#1005: Orang Berpuasa Mengambil Suntikan Insulin

[ux_products]

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apa hukum suntikan insulin terhadap pesakit diabetes kronik dalam keadaan pesakit tersebut sedang berpuasa di bulan Ramadhan? Adakah suntikan tersebut membatalkan puasanya? Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Definisi Insulin dan Cara Suntikan

Sebelum menjawab persoalan di atas, perlu dijelaskan terlebih dahulu berkenaan suntikan insulin. Menurut portal MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia, insulin adalah sejenis hormon yang dihasilkan oleh pankreas untuk mengawal paras gula dalam badan. Penyakit kencing manis atau diabetes menyebabkan badan gagal menghasilkan insulin atau insulin tidak dapat digunakan dengan sempurna. Insulin memastikan paras gula badan kita tidak terlalu tinggi (hiperglisemia) atau terlalu rendah (hipoglisemia). Untuk sesetengah pesakit diabetes, suntikan insulin diperlukan untuk mengawal paras gula dalam badan. Teknik suntikan yang betul adalah sangat penting untuk memastikan pesakit mendapat respons yang optimum dari insulin.

Berkenaan cara suntikan dos insulin, dijelaskan: “Tolak jarum ke dalam badan secara perlahannya. Tekan butang dos sehingga menunjukkan angka ‘0’. Biarkan jarum di bawah kulit selama 10 saat sekurang-kurangnya untuk semua dos insulin masuk ke dalam badan. Tarik keluar jarum selepas habis suntikan.”

Terdapat empat bahagian untuk suntikan insulin, iaitu bahagian perut, paha, punggung dan lengan. Kadar penyerapan adalah berlainan bergantung kepada tempat suntikan:

  1. Paling cepat dari bahagian perut
  2. Sederhana dari lengan
  3. Lambat dari paha
  4. Paling lambat dari punggung[1]

Perintah Agar Menahan Diri daripada Perkara Membatalkan Puasa

Allah SWT berfirman:

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ۖ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ

Maksudnya: “Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib).”[2]

Berdasarkan ayat al-Quran ini, antara kewajipan bagi orang yang berpuasa Ramadan ialah menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa setelah berniat puasa. Antaranya ialah memasukkan ain (suatu jirim) ke rongga dalam melalui saluran yang terbuka seperti mulut, hidung, telinga, qubul dan dubur sama ada lelaki mahupun perempuan.[3]

Secara jelasnya, antara perkara yang membatalkan puasa adalah dengan memasukkan sesuatu ke rongga dalam (ruang selepas halkum hingga usus dan tali perut) melalui ruang yang sedia terbuka  (manfaz maftuh) iaitu mulut, telinga, qubul dan dubur sama ada lelaki mahupun perempuan. Rongga itu sama ada ia mempunyai kuasa memproses makanan dan ubat ataupun tidak. Sekiranya memasukkan sesuatu melaluinya sehingga sampai ke rongga dalam badan maka terbatal puasanya.[4]

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji dalam menjelaskan hal ini berkata, bahawa salah satu daripada perkara yang membatalkan puasa ialah “sampainya suatu ain ke jauh (rongga) daripada saluran yang terbuka. Ain itu adalah suatu yang boleh dilihat dengan mata kasar. Jauf pula ialah bahagian otak[5] atau bahagian selepas tekak sehingga perut dan usus-usus. Saluran terbuka pula bermaksud mulut, telinga, alat sulit hadapan, dan belakang, bagi lelaki dan perempuan.”[6]

Maka dapat difahami bahawa antara perkara yang boleh menyebabkan puasa terbatal adalah memasukkan sesuatu ke dalam rongga melalui saluran yang terbuka seperti hidung, telinga, mulut, dubur dan kemaluan. Perkara ini juga dijelaskan oleh Imam al-Nawawi, katanya: “Antara perkara yang membatalkan puasa adalah masuknya sesuatu ke bahagian dalam rongga. Para ulama telah menentukan piawaian sesuatu yang masuk (ke dalam rongga) yang membatalkan puasa dengan ain (objek) yang sampai, iaitu (dari) had zahir ke dalam had batin melalui rongga terbuka dengan sengaja dan sedar dalam keadaan berpuasa.”[7]

Justeru, secara umumnya, batal bagi orang yang berpuasa jika memasukkan sesuatu ke dalam rongga tersebut secara sengaja dan ikhtiarnya sendiri. Dan dia mengetahui perbuatan tersebut adalah dilarang ketika berpuasa.[8]

Isu Orang Berpuasa Mengambil Suntikan Insulin

Berbalik kepada persoalan di atas, pada asasnya, para ulama’ telah membincangkan berkenaan isu menyuntik apa-apa suntikan ketika seseorang sedang menjalani ibadah puasa pada siang bulan Ramadhan. Penjelasan berkenaan hal ini boleh diringkaskan seperti berikut:

Pertama: Sekiranya suntikan yang diberikan adalah suntikan yang  mendatangkan khasiat dan tenaga, maka ia membatalkan puasa. Perkara ini samalah sepertimana seseorang yang makan dan minum dengan sengaja.

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ نَسِىَ وَهُوَ صَائِمٌ فَأَكَلَ أَوْ شَرِبَ فَلْيُتِمَّ صَوْمَهُ فَإِنَّمَا أَطْعَمَهُ اللَّهُ وَسَقَاهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang terlupa dalam keadaan puasa, kemudian dia makan atau minum, maka sempurnakanlah puasanya. Sesungguhnya Allah yang memberinya makan dan minum.”[9]

Menurut Imam al-Nawawi, hadith di atas menjadi dalil bagi kebanyakan ulama’, bahawa sekiranya orang yang berpuasa makan, minum, atau berjimak dengan tidak sengaja ketika siang bulan Ramadhan, maka perbuatan tersebut tidaklah membatalkan puasa.[10] Sebaliknya, jika ia dilakukan secara sengaja, maka ia termasuk perbuatan yang membatalkan puasa.

Perkara ini samalah halnya dengan suntikan yang mendatangkan khasiat dan tenaga bagi orang yang berpuasa di siang hari Ramadhan, di mana ia akan membatalkan puasa. Inilah sepertimana yang dijelaskan oleh Imam al-Nawawi.[11]

Kedua: Sekiranya suntikan itu bukan suntikan yang mendatangkan khasiat, sebaliknya ia adalah dengan tujuan perubatan, maka hal ini perlu diperhalusi dan diperincikan:

  1. Sekiranya suntikan itu melalui urat yang bersambung dengan rongga, dan kerananya ia menyebabkan ubat itu sampai ke rongga, maka puasanya terbatal. Imam al-Nawawi menyatakan, “Sekiranya dia mengubati atau merawat lukanya, lalu ubat tersebut sampai ke rongganya, maka ia membatalkan puasa di sisi kami.[12]

Pandangan ini merupakan pandangan kebanyakan ulama’ Syafi’iyyah, Hanafiah dan sebahagian ulama’ bermazhab Hanbali. Syeikh Mansur al-Buhuti berkata: “Yang merosakkan (membatalkan puasa) adalah menyuntik sesuatu melalui dubur. Ia adalah (termasuk) perbuatan yang membatalkan puasa kerana menyebabkan benda itu sampai ke rongga. Hal tersebut adalah sepertimana memasukkan sesuatu ke dalam rongga secara terus. Begitu juga batal puasa jika mengubati atau merawat dengan melalui kawasan yang boleh menyampaikan ubat itu ke rongga. Ini kerana ia dilakukan dengan pilihannya sendiri.[13]

  1. Sekiranya suntikan itu dilakukan melalui otot-otot badan, atau anggota badan yang lain seperti peha atau lengan, maka ianya tidak membatalkan puasa.[14] Hal ini juga merupakan keputusan perbincangan oleh Majma’ al-Fiqh al-Islami yang telah diadakan di Arab Saudi pada 29 Jun sehingga 3 Julai 1997.

Selain itu, kami nyatakan juga di sini rumusan berkaitan hukum-hakam suntikan yang telah dinyatakan oleh Syeikh Hassan al-Kaf dalam kitabnya al-Taqrirat al-Sadidah. Beliau menyebut:  Hukum suntikan (pada siang Ramadhan): Harus dalam keadaan darurat. Namun, para ulama berbeza pandangan dalam hal batalnya puasa kepada tiga pandangan:

Pandangan pertama: Batal puasa secara mutlak kerana masuk sesuatu ke bahagian dalam rongga (al-Jauf).

Pandangan Kedua: Tidak terbatal secara mutlak kerana masuk sesuatu ke bahagian dalam rongga (al-Jauf) tanpa melalui rongga yang terbuka.

Pandangan ketiga: Perlu kepada perincian dan ia merupakan pandangan yang paling sahih. Yakni, sekiranya kandungan suntikan tersebut mengandungi nutrisi atau pemakanan maka batal puasanya. Akan tetapi, sekiranya tidak mengandungi pemakanan, maka dilihat pada aspek berikut:

  • Sekiranya suntikan pada urat ke bahagian dalam rongga, iaitu saluran urat darah maka batal.
  • Sekiranya suntikan pada otot iaitu urat bukan pada bahagian dalam rongga maka tidak batal.[15]

Penutup

Berdasarkan nas dan keterangan di atas, kami nyatakan bahawa sekiranya suntikan itu adalah suntikan yang mendatangkan khasiat dan memberi tenaga, maka ianya membatalkan puasa. Begitu juga, puasa akan terbatal sekiranya suntikan itu dilakukan dilakukan pada urat atau bahagian yang boleh sampai kepada rongga. Namun, sekiranya suntikan itu dilakukan melalui anggota lain seperti peha atau lengan, maka suntikan tersebut tidak membatalkan puasa.

Selain itu, kami juga menasihatkan agar suntikan insulin ini tidak dilakukan di bahagian perut atau punggung. Ini adalah dua bahagian yang hampir dan bersambung kepada rongga. Namun perlu diingati bahawa suntikan insulin ini ada kesan sampingannya iaitu hipoglisemia. Ia boleh menyebabkan paras gula dalam badan menjadi terlalu rendah sehingga boleh melemahkan badan. Dalam keadaan seperti ini, maka diberi pilihan kepada pesakit untuk berbuka puasa dan boleh diganti puasanya itu. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

أَيَّامًا مَّعْدُودَٰتٍ ۚ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ

Maksudnya: “(Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain.”[16]

Di samping itu, kami juga mengesyorkan bagi pesakit diabetes seperti persoalan di atas, hendaklah merujuk kepada pakar atau pegawai perubatan untuk mendapat nasihat serta mengamalkan cara suntikan agar ia benar-benar memberi manfaat dan tidak mendatangkan sebarang bentuk mudarat.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 21 April 2022 bersamaan 19 Ramadhan 1443H

[1] Lihat http://www.myhealth.gov.my/teknik-suntikan/

[2] (Surah al-Baqarah: 187)

[3] Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 2/181

[4] Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 2/181

[5] Istilah otak di sini merujuk kepada kawasan yang berdekatan dengan otak. Kajian saintifik moden menunjukkan bahawa saluran hidung tidak sampai secara terus kepada bahagian dalam otak. Wallahua’lam.

[6] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/342

[7] Lihat Raudah al-Talibin, 2/356

[8] Lihat Nihayah al-Zain, 1/187

[9] Riwayat Muslim (2772)

[10] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 8/35

[11] Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 6/313

[12] Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 6/230

[13] Lihat Kassyaf al-Qina’, 2/318

[14] Lihat al-Taqrirat al-Sadidah Qism al-‘Ibadah, hlm. 452

[15] Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 352

[16] Surah al-Baqarah (184)

 

Latest articles

Related articles