Mukadimah
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Di sesebuah negara yang kaya dengan landskap sosio-politik seperti Malaysia ini, pelbagai isu yang menyentuh sensitiviti masyarakat umum wajar dibincangkan dengan teliti oleh para ahli akademik dan sarjana agar masyarakat dapat mencerna suatu permasalahan itu dengan lebih sempurna. Antara isu yang paling besar apabila ia melibatkan sensitiviti agama dan kepercayaan, ekoran Malaysia yang sememangnya dikenali sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, serta Islam sebagai agama persekutuan.
Hormat-menghormati antara setiap bangsa dan agama perlu sering diterapkan agar Malaysia kekal aman dan damai. Al-Quran mengajarkan kita untuk kekal berinteraksi dengan masyarakat bukan Muslim dengan cara yang baik, sama ada dengan perkataan atau perbuatan, selama mana mereka tidak menzahirkan penentangan terhadap kesucian Islam. Firman Allah SWT:
لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ
Maksudnya: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”
(Surah al-Mumtahanah: 8)
Bahkan perundangan Islam telah mendahului segala perundangan di muka bumi ini, apabila datangnya satu ayat yang menjadi asas dalam perhubungan antarabangsa yang pastinya wujud perbezaan dalam pegangan agama. Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).”
(Surah al-Hujurat: 13)
Meneliti hantaran tentang isu ucapan ‘Kafir’ oleh dua sahabat baik kami, Sahibus Samahah Profesor Madya Datuk Dr. Luqman bin ‘Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan; dan Sahibus Samahah Profesor Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin, Mufti Perlis, hakikatnya kedua-dua mereka menekankan hal yang sama dan wajar dimuhasabah oleh semua lapisan masyarakat. Noktah penting yang ditekankan adalah, tidak menggunakan ucapan ‘Kafir’ ini dalam interaksi antara orang Islam dan bukan Muslim bagi memastikan keharmonian sejagat antara bangsa berbilang agama ini kekal terjamin. Sebaliknya, penggunaan yang tepat bagi ucapan ini mengikut neraca al-Quran dalam konteks membezakan akidah kepercayaan sahaja.
Bertitik-tolak dari perbincangan ini, kami cuba menyediakan kajian ini bagi mencari jalan tengah yang mampu menyelesaikan kemelut yang boleh mensia-siakan pahala Ramadhan umat Islam. Semoga ia dapat dijadikan sebagai panduan oleh pihak berwajib bagi mengelakkan sebarang isu-isu melibatkan akidah, seterusnya mengukuhkan lagi pasak keimanan di dalam hati umat Islam di Malaysia. Kami menadah tangan dan berdoa:
أَصْبَحْنَا عَلَى فِطْرَةِ الْإِسْلَامِ وَكَلِمَةِ الْإِخْلَاصِ وَسُنَّةِ نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَمِلَّةِ أَبِينَا إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا مُسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنْ الْمُشْرِكِين
Maksudnya: “Kami hayati pagi ini di atas landasan fitrah dan perwatakan Islam, berpegang kepada kalimah ikhlas (kalimah syahadah), dan berpegang kepada agama Nabi kami Muhammad SAW yang juga agama ayah kami Ibrahim, yang berada di atas jalan yang lurus, muslim dan tidak tergolong dari kalangan orang-orang musyrik.”
Kufur dan Pembahagiannya
Perkataan al-Kufr (الكُفْرُ) dari segi bahasa merujuk kepada menutup dan menyembunyikan. Ibn Faris menyebutkan, huruf Kaf, Fa’, dan Ra’ adalah asas binaan kalimah yang asal yang merujuk kepada satu makna, iaitu menutup dan menyembunyikan. Dikatakan kepada seseorang yang menutup baju besinya dengan kain: “قد كَفَرَ دِرْعَهُ” (Dia telah menutup baju besinya). Manakala perkataan al-Mukaffir (المكَفِّرُ) adalah: lelaki yang menyembunyikan senjatanya. Selain itu, dikatakan juga petani sebagai kafir (كَافِرٌ) kerana dia menutup atau menyembunyikan biji benih dengan tanah. Ini adalah sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Hadid ayat 20:
أَعْجَبَ الْكُفَّارَ نَبَاتُهُ
Maksudnya: “Para petani berasa takjub dengan hasil yang tumbuh daripadanya.” (Lihat Maqayis al-Lughah, 5/191).
Al-Azhari menyebutkan, kaffarat (الكَفَّارَاتُ) dinamakan sebagai kaffarat kerana ia menghapuskan dosa-dosa, iaitu menutupinya, seperti kaffarah sumpah, kaffarah zihar, dan pembunuhan tidak sengaja. (Lihat Tahzib al-Lughah, 10/114).
Selain daripada itu, kufur adalah lawan kepada iman, dan makna ini diambil daripada (makna asalnya) menutup dan menyembunyikan. Ini adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibn Faris bahawa kufur adalah lawan kepada iman. Ia dinamakan sedemikian kerana ia menyembunyikan kebenaran. (Lihat Maqayis al-Lughah, 5/191). Begitu juga Ibn Manzur turut menyatakan bahawa kufur adalah lawan kepada iman. (Lihat Lisan al-‘Arab, 5/144).
Hal ini kerana iman dan kufur adalah dua perkara yang berlawanan. Iman adalah pegangan iktikad yang mutlak (bersungguh-sungguh dan yakin) bahawa Allah SWT adalah Pemilik, Pencipta dan Tuhan sekalian alam, manakala kufur pula adalah menolak kebenaran Islam selepas menganutnya. (Lihat al-‘Aqidah al-Islamiyyah wa Ususuha oleh ‘Abd al-Rahman Hasan Habannakah, hlm. 615).
Justeru, berdasarkan kepada maknanya ini dari sudut bahasa, firman Allah SWT:
فَمَن يَكْفُرْ بِٱلطَّـٰغُوتِ وَيُؤْمِنۢ بِٱللَّهِ فَقَدِ ٱسْتَمْسَكَ بِٱلْعُرْوَةِ ٱلْوُثْقَىٰ لَا ٱنفِصَامَ لَهَا
Maksudnya: “Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan taghut, dan dia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus.”
(Surah al-Baqarah: 256)
Dalam ayat di atas, kufur kepada taghut adalah dengan mengingkari dan menolaknya, serta menjauhkan diri daripadanya. (Lihat al-Asas fi al-Tafsir oleh Sa‘id Hawwa, 1/600). Manakala Ibn Kathir pula menyatakan, maknanya adalah seseorang yang meninggalkan sekutu-sekutu dan berhala-berhala, serta segala apa yang diseru kepadanya oleh syaitan berupa peribadatan kepada selain Allah. Pada masa yang sama, dia mengesakan Allah dan melakukan ibadah hanya kepada-Nya serta bersaksi bahawa tidak ada tuhan melainkan Dia (Allah SWT). (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/683).
Selain itu, kufur juga merujuk kepada ingkar, dan makna ini juga diambil daripada (makna asalnya) menutup dan menyembunyikan. Ini adalah seperti yang dinyatakan oleh Ibn Faris bahawa kufur nikmat bermaksud: Ingkar terhadapnya dan menyembunyikannya. (Lihat Maqayis al-Lughah, 5/191). Begitu juga Ibn Manzur ada menyatakan, kufur bermaksud ingkar terhadap nikmat dan ia adalah lawan kepada bersyukur. Ini adalah seperti mana firman Allah SWT dalam surah al-Qasas ayat 48:
إِنَّا بِكُلٍّ كَافِرُونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya kami kufur ingkar terhadap Kitab-kitab itu semuanya!”
Perkataan kafirun “كَافِرُونَ” dalam ayat di atas bermaksud jahidun “جَاحِدُونَ” iaitu orang yang mengingkari. (Lihat Lisan al-‘Arab, 5/144).
Justeru, berdasarkan kepada makna ini, firman Allah SWT:
فَاذْكُرُونِي أَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوا لِي وَلَا تَكْفُرُونِ
Maksudnya: “Oleh itu ingatlah kamu kepada-Ku (dengan mematuhi hukum dan undang-undang-Ku), supaya Aku membalasmu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur (akan nikmat-Ku).”
(Surah al-Baqarah: 152)
Al-Qurtubi menafsirkannya dengan menyatakan bahawa iaitu, “Janganlah kamu mengingkari nikmat-Ku dan juga pertolongan-Ku,” maka di sini kufur bermaksud menutupi nikmat, bukan menolak atau mendustakannya. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 2/171).
Firman Allah SWT:
وَضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا قَرْيَةً كَانَتْ آمِنَةً مُّطْمَئِنَّةً يَأْتِيهَا رِزْقُهَا رَغَدًا مِّن كُلِّ مَكَانٍ فَكَفَرَتْ بِأَنْعُمِ اللَّهِ
Maksudnya: “Dan (berhubung dengan hal kaum yang kufur ingkar) Allah memberikan satu contoh: Sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah dari tiap-tiap tempat, kemudian penduduknya kufur akan nikmat-nikmat Allah itu.”
(Surah al-Nahl: 112)
Ayat di atas bermaksud, mereka menolak dan ingkar terhadap nikmat-nikmat Allah yang diberikan kepada mereka. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/608). Maka mereka membalas nikmat tersebut dengan ingkar sebagai ganti bersyukur, dan dengan kemaksiatan sebagai ganti kepada ketaatan. (Lihat Tafsir al-Wasit, 5/688).
Dalam ayat yang lain, dinyatakan mengenai khutbah Iblis di dalam neraka:
إِنِّي كَفَرْتُ بِمَا أَشْرَكْتُمُونِ مِن قَبْلُ
Maksudnya: “Aku tidak pernah bersetuju dengan perbuatan kamu yang menjadikan aku sekutu bagi Allah semasa di dunia dahulu.”
(Surah Ibrahim: 22)
Maknanya, “Sesungguhnya aku mengingkari dan menolak bahawa aku adalah sekutu bagi Allah dalam apa-apa ibadah kamu, yang kamu jadikan aku sebagai sekutu di dalamnya.” (Lihat Jami‘ al-Bayan, 16/560). Padanya mengandungi makna iblis berlepas diri daripada ketaatan orang kepadanya dan juga ikutan orang terhadap apa yang diperintahkan kepada mereka dengannya berupa kekufuran. (Lihat Tafsir al-Baidhawi, 3/197).
Seterusnya, perkataan al-kufr (الكُفْرُ) dari segi istilah pula adalah lawan kepada iman, sama ada dengan hati, lisan atau amalan/perbuatan, baik melakukan sesuatu mahupun meninggalkan sesuatu.
Kesepakatan Ahli Sunnah berkenaan iman adalah ia merupakan keyakinan dalam hati, pengakuan dengan lidah, dan perbuatan dengan anggota badan. Sedangkan kufur adalah lawannya, maka ia juga boleh berlaku dalam hati, seperti mempercayai adanya tuhan lain bersama Allah, atau menolak/mengingkari keesaan Allah, atau membenci Nabi Muhammad SAW atau agama Islam, dan berhukum dengan hukum yang tidak diturunkan oleh Allah SWT di samping meyakini bahawa ia adalah lebih baik daripada hukum syariah atau setara dengannya, atau menganggapnya boleh dilakukan. Manakala melalui ucapan pula boleh berlaku, seperti mengucapkan kata-kata kufur seperti menghina Allah dan Rasul-Nya, atau menghina dan merendah-rendahkan agama, atau meninggalkan dua syahadah. Manakala melalui perbuatan pula boleh berlaku, seperti sujud kepada berhala, atau meninggalkan ibadat-ibadat dan kewajipan-kewajipan dengan keseluruhannya.
Ibn Taimiyyah menyatakan, kekufuran tidak hanya melibatkan penafian. Malah, jika seseorang berkata: Saya tahu bahawa anda benar, tetapi saya tidak akan mengikuti anda. Sebaliknya, saya akan menentang dan membenci anda, maka itu akan menjadi kufur yang lebih besar. Oleh itu, diketahui bahawa iman bukanlah sekadar tentang percaya semata-mata, dan kufur bukanlah sekadar tentang penafian semata-mata. (Lihat Syarh al-‘Aqidah al-Tahawiyyah, oleh Ibn Abi al-’Izz al-Hanafi, 2/472-473)
Sufyan bin ‘Uyainah berkata: Meninggalkan kewajipan dengan menolaknya, adalah dikira kafir seperti kafirnya Iblis. Meninggalkannya tanpa pengetahuan tanpa menolaknya, adalah kafir seperti kafirnya pendeta Yahudi. (Lihat al-Sunnah oleh Imam Ahmad Ibn Hanbal, 1/347).
Para ulama telah berbeza pendapat dalam mendefinisikan kekufuran. Ibn Hazm menyatakan: Ia adalah menafikan rububiyyah, menafikan kenabian salah seorang nabi dari para nabi yang kenabian mereka disahkan dalam Al-Quran atau menafikan sesuatu yang dibawa oleh Rasulullah SAW yang diakui kebenarannya oleh penolaknya melalui penukilan riwayat secara keseluruhannya, atau melakukan sesuatu yang dibuktikan bahawa tindakan tersebut adalah perbuatan kufur. (Lihat al-Fasl fi al-Milal wa al-Hawa’ wa al-Nahl, 3/118)
Al-Qarafi berkata: Asal kepada kekufuran adalah pelanggaran khas terhadap kesucian rububiyyah, sama ada kerana kejahilan tentang kewujudan Pencipta atau sifat-sifat-Nya yang tinggi. Terjadinya kufur dengan melakukan tindakan-tindakan seperti melempar mashaf dalam kotoran, bersujud kepada berhala, ragu-ragu dalam menghadiri gereja pada hari perayaan mereka dengan berpakaian seperti orang Kristian, serta memperhatikan keadaan mereka secara langsung, atau menolak sesuatu yang telah diketahui dalam agama secara pasti. (Lihat Anwar al-Buruq fi Anwa’ al-Furuq, 4/115-116)
Ibn Taimiyyah mendefinisikannya sebagai: Ketidakpercayaan kepada Allah dan rasul-rasul-Nya, sama ada dengan mengingkari atau tidak, bahkan dengan syak dan keraguan, atau menolak semuanya, sama ada disebabkan oleh iri hati, kesombongan, atau mengikuti beberapa hawa nafsu yang menyimpang dari mengikuti risalah. (Lihat Majmu’ Fatawa, 12/335)
Disebutkan dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah (15/34) Kufur menurut syara’ ialah: Ia adalah penolakan terhadap sesuatu yang secara pasti diketahui sebagai sebahagian daripada agama Muhammad SAW, seperti mengingkari kewujudan Pencipta, kenabian, hukum zina, dan sebagainya. Kufur adalah lebih umum daripada murtad, kerana kufur mungkin kufur asal, tidak seperti murtad.
Kufur ketika dalam bentuk mutlak:
Apabila ungkapan kufur atau al-kufr datang dalam bentuk yang mutlak, maka ia merujuk kepada maknanya dari sudut istilah, iaitu lawan kepada keimanan kepada Allah, Rasul-Nya, dan syariat-Nya. Inilah yang membawa kepada natijah, semua kesan dan hukum kufur di dunia dan akhirat kepadanya. Oleh yang demikian, apabila Nabi SAW mengkhabarkan kepada para sahabat R.Anhum bahawa kebanyakan penghuni neraka adalah daripada golongan wanita dan menjelaskan sebabnya adalah kerana mereka kufur, maka para sahabat bertanya: “Mereka kufur kepada Allah?” Hal ini kerana itulah yang terlintas dalam fikiran mereka apabila ungkapan tersebut diucapkan. Lalu Nabi SAW menjelaskan kepada mereka bahawa maksudnya adalah menolak/mengingkari nikmat suami dan kebaikannya, bukannya menolak/mengingkari keesaan Allah, Rasul-Nya, dan syariat-Nya.
Ini adalah sebagaimana riwayat daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya: Nabi SAW bersabda:
أُرِيتُ النَّارَ فَإِذَا أَكْثَرُ أَهْلِهَا النِّسَاءُ يَكْفُرْنَ. قِيلَ: أَيَكْفُرْنَ بِاللهِ؟ قَالَ: يَكْفُرْنَ الْعَشِيرَ، وَيَكْفُرْنَ الإِحْسَانَ، لَوْ أَحْسَنْتَ إِلَى إِحْدَاهُنَّ الدَّهْرَ ثُمَّ رَأَتْ مِنْكَ شَيْئًا قَالَتْ مَا رَأَيْتُ مِنْكَ خَيْـرًا قَطُّ
Maksudnya: “‘Diperlihatkan kepadaku neraka, rupa rupanya majoriti penghuninya adalah para wanita yang kufur.’ Baginda ditanya: ‘Adakah mereka kufur terhadap Allah?’ Baginda menjawab: ‘Mereka kufur (iaitu tidak berterima kasih atau derhaka) terhadap suami mereka dan terhadap kebaikan yang mereka perolehi. Jika kamu berlaku ihsan terhadap salah seorang daripada mereka (wanita-wanita tersebut) untuk jangka masa yang lama dan wanita itu melihat suatu perkara yang tidak disukai pada diri kamu, dia akan berkata: Aku tidak pernah melihat satu apa kebaikan pun daripada kamu’.”
Riwayat al-Bukhari (29)
Pembahagian Kufur
Kufur terbahagi kepada beberapa jenis mengikut pembahagian para ulama. Di antaranya, ada yang membahagikannya kepada dua jenis. Kufur yang pertama, kufur asghar yang bermaksud perbuatan yang tidak menyebabkan seseorang yang melakukannya terkeluar daripada Islam, tetapi hanya dikira melanggar hukum syarak. Terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ أَتَى حَائِضًا أَوْ امْرَأَةً فِي دُبُرِهَا أَوْ كَاهِنًا فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Maksudnya: “Sesiapa yang menyetubuhi wanita yang sedang haid ataupun menyetubuhi wanita di saluran duburnya ataupun mendatangi tukang tenung nasib dan mempercayainya, sesungguhnya dia telah kufur dengan apa yang diturunkan ke atas Muhammad SAW.”
Riwayat Ahmad (9290)
Kufur yang kedua, kufur akbar iaitu perbuatan yang menyebabkan seseorang yang melakukannya murtad dan dimasukkan ke dalam neraka. (Lihat Musnad al-Imam Ahmad bin Hanbal, 15/164; Tafsir al-Bayan, 1/166-167)
Sebahagian ulama membahagikan kufur kepada lima jenis iaitu:
- Kufur dalam bentuk pendustaan dan pengingkaran
Ini meliputi semua yang mendustakan para rasul dalam hati, yang merupakan hakikat penafian.
وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ افْتَرَىٰ عَلَى اللَّهِ كَذِبًا أَوْ كَذَّبَ بِآيَاتِهِ ۗ
Maksudnya: “Dan siapakah lagi yang lebih aniaya dari orang yang mengada-adakan perkara-perkara yang dusta terhadap Allah, atau yang mendustakan ayat-ayat keteranganNya?”
(Surah al-An‘am: 21)
Al-Baidhawi ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan bahawa: Iaitu mereka mengatakan : Para malaikat itu adalah anak-anak perempuan Allah dan mereka pemberi manfaat kepada kita di sisi Allah SWT. Mereka mendustakan ayat-ayat-Nya seolah-olah mereka mendustakan Al-Quran dan mukjizat-mukjizat-Nya, dan mereka menyebutnya sebagai sihir. (Lihat Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil, 2/157)
Bagi sesiapa yang mendustakan rasul secara terang-terangan, sedangkan dia mengetahui kebenaran mereka dalam hati, maka ini merupakan pengingkaran yang nyata, keadaan ini berlaku pada kebanyakan orang yang mendustakan rasul-rasul, terutamanya yang telah menyaksikan tanda-tanda para nabi. Allah SWT berfirman tentang Fir’aun dan pengikut-pengikutnya :
وَجَحَدُوا بِهَا وَاسْتَيْقَنَتْهَا أَنفُسُهُمْ ظُلْمًا وَعُلُوًّا
Maksudnya: “Dan mereka mengingkarinya secara zalim dan sombong angkuh sedang hati mereka meyakini kebenarannya.”
(Surah al-Naml: 14)
Allah berfirman tentang Musyrikin Makkah:
فَإِنَّهُمْ لَا يُكَذِّبُونَكَ وَلَٰكِنَّ الظَّالِمِينَ بِآيَاتِ اللَّهِ يَجْحَدُونَ
Maksudnya: “Kerana sebenarnya mereka bukan mendustakanmu, tetapi orang-orang yang zalim itu mengingkari ayat-ayat keterangan Allah (disebabkan kedegilan mereka semata-mata).”
(Surah al-An‘am: 33)
Al-Sa‘di menyatakan bahawa: Mereka tidak mendustakan kamu (wahai Muhammad), kerana mereka mengetahui kebenaranmu, kedatanganmu, kepergianmu, dan segala keadaanmu, sehingga sebelum kenabian, mereka menyebutmu sebagai Al-Amin. Tetapi orang-orang yang zalim itu mendustakan ayat-ayat Allah yang mana Allah jadikannya di tangan Allah. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm.254)
- Kufur keangkuhan dan kesombongan
Ini berlaku apabila seseorang mengetahui kebenaran tetapi bersikap sombong dan menolak untuk tunduk serta patuh. Ini adalah contoh kufur Iblis:
وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ اسْجُدُوا لِآدَمَ فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ أَبَىٰ وَاسْتَكْبَرَ
Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: ‘Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam.’ Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur.”
(Surah al-Baqarah: 34)
Abu Bakar al-Jazair dalam tafsirnya menyatakan bahawa: “Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat: ‘Sujudlah kamu kepada Adam…’ iaitu dengan sujud penghormatan dan pemuliaan, maka mereka bersujud, kecuali Iblis yang menyombongkan diri dan enggan sujud, di mana perintah untuk bersujud merupakan ketaatan kepada Allah dan penghormatan kepada Adam. Yang demikian kerana sikapnya yang takabur dan dengki terhadap kemuliaan Adam. Disebabkan penderhakaan mereka terhadap Allah SWT maka jadilah mereka dari golongan kafir yang fasik yang melanggar perintah Allah. Oleh yang demikian, perbuatan tersebut menyebabkan pengusiran dan kemurkaan terhadapnya.” (Lihat Aisar al-Tafasir, 1/44 )
- Kufur keraguan
Ia bercanggah dengan pengakuan dan keyakinan. Jenis ini adalah seperti kufurnya pemilik kebun sebagaimana yang disebutkan dalam firman Allah SWT:
وَدَخَلَ جَنَّتَهُ وَهُوَ ظَالِمٌ لِّنَفْسِهِ قَالَ مَا أَظُنُّ أَن تَبِيدَ هَٰذِهِ أَبَدًا
Maksudnya: “Dan ia pun masuk ke kebunnya (bersama-sama rakannya), sedang ia berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan sebab kufurnya), sambil ia berkata: ‘Aku tidak fikir, kebun ini akan binasa selama-lamanya’.”
(Surah al-Kahf: 35)
Muhammad Amin al-Syanqiti dalam tafsirnya menyatakan bahawa: Allah SWT telah menyebutkan dalam ayat yang mulia tentang lelaki kafir yang zalim kepada dirinya sendiri, yang diumpamakan dengan lelaki mukmin dalam ayat-ayat ini kepada pemimpin-pemimpin orang kafir yang membanggakan kekayaan dan kekuasaan mereka atas orang-orang Muslim yang lemah dan miskin, seperti yang telah disebutkan bahwa dia memasuki kebunnya dalam keadaan dia menzalimi dirinya sendiri, dan dia berkata: Dia tidak menyangka bahawa kebunnya akan binasa atau musnah kerana dia melihat keindahan dan kesegaran kebun tersebut. Dia berkata: dia tidak menyangka bahawa hari kiamat itu akan berlaku, dan jika ditakdirkan untuk bangkit semula dan dikembalikan kepada Tuhannya, dia pasti akan mendapati di sisi-Nya yang lebih baik daripada kebun yang diberikan kepadanya di dunia.
Ayat mulia ini menyiratkan kejahilan orang kafir dan keangkuhan mereka dengan kesenangan hidup dunia, serta anggapan mereka bahawa akhirat seperti dunia ini, di mana mereka akan diberi nikmat kekayaan dan keturunan seperti yang telah diberikan kepada mereka di dunia. Hal ini dijelaskan secara terperinci dalam ayat-ayat lain. (Lihat Adwa’ al-Bayan fi Idah al-Quran bi al-Quran, 3/273 )
Allah telah menjadikan keraguan, iaitu sangkaan dan keraguan, sebagai sebahagian daripada kufur yang menyebabkan seseorang masuk neraka. Firman Allah SWT:
أَلْقِيَا فِي جَهَنَّمَ كُلَّ كَفَّارٍ عَنِيدٍ (24) مَّنَّاعٍ لِّلْخَيْرِ مُعْتَدٍ مُّرِيبٍ
Maksudnya: “(Setelah tiap-tiap orang dibicarakan, Allah berfirman kepada kedua malaikat yang menjadi pembawa dan saksi itu): ‘Humbankanlah oleh kamu berdua, ke dalam neraka Jahannam tiap-tiap orang yang tetap degil dalam kekufurannya; Yang sering menghalangi jenis kebajikan, yang melanggar hukum ugama, lagi yang meragukan kebenaran’.”
(Surah Qaf: 24-25)
Begitu juga firman Allah SWT:
وَحِيلَ بَيْنَهُمْ وَبَيْنَ مَا يَشْتَهُونَ كَمَا فُعِلَ بِأَشْيَاعِهِم مِّن قَبْلُ ۚ إِنَّهُمْ كَانُوا فِي شَكٍّ مُّرِيبٍ
Maksudnya: “Dan disekatlah di antara mereka dengan (iman) yang mereka ingini, sebagaimana yang telah dilakukan kepada orang-orang yang sama keadaannya dengan mereka pada masa yang lalu; sesungguhnya mereka dahulu berada dalam keadaan syak yang meragukan.”
(Surah Saba’: 54)
- Kufur penolakan
Ini merujuk kepada seseorang yang menolak kebenaran tanpa mendengarnya atau menerimanya. Firman Allah SWT:
وَالَّذِينَ كَفَرُوا عَمَّا أُنذِرُوا مُعْرِضُونَ
Maksudnya: “Dan orang-orang yang kafir berpaling dari menerima peringatan yang diberikan kepada mereka mengenainya.”
(Surah al-Ahqaf: 3)
Al-Sam‘ani menyatakan bahawa: Iaitu orang-orang yang berpaling seperti berpalingnya golongan pendusta yang ingkar. (Lihat Tafsir al-Sam‘ani, 5/148)
Firman Allah SWT:
وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّن ذُكِّرَ بِآيَاتِ رَبِّهِ ثُمَّ أَعْرَضَ عَنْهَا ۚ إِنَّا مِنَ الْمُجْرِمِينَ مُنتَقِمُونَ
Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya! Kami telah memberi kepada Nabi Musa Kitab Taurat (sebagaimana Kami berikan Al-Quran kepadamu wahai Muhammad), maka janganlah engkau ragu-ragu menyambut dan menerimanya; dan Kami jadikan Kitab Taurat itu hidayah petunjuk bagi kaum Bani Israil.”
(Surah al-Sajdah: 22)
Fakhru al-Din al-Razi menafsirkan ayat ini dengan menyatakan bahawa: Kami pasti akan memberi mereka merasai azab, dan mereka tidak akan kembali kepada kebenaran. Pertamanya mereka telah diberi peringatan dengan tanda-tanda nikmat Allah, dan kemudian yang keduanya mereka dikenakan azab sebagai balasan, tetapi mereka tetap tidak beriman. Maka tidak ada yang lebih zalim dari mereka; Ini kerana sesungguhnya orang yang kufur kepada Allah adalah zalim. Sesungguhnya Allah Maha Melihat, tidak memerlukan penerang kepada yang batin untuk menyaksikannya, Dialah saksi atas segala sesuatu. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 25/149 )
- Kufur Nifaq
Ia adalah apabila seseorang menzahirkan keimanan tetapi menyembunyikan kekufuran. Firman Allah SWT:
إِذَا جَاءَكَ الْمُنَافِقُونَ قَالُوا نَشْهَدُ إِنَّكَ لَرَسُولُ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ يَعْلَمُ إِنَّكَ لَرَسُولُهُ وَاللَّهُ يَشْهَدُ إِنَّ الْمُنَافِقِينَ لَكَاذِبُونَ ﴿١﴾ اتَّخَذُوا أَيْمَانَهُمْ جُنَّةً فَصَدُّوا عَن سَبِيلِ اللَّهِ ۚ إِنَّهُمْ سَاءَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ ﴿٢﴾ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ آمَنُوا ثُمَّ كَفَرُوا فَطُبِعَ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ فَهُمْ لَا يَفْقَهُونَ ﴿٣﴾
Maksudnya: “Apabila orang-orang munafik datang kepadamu (wahai Muhammad), mereka berkata: ‘Kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau – sebenar-benarnya Rasul Allah.’ Dan Allah sememangnya mengetahui bahawa engkau ialah RasulNya, serta Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta. Mereka menjadikan sumpahnya (atau akuannya) sebagai perisai (untuk menyelamatkan dirinya dan harta bendanya daripada dibunuh atau dirampas), lalu mereka menghalang (dirinya dan orang lain) dari menurut jalan Allah. Sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah kerjakan. (Perbuatan buruk) yang demikian kerana mereka mengaku beriman (di hadapan orang-orang Islam) kemudian mereka tetap kafir sesama sendiri, maka dengan sebab itu dimeteraikan atas hati mereka; lalu mereka tidak dapat memahami (yang mana benar dan yang mana salah).”
(Surah al-Munafiqun: 1-3)
Pembahagian-pembahagian kufur ini kami nukilkan daripada kitab Usul Masa’il ‘Aqidah ‘Inda al-Salaf wa ‘Inda al-Mubtadi‘ah (2/47-48), dengan sedikit olahan dan penambahan daripada kami.
Kafir dan Pembahagiannya
Secara umumnya, perkataan kafir ini tidak jauh bezanya dengan perbahasan sebelumnya mengenai “kufur” kerana ia berasal daripada asal perkataan yang sama iaitu al-kufr “الْكُفْرُ”. Secara ringkasnya, perkataan kafir “الْكَافِرُ” berasal daripada perkataan kufr “الْكُفْرُ” yang bermaksud lawan kepada iman. Manakala kata majmuk (plural) bagi perkataan kafir ialah kuffar “كُفَّارٌ”, kafarah “كَفَرَةٌ” dan kifar “كِفَارٌ”, sebagaimana kata majmuk bagi perkataan ja’i‘ “جَائِعٌ” ialah jiya‘ “جِيَاعٌ” dan bagi perkataan na’im “نَائِمٌ” ialah niyam “نِيَامٌ”. Selain itu, perkataan kafir juga boleh bermaksud malam yang gelap gelita kerana ia menutupi segala sesuatu dengan kegelapannya. Menurut Ibn al-Sikkit, dinamakan sebagai kafir kerana dia menyembunyikan nikmat-nikmat Allah kepadanya. Selain itu, perkataan kafir juga merujuk kepada petani kerana dia menutup/menyembunyikan biji benih dengan tanah. (Lihat Mukhtar al-Sihah, hlm. 271).
Perkataan “kafir” jika ia datang dalam bentuk mutlak, maka ia merujuk kepada seseorang yang tidak beriman kepada Allah SWT. Al-Laith menyebutkan, dikatakan bahawa orang kafir dipanggil sedemikian kerana kekufurannya telah menutupi seluruh hatinya. Al-Azhari menyatakan, penjelasannya ialah, kafir dari segi bahasa, maknanya adalah penutupan. Manakala “الكافر ذو كفر” adalah merujuk kepada orang kafir yang memiliki penutupan terhadap hatinya dengan kekufurannya, sebagaimana dikatakan kepada sarung senjata sebagai: kafir, iaitu yang menutupi senjata tersebut. Selain daripada itu, di sana terdapat pendapat lain yang lebih baik daripada pendapat al-Laith, iaitu bahawasanya ketika Allah ‘Azza wa Jalla menyeru untuk mentauhidkan-Nya, Dia sebenarnya menyerunya untuk menikmati nikmat yang akan diberikan kepada-Nya jika dia menerimanya. Oleh itu, apabila dia menolak seruan untuk mentauhidkan-Nya itu, dia menjadi kafir terhadap nikmat Allah, iaitu menutupi nikmat-nikmat itu dengan sebab keingkarannya, menghalangi nikmat-nikmat itu daripadanya. (Lihat Tahzib al-Lughah, 10/112).
Abu ‘Ubaid al-Qasim bin Sallam menyebutkan, adapun kafir, maka dikatakan bahawa ia dinamakan sebagai kafir kerana dia menutup dan menyembunyikannya seperti mana seseorang menutup dan menyembunyikan senjata. Dialah orang yang telah memakaikannya senjata sehingga dia menutup setiap sesuatu daripadanya, begitu juga kekufuran telah menutup hati orang kafir. Oleh sebab itu, dikatakan bahawa malam adalah kafir kerana ia menutupi segala sesuatu. Selain itu, turut dikatakan bahawa kafir dinamakan demikian kerana ingkar, sebagaimana dikatakan: “كافرني فلان حقي إذا جحده حقه” (Fulan mengingkari hakku apabila dia menolak haknya). (Lihat Gharib al-Hadith, 3/13-14).
Kafir menurut istilahnya ialah orang yang tidak beriman kepada Allah, para rasul-Nya, dan syariat-Nya. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Raghib al-Asfahani bahawa kafir secara mutlak dikenal pada mereka yang menolak keesaan Allah, atau kenabian, atau syariat, atau menolak ketiga-tiganya. (Lihat al-Mufradat, hlm 715)
Begitu juga Ibn Qayyim menyatakan bahawa kafir adalah orang yang menolak keesaan Allah dan mendustakan rasul-Nya, baik dengan keras kepala, kejahilan, atau meniru orang-orang yang keras hatinya. (Lihat Tariq Hijratain, 1/411).
Pembahagian Kafir
Kafir terbahagi kepada empat jenis iaitu kafir mu‘ahad, kafir zimmi, kafir musta’man dan kafir harbi.
- Kafir mu‘ahad
Mereka ialah orang kafir yang mempunyai perjanjian dengan orang Islam, seperti mana yang terjadi antara Nabi SAW dan Quraisy dalam perjanjian Hudaibiyah. (Lihat Sabil al-Muhtadin ila Syarh al-Arba‘in al-Nawawiyyah, hlm. 192).
Berkenaan kafir mu‘ahad ini terdapat riwayat daripada Abdullah bin ‘Amr R.’Anhuma, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:
مَنْ قَتَلَ مُعَاهَدًا لَمْ يَرِحْ رَائِحَةَ الجَنَّةِ، وَإِنَّ رِيحَهَا تُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ أَرْبَعِينَ عَامًا
Maksudnya: “Sesiapa yang membunuh kafir mu‘ahad (orang kafir yang memeterai perjanjian damai dengan orang Islam), dia tidak akan dapat mencium bau syurga, padahal bau syurga dapat dicium dari jarak sejauh 40 tahun perjalanan.”
Riwayat al-Bukhari (3166)
Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani, orang kafir yang dimaksudkan dalam hadith di atas ialah orang yang mempunyai perjanjian dengan kaum Muslimin, sama ada melalui perjanjian jizyah, genjatan senjata daripada pemerintah, atau perlindungan keamanan daripada orang Islam. (Lihat Fath al-Bari, 12/259).
Begitu juga terdapat hadith yang lain, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ ظَلَمَ مُعَاهِدًا، أَوِ انْتَقَصَهُ، أَوْ كَلَّفَهُ فَوْقَ طَاقَتِهِ، أَوْ أَخَذَ مِنْهُ شَيْئًا بِغَيْرِ طِيبِ نَفْسٍ، فَأَنَا حَجِيجُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Maksudnya: “Sesiapa yang menzalimi seorang kafir mu‘ahad, atau mengurangi haknya, atau membebaninya sesuatu yang tidak tertanggung olehnya, ataupun mengambil daripadanya sesuatu tanpa senang hati, maka aku akan menjadi pembelanya kelak pada hari Kiamat.”
Riwayat Abu Daud (3052)
Al-‘Azim Abadi menyatakan bahawa termasuk di dalam erti al-Mu‘ahid ialah kafir zimmi dan musta’man — yakni yang diberi jaminan keamanan. Di antara perkara yang termasuk dalam kezaliman ke atas mereka adalah seperti mengutip bayaran jizyah atau kharaj bukan kepada sesiapa yang diwajibkan ke atasnya atau mengambil lebih daripada sepatutnya. (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 8/211.) Tambahan lagi, Syihabuddin al-Qarafi menyebutkan, ikatan janji setia dengan kafir zimmi mewajibkan beberapa hak yang mesti dijaga. Hal ini kerana mereka hidup dalam lindungan kita serta berada dalam naungan Allah SWT dan RasulNya serta di bawah naungan Islam. Sesiapa yang mengganggu mereka sekalipun dengan suatu perkataan yang buruk, atau melakukan penghinaan terhadap kehormatan salah seorang daripada mereka, atau apa jua jenis daripada penganiayaan, maka mereka itu telah mensia-siakan naungan Allah SWT dan Rasul-Nya serta naungan agama Islam. (Lihat al-Furuq, 3/14).
- Kafir zimmi
Dalam Mausu‘ah al-Mafahim al-Islamiyyah al-‘Ammah (hlm. 297) dinyatakan bahawa zimmah (الذِّمَّة) dari segi bahasa bermaksud perlindungan dan perjanjian. Justeru, ahli zimmah merujuk kepada ahl al-‘Ahd “أهل العهد” iaitu mereka yang berada di bawah perjanjian dan zimmi “الذمى” pula adalah “المعاهد” iaitu orang yang berjanji/berada dalam perjanjian.
Seterusnya, dari segi istilah pula zimmiyyun (kafir zimmi) dan zimmi adalah nisbah kepada zimmah “الذِّمَّة” iaitu perjanjian perlindungan yang diberikan oleh pemerintah atau wakil pemerintah terhadap dirinya dan juga hartanya sebagai gantian bagi kewajipan membayar jizyah dan tunduk kepada hukum-hakam Islam.
Selain itu, Syeikh Muhammad al-Mukhtar al-Syanqiti juga ada menyatakan bahawa Zimmiyyun (kafir zimmi) adalah merujuk kepada mereka dalam kalangan ahli kitab yang mempunyai perjanjian (zimmah), yang mana dikenakan ke atas mereka bayaran jizyah. Mereka ini mempunyai hukum khas. (Lihat Syarh Zad al-Mustaqni‘ oleh al-Syanqiti, 138/15).
Dalam erti kata lain, mereka ialah orang kafir yang tinggal bersama kita (dalam satu negara) serta kita melindungi mereka dan membela mereka, dan mereka memberi jizyah sebagai ganti kepada perlindungan yang diberikan dan keberadaan mereka di dalam negara kita — negara Islam. (Lihat Sabil al-Muhtadin ila Syarh al-Arba‘in al-Nawawiyyah, hlm. 192).
Terdapat riwayat daripada al-Qasim bin Mukhaimirah, daripada salah seorang sahabat Nabi SAW, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ قَتَلَ رَجُلًا مِنْ أَهْلِ الذِّمَّةِ، لَمْ يَجِدْ رِيحَ الْجَنَّةِ، وَإِنَّ رِيحَهَا لَيُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ سَبْعِينَ عَامًا
Maksudnya: “Sesiapa yang membunuh seseorang daripada kalangan kafir zimmi (tanpa hak), dia tidak akan dapat mencium bau syurga, padahal bau syurga itu dapat dicium dari jarak sejauh 70 tahun perjalanan.”
Riwayat Ahmad (18072) dan al-Nasa’i (4749); Ia dinilai sebagai sahih dalam Sahih al-Targhib (2453)
- Kafir musta’man
Kafir musta’man merujuk kepada orang kafir yang datang dari negeri musuh; tetapi memasuki ke tempat kita dengan aman untuk menjual barang dagangannya atau untuk membeli atau bekerja; maka orang ini adalah dihormati dan dilindungi darahnya — walaupun dia daripada kalangan musuh kita — kerana dia telah diberikan jaminan keamanan khas. (Lihat Sabil al-Muhtadin ila Syarh al-Arba‘in al-Nawawiyyah, hlm. 192)
Syeikh Muhammad al-Mukhtar al-Syanqiti mendefinisikan al-Musta’man sebagai orang kafir yang bermusuhan yang memasuki wilayah orang Islam dengan aman, untuk berdagang atau untuk membuat kontrak atau untuk kepentingan tertentu, sama ada kepentingan umum atau peribadi, mereka akan diberikan jaminan oleh pemerintah atau mana-mana orang Islam. Jaminan ini diberikan oleh sesiapa sahaja daripada kalangan mereka yang berhak. Ia mengambil hukum jaminan yang diberikan kepada semua orang Islam.
Diriwayatkan daripada Ali bin Abu Talib bahawa Rasulullah SAW bersabda dalam hadith yang sahih:
وذِمَّةُ المُسْلِمِينَ واحِدَةٌ، يَسْعى بها أدْناهُمْ
Maksudnya: “Jaminan kaum Muslimin adalah satu, jaminan itu berlaku meskipun dari orang yang paling rendah dari mereka.”
Riwayat al-Bukhari ( 3179)
Mereka adalah musuh kepada orang lain yang bukan daripada kalangan mereka. Oleh itu, apabila Ummu Hani’ datang kepada Rasulullah SAW ketika pembukaan Makkah beliau sedang mandi dan Fatimah menutupinya dengan kain, dan pada ketika itu Ali ingin membunuh seorang daripada kaumnya sendiri. Adat orang Arab adalah apabila seseorang meminta perlindungan masuk ke rumah seseorang, dia akan diberikan perlindungan sebagaimana dia memberikan perlindungan kepada dirinya sendiri. Ini adalah daripada sifat orang-orang mulia dan tanda-tanda kesempurnaan dan keunggulan manusia, bahawa dia tidak akan dianiaya, tetapi dengan syarat dia tidak melanggar batasan-batasan Allah SWT, dan melanggar larangan-larangan-Nya. Oleh itu, sekiranya mereka melanggar batasan tersebut mereka tidak akan diberikan jaminan, kerana hukum agama berhak untuk dikenakan ke atasnya. Jika diberikan perlindungan ke atas mereka bermakna membantu mereka dalam melakukan dosa dan pencerobohan. Ini sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT:
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
Maksudnya: “Tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan ketakwaan, dan janganlah tolong-menolong dalam melakukan dosa serta permusuhan.”
(Surah al-Ma’idah: 2)
Mereka pada zaman Jahiliyyah, apabila seseorang memasuki rumah orang lain dan memijak hamparannya, atau masuk ke dalam rumahnya lalu berkata: “Aku meminta perlindungan daripadamu,” atau “aku meminta perlindungan,” atau meminta keamanan daripadanya, maka dia tidak akan ditolak kerana apabila dia memasuki rumah seseorang, dia menjadi seperti seorang tetamu, dan tetamu harus dihormati dan tidak dihina, ditunaikan segala keperluannya dan tidak ditolak. Maka dia akan diberikan perlindungan dan akan menjadi tanggungan ke atas orang yang memberikan perlindungan bagi kebaikan atau keburukannya. Dalam erti kata lain, orang yang mencari perlindungan apabila masuk ke wilayah orang Islam dan meminta perlindungan daripada seorang Muslim, maka dia dianggap sebagai tetangga bagi semua orang Islam.
Diriwayatkan bahawa semasa zaman Umar bin al-Khattab R.A, Abu Musa al-Asy‘ari R.A dari Syam telah menulis kepadanya: Bahawa apabila orang-orang Rom memasuki wilayah orang Islam, mereka tidak dikenakan apa-apa ke atas mereka. Akan tetapi apabila orang-orang Islam memasuki wilayah mereka sebagai pedagang, mereka dikenakan cukai sebanyak 1/10 (‘usyur). Oleh itu, Umar memerintahkan agar cukai 1/10 (‘usyur) tersebut turut dikenakan kepada mereka, apabila mereka memasuki wilayah Islam, dan ini dinamakan sebagai al-ta‘syir.
Ia merupakan cukai yang dikenakan ke atas perdagangan di wilayah orang Islam, sebagai muamalah yang sama, sama seperti sistem kastam yang dikenali dalam zaman kita. Oleh itu, ia merupakan cukai yang dikenakan ke atas orang kafir, sebagaimana yang dilakukan oleh orang Islam apabila mereka berdagang di wilayah mereka sendiri, maka muamalah tersebut adalah sama. Amalan ini dijalankan oleh Umar bin al-Khattab R.A, dan diteruskan oleh khalifah-khalifah yang lain selepas beliau, sehingga menjadi suatu amalan yang disepakati.
Jika orang kafir berdagang di wilayah orang Islam atau mempunyai wakil orang Islam yang mengeksport barang-barang dagangan mereka, maka adalah dibenarkan untuk mengenakan cukai ke atas mereka sebagaimana yang dikenakan ke atas orang Islam apabila mengeksport barang dagangan kepada mereka. Ini dikenali sebagai ta‘syir dan ia mempunyai garis panduan tertentu. Pihak pemerintah boleh mempertimbangkan dan mengambil kira kepentingan umum dalam menjalankan sistem ini, dengan mengenakan bayaran 1/10 cukai kepada orang kafir, dan separuh daripada 1/10 kepada golongan zimmi, dan seperempat daripada 1/10 kepada orang Muslim jika mereka berdagang dari wilayah mereka. (Lihat Syarh Zad al-Mustaqni‘ oleh al-Syanqiti, 138/15).
- Kafir harbi
Kafir Harbi merujuk kepada mereka yang tidak memiliki perjanjian, jaminan, atau perjanjian zimmah antara dia dan orang Islam. Dinyatakan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah: Kafir harbi adalah mereka yang bukan Muslim yang tidak termasuk dalam perjanjian zimmah, dan mereka tidak menikmati keamanan atau perjanjian antara mereka dan orang Islam. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 7/104)
Syeikh Muhammad al-Mukhtar al-Syanqiti mentakrifkan kafir harbi sebagai mereka yang mempunyai persengketaan dan permusuhan dengan umat Islam. Oleh itu, mereka disebut oleh para ulama sebagai “kafir harbi,” walaupun mereka berada dalam gencatan senjata dengan orang Islam. Hukum mereka adalah seperti orang-orang yang memerangi Islam, mengikut kepada perincian-perincian yang tertentu. (Lihat Syarh Zad al-Mustaqni‘ oleh al-Syanqiti, 138/15).
Dr. Yusuf al-Qaradhawi mendefinisikan, ahli Harb ialah golongan bukan Muslim yang menolak dan menentang Islam selain menyatakan permusuhan dengan kaum Muslimin dan tidak mempercayai negara Islam dalam melaksanakan perjanjian zimmah atau perjanjian perlindungan. Mereka tinggal di negara yang disebut sebagai dar al-harb, iaitu negara yang tidak menerapkan hukum-hakam Islam. Maka, hukum yang dilaksanakan kepada mereka adalah berbeza dengan zimmi. (Lihat Fiqh Jihad oleh al-Qaradhawi, terj. PTS, 2/1480).
Sedikit nota berkenaan pembahagian kufur ini, kami cenderung untuk kita meraikan juga sudut buah fikiran almarhum Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya “Al-Din wa al-Siyasah”. Menurutnya, istilah ahl al-zimmah atau kafir zimmi harus digantikan dengan al-ukhuwwah al-muwatanah, yang lebih sesuai dengan konteks masyarakat moden. Al-Qaradhawi menyarankan penggantian istilah ini kerana ahl al-zimmah awalnya merujuk kepada kelompok minoriti yang membayar jizyah sebagai jaminan perlindungan yang mana konsep seperti ini sudah tidak wujud di negara-negara umat Islam hari ini. Adapun dalam realiti semasa di Malaysia, masyarakat bukan Muslim tidak membayar jizyah dan memiliki status sebagai warganegara. Pandangan ini juga didukung oleh Fahmi Huwaidi dalam bukunya “Muwatinun la Zimmiyun”, yang berpendapat bahwa istilah ahl al-zimmah perlu digantikan dengan istilah yang lebih sesuai dalam konteks negara moden.
Dalam konteks negara demokrasi yang berlandaskan nilai-nilai Islam seperti Malaysia, penting untuk dititikberatkan hubungan antara warganegara, termasuk kelompok bukan Muslim, baik di negara majoriti Muslim mahupun di negara yang mana Muslim merupakan minoriti.
Amalan yang Membawa kepada Kekufuran
Tidak dapat dinafikan, di sana terdapat amalan-amalan yang boleh membawa seseorang itu terjerumus ke dalam lembah kekufuran, dan seterusnya mengeluarkan pelakunya dalam kalangan orang Islam daripada lingkungan atau daerah agama Islam. Kami nyatakan di sini sebahagian daripadanya seperti mana berikut:
Pertama: Mensyirikkan Allah.
Firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَاءُ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan Syariat-Nya).”
(Surah al-Nisa’: 48)
Ibn Kathir berkata: “Allah Ta’ala tidak akan mengampuni dosa syirik yaitu ketika seorang hamba bertemu Allah dalam keadaan berbuat syirik.”(Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/129)
Menurut Ibn al-Jauzi pula: Allah tidak akan mengampuni orang yang musyrik yang mati dalam kesyirikan. (Lihat Zad al-Masir, 2/103)
Diriwayatkan daripada Abi Bakrah Nafi’ Bin Harith bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أَكْبَرُ الْكَبَائِرِ الإِشْرَاكُ بِاللَّهِ
Maksudnya: “Dosa besar yang paling besar, adalah menyekutukan (sesuatu) kepada Allah.”
Riwayat al-Bukhari (6919)
Begitu juga firman Allah SWT:
إِنَّهُ مَن يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدْ حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ وَمَأْوَاهُ النَّارُ ۖ وَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ أَنصَارٍ
Maksudnya: “Bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya Syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang-orang yang berlaku zalim.”
(Surah al-Ma’idah: 72)
Antara yang termasuk yang demikian adalah memohon doa dari orang mati, memohon pertolongan kepada mereka, bernazar, dan menyembelih untuk mereka.
Kedua: Sesiapa yang menjadikan perantara di antara dirinya dan Allah dengan memohon doa daripada mereka dan meminta syafaat dari mereka, serta bertawakal kepada mereka, maka sesungguhnya dia telah kufur menurut ijma‘. Ini sebagaimana dalam firman Allah SWT:
أَلَا لِلَّهِ ٱلدِّينُ ٱلْخَالِصُ ۚ وَٱلَّذِينَ ٱتَّخَذُوا۟ مِن دُونِهِۦٓ أَوْلِيَآءَ مَا نَعْبُدُهُمْ إِلَّا لِيُقَرِّبُونَآ إِلَى ٱللَّهِ زُلْفَىٰٓ
Maksudnya: “Ingatlah! (Hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah segala ibadat dan bawaan yang suci bersih (dari segala rupa syirik). Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): ‘Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya’.”
(Surah al-Zumar: 3)
Ketiga: Sesiapa yang tidak mengkafirkan orang-orang musyrik, atau ragu-ragu tentang kekufuran mereka, atau menguatkan keyakinan mereka, maka dia telah kufur.
Telah dinyatakan dalam Syarh Nawaqidh al-Islam bahawa: Barangsiapa yang tidak mengkafirkan golongan ini, maka dia juga kafir. Seperti mengatakan: Bahawa orang Yahudi dan Nasrani itu memeluk agama yang benar, dan terdapat juga golongan yang mengatakan: Bahawa penyembah berhala itu benar, dan agama mereka juga benar!! Maka barangsiapa yang tidak mengkafirkan kekufuran seseorang terhadap Allah dan Rasul-Nya, maka dia juga kafir. (Lihat Syarh Nawaqidh al-Islam, hlm.22)
Keempat: Sesiapa yang meyakini bahawa petunjuk selain Nabi SAW lebih sempurna daripada petunjuknya, atau hukum selain daripada hukumnya lebih baik daripadanya, seperti mereka yang mengutamakan hukum-hukum taghut daripada hukum yang dibawa oleh nabi, maka dia adalah kafir.
Hal ini juga sebagaimana firman Allah SWT:
وَمَن لَّمْ يَحْكُم بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْكَافِرُونَ
Maksudnya: Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang kafir.
(Surah al-Maidah:44)
Syeikh al-Sa’di ketika menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa: Menghukum dengan selain daripada apa yang Allah turunkan adalah perbuatan ahli kafir, dan mungkin perbuatan kufur ini mengeluarkan seseorang dari agamanya, jika dia beriktikad akan keharusannya. Ia juga boleh menjadi salah satu dari dosa besar, dan dari perbuatan-perbuatan kafir yang menyebabkan pelakunya layak menerima azab yang pedih. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm.232)
Disebutkan dalam al-Mausu‘ah al-‘Aqadiyyah (6/456) bahawa sesiapa yang mengatakan, terdapat petunjuk yang lebih baik daripada petunjuk Rasulullah SAW atau serupa dengannya seperti mendapatkan petunjuk kepada Allah melalui falsafah, jalan falsafah, agama Sabi (agama kuno), tasawuf, atau yang lainnya; maka orang tersebut adalah murtad kafir. Begitu juga jika seseorang percaya bahawa terdapat hukum yang lebih baik daripada hukum Nabi SAW, seperti percaya bahawa hukum berdasarkan undang-undang lebih baik daripada hukum syariat, maka dia adalah murtad menurut ijma‘ umat Islam. Demikian juga, jika seseorang percaya bahawa hukum berdasarkan undang-undang adalah serupa dengan hukum syariat, dia juga akan dianggap kafir.
Kelima: Sesiapa yang membenci sesuatu dari apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW, walaupun dia melakukannya, dia telah kufur, seperti firman Allah SWT:
ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ كَرِهُوا مَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأَحْبَطَ أَعْمَالَهُمْ
Maksudnya: “Berlakunya yang demikian, kerana sesungguhnya mereka tidak menyukai apa yang diturunkan oleh Allah (mengenai ajaran tauhid dan hukum-hukum syara‘ yang diterangkan di dalam Al-Quran), lalu Allah menggugurkan amal-amal mereka.”
(Surah Muhammad: 9)
Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa sesiapa yang mengingkari apa yang diketahuinya tentang agama Islam secara pasti, maka dia dihukum sebagai murtad dan kafir, kecuali jika dia baru mengenal Islam, atau dibesarkan di padang pasir yang jauh, atau seumpamanya, yang mana maklumat tersebut tidak sampai kepadanya. (Lihat Syarh Sahih Muslim, 1/150)
Keenam: Penghinaan kepada Allah SWT. Sesiapa yang menghina dan mencaci Allah SWT, maka dia telah kafir.
Firman Allah SWT:
إِنَّ الَّذِينَ يُؤْذُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ لَعَنَهُمُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَأَعَدَّ لَهُمْ عَذَابًا مُّهِينًا ﴿٥٧﴾ وَالَّذِينَ يُؤْذُونَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ بِغَيْرِ مَا اكْتَسَبُوا فَقَدِ احْتَمَلُوا بُهْتَانًا وَإِثْمًا مُّبِينًا ﴿٥٨﴾
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya. Allah akan melaknatinya di dunia dan di akhirat, dan menyediakan baginya siksa yang menghinakan. Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang yang mukmin dan mukminat tanpa kesalahan yang mereka perbuat, maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata.”
(Surah al-Ahzab: 57-58)
Ibn Kathir dalam tafsirnya menyebutkan bahawa Allah SWT memperingatkan dan mengancam orang yang menyakiti Allah dengan menentang perintah-perintah-Nya dan melanggar larangan-larangan-Nya serta tiada henti-hentinya melakukan hal tersebut, juga menyakiti Rasul-Nya dengan mencelanya atau merendahkan martabatnya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/480).
Menyakiti atau menghina Allah SWT dalam hal ini tidak bermaksud membahayakan dan memudaratkan Allah SWT. Dalam sebuah hadith qudsi riwayat Abu Zar al-Ghifari R.A, Rasulullah SAW bersabda: Allah SWT berfirman:
يَا عِبَادِي إِنَّكُمْ لَنْ تَبْلُغُوا ضُرِّي فَتَضُرُّوْنِي، وَلَنْ تَبْلُغُوا نَفْعِي فَتَنْفَعُوْنِي
Maksudnya: “Wahai hamba-Ku sesungguhnya tidak ada kemudaratan yang dapat kamu lakukan kepada-Ku sebagaimana tidak ada kemanfaatan yang dapat kamu berikan kepada-Ku.”
Riwayat Muslim (2577)
Allah SWT juga sudah mengutuk bagi orang yang menyakiti atau menghina-Nya. Laknat atau kutukan itu merupakan pengusiran hamba daripada rahmat di dunia dan juga di akhirat. Manakala, ketika mana Allah SWT menyebutkan sesudah itu berkenaan orang yang menyakiti orang beriman, dan Allah tidak menyebutkan kutukannya dalam dunia dan juga akhirat. Hal ini kerana manusia tidak dianggap sebagai kafir apabila saling menghina dan menyakiti antara satu sama lain dengan cara mengutuk, menuduh, mencela dan seumpamanya.
Mencela dan menghina Allah SWT merupakan kufur di atas kekufuran dan ia berada di atas kekafiran daripada para penyembah berhala kerana mereka menyembah berhala serta mengagungkan batu dengan tujuan untuk mengagungkan Allah SWT. Itulah kesyirikan yang berlaku iaitu mempersekutukan Allah dengan sesuatu dengan yang lain. Sesiapapun yang menghina Allah SWT bermaksud dia sudah menempatkan Allah SWT pada darjat di bawah batu dengan mencela-Nya, sementara orang musyrikin pula tidak mencela sembahan mereka meskipun sambil bermain sebab mereka mengagungkan-Nya.
Ibn Qudamah menyebutkan, sesiapa yang mencaci Allah SWT, maka dia telah kafir, sama ada dia melakukan dalam keadaan bergurau atau tidak. (Lihat al-Mughni, 9/28).
Ketujuh: Penghinaan kepada Rasulullah SAW. Sesiapa yang mencerca dan menghina Baginda SAW, boleh menyebabkan pelakunya dianggap murtad, bahkan sebahagian ulama menyatakan dia wajib dibunuh.
Secara umumnya, terdapat banyak dalil pengharaman perbuatan menghina dan mencerca Rasulullah SAW, sama ada dalil al-Quran mahupun al-Sunnah. Di antara dalil al-Quran adalah seperti firman Allah SWT:
وَمِنْهُمُ الَّذِينَ يُؤْذُونَ النَّبِيَّ وَيَقُولُونَ هُوَ أُذُنٌ ۚ قُلْ أُذُنُ خَيْرٍ لَّكُمْ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَيُؤْمِنُ لِلْمُؤْمِنِينَ وَرَحْمَةٌ لِّلَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ ۚ وَالَّذِينَ يُؤْذُونَ رَسُولَ اللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ
Maksudnya: “Dan di antara mereka (yang munafik itu) ada orang-orang yang menyakiti Nabi sambil mereka berkata: ‘Bahawa dia (Nabi Muhammad) orang yang suka mendengar (dan percaya pada apa yang didengarnya).’ Katakanlah: ‘Dia mendengar (dan percaya) apa yang baik bagi kamu, dia beriman kepada Allah dan percaya kepada orang mukmin, dan dia pula menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman di antara kamu.’ Dan orang-orang yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”
(Surah al-Taubah: 61)
Al-Tabari menyebutkan, bagi orang-orang munafik yang memalukan Rasulullah SAW dengan perkataan-perkataan mereka dan perumpamaan-perumpamaan mereka untuk mendustai Baginda, dan juga mereka yang berkata dengan mulut yang celupar lagi batil, maka bagi mereka ini azab yang memedihkan daripada Allah di dalam neraka Jahanam. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 11/534).
Begitu juga Allah SWT ada berfirman:
إِنَّ الَّذِينَ يُؤْذُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ لَعَنَهُمُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَأَعَدَّ لَهُمْ عَذَابًا مُّهِينًا
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang melakukan perkara yang tidak diredhai Allah dan Rasul-Nya, Allah melaknatkan mereka di dunia dan di akhirat, dan menyediakan untuk mereka azab seksa yang menghina.”
(Surah al-Ahzab: 57)
Ibn Kathir menyebutkan dalam tafsirnya, Allah SWT menjauhkan mereka daripada rahmat-Nya di dunia dan di akhirat, serta menjanjikan mereka di akhirat nanti azab yang menghinakan dan mereka kekal di dalam azab itu selama-lamanya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/480).
Selain daripada itu, al-Maraghi menyatakan, terdapat sebahagian manusia menyakiti Rasul-Nya seperti orang yang mengatakan Rasulullah SAW itu seorang penyair, ahli nujum, orang gila, dan banyak lagi kata-kata yang menyakitkan Baginda. Sesiapa yang menyakiti Rasul bererti dia telah menyakiti Allah SWT, dan sesiapa yang mentaati Rasul bererti dia telah mentaati Allah SWT. Allah SWT menjauhkan mereka — yang menyakiti Baginda — daripada rahmat dan nikmat-Nya ketika di dunia lagi. Maksudnya, Allah SWT menjadikan mereka terus berada dalam kesesatan dan menjadikan mereka gembira melakukan kesesatannya itu. Kesesatan ini bakal menyeret mereka ke dalam neraka, sebagai tempat yang amat buruk. Kemudian mereka akan dilaknat ketika ketika di akhirat nanti dengan dimasukkan ke dalam neraka yang membakar tubuhnya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 22/35).
Selain itu, al-Maraghi juga ada menjelaskan bahawa menyakiti Rasulullah SAW selepas kewafatannya adalah sama seperti menyakiti Baginda semasa hayatnya. Keimanan kepada Baginda akan menghalang orang beriman daripada melakukan perbuatan yang akan menyakiti Baginda. Ia termasuk dosa dan kederhakaan yang paling besar. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 10/146).
Seterusnya, di antara dalil al-Sunnah adalah sebagaimana riwayat daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, beliau berkata:
أنَّ أَعْمَى كَانَتْ لَهُ أمُّ وَلَدٍ تَشْتُمُ النبيَّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ وَتَقَعُ فِيهِ فَيَنْهَاهَا فَلَا تَنْتَهِي وَيَزْجُرُهَا فَلَا تَنْزَجِرُ قَالَ: فَلَمَّا كَانَتْ ذَاتَ لَيْلَةٍ جَعَلَت تَقَعُ في النَّبيِّ صَلَّى اللّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَتَشْتُمُهُ فَأَخَذَ المِغْولَ سَيْفٌ قَصِيرٌ فَوَضَعَهُ فِي بَطْنِهَا وَاتَّكَأ عَلَيْهَا فَقَتَلَهَا فَوَقَعَ بَيْنَ رِجْلَيْهَا طِفْلٌ فَلَطَّخَتْ مَا هُنَاكَ بِالدَّمِ فَلَمَّا أَصْبَحَ ذُكِرَ ذَلِكَ لِرَسُولِ اللّهِ صَلَّى اللّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَجَمَعَ النَّاسَ فَقَالَ: أَنْشُدُ اللّهَ رَجُلًا فَعَل مَا فَعَل لِي عَلَيْه حَقٌّ إِلَّا قَامَ فَقَامَ الأَعْمَى يَتَخَطَّى رقَابَ النَّاسِ وَهُوَ يَتَزَلْزلُ حَتَّى قَعَدَ بَيْنَ يَدَي النبيِّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُوْلَ اللّهِ أَنَا صَاحِبُهَا كَانَتْ تَشْتُمُكَ وَتَقَع فِيْكَ فَأَنْهَاهَا فَلَا تَنْتَهِي وَأَزجرُهَا فَلَا تَنْزَجِرُ وَلي مِنْهَا ابْنَان مثلُ الُّلؤْلُؤَتَينِ وَكَانَت بِي رَفِيْقَة فَلَمَّا كَانَتْ الْبَارِحَةُ جَعَلَت تَشْتُمُكَ وَتَقَعُ فِيْكَ فَأَخَذْتُ المِغْولَ فَوَضَعْتُهُ فِي بَطْنِهَا وَاتَّكأْتُ عَلَيْهَا حَتَّى قَتَلْتُهَا فَقَالَ النبيُّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ: ألا اشهَدوا أنَّ دمَها هَدَرٌ
Maksudnya: “Seorang lelaki buta mempunyai Ummu Walad yang menghina Nabi SAW dan dia benar-benar telah melakukannya (penghinaan). Lelaki tersebut telah melarang dan mengancamnya, namun dia tidak berhenti dan lelaki tersebut terus melarangnya namun wanita tersebut tidak mengendahkan larangan tersebut. Ibn Abbas meneruskan lagi: Pada suatu malam, wanita itu kembali mencela Nabi SAW, maka lelaki tersebut mengambil sebilah pisau yang tajam dan meletakkannya di perut wanita tersebut lantas menikamnya. Lelaki tersebut telah membunuhnya sementara antara dua kaki wanita tersebut lahir seorang bayi dalam keadaan wanita tersebut berlumuran darah. Apabila tiba waktu pagi, kejadian tersebut diceritakan kepada Nabi SAW, lalu Baginda SAW mengumpul orang ramai dan bersabda: ‘Aku bersumpah kepada Allah SWT atas seorang lelaki, dia telah melakukan sesuatu perbuatan kerana aku dan dia adalah benar (yakni perbuatannya).” Kemudian lelaki buta itu melangkah di antara manusia hingga dia duduk di hadapan Rasulullah SAW. Dia berkata: ‘Wahai Rasulullah, aku ialah suaminya, akan tetapi dia (wanita) telah mencela dan menghinamu. Aku telah melarangnya dan mengancamnya tetapi dia tetap tidak berhenti atau mengendahkannya. Daripadanya aku telah dikurniakan dua orang anak yang merupakan permata, isteriku sangat sayang kepadaku. Namun, semalam dia telah mencelamu dan menghinamu, lalu aku mengambil pisau dan aku letakkan di perutnya lantas aku menikamnya sehinggalah aku telah membunuhnya.’ lalu Nabi SAW bersabda: ‘Ketahuilah bahawasanya darah wanita itu adalah sia-sia (halal).’”
Riwayat Abu Daud (4361)
Terdapat sebuah athar daripada Abd al-Hamid bin Abd al-Rahman bin Zaid bin al-Khattab, sesungguhnya beliau berada di Kufah mewakili Umar bin ‘Abd al-‘Aziz. Beliau telah menulis kepada Umar bin ‘Abd al-‘Aziz: “Aku mendapati seorang lelaki telah mencelamu di Kufah dan telah terbukti bahawa dia benar-benar telah mencelamu, maka aku ingin membunuhnya atau memotong kedua tangannya atau memotong lidahnya atau menyebatnya, akan tetapi aku terfikir untuk merujuk kepadamu terlebih dahulu berkenaan perkara ini.” Maka Umar bin ‘Abd al-‘Aziz menulis kembali kepada beliau: “Salam sejahtera ke atasmu, demi Allah yang diriku berada di tangan-Nya, jika engkau membunuhnya maka aku akan membunuhmu disebabkan olehnya, jika engkau memotongnya maka aku akan memotongmu disebabkan olehnya, jika engkau menyebatnya maka aku akan menariknya daripada engkau. Apabila engkau menerima perutusanku ini, maka keluarlah engkau dengannya ke Kunasah (yakni tempat pembuangan sampah) lalu engkau celalah dia sebagaimana dia mencelaku atau engkau memaafkannya kerana itu adalah lebih aku suka. Hal ini kerana, tidak halal membunuh seseorang Muslim yang mencela salah seorang daripada manusia melainkan seseorang itu mencela Rasulullah SAW.” (Lihat al-Muhalla, 14/434).
Berdasarkan dalil-dalil ini, tidak syak lagi bahawa isu penghinaan terhadap Baginda Nabi SAW adalah satu perkara yang sangat serius dan tidak boleh dipermainkan. Ini kerana perbuatan menghina Nabi SAW boleh menyebabkan seseorang itu terjerumus ke dalam lembah kekufuran, di mana pelakunya boleh dianggap murtad dan kafir, bahkan wajib dibunuh, seperti yang difatwakan oleh para ulama sejak sekian lama. Di antaranya, pendapat Imam Malik dan al-Auza‘i yang menyatakan bahawa pesalah itu dianggap murtad dan perlu diberikan peluang untuk bertaubat. (Lihat Tabsirah al-Hukkam, 2/212).
Selain itu, Ibn Munzir telah menukilkan dalam kitabnya mengenai kesepakatan ulama — yakni ijma‘ — bahawa sesiapa yang mencela Nabi SAW, maka wajib dibunuh. (Lihat al-Ijma‘, hlm. 128). Bahkan Abu Bakar al-Farisi yang merupakan salah seorang ulama bermazhab al-Syafi‘i menyebutkan, sesiapa yang menghina Nabi SAW seperti menuduh Baginda secara nyata maka dia dihukum kafir dengan sepakat ulama, sekalipun dia bertaubat tetap tidak akan gugur hukuman bunuh yang telah ditetapkan ke atasnya. (Lihat Fath al-Bari oleh Ibn Hajar al- ‘Asqalani, 12/348).
Begitu juga Imam Ahmad bin Hanbal pernah menyebutkan, sesiapa yang mencerca Nabi SAW atau menjatuhkan maruah Baginda, sama ada orang Islam atau bukan Muslim, maka mereka hendaklah dibunuh. Aku berpendapat bahawa dia perlu dibunuh tanpa perlu disuruh untuk bertaubat.’” (Lihat al-Sarim al-Maslul ‘ala Syatim al-Rasul, 1/9).
Kelapan: Penghinaan kepada al-Quran.
Pada asasnya, al-Quran termasuk dalam kitab suci dan mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW. Al-Quran al-Karim adalah sebuah perlembagaan yang lengkap merangkumi seluruh hukum-hakam Islam. Al-Quran juga adalah sumber yang mencurahkan segala kebaikan dan ilmu ke dalam hati yang beriman. Bahkan, al-Quran adalah alat yang terbaik untuk para ahli ibadat mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan cara membaca dan bertadabbur.
Selain itu, Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah ada menukilkan daripada Ibn Mas‘ud R.A melalui pesanannya bahawa:
لَا يُسْأَلُ أَحَدُكُمْ عَنْ نَفْسِهِ إلَّا الْقُرْآنُ فَإِنْ كَانَ يُحِبُّ الْقُرْآنَ فَهُوَ يُحِبُّ اللَّهَ وَإِنْ كَانَ يُبْغِضُ الْقُرْآنَ فَهُوَ يُبْغِضُ اللَّهَ وَرَسُولَ
Maksudnya: “Janganlah ditanya seseorang daripada kamu itu tentang dirinya melainkan al-Quran. Hal ini kerana sekiranya dia mencintai al-Quran maka sesungguhnya dia mencintai Allah, dan sekiranya dia membenci al-Quran maka sesungguhnya dia (sebenarnya) membenci Allah dan Rasul-Nya.” (Lihat Majmu‘ al-Fatawa, 11/216).
Oleh sebab itu, sebahagian ulama meletakkan hukuman yang keras terhadap mereka yang mempermainkan dan menghina al-Quran. Al-Khatib al-Syirbini menyebutkan, di antara perbuatan yang boleh menyebabkan seseorang itu jatuh kufur ialah dia dengan sengaja menghina agama secara terang-terangan atau mengingkarinya seperti mencampakkan kotoran kepada mashaf (al-Quran) kerana perbuatan itu jelas menghina kalamullah, dan menghina atau merendah-rendahkan suatu ucapan (kalam) bermaksud dia telah menghina atau merendah-rendahkan Pengucapnya — yakni Allah SWT. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 5/431).
Begitu juga al-Qadhi ‘Iyadh menyatakan, ketahuilah bahawa sesiapa yang (dengan sengaja) merendah-rendahkan al-Quran atau sesuatu daripadanya, atau mencacinya, atau mengingkarinya tidak kira satu huruf atau satu ayat, atau mendustainya atau mendustai sebahagian daripadanya, atau dia mendustai suatu hukum atau berita yang jelas dinyatakan di dalamnya, atau mengisbatkan suatu yang dinafikannya, atau menafikan suatu yang diisbatkannya, dalam keadaan dia mengetahui perkara tersebut atau dia syak pada sesuatu daripada perkara tersebut, maka dia dikira jatuh kafir di sisi ulama secara ijma‘. (Lihat al-Syifa bi Ta‘rif Huquq al-Mustafa, 2/646)
Oleh itu, perbuatan menghina atau merendah-rendahkan al-Quran bukanlah sesuatu perkara yang boleh dipandang remeh atau ringan kerana berkemungkinan pelakunya boleh dianggap telah jatuh kufur.
Kesembilan: Penghinaan kepada syariah.
Syariah Islam sering dikatakan lebih anjal dan fleksibel sehingga menjadi hujah untuk mengatakan bahawa sememangnya Islam sejak dahulu lagi menganjurkan sifat keterbukaan atau inklusif. Hal ini kerana syariah lebih cenderung kepada kefahaman atau interaksi umat Islam terhadap sumber-sumber syarak untuk menghasilkan sesuatu hukum. Secara ringkas syariah menurut metodologi ilmu Islam bererti apa sahaja yang ditetapkan oleh Allah SWT untuk para hambanya baik tentang akidah, ibadat, akhlak, muamalat dan apa sahaja tata hidup di dunia ini. Namun begitu apabila disebut akidah dan syariah, kebiasaannya syariah akan lebih didefinisikan sebagai hal-hal yang melibatkan perundangan atau tata cara hidup manusia di dunia.
Di dalam syariah, sekiranya terdapat nas-nas yang jelas tentang hukum sesuatu permasalahan, maka tidak boleh sekali-kali berijtihad walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Hukumnya di sini adalah sama dengan perkara-perkara aqidah yang jelas yang tidak dibenarkan untuk berijtihad. Contohnya, terdapat nas yang mengharamkan riba, maka tidak harus lagi berijtihad tentang hukumnya. Begitu juga seumpama telah ada nas tentang wajib membahagikan harta pusaka dengan kadar satu nisbah dua kepada waris lelaki dan perempuan, maka tidak harus lagi berijtihad untuk memberi kadar yang sama rata antara lelaki dan perempuan.
Seseorang yang memungkiri salah satu hukum daripada hukum-hukum syarak yang sabit dengan dalil qat‘i (putus dan jelas) atau mendakwa terdapat unsur-unsur kekerasan pada hukum tertentu seumpama hudud, atau mendakwa kedapatan beberapa hukum syarak yang tidak lagi sesuai untuk dilaksanakan adalah dianggap sebagai kekufuran dan boleh terkeluar daripada Islam. Hal ini kerana perbuatan tersebut seolah-olah menghina syariat Islam dengan menganggap syariat Islam tidak sempurna sehingga perlu dipertikaikan akan pensyariatannya. (Lihat Diskusi Isu Aqidah dan Pemikiran Semasa di Malaysia, hlm. 245-247).
Firman Allah SWT:
وَلَئِن سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ ۚ قُلْ أَبِٱللَّهِ وَءَايَـٰتِهِۦ وَرَسُولِهِۦ كُنتُمْ تَسْتَهْزِءُونَ ٦٥ لَا تَعْتَذِرُوا۟ قَدْ كَفَرْتُم بَعْدَ إِيمَـٰنِكُمْ ۚ
Maksudnya: “Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: ‘Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main.’ Katakanlah: ‘Patutkah nama Allah dan ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?’ (65) Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman.”
(Surah al-Taubah: 65-66)
Syeikh al-Tantawi ketika menafsirkan ayat ini menyebutkan, apabila kamu wahai Nabi yang mulia atau orang beriman yang berakal bertemu dengan orang yang bermain-main dengan ayat-ayat Kami dengan cara mendustakannya, mentohmahnya atau menghinanya maka hendaklah kamu melarikan diri daripada mereka atau meninggalkan majlis mereka supaya mereka melihat perbuatan kamu itu (iaitu meninggalkan mereka) seperti tidak senang dengan tingkah laku mereka dan janganlah kamu kembali semula kepada mereka sehingga mereka berbicara tentang perkara yang lain. (Lihat al-Tafsir al-Wasit, 98/5).
Syeikh ‘Abd al-‘Aziz Ibn Baz turut menyatakan bahawa merendahkan syurga, neraka, atau merendahkan kenikmatan penduduk syurga, atau apa-apa yang disebutkan tentang kenikmatan mereka, atau tentang seksaan penduduk neraka, maka merendah-rendahkan perkara-perkara ini adalah daripada kekufuran yang besar, dan merupakan antara perkara-perkara yang membatalkan Islam menurut Ahli Sunnah.[1]
Kesepuluh: Sihir, termasuk daripadanya adalah sihir pemisahan dan sihir cinta. Sesiapa yang melakukannya atau merestuinya, dia telah jatuh ke dalam kekafiran. Demikian ini adalah sebagaimana firman Allah SWT:
وَمَا يُعَلِّمَانِ مِنْ أَحَدٍ حَتَّى يَقُولَا إِنَّمَا نَحْنُ فِتْنَةٌ فَلَا تَكْفُرْ
Maksudnya: “Sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: “Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya).”
(Surah al-Baqarah: 102)
Menurut Zakariyya al-Ansari, perbuatan sihir adalah haram. Jika dia beriktikad bahawa perbuatan sihir adalah harus, maka jelas dia telah kufur. Jika dia sengaja belajar, mengajar dan melakukan sihir, maka perbuatannya itu adalah perbuatan yang dianggap dosa. Beliau menjelaskan lagi, setiap perkara berkaitan sihir adalah dosa kerana boleh mendatangkan fitnah dan mendatangkan kemudaratan kepada orang lain. (Lihat Asna al-Matalib fi Syarh Raudh al-Talib, 4/82)
Tambahan lagi, sebahagian para ulama menyatakan bahawa jika sihir tersebut boleh membawa mudarat sehingga membunuh orang lain, orang yang melakukan sihir boleh dikenakan hukum qisas. Perkara ini dinukilkan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam kitabnya, Fath al-Bari (10/236).
Kesebelas: Menyokong golongan musyrik dan membantu mereka untuk menentang orang-orang Islam. Firman Allah SWT:
وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ
Maksudnya: “Dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim.”
(Surah al-Ma’idah: 51)
Ibn Jauzi menyatakan bahawa ayat ini terdapat padanya dua pandangan iaitu:
Pertama: Sesiapa yang memihak kepada mereka dalam agama, maka sesungguhnya dia dari kalangan mereka dalam kekufuran.
Kedua: Sesiapa yang memihak kepada mereka dalam perjanjian, maka sesungguhnya dia dari golongan mereka dalam melanggar perintah. (Lihat Zad al-Masir fi ‘Ilmi al-Tafsir, 1/558 )
Kedua belas: Sesiapa yang meyakini bahawa seseorang boleh keluar dari syariat Muhammad SAW, maka dia kafir berdasarkan firman Allah SWT:
وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ
Maksudnya: “Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.”
(Surah Ali Imran: 85)
Abu Hayyan menyatakan, semua syariat-syariat yang ada telah ditolak kecuali syariat (Islam) yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW sahaja. (Lihat al-Bahr al-Muhit, 1/310). Menurut al-Sabuni pula, sesiapa yang mencari syariat selain syariat Islam, selepas diutuskan Nabi SAW untuk dijadikan syariatnya, maka tidak akan sesekali diterima oleh Allah SWT. (Lihat Safwah al-Tafasir, 1/137).
Inilah sebahagiannya yang dapat kami nukilkan sebagaimana yang dinyatakan dalam al-‘Aqidah al-Sahihah wa ma Yudhaduha wa Nawaqidh al-Islam (hlm. 37-39) dengan sedikit olahan dan penambahan daripada kami.
Anjuran Bersikap Baik Terhadap Bukan Muslim yang Baik
Kami telah menemui dalam ucapan ulama Hanafi yang amat penting mengenai isu ini, di antaranya adalah ulama terkenal Mesir, Ibn Nujaim, yang menyatakan dalam kitabnya al-Ashbah wa al-Nazair (hlm. 217): Sesiapa yang menyakiti orang lain dengan perkataan atau perbuatan yang menghina dia dikenakan hukuman ta‘zir – seperti yang disebutkan dalam al-Tatarkhaniyyah – walaupun dengan mengedipkan mata, atau berkata kepada seorang zimmi: ‘Wahai kafir,’ dia berdosa jika itu menyakitinya. Ini adalah ungkapan yang berulang dalam sejumlah buku fiqh Hanafi yang muktamad.
Terkadang, ulama al-Hanafiyyah menyebutkan dengan nas ini juga: “Jika dia berkata kepada seorang Yahudi atau Majusi: ‘Wahai kafir,’ dia berdosa sekiranya itu menyakitinya.” Al-Hamawi berkata dalam syarahnya bagi kitab al-Asybah wa al-Nazair yang dikenali sebagai: Ghamz ‘Uyun al-Basair (2/182): Dia berkata dalam al-Bahr: implikasinya adalah bahawa dia akan dikenakan hukuman ta‘zir kerana melakukan sesuatu yang menyebabkan dosa.
Isu memanggil masyarakat bukan Muslim dengan panggilan ‘Kafir’ telah dibincangkan oleh Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi di dalam sebuah penulisan beliau. Katanya: “Antara bentuk dakwah dengan penuh hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, serta perbahasan yang baik yang dituntut ke atas orang Islam, terutamanya pada era globalisasi ini: Kita tidak berinteraksi dengan mereka yang berlainan fahaman dengan kita menggunakan perkataan ‘Kuffar,’ meskipun kita beriktiqad akan kekufuran mereka. Lebih-lebih lagi apabila yang berlainan fahaman dengan kita itu dari kalangan Ahli Kitab, atas dua alasan berikut:
Pertama: Kalimah ‘Kuffar’ itu mempunyai banyak makna, sebahagiannya tidak dimaksudkan dengan kafir secara yakin, seperti mengingkari kewujudan Allah, Rasul-Nya, dan hari akhirat, sebagaimana keadaan kelompok al-Madiyyun (materialis) yang tidak beriman dengan apa sahaja yang tidak dapat diketahui oleh pancaindera. Maka mereka tidak beriman dengan tuhan, nabi dan juga akhirat.
Kita sebagai muslim, apabila kita berbicara tentang Ahli Kitab, kita tidak menyifatkan mereka sebagai kafir dengan makna tersebut. Sebaliknya yang kita maksudkan adalah kekufuran (tidak menerima) mereka terhadap risalah Muhammad dan agama yang dibawa. Inilah maksud yang sebenar, sepertimana mereka beriktiqad bahawa kita (orang Islam) kufur terhadap agama yang mereka anuti sekarang, ini juga penggunaan yang benar.”
Kedua: Al-Quran mengajarkan kita agar tidak berinteraksi dengan manusia menggunakan ucapan ‘Kafir,’ meskipun mereka sememangnya golongan Kuffar. Perbincangan tentang masyarakat yang tidak beriman di dalam al-Quran, sama ada disebutkan dengan seruan: (يَا أَيُّهَا النَّاسُ) iaitu “Wahai sekalian manusia,” (يَا بَنِي آدَمَ) iaitu “Wahai anak-anak Adam,” (يَا عِبَادِي) iaitu “Wahai hamba-hamba-Ku,” atau (يَا أهْلَ الْكِتَابِ) iaitu “Wahai Ahli Kitab.”
Di dalam al-Quran tidak menyeru dengan ucapan ‘Kafir’ melainkan pada dua ayat sahaja, pertamanya ketika menceritakan tentang interaksi dengan mereka semasa Hari Kiamat:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ كَفَرُوا لَا تَعْتَذِرُوا الْيَوْمَ ۖ إِنَّمَا تُجْزَوْنَ مَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ
Maksudnya: “Malaikat itu akan berkata kepada orang-orang yang dimasukkan ke dalam neraka): ‘Hai orang-orang yang kufur ingkar! Janganlah kamu menyatakan uzur (dengan meminta ampun) pada hari ini, (kerana masanya telah terlambat). Kamu hanyalah dibalas dengan balasan apa yang kamu telah kerjakan’.”
(Surah al-Tahrim: 7)
Dan seterusnya dalam firman Allah SWT:
قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ (1) لَا أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ (2) وَلَا أَنتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ (3) وَلَا أَنَا عَابِدٌ مَّا عَبَدتُّمْ (4) وَلَا أَنتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ (5) لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Hai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadah sepertimana kamu beribadah. Dan kamu pula tidak mahu beribadah sepertimana aku beribadah. Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku’.”
(Surah al-Kafirun: 1-6)
Ini merupakan dialog dengan golongan Musyrikin penyembah berhala yang menawarkan kepada Rasulullah untuk menyembah tuhan mereka selama satu tahun, dan mereka pula menyembah Tuhannya (Allah) selama satu tahun. Maka surah ini ingin mematahkan cubaan mereka ini dengan intonasi yang tajam, menggunakan gaya bahasa yang bersifat muktamad, tidak tersisa sebarang ruang untuk bantahan. Rasulullah SAW diperintahkan untuk berdialog bersama mereka dengan surah yang keras ini, terkandung di dalamnya pengulangan serta penegasan, dan disudahi dengan satu ayat yang membuka pintu toleransi dengan agama lain ketika mana disebutkan: ‘Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku’.” (Lihat Khitabuna al-Islami fi ‘Asr al-‘Aulamah, hlm. 44)
Gelaran Kufur
Sebagai langkah memastikan masyarakat Muslim di Malaysia dapat memahami konteks penggunaan kalimah ‘Kafir’ atau ‘Kufur’ ini dengan lebih baik, para ilmuan Islam telah menyelitkan beberapa panduan dalam perbahasan takfir atau mengkufurkan seseorang; kerana perbuatan ini merupakan suatu dakwaan yang berat, mengeluarkan seseorang dari neraca keimanan.
Oleh kerana isu takfir ini tidak hanya berlaku di antara orang Islam dan orang bukan Muslim semata-mata, bahkan ia terkadang turut berlaku di antara sesama Islam. Terdapat beberapa etika yang digariskan oleh ulama’ untuk dipastikan terlebih dahulu sebelum kita terlanjur melafazkan takfir kepada seseorang yang pada asalnya beragama Islam. Kata al-Ghazali dalam Faisal al-Tafriqah (hlm. 28): “Tergesa-gesa dalam mengkufurkan seseorang ini kebiasaannya dari tabiat orang jahil.” Ibn Hajar al-Haitami pula berkata: “Mufti perlu berhati-hati dalam mengkufurkan seseorang kerana perbuatan tersebut sangat berat, dan mungkin tindakan yang membawa kepada kekufuran itu tidak sengaja dilakukan, terutamanya oleh orang awam.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 9/88)
Maka kami bawakan terlebih dahulu beberapa etika yang digariskan oleh ulama’ Islam, seperti berikut:
- Pertama: Tidak Mengkafirkan Orang Islam Sesuka Hati
Muslim dilarang untuk melemparkan ucapan ‘Kafir’ kepada Muslim yang lain, kerana perbuatan tersebut telah mengeluarkan seseorang yang beriman dari keimanan. Dalam sebuah hadith, Abu Zar R.A menceritakan bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:
لَا يَرْمِي رَجُلٌ رَجُلًا بِالفُسُوقِ، وَلَا يَرْمِيهِ بِالكُفْرِ، إِلَّا ارْتَدَّتْ عَلَيْهِ، إِنْ لَمْ يَكُنْ صَاحِبُهُ كَذَلِكَ
Maksudnya: “Tidaklah seseorang lelaki menuduh seorang lelaki yang lain dengan kefasikan, dan tidak pula menuduhnya dengan kekufuran, melainkan akan kembali kepadanya (tuduhan-tuduhan itu), jika orang yang dituduh itu tidaklah seperti itu.”
Riwayat al-Bukhari (6045) dan Muslim (61)
Ibn Hubairah ketika menghuraikan hadith di atas berkata: “Padanya terdapat larangan yang keras ke atas mereka yang melemparkan kepada saudara Muslimnya dengan ucapan ‘Kafir’. Hal ini kerana dia yakin bahawa ucapan itu akan kembali kepada dirinya semula jika dakwaan terhadap saudaranya itu tidak benar; maka berwaspadalah bagi sesiapa yang syak wasangka tentang perkara tersebut. Dan begitu juga jika dia menuduh saudaranya sebagai fasik, ucapan tersebut akan kembali kepadanya semula jika saudaranya tersebut tidak seperti yang diucapkan dengan yakin. ” (Lihat al-Ifsah, 2/170)
Ini jelas sebagaimana yang disebutkan dalam hadith ‘Abdullah bin ‘Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:
أَيُّمَا رَجُلٍ قَالَ لِأَخِيهِ يَا كَافِرُ، فَقَدْ بَاءَ بِهَا أَحَدُهُمَا
Maksudnya: “Sesiapa sahaja yang berkata kepada saudaranya ‘wahai kafir’, maka ia (dakwaan kafir) akan kembali kepada salah seorang daripada mereka berdua”
Riwayat al-Bukhari (6104) dan Muslim (60)
Melalui hadith ini, Ibn ‘Abd al-Barr mengatakan bahawa ia merupakan peringatan dan larangan dari mengucapkan takfir ini kepada orang lain dari kalangan ahli Kiblat dengan berkata: “Wahai Kafir!” (Lihat al-Tamhid, 14/22)
Bahkan mengkafirkan saudara Muslim yang lain merupakan suatu dosa besar kerana ia diibaratkan seperti membunuh saudara seislam. Disebutkan dalam hadith Thabit bin al-Dahhak R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
وَمَنْ رَمَى مُؤْمِنًا بِكُفْرٍ فَهُوَ كَقَتْلِهِ
Maksudnya: “Sesiapa yang menuduh orang mukmin sebagai kafir, maka perkara itu seperti membunuhnya.”
Riwayat al-Bukhari (1605)
- Kedua: Tidak Mengkufurkan Seseorang Kerana Dosa yang Dilakukan
Ibn Abi al-‘Izz al-Hanafi menyebutkan, ramai imam (dalam mazhab fiqh) melarang secara umum dari mengkafirkan seseorang atas perbuatan dosa yang dilakukannya, bahkan turut dikatakan: kita tidak boleh mengkufurkan mereka yang melakukan dosa atas apa jua dosa yang dilakukan, sepertimana yang dilakukan oleh kelompok al-Khawarij. (Lihat Syarh al-Tahawiyyah, 2/433)
Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah juga menyebutkan di dalam al-‘Aqidah al-Wasitiyyah (hlm. 113), ahli Kiblat tidak dikafirkan hanya kerana perbuatan maksiat dan dosa besar yang dilakukan, sepertimana yang dilakukan kelompok al-Khawarij, bahkan ukhuwah keimanan itu kekal teguh meskipun ada yang melakukan maksiat. Allah SWT menyebutkan dalam ayat qisas:
فَمَنْ عُفِيَ لَهُ مِنْ أَخِيهِ شَيْءٌ فَاتِّبَاعٌ بِالْمَعْرُوفِ
Maksudnya: “Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak yang terbunuh), maka hendaklah orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa).”
(Surah al-Baqarah: 178)
Disebutkan juga dalam firman-Nya:
وَإِن طَائِفَتَانِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ اقْتَتَلُوا فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا ۖ فَإِن بَغَتْ إِحْدَاهُمَا عَلَى الْأُخْرَىٰ فَقَاتِلُوا الَّتِي تَبْغِي حَتَّىٰ تَفِيءَ إِلَىٰ أَمْرِ اللَّهِ ۚ فَإِن فَاءَتْ فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا بِالْعَدْلِ وَأَقْسِطُوا ۖ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ (9) إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
Maksudnya: “Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”
(Surah al-Hujurat: 9-10)
Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin berkata, orang Islam di sisi Ahli Sunnah wal Jama‘ah tidak dikafirkan kerana umum perbuatan maksiat dan dosa besar yang dilakukan. Terdapat perbezaan di antara ‘umum sesuatu perkara’ (مُطْلَقُ الشَّيْءِ) dan ‘suatu perkara yang bersifat umum’ (الشَّيْءُ المُطْلَقُ). ‘Suatu perkara yang bersifat umum’ (الشَّيْءُ المُطْلَقُ) bermaksud kesempurnaan sesuatu itu, manakala ‘umum sesuatu perkara’ (مُطْلَقُ الشَّيْءِ) pula merujuk kepada asas sesuatu itu. Orang beriman yang melakukan dosa besar, dia mempunyai ‘umum keimanan’ (مُطْلَقُ الْإِيمَانِ), maka asas keimanan itu sendiri memang wujud dalam dirinya, akan tetapi kesempurnaannya sahaja yang hilang. Perbincangan yang dibawakan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah ini sangat mendalam. (Lihat Syarh al-‘Aqidah al-Wasitiyyah, 2/237)
- Ketiga: Orang yang Diyakini Keislamannya, Tidak Boleh Dikafirkan Melainkan Jika Diyakini Kekufurannya
Perkara ini telah disebutkan oleh para ulama’ terdahulu, antaranya Ibn ‘Abd al-Barr di dalam al-Tamhid (21/17): “Sesiapa sahaja yang telah tetap keislamannya pada suatu masa tertentu dengan persepakatan kaum Muslimin, lalu dia melakukan dosa atau melakukan suatu takwilan, kemudian kaum Muslimin berselisih tentang terkeluarnya dia dari Islam; maka perselisihan itu memerlukan kepada hujjah kerana ia datang selepas wujudnya persepakatan, dan orang tersebut tidak dihukumkan terkeluar dari keislaman yang telah disepakati melainkan dengan adanya persepakatan lain (atas kekufurannya) atau datangnya dalil sunnah yang tetap tanpa sebarang percanggahan.”
Ibn Nujaim menukilkan dari kitab Jami‘ al-Fusulain bahawa Imam al-Tahawi meriwayatkan dari ashab al-Hanafiyyah: “Seseorang itu tidak terkeluar dari daerah keimanan melainkan dengan perbuatan ingkar yang boleh menyebabkan dia termasuk dalam kekufuran, perbuatan yang diyakini bahawa ia pengingkaran terhadap agama, maka dia ketika itu dihukumkan sebagai kafir. Dan perbuatan yang hanya disyaki bahawa ia pengingkaran terhadap agama, maka orang itu tidaklah dihukumkan sebagai kafir; kerana keislaman yang telah tetap tidak gugur dengan wujudnya syak, dan Islam juga perlu ditinggikan. Seorang alim yang dibawakan kepadanya masalah ini seharusnya tidak tergesa-gesa menjatuhkan hukuman takfir terhadap orang Islam.” (Lihat al-Bahr al-Ra’iq, 5/134)
- Keempat: Seseorang Itu Dihukum Berdasarkan Zahirnya
Bermaksud, jika pada zahirnya seseorang itu melakukan perbuatan yang menandakan bahawa dia seorang yang beragama Islam serta beriman kepada Allah SWT, maka dihukumkan berdasarkan zahir tersebut bahawa dia seorang Muslim, sehinggalah datangnya bukti yang mengatakan sebaliknya.
Ini merupakan satu kaedah yang makruf dalam ilmu Fiqh dan Usul al-Fiqh, seperti yang disebutkan oleh al-Nawawi, bahawa segala hukum ditentukan berdasarkan apa yang zahir sahaja, dan Allah SWT yang segala urusan-urusan yang rahsia. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 2/107)
Hal yang demikian berdasarkan hadith Abu Sa‘id al-Khudri R.A, Rasulullah SAW bersabda:
إِنِّي لَمْ أُومَرْ أَنْ أَنْقُبَ عَنْ قُلُوبِ النَّاسِ وَلاَ أَشُقَّ بُطُونَهُمْ
Maksudnya: “Sesungguhnya aku tidak diperintah untuk memeriksa hati manusia dan tidak pula (diperintahkan untuk) membelah perut mereka.”
Riwayat al-Bukhari (4351) dan Muslim (1064)
Allah SWT juga telah menjelaskan perkara ini di dalam firman-Nya:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا ضَرَبْتُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَتَبَيَّنُوا وَلَا تَقُولُوا لِمَنْ أَلْقَىٰ إِلَيْكُمُ السَّلَامَ لَسْتَ مُؤْمِنًا
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu pergi (berperang) pada jalan Allah (untuk membela Islam), maka hendaklah kamu menyelidik (apa jua perkara dengan sebaik-baiknya), dan janganlah kamu (terburu-buru) mengatakan kepada orang yang menunjukkan kepada kamu sikap damai (dengan memberi salam atau mengucap dua Kalimah Syahadat): ‘Engkau bukan orang yang beriman’ (lalu kamu membunuhnya).”
(Surah al-Nisa’: 94)
Al-Tabari menafsirkan ayat di atas seraya berkata, Allah SWT menyampaikan pesan agar orang beriman tidak tergesa-gesa membunuh orang yang diragui keimanannya ketika dalam peperangan, dan jangan mula memerangi untuk membunuh seseorang melainkan diyakini bahawa dia menentang kaum Muslimin, menentang Allah SWT dan juga Rasul-Nya. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 9/70)
Ini juga thabit sebagaimana dalam hadith daripada Anas bin Malik R.A, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ صَلَّى صَلاَتَنَا وَاسْتَقْبَلَ قِبْلَتَنَا، وَأَكَلَ ذَبِيحَتَنَا فَذَلِكَ المُسْلِمُ الَّذِي لَهُ ذِمَّةُ اللهِ وَذِمَّةُ رَسُولِهِ، فَلاَ تُخْفِرُوا اللهَ فِي ذِمَّتِهِ
Maksudnya: “Sesiapa yang menunaikan solat seperti solat kita, berkiblatkan dengan kiblat kita dan memakan sembelihan kita, itulah orang Muslim yang dalam jaminan Allah dan jaminan Rasul-Nya SAW. Maka janganlah kamu khianati jaminan Allah itu.”
Riwayat al-Bukhari (391)
Sekiranya ditimbulkan persoalan, mengapa dikhususkan 3 perbuatan itu sahaja tanpa disebutkan pelbagai rukun serta kewajipan yang lain? Jawapannya, kerana ketiga-tiga perkara yang disebutkan dalam hadith di atas merupakan tanda yang paling jelas, paling agung dan paling cepat untuk seseorang tahu tentang keislamannya. Pada zaman ini, pada kebiasaannya ibadah solat dan pemakanan seseorang itu boleh diketahui, berbeza dengan ibadah puasa dan haji. (Lihat Irsyad al-Sari, 1/411)
- Kelima: Memastikan Berita Seorang Muslim Keluar dari Islam itu Adalah Benar
Allah SWT berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”
(Surah al-Hujurat: 6)
Al-Syaukani menafsirkan, yang dimaksudkan dengan (التَّبَيُّنُ) adalah identifikasi dan menyiasat. Dan antara bentuk al-tathabbut (التَّثَبُّتُ) atau memastikan sesuatu adalah dengan cara penuh toleransi dan tidak tergesa-gesa, merenung suatu perkara yang telah berlaku itu dan perkhabaran yang disampaikan itu sehingga jelas dan terzahir hakikat sebenar. (Lihat Fath al-Qadir, 5/71)
Ibn ‘Abbas R.Anhuma ketika menafsirkan firman Allah SWT:
وَلَا تَقُولُوا لِمَنْ أَلْقَىٰ إِلَيْكُمُ السَّلَامَ لَسْتَ مُؤْمِنًا
Maksudnya: “Dan janganlah kamu (terburu-buru) mengatakan kepada orang yang menunjukkan kepada kamu sikap damai (dengan memberi salam atau mengucap dua Kalimah Syahadat): ‘Engkau bukan orang yang beriman’ (lalu kamu membunuhnya).”
(Surah al-Nisa’: 94)
Beliau berkata:
كَانَ رَجُلٌ فِي غُنَيْمَةٍ لَهُ فَلَحِقَهُ الْمُسْلِمُونَ فَقَالَ: السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ، فَقَتَلُوهُ وَأَخَذُوا غُنَيْمَتَهُ
Maksudnya: “Ada seorang lelaki berada bersama sekumpulan kecil kambing miliknya, lalu beberapa orang muslim mendapatinya, maka dia (pemilik kambing itu) pun mengucapkan: ‘Assalamualaikum.’ Namun mereka (tetap) membunuhnya dan mengambil kambingnya itu. Maka Allah pun menurunkan atas sebab itu (ayat di atas tadi).”
Riwayat al-Bukhari (4591)
Berbeza pula situasinya yang menjadi isu utama perbahasan kajian ini, apabila timbul konflik menamakan seorang bukan Muslim itu sebagai ‘Kafir’, maka ia perlu kepada penjelasan yang lebih baik agar keharmonian masyarakat tidak terjejas dengan wujudnya sentimen-sentimen melibatkan kepercayaan mana-mana agama tertentu. Benar, hakikat mereka yang tidak beriman dengan agama Islam atau murtad adalah kafir, akan tetapi ia tidak menjadikan hikmah keharusan untuk kita memanggil mereka sesuka hati dengan panggilan “Wahai Kafir!” Maka, kami cuba meringkaskan penerangan ini kepada dua noktah yang utama:
- Penggunaan Kalimah ‘Kafir’ Bagi Membezakan Akidah Kepercayaan
Masyarakat Muslim perlu jelas bahawa konteks penggunaan ‘Kafir’ di dalam nas-nas syara‘ bertujuan untuk membezakan antara orang Islam yang mempercayai bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah SWT, dengan mereka yang mengambil selain dari Allah SWT sebagai sembahan.
Syeikh Muhammad Rasyid Redha menyebutkan: “Lafaz ‘Kafir’ yang disebutkan dalam al-Quran, telah diketahui di sisi fuqaha’ dan ahli Kalam dengan makna yang berlawanan dengan keimanan yang benar menurut syara‘. Kemudian lafaz ini digunakan dalam penulisan kitab moden untuk merujuk kepada kelompok Ateis yang menafikan dan mengingkari kewujudan Allah SWT.” (Lihat Tafsir al-Manar, 7/556).
Maka, istilah kafir tetap terpakai bagi membezakan antara Muslim dan bukan Muslim dari sudut akidah.
- Tidak Menggunakan Kalimah ‘Kafir’ Dalam Konteks Hubungan Sosial
Memanggil masyarakat bukan Muslim dengan ucapan ‘Kafir’ bagi urusan seharian adalah tidak sepatutnya dilakukan bagi menjaga keharmonian masyarakat majmuk. Malah, kami yakin ia amat janggal dan tidak pernah diamalkan di Malaysia.
Syeikh Muhammad Rasyid Redha menyebutkan di dalam keratan artikel dari Majalah al-Manar (1/17) yang bertajuk Istilah-istilah Kitab Moden, beliau berpendapat menggunakan kalimah ‘Kafir’ dalam perbualan tidak diharuskan menurut syara‘. Hal ini kerana, pada zaman ini ia dianggap sebagai satu cercaan yang sangat buruk, ibarat panah kehinaan yang sangat melukakan, dan ini adalah perkara yang ditegah oleh syari‘at Islam dengan persepakatan ulama’ Islam. Akan tetapi, ini tidak sewajarnya menjadi penghalang untuk kita menerima konteks penggunaan kalimah ‘Kafir’ pada zaman awal keislaman yang ditujukan kepada setiap agama yang menyelisihi Islam, kerana ia tidak pernah digunakan pada zaman pensyariatan Islam dengan tujuan untuk mencerca. Sebaliknya, ia merupakan lafaz yang paling lunak bagi merujuk kepada setiap agama yang menyelisihi Islam tanpa tujuan mengaibkan atau menghina, apatah lagi ingin mencerca atau menyakitkan yang pastinya bertentangan dengan tujuan pensyariatan serta adab Islam.
Inilah Nasihat Kami
Islam adalah agama yang menitikberatkan soal nasihat, kerana itu al-Quran mengajarkan kita untuk sentiasa berpesan-pesan kepada kebaikan sepertimana firman Allah SWT:
وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ
Maksudnya: “Berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”
(Surah al-‘Asr: 3)
Ini mengingatkan kami kepada sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Tamim al-Dari R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
الدِّينُ النَّصِيحَةُ. قُلْنا: لِمَن؟ قالَ: لِلَّهِ ولِكِتابِهِ ولِرَسولِهِ ولأَئِمَّةِ المُسْلِمِينَ وعامَّتِهِمْ
Maksudnya: “Agama itu (menginginkan pengikutnya) nasihat (berbuat kebaikan). Lalu kami bertanya: ‘Kerana siapa (kebaikan itu)?’, kata Baginda: ‘Kerana Allah, kerana kitab-Nya, kerana Rasul-Nya, kerana pemimpin-pemimpin orang Islam, dan kerana orang Islam secara umumnya.”
Riwayat Muslim (55)
Ibn al-Athir menyebutkan bahawa yang dimaksudkan dengan nasihat ialah semua jenis kebaikan yang diinginkan bagi pihak lain. (Lihat al-Nihayah fi Gharib al-Hadith, 5/63)
Imam al-Nawawi mengatakan bahawa, nasihat kerana orang Islam secara umumnya adalah memberi petunjuk kepada perkara yang membawa mereka kepada maslahat akhirat dan juga dunia, dan menghalang daripada mereka ditimpa mudharat. Maka diajarkan kepada mereka apa yang mereka tidak tahu. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 2/39)
Maka, kami terpanggil untuk membawakan nasihat ini kepada masyarakat Islam agar sentiasa memainkan peranan penting dalam menjaga kesucian dan ketulenan agama Islam, kerana tidak ada yang dapat memelihara agama ini melainkan umat Islam sendiri. Oleh yang demikian, tidak sewajarnya bagi seseorang Muslim untuk “mengharamkan” suatu istilah khusus yang telah digunapakai sejak awal pensyariatan Islam. Sebaliknya, tindakan terbaik adalah dengan memberikan kefahaman kepada generasi muda Muslim di Malaysia tentang penggunaan yang tepat bagi istilah “Kafir” ini.
Saya amat yakin bahawa individu tersebut tidaklah bertujuan untuk memadam dan menafikan istilah berkenaan, tetapi ia hanya pilihan kata yang kurang sesuai semasa menyampaikan pandangannya. Islam datang dengan membawakan 1001 kebaikan dari pelbagai aspek; amal ibadah, muamalat, perundangan, sehingga sekecil-kecil perkara seperti penggunaan istilah. Maka, kami melihat, jalan tengah yang perlu kita ambil adalah dengan memahami kesesuaian penggunaan istilah ‘Kafir’ ini mengikut konteksnya.
Sekiranya istilah ini digunakan sebagai pembeza antara pegangan akidah seseorang dengan yang lainnya, seperti berkata: “Orang Kafir tidak beriman kepada Allah SWT,” maka ia masih menepati neraca syara‘. Akan tetapi, jika istilah ini digunakan dalam perbualan dan interaksi, seperti berkata: “Wahai Kafir!” atau “Kamu ini Kafir!”, maka ini pastinya amat jauh dari apa yang diteladani dari akhlak Islam yang tinggi dengan sikap toleransi serta sangat menjaga hati penganut agama lain.
Akhir kata, alangkah baiknya jika permasalahan ini dikembalikan kepada para alim ulama’ yang lebih arif tentang isu ini, selaras dengan firman Allah SWT:
فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan Musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.”
(Surah al-Nahl: 43)
Umum ayat ini mengandungi puji-pujian buat para ilmuan, dan bidang ilmu yang paling tinggi kedudukannya adalah ilmu berkenaan Kitabullah. Sesungguhnya Allah SWT memerintahkan mereka yang tidak tahu agar merujuk kepada ilmuan pada apa jua isu yang dihadapi, dan dengan bertanya itu dapat melepaskan seorang jahil dari memikul tanggungjawab. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 441)
Penutup
Moga-moga sedikit sebanyak ia dapat memberikan pencerahan berkenaan dengan polemik ini dan seterusnya meredakan ketegangan antara pihak yang terlibat.
Ditambah lagi, kita sekarang ini berada di bulan Syawal yang mulia, yang mana sepatutnya kita menyibukkan diri dan memberikan tumpuan untuk mengekalkan ibadah kepada-Nya serta mengurangkan perbuatan yang boleh mensia-siakan pahala Ramadhan kita seperti polemik yang membawa kepada natijah yang tidak baik kepada keharmonian masyarakat.
Sekali lagi, kami ingin menegaskan di sini bahawa apa-apa isu yang melibatkan hal ehwal keagamaan, semua pihak perlu lebih berhati-hati dan sentiasalah merujuk kepada mereka yang berkeahlian sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan.
Kami sudahi kajian ini dengan menadah tangan memanjatkan doa kepada Tuhan sekalian alam:
اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ
Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah aku dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah jalan yang lurus kepada sesiapa yang Engkau kehendaki.”
Wallahu a‘lam