuan guru dan bukan menghantar kepada kami para pelajar.” Begitulah hebatnya Syeikh Hasan Habannakah dan para pelajar di bawah asuhannya sehingga mengagumkan Syeikhul Azhar.
Syeikh al-Buti memasuki Fakulti Bahasa Arab di Universiti al-Azhar dan telah memperolehi Diploma pendidikan pada akhir tahun yang sama. Seterusnya, Syeikh meneruskan pengajian peringkat Doktor Falsafah di Universiti al-Azhar dan berjaya memperolehnya pada tahun 1965.
*******************
Pada satu pagi, Zul berbual-bual dengan Syeikh Taufiq Ramadhan al-Buti, anak Syeikh. Angin iklim Mediterranean dengan musim sejuk barat mula bertiup. Pipi Zul terasa dipukul lembut angin yang mendingin. Di tangannya ada di Kubra al-Yaqiniyyat al-Kauniyyah, sebuah kitab akidah karangan Syeikh al-Buti.
“Syeikh Taufiq. Bagaimana sebenarnya watak ayahmu?”, Zul bertanya kepada Syeikh Taufiq. Kedua-duanya saling mengenali kerana sering bertemu dalam kuliah Syeikh al-Buti.
“Ayahku mempunyai sebuah bilik yang sentiasa beliau berada di situ. Tidak aku menemuinya kecuali beliau dalam keadaan mentelaah ilmu, menulis dan mengkarya atau solat dan zikrullah. Jarang sekali aku mendapati beliau tidur….”, jawab Syeikh Taufiq yang menceritakannya dengan begitu bersungguh-sungguh.
“Satu hari nanti, aku berhasrat untuk bawa ayahmu ke Malaysia. Aku akan jadi penterjemahnya. Orang Malaysia perlu diperkenalkan dengan ulama’ yang hebat sebegini.”, kata Zul kepada Syeikh Taufiq. Syeikh Taufiq mengangguk dan tersenyum gembira dengan semangat anak muda ini.
********************
Zul membelek-belek kitab Hikam yang dipelajarinya bersama Syeikh al-Buti. Seakan-akan ada satu kuasa yang menariknya untuk terus menelaah hikmah demi hikmah yang dicatatnya dalam pengajian Hikam Ibn Ata’iIlah al-Sakandari yang disampaikan Syeikh. Kupasan tasawwuf Syeikh al-Buti melalui Syarah Hikamnya membawa Zul mengenali Ibn ‘Ajibah, Syeikh Zarruq, Abi Madyan, dan ulama’ moden yang mensyarahkannya seperti Syeikh al-Syarnubi. Tak dilupakan, Syarah Hikam Tokku Pulau Manis yang mula dikenalinya semasa di SMASZA.
Pertama kali Syeikh al-Buti mengadakan pengajian Hikam Ibn Ata’illah al-Sakandari di Masjid al-Senjikdar pada tahun 1974. Kemudian pengajian Hikam berpindah ke Masjid Tenkiz semasa Zul berada di Damsyik. Dalam salah satu pengajiannya, Syeikh bercerita pernah penulisan Syarah Hikamnya tersekat kerana beliau tidak dapat memahami satu hikmah yang dinyatakan oleh Ibn Ata’iIlah al-Sakandari.
Proses penulisan syarah al-Hikam pun tertunda seketika. Beliau hampir putus asa. Di benaknya berbisik, “Mungkin hikmah ini terlalu tinggi maknanya, sehingga aku tidak mampu untuk memahaminya.”
Tidak lama kemudian, beliau mendapat undangan untuk menghadiri persidangan antarabangsa di Mesir. Semasa di sana, Syeikh mengambil kesempatan menziarahi makam Ibn Ata’illah al-Sakandari dan bermunajat. Setelah membaca beberapa surah al-Qur’an di makan Ibn Ata’illah al-Sakandari, beliau berdoa. Antara isi doanya adalah:
اللهم الهمني المعنى الذي أراده ابن عطاء الله بهذه الحكمة واكرمني بعلم من علمه حتى أدرك معنى هذه الحكمة
“Ya Allah, ilhamkan kepadaku makna yang dikehendaki oleh Ibn ‘Ataillah pada hikmah ini dan muliakanlah daku dengan ilmu daripada ilmu sehingga dapat aku memahami makna hikmah ini.”
Pulang sahaja ke Damsyik, Syeikh kembali menyambung penulisan syarah al-Hikam Ibn Ata’illah al-Sakandari yang terhenti. Dengan izin Allah, beliau dipermudahkan untuk menulis 10 mukasurat bermula pagi hingga petang.
********************
“Di sebuah taman terdapat banyaknya pohon kayu, ada yang besar dan ada yang kecil. Mereka bersuka ria. Tiba-tiba satu hari jatuh sebilah mata kapak menyebabkan semua pohon kayu menangis dan takut. Ini kerana sudah pasti mereka semua akan ditebang.
Akhirnya mereka bertemu dengan pohon yang paling tua dan mengadu hal tersebut. Lantas jawab pohon yang tua dan mempunyai banyak pengalaman hidup seraya berkata: Jangan takut dan jangan menangis. Sesungguhnya mata kapak tersebut tidak boleh menebang kamu selama mana kamu tidak memberi kepadanya dahan-dahan kamu untuk dijadikan hulu kapak.”
Kisah yang ringkas, disampaikan oleh Syeikh begitu menyentuh sanubari Zul. Inilah punca kepada segala permasalahan; perpaduan umat Islam yang rapuh. Segenap pelosok dunia Islam sedang berhadapan dengan masalah perpaduan. Itulah jua masalah yang sering diulang-ulang oleh Maulana Abu al-Hasan Ali al-Nadwi dalam karya-karyanya.
Sapaan Zulyadain menghilangkan lamunan Zul. “Ustaz Zul! Ana nak belajar Hikam dengan Ustaz Zul boleh…?