“Zul, enta faham tak apa yang Syeikh Muhammad bin Muhammad al-Mukhtar al-Syinqiti terangkan tadi?”, tanya Azhan selepas kelas. Kelas Syeikh memang antara yang ditunggu-tunggu kerana kemantapan penghujahannya dan kekuatan ilmunya.
“Isu ape? Fath al-zara’i ke? Oh…mudah je nak faham. Istilah itu Imam Al-Qarafi yang sebut. Dia ulama besar mazhab Maliki.
اعْلَمْ أَنَّ الذَّرِيعَةَ كَمَا يَجِبُ سَدُّهَا يَجِبُ فَتْحُهَا وَتُكْرَهُ وَتُنْدَبُ وَتُبَاحُ
Maksudnya: Ketahuilah, sesungguhnya, zari’ah (pintu-pintu yang membawa kepada perkara yang haram) adalah wajib ditutup, sebagaimana ia juga wajib dibuka, dimakruhkan, disunatkan dan diharuskan (pada beberapa keadaan).
Kadang-kadang, wasilah kepada perkara yang haram, tak menjadi haram kalau ia bawa kepada maslahah yang rajih. [1] Sesetengah ulama’ namakan sebagai fath abwab al-khair (membuka pintu-pintu kebaikan). Contohnya keharusan untuk pemerintah untuk menetapkan harga siling bagi suatu barang jualan. Walaupun polisi tu mungkin merugikan peniaga, tapi ada maslahah yang lebih rajih, iaitu mengelakkan para pengguna daripada terpaksa membayar harga yang mahal untuk suatu barang akibat monopoli, spekulasi harga dan penipuan oleh para peniaga.”
Zul menyambung penjelasannya dengan berkata, “Imam Abu Hanifah pernah beri fatwa keizinan sementara waktu kepada orang Parsi yang baru masuk Islam untuk baca bacaan solat dalam Bahasa Parsi semasa solat sebab susahnya orang Parsi nak sebut perkataan Bahasa Arab. Tapi ikut pandangan ulama’ Hanafiyyah terkemudian, Imam Abu Hanifah dah tarik fatwa tu dan pegang dengan pandangan muktamad iaitu tak boleh baca dalam bahasa lain kecuali Bahasa Arab. Cuma ana nak kata, benda ni boleh berlaku dan pernah berlaku.[2]
Imam Ibn al-Qayyim pun ada bahaskan jenis-jenis wasilah dan zari’ah. Ada wasilah yang asalnya harus dan berkemungkinan membawa kepada keburukan (mafsadah), tapi maslahahnya lebih rajih berbanding keburukan. Contohnya keharusan tengok muka perempuan yang nak kita nikah, cakap benar di depan pemerintah zalim dan lain-lain. Dalam hal ni, Syari’ah mengharuskan, menggalakkan atau mewajibkan wasilah-wasilah macam ni mengikut penilaian tingkatan maslahah.[3]
“Enta paham dok?”, tanya Zul kepada Azhan. “Ooo…paham, paham. Terima kasih banyak-banyak Zul!”, Azhan tersengih-sengih dan terus berlalu ke kantin.
Zul melihat jam tangan yang biasa dipakai di tangan kanannya. 15 minit lagi kelas akan bermula. Sesi perkuliahan di Universiti Islam Madinah bermula pada jam 7 pagi hingga jam 1 petang. Setiap kuliah berlangsung selama 1 jam dan ada waktu rehat adalah 30 minit. Satu budaya yang baik di Kuliah Syariah dan sudah pasti keseluruhan universiti adalah, amat jarang atau hampir tidak ada para pensyarah yang masuk lewat atau tidak hadir ke kelas. Mungkin jika ada, hanya sekali dua dalam satu semester. Cita-cita sebahagian mahasiswa untuk melihat pensyarah mereka tidak hadir untuk membolehkan mereka pulang tidur di asrama, biasanya berakhir dengan angan-angan! Para pensyarah sentiasa menekankan soal adab dan akhlak dalam menuntut ilmu kepada para mahasiswa. Secara tidak langsung, budaya itu membina peribadi mahasiswa yang berkualiti tinggi.
Sementara menunggu Syeikh Dr. Muhammad bin Muhammad al-Mukhtar al-Syinqiti masuk, Zul menyelak helaian demi helaian kitab Bidayah al-Mujtahid yang menjadi silibus utama subjek Fiqh. Kitab Bidayah al-Mujtahid wa Nihayah al-Muqtasid adalah sebuah karya yang membahaskan tentang fiqh perbandingan mazhab, yang ditulis oleh Ibn Rusyd. Ibn Rusyd adalah seorang Ulama’ Fiqh yang tersohor dalam Mazhab Maliki kelahiran kota Cordoba, Andalusia pada tahun 502H /1126M dan meninggal di kota Marakesh, Moroko pada tahun 595H/1198M. Daripada tajuk kitab ini dapat difahami bahawa Ibn Rusyd menulis kitab ini sebagai persiapan awal bagi seseorang yang boleh melakukan ijtihad dan sebagai pegangan utama bagi orang-orang selain mujtahid yang mana peringkat pemahaman ilmu fiqhnya adalah sederhana. Kitab ini dibahagikan 5 bahagian utama iaitu ‘Ibadah (77 permasalahan), Kekeluargaan (20 permasalahan), Mu’amalat (36 permasalahan), Jenayah (6 permasalahan) dan Pengadilan (4 permasalahan).
Para mahasiswa diperkenalkan dengan kaedah pentarjihan samada melalui sanad, matan (teks), atau dengan merujuk kepada perkara luaran. Contoh pentarjihan melalui sanad adalah apabila terdapat dua buah hadis, hadis yang pertama sanad perawi di dalamnya lebih banyak daripada hadis yang kedua. Maka ditarjihkan hadis yang memiliki perawi yang banyak. Ini kerana, itu lebih menguatkan sangkaan kita kepadanya dan kemungkinan untuk berlakunya kesalahan atau pendustaan terhadap ramai orang itu adalah lebih kurang berbanding kemungkinannya terhadap yang sedikit.
Dalam kitab al-Ihkam fi Usul al-Ahkam, Imam Saifuddin al-Amidi telah menyebutkan 51 bentuk pentarjihan yang merujuk kepada matan. Antaranya adalah kaedah larangan itu didahulukan ke atas perintah. Ini juga berdasarkan kaedah menolak mafsadah itu didahulukan ke atas mendatangkan manfaat. Begitu juga lafaz-lafaz hakikat didahulukan ke atas lafaz-lafaz yang majaz kerana ayat hakikat tidak perlu kepada bukti (qarinah). Manakala bagi pentarjihan dengan merujuk kepada perkara luaran, ia bermaksud jika terdapat dua dalil, maka kita hendaklah mendahulukan dalil yang lebih hampir kepada berhati-hati (ihtiyat) dan membebaskan diri daripada tanggungan (bara’ah al-zimmah). Ini kerana, itu lebih dekat untuk mendatangkan maslahah dan menolak kerosakan.
Pada hari itu, Syeikh Dr. Muhammad bin Muhammad al-Mukhtar al-Syinqiti membahaskan tentang hukum seseorang yang berwudhu’ dan bersentuhan kulit dengan pasangan. “Firman Allah SWT:
أَوۡ لَٰمَسۡتُمُ ٱلنِّسَآءَ
Maksudnya: Ataupun kalian bersentuhan dengan wanita.[4]
Zul mendengar dengan tekun setiap patah perkataan yang dihuraikan oleh Syeikh dan mencatatnya.
Syeikh menyambung lagi penjelasannya. “Berdasarkan ayat ini, para fuqaha’ berbeza kepada dua pandangan yang masyhur berkenaan isu bersentuhan dengan perempuan. Adakah ia membatalkan wudhu’ ataupun tidak. Sebahagian mereka mengatakan, ayat tersebut merujuk kepada perbuatan jimak iaitu bersetubuh dengan wanita. Manakala sebahagian ulama lain pula mengatakan ayat di situ menunjukkan kepada semata-mata bersentuhan kulit maka itu membatalkan wudhu’ .
Secara ringkasnya, di antara hujah yang digunakan oleh pihak yang mengatakan batal wudhu’ kerana bersentuhan kulit itu adalah berdasarkan sebuah kaedah:
الأَصْلُ فِي الكَلَامِ الحَقِيْقَة
Maksudnya: Asal bagi sesuatu ucapan itu adalah secara hakikat.
Maka para ulama ini mengatakan perkataan al-lams (sentuhan) itu difahami secara hakikatnya iaitu semata-mata sentuhan. Manakala para ulama yang mengatakan tidak batal wudhu’ kerana bersentuhan itu adalah berdasarkan sebuah kaedah:
إِذَا تَعَذَّرَ إِعْمَالُ الكَلَامِ عَلَى الحَقِيقَةِ يُصَارُ إِلَى المَجَازِ
Maksudnya: Jika terdapat keuzuran untuk menggunakan sesuatu ucapan itu pada hakikatnya maka kita beralih kepada makna majazi.
Maka para ulama ini mengatakan terdapatnya keuzuran untuk menggunakan kalimah al-lams itu secara hakikatnya. Lalu mereka beralih kepada makna majazi (kiasan) bagi perkataan al-lams iaitu jimak ataupun persetubuhan.
Keuzuran dalam meletakkan makna al-lams itu kepada maknanya yang hakiki adalah kerana terdapatnya dalil-dalil hadis yang menunjukkan Rasulullah S.A.W mencium sebahagian isterinya lalu baginda pergi menunaikan solat tanpa memperbaharui wudhu’ .
Boleh saya tahu siapa daripada Malaysia? Zulkifli? Kamu orang Malaysia?”, Syeikh melihat tepat kepada Zul. “Ya betul Syeikh. Saya orang Malaysia”, jawab Zul sambil tersenyum. “Baik. Jelaskan kepada kami berkenaan pandangan mazhab di Malaysia kerana orang-orang Malaysia setahu saya bermazhab Syafie.”
“Baik Syeikh.”, jawab Zul ringkas. Beliau berdiri dan memulakan penjelasannya. Kebetulan malam tadi, beliau sempat membuka kitab al-Iqna’, yang dipelajarinya semasa di SMAASZA.
“Dalam kitab al-Iqna’, Imam al-Bujairimi menyebutkan:
من نواقض الْوضُوء (لمس الرجل) ببشرته (الْمَرْأَة الْأَجْنَبِيَّة) أَي بَشرَتهَا من غير حَائِل
Antara perkara yang membatalkan wudhu adalah bersentuhan kulit laki-laki dewasa dengan perempuan dewasa lain (yang bukan muhrim) tanpa ada penghalang.”
Para ulama Syafi’iyyah memahami sentuhan itu dengan pemahaman yang hakikat dan bukannya makna kiasan sepertimana yang difahami mazhab lain. Imam Al-Nawawi menyatakan:
أَنَّ الْتِقَاءَ بَشَرَتَيْ الْأَجْنَبِيِّ وَالْأَجْنَبِيَّةِ ينتقض سواء كان بشهوة وبقصد أم لا ولا ينتقص مَعَ وُجُودِ حَائِلٍ وَإِنْ كَانَ رَقِيقًا
Maksudnya: Sesungguhnya menyentuh kulit lelaki dan perempuan yang ajnabi adalah perkara yang membatalkan wuduk sama ada dengan bersyahwat atau tidak. Dan tidak membatalkan wuduk sekiranya berlapik walaupun nipis.”[5]
Syeikh tersenyum dan mengucapkan terima kasih kepada Zul atas penjelasannya. “Penjelasan yang amat baik, Zulkifli. Semua mahasiswa patut mencontohi Zulkifli. Ini menunjukkan kamu sudah ada asas yang baik berkenaan mazhab kamu.”, puji Syeikh kepada Zul.
********************
Subjek Usul al-Fiqh diajar oleh Syeikh Dr. Soleh al-Ghannam. Melalui kelas Usul Fiqh, Zul diperkenalkan dengan kitab Raudhah al-Nazir oleh Ibn Qudamah al-Maqdisi. Syeikh Muhammad al-Amin al-Syinqiti, penulis kitab tafsir terkenal, Adwa’ al-Bayan telah meringkaskan kitab ini untuk memudahkan pemahaman para pelajarnya dan menamakannya Muzakkirah Usul al-Fiqh ‘ala Raudhah al-Nazir.
Pada mulanya, Zul agak sukar untuk memahami apa yang diajarkan. Beliau cuba memberikan fokus sepenuhnya dalam kuliah namun masih belum berjaya memahami sepenuhnya subjek ini. “Ya Allah…susoh do’oh! Bakpe la payoh ngat…”, Zul merungut sendirian. Terasa hampir putus asa dan menyesal. Pernah satu malam, berkali-kali beliau membaca beberapa buah kitab Usul al-Fiqh namun tidak juga difahami. Kitab Muzakkirah Usul al-Fiqh ‘ala Raudhah al-Nazir ditutup dan diletakkan di tepi meja. Beliau mencari-cari kitab lain di rak bukunya untuk bacaan santai. Jari jemarinya mencapai kitab Diwan al-Syafi’e. Mata beliau terarah ke serangkap syair oleh Imam al-Syafie.
بقَدْرِ الكدِّ تُكتَسَبُ المَعَــالي *ومَنْ طَلبَ العُلا سَهِـرَ اللّيالي
Ketinggian dicapai dengan ukuran kerja yang keras * Barang siapa yang ingin meraih puncak maka dia perlu berjaga malam
ومَنْ رامَ العُلى مِن ْغَيرِ كَـدٍّ * أضَاعَ العُمرَ في طَـلَبِ المُحَالِ
Barang siapa yang mengharapkan kedudukan yang tinggi (mulia) tanpa rasa letih * Maka sesungguhnya dia hanya menghabiskan usianya untuk meminta sesuatu yang mustahil
تَرُومُ العِــزَّ ثم تَنامُ لَيـلاً * يَغُوصُ البَحْرَ مَن طَلَبَ اللآلي
Engkau mengharapkan kejayaan kemudian di malam harinya hanya tidur * Orang yang mencari mutiara perlu menyelam di lautan
Zul bagai tersentak membaca syair Imam al-Syafie ini. Matanya yang sudah mengantuk, kembali segar. Tubuhnya yang lesu, mula rasa bertenaga. “Nok jadi alim, dop buleh nok jeretoh[6] sokmo!”, Zul menulis syair itu dan menampalkannya di meja belajar. Itulah penguat semangatnya sepanjang berada di bumi Madinah. Sejak daripada itu, Zul semakin mahir dalam subjek Usul Fiqh dan sering pula dirujuk oleh rakan-rakannya untuk memahami subjek ini.
********************
Semasa waktu rehat, Zul memanfaatkan masanya untuk mengulangkaji subjek Tafsir. Kitab Tafsir al-Qur’an al-Azim oleh Ibn Kathir menjadi rujukan utama bagi subjek Tafsir. Cuma sebahagian pensyarah tidak menggunakan tafsir ini sepenuhnya dan ada rujukan-rujukan lain. Khairul ada di hadapannya, sedang membaca kitab Mabahith fi Ulum al-Qur’an.
Tafsir Ibn Kathir adalah antara tafsir bi al-ma’thur yang sangat masyhur. Ibn Kathir yang bermazhab Syafie memulakan tafsir setiap surah dengan menyebut kelebihan dan sebab nuzulnya. Kemudian, beliau menerangkan bilangan ayat dan kadangkala bilangan huruf, surah dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengan surah yang ditafsirkan untuk membuktikan keistimewaan al-Qur’an. Beliau membahagikan ayat-ayat yang hendak ditafsir kepada beberapa kumpulan mengikut kesesuaian dengan kandungan atau cerita yang dibentang oleh ayat-ayat tersebut. Oleh itu, jumlah ayat yang ditafsirkan di dalam satu-satu kumpulan itu berbeza.
Ibn Kathir memberikan perhatian penuh kepada kisah-kisah Nabi dan Rasul serta kisah-kisah berkaitan yang terdapat di dalam al-Qur’an. Ketika membentangkan kisah-kisah ini, sering kali Ibn Kathir mengingatkan pembaca bahawa kisah-kisah Israiliyyat telah banyak menyusup masuk ke dalam kitab Tafsir al-Qur’an dan perlu kepada usaha untuk membersihkannya daripada unsur Israiliyyat.
“Mung nok tau dop Ayub? Hok specialnye tafsir Ibn Kathir ning, ye letok taraf hadis-hadis yang dibowok dalam ning. Mung akan jupe hadis yang ye takhrij sahih, hasan, da’if, gharib, munkar. Ni bukti ye bukang calang-calang dalam bidang hadis. Mung tengok ning…”, Zul mencuit Khairul dan menunjukkan tafsir yang dikemukakan oleh Ibn Kathir tentang peristiwa Isra’ dan Mi’raj. Hadis-hadis Isra’ dan Mi’raj dikupas dengan begitu teliti oleh Ibn Kathir.
Dari sudut fiqh, Ibn Kathir ada membincangkan pandangan fuqaha’ terutamanya ketika mentafsirkan ayat-ayat hukum. Sebagai contoh, ketika membincangkan hukuman bagi pemberontak dan pencuri, waktu penyembelihan korban di Mina dan hukum membasuh kedua-dua belah kaki ketika berwudhu’. Kritikan juga diberikan kepada aliran-aliran bid’ah seperti Syi’ah dalam beberapa masalah seperti nikah mut’ah, menyapu kedua belah kaki ketika berwudhu’ dan lain-lain lagi.
********************
Bagi subjek Hadis, Zul bermula dengan mempelajari Sahih al-Bukhari dan syarahnya Fath al-Bari yang memfokuskan beberapa bab terpilih. Pengajian talaqqi kitab Fath al-Bari di Masjid Nabawi bersama Syeikh Muhammad ‘Ali Thani banyak membantunya untuk memahami huraian pensyarah di dalam kelas. Pada Tahun 2, silibus yang diperkenalkan adalah kitab Sahih Muslim dan para pelajar dibenarkan untuk memilih mana-mana kutub al-sittah (Sahih Al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abu Daud, Sunan al-Nasa’ie, Sunan al-Tirmizi dan Sunan Ibnu Majah) dan di pelajari sehingga tahun 4.
Jika melihat kepada nama Sahih al-Bukhari, itu telah jelas menunjukkan manhaj Imam al-Bukhari dalam menghasilkan karya beliau ini. Al-Jami’ ertinya himpunan, al-Sahih ertinya hadith-hadith yang sahih, al-Musnad ertinya hadith-hadith yang mempunyai sanad yang bersambung kepada Rasulullah SAW dan juga al-Mukhtasar iaitu ringkasan teks hadith. Manhaj fiqh Imam al-Bukhari boleh difahami melalui bab-bab yang disusunnya. Bagi tujuan menghasilkan kitab ini, Imam al-Bukhari telah memasukkan 7,563 buah hadith[7] lebih daripada 100 ribu hadith yang sahih untuk dimuatkan ke dalam karya beliau. Hal ini difahami melalui perkataan imam al-Bukhari sendiri:
أَحْفَظُ مِائَةَ أَلْف حَدِيْث صَحِيْح وَأَعْرِفُ مِائَتَيْ أَلْف حَدِيْث غَيْر صَحِيْح
Maksudnya: “Aku menghafal 100 ribu hadis yang sahih dan aku juga tahu 200 ribu hadis yang tidak sahih”.
“Zul, cari kitab mende tu…?”, tegur Shohor Bani di kedai kitab. Agak jarang mereka bersua di kampus kerana berbeza kuliah. Zul di Kuliah Syariah dan Shohor Bani di Kuliah Dakwah dan Usuluddin. “Ning aku tengoh cari kitab Subul al-Salam, syarah Bulugh al-Maram. Imam al-San’ani tulis syarah bagi kitab Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani. Silibus subjek Fiqh Hadis aku semester ning.”, jawab Zul. Shohor Bani bertanya lagi, “Aik…bukang ke kite buleh kitab free?”. Zul mencapai kitab tersebut di rak yang teratas dan berkata, “Ye, betul doh. Cume hok ni aku nok pos di Malaysia. Abang aku nok sutir.”
Itulah antara keistimewaan belajar di Universiti Islam Madinah. Kitab-kitab silibus pengajian disedikan percuma kepada semua mahasiswa. Justeru, amat rugi jika mahasiswa masih bermalas-malasan dan meletakkan 1001 alasan untuk berjaya.
*********************
Kitab al-‘Aqidah al-Tahawiyyah menjadi silibus utama subjek Akidah di Kuliah Syariah. Subjek ini diajar oleh Syeikh ‘Abdullah bin Muhammad al-Ghunaiman, salah seorang ulama’ dalam bidang Akidah yang disegani di Madinah yang juga merupakan Ketua Panitia Pengajian Tinggi, Universiti Islam Madinah. Kitab yang ditulis oleh Imam Abu Ja’far al-Tahawi ini menghimpunkan 105 bait kupasan akidah Ahli Sunnah wal Jama’ah secara ringkas dan tersusun. Syarah oleh Ibn Abi al-‘Izz al-Hanafi adalah antara syarah bagi kitab al-‘Aqidah al-Tahawiyyah yang paling popular, begitu juga kitab al-Ta’liqat al-Saniyyah ‘ala Matn al-Aqidah al-Tahawiyyah tulisan Syeikh Ahmad Jabir Jubran al-Makki al-Yamani yang lebih ringkas. Kitab ini juga dikenali dengan nama Bayan I’tiqad Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah
“Zaini. Bagi ana, kitab al-‘Aqidah al-Tahawiyyah ni antare kitab hok istimewe walaupung nipis.”, Zul menunjukkan kitabnya kepada Zaini. Hummus yang dinikmati bersama Pepsi menjadi kudapan mereka selepas ‘Isya di asrama kampus. “Bakpe istimewe? Ape beze dengang kitab-kitab lain?”, tanya Zaini kehairanan. “Pertame, Imam al-Tahawi sendiri tulis dalam kitab ning, kitab ni disusung atas jalan Imam Abu Hanifah, Imam Abu Yusuf, dengang Imam Muhammad bin Hasan al-Syaibani. Maksudnye, kitab ini mengikut jalan para salafussoleh. Kedue, Imam al-Subki pun sebut doh, “Ulama empak mazhab doh iktiraf akidah Imam al-Tahawi diterima ulama’ salaf dan khalaf. Syeikh ‘Abdul Qadir al-Mandili pung ade buat terjemahan ke tulisan Jawi dan ringkasang atas Syarah Ibn Abi al-‘Izz al-Hanafi bagi kitab ning. Tajuknye Perisai Bagi Sekalian Mukallaf.”
“Doh. Jom tidor. Esok kite nok gi ziaroh ulama…”, Zul menutup kitabnya, mengemas timbunan kitab-kitab Nahu dan Saraf yang turut dipelajarinya di kuliah, dan berbaring di katil. Tak sabar beliau hendak menunggu hari esok kerana ulama luar yang singgah ke Madinah ini, adalah antara yang dikaguminya sejak sekian lama.
____________________
[1] Anwār al-Burūq fi Anwāʿ Al-Furūq, 3/46 – 47
[2] Tabyin al-Haqa’iq Syarh Kanz al-Daqa’iq 1/110 dan al-Binayah Syarh al-Hidayah 2/179
[3] I’lam al-Muwaqqi’in, 3/109-110
[4] Surah al-Nisa’ (43)
[5] Al-Majmūʿ Sharḥ al-Muhadhdhab, 2/30
[6] Tidur
[7] Mengikut cetakan naskah Hindiyyah yang kami gunakan untuk Terjemahan Sahih al-Bukhari dengan kerjasama Madrasah Miftahul Ulum Sri Petaling.