“Keadaan kewangan Kolej UNITI tak berapa baik sekarang. Ekonomi negara pun kurang stabil. Saya hargai usaha-usaha Dr. selama Dr. mengajar di sini. Dr. banyak membantu perkenalkan Kolej UNITI kepada masyarakat…”, kongsi Dr. Jailani semasa pertemuan Zulkifli bersama CEO Kolej UNITI. Bagai ada sesuatu yang ingin disampaikannya namun tak terungkap.
“Takpe Dr. Saya amat faham. Suasana sekarang memang agak susah bagi Kolej UNITI untuk terus ke depan. Bila kapal terumbang-ambing dilambung ombak, nakhoda kena bertindak segera untuk selamatkan anak-anak kapal yang utama. Insya-Allah, saya akan undur diri.” Zulkifli tersenyum memandang Dr. Jailani di hadapannya.
Beliau menyambung, “Gaji saya untuk bulan ni, tak perlu beri. Saya anggap itu sebagai sumbangan akhir saya kepada Kolej UNITI, untuk tutup sebarang kekurangan saya sepanjang melunaskan tanggungjawab sebagai pensyarah di sini.”
Keesokannya, Zulkifli menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai Pensyarah Kolej UNITI. Berpisah dengan sebuah institusi pendidikan yang memberi 1001 kenangan buatnya, memang sulit. Namun, beliau yakin ada hikmah di sebalik semua ujian ini.
Zulkifli melangkah perlahan bertemu Pak Taib, tukang kebun Kolej UNITI yang rapat dengannya. Beliau senang berborang dengan Pak Taib. Adakalanya, Zulkifli menghulurkan beberapa not wang kertas untuk belanja harian Pak Taib. Pernah juga semasa baru berpindah, Zulkifli menghadiahkan selori perabot-perabot terpakai yang masih elok, kepada Pak Taib. Tercengang Pak Taib sekeluarga bila melihat lori berisi perabot di hadapan rumahnya.
“Pak Taib. Insya-Allah saya tak lupa Pak Taib. Nanti bila-bila ada masa lapang, saya singgah jumpa Pak Taib.”. Zulkifli bersalam dan menyelitkan sekeping sampul berisi duit ke poket seluar Pak Taib. Pak Taib mengangguk. Ada senyuman yang terukir namun agak pahit. “Ustaz doakan saya ya…”, kata Pak Taib sambil menggenggam tangan Zulkifli.
********************
“Selamat datang saya ucapkan kepada Dr, ke Universiti Sains Islam Malaysia.” Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor Husin berjabat tangan dengan Zulkifli.
USIM atau nama asalnya KUIM memulakan operasi awalnya di tingkat 5, Fakulti Pengajian Islam UKM dan pada bulan Januari tahun 2000. Satu memorandum persefahaman (MoU) dimeterai di antara Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan KUIM dan Institut Profesional Baitulmal (IPB). MoU itu ditandatangani Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdul Hamid Othman yang mewakili MAIWP, Dato’ Dr. Abdul Shukor Haji Husin mewakili KUIM manakala IPB diwakili pengerusinya Tan Sri Hanafiah Ahmad.
KUIM kemudiannya berpindah ke IPB di Kampung Pandan, Kuala Lumpur untuk pengambilan pelajar pertama sesi 2000/2001 seramai 255 orang. Pada peringkat awal, KUIM menawarkan tiga bidang pengajian iaitu Pengajian Syariah dan Kehakiman, Pengajian al-Quran dan al-Sunnah dan Pengajian Dakwah dan Pengurusan Islam di tiga fakulti; Fakulti Syariah dan Kehakiman, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah dan Fakulti Dakwah dan Pengurusan Islam. Setelah hampir tiga tahun di kampus tersebut dengan pertambahan fakulti iaitu Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM), USIM akhirnya berpindah ke kampus tetap di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan pada sesi akademik 2005/2006.
Alam kerjaya baharu di USIM memberikan cabaran yang berbeza, namun pastinya lebih baik untuk dirinya. Bahasa pengantar di USIM adalah Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris. Beliau mula berkenalan dengan para pensyarah daripada Sudan, Afrika, Iraq dan pelbagai negara-negara luar. Mereka amat komited dengan kerja dan bersungguh-sungguh dalam memastikan para mahasiswa memahami setiap silibus yang diajarkan.
********************
Cuaca pagi di Fakulti Syariah Undang-Undang sedikit mendung. Mungkin kerana fasa peralihan monsun yang sedang berlaku di seluruh Malaysia. Jika tidak ada kelas, Zulkifli lebih selesa untuk berkurung di dalam biliknya dan menulis.
“Cikgu, ape khabar…?”, sapa Zulkifli apabila terserempak dengan Ustazah Nik Salida, semasa hendak masuk ke biliknya. Beliau adalah rakan sejawat Zulkifli di Fakulti Syariah dan Undang-Undang. Lulusan bidang Undang-Undang di UIA ini khabarnya akan berlepas ke UK bagi menyambung pengajian peringkat Doktor Falsafah di sana.
“Alhamdulillah, sihat ustaz. Cuma sibuk sikit cari bahan-bahan rujukan untuk kelas petang ni.”, balas Ustazah Nik Salida.
Jadual Zulkifli di USIM lebih padat apabila beliau mula dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu, Penulis Tamu JAKIM, Pengerusi Panel Syariah Bank Pertanian Malaysia, dan puluhan jawatan lain samada di peringkat negeri mahupun kebangsaan, di samping kelas-kelas para mahasiswa Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa USIM yang perlu dihadiri. Di dalam Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu, beliau berada bersama-sama dengan Tuan Guru Haji Abdul Rahman, Ustaz Masjid, Dato’ Haji Ambak, dan beberapa tokoh lain disamping Sahibus Samahah Mufti Terengganu. Keberadaan mereka memberi banyak manfaat kepada Zulkifli, khususnya dalam menadah mutiara ilmu dan pengalaman yang sangat luas dalam bidang kefatwaan.
Semasa berada di dalam biliknya, Zulkifli menyelak helaian demi helaian resume beliau yang sentiasa dikemaskini oleh beberapa orang mahasiswa yang membantunya.
2007
- Panel Penilai Jawatankuasa AD-HOC Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA Bagi Penilaian Pengiktirafan Program Ijazah Sarjana Muda Program Ijazah Sarjana Muda Syariah Dari Universiti Malaya (UM)
- Anggota Lajnah Tashih Tafsir Pedoman Muttaqin
- Panel Penilai Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)
2008
- Pengerusi Penyediaan Modul Asas Pengurusan Fatwa, JAKIM
- Penulis Karya Tokoh-tokoh Islam DBP
- Ahli Jawatankuasa Malaysian Financial Planning Council MFPC
- Penasihat Akademik dalam Bengkel Penyelarasan dan Pemurnian Program Sarjana Syariah (Pengurusan). Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).
- Panel Penapis Filem dan Drama Berunsur Islam. Bahagian Media Elektronik dan Penyiaran JAKIM
- Ahli Panel Kajian Akidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
- Panel Penyelidik Pusat Zakat Negeri Sembilan.
- Panel Penerbitan Buku Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan
Matanya terbaca satu jawatan yang membuatkannya tersenyum, dan mengenang kembali memori lama.
“Ahli Panel Ibadat Tabung Haji.”
Zulkifli ketawa sendirian apabila mengingatkan risalah mengkritik hukum melontar sebelum zawal oleh Tabung Haji yang ditulisnya semasa masih di Universiti Islam Madinah. Itulah semangat darah anak muda. Kini, beliau berada di bawah Tabung Haji sebagai Ahli Panel Ibadat. “Apa yang Allah doh susun, ade hikmahnye…”, bisik hati kecilnya.
Daripada Saidatina ‘Aisyah R.Anha, bahawa Nabi SAW telah bersabda:
إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla mencintai seseorang yang apabila dia mengerjakan sesuatu kerja, dia laksanakan dengan cemerlang.”[1]
Inilah hadis yang sentiasa menjadi pegangannya sepanjang melakukan apa jua tugasan dan tanggungjawab yang diberikan.
********************
“Alhamdulillah, Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili ke sini bulan depan. Wakil dia baru maklumkan pada ana. Kerajaan pun nak bagi anugerah Maal Hijrah pada Syeikh.”, kata Ustaz Irwan semasa sedang menikmati makan tengahari.
Zulkifli tersenyum lebar apabila mengetahui maklumat tersebut daripada sahabatnya, Ustaz Irwan. “Masya-Allah…! Ada apa-apa yang boleh ana bantu, kita usahakan. Tak lama dah ni.”, ujar Zulkifli kepada Ustaz Irwan. Berita kedatangan gurunya ke Malaysia itu merupakan satu khabar yang amat menggembirakan.
____________________
[1] Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsath (897) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (4929, 4930 dan 4931) tetapi dengan sanad yang berbeza.