Bab 54: Kenanganku bersama Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili

BAB 54

“Soalan ni saya tujukan kepada Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri. Saya ingin bertanya tentang keperluan taqnin al-ahkam dalam Islam. Adakah ia satu tuntutan yang penting, atau tidak?”

Zulkifli berpaling ke sebelah kanannya. Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili di sebelahnya. Kedua-duanya sepentas dalam satu program anjuran Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM sempena kehadiran tokoh besar tersebut ke Malaysia.

“Ana rasa kurang sesuai ana jawab soalan ini bila ada tuan guru yang lagi utama untuk jawab.” Kata beliau ringkas. Zulkifli kemudiannya menterjemahkan soalan tersebut ke dalam Bahasa Arab dan bertanyakan kepada Syeikh.

Syeikh mencapai mikrofon dan mula menjawab. “Secara bahasa, kata taqnin (تقنين) merupakan bentuk masdar dari qannana, yang bererti membentuk undang-undang. Taqnin al-ahkam bererti mengumpulkan hukum-hukum dan kaedah-kaidah penetapan hukum (tasyri’) yang berkaitan dengan masalah hubungan sosial, menyusunnya, serta menzahirkannya dengan perkataan yang tegas, ringkas, dan jelas kemudian menetapkannya sebagai undang-undang, disahkan oleh pemerintah, sehingga wajib untuk pihak berautoriti menerapkannya masyarakat…”

Suasana Dewan Kuliah Pusat 3 sunyi. Semua audien memberi tumpuan kepada setiap patah perkataan yang disampaikan oleh tokoh ulama’ fiqh dan tafsir ini.

********************

Syeikh Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili dilahirkan di Syam. Sejarah membuktikan ramai tokoh terbilang lahir di negeri Syam sejak zaman berzaman. Beliau dilahirkan pada 6 Mac 1932 di perkampungan Dir ‘Atiyah, satu kawasan di Qalmun daerah al-Nabk, pinggir Kota Damsyik. Beliau diberi nama Wahbah Mustafa al-Zuhaili dan digelar Abu ‘Ubadah kerana salah seorang anaknya bernama ‘Ubadah. Ayahnya, al-Haj Mustafa al-Zuhaili merupakan seorang peniaga dan peladang, yang hafiz al-Quran, banyak beribadat dan memelihara solat jemaah di masjid. Ibunya Hajjah Fatimah binti Mustafa Sa’adah terkenal dengan sifat warak dan solehah.

Beliau mendapat pendidikan awal sejak kecil daripada kedua ibu bapanya disamping pengajian sekolah rendah di kampungnya sebelum berpindah ke Damsyik atas saranan ibunya. Beliau menyambung pengajian peringkat menengah di Damsyik sehingga tamat pengajiannya di Kuliah Syariah pada 1952.

Di Mesir, beliau belajar di Universiti al-Azhar dalam dua fakulti iaitu Kuliah Syari’ah dan Kuliah Bahasa Arab. Dalam masa yang sama, beliau juga merupakan pelajar Kuliah Undang-undang di Universiti ‘Ain Syams.  Seterusnya beliau meneruskan pengajiannya pada peringkat Sarjana dan pada 1959 dengan tajuk tesisnya al-Zara’i fi al-Siyasah al-Syar’iyyah wa al-Fiqh al-Islami. Tesis Doktor Falsafah beliau pada 1963 yang bertajuk Athar al-Harb fi al-Fiqh al-Islami: Dirasah Muqarin seliaan Dr. Muhammad Sallam Madkur mendapat martabah Syaraf Ula dan pujian ramai para ulama’ serta ahli akademik.

Antara guru-gurunya adalah Syeikh Muhammad Hashim al-Khatib al-Syafie, seorang khatib di Masjid Umawi yang masyhur dan Syeikh Abdul Razaq al-Hamasi. Beliau mempelajari Fiqh dengan kedua-dua ulama ini. Dalam bidang Hadith, gurunya adalah Syeikh Mahmud Yassin manakala bagi ilmu Faraid dan Wakaf, gurunya adalah Syeikh Judat al-Mardini dan Syeikh    Hassan al-Shati.  Antara yang membentuk pemikirannya dalam ilmu Tafsir adalah Syeikh Hassan Habnakah al-Midani. Beliau mempelajari Kesusasteraan Arab daripada Syeikh Muhammad Soleh al-Farfour, ilmu Usul Fiqh dan Mustalah Hadith daripada Syeikh Muhammad Lutfi al-Fayoumi dan ilmu Akidah daripada Syeikh Mahmoud al-Rankusi.

Di Mesir, beliau berguru dengan ramai para ulama’ antaranya Syeikh Muhammad Abu Zuhrah, Syeikh Mahmud Syaltut, Syeikh Abd al-Rahman Taj, Syeikh ‘Abd al-Ghani ‘Abd al-Khaliq. Beliau juga amat terkesan dengan buku-buku tulisan ‘Abd al-Rahman Azam seperti al-Risalah al-Khalidah dan buku karangan Maulana Abu Hassan ‘Ali al-Nadwi berjudul Maza Khasira al-‘alam bi Inhitat al-Muslimin.

Zulkifli mengimbau kembali memorinya dalam pengajian Hikam bersama Syeikh Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buti. Pada masa itu, Syeikh ada menceritakan pengalamannya bersama sahabatnya itu.

“Semasa usiaku masih muda, aku kenal Wahbah melalui dua perkara sahaja iaitu pemakaian serban putih. Itu agak janggal di Mesir pada masa itu. Selain itu,  cara berjalannya sentiasa pantas.”

“Aku mengenali abangku sebagai seorang yang mempunyai disiplin yang tinggi. Beliau amat menjaga masa. Kerana itulah beliau dapat mengarang buku-buku dengan banyak terutama mengarang pada waktu subuh…” Itulah kata-kata Syeikh Dr. Muhammad al-Zuhaili, apabila Zulkifli bertanya tentang peribadi abangnya kepadanya.

********************

Sejak kecil, bapaku memanggilku Syeikhul Islam.”, katanya sambil tersenyum. Beliau merenung tepat ke wajah Zulkifli dan menyambung kata-katanya. “Mungkin gelaran itu satu doa, dan ia memberikanku motivasi untuk berjaya.”

Syeikh ada di Malaysia pada tempoh masa yang agak lama kerana beberapa program yang telah disusun, termasuk penganugerahan Tokoh Maal Hijrah peringkat antarabangsa yang disampaikan oleh Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Al-Mu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah. Turut menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah peringkat kebangsaan adalah Sahibus Samahah Tan Sri Harussani, Mufti Perak. Kedua-dua tokoh tersebut menerima hadiah wang tunai RM100,000 termasuk wang tunai RM20,000 sumbangan Yayasan Ubaidi, pingat dan plak.

Ketika ditemubual wartawan, Syeikh berkata, “Bukan nilai wang menjadi ukuran tetapi apa yang lebih penting ialah menerusi penganugerahan itu secara tidak langsung menunjukkan sumbangan besar Malaysia dalam membantu melahirkan generasi muda Islam sejati di Syria.” Begitu besarnya jiwa beliau, wang tunai yang dianugerahkan akan disalurkan ke sebuah sekolah miliknya di Syria.

Zulkifli menyambut Syeikh di pintu keluar dan membawanya terus pulang ke hotel selepas majlis selesai. Pada petang itu, Zulkifli menjemput Syeikh untuk ke rumahnya bagi menikmati jamuan tengahari. Banyak perkara yang mereka bualkan. Bermula daripada kehidupan seharian, keluarga, sehinggalah isu-isu semasa umat Islam.

“Kalau Syeikh nak tahu, saya pernah ada pengalaman dirompak beberapa tahun lepas. Perompok pecah masuk rumah saya, ambil wang, barang kemas dan kereta. Pisau tidak sampai seinci daripada leher saya.” Zulkifli berkongsi pengalamannya kepada Syeikh. Wajah Syeikh terus berubah. Matanya terbeliak, menzahirkan kejutan yang amat sangat. Syeikh lantas memotong kata-kata Zulkifli. “Bagaimana anak isterimu? Semuanya selamat?”

Zulkifli tersenyum dan berkata, “Alhamdulillah, semuanya selamat dengan izin Allah SWT…”

Zulkifli meneguk baki air kopi di dalam cawannya dan menyambung perbualan. “Dalam satu majlis, saya pernah ditanya: ‘Apakah Syeikh Wahbah itu bertarekat?’. “Jadi, apa jawapanmu?”, tanya Syeikh dengan penuh minat. Beliau ketawa dan tersenyum.

“Saya jawab, Syeikh Wahbah al-Zuhaili bertarekat dengan tarekat Muhammadi!”, jawab Zulkifli. Syeikh ketawa kecil dan mengangguk tanda setuju. Tarekat Muhammadi yang dimaksudkan Zulkifli adalah amalan-amalan kerohanian, zikir dan mencontohi seluruh kehidupan Baginda SAW.

Syeikh memegang tangan Zulkifli dan bertanya, “Apa pandanganmu kalau aku hendak hadiahkan kitabku al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh kepada Perdana Menteri Malaysia? Dalam jadual, ada diaturkan pertemuan dengannya.”

“Cadangan yang baik, Syeikh. Cuma saya sarankan untuk dihadiahkan terjemahan Bahasa Melayu bagi kitab tersebut. Itu lebih bermanfaat untuk beliau. Insya-Allah, saya usahakan untuk dapatkan terjemahannya.”, ujar Zulkifli kepada gurunya.

Peluang keemasan bersama gurunya itu tidak akan dilepaskan walau sedikit untuk bertanya pelbagai soalan. Syeikh pula begitu ramah melayan setiap pertanyaan muridnya ini. Sebelum pulang, Zulkifli bertanya soalan terakhir.

“Apa harapan Syeikh dalam isu Palestin – Israel?”

Matanya berkaca, kelihatan riak mukanya berubah dan memerah. Nafasnya berombak. Beliau kemudiannya bersuara. “Sebelum aku meninggal dunia, aku berharap agar aku dapat sujud, mencecahkan dahiku di Masjid al-Aqsa yang mulia, dengan bebas..”

__________________

[1] Ikuti syarahannya di sini https://www.youtube.com/watch?v=MV3G5xoyeNY

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *