Alhamdulillah, segala puji hanya bagi-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW, keluarganya, para sahabatnya dan semua yang mengikut jejak langkahnya sehingga ke Hari Kiamat.
Dalam Tazkirah Harian Ramadhan pada kali ini, kami akan tumpukan isu iktikaf serta galakkannya. Ini kerana, Rasulullah SAW sendiri telah melaksanakan ibadat iktikaf sejak daripada taklifan puasanya. Justeru pada kali ini, kami tajukkan dengan Iktikaf Serta Galakkannya. Semoga ia memberi manfaat kepada kita semua.
Pengertian Iktikaf
Ramai ulama sama ada ahli bahasa dan fiqh termasuk ahli tafsir mendefinasikan iktikaf yang kesemuanya hampir sama. Walaupun begitu, kami akan menukilkan pandangan dan pendapat mereka.
Dari sudut bahasanya, iktikaf sebagaimana yang ditakrifkan oleh Imam al-Syafie membawa maksud: Seseorang itu melazimkan ke atas dirinya sesuatu, serta dia mengurung dirinya ke atas perkara tersebut sama ada ianya suatu kebaikan ataupun dosa.
Imam al-Mawardi Rahimahullah pula mendefinisikan iktikaf dengan katanya: Menetap atau tinggal di atas sesuatu sama ada ianya perkara kebaikan ataupun suatu dosa. (Lihat al-Hawi al-Kabir, al-Mawardi, 3/481).
Imam al-Tabari Rahimahullah mendefinisikan iktikaf dengan katanya: ‘Ukuf asalnya adalah menetap, dan seseorang mengurung dirinya ke atas sesuatu. (Lihat Tafsir Jami’ al-Bayan, Muhammad Bin Jarir, 3/549).
Imam Ibn Rajab al-Hanbali Rahimahullah ketika menjelaskan definisi dan hakikat iktikaf berkata: Iktikaf adalah memutuskan segala perhubungan dari kesemua makhluk untuk bersambung dengan berkhidmat kepada al-Khaliq (pencipta). (Lihat Lataif al-Ma’arif, Ibn Rajab al-Hanbali, hlm. 339).
Manakala istilah syarak, iktikaf membawa maksud: Menetap di dalam masjid dengan tujuan qurbah (mendekatkan diri kepada Allah) yang dilakukan oleh seorang muslim, mumayyiz, berakal, suci tubuh badan daripada junub, haid, serta nifas, dan dia menghalang dirinya daripada sebarang syahwat kemaluan. (Lihat Nihayah al-Muhtaj, al-Ramli, 3/213).
Fadhilah al-Syeikh Dr. Musthafa al-Bugha pula mendefinisikan iktikaf sebagai: Menetap di dalam masjid yang dilakukan oleh individu tertentu dengan berniat. (Lihat Ifadah al-Raghibin Syarah Minhaj al-Thalibin, Dr. Musthafa al-Bugha (1/697).
Dalil Pensyariatan Iktikaf
Iktikaf adalah merupakan ibadah yang disyariatkan. Ia ditunjukkan dalam firman Allah S.W.T yang berikut:
وَلَا تُبَٰشِرُوهُنَّ وَأَنتُمۡ عَٰكِفُونَ فِي ٱلۡمَسَٰجِدِ
Maksudnya: “Dan janganlah kalian bermesra-mesraan dengan isteri-isteri kalian dalam keadaan kalian sedang beriktikaf di dalam masjid.”
Surah al Baqarah (187)
Manakala dalil pensyariatan iktikaf daripada hadis adalah berdasarkan sebuah riwayat daripada Abdullah Ibn Umar R.anhuma beliau berkata:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَعْتَكِفُ الْعَشْرَ الأَوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ
Maksudnya: Adalah Rasulullah S.A.W itu beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan.
Riwayat al-Bukhari (2025)
Diriwayatkan juga daripada Ummul Mukminin A’isyah R.anha beliau berkata:
كَانَ يَعْتَكِفُ الْعَشْرَ الأَوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ حَتَّى تَوَفَّاهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ ثُمَّ اعْتَكَفَ أَزْوَاجُهُ مِنْ بَعْدِهِ
Maksudnya: “Adalah baginda S.A.W beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan sehinggalah baginda wafat. Kemudian para isteri baginda turut beriktikaf selepas kewafatan baginda.”
Riwayat Muslim (1172)
Apakah Hukum Beriktikaf ?
Kata al-Imam al-Nawawi Rahimahullah, hukum beriktikaf adalah sunnah mu’akkadah (yang sangat dituntut). Ianya disunatkan pada keseluruhan waktu manakala pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan ia lebih dituntut. Dengan tujuan untuk mengikut petunjuk Nabi S.A.W dan mencari Lailatul Qadr. (Lihat Raudhah al-Thalibin, al-Nawawi, 2/389).
Imam al-Nawawi berkata lagi: Sesiapa yang ingin mengikut petunjuk Nabi S.A.W dalam beriktikaf pada sepuluh hari yang terakhir bulan Ramadhan maka hendaklah dia masuk ke dalam masjid sebelum terbenamnya matahari pada malam 21 Ramadhan dan dia keluar setelah terbenamnya matahari pada malam raya.
Yang lebih afdhal adalah dia duduk pada malam raya di dalam masjid sehinggalah dia solat raya padanya. Ataupun dia keluar daripada masjid menuju ke musolla (tanah lapang) untuk menunaikan solat hari raya sekiranya orang ramai solat di musolla. (Lihat al-Majmuk Syarah al-Muhazzab, al-Nawawi, 1/501).
Rukun Rukun Iktikaf
Iktikaf mempunyai rukun-rukunnya yang tersendiri. Keseluruhan rukun tersebut adalah empat yang berikut:
- Mu’takif (orang yang melakukan iktikaf)
- Masjid
- Niat
- Menetap
Setiap rukun di atas ini juga mempunyai syarat-syarat yang tertentu. Di bawah ini kami kongsikan syarat-syarat bagi setiap rukun:
Pertama: Mu’takif (orang yang beriktikaf).
Disyaratkan bagi sesiapa yang hendak melakukan iktikaf itu adalah seorang Muslim, berakal, serta suci dari sebarang hadas besar seperti junub, haid, dan juga nifas.
Justeru dapat kita fahami bahawa iktikaf tidak sah apabila dilakukan oleh orang kafir ataupun seorang yang murtad. Begitu juga tidak sah iktikaf golongan yang gila, pengsan, hilang akal, dan seumpamanya. Demikian tidak sah juga iktikaf seseorang yang berada di dalam kekotoran baik kotoran junub, haid, ataupun nifas.
Kedua: Masjid
Di antara rukun iktikaf hendaklah ianya dilakukan di dalam masjid. Apabila iktikaf tidak dilakukan di dalam masjid maka ianya tidak sah kerana telah meninggalkan satu rukun. Ini adalah berdasarkan firman Allah S.W.T:
وَلَا تُبَٰشِرُوهُنَّ وَأَنتُمۡ عَٰكِفُونَ فِي ٱلۡمَسَٰجِدِ
Maksudnya: Dan janganlah kalian bersetubuh dengan isteri-isteri kalian dalam keadaan kalian sedang beriktikaf di dalam masjid.
Surah al Baqarah (187)
Juga berdasarkan petunjuk Nabi S.A.W yang mana baginda tidak beriktikaf melainkan hanya di dalam masjid.
Adalah sah untuk beriktikaf di dalam setiap masjid. Manakala masjid jamek yang didirikan padanya solat jumaat itu adalah lebih utama dan afdhal. Ini kerana Rasulullah SAW beriktikaf di dalam masjid jamek.
Perlu dijelaskan di sini bahawa pengistilahan surau di negara kita yang mana tidak dilakukan padanya solat jumaat akan tetapi didirikan solat berjamaah selama lima waktu maka hukumnya adalah hukum masjid. Boleh untuk kita beriktikaf di dalamnya.
Ketiga: Niat
Niat juga adalah di antara rukun iktikaf. Ini berdasarkan keumuman sabda Rasulullah SAW :
إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ
Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan itu dinilai berdasarkan niat.”
Riwayat al-Bukhari (1)
Di antara fungsi niat sebagaimana yang disebutkan oleh para fuqaha adalah: Membezakan di antara adat dan juga ibadah. Justeru, untuk membezakan duduk di dalam masjid sekadar untuk berehat dan menetap di dalam masjid dengan tujuan untuk beribadah adalah perlu kepada niat.
Hendaklah seseorang itu berniat semasa hendak memulakan iktikaf bahawa dirinya mahu menetap di dalam masjid untuk tempoh yang tertentu bagi tujuan beribadah. Ini kerana, iktikaf adalah ibadah mahdah yang sama seperti solat dan juga puasa yang memerlukan niat. Sekiranya tiada niat maka iktikafnya tersebut tidak sah.
Keempat: Menetap Di Dalam Masjid
Tidak sah iktikaf melainkan seseorang itu beriktikaf di dalam masjid dalam kadar tempoh yang dinamakan sebagai menetap mengikut uruf. Hendaklah kadar tempohnya melebihi kadar thoma’ninah di dalam rukuk dan seumpamanya. Tidak cukup sekadar melalui bahagian dalam masjid tanpa menetap di dalamnya seperti seseorang itu masuk melalui suatu pintu dan keluar dari pintu yang lain.
Menurut Imam al-Nawawi, di sisi Imam al-Syafie beliau mengatakan mustahab (sunat) untuk beriktikaf sehari suntuk untuk keluar daripada khilaf. Manakala Imam Abu Hanifah dan Imam Malik tidak membenarkan iktikaf kurang daripada sehari. Rujuk Raudhah al-Thalibin, Al-Nawawi (2/391).
Apakah Yang Haram Dilakukan Oleh Seorang Yang Beriktikaf ?
Diharamkan buat orang yang sedang beriktikaf untuk bersetubuh dengan isterinya dalam keadaan beriktikaf. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T:
وَلَا تُبَٰشِرُوهُنَّ وَأَنتُمۡ عَٰكِفُونَ فِي ٱلۡمَسَٰجِدِ
Maksudnya: Dan janganlah kalian bersetubuh dengan isteri-isteri kalian dalam keadaan kalian sedang beriktikaf di dalam masjid.
Surah al Baqarah (187)
Dan sebagaimana yang telah dijelaskan oleh para fuqaha: La Al-Nahiyah (larangan) menunjukkan kepada pengharaman. Berdasarkan kaedah yang masyhur:
النَّهْيُ يُفِيدُ التَّحْرِيم
Maksudnya: “Larangan itu membawa erti pengharaman.”
Perkara Perkara Yang Boleh Dilakukan Oleh Orang Yang Beriktikaf
Berikut kami kongsikan beberapa perbuatan yang boleh dilakukan oleh orang yang sedang beriktikaf. Antara yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi adalah seperti berikut:
- Memakai minyak wangi.
- Bercantik-cantik dalam berpakaian.
- Makan di dalam masjid. Yang lebih utama adalah makan di atas safrah (kain lapik)
- Boleh untuk berbekam di dalam masjid dengan syarat selamat dari sebarang percikan yang boleh mengotorkan masjid.
- Boleh untuk orang yang beriktikaf mengahwinkan orang lain.
- Bersungguh dalam membaca al-Quran dan mengulangkaji ilmu.
- Berjual beli. Akan tetapi Imam al-Nawawi memakruhkan perbuatan ini kerana terdapat larangan akannya berdasarkan hadis yang sahih. Rujuk Raudhah al-Thalibin, al-Nawawi (2/392).
Bersempena dengan akhir Ramadhan ini, marilah sama-sama kita sebagai umat Islam yang mempunyai kelapangan untuk hadir beriktikaf di dalam masjid. Ambillah peluang sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan untuk memperbanyakkan ibadah dalam usaha kita mencari Lailatul Qadar. Ingatlah pesanan Imam Ibn Rajab al-Hanbali bahawa satu-satunya khalwat (bersendirian) yang disyariatkan buat umat ini hanyalah ibadah iktikaf di dalam masjid. Jadikanlah ia sebagai medan untuk kita bersendirian dengan Allah SWT, asyik dalam beribadah kepada-Nya serta merasai kelazatan taat dalam melakukan perintah-Nya. Semoga Allah SWT merezekikan kepada kita semua ganjaran beribadah pada Lailatul Qadar. Amin.
Akhukum fillah,
Dr Zulkifli bin Mohamad al-Bakri
21 Ramadhan al-Mubarak 1444 H