Soalan
Assalamualaikum ustaz. Boleh jelaskan tentang maksud istikharah dan kaifiat solat Istikharah?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Istikharah merupakan satu cara untuk memohon petunjuk dan jalan yang terbaik dalam apa jua perkara yang dihadapi. Ianya adalah satu sunnah yang diajarkan oleh Nabi SAW kepada umatnya. Allah SWT menggalakkan hamba-Nya untuk memohon petunjuk kepada-Nya dalam menentukan pilihan-pilihan yang harus dipilih olehnya. Allah SWT berfirman:
وَاستَعِينُواْ بِالصَّبرِ وَالصَّلَوةِ
Maksudnya: “Dan kamu mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang.”[1]
Asal bagi perkataan istikharah ialah daripada perkataan ‘خير’ yang membawa makna kebaikan. Penambahan huruf Alif, Sin dan Ta’ menambah lagi maknanya. Lafaz ‘استخار’ membawa makna memohon pilihan. Inilah yang dinyatakan oleh Ibn Manzur.[2]
Istikharah dari sudut istilah feqah membawa maksud permintaan kepada Allah SWT agar diberi pertunjuk dalam memilih sesuatu perkara yang terbaik. Hal ini sebagaimana yang disebut oleh al-Dimyati: “Memohon kebaikan daripada sesuatu keinginan untuk dilakukannya.”[3] Ini juga sepertimana disebut oleh Imam Badruddin al-‘Aini, di mana makna istikharah itu ialah meminta kebaikan.[4]
Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani pula menyatakan istikharah sebagai:
طَلَبُ خَيْرِ الْأَمْرَيْنِ لِمَنَ احْتَاجَ إِلَى أَحَدِهِمَا
Maksudnya: “Memohon diberi pertunjuk yang terbaik dalam dua perkara bagi sesiapa yang menginginkan salah satu daripadanya.”[5]
Lebih jelas, Syeikh Syams al-Haq ‘Azim Abadi menyebut bahawa maksud daripada istikharah itu sendiri meminta dipermudahkan dan diberi kebaikan pada dua perkara kebaikan. Sama ada terus melakukannya atau meninggalkannya.[6]
Ini membawa maksud bahawa solat istikharah dilakukan untuk perkara-perkara yang harus bukannya perkara yang haram. Bagaimana mungkin adanya kebaikan di dalam perkara yang diharamkan oleh Allah. Hal ini jelas dilihat melalui sebahagian doa istikharah yang diajarkan oleh Nabi SAW.
اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الأَمْرَ خَيْرٌ لِي فِي دِينِي وَمَعِيشَتِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي ، أَوْ قَالَ : فِي عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ ، فَيَسِّرْهُ لِي ، ثُمَّ بَارِكْ لِي فِيهِ
Maksudnya: “Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa perkara ini baik untuk untuk agamaku, kehidupanku dan penghujungku. Ataupun Nabi bersabda : sama ada perkara yang segera atau yang lambat. Maka permudahkanlah urusanku dan berkatilah aku dalam urusan tersebut.”
Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Mubarakfuri ketika mensyarahkan hadis ini beliau menyebut solat istikharah dan doanya disunatkan di dalam perkara yang mana seseorang tidak tahu mana satu yang benar. Adapun yang sudah diketahui kebaikannya seperti ibadah dan perbuatan yang baik serta perkara yang haram maka tiada keperluan untuk melakukan solat istikharah padanya.[7]
Berkenaan dengan solat istikharah, ia adalah di antara sunnah yang diajarkan oleh Nabi SAW. Ini berdasarkan satu riwayat daripada Jabir bin Abdillah R.A:
كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعَلِّمُنَا الاِسْتِخَارَةَ فِي الأُمُورِ كُلِّهَا كَمَا يُعَلِّمُنَا السُّورَةَ مِنَ القُرْآنِ ، يَقُولُ : إِذَا هَمَّ أَحَدُكُمْ بِالأَمْرِ فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ مِنْ غَيْرِ الفَرِيضَةِ ، ثُمَّ لِيَقُلْ : اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْتَخِيرُكَ بِعِلْمِكَ ، وَأَسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ ، وَأَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ العَظِيمِ ، فَإِنَّكَ تَقْدِرُ وَلاَ أَقْدِرُ ، وَتَعْلَمُ وَلاَ أَعْلَمُ ، وَأَنْتَ عَلاَّمُ الغُيُوبِ ، اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الأَمْرَ خَيْرٌ لِي فِي دِينِي وَمَعِيشَتِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي ، أَوْ قَالَ : فِي عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ ، فَيَسِّرْهُ لِي ، ثُمَّ بَارِكْ لِي فِيهِ ، وَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الأَمْرَ شَرٌّ لِي فِي دِينِي وَمَعِيشَتِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي ، أَوْ قَالَ : فِي عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ ، فَاصْرِفْهُ عَنِّي ، وَاصْرِفْنِي عَنْهُ ، وَاقْدُرْ لِي الخَيْرَ حَيْثُ كَانَ ، ثُمَّ أَرْضِنِي بِهِ ، قَالَ : وَيُسَمِّي حَاجَتَهُ.
Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah mengajarkan kami tentang memohon pilihan bagi semua perkara (istikharah) sepertimana Baginda mengajarakan kami surah daripada al-Quran. Baginda bersabda: Jika salah seorang dari kalian gusar tentang satu perkara maka rukuklah dua rakaat selain dari yang fardu. Kemudian katakanlah: Ya Allah, aku memohon pilihan dengan ilmu-Mu, aku memohon kekuatan dengan kekuatan-Mu, Aku juga memohon daripada limpahan-Mu yang Agung. Engkau mampu sedangkan aku tidak. Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak tahu. Engkau Maha Tahu tentang perkara yang ghaib. Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa perkara ini baik untuk untuk agamaku, kehidupanku dan penghujungku. Ataupun Nabi bersabda: sama ada perkara yang segera atau yang lambat. Maka permudahkanlah urusanku dan berkatilah aku dalam urusan tersebut. Jika Engkau tahu bahawa perkara ini buruk bagiku pada agamaku, kehidupanku dan penghujung hidupku. Ataupun Baginda bersabda: sama ada yang segera atau yang lambat. Maka, jauhkanlah ia dariku dan jauhkan aku darinya. Dan tentukan bagiku yang terbaik kemudian redhailah aku dengannnya. Kemudian Baginda bersabda: Orang itu (boleh) menyatakan hajatnya.”[8]
Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Mubarakfuri menyatakan yang dimaksudkan dengan istikharah di dalam hadis ini ialah solat istikharah. Kata beliau lagi bahawa hadis ini menjadi dalil bahawa tidak harus bagi seseorang memperkecilkan apa-apa perkara walaupun ianya nampak remeh. Lalu dia meninggalkan istikharah. Berkemungkinan, perkara yang diremehkannya itu nanti pada masa akan datang menjadi mudarat baginya. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 2/482)
Ini membawa erti bahawa solat istikharah adalah satu cara memohon petunjuk dan jalan yang terbaik dalam apa jua perkara yang dihadapai. Ianya adalah satu sunnah yang diajarkan oleh Nabi saw kepada umatnya.
Hukum solat isktikharah adalah sunat. Bagi sesiapa yang ada hajat atau ingin memohon petunjuk tentang satu perkara yang ingin dilakukannya maka disunatkan kepadanya solat dua rakaat dan berdoa dengan doa yang telah diajarkan oleh Nabi saw sepertimana yang terkandung di dalam hadis riwayat Jabir. Sehinggakan al-Aini di dalam Umdah al-Qari menyatakan jika ingin memilih tali kasut pun perlu untuk memohon petunjuk Allah melalui solat istikharah.
Imam al-Nawawi menyatakan kaifiatnya adalah seperti berikut :
- Rakaat yang pertama selepas membaca al-Fatihah harus membaca surah al-Kafirun.
- Rakaat yang kedua selepas membaca al-Fatihah harus membaca surah al-Ikhlas.
- Berdoa dengan doa yang telah diajarkan oleh Nabi ataupun doa-doa yang sesuai.[9]
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 6/1/2022 bersamaan 3 Jamadil Akhir 1443H
[1] Surah al-Baqarah: 45
[2] Lihat Lisan al-Arab, 4/264
[3] Lihat I’anah al-Talibin, 1/297
[4] Lihat ‘Umdah al-Qari, 23/11
[5] Lihat Fath al-Bari, 11/183
[6] Lihat ‘Aun al-Ma’bud, 25/448
[7] Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 2/591
[8] Riwayat al-Tirmizi (480) dan Ibn Majah (1383). Imam al-Tirmizi menyatakan bahawa hadis ini bertaraf hasan sahih gharib.
[9] Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/54