Alhamdulillah saya lafazkan dan zahirkan perasaan gembira sebagai seorang Muslim yang Mukmin pada awal Ramadhan, dengan niat untuk beribadah kepada Allah SWT dengan sesungguh-sungguhnya. Antara yang disunatkan untuk kita lakukan dalam menyambut kedatangan bulan Ramadhan al-Mubarak adalah:

Pertama, kita doakan apabila masuk sahaja waktu Maghrib:

اللَّهُمَّ أَهِلَّهُ عَلَيْنَا بِالْأَمْنِ وَالْإِيمَانِ، وَالسَّلَامَةِ وَالْإِسْلَامِ، وَالتَّوْفِيقِ لِمَا نُحِبُّ وَتَرْضَى، رَبُّنَا وَرَبُّكَ اللَّهُ.

Maksudnya: “Ya Allah keluarkanlah daripada anak bulan ini ke atas kami dengan keamanan dan keimanan, serta berikanlah keselamatan dan keIslaman, bantulah atas setiap apa yang kami sukai dan yang Engkau redhai. Tuhan kami dan Tuhanmu (anak bulan) ialah Allah SWT”.

Riwayat al-Tirmizi (3451), Ahmad (1228), Ibn Hibban (888), al-Darimi (1687), al-Tabarani (12/356), Ibn al-Sunni dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah (646). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan hadith ini sahih li ghairihi dalam takhrij Sahih Ibn Hibban (888).

 

Kedua, ramai dalam kalangan salafussoleh berdoa kepada Allah SWT terutamanya pada awal Ramadhan dengan melafazkan:

اللَّهُمَّ سَلِّمْنِي لِرَمَضَانَ، وَسَلِّمْ رَمَضَانَ لِي، وَتَسَلَّمْهُ مِنِّي مُتَقَبَّلًا.

Maksudnya: “Ya Allah, sejahterakanlah aku sehingga datangnya Ramadhan, sejahterakanlah Ramadhan bagiku dan terimalah dariku (ibadat pada bulan itu).”

Riwayat al-Tabarani di dalam al-Du’a (913) dan Abu Nu’aim al-Asbahani di dalam Hilyah al-Auliya’ (3/69). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya dha’if dalam takhrij Siyar A’lam al-Nubala’ (19/51)

Ketiga, seboleh-bolehnya kita niat puasa sebulan pada malam pertama, dengan bertaqlid kepada mazhab Maliki dan menjaga dari sebarang bentuk yang membatalkan puasa dan juga yang membatalkan pahala puasa kita. Ingatlah hadith Baginda SAW, daripada Abu Hurairah R.A, sabda Baginda SAW:

مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّوْرِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلّٰهِ حَاجَةٌ أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَه

Maksudnya: “Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan keji (dusta) serta mengamalkannya, maka Allah tidak berhajat orang itu meninggalkan makan dan minumnya.” [1]

 Riwayat al-Bukhari ( no. 1770, 5597)

Keempat, kita mulakan malam Ramadhan al-Mubarak ini dengan banyakkan bertaubat dan beristighfar agar kita masuk Ramadhan dengan amalan ibadat sama ada yang wajib mahu pun yang sunat dengan suci dan bersih dari dosa yang telah kita lakukan. Justeru,  kita mengharapkan ramadhan yang lalu bersambung dengan Ramadhan yang kita alami ini akan dapat menghapuskan dosa-dosa kita. Benarlah hadith Nabi SAW, daripada Abu Hurairah R.A, sabda Baginda SAW:

 الصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ، وَالْجُمُعَةُ إِلَى الْجُمُعَةِ، وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ، مُكَفِّرَاتٌ مَا بَيْنَهُنَّ، إِذَا اجْتَنَبَ الْكَبَائِرَ.

Maksudnya: “Solat lima waktu, dari hari Jumaat ke Jumaat  (berikutnya) dan Ramadhan ke Ramadhan (berikutnya) akan menghapuskan (dosa-dosa) di antara tempoh tersebut apabila menjauhi dosa-dosa besar.” [2]

Riwayat Muslim (233) dan al-Tirmizi (214)

Kita berdoa dan berharap supaya Ramadhan yang kita lalui kali ini selamat dari segala penyakit. Seperti yang kita pernah lalui iaitu COVID-19 pada beberapa tahun lepas. Alhamdulillah, COVID-19 hampir hilang dan kita harap ia tidak akan berulang lagi.

Kita mengharapkan agar Ramadhan kali ini adalah yang terbaik dalam kamus kehidupan kita berbanding dengan siri Ramadhan yang lepas. Justeru, marilah kita mengisi manual Ramadhan harian kita dengan puasa, solat berjemaah pada awal waktu seboleh-bolehnya di masjid atau surau, solat tarawih, tahajjud dan witir, zikrullah, selawat atas Nabi SAW dan lebih-lebih lagi bacaan al-Quran. Ini kerana Ramadhan disebutkan sebagai bulan diturunkan al-Quran. Ini disebutkan di dalam firman Allah SWT:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ

Maksudnya: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu.”

(Surah al-Baqarah: 185)

Pasakkan azam yang kuat untuk menjadikan masjid dan surau sebagai “rumah kedua” kita sepanjang Ramadhan, bermula daripada malam yang pertama sehinggalah malam terakhir Ramadhan. Isilah dengan pelbagai acara ibadah yang memaknakan Ramadhan kita.

Ahlan wa Sahlan ya Ramadhan. Ramadhan yang telah lama kita dambakan telah sampai. Maka, gunalah Ramadhan ini dengan kita betul-betul memanfaatkan masa kita untuk beribadah kepada Allah SWT.

Kita amat mengharapkan kepada Allah SWT agar bulan Ramadhan yang kita lalui ini untuk memperolehi rahmah, keampunan, selamat dan merdeka dari neraka ini,  melayakkan kita memasuki syurga Allah SWT melalui pintu al-Rayyan.

Mengambil kesempatan dengan kedatangan Ramadhan al-Mubarak ini, saya menyusun 10 jari memohon ampun dan maaf kepada semua pihak. Saya dengan seikhlas hati juga memaafkan anda semua jika adanya kesalahan terhadap diri saya. Semoga kita semua bersih dari sebarang sifat-sifat mazmumah seperti hasad dengki, dendam kesumat, prasangka buruk dan lain-lain lagi.

Kita sama-sama memohon kepada Yang Maha Esa agar mengurniakan kepada kita sifat rahmah, ukhuwwah, insaniyyah, ikhlas, toleransi dan 1001 sifat mahmudah. Saya berdoa sebagaimana yang diajar oleh Allah SWT:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan Rahmat-Mu.

Surah al-Hasyr (10)

Semoga Allah SWT mengurniakan taufiq, hidayah, inayah, ‘afiyah dan rahmah kepada pemimpin negara kita, pembesar-pembesarnya serta seluruh umat Islam sentiasa mendapat keampunan Allah serta panduan dan pedoman daripada-Nya.

Semoga Allah SWT taufiq dan hidayahkan kepada kita untuk beribadah dengan sesungguh-sungguhnya. Kerana ia sudah pasti menatijahkan taqwa, maghfirah, keredhaan Allah SWT yang menjadikan kita termasuk di kalangan hamba-hamba-Nya yang bertaqwa.

Akhukum fillah,

Dr Zulkifli bin Mohamad al-Bakri

Ambang 1 Ramadhan al-Mubarak 1444 H

 

 

[1] Al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan bahawa Imam al-Baidhawi berkata: “Bukanlah maksud (tujuan) dari pensyariatan puasa itu untuk menahan diri dari lapar dan dahaga semata-mata. Bahkan ia diikuti dengan memecahkan nafsu syahwat serta mentaatkan nafsu al-ammarah menuju ke arah nafsu al-mutma’innah. Sekiranya yang demikian itu tidak terhasil (melalui puasa), Allah tidak akan melihat ke arahnya dengan pandangan menerima (amalan).” (Lihat Fath al-Bari, 4/139)

[2] Imam al-Nawawi menjelaskan, menurut beliau makna hadith-hadith seperti ini terdapat dua takwilan: Pendapat pertama, maknanya adalah dihapuskan dosa-dosa kecil dengan syarat tidak ada padanya dosa-dosa besar. Jika terdapat padanya dosa besar, maka tidak dihapuskan sesuatu pun daripadanya, tidak dosa-dosa besar mahupun dosa-dosa kecil. Pendapat kedua dan inilah pendapat yang paling sahih serta dipilih iaitu maknanya adalah dihapuskan setiap dosa-dosa kecil. Dalam erti kata lain, ia menghapuskan semua dosa-dosanya kecuali dosa-dosa besar. Al-Qadhi ‘Iyadh menyatakan, apa yang disebutkan dalam hadith mengenai keampunan dosa-dosa selagi tidak melakukan dosa-dosa besar merupakan mazhab Ahli Sunnah, dan dosa-dosa besar itu hanya dapat dihapuskan dengan taubat atau rahmat daripada Allah SWT dan limpah kurnia-Nya.

Begitu juga Imam al-Nawawi turut menyebutkan, jika seseorang itu mempunyai dosa-dosa kecil, maka puasa (atau amalan soleh yang disebutkan itu) akan menghapuskannya. Sekiranya dia tidak mempunyai dosa kecil mahupun dosa besar, maka akan ditulis baginya kebaikan dan diangkat kedudukannya (darjatnya). Perkara tersebut adalah sebagaimana solat para nabi, orang-orang soleh dan kanak-kanak. Begitu juga dengan puasa, wuduk dan ibadat-badat mereka yang lain. Namun, jika mereka mempunyai dosa besar atau dosa-dosa besar dan tidak mempunyai dosa-dosa kecil, maka diharapkan dosa-dosa besar itu akan diringankan (berdasarkan ukuran pelaku dosa-dosa kecil). (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/382)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *