Renungan Ramadhan #13: Andalusia Sebagai Gerbang Eropah

Alhamdulillah, dalam ruangan Tazkirah Harian Ramadhan pada hari ini kita fokuskan catatan kemenangan Islam di bulan yang mulia ini. Antaranya, pembukaan Kota Andalusia yang berlaku pada tahun 99 H. 

Lembaran sejarah itu bermula apabila kerajaan Bani Umayyah berjaya menakluk kawasan Andalus pada sekitar tahun 711 Masihi, atas usaha dua tokoh terkenal, Musa ibn Nusair dan Tariq ibn Ziyad. Kerajaan Bani Umayyah kalah buat kali pertama dengan Tentera Kristian Raja Pelayo dalam Pertempuran Covadonga pada tahun 722 Masihi. Ini adalah titik permulaan gerakan Reconquista, yakni gerakan orang-orang Kristian yang ingin mengambil kembali kawasan yang ditakluk oleh Tentera Islam.

Kerajaan Bani Umayyah mula menjadi lemah secara mendadak apabila kalah dalam Peperangan Arab-Khazar yang pertama pada tahun 652 masihi. Al-Jarrah, panglima Bani Umayyah, telah kalah dengan Putera Barjik, Ketua Bangsa Turki Khazar di Azerbaijan dan dipenggal kepalanya. Putera Barjik meletakkan kepala Al-Jarrah sebagai panji dan mula menjarah kawasan takluk Bani Umayyah, seperti Mosul, Iraq. Khalifah Marwan ibn Muhammad, atau Marwan II, kemudiannya bangkit dan mengalahkan bangsa Turki Khazar di Caucus, Armenia dan Azerbaijan. Atil, ibu kota Turki Khazar berjaya ditakluk oleh Khalifah Marwan. Walaupun Baginda boleh membalas dendam, Khalifah Marwan memilih untuk mengampunkan dan membebaskan Raja Turki Khazar, Qaghan.

Bani Umaiyyah akhirnya menang dalam pertempuran dengan bangsa Turki Khazar, namun peperangan ini banyak melemahkan lagi Kerajaan Bani Umayyah. Gerakan Bani Abbasiyyah bermula di Khurasan di bawah teraju panglima Abu Muslim Al-Khurasani. Pada sekitar tahun 750 Masihi, Abdullah ibn Ali Al-Abbasi menakluk Damsyik Dia telah membunuh 50,009 orang-orang Islam di Damsyik, 92 orang kerabat Bani Umayyah dan juga membunuh Khalifah Marwan ibn Muhammad.

Dalam kekalutan sistem pemerintahan yang tidak stabil, Abdul Rahman al-Dakhil, berjaya menyelamatkan diri dan mendirikan semula Kerajaan Bani Umayyah di Cordoba, Andalus, pada tahun 756 Masihi. Kerajaan Bani Umayyah berterusan di Al-Andalus sehinggalah anak kepada Muhammad ibn Abi Amir, Abdul Rahman Sancheulo, Menteri kepada Khalifah Bani Umayyah yang terakhir di Andalus iaitu Hisyam III, cuba merampas kuasa Khalifah dengan menghukum Khalifah dibuang negeri pada tahun 1031 Masihi. Ini menyebabkan reaksi yang teruk di kota-kota Andalus, apabila masing-masing mendirikan negara kota masing-masing di Andalus. Selepas itu, bermulalah era Taifa di Andalus.

Negara-negara kota di Andalus yang terkenal adalah Seville, Granada, Cordoba dan Zaragoza. Namun menyedihkan, negara-negara kota Islam ini saling berperang sesama sendiri, Pada waktu yang sama juga, Raja kepada negara Castille Leon, Alfonso VI, semakin berkuasa. Maka, negara-negara kota Islam ini terpaksa membayar ufti tahunan kepada Raja Alfonso VI.

Penindasan oleh Alfonso VI telah menyebabkan Al-Mu’tamid ibn Abbad, Raja Negara Kota Seville membalasnya dengan membunuh utusan Raja Alfonso VI yang meminta ufti tahunan. Al-Mu’tamid ibn Abbad memanggil bantuan Yusuf ibn Tashfin di Afrika Utara untuk membantunya mengalahkan Raja Alfonso VI. Yusuf ibn Tashfin berumur 80 tahun ketika beliau megetuai Peperangan ini. Walaupun agak berusia, beliau berjaya memimpin tentera dan mengalahkan Raja Alfonso VI dalam Pertempuran al-Zallaqah pada tahun 1086 Masihi. Yusuf ibn Tashfin pulang ke Afrika Utara setelah selesai peperangan.

Pun begitu, gerakan Reconquista belum berakhir. Yusuf ibn Tashfin kembali ke Andalus pada tahun 1090. Kali ini, dia menakluk beberapa kawasan-kawasan Taifa seperti Granada dan Seville. Yusuf ibn Tashfin adalah seorang pemimpin yang warak. Beliau sangat tidak suka dengan pemimpin-pemimpin Taifa Andalus yang beliau anggap telah rosak kerana terlalu cintakan dunia. Sebagai contoh, Al-Mu’tamid ibn Abbad sendiri ada sifat buruk, yakni suka minum arak. Al-Mu’tamid ibn Abbad telah dihukum buang negeri di Maghribi. Hasil usahanya, Yusuf ibn Tashfin berjaya menyatukan Andalus setelah menakluk Kota Valencia pada tahun 1097 Masihi. Beliau meninggal dunia ketika berusia 100 tahun. Semasa hayatnya, Yusuf ibn Tashfin telah membentuk Dinasti Murabitun. Atas jasanya, Khalifah Bani Abbasiyyah di Baghdad memberi gelaran Amirul Muslimin kepada Yusuf ibn Tashfin.

Dunia Islam pada 20 tahun berikutnya menyaksikan gerakan Khawarij dari Barat, yakni Muhammad ibn Tumart, muncul. Muhammad ibn Tumart mengaku diri sendiri sebagai Imam Mahdi, dan mula memberontak melawan Kerajaan Al-Murabitun pada tahun 1120 masihi. Gerakan Al-Muwahidun Ibn Tumart merupakan gerakan paling kejam dalam Sejarah Islam. Al-Zahabi meriwayatkan bahawa Ibn Tumart membunuh 70,000 Orang-orang Islam di Kota Marrakech; manakala Al-Maqrizi meriwayatkan bahawa nyawa yang hilang kerana gerakan Al-Muwahhidun Ibn Tumart hanya diketahui oleh Allah betapa banyaknya.

Gerakan Al-Muwahhidun berjaya takluk Kerajaan Al-Murabitun dan menubuhkan Dinasti Al-Muwahhidun di Andalus pada tahun 1126. Ianya diasaskan oleh Abdul Ma’mun, pengikut atau anak murid Ibn Tumart.

Raja Al-Nasir Kerajaan Al-Muwahhidun berperang dengan Tentera Kristian di Peperangan Las Navas De Tolosa pada tahun 1212. Kerajaan Muwahhidun di bawah pimpinan Al-Nasir kalah teruk, walaupun jumlah tentera Al-Nasir melebihi jumlah Tentera Kristian. Kekalahan Peperangan ini menyebabkan Al-Andalus sekali lagi berpecah kepada beberapa negara kota, seperti Kerajaan Granada, Hafsid dan Marinid.

Negara-negara kota tersebut cuba bersatu untuk berperang melawan Tentera Kristian, namun sekali lagi mereka kalah dalam Peperangan Rio Salado pada tahun 1340 masihi. Yang tinggal sekarang ini hanya Kerajaan Granada. Kerajaan Kristian Castille cuba menyerang Granada pada tahun 1394, tetapi berjaya dikalahkan oleh Sultan Muhammad VII. Akhirnya, Raja Ferdinand dan Ratu Isabella bersatu dan berjaya menakluk Granada pada tahun 1492 masihi. Orang-orang Islam dan Yahudi keluar beramai-ramai dari Andalus dan lari ke kawasan takluk Kerajaan Turki Uthmaniyah. Maka tepatlah, Pembukaan Kota Andalusia: Gerbang Ke Eropah.

Semoga Ramadhan kali ini menambahkan kepada kita keyakinan kepada Yang Maha Esa betapa Dia boleh melakukan apa sahaja kerana Dia Maha Perkasa lagi Maha Mulia. 

Akhukum fillah,

Dr Zulkifli bin Mohamad al-Bakri

12 Ramadhan al-Mubarak 1444 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *