Soalan
Assalamualaikum ustaz. Apa hukum wanita memakai wangi-wangian (perfume), kemudian dia keluar dari rumah untuk ke pasar, bekerja dan seumpamanya? Mohon pencerahan.
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Menurut Kamus Dewan, wangian bermaksud segala sesuatu yang berbau wangi, harum dan sedap baunya.[1]
Ibn al-Qayyim berkata: Wangi-wangian yang harum baunya adalah santapan bagi ruh (atau jiwa), manakala ruh merupakan pencetus kekuatan. Dan kekuatan dapat dipertingkatkan (atau dicetuskan) dengan bantuan wangi-wangian. Ia bermanfaat untuk merangsang otak dan jantung, serta seluruh organ tubuh dalaman. Wangi-wangian mampu membuatkan hati gembira, menenangkan jiwa dan menyegarkan semangat dalaman. Wangi-wangian adalah aroma yang paling serasi dengan ruh. Hubungan dan keterikatan antara ruh dan wangi-wangian amat erat. Wangi-wangian adalah salah satu daripada perkara-perkara dunia yang amat disukai oleh Nabi SAW.[2]
Beliau turut menyebut: “Bau-bauan yang harum itu merupakan suatu yang disukai oleh Rasulullah SAW. Pengaruhnya amat memberi kesan terhadap penjagaan kesihatan dan mampu mencegah pelbagai bentuk gangguan penyakit dan faktor-faktor penyakit dengan sebab kekuatan secara semulajadi yang terdapat padanya.[3]
Wangi-wangian Bagi Wanita
Terdapat sebuah hadis yang boleh dijadikan perbincangan di dalam isu ini. Ia adalah sebuah hadis daripada Abu Musa al-Asy`ari RA bahawa Nabi SAW telah bersabda:
أَيُّمَا امْرَأَةٍ اسْتَعْطَرَتْ فَمَرَّتْ عَلَى قَوْمٍ لِيَجِدُوا مِنْ رِيحِهَا فَهِيَ زَانِيَةٌ
Maksudnya: “Mana-mana perempuan yang mengenakan wangian, kemudian berjalan melalui sekumpulan kaum lelaki dengan tujuan agar mereka mencium bau harum yang dipakainya, maka perempuan tersebut adalah seorang pelacur.”[4]
Imam al-Munawi menyebut bahawa yang dimaksudkan dengan hadis di atas adalah perempuan yang memakai minyak wangi yang terzahir dan kuat baunya kemudian keluar dari rumah lalu melewati satu kaum iaitu lelaki-lelaki ajanib dan memang itu tujuannya, maka perempuan itu adalah penzina dari sudut mendapatkan dosanya.[5]
Seterusnya al-Imam al-Munawi menyebut: “Dan perempuan jika mengenakan wangian lalu melewati satu majlis (yang padanya terdapat lelaki-lelaki) maka ia mampu menaikkan syahwat lelaki-lelaki dan mendorong untuk memandang ke arahnya, maka setiap yang memandang kearahnya, maka matanya telah melakukan zina. Perempuan itu mendapat dosa kerana telah memancing pandangan kearahnya dan menjadikan hati lelaki tidak tenang. Makanya, ia adalah sebab berlakunya zina mata dan ia termasuk penzina.”[6]
Dalam sebuah hadis yang lain, daripada Abu Hurairah RA yang mana pada satu ketika dia telah bertemu dengan seorang perempuan yang ingin pergi ke masjid dalam keadaan mengenakan wangi-wangian. Lalu Abu Hurairah RA berkata: “Kamu ke masjid dalam keadaan berwangi-wangian? Sesungguhnya aku telah mendengar Nabi SAW telah bersabda:
أَيُّمَا امْرَأَةٍ تَطَيَّبَتْ، ثُمَّ خَرَجَتْ إِلَى الْمَسْجِدِ، لَمْ تُقْبَلْ لَهَا صَلَاةٌ حَتَّى تَغْتَسِلَ
Maksudnya: “Mana-mana wanita yang mengenakan wangian kemudian keluar menuju ke masjid, tidak diterima solatnya sehinggalah dia mandi (bagi menghilangkan bau wangi tersebut).”[7]
Begitu juga apabila melihat athar para sahabat yang mana mereka amat menitikberatkan mengenai isu ini sepertimana yang diriwayatkan ketika zaman pemerintahan Umar al-Khattab RA, telah keluar seorang wanita dalam keadaan mengenakan bau-bauan sehingga dicium baunya lalu Umar memukulnya dengan tongkat miliknya lalu berkata:
تَخْرُجْنَ مُتَطَيِّبَاتٍ، فَيَجِدُ الرِّجَالُ رِيحَكُنَّ، وَإِنَّمَا قُلُوبُ الرِّجَالِ عِنْدَ أُنُوفِهِمْ، اخْرُجْنَ تَفِلَاتٍ
Maksudnya: Kalian, para wanita keluar rumah dengan memakai wangi-wangian sehingga para lelaki mencium bau harum kalian?! Sesungguhnya hati lelaki itu ditentukan oleh bau yang dicium oleh hidungnya. Keluarlah kalian dari rumah dengan tidak memakai wangi-wangian.”[8]
Adakah Tidak Boleh Langsung Wanita Memakai Wangi-Wangian?
Apabila melihat kepada hadis-hadis serta riwayat-riwayat yang disebutkan di atas, jelas menunjukkan akan keharaman wanita untuk mengenakan wangian apabila keluar di rumah. Adapun jenis wangian yang disebutkan di sini adalah dari jenis yang zahir, kuat baunya sehingga mengalihkan pandangan ajnabi tertempu kepadanya. Ini boleh menggerakkan syahwat lelaki-lelaki yang mana hati mereka telahpun sakit dan boleh membawa kepada berlakunya perkara yang lebih buruk.
Jika begini keadaannya, maka perbuatan tersebut adalah haram dan al-Imam Ibn Hajar al-Haithami menyebutkan bahawa ia termasuk di dalam dosa besar meskipun si suami mengizinkan berpenampilan sedemikian.[9]
Adapun mengenakan sedikit wangian-wangian bagi tujuan menghilangkan bau badan seperti memakai deodorant, bedak talcum, sabun dan sebagainya, ini tidaklah termasuk di dalam kategori yang disebutkan di dalam hadis Nabi SAW sebelum ini.
Ini kerana di dalam sebuah hadis, Nabi SAW telah bersabda:
إِنَّ خَيْرَ طِيبِ الرَّجُلِ مَا ظَهَرَ رِيحُهُ وَخَفِيَ لَوْنُهُ وَخَيْرَ طِيبِ النِّسَاءِ مَا ظَهَرَ لَوْنُهُ وَخَفِيَ رِيحُهُ
Maksudnya: “Sesungguhnya wangian yang baik bagi lelaki adalah yang terzahir baunya dan tidak jelas warnanya dan wangian yang baik bagi wanita adalah yang terzahir warnanya dan tidak begitu kuat baunya.”[10]
Al-Hasan mengatakan kemungkinan yang dimaksudkan dengan wangian wanita itu adalah wangian ketika keluarnya mereka dari rumah iaitu wangian yang jelas warnanya seperti za`faran dan baunya tidak pula kuat dan jelas. Adapun apabila bersama suaminya (tidak di khalayak) maka berwangi-wangianlah dengan apa yang disukai olehnya.
Begitu juga yang disebutkan oleh al-Imam Badruddin al-`Aini: “Adapun sebaik-baik wangian bagi wanita adalah pada warnanya dan bukan pada baunya kerana pada warna itu dijadikan perhiasan bagi mereka manakala bau sesungguhnya jika tersebar baunya (kuat sehingga dapat dihidu baunya) akan datang padanya kerosakan dan takut keatasnya tertimpa fitnah.”[11]
Imam al-Nawawi berkata: Pada hadith ini (sepertimana sebahagian hadis di atas), dijelaskan bahawa mustahab (sunat) mengenakan wangi-wangian bagi lelaki, sebagaimana mustahab juga bagi wanita. Tetapi, bagi lelaki disunatkan mengenakan wangi-wangian yang jelas aromanya (harum baunya) dan samar warnanya. Adapun bagi wanita, apabila mereka hendak keluar rumah menuju masjid atau selainnya, tidak disukai bagi mereka (wanita) mengenakan wangi-wangian yang semerbak baunya. Adapun bagi lelaki, anjuran berwangi-wangian menjadi lebih kuat apabila pada hari Jumaat dan ketika Hari Raya, yakni pada ketika berkumpulnya kaum muslimin. Demikian juga, ketika menghadiri majlis-majlis zikir, majlis-majlis ilmu, ketika hendak berhubungan dengan isterinya dan yang seumpama dengannya.[12]
Kesimpulan
Kami berpendapat bahawa wanita boleh mengenakan sedikit wangi-wangian yang tidak terzahir baunya. Ini juga bagi menjaga penampilan wanita tersebut apabila berada dikhalayak. Begitu juga dibolehkan bagi pemakaian bedak, deodorant, sabun dan sebagainya.
Elakkan dari menggunakan wangian yang kuat baunya sehingga boleh menarik perhatian lelaki ajanib yang boleh menyebabkan fitnah dan juga boleh mengheret kepada lembah maksiat yang lain. Ini seperti mana yang terdapat di dalam hadis-hadis yang menyamakan perempuan sebegini sebagai penzina.
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 2 Februari 2022 bersamaan 30 Jamadil Akhir 1443H
[1] https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=wangian
[2] Lihat Zad al-Ma’ad, 4/256
[3] Lihat Zad al-Ma’ad, 4/308
[4] Riwayat Abu Daud (4173), al-Tirmizi (2786), al-Nasa’ie (5126), Ahmad (19711) dan Ibn Hibban (4424). Syeikh Syu’aib al-Arnaut menyatakan isnadnya kuat dalam takhrij Sahih Ibn Hibban (4424)
[5] Lihat Faidh al-Qadir, 3/147
[6] Lihat Faidh al-Qadir, 5/27
[7] Riwayat Ibn Majah (4002). Syeikh Syu’aib al-Arnaut mengatakan bahawa sanadnya lemah kerana terdapat padanya `Asim bin Ubaidullah.
[8] Riwayat Abdul Razak di dalam Musannafnya (8107)
[9] Lihat al-Zawajir, 2/71
[10] Riwayat al-Tirmizi (2788). Dinilai sahih oleh al-Albani.
[11] Lihat Nukhabu al-Afkar fi Tanqih Mabani al-Akhbar, 9/97
[12] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 15/10