#1060 Dosa yang Dihapuskan bagi Mereka yang Berpuasa ‘Arafah

[ux_products]

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan. Mereka yang berpuasa pada hari ‘Arafah dijanjikan untuk mendapat keampunan dosa. Justeru, adakah ia merangkumi dosa kecil dan besar atau hanya khusus buat dosa-dosa kecil sahaja? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, bulan Zulhijjah dikenali sebagai bulan haji. Selain daripada itu, ia juga merupakan salah satu bulan yang dimuliakan oleh Allah SWT dan terdapat di dalamnya banyak keutamaan dan kelebihan-kelebihan, terutamanya 10 hari terawal daripadanya. Terdapat hadith daripada riwayat Ibn Abbas R.Anhuma daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

مَا العَمَلُ فِي أَيَّامٍ أَفْضَلَ مِنْهَا فِي هَذِهِ؟ قَالُوا: وَلاَ الجِهَادُ؟ قَالَ: وَلاَ الجِهَادُ، إِلَّا رَجُلٌ خَرَجَ يُخَاطِرُ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ، فَلَمْ يَرْجِعْ بِشَيْءٍ.

Maksudnya:Tidak ada amalan pada hari-hari lain yang lebih utama daripada amalan pada hari ini (hari yang kesepuluh bulan Zulhijjah). Mereka (sahabat) bertanya: ‘Meskipun jihad?’ Baginda menjawab: ‘(Ya), tidak juga jihad, melainkan seorang lelaki yang keluar untuk membahayakan dirinya dan hartanya (untuk jalan Allah), dan tidak kembali dengan membawa apa-apa.’[1]

Selain itu, terdapat hadith yang lain datang dengan lafaz bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ما مِن أيّامٍ العَمَلُ الصّالِحُ فيها أحَبُّ إلى اللهِ مِن هذه الأيّامِ – يَعني أيّامَ العَشرِ قالوا: يا رَسولَ اللهِ، ولا الجِهادُ في سَبيلِ اللهِ؟ قال: ولا الجِهادُ في سَبيلِ اللهِ، إلّا رَجُلًا خرَجَ بِنَفْسِهِ ومالِهِ، ثم لم يَرجِعْ مِن ذلك بِشَيءٍ.

Maksudnya: “Tiadalah hari di mana amalannya yang soleh lebih baik dan disukai oleh Allah SWT daripada hari-hari sepuluh Zulhijjah. Lantas sahabat bertanya: ‘Wahai Rasulullah sekalipun jihad pada jalan Allah?’ Baginda menjawab: ‘Sekalipun jihad pada jalan Allah kecualilah seseorang lelaki keluar dengan dirinya dan hartanya kemudian tidak pulang daripada demikian itu (iaitu mati syahid).[2]

Menurut Ibn Rejab, hadith di atas menjadi dalil kepada beramal pada 10 hari ini lebih disukai oleh Allah SWT berbanding amalan pada hari-hari yang lain tanpa sebarang pengecualian. Apabila ia merupakan perkara yang paling disukai oleh Allah SWT, maka ia adalah sesuatu yang afdhal di sisi-Nya.[3]

Selain itu, di antara amalan yang dianjurkan juga adalah berpuasa pada hari ‘Arafah iaitu pada 9 Zulhijjah bagi sesiapa yang tidak mengerjakan ibadah haji. Hari ‘Arafah adalah bersempena amalan berwukuf di Padang ‘Arafah yang merupakan salah satu daripada rukun ibadah haji. Terdapat hadith daripada riwayat Abu Qatadah al-Ansari bahawa Rasulullah SAW ditanya berkenaan puasa pada hari ‘Arafah? Baginda bersabda:

يُكَفِّرُ السَّنَةَ الـمَاضِيَةَ وَالْبَاقِيَةَ

Maksudnya:Puasa pada hari tersebut akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan akan datang.”[4]

Menurut Dr. Abdullah bin Soleh al-Fauzan, hadith di atas menjadi dalil yang menunjukkan kepada kelebihan dan fadhilat berpuasa pada hari ‘Arafah, dan pahalanya yang besar di sisi Allah SWT iaitu dihapuskan dosanya selama dua tahun — yakni tahun sebelum dan tahun selepasnya. Begitu juga disunatkan untuk berpuasa ‘Arafah hanya bagi orang yang tidak mengerjakan haji. Manakala bagi orang yang mengerjakan haji, tidak disunatkan untuk berpuasa pada hari tersebut, bahkan sebaliknya disunatkan untuk tidak berpuasa sebagai mengikuti Nabi SAW dan khulafa’ al-Rasyidin.[5]

Seterusnya berbalik kepada soalan yang diajukan, para ulama berselisih pendapat berkenaan dosa yang dihapuskan (yakni merangkumi dosa kecil dan besar atau hanya khusus buat dosa-dosa kecil) kepada dua pendapat. Pendapat pertama menyatakan, ia adalah khusus hanya untuk dosa-dosa kecil. Adapun dosa-dosa besar seperti zina, memakan riba, sihir dan seumpamanya, maka ia tidak dapat dihapuskan dengan amalan-amalan soleh, akan tetapi hendaklah dengan bertaubat. Inilah pendapat jumhur ulama. Hal ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

إِن تَجْتَنِبُوا كَبَائِرَ مَا تُنْهَوْنَ عَنْهُ نُكَفِّرْ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ

Maksudnya:Jika kamu menjauhkan dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami akan ampunkan kesalahan-kesalahan (dosa kecil) kamu.”[6]

Ayat di atas menunjukkan bahawa dosa-dosa kecil akan dihapuskan dengan syarat menjauhi dosa-dosa besar, dan menjauhinya adalah dengan bertaubat daripadanya.

Begitu juga dengan hadith daripada riwayat Abu Hurairah R.A, daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda:

الصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ، وَالْجُمُعَةُ إِلَى الْجُمُعَةِ، وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ، مُكَفِّرَاتٌ لِمَا بَيْنَهُنَّ إِذَا اجْتَنَبَ الْكَبَائِرَ

Maksudnya:Solat fardhu lima waktu, solat Jumaat hingga Jumaat yang berikutnya, puasa Ramadhan hingga Ramadhan berikutnya, merupakan penghapus dosa antara keduanya selama mana menjauhi dosa-dosa besar.”[7]

Dapat difahami daripada hadith di atas bahawa solat fardhu lima waktu, solat Jumaat, puasa di bulan Ramadhan, kesemuanya merupakan ibadah yang agung tetapi tetap tidak dapat menghapuskan dosa-dosa besar. Justeru apatah lagi dengan amalan soleh yang lebih rendah daripadanya seperti berpuasa pada hari ‘Arafah, maka ia adalah lebih-lebih lagi tidak dapat menghapuskan dosa-dosa besar — yakni min bab aula.

Manakala pendapat kedua pula, berpuasa pada hari ‘Arafah menghapuskan dosa-dosa kecil dan besar. Ini merupakan pendapat Ibn Munzir dan Ibn Hazm, serta Ibn Taimiyyah menyokong pendapat ini dan berhujah berdasarkan kepada keumuman firman Allah SWT:

إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ

Maksudnya:Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama solat) itu menghapuskan kejahatan.”[8]

Begitu juga dengan dalil-dalil lain yang menyebutkan mengenai keampunan sebagai ganjaran ke atas ketaatan yang dilakukan seperti berwuduk, berpuasa pada hari ‘Arafah, berpuasa pada hari ‘Asyura’ dan lain-lain. Walau bagaimanapun, pendapat ini telah dilemahkan dan dikritik oleh Ibn ‘Abd al-Bar. Malah, Ibn Rejab turut menukilkan mengenai perkataan Ibn ‘Abd al-Bar itu dan mengiakannya, serta menyokong pendapat yang menyatakan bahawa penghapusan dosa itu hanyalah khusus buat dosa-dosa kecil. Adapun dosa-dosa besar, bagi menghapuskannya hendaklah dengan bertaubat.[9]

Selain itu, Muhammad al-Amin al-Harari ketika mensyarahkan lafaz “يُكَفِّرُ السَّنَةَ الـمَاضِيَةَ” menyebutkan, ia bermaksud dihapuskan dosa-dosa kecil setahun yang lalu, manakala lafaz “الْبَاقِيَةَ” pula bermaksud dosa-dosa kecil setahun yang akan datang.[10]

Selain daripada itu, ‘Abd al-Karim al-Khudhair juga ada menyebutkan ketika membahaskan lafaz “يُكَفِّرُ السَّنَةَ الـمَاضِيَةَ” (yakni dihapuskan dosa-dosa setahun yang lalu) bahawa perkara ini tidak ada kesamaran padanya, yang mana dosa-dosa yang terdapat pada seseorang Muslim boleh dihapuskan melalui ibadah puasa. Begitu juga dosa-dosa yang dimaksudkan adalah merujuk kepada dosa-dosa kecil. Manakala dosa-dosa besar pula tidak dapat dihapuskan melainkan dengan bertaubat. Inilah pendapat jumhur ulama.

Sekiranya seseorang itu dosa-dosa kecilnya sedikit atau langsung tidak ada, maka dosa-dosa besarnya akan diringankan mengikut kadar perkara-perkara sunat yang dikerjakannya. Seterusnya lafaz “الْبَاقِيَةَ” bermaksud tahun yang akan datang. Justeru, sesiapa yang berpuasa pada hari ‘Arafah akan dihapuskan dosa-dosanya selama dua tahun. Hal ini adalah sama ada dia terselamat daripada terjerumus ke dalam dosa, atau jika dia ada melakukan perbuatan dosa, dosanya itu dihapuskan sebagaimana yang berlaku pada tahun yang lalu. Sekiranya dia berpuasa pada hari ‘Arafah yang akan datang, sedangkan dosa-dosanya pada tahun yang lalu sudah dihapuskan dengan sebab puasanya yang lepas, maka tidak syak lagi dosa-dosanya yang lain akan diringankan, atau diangkat kedudukannya (darjatnya). Dalam erti kata lain, Allah ‘Azza wa Jalla tidak akan sesekali mensia-siakan ganjaran pahala daripada amalan baik seseorang.[11]

Begitu juga Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith berkenaan kelebihan berpuasa pada hari ‘Arafah secara jelas menyebutkan bahawa maknanya adalah dihapuskan dosa-dosa orang yang berpuasa selama dua tahun — yakni setahun yang lalu dan setahun yang akan datang. Selain itu, dosa-dosa itu pula adalah merujuk kepada dosa-dosa kecil. Namun, jika dia tidak memiliki dosa-dosa kecil, maka diharapkan puasa itu akan meringankan dosa-dosa besar yang dilakukannya. Jika dosa besar pun tiada, maka akan ditinggikan dan diangkat kedudukannya (darjatnya).[12]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa dosa-dosa yang dimaksudkan akan dihapuskan bagi sesiapa yang berpuasa pada hari ‘Arafah adalah merujuk kepada dosa-dosa kecil. Manakala dosa-dosa besar itu pula hanya dapat dihapuskan dengan taubat atau rahmat daripada Allah SWT dan limpah kurnia-Nya. Inilah pendapat jumhur ulama.

Begitu juga sesiapa yang tidak ada baginya melainkan dosa-dosa besar maka akan diringankan buatnya daripada dosa-dosa itu berdasarkan kadar amalan sunat tersebut, dan sesiapa yang tidak ada baginya dosa-dosa kecil mahupun dosa besar, akan semakin bertambah timbangan kebaikannya dan diangkat kedudukannya. Hal ini kerana Allah SWT sama sekali tidak akan mensia-siakan ganjaran pahala daripada amalan-amalan kebaikan yang dikerjakan oleh para hamba-Nya.

Semoga Allah SWT memberikan kepada kita kekuatan untuk beribadah kepada-Nya di samping kefahaman yang jelas dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 7 Julai 2022 bersamaan 7 Zulhijjah 1443H

[1] Riwayat al-Bukhari (969)

[2] Riwayat Abu Daud (2438) dan Syu‘aib al-Arna’ut menilai sanadnya sebagai sahih.

[3] Lihat Lata’if al-Ma‘arif, hlm. 260.

[4] Riwayat Muslim (1162).

[5] Lihat Minhah al-‘Allam fi Syarh Bulugh al-Maram, 5/79.

[6] Surah al-Nisa’: 31.

[7] Riwayat Muslim (233)

[8] Surah Hud: 114.

[9] Lihat Minhah al-‘Allam fi Syarh Bulugh al-Maram, 5/79-80.

[10] Lihat al-Kaukab al-Wahhaj Syarh Sahih Muslim, 13/181.

[11] Lihat Syarh al-Muharrar fi al-Hadith oleh ‘Abd al-Karim al-Khudhair, 59/26.

[12] Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 8/51.

Latest articles

Related articles