Sale!
Original price was: RM28.00.Current price is: RM20.00.
Sale!
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
Sale!

Buku Fizikal

Taufan Al-Aqsa

Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM40.00.Current price is: RM30.00.
Sale!
Original price was: RM70.00.Current price is: RM60.00.
Sale!
Original price was: RM310.00.Current price is: RM160.00.

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan. Apakah hukum menyembelih haiwan korban pada waktu malam? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

Maksudnya: “Maka dirikanlah sembahyang kerana Tuhanmu dan berkorbanlah (sebagai bersyukur).”[1]

Maksud ‘berkorbanlah’ di dalam ayat tersebut mengikut pendapat yang paling sahih ialah mengorbankan atau menyembelih binatang-binatang korban. Hal ini sepertimana yang disebut di dalam tafsir Imam Ibn Kathir: “Yang benar bahawa yang dimaksudkan dengan al-Nahr adalah menyembelih korban, iaitu menyembelih unta dan sejenisnya.”[2]

Pada asasnya, sebagaimana yang dinyatakan oleh Dr. Muhammad al-Zuhaili dalam kitabnya, waktu melakukan korban bermula selepas terbitnya matahari pada hari al-Nahr iaitu hari ke-10 Zulhijjah. Kadar terbitnya matahari itu boleh dikira selepas selesainya solat dua rakaat (solat sunat hari raya) dan juga dua khutbah yang ringan — yakni tidak terlampau panjang berjela-jela. Sekiranya haiwan korban itu disembelih sebelum daripada itu, maka ia tidak dikira sebagai korban — tetapi hanya sembelihan untuk mendapat daging semata-mata. Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada al-Bara’ bin ‘Azib R.A bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ أَوَّلَ مَا نَبْدَأُ فِي يَوْمِنَا هَذَا أَنْ نُصَلِّيَ، ثُمَّ نَرْجِعَ فَنَنْحَرَ، فَمَنْ فَعَلَ ذَلِكَ أَصَابَ سُنَّتَنَا، وَمَنْ نَحَرَ قَبْلَ الصَّلاَةِ فَإِنَّمَا هُوَ لَحْمٌ قَدَّمَهُ لِأَهْلِهِ، لَيْسَ مِنَ النُّسْكِ فِي شَيْءٍ، فَقَالَ رَجُلٌ مِنَ الأَنْصَارِ يُقَالُ لَهُ أَبُو بُرْدَةَ بْنُ نِيَارٍ: يَا رَسُولَ اللهِ، ذَبَحْتُ وَعِنْدِي جَذَعَةٌ خَيْرٌ مِنْ مُسِنَّةٍ، قَالَ: اجْعَلْهُ مَكَانَهُ وَلَنْ تُوفِيَ أَوْ تَجْزِيَ عَنْ أَحَدٍ بَعْدَكَ

Maksudnya: “Sesungguhnya perkara pertama yang kami mulakan pada hari kami ini (hari raya) ialah kami menunaikan solat, kemudian kami balik lalu kami menyembelih korban. Maka sesiapa yang melakukan hal itu, maka ia menepati sunnah kami, dan sesiapa yang menyembelih sebelum solat maka ini hanyalah daging yang diberikan kepada ahli keluarganya, bukannya termasuk dalam ibadah korban.” Salah seorang sahabat daripada Ansar yang dikenali dengan Abu Burdah bin Niyar berkata: “Wahai Rasulullah, aku telah menyembelih (sebelum solat). Dan aku mempunyai seekor jaza‘ah (kambing yang berumur enam bulan sehingga setahun) yang lebih baik daripada musinnah (kambing yang memasuki umur tiga tahun).” Rasulullah SAW bersabda: “Jadikanlah ia sebagai gantinya, dan itu tidak akan dikira atau tidak dibolehkan kepada orang lain selepas daripada engkau.”[3]

Waktu untuk melakukan sembelihan korban itu berterusan sehinggalah berakhirnya hari tasyriq dan ini menjadikan waktu untuk melaksanakan penyembelihan korban selama 4 hari — iaitu 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Jubair bin Mut‘im R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَفِي كُلِّ أَيَّامِ التَّشْرِيقِ ذَبَحٌ

Maksudnya:Setiap Hari Tasyrik adalah sembelihan (waktu untuk menyembelih).[4]

Sekiranya berakhir hari tasyriq, maka tidak dilakukan sembelihan. Jika dilakukan sembelihan juga maka ianya tidak dikira sebagai sembelihan korban dan dikira hanya untuk mendapatkan daging semata-mata. Begitu juga diharuskan untuk menyembelih haiwan korban sepanjang empat hari tersebut, tidak kira malam mahupun siang hari. Akan tetapi dihukumkan makruh untuk melakukan korban pada malam hari.[5]

Selain daripada itu, Imam al-Nawawi ada menyebutkan dalam kitabnya, ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i membolehkan sembelihan haiwan korban tidak kira waktu siang mahupun malam dalam tempoh hari-hari tersebut, akan tetapi hukumnya adalah makruh. Ini juga merupakan pendapat Imam Abu Hanifah, Ishaq, Abu Thaur dan jumhur ulama. Ini juga merupakan pendapat yang paling sahih daripada Imam Ahmad. Namun, Imam Malik berpendapat, sembelihan haiwan korban pada waktu malam tidak sah, bahkan sebaliknya ia hanya dianggap sebagai sembelihan bagi mendapatkan daging semata-mata. Ini juga merupakan salah satu riwayat daripada Imam Ahmad.[6]

Begitu juga al-‘Imrani turut menyebutkan dalam kitabnya, jika haiwan disembelih pada waktu malam hukumnya adalah makruh, tidak kira ia haiwan untuk korban atau selainnya. Hal ini berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan bahawa:

أنَّ  النبي ﷺ نهى عن الذبحِ ليلًا

Maksudnya: “Nabi SAW melarang daripada menyembelih haiwan pada waktu malam.”[7]

Begitu juga kerana terdapat kesukaran dalam membezakan haiwan korban pada waktu malam. Walau bagaimanapun jika haiwan korban tetap disembelih pada waktu malam, ia adalah sah. Namun, Imam Malik berpendapat, haiwan korban yang disembelih pada waktu malam tidak sah, akan tetapi ia dianggap sebagai kambing (atau haiwan) bagi mendapatkan daging semata-mata. Adapun dalil kami (yang mengharuskan sembelihan pada waktu malam) pula adalah kerana waktu malam termasuk dalam waktu yang dikira sah untuk melontar, maka sembelihan haiwan korban yang dilakukan pada waktu malam juga dikira sah sepertimana waktu siang.[8]

Tambahan lagi, dinukilkan dalam al-Hawi al-Kabir bahawa Imam al-Syafi‘i menyebutkan, sekiranya menyembelih haiwan korban pada waktu malam, maka ia adalah diambil kira — yakni sah.

Kemudian al-Mawardi menyebutkan, menyembelih haiwan korban pada waktu malam, hukumnya adalah makruh berdasarkan kepada larangan Nabi SAW daripada menyembelih haiwan pada waktu malam. Begitu juga boleh jadi berlakunya kesilapan pada tempat yang disembelih disebabkan oleh kegelapan malam. Selain itu kerana menyembelih haiwan pada waktu malam menjadikan haiwan itu tersembunyi (disebabkan kegelapan malam) dan menyembelihnya ketika ia jelas kelihatan (yakni pada waktu siang) adalah lebih utama. Selain daripada itu, boleh jadi orang-orang miskin terlindung daripadanya pada waktu malam. Begitu juga boleh jadi daging korban itu sudah berubah jika ia kekal sehingga waktu siang. Oleh sebab itu, menyembelih haiwan korban pada waktu malam dihukumkan sebagai makruh. Akan tetapi jika ia tetap disembelih pada waktu malam, ia adalah sah.

Namun, Imam Malik berpendapat tidak sah menyembelih haiwan korban pada waktu malam. Hal ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ فِي أَيَّامٍ مَّعْلُومَاتٍ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّن بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ

Maksudnya:serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaan-Nya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban).”[9]

Dalam ayat di atas mengkhususkan waktu-waktu siang (yakni dengan lafaz “الْأَيَّام”) tanpa menyebut waktu-waktu malam (yakni “اللَّيَالِي”). Kemudian al-Mawardi menyebutkan, adapun dalil kami (yang membolehkan penyembelihan haowan korban pada waktu malam) ialah firman Allah SWT:

وَالْبُدْنَ جَعَلْنَاهَا لَكُم مِّن شَعَائِرِ اللَّهِ لَكُمْ فِيهَا خَيْرٌ ۖ

Maksudnya: Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian daripada syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu.[10]

Dalam ayat di atas, tidak dibezakan antara waktu malam dan siang, justeru ia kekal sebagaimana umumnya. Selain itu kerana waktu malam juga masih dalam tempoh waktu sembelihan. Oleh itu, diharuskan untuk menyembelih haiwan korban pada waktu malam sebagaimana waktu siang.[11]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat haiwan korban yang disembelih pada waktu malam dalam tempoh hari-harinya (yakni 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah) adalah sah dan diambil kira kerana ia masih lagi termasuk dalam tempoh waktunya seperti mana siang hari. Sekalipun begitu, sebahagian ulama menghukumkannya sebagai makruh sekalipun ia dikira sah.

Semoga Allah SWT memberikan kepada kita kekuatan untuk beribadah kepada-Nya di samping kefahaman yang jelas dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 7 Julai 2022 bersamaan 7 Zulhijjah 1443H

[give_form id=”14962″]

[1] Surah al-Kauthar: 2

[2] Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/556.

[3] Riwayat al-Bukhari (965) dan Muslim (1961).

[4] Riwayat Ibn Hibban dalam sahihnya (4097); riwayat Ahmad dalam musnadnya (16751).

[5] Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/483-484.

[6] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 8/391.

[7] Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam al-Talkhis al-Habir (4/352) dan al-Syaukani dalam Nail al-Autar (5/149), al-Tabarani meriwayatkannya daripada hadith Ibn Abbas. Di dalam sanadnya terdapat perawi yang bernama Sulaiman bin Salamah al-Khaba’iri dan dia ialah seorang yang ditinggalkan hadithnya (matruk). Manakala ‘Abd al-Haq pula menyebutkannya daripada hadith ‘Ata’ bin Yasar secara mursal. Di dalamnya terdapat perawi yang bernama Mubassyir bin ‘Ubaid dan dia juga ialah seorang yang ditinggalkan hadithnya (matruk).

[8] Lihat al-Bayan fi Mazhab al-Imam al-Syafi‘i, 4/437.

[9] Surah al-Hajj: 28.

[10] Surah al-Hajj: 36.

[11] Lihat al-Hawi al-Kabir, 15/114.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *