#1068 Dosa yang Dihapuskan bagi Orang yang Berpuasa ‘Asyura’

-25%
Original price was: RM440.00.Current price is: RM330.00.
-30%
Original price was: RM10.00.Current price is: RM7.00.
-30%
Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.
-30%

Buku Fizikal

Dengan Nama Allah

Original price was: RM15.00.Current price is: RM10.50.
-30%

Buku Fizikal

Imam Mahdi

Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.
-30%

Buku Fizikal

Yajuj dan Majuj

Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.
-30%

Buku Fizikal

Hakikat Dajjal

Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.
-29%
Original price was: RM70.00.Current price is: RM50.00.

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan. Apakah dosa yang dihapuskan bagi orang yang berpuasa ‘Asyura’? Adakah meliputi dosa-dosa besar atau hanya khusus buat dosa-dosa kecil? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, berpuasa ‘Asyura’ termasuk dalam puasa-puasa sunat yang digalakkan. ‘Asyura’ ialah hari kesepuluh daripada bulan Muharram.[1] Terdapat banyak hadith yang menunjukkan kepada perkara ini. Di antaranya, riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

قَدِمَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ المَدِينَةَ، فَرَأَى اليَهُودَ تَصُومُ يَوْمَ عَاشُورَاءَ، فَقَالَ: «مَا هَذَا؟»، قَالُوا: هَذَا يَوْمٌ صَالِحٌ، هَذَا يَوْمٌ نَجَّى اللَّهُ بَنِي إِسْرَائِيلَ مِنْ عَدُوِّهِمْ، فَصَامَهُ مُوسَى. قَالَ: «فَأَنَا أَحَقُّ بِمُوسَى مِنْكُمْ». فَصَامَهُ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ

Maksudnya:Nabi SAW datang ke Madinah lalu melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada Hari ‘Asyura’, maka Baginda bertanya: ‘Hari apakah ini?’ Mereka menjawab: ‘Ini ialah hari yang baik. Pada hari ini Allah menyelamatkan Bani Israil daripada musuh-musuh mereka.  Musa berpuasa pada hari ini.’ Baginda bersabda: ‘Aku lebih berhak ke atas Musa daripada kamu.’ Maka Baginda berpuasa dan memerintahkan supaya berpuasa pada Hari ‘Asyura’.”[2]

Begitu juga terdapat riwayat yang menyebutkan berkenaan fadhilat dan kelebihan berpuasa pada hari ‘Asyura’. Di antaranya riwayat daripada Abu Qatadah al-Ansari bahawa:

وَسُئِلَ عن صَوْمِ يَومِ عاشُوراءَ، فَقالَ: يُكَفِّرُ السَّنَةَ الماضِيَةَ

Maksudnya:Rasulullah SAW ditanya mengenai puasa pada hari ‘Asyura’. Maka, Baginda menjawab: ‘Puasa itu menghapuskan dosa setahun yang lalu.’[3]

Dr. Abdullah bin Soleh al-Fauzan menyebutkan, hadith ini merupakan dalil kepada kelebihan dan fadhilat berpuasa pada hari ‘Asyura’ iaitu hari kesepuluh daripada bulan Muharram.[4]

Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, para ulama berselisih pendapat berkenaan dosa-dosa yang dihapuskan adakah hanya khusus buat dosa kecil atau merangkumi juga dosa besar?

Guru kami Syeikh Dr. Muhammad al-Mukhtar al-Syanqiti menyebutkan, berkenaan permasalahan dosa yang dihapuskan, ada dalam kalangan ulama yang mengkhususkannya hanya kepada dosa-dosa kecil dan bukannya dosa-dosa besar. Namun, zahir nas menunjukkan kepada penghapusan dosa secara umumnya, meliputi dosa kecil dan besar. Inilah pendapat yang dipilih oleh sebahagian guru-guru kami dan zahir hadith menunjukkan kepada perkara tersebut.

Selain daripada itu, Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah pula menyebutkan, telah sahih daripada Nabi SAW bahawasanya Baginda SAW bersabda: “Puasa hari ‘Arafah menghapuskan dosa selama dua tahun, manakala puasa hari ‘Asyura’ pula menghapuskan dosa setahun.”[5] Akan tetapi lafaz ‘menghapuskan’ yang datang secara mutlak tidak memestikan dosa-dosa besar dihapuskan tanpa bertaubat. Hal ini kerana Nabi SAW bersabda: “Solat Jumaat hingga Jumaat yang berikutnya, puasa Ramadhan hingga Ramadhan berikutnya, merupakan penghapus dosa antara keduanya selama mana menjauhi dosa-dosa besar.[6] Sebagaimana yang diketahui, solat merupakan ibadah yang lebih afdhal daripada berpuasa, dan begitu juga berpuasa Ramadhan lebih besar daripada puasa ‘Arafah, tetapi tetap tidak dapat menghapuskan dosa-dosa melainkan dengan menjauhi dosa-dosa besar sebagaimana yang disebutkan (diikat) oleh Nabi SAW. Justeru, bagaimanakah seseorang itu boleh menyangka dengan berpuasa sunat sehari atau dua hari dapat menghapuskan dosa zina, mencuri, meminum arak, berjudi, melakukan sihir dan seumpamanya?[7] Justeru, dapat difahami daripada kenyataan ini bahawa ia hanya khusus buat dosa-dosa kecil dan bukannya dosa-dosa besar.

Selain itu juga, Imam al-Nawawi ada menjelaskan perkara ini dalam kitabnya, di mana beliau menukilkan daripada Imam al-Haramain yang menyatakan, setiap hadith yang menyebutkan berkenaan ‘penghapusan dosa’ menurut beliau adalah merujuk kepada dosa-dosa kecil dan bukannya dosa-dosa besar. Hal ini kerana terdapat banyak hadith sahih yang menyokong perkara tersebut, di antaranya:

Hadith daripada Uthman bin Affan R.A, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

ما مِنَ امْرِئٍ مُسْلِمٍ تَحْضُرُهُ صَلاةٌ مَكْتُوبَةٌ فيُحْسِنُ وُضُوءَها وخُشُوعَها ورُكُوعَها، إلّا كانَتْ كَفّارَةً لِما قَبْلَها مِنَ الذُّنُوبِ ما لَمْ يُؤْتِ كَبِيرَةً وذلكَ الدَّهْرَ كُلَّهُ

Maksudnya:Tidaklah seorang Muslim apabila masuknya waktu solat fardhu, lalu dia memperelokkan wuduknya, khusyuknya dan rukuknya, melainkan solat tersebut menjadi penghapus dosa-dosa sebelumnya selama mana dia tidak melakukan dosa besar, dan itu berlaku sepanjang waktu.”[8]

Begitu juga, hadith daripada riwayat Abu Hurairah R.A, daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda:

الصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ، وَالْجُمُعَةُ إِلَى الْجُمُعَةِ، وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ، مُكَفِّرَاتٌ لِمَا بَيْنَهُنَّ إِذَا اجْتَنَبَ الْكَبَائِرَ

Maksudnya:Solat fardhu lima waktu, solat Jumaat hingga Jumaat yang berikutnya, puasa Ramadhan hingga Ramadhan berikutnya, merupakan penghapus dosa antara keduanya selama mana menjauhi dosa-dosa besar.”[9]

Kemudian Imam al-Nawawi menjelaskan, menurut beliau makna hadith-hadith ini terdapat dua takwilan:

Pendapat pertama, maknanya adalah dihapuskan dosa-dosa kecil dengan syarat tidak ada padanya dosa-dosa besar. Jika terdapat padanya dosa besar, maka tidak dihapuskan sesuatu pun daripadanya, tidak dosa-dosa besar mahupun dosa-dosa kecil.

Pendapat kedua dan inilah pendapat yang paling sahih serta dipilih iaitu maknanya adalah dihapuskan setiap dosa-dosa kecil. Dalam erti kata lain, ia menghapuskan semua dosa-dosanya kecuali dosa-dosa besar. Al-Qadhi ‘Iyadh menyatakan, apa yang disebutkan dalam hadith mengenai keampunan dosa-dosa selagi tidak melakukan dosa-dosa besar merupakan mazhab Ahli Sunnah, dan dosa-dosa besar itu hanya dapat dihapuskan dengan taubat atau rahmat daripada Allah SWT dan limpah kurnia-Nya.

Begitu juga Imam al-Nawawi turut menyebutkan, jika seseorang itu mempunyai dosa-dosa kecil, maka puasa (atau amalan soleh yang disebutkan itu) akan menghapuskannya. Sekiranya dia tidak mempunyai dosa kecil mahupun dosa besar, maka akan ditulis baginya kebaikan dan diangkat kedudukannya (darjatnya). Perkara tersebut adalah sebagaimana solat para nabi, orang-orang soleh dan kanak-kanak. Begitu juga dengan puasa, wuduk dan ibadat-badat mereka yang lain. Namun, jika mereka mempunyai dosa besar atau dosa-dosa besar dan tidak mempunyai dosa-dosa kecil, maka diharapkan dosa-dosa besar itu akan diringankan (berdasarkan ukuran pelaku dosa-dosa kecil).[10]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa dosa-dosa yang dimaksudkan akan dihapuskan bagi sesiapa yang berpuasa pada hari ‘Asyura’ adalah merujuk kepada dosa-dosa kecil. Manakala dosa-dosa besar itu pula hanya dapat dihapuskan dengan taubat atau rahmat daripada Allah SWT dan limpah kurnia-Nya. Inilah pendapat jumhur ulama.

Begitu juga sesiapa yang tidak ada baginya melainkan dosa-dosa besar maka akan diringankan buatnya daripada dosa-dosa itu berdasarkan kadar amalan sunat tersebut, dan sesiapa yang tidak ada baginya dosa-dosa kecil mahupun dosa besar, akan semakin bertambah timbangan kebaikannya dan diangkat kedudukannya. Hal ini kerana Allah SWT sama sekali tidak akan mensia-siakan ganjaran pahala daripada amalan-amalan kebaikan yang dikerjakan oleh para hamba-Nya.

Semoga Allah SWT memberikan kepada kita kekuatan untuk beribadah kepada-Nya di samping kefahaman yang jelas dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 15 Julai 2022 bersamaan 15 Zulhijjah 1443H

[give_form id=”14962″]

[1] Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 10/49.

[2] Riwayat al-Bukhari (2004)

[3] Riwayat Muslim (1162)

[4] Lihat Minhah al-‘Allam fi Syarh Bulugh al-Maram, 5/80.

[5] Riwayat Muslim (1162)

[6] Riwayat Muslim (233)

[7] Lihat Mukhtasar al-Fatawa al-Misriyyah, 1/254.

[8] Riwayat Muslim (228)

[9] Riwayat Muslim (233)

[10] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/382.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *