SOALAN
Kenapa Baginda SAW dinamakan sebagai Muhammad?
JAWAPAN
Sabda Rasulullah SAW :
لِي خَمْسَةُ أسْماءٍ: أنا مُحَمَّدٌ، وأَحْمَدُ وأنا الماحِي الذي يَمْحُو اللَّهُ بي الكُفْرَ، وأنا الحاشِرُ الذي يُحْشَرُ النّاسُ على قَدَمِي، وأنا العاقِبُ
Maksudnya: “Aku mempunyai lima nama iaitu aku adalah Muhammad dan Ahmad, Aku juga adalah al-Mahi (penghapus) yang mana Allah SWT menghapuskan kekafiran melalui perantaraanku, dan aku juga adalah al-Hasyir (penghimpun) yang mana manusia akan dihimpunkan di bawah kakiku dan aku juga adalah al-‘Aqib (iaitu tiada lagi selepasnya nabi).”[1]
Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan seolah-olah ia merupakan isyarat bahawa kedua-dua nama ini adalah yang paling masyhur antara nama-namanya yang lain dan nama Muhammad adalah yang paling masyhur antara kedua-dua nama ini.[2]Imam al-Suyuti turut menyatakan bahawa Muhammad adalah merupakan nama baginda yang paling masyhur.[3]
Menurut al-Qadhi ‘Iyadh sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam al-Suyuti, kedua-dua nama ini iaitu Muhammad dan Ahmad termasuk salah satu tanda kebesaran Allah SWT dan keistimewaan bagi Baginda. Allah SWT telah menjaga kedua nama tersebut daripada digunakan oleh seorang pun sebelum kelahiran Baginda. Sebelum Baginda lahir, tidak ada seorang pun bangsa Arab mahupun bangsa lain yang menggunakan nama tersebut melainkan setelah tersebar khabar berita bahawa nabi yang akan diutuskan ini namanya Muhammad. Oleh itu, sebahagian kecil bangsa Arab telah menamakan anak-anak mereka dengan nama tersebut dengan harapan merekalah orang yang dimaksudkan.[4]
Imam Ibn ‘Asakir telah menyebutkan di dalam kitabnya daripada riwayat Ibn ‘Abbas R.A bahawa :
“Apabila Nabi SAW dilahirkan, Abd al-Muttalib telah melakukan akikah ke atas baginda dengan menyembelih kibasy dan menamakannya Muhammad. Ditanyakan kepadanya: “Wahai Abu al-Harith apakah yang menyebabkan engkau memberinya nama Muhammad dan bukan dengan nama nenek moyangnya?” Jawabnya: “Aku ingin agar Allah SWT memujinya di langit dan juga manusia memujinya di bumi.”[5]
Kesimpulannya, Rasulullah SAW dinamakan Muhammad oleh datuknya sendiri kerana mengharapkan Baginda SAW dipuji oleh Allah SWT di langit dan juga dipuji oleh manusia yang lain di bumi. Kalimah Muhammad itu sendiri yang bermaksud orang yang dipuji dan datang dalam bentuk mubalaghah iaitu paling banyak dipuji. Nama itu juga bersesuaian kerana Baginda adalah orang yang paling banyak memuji Allah SWT dan paling banyak pujiannya antara para nabi atau yang paling agung sifat terpujinya.[6] Wallahu a’lam.
[1] Riwayat al-Bukhari, no. 3532
[2] Fath al-Bari, 6/555
[3] Al-Nahjah al-Sawiyyah fi al-Asma’ al-Nabawiyyah, m. 41
[4] Ibid., m. 44
[5] Tarikh Dimashq, 3/32
[6] Fath al-Bari, 6/555