SOALAN
Apa hukumnya makan daging stik yang masih ada darah?
JAWAPAN
Di sisi ulama Syafi’iyyah, ada dua pendapat yang dinyatakan. Imam al-Nawawi dan Imam al-Subki menghukumkannya sebagai suci. Manakala pandangan sebahagian ulama’ Syafi’iyyah lain adalah ia najis yang dimaafkan iaitu halal memakannya. Tetapi jika bercampur dengan suatu yang asing seperti dijirus air, maka darah yang terdapat pada daging itu tidak lagi murni maka hukumnya najis yang tidak dimaafkan. Inilah yang muktamad dalam mazhab. Adapun, jika dihidangkan lauk daging yang tidak dipastikan bercampur darah atau tidak kerana tidak nampak dan sebagainya, maka kekal hukum suci.[1]
Firman Allah SWT:
قُلْ لَا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَى طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَنْ يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنْزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَإِنَّ رَبَّكَ غَفُورٌ رَحِيمٌ
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor – atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah”. Kemudian sesiapa yang terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhan mu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”[2]
Menurut Imam al-Baghawi, (دَمًا مَسْفُوحًا) adalah darah yang mengalir dan mencurah. Beliau membawa pandangan Ibn ‘Abbas yang mendefinisikan darah yang mengalir itu sebagai darah yang keluar daripada haiwan yang hidup, memiliki roh dan keluarnya daripada urat ketika penyembelihan. Ini tidak termasuk hati dan limpa, kerana keduanya darah beku (tidak mengalir), dan halalnya kedua-dua organ itu. Tidak haram juga daging yang bercampur dengan darah kerana ia tidak mengalir.
Imam al-Baghawi juga membawakan kenyataan ‘Imran bin Hudair yang berkata, “Aku bertanya Abu Mijlaz tentang daging yang bercampur dengan darah, atau dalam periuk yang terdapat dalamnya merah-merah darah.” Maka beliau jawab, “Tidak mengapa, darah yang diharamkan hanyalah darah yang mengalir.” Ibrahim juga berkata, “Tidak mengapa darah yang berada pada urat dan otak, melainkan darah yang mengalir yang disengajakan.” Ikrimah berkata, “Jikalau tidak kerana adanya ayat ini, nescaya orang Islam akan mencari-cari darah pada urat (bersusah-susah untuk buang) kerana mengikut amalan Yahudi.”[3]
Undang-undang diet pemakanan Yahudi yang dipanggil kashrut mewajibkan untuk daging yang dimakan, tidak mempunyai sebarang darah. Jika tidak, daging itu dianggap tidak kosher (halal). Daging yang ada darah akan melalui proses penggaraman (salting) atau pemanggangan (broiling) bagi menghilangkan darah pada daging. Proses ini dipanggil koshering. Alhamdulillah, syariat Islam tidaklah serumit ini.
Kesimpulannya, berdasarkan pendapat Imam al-Nawawi dan Imam al-Subki, saya berpandangan daging stik yang masih kelihatan merah samada dimasak rare, medium rare, medium dan medium well, begitu juga daging ayam yang ada sedikit kesan darah di uratnya atau tulang, adalah halal dan suci. Saya juga ingin menasihatkan untuk merujuk pakar perubatan dan pakar kesihatan bagi mengelakkan pengambilan dalam had yang berlebihan kerana ia mungkin mengganggu kesihatan. Wallahu a’lam.
[1] Iʿanat al-Ṭālibīn, 1/100
[2] Surah al-An’am: 145
[3] Tafsīr al-Baghāwī, 3/198
Barakallahu feekum ustaz