Alhamdulillah, segala puji hanya bagi-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW, keluarganya, para sahabatnya dan semua yang mengikut jejak langkahnya sehingga ke Hari Kiamat.  Pada kali ini, dalam ruangan Renunhgan Ramadhan, saya fokuskan berkenaan dengan doa dan munajat. 

Takrif Munajat

Perkataan munajat menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud zikir dan doa untuk mengharapkan keredaan, hidayah, pertolongan dan sebagainya daripada Allah. Manakala bermunajat didefinisikan sebagai mendekati atau mendampingi Allah dengan cara berdoa, berzikir dan lain-lain. 

Oleh kerana kita berada di fasa terakhir pada 10 akhir Ramadhan ini dan malam seperti ini adalah kemuncak ibadat salafussoleh berdasarkan kepada nas beberapa hadith yang menyatakan malam Qadar berlaku pada 27 Ramadhan. Justeru, amat wajar kita gunakan malam yang berbaki ini dengan bersungguh-sungguh doa dan munajat kepada Yang Maha Esa. Inilah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabatnya serta yang mengikut jejak langkahnya. 

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata: Aku pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: “Jika ada suatu hari yang aku tahu bahawa malam tersebut adalah Lailatul Qadar, maka apakah doa yang mesti kuucapkan?” Jawab Nabi SAW: “Berdoalah:

اللهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ، فَاعْفُ عَنِّي

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan amat suka kepada pengampunan, maka berikanlah keampunan kepadaku.”

Riwayat al-Tirmizi (3513), Ibn Majah (3850) dan Ahmad (25384). Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan sahih. Manakala Syeikh Syu‘aib al-Arna’uth menghukum sanad hadith ini sebagai sahih dan perawi-perawinya adalah thiqah.

Al-Hafiz Ibn Rajab berkata: “Dianjurkan supaya banyak memohon keampunan kepada Allah pada malam al-Qadar setelah sebelumnya bersungguh-sungguh melakukan amalan pada malam-malam Ramadhan dan juga sepuluh malam terakhir. Ini kerana, orang yang arif (bijak) adalah orang yang bersungguh-sungguh dalam beramal, namun dia masih menganggap bahawa amalan yang dia lakukan bukanlah suatu amalan, keadaan atau ucapan yang baik (soleh). Maka oleh sebab itu, dia banyak memohon keampunan kepada Allah seperti orang yang penuh kekurangan kerana dosa.” (Lihat Lathaif al-Ma‘arif, hlm. 362)

Selain itu, Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa ashab kami (ulama’ Syafi‘iyyah) mengatakan disunatkan memperbanyakkan membaca doa ini pada malam al-Qadar. Begitu juga, disunatkan membaca al-Quran, zikir-zikir dan doa-doa yang disunatkan pada tempat-tempat yang mulia. (Lihat al-Azkar, hlm. 191)

Justeru, marilah kita memperbanyakkan lagi berdoa khususnya dengan doa ini lebih-lebih lagi dalam sepuluh akhir Ramadhan ini. Mudah-mudahan kita memperoleh kelebihan Lailatul Qadar serta dimudahkan dalam melakukan amalan soleh di dalamnya.

Di samping itu, kita juga dianjurkan berdoa dengan pelbagai doa untuk kemaslahatan kita di dunia dan akhirat. Bagi mereka yang ingin berdoa, boleh rujuk dalam buku saya Inilah Doaku. Saya kemukakan di sini beberapa doa.

  • Doa Mohon Keampunan

اللَّهُمَّ إنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي ظُلْمًا كَثِيرًا، ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ، فَاغْفِرْ لِي مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنِي، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh aku telah menzalimi diriku sendiri dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah aku dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah aku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” 3

Riwayat al-Bukhari (7387) dan Muslim (2705)

  • Doa Mohon Taqwa

اللَّهُمَّ آتِ نَفْسِي تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ketakwaan pada jiwaku, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.” 4

Riwayat Muslim (2722), al-Nasaie (5458), Ahmad (25798) dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (5085)

  • Doa Pengiktirafan

لَا إِلَـٰهَ إِلَّا أَنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنتُ مِنَ الظَّالِمِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang yang menganiaya diri sendiri.” 5

Surah al-Anbiya’ (87)

  • Doa Kelapangan Hati dan Jiwa

اللَّهُمَّ إِنِّي عَبْدُكَ ، وَابْنُ عَبْدِكَ ، وَابْنُ أَمَتِكَ ، نَاصِيَتِي بِيَدِكَ ، مَاضٍ فِيَّ حُكْمُكَ ، عَدْلٌ فِيَّ قَضَاؤُكَ ، أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قَلْبِي ، وَنُورَ صَدْرِي ، وَجِلَاءَ حُزْنِي ، وَذَهَابَ هَمِّي.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubunku di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas ku dalam keputusan-Mu. Aku memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hatiku, cahaya di dadaku, penghilang kesedihanku, penghapus kesusahanku.” 6

Riwayat Ahmad (3712), Ibn Hibban (972), Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (29808), al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (155), al-Tabarani dalam al-Du’a (1035), al-Hakim dalam al-Mustadrak (1/509) dan Ibn al-Sunni dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah (339)

  • Doa Keluar dari Kediaman

بِسْمِ اللهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللهِ لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ ‏

Maksudnya: “Dengan nama Allah, aku bertawakkal kepada Allah. Tiada upaya dan tiada kekuatan kecuali dengan Allah.”7

Riwayat Abu Daud (5095), al-Tirmizi (3426) dan al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (9917)

  • Doa Mohon Petunjuk, Ketaqwaan, Iffah dan Kekayaan

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْهُدَى ، وَالتُّقَى ، وَالْعَفَافَ ، وَالْغِنَى

Maksudnya: “Wahai Allah! Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, sifat iffah dan kekayaan.” 8

Riwayat Muslim (2721), al-Tirmizi (3489), Ibn Majah (3105), Ahmad (3950) dan Ibn Hibban (900)

  • Doa Ditunjukkan Kebenaran

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنِي لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ 

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah aku dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.” 9

Riwayat Muslim (770), Abu Daud (676), al-Tirmizi (3420), Ibn Majah (1357), al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (4854), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (1324) dan Ahmad (25225).

  • Doa Memohon Ilmu, Rezeki dan Amalan

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.” 10

Riwayat Ibn Majah (925), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (9930) dan Ahmad (26602)

  • Doa Pertolongan untuk Zikir

اللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah aku untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”11

Riwayat Abu Daud (1522), al-Nasa’ie (1303), Ahmad (22119), al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (1/362) dan Ibn Hibban (2020)

  • Doa Memohon ‘Afiyat dan Pemeliharaan

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِينِي وَدُنْيَايَ وَأَهْلِي وَمَالِي ، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِي وَآمِنْ رَوْعَاتِي ، اللَّهُمَّ احْفَظْنِي مِنْ بَيْنِ يَدَيَّ وَمِنْ خَلْفِي وَعَنْ يَمِينِي وَعَنْ شِمَالِي وَمِنْ فَوْقِي ، وَأَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ أُغْتَالَ مِنْ تَحْتِي

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya aku memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan hartaku. Ya Allah, tutupilah aibku dan berilah ketenteraman di hatiku. Ya Allah, jagalah aku dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atasku. Aku memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawahku.” 12

Riwayat Abu Daud (5074), al-Nasa’ie (5530), Ibn Majah (3871), Ibn Hibban (961), Ahmad (4785) dan al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (1200)

  • Doa Keampunan

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ، تُحِبُّ الْعَفْوَ، فَاعْفُ عَنِّي

Maksudnya: “Ya Allah sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan suka memberi keampunan, maka ampunilah aku.” 13

Riwayat al-Tirmizi (3513), Ibn Majah (3850), Ahmad (25384), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (7665) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (3427)

  • Doa Agar Diperbaiki Diri 

يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيثُ ، أَصْلِحْ لِي شَأْنِي كُلَّهُ  وَلاَ تَكِلْنِي إِلَى نَفْسِي طَرْفَةَ عَيْنٍ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri (tidak perlu segala sesuatu), dengan rahmat-Mu aku memohon pertolongan, perbaikilah urusanku semuanya dan janganlah Engkau serahkan aku kepada diriku sendiri walau sekelip mata.” 14

Riwayat al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (10405), al-Bazzar (6368), Ibn al-Sunni dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah (48) dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsat (4/43)

  • Doa Minta Kemudahan

اللَّهُمَّ لَا سَهْلَ إِلاَّ ما جَعَلْتَهُ سَهْلاً، وأنْتَ تَجْعَلُ الحَزْنَ إذَا شِئْتَ سَهْلاً

Maksudnya: “Ya Allah! Tiada kemudahan kecuali apa yang Engkau jadikannya sebagai kemudahan. Dan Engkaulah yang menjadikan perkara yang sukar itu jika Engkau kehendaki dengan kemudahan.” 15

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (265), Ibn Hibban (974) dan Ibn al-Sunni dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah (351)

  • Doa Agar Dicukupkan Yang Halal

اللَّهُمَّ اكْفِنِى بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنِى بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah aku dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah aku dengan kurniaan-Mu, tanpa aku mengharapkan kepada selain-Mu.” 16

Riwayat Ahmad (1319), al-Tirmizi (3563), al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (177) dan al-Bazzar (563)

  • Doa Ditetapkan Hati

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkan-lah hatiku di atas agama-Mu.” 17

Riwayat Imam Ahmad (26618), (12107), al-Tirmizi (3522), (2140), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (757) dan al-Tabarani dalam al-Du’a (1261)

  • Doa Minta Kebaikan dan Menolak Kejahatan

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْتُ مِنْهُ وَمَا لَمْ أَعْلَمْ ، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْتُ مِنْهُ وَمَا لَمْ أَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ،وَأَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَأَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لِي خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang aku ketahui mahupun tidak aku ketahui. Aku berlindung kepada-Mu dari semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, yang aku ketahui mahupun yang tidak aku ketahui. Ya Allah, sungguh aku memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan aku berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, aku memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan aku berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan aku memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untukku.”

Riwayat Ibn Majah (3846), Ahmad (25180), al-Tabarani (2/252) dan Ibn Hibban (458)

Semoga Allah SWT kurniakan kepada kita segala munajat dan doa kita dan melayakkan kita menjadi hamba-hamba-Nya yang soleh dan solehah. Amin.

Akhukum fillah,

Dr Zulkifli bin Mohamad al-Bakri

26 Ramadhan al-Mubarak 1444 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *