Alhamdulillah, segala puji hanya bagi-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW, keluarganya, para sahabatnya dan semua yang mengikut jejak langkahnya sehingga ke Hari Kiamat. 

Pada kali ini, dalam ruangan Tazkirah Harian Ramadhan, kami fokuskan berkenaan dengan isu Balik Kampung: Semoga Selamat Sampai. Ini sudah menjadi tradisi sejak turun-temurun, warga bandar dan kota terutamanya pelajar-pelajar universiti dan IPTA akan berebut-rebut mencari tiket atau kenderaan sama ada udara mahupun darat untuk pulang ke desa masing-masing bagi menyambut lebaran Aidilfitri. 

Tradisi ini membesar bersama dengan kita sejak dahulu lagi. Hasilnya kemeriahan di kampung begitu terasa dengan kepulangan anak-anak dari perantauan menziarahi dan menjenguk ibu bapa di samping beraya bersama. Alangkah indahnya hidup ini. 

Di sini beberapa peringatan mesra suka saya sampaikan apabila kita pulang ke kampung desa. Antaranya:

  • Jangan lupa solat musafir sebelum memulakan perjalanan. Bacalah doa yang warid seperti yang diajar oleh Rasulullah SAW. doa musaf

سُبْحَانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَذَا، وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ، وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنْقَلِبُونَ، اللهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ فِي سَفَرِنَا هَذَا الْبِرَّ وَالتَّقْوَى، وَمِنَ الْعَمَلِ مَا تَرْضَى، اللهُمَّ هَوِّنْ عَلَيْنَا سَفَرَنَا هَذَا، وَاطْوِ عَنَّا بُعْدَهُ، اللهُمَّ أَنْتَ الصَّاحِبُ فِي السَّفَرِ، وَالْخَلِيفَةُ فِي الْأَهْلِ، اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ وَعْثَاءِ السَّفَرِ، وَكَآبَةِ الْمَنْظَرِ، وَسُوءِ الْمُنْقَلَبِ فِي الْمَالِ وَالْأَهْلِ

Maksudnya: “Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali. Ya Allah! Kami mohon kepada-Mu agar permusafiran kami ini di atas kebaikan dan ketaqwaan, dan ia dikira sebagai amalan yang Engkau redhai. Ya Allah! kami mohon agar permusafiran ini menjadi mudah ke atas kami, Engkau lipatkanlah jaraknya (supaya menjadi pendek). Ya Allah! Engkaulah Peneman ketika permusafiran dan Penjaga bagi ahli keluarga (yang ditinggalkan). Ya Allah! aku mohon berlindung daripada-Mu agar Engkau peliharalah kami daripada kesusahan ketika musafir, pemandangan yang mendukacitakan dan kepulangan yang buruk pada harta dan keluarga kami.”

Riwayat Muslim (1342)

  • Tawakallah kepada Allah SWT ketika memulakan musafir. Inilah yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW sebagai mana do ayang diajar:

بِسْمِ اللهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللهِ لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ ‏

Maksudnya: “Dengan nama Allah, aku bertawakkal kepada Allah. Tiada upaya dan tiada kekuatan kecuali dengan Allah.”

Riwayat Abu Daud (5095), al-Tirmizi (3426) dan al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (9917)

  • Bawalah bekalan secukupnya, terutamanya duit dan keperluan ketika musafir. Begitu juga, pastikan kenderaan dalam keadaan yang baik, sudah di service, tayar dalam keadaan sempurna dari segi anginya dan usia tayar tersebut.
  • Berilah hak ketika memandu dengan mematuhi hak jalan raya, ia bukan tempat perlumbaan atau menunjukkan keegoan dan kelebihan yang dikurniakan Allah SWT kepada kita. Firman Allah SWT:

 وَلَا تَمْشِ فِي الْأَرْضِ مَرَحًا ۖ إِنَّكَ لَن تَخْرِقَ الْأَرْضَ وَلَن تَبْلُغَ الْجِبَالَ طُولًا

Maksudnya: “Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang.”

(Surah al-Isra’: 37)

  • Sekali lagi, hak ketika kita berjalan yang dikenali sebagai hak jalan atau disebut sebagai haq al-tariq hendaklah dipatuhi. Rasulullah SAW pernah menegur sahabatnya yang suka berada di tepi jalan supaya menjaga haknya.

Daripada Abi Sa’id al-Khudri, Nabi SAW bersabda:

إِيَّاكُم وَالْجُلُوسَ في الطُّرُقاتِ، فقَالُوا: يَا رسَولَ اللَّه، مَا لَنَا مِنْ مَجالِسنَا بُدٌّ، نَتحدَّثُ فِيهَا، فَقَالَ رسولُ اللَّه ﷺ: فَإِذَا أَبَيْتُمْ إِلَّا الْمَجْلِس فَأَعْطُوا الطَّريقَ حَقَّهُ، قالوا: ومَا حَقُّ الطَّرِيقِ يَا رسولَ اللَّه؟ قَالَ: غَضُّ الْبَصَر، وكَفُّ الأَذَى، ورَدُّ السَّلامِ، وَالأَمْرُ بالْمَعْروفِ، والنَّهْيُ عنِ الْمُنْكَرِ

Maksudnya: “Awasilah kamu daripada duduk di persimpangan jalan. Lantas mereka berkata: ya Rasulullah, kami sudah biasa yang menjadi majlis kami. Kami berbicara padanya. Lantas sabda Nabi SAW: Kalau kamu enggan kecuali dalam majlis tersebut, maka berilah hak jalan. Sahabat bertanya, apa itu hak jalan hai Rasulullah. Jawab Baginda: Tundukkan pandangan, menahan daripada yang menyakitkan, menjawab salam, melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar.”

Riwayat al-Bukhari (5790) dan Muslim (2121)

  • Bantulah saudara-saudara kita yang dalam kesukaran ketika perjalanan pulang, kerana semuanya ingin beraya di kampung. Justeru, kita menggembirakannya dengan membantu tatkala mereka ditimpa kesusahan seperti tayar pancit atau minyak habis. Ini selaras dengan firman Allah SWT:

 وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ 

Maksudnya:  “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa.”

(Surah al-Ma’idah: 2)

Allah pasti menolong seseorang yang menolong hamba-Nya. Daripada Abu Hurairah R.A, sabda Rasulullah SAW:

وَاَللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ

Maksudnya: “Allah menolong seorang hamba selagi hamba itu menolong saudaranya.”

Riwayat Muslim (2699)

  • Peliharalah solat sekali pun dalam musafir. Kita boleh memilih untuk jamak atau jamak qasar, sama ada taqdim atau takhir. Alhamdulillah, di Malaysia, sama ada di highway kita akan bertemu dengan R&R yang disediakan kemudahan surau, tempat makan, toilet, petrol pump, dan beberapa gerai yang lain. Justeru, tiada alasan bagi kita untuk tidak solat. Begitu juga di laluan jalan biasa, alhamdulillah dalam pengamatan kami dan pengalaman kami yang kami lalui didapati terlalu banyak surau atau masjid di tepi-tepi jalan.
  • Alangkah baiknya kita membawa hadiah mengikut kemampuan kita kepada keluarga yang kita kunjunginya terutama ibu bapa, adik-beradik dan kaum kerabat. Ini sudah pasti dapat mengeratkan lagi silaturrahim dan menambahkan lagi kasih sayang. Sabda Rasulullah SAW:

تهادُوْا تحابُّوا

Maksudnya: “Hendaknya kamu semua saling memberi hadiah, nescaya kamu akan saling mencintai.”

Riwayat al-Bukhari (594), [Lihat: al-Adab al-Mufrad; m/s 306], Hadith Shohih, [Lihat juga Irwa’ al-Ghalil; 6/44]

  • Jika sekiranya kita pulang pada malam Hari Raya, dua perkara perlu diperingatkan. Pertama, zakat fitrah hendaklah diselesaikan. Ini mungkin terjadi apabila kita berada dalam traffic jam yang parah yang menyebabkan kita sampai selepas selesai sembahyang Hari Raya di kampung. Sedangkan zakat fitrah hukumnya wajib. Kedua, gunakan malam Hari Raya walaupun dalam kenderaan seperti kereta untuk kita gemakan dengan takbir. Sebagai mana Nabi SAW bersabda, daripada Anas bahawa Rasulullah SAW bersabda:

زَيِّنُوْا أَعْيَادَكُمْ بِالتَّكْبِيْرِ

Maksudnya: “Hiasilah hari raya kamu dengan bertakbir.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (4373) Imam al-Sakhawi di dalam al-Maqasid al-Hasanah (281) menyatakan bahawa sanad hadith ini dhaif.

  • Mungkin di kalangan kita ingin bertanya, hukum mendengar lagu raya yang sudah menjadi sinonim di kalangan masyarakat Melayu sehingga mengingatkan nostalgia yang lama. Ada di kalangan generasi kita yang membesar dengan lagu-lagu Raya seusia dengan penyanyinya. Justeru, kami katakan selama mana lagu raya dengan lirik yang biasa yang menggamit nostalgia maka ia tidaklah bercanggah dengan syariat. Bahkan Rasulullah SAW pernah mendengar nyanyian dua perempuan hamba di rumahnya yang dijemput oleh Aisyah R.Anha. Katanya:

دَخَلَ عَلَيَّ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَعِنْدِي جَارِيَتَانِ تُغَنِّيَانِ بِغِنَاءِ بُعَاثٍ، فَاضْطَجَعَ عَلَى الفِرَاشِ، وَحَوَّلَ وَجْهَهُ، وَدَخَلَ أَبُو بَكْرٍ، فَانْتَهَرَنِي وَقَالَ: مِزْمَارَةُ الشَّيْطَانِ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَقْبَلَ عَلَيْهِ رَسُولُ اللهِ عَلَيْهِ السَّلاَمُ فَقَالَ: «دَعْهُمَا»، فَلَمَّا غَفَلَ غَمَزْتُهُمَا خَرَجَتَا. وَكَانَ يَوْمَ عِيدٍ، يَلْعَبُ السُّودَانُ بِالدَّرَقِ وَالحِرَابِ، فَإِمَّا سَأَلْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَإِمَّا قَالَ: «تَشْتَهِينَ تَنْظُرِينَ؟» فَقُلْتُ: نَعَمْ، فَأَقَامَنِي وَرَاءَهُ، خَدِّي عَلَى خَدِّهِ، وَهُوَ يَقُولُ: «دُونَكُمْ يَا بَنِي أَرْفِدَةَ»، حَتَّى إِذَا مَلِلْتُ، قَالَ: «حَسْبُكِ؟» قُلْتُ: نَعَمْ، قَالَ: فَاذْهَبِي.

Maksudnya: Rasulullah SAW masuk ke dalam rumahku, dan di sisiku ada dua anak perempuan yang melantunkan nyanyian perang Bu‘ath. Lalu Baginda berbaring di atas tempat tidur dan memalingkan wajah Baginda. Kemudian Abu Bakar masuk seraya memarahiku. Beliau berkata: “Seruling syaitan di sisi Nabi SAW?” Maka Nabi SAW berpaling kepada Abu Bakar dan bersabda: “Biarkanlah mereka berdua.” Ketika Baginda tidak perasan maka aku pun memberi isyarat kepada kedua perempuan tersebut lalu keduanya pun keluar.

Dan adalah pada hari raya, sekumpulan orang berkulit hitam bermain dengan perisai dan lembing. Sama ada aku yang meminta kepada Nabi  SAW atau Baginda yang berkata kepadaku dahulu: “Adakah kamu berminat untuk menontonnya?” Maka jawabku: “Ya.” Lalu Baginda mendirikan aku di belakangnya, pipiku berada pada pipi Baginda sedangkan Baginda bersabda: “Teruskan bermain wahai Bani Arfidah.” Sehingga apabila aku telah bosan, Baginda bersabda: “Sudah puaskah engkau?” Jawabku: “Ya.” Baginda bersabda: “Jika begitu, pergilah.” 

Riwayat al-Bukhari (949) dan Muslim (892)

Walaupun begitu, lebih afdhal bagi kita memperbanyakkan zikrullah, takbir dan memohon keampunan seperti istighfar dan taubat kepada-Nya. Ini kerana itulah yang dianjurkan oleh Islam. Firman Allah SWT:

وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Maksudnya: “Supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.”

(Surah al-Baqarah: 185)

Akhir kalam, saya berdoa kepada Allah SWT mudah-mudahan kita semua sampai ke destinasi kampung halaman untuk sama-sama kita merayakan hari lebaran dengan kaum keluarga yang tercinta. Saya ucapkan:

تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ، وَكُلُّ عَامٍ وَأَنْتُمْ بِخَيْرٍ.

Maaf zahir dan batin.

Akhukum fillah,

Dr Zulkifli bin Mohamad al-Bakri

28 Ramadhan al-Mubarak 1444 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *