Kenanganku Bersama Syeikh Dr. Mustafa al-Khin

1
2250

Kebanyakan para ulama’ Syria dianugerahkan Allah SWT dengan kemahiran yang mendalam dalam fiqh dan usul fiqh. Zul memanfaatkan peluangnya sepanjang pengajian di Syria untuk menimba ilmu dengan beberapa orang ulama terkenal. Antara yang terawal adalah Syeikh Dr. Mustafa Sa’id al-Khin selaku penyelia tesis beliau.

Hampir setiap minggu, Zul akan ke rumah Syeikh untuk berbincang tentang perkembangan tesisnya. Jika boleh, Zul hendak menyelesaikannya secepat mungkin. Syeikh tidak banyak bercakap dan amat serius dengan kerjanya. Rumahnya dipenuhi dengan kitab-kitab, menggambarkan bahawa beliau sememangnya seorang pembaca yang tegar, pengkaji yang teliti dan ulama’ yang hebat. Dalam masa yang sama, beliau mempunyai hikmah yang amat tinggi hasil daripada pengalaman yang luas dan pergaulan bersama para ulama sejak kecil lagi. Bermula di Maahad Tawjiyyah al-Islami lagi ini, gurunya Syeikh Hassan Habannakah mengalakkan untuk menziarahi para ulamak seperti Syeikh Badruddin al-Hasani, Syeikh ‘Ali al-Daqqar, Syeikh Sa‘id al-Burhani, Syeikh Ibrahim al-Ghayalini, Syeikh ‘Abd al-Qadir al-Iskandari dan lain-lain. Ulama-ulama tersebut telah memberi kesan kepada pembentukan peribadi dan kerohanian jiwanya.

Syeikh ‘Ali al-Daqqar

Ada dikisahkan, antara guru yang memberi kesan dalam jiwanya adalah Syeikh ‘Ali al-Daqqar. Semasa kecil, beliau sering mengikuti halaqah yang dipimpin oleh Syeikh ‘Ali al-Daqqar di Jami’ al-Sadat. Disebabkan tempat tersebut jauh daripada rumahnya, beliau datang sebelum Subuh lagi. Jika terlewat, biasanya orang ramai yang memenuhi masjid sehinggalah ke jalan. Mereka yang hadir begitu menghayati kuliahnya sehingga ada yang menangis dengan penuh hiba. Setiap patah perkataannya seperti satu sihir yang memukau.

Muridnya pernah bertanya, “Aku mengajarkan pelbagai ilmu kepada orang ramai tetapi tidak aku temui hadirin yang betul-betul terkesan sebagaimana pengajianmu.” Syeikh menjawab, “Wahai anakku. Jika tidak ada apa-apa hajat, aku tidak akan khabarkan hal ini. Pengajian yang engkau dengar itu dikukuhkan dengan bacaan 10 juzuk al-Qur’an sebelum Subuh dengan niat moga-moga apa yang aku sampaikan, menjadi bermanfaat kepada umat Islam.”

Itulah kehebatan Syeikh ‘Ali al-Daqqar, antara ulama’ yang memberikan pengaruh yang besar kepada jiwa dan rohani Syeikh. Kisah itu membuatkan Zul berfikir panjang. Beliau pernah terbaca satu kisah bagaimana Hamdun bin Ahmad pernah, “Mengapa ucapan ulama Salaf lebih berguna dari ucapan kita?” Beliau menjawab, “Mereka berbicara untuk kemuliaan Islam, keselamatan diri dan keredhaan al-Rahman.”[1]

Diriwayatkan bahawa penyampai cerita yang tinggal dekat dengan Muhammad bin Wasi’ berkata, “Kenapa aku lihat hati manusia itu tidak khusyu, tidak berlinang air matanya dan kulitnya tidak bisa meremang (apabila mendengar ceritaku)?” Muhammad bin Wasi’ menjawab,“Wahai Fulan, ini kerana aku lihat mereka itu hanya mendapat cerita (kosong) daripadamu. Apabila kata-kata itu berhulu dari hati, nescaya ia akan sampai ke hati.”[2]

Beliau juga ada berkongsikan kisah pertemuan beliau dengan Maulana Abu al-Hasan ‘Ali al-Nadwi di rumah Syeikh Hasan Habannakah al-Maidani. Majlis tertutup dan jamuan tengahari itu cuma disertai beberapa rakan Syeikh Hasan Habannakah. Katanya, itulah majlis yang tidak akan dilupakan buat selama-lamanya. Beliau masih ingat setiap butir patah perkataan Maulana Abu al-Hasan ‘Ali al-Nadwi yang tidak tergambarkan dengan kata-kata akan keindahannya, penuh dengan jentikan kerohanian yang menyuburkan jiwa dan hati.

*********************

Sampai sahaja di rumah Syeikh, Zul meletakkan basikalnya di tepi pintu.  Zul memberi salam dan masuk ke dalam rumah Syeikh. Kelihatan ramai pemuda Arab berkumpul disekelilingnya. Ada seorang pemuda berkongsi sesama rakannya tentang konsep jihad dalam Islam.

Zul cuma memerhatikan sahaja perbualan mereka. Memang betul-betul bersemangat!

“Terdapat banyak ayat al-Quran yang memerintahkan umat Islam supaya berjihad, menggalakkan mereka berjihad serta menjelaskan kedudukan jihad dan kelebihan orang yang berjihad dan para syuhada Allah SWT. Begitu juga terdapat sunnah Nabi SAW untuk mendalami lagi tajuk ini, memberi galakan serta menjelaskan kelebihan dan kedudukan jihad di sisi Allah SWT, sebagaimana firman-Nya:

وَقاتِلُوا فِي سَبِيلِ اللهِ الَّذِينَ يُقاتِلُونَكُمْ وَلا تَعْتَدُوا إِنَّ اللهَ لا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

Maksudnya: Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan) kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh.[3]

Seorang lagi mencelah, “Jihad adalah menunaikan kewajipan yang difardhukan Allah sehingga terbebaslah seseorang itu daripada tanggungan yang mesti dipikul, untuk mendapat pahala yang besar dan kebahagiaan di akhirat yang telah dijanjikan Allah kepada orang yang berjihad. Aku betul-betul kagum dengan para mujahidin kita di luar sana. Jika diizinkan Allah, aku ingin turut serta!

Kebetulan Syeikh keluar dan terdengar perbualan mereka. Syeikh pun menyampuk, “Kamu datang ke rumah aku pun, mukhabarat (pengintip) sudah tahu.”. Kesemua pemuda Arab tadi terdiam menunduk. Ada yang tersenyum-senyum malu kerana teguran Syeikh. Disamping kehebatannya dalam ilmu fiqh dan usul fiqh, Syeikh adalah seorang ulama’ yang amat tegas dengan pemerintah dan cakna dengan isu perjuangan Islam samada di Syria, mahupun dunia Islam keseluruhannya.

Selesai perbincangan tesisnya, Zul mengambil kesempatan bertanya kepada gurunya tersebut. “Syeikh, jika ada peluang, apa lagi impian yang ingin Syeikh tunaikan?” Syeikh terdiam. Mungkin tidak menyangka, soalan tersebut datang daripada muridnya, seorang budak kampung daripada Kuala Terengganu. Beliau merenung lama ke arah rak kitabnya dan kemudian bersuara, “Aku ingin menulis biografi dan pendirian-pendirian guruku, Syeikh Hasan Habannakah berkenaan pelbagai isu. Aku tidak pasti samada aku ada masa untuk itu atau tidak.”

Syeikh kemudian berpaling kepada Zul dan bertanya, “Zulkifli. Malaysia itu, bagaimana suasananya? Cantikkah? Jika ada peluang, aku ingin ke sana.” Zul tersenyum dan menceritakan secara ringkas tentang Malaysia. Syeikh begitu teruja mendengar gambaran Zul tentang Malaysia.

___________________

[1] Sifat al-Safwah, 2/313-314.

[2] Syiar A’lam an-Nubala’, 6/122

[3]  Surah al-Baqarah: 190

Artikel sebelum iniChapter 20: Halaqah at Nabawi Mosque
Artikel seterusnyaChapter 21: Precious Memories
Berkelulusan PhD dengan pengkhususan dalam bidang fatwa di USM, beliau juga merupakan Ahli Dewan Negara, Anggota The Muslim Council of Elders (UAE), Anggota The Assembly of Muslim Jurists of America (USA), mantan Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) dan mantan Mufti Wilayah Persekutuan. Antara guru beliau sepanjang pengajian di peringkat BA (Madinah) dan MA (Syria) adalah Syeikh Dr. Muhammad Sa'id Ramadhan al-Buti, Syeikh Muhammad 'Ali Thani, Syeikh Rushdi Qalam, Syeikh Dr. Muhammad Abdullatif Soleh al-Farfour, Syeikh Dr. Muhammad bin Muhammad al-Mukhtar al-Syinqiti, Syeikh Dr. Muhsin al-'Abbad dan ramai lagi.

1 komen

Leave a Reply to Aliana Membatalkan balasan

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini