#1 Pedagogi dan Tujuan

Saya memulakan hari Jumaat pada minggu lalu sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan menyampaikan khutbah Jumaat di Kompleks Islam Tuanku Muhriz, USIM. Khutbah yang disampaikan adalah berkisar tentang sebuah hadith daripada ‘Abdullah ibn ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma, beliau berkata:

أَخَذَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِمَنْكِبِي، فَقَالَ: ‌كُنْ ‌فِي ‌الدُّنْيَا ‌كَأَنَّكَ ‌غَرِيبٌ أَوْ عَابِرُ سَبِيلٍ

Rasulullah SAW pernah memegang kedua pundakku kemudian bersabda, “Jadilah engkau di dunia seperti orang asing atau musafir.”

(Riwayat al-Bukhari, no. 6416)

Kata Ibn ‘Umar,

وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ يَقُولُ إِذَا أَمْسَيْتَ فَلَا تَنْتَظِرِ الصَّبَاحَ، وَإِذَا أَصْبَحْتَ فَلَا تَنْتَظِرِ الْمَسَاءَ، وَخُذْ مِنْ صِحَّتِكَ لِمَرَضِكَ، وَمِنْ حَيَاتِكَ لِمَوْتِكَ

“Jika engkau berada di petang hari jangan menunggu datangnya pagi, dan jika engkau berada pada waktu pagi hari, jangan menunggu datangnya petang. Gunakanlah masa sihatmu sebelum sakit dan masa hidupmu sebelum mati.”

Dua perkara penting yang telah saya sentuh untuk perhatian para pensyarah dan mahasiswa adalah:

  1. Pedagogi pendidikan Rasulullah SAW
  2. Matlamat utama sebagai penuntut ilmu

Menulusuri hadis-hadis Rasulullah SAW, kita akan temui 1001 pedagogi pendidikan gaya Baginda SAW. Ia dipersembahkan dalam pelbagai teknik seperti komunikasi yang ringkas dan jelas, galakan dan ancaman, suruhan dan tegahan, penceritaan, isyarat dan lakaran, pujian, teguran dan lain-lain. Dalam hadis yang saya kemukakan, kita menemui satu teknik yang amat menarik iaitu sentuhan.

Apa yang istimewa dengan sentuhan?

Di bawah kulit kita terdapat reseptor tekanan yang dipanggil Pacinian corpuscles. Ia adalah penghujung yang melitupi saraf deria yang berperanan sebagai reseptor untuk tekanan dan getaran. Dari situ, isyarat akan dihantar ke otak dan saraf vagus yang terletak di otak kita akan menjalankan fungsinya merendahkan tekanan darah dan denyutan jantung.

Sentuhan yang mesra merembeskan hormone oxytocin yang memberi kesan kepada sifat-sifat dan perasaan berkaitan kepercayaan, ikatan, dan kesetiaan. Lihat sahaja apa yang dikatakan oleh Jabir bin ‘Abdillah radhiyallahu ‘anhu berkenaan ‘Abdullah ibn Umar. “Tidak ada dalam kalangan mereka yang betul-betul melazimi cara Nabi SAW dan tidak ada juga yang paling mencontohinya melainkan Ibn ‘Umar.”

Inilah kesan kepada jiwa dan psikologi beliau apabila menerima nasihat dengan kaedah sentuhan. Nasihat berkenaan benar-benar meresap dalam hatinya sehingga beliau menjadikan Rasulullah SAW sebagai ikon yang diikutinya.

Ibn Hajar al-Haitami dalam al-Fath al-Mubin bi Syarh al-Arba’in ketika mengulas hadis ini menjelaskan metodologi yang boleh diikuti oleh guru atau pendakwah iaitu memegang anggota tubuh penuntut ilmu ketika menyampaikan pengajaran atau nasihat. Ia secara tidak langsung melahirkan rasa akrab, rapat, mesra, sehingga apa yang disampaikan itu mustahil untuk hilang begitu sahaja daripada ingatan. Sudah tentu perlakuan ini menunjukkan individu yang menerima nasihat itu amat disayangi dan bermakna kepada kehidupannya.

Hal yang sama juga dapat kita dapati ketika Rasulullah SAW mengajarkan tasyahhud kepada Ibn Mas’ud sambil memegang tapak tangannya sebagaimana yang diriwayatkan dalam Sahih al-Bukhari (no. 6265) dan Muslim (no. 402).

Hadis ini juga memberi pengajaran kepada penuntut ilmu untuk mempunyai matlamat yang utama sepanjang proses pengajian. Penuntut ilmu yang sebenarnya, perlu mencontohi keadaan orang asing dan juga musafir. Pertama, matlamat mereka adalah jelas iaitu destinasi yang dituju. Kedua, mereka tidak sentiasa lama di satu-satu tempat sebaliknya sentiasa cuba menyesuaikan diri dan berhijrah jika perlu. Ketiga, mana-mana orang asing dan musafir sudah pasti akan teringatkan kampung halaman mereka.

Seorang penuntut ilmu perlu ada satu tujuan yang jelas dalam menuntut ilmu. Sudah pasti bagi Muslim, tujuan utama dalam segala tingkah laku adalah meraih keredhaan Allah SWT, dan mencapai kejayaan dunia dan akhirat. Penuntut ilmu juga tidak boleh berada dalam zon selesa dan perlu sentiasa memperbaiki kelemahan diri. Cari budaya dan suasana di kampus yang mampu mengubah diri ke arah yang lebih baik. Sebagai seorang Muslim, kampung halaman kita sudah pasti adalah di akhirat sana. Oleh itu, wajarlah kita bersungguh-sungguh untuk bermudik menuju kerehatan dan kebahagiaan sebenar di hari akhirat kelak.

Firman Allah SWT:

بَلْ تُؤْثِرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا وَالْآخِرَةُ خَيْرٌ وَأَبْقَى

Maksudnya: “(Tetapi kebanyakan kamu tidak melakukan demikian), bahkan kamu utamakan kehidupan dunia; Padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal.”

(Surah al-A’lam: 16-17)

Betapa hebatnya pengaruh Rasulullah SAW sehingga hasil sentuhan dan nasihat yang maha ringkas itu, telah mencorakkan peribadi Abdullah ibn Umar sehingga menjadi antara tokoh sahabat yang disegani. Momen itulah yang utuh dalam ingatannya dan terpacullah kata-kata hikmah yang amat bernas;

َكَانَ ابْنُ عُمَرَ يَقُولُ إِذَا أَمْسَيْتَ فَلَا تَنْتَظِرِ الصَّبَاحَ، وَإِذَا أَصْبَحْتَ فَلَا تَنْتَظِرِ الْمَسَاءَ، وَخُذْ مِنْ صِحَّتِكَ لِمَرَضِكَ، وَمِنْ حَيَاتِكَ لِمَوْتِكَ

“Jika engkau berada di petang hari jangan menunggu datangnya pagi, dan jika engkau berada pada waktu pagi hari, jangan menunggu datangnya petang. Gunakanlah masa sihatmu sebelum sakit dan masa hidupmu sebelum mati.”

Natijahnya, itulah makna sebenar pendidikan Nabawi. Membentuk insan yang mempunyai daya saing tinggi, berjiwa besar, berperibadi mulia dan jika direnung dengan sedalamnya, ia bermula dengan disiplin dalam pengurusan masa. Pensyarah dan mahasiswa adalah entiti terpenting penting dalam pembentukan sebuah universiti. Tanpa panduan daripada manhaj Nabawi, pendidikan kita mungkin boleh ke hadapan namun tiada roh padanya. Meminjam tajuk buku Harry R. Lewis, Excellence without a Soul!

Banyak lagi yang ingin saya kongsikan seputar dunia pendidikan, kependidikan dan pengajian tinggi. Mungkin cukuplah ini sebagai mukadimah. Agar kita mendapat pencerahan, dan dari sinilah kita bermula (min huna nabda’).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *