#1014: Puasa Bagi Wanita yang Keluar Darah Secara Terputus

[ux_products]

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Seorang wanita mendapati ada keluar sedikit darah lebih kurang setitik dalam tempoh dua hari iaitu pada tarikh sehari sebelum puasa dengan hari pertama puasa. Esoknya, tidak keluar darah pula. Dia pun mandi dengan bersih dan berpuasa, sehinggalah 17 Ramadhan. Hari ke 18 Ramadhan, dia dapati ada keluar sedikit darah sebelum Asar. Persoalannya, tarikh ke-18 Ramadhan darah keluar itu, dia perlu kira sebagai hari ke-15 haid atau hari pertama haid semula? Bagaimana pula dengan 12 hari yang dia sudah puasa itu? Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Antara keistimewaan kaum hawa adalah haid. Ia adalah kitaran normal bagi setiap perempuan apabila sudah mencapai umur akil baligh. Nabi SAW bersabda:

إِنَّ هَذَا شَىْءٌ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَى بَنَاتِ آدَمَ

Maksudnya: “Ini (kitaran haid) adalah sesuatu yang telah Allah SWT tetapkan bagi anak cucu perempuan Adam.”[1]

Pada asasnya, organ reproduktif wanita tidak seperti lelaki mengalami perubahan berkala setiap bulan, bagi persediaan kepada proses persenyawaan dan kehamilan. Haid ialah campuran darah bersama-sama bahan daripada lapisan dalaman rahim yang luruh apabila persenyawaan tidak berlaku.

Kitaran haid adalah merujuk kepada perubahan berkala berlaku kepada rahim dan ovari bagi tujuan reproduktif (pembiakan). Bila haid berlaku secara berkala setiap bulan, ia dipanggil kitaran haid. Jangkamasa kitaran ini dikira dari hari pertama perdarahan haid hingga ke hari pertama haid yang akan datang. Jangkamasa kitaran haid wanita berbeza antara seorang wanita dengan seorang wanita yang lain diantara 25 – 35 hari, dimana puratanya adalah 28 hari. Biasanya tempoh perdarahan ini berlaku selama lebih kurang 2-8 hari. Kitaran haid ini dikawal oleh perubahan hormon yang dirembeskan oleh kelenjar pituitari di otak dan juga ovari.[2]

Puasa Bagi Wanita yang Keluar Darah Secara Terputus

Sebelum menjawab persoalan di atas, perlu diketahui terlebih dahulu berkenaan definisi darah haid. Dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji, haid dari sudut istilah syarak bermaksud, “Darah semulajadi yang normal, yang keluar daripada pangkal rahim perempuan yang telah baligh dalam keadaan sihat pada waktu tertentu.”[3]

Merujuk kepada takrif di atas, dapat difahami bahawa darah haid itu adalah merupakan darah yang keluar pada waktu normal, dan dalam keadaan sihat. Oleh itu, darah yang keluar bukan pada waktu kebiasaan yang normal dan akibat penyakit adalah bukan darah haid, dan ia dianggap sebagai darah fasad atau darah istihadhah. Maksud darah istihadhah[4] pula ialah, “Darah penyakit yang keluar melalui urat di hujung rahim, yang dikenali sebagai al-‘azil (العاذل).”[5]

Berdasarkan takrif di atas juga, kriteria yang paling penting untuk diambilkira ialah darah itu keluar pada waktu tertentu. Antara waktu-waktu itu ialah waktu minimum, maksimum dan kebiasaan haid.[6] Dalam mazhab al-Syafi’i, waktu minimum haid adalah sehari semalam. Inilah yang difatwakan oleh Imam al-Syafi’I dalam al-Umm dan dipegang oleh para ashab.[7]

Menurut Syeikh Zakariyya al-Ansari, pengertian tempoh sehari semalam itu adalah 24 jam. Kata beliau dalam kitabnya, “Kadar siang dan malam itu adalah 24 jam.”[8]

Dalam hal ini juga, tempoh keluar darah 24 jam itu boleh jadi secara berterusan, atau secara terputus-putus. Sekiranya seorang wanita itu keluar darah haid secara terputus-putus selama 4 hari, kemudian barulah cukup 24 jam, maka pada hari yang empat itu barulah dia dianggap berhaid 1 hari.

Setelah itu, sekiranya darah terhenti sebelum datang kembali beberapa hari kemudian, tempoh berhenti darah itu, atau disebut tempoh naqa’, dianggap sebagai tempoh keluar darah haid mengikut pendapat yang muktamad. Manakala mengikut pendapat yang kedua dalam mazhab, tempoh naqa’ itu adalah suci dan menerima sahnya solat dan puasa yang dibuat pada waktu itu.

Selain itu, syarat darah yang terputus-putus itu keluar mestilah tidak melebihi 15 hari untuk dikira sebagai darah haid. Sekiranya lebih, maka keseluruhan darah itu adalah darah fasid, atau rosak, dan bukan darah haid.

Oleh itu, apabila berlalunya 15 hari tanpa cukup 24 jam darah keluar, sama ada berterusan atau putus-putus, maka jika datang darah selepas 15 hari itu hendaklah dianggap permulaan keluar darah.

Di samping itu, terdapat syarat-syarat untuk menjadikan tempoh naqa’ sebagai waktu haid, iaitu:

  • Tempoh naqa’ tidak melebihi 15 hari bersama dengan darah haid.
  • Tempoh naqa’ itu hendaklah termasuk dalam himpunan tempoh haid yang tidak kurang daripada sehari semalam.
  • Tempoh naqa’ itu mesti lebih daripada fatrah yang adat. Fatrah bermaksud waktu darah tidak keluar, tetapi jika dimasukkan kapas ke bahagian faraj akan ada kesan darah. Waktu fatrah adalah haid tanpa khilaf ulama’.[9]

Penutup

Berdasarkan nas dan keterangan di atas, kami nyatakan bahawa puasa saudari pada 12 hari pertama itu adalah sah. Ini kerana darah setitik dua yang keluar pada tarikh sehari sebelum puasa dengan hari pertama puasa itu tidak cukup kadar masanya untuk dianggap sebagai darah haid kerana tidak cukup 24 jam dalam tempoh 15 hari.

Manakala darah yang keluar pada 18 Ramadhan itu hendaklah dianggap sebagai hari baharu dan perlu menggunakan kembali kaedah di atas untuk menentukan adakah ia adalah darah haid atau darah fasid. Ini juga kerana apabila sudah dipastikan bahawa 15 hari pertama itu bukanlah darah haid, maka tempoh minimum 15 hari tidak terpakai di sini.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 25 April 2022 bersamaan 23 Ramadhan 1443H

[1] Riwayat Muslim (2976)

[2] Lihat http://www.myhealth.gov.my/fisiologi-kitaran-haid/. Diakses pada 14 April 2022.

[3] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/77

[4] Darah istihadhah ialah darah yang keluar bukan pada waktu haid dan nifas. Ini juga sepertimana yang dinyatakan oleh Habib Hasan al-Kaff, bahawa darah istihadhah ialah darah yang keluar melebihi tempoh sebanyak-banyak haid dan nifas (yakni tempoh maksimumnya), atau darah yang keluar bukan pada hari-hari haid dan nifas. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 167)

Terdapat perbezaan hukum bagi wanita yang mengalami darah istihadhah dengan mereka yang mengalami darah haid dan nifas. Hal ini kerana wanita yang mengalami istihadhah tidak terhalang untuk melakukan solat. Bahkan wajib ke atasnya untuk bersegera menunaikannya berdasarkan syarat-syarat yang telah digariskan oleh para ulama. Solat yang dilakukannya itu adalah sah dan tidak perlu diqadha’ semula. Begitu juga apabila tiba bulan Ramadhan, dia wajib berpuasa puasa. Selain itu, diharuskan juga bagi suaminya menyetubuhinya, walaupun ketika darah sedang keluar. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 170-171)

Dalam erti kata lain, darah istihadhah yang keluar itu tidak menghalangnya untuk mengerjakan semua ibadah yang hendak dilakukan, sama ada ibadah tersebut memerlukannya untuk bersuci daripada hadas ataupun tidak. Ini bertepatan dengan apa yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi bahawa wanita yang sedang mengalami darah istihadhah hukumnya adalah seperti wanita yang suci dari sudut ibadah solat, puasa, iktikaf, membaca al-Quran dan lain-lain. (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/372)

[5] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/79

[6] Menurut mazhab Syafi‘i tempoh minimum haid ialah sehari semalam (24 jam) dan tempoh maksimumnya pula ialah 15 hari 15 malam. Manakala tempoh minimum suci pula ialah 15 hari 15 malam dan tiada had maksimum bagi tempoh suci. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 161-162) Justeru, apa-apa cecair kekuningan dan keruh yang keluar kurang daripada tempoh sehari semalam (24 jam) atau selepas tempoh maksimum haid — yakni dalam tempoh minimum suci — maka ia tidak dikira sebagai darah haid, sebaliknya ia ialah darah penyakit — yakni istihadhah. (Lihat Hasyiah al-Baijuri, 1/212)

Dalam kitab al-Taqrirah al-Sadidah penulis menyebutkan tempoh haid adalah seperti berikut: Sekurang-kurang tempoh haid ialah sehari semalam (24 jam), sebanyak-banyak tempoh haid ialah 15 hari 15 malam dan kebiasaan tempoh haid ialah 6 atau 7 hari. (Lihat al-Taqrirah al-Sadidah, 1/161)

Justeru, kami ringkaskan tempoh haid seperti berikut:

  • Tempoh sekurang-kurang haid: Sehari semalam (24 jam)
  • Tempoh kebiasaan haid : 6 atau 7 hari
  • Tempoh maksimum haid : 15 hari 15 malam

[7] Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2/376

[8] Lihat Manhaj al-Tullab, 1/99

[9] Lihat Tuhfah al-A’izza’, hlm. 92

Latest articles

Related articles