“Dari Hamba Yang Dihina Berubah Menjadi Panglima Perang Yang Bijaksana”

Siapakah “SAIFUDDIN AL-QUTUZ”.

Nama penuh beliau adalah Muhammad Saifuddin Muzaffar al-Qutuz yang merupakan salah seorang tokoh besar dalam sejarah pemerintahan Islam. Nama asalnya adalah Mahmud bin Mamdud yang berasal dari keluarga muslim berdarah biru (Sangre Azul) istilah yang digunakan untuk memberi maksud golongan bangsawan. Sultan Qutuz adalah anak saudara kepada Jalaluddin Al-Khawarizmi yang lebih dikenali sebagai raja Khawarizmi. Di dalam pemerintahan Raja Khawarizmi, beliau melawan pasukan Mongol dan mengalahkan mereka. Namun begitu, beliau telah diserang bertubu-tubi dan ditakdirkan kalah lalu menyelamatkan diri ke India. Malangnya tentera Mongol berjaya menangkap ahli keluarganya dan sebahagian daripadanya dihukum bunuh. Mahmud bin Mamdud adalah salah seorang dari mereka yang dijadikan mangsa kekejaman Mongol. Beliau telah dijual sebagai hamba di pasar kecil yang terletak di Damaskus. Mongol menggelar Mahmud dengan dari perkataan Mongol iaitu Qutuz yang bermaksud “Anjing Ynag Ganas”. Sewaktu beliau masih kecil, Qutuz memiliki keperibadian seorang yang kuat dan gagah. Salah seorang daripada bani Ayyub membelinya dan ia dibawa ke Mesir. Milikannya berpindah dari satu tuan ke tuan yang lain sehingga sampai akhirnya ia dibeli oleh Raja Al-Mu’izz Izzuddin Aibak. Beliau dilatih dengan seni menunggang kuda, metod pertempuran dan sebagainya sebagai persiapan untuk menjadi panglima (Sila rujuk Kitab Kisah At-Tatar Min Bidayah Ila Ain Jalut karangan Dr. Raghib As-Sirjani, m/s 238).

Ain Jalut Membinasakan Musuh.

Pada tahun 1260 dua tahun selepas kejatuhan Khalifah Abbasiyah yang berpangkalan di Baghdad, umat Islam kembali bersinar semula selepas Mongul jatuh ke tangan tentera Islam dalam peperangan yang bernama Ayn (Ain) Jalut di Galilee di kawasan lembah Jezreel, Palestin. Pada ketika itu umat Islam yang tinggal di Mesir adalah di bawah pimpinan Muhammad Saifuddin Muzaffar al-Qutuz. Sebelum sampai ke Mesir, Kerajaan Mongul telah mengirim utusan kepada kerajaan Mamluk untuk tunduk dan menyerah kalah kepada mereka. Sekiranya syarat tersebut tidak dipenuhi oleh pemimpin Mesir, mereka akan diserang dan dimusnahkan. Pada ketika itu, satu persatu negara Islam telah dijajah dan diperangi. Begitu juga Mesir, Hulagu Khan telah mengutuskan suruhannya bertemu Sultan Qutuz bersama surat yang mengarahkan agar kerajaan Mamluk untuk menyerah kalah. Namun begitu, ia telah ditolak oleh Sultan bahkan para utusan tersebut dipenggal kepalanya. Perkara tersebut telah menimbulkan kemarahan Mongol disebabkan kerajaan Mamluk lebih memilih untuk berperang dari menyerah kalah. 

Islam Sebagai Ad-Din

Dalam keadaan yang sedang terdesak dengan ancaman yang diberikan oleh pihak Mongul untuk menyerang, Sultan Saifuddin Qutuz menghadapi pelbagai cabaran dan kesusahan untuk bersiap-siaga dalam menghadapi musuh dari pelbagai sudut kekurangan dan kelemahan. Namun begitu, penulis tertarik dengan satu kisah yang merupakan pengajaran dan teladan yang terbaik untuk dimuhasabah dan direnungi bersama. Satu daripada cabaran terbesar yang dihadapi oleh Mesir ketika itu adalah, mereka mengalami kegawatan ekonomi yang teruk dan kekurangan dana untuk menyiapkan kelengkapan perang dari segi pakaian, peralatan, senjata, ubat-ubatan, makanan yang mencukupi ketika dikepung dan sebagainya (Sila rujuk Kitab Sultan Saifuddin Qutuz Wa Ma’rikatu Ain Jalut karangan Dr. Ali Muhammad Muhammad Al-Sollabi, m/s 113).

Lalu Sultan Saifuddin Qutuz memanggil para pembesar negara untuk melakukan mesyuarat. Pilihan yang ada pada mereka adalah untuk mengutip duit dari rakyat jelata dan ia perlu dilakukan segera kerana tidak ada pilihan selain daripada itu. 

Akan tetapi pilihan ini memerlukan satu fatwa yang dikeluarkan oleh ulama’ Islam kerana masyarakat Islam pada ketika itu tidak diperkenalkan dengan perlaksanakan cukai selain daripada zakat. Tanpa fatwa tersebut, Sultan Saifuddin Qutuz tidak akan melakukannya dalam menyelesaikan masalah dengan jalan yang tidak syarie’ kerana syariat adalah batas bagi segala-galanya.

Di antara yang dipanggil untuk turut serta di dalam mesyuarat tersebut adalah seorang ulama’ yang bernama Sheikh Al-Izz bin Abd al-Salam atau lebih masyhur dikenali sebagai “Sultan kepada semua ulama’ ”. Gelaran ini diberikan kerana sifat beliau yang amat tegas di dalam menasihati para pemerintah dan panglima perang ketika perang Salib sedang berlaku. Beliau bukan sahaja memberikan fatwa di dalam masalah ibadah tetapi juga turut campur tangan di dalam memberikan fatwa berkenaan masalah politik dan peperangan. 

Ketika Sultan Saifuddin Qutuz mencadangkan agar dilakukan kutipan dari rakyat jelata, Sheikh Al-Izz Abdis Salam mengeluarkan satu fatwa yang cukup tegas. Beliau berkata:

“Apabila negara Islam diserang, wajib ke atas dunia Islam untuk memerangi musuh. Harus diambil dari rakyat jelata harta mereka untuk membantu peperangan dengan syarat tidak ada harta langsung di dalam Baitul Mal. Setiap kamu (pihak pemerintah) pula hendaklah menjual semua yang kamu miliki dan tinggalkan untuk diri kamu hanya kuda dan senjata. Kamu dan rakyat jelata adalah sama di dalam masalah ini. Ada pun mengambil harta rakyat sedangkan pimpinan tentera memiliki harta dan peralatan mewah, maka ianya adalah tidak harus.” (Sila rujuk Kitab Sultan Saifuddin Qutuz Wa Ma’rikatu Ain Jalut karangan Dr. Ali Muhammad Muhammad Al-Sollabi, m/s 113. Lihat juga Tarikh al-Islam oleh al-Zahabi, 45/48 dan Tarikh al-Khulafa’ oleh al-Suyuthi, hlm. 334)

Fatwa yang cukup tegas ini disambut juga dengan ketegasan oleh Sultan Saifuddin Qutuz. Beliau terus menjual keseluruhan hartanya lalu memerintahkan kepada semua pembesar negara dan pimpinan perang agar menyerahkan semua yang mereka miliki kepada negara. Hasil yang menakjubkan, Mesir adalah negara yang kaya. Tetapi kekayaan tersebut telah disalahguna oleh sebahagian pimpinan pada masa itu. Penyerahan harta dari pembesar negara telah disambut oleh rakyat jelata. Mereka mula menyumbangkan harta masing-masing untuk memenuhi tuntutan belanjawan perang. Semua turut serta di dalam memberikan sumbangan. Fatwa Izzudin bin Abd al-Salam benar-benar dapat menyelesaikan masalah tersebut dalam kadar yang segera. (Sila rujuk Kitab Sultan Saifuddin Qutuz Wa Ma’rikatu Ain Jalut karangan Dr. Ali Muhammad Muhammad Al-Sollabi, m/s 113).

Selepas pulang denagn membawa kemenangan dari Peperangan Ain Jalut ke Mesir sebahagian pembesar Mamluk yang diketuai oleh Baibaras merancang satu konspirasi membunuhnya. Mereka membunuh beliau ketika berhampiran antara Qarabi dan Salahiyyah. Dikebumikan di Qasir dan dipindahkan kuburnya selepas itu ke Kaherah. Beliau dibunuh pada hari Sabtu, 16, Zulkaedah 658 Hijrah. Ia berlaku selepas kemenangan Peperangan Ain Jalut selama 50 hari.

Pengajaran dan Teladan

Melalui kisah ini, beberapa pengajaran dan teladan yang baik yang boleh dicontohi diantaranya:

  1. Bersikap adil dan saksama dalam melaksanakan amanah yang dipikul seperti misal yang ditunjukkan oleh Sultan Saifuddin Qutuz menjual hartanya untuk negara, bangsa dan agama.
  2. Mendahulukan agama dalam segala perkara dan menjadikan alim Ulama’ sebagai panduan kehidupan dalam menetukan sesuatu atau perkara yang bersangkut paut dengan agama supaya ia terhindar dari kesilapan dan fitnah.
  3. Bersatu-padu dan berganding bahu dalam menyelesaikan sesuatu perkara seperti kesatuan masyarakat Islam di Mesir dalam menahan serangan tentera Mongul untuk melenyapkan khilafah Islam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *