Sale!
Original price was: RM28.00.Current price is: RM20.00.
Sale!
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
Sale!

Buku Fizikal

Taufan Al-Aqsa

Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM40.00.Current price is: RM30.00.
Sale!
Original price was: RM70.00.Current price is: RM60.00.
Sale!
Original price was: RM310.00.Current price is: RM160.00.

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apa hukum menjadi penulis upahan?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Penulis ialah seseorang yang menulis sesuatu sama ada bersifat buku, risalah atau surat. Begitu juga dengan tesis. Penulis pada zaman kini boleh dibahagikan kepada pelbagai jenis ruang dan tempat penulisan tersebut sama ada dalam medsos atau buku, mahupun akhbar dan majalah.

Rasulullah SAW juga telah menggunakan penulis dalam menulis wahyu yang dikenali sebagai katib al-wahyi, khususnya penulisan wahyu Ilahi agar ia terpelihara, mudah dihafaz dan dibaca oleh orang Islam. Antara penulis wahyu Rasulullah SAW:

  • Zaid bin Thabit
  • Muawiyah bin Abi Sufyan
  • Ubai bin Ka’ab
  • Zubair bin ‘Awwwam

Adapun penulis mushaf atau Quran seperti penulis khat al-Quran yang terkenal Syeikh Uthman Taha, maka ianya amat dipuji dan termasuk dalam mizan hasanatnya pada hari Kiamat kelak kerana manfaat kepada ummah hasil daripada cetakan melalui tangannya yang menulis wahyu Allah. Sudah tentu ini amat mulia. Begitu juga penulisan hadith Nabi SAW atau sunnah yang dihimpunkan juga termasuk dalam tugasan yang amat mulia. Bagaimana Imam Malik dengan kitab Muwatta’nya, Imam Ahmad dengan Musnad, Imam al-Syafi’i dengan Musnad, Imam Bukhari, Imam Muslim dengan kitab Sahih masing-masing, Imam Abu Daud, Imam Turmuzi, Imam Nasa’ie, Imam Ibn Majah dengan kitab Sunan masing-masing dan ramai lagi penulis hadith Rasulullah SAW atau pensyarah hadis Nabi SAW seperti al-Hafiz Ibn Hajar, Imam Nawawi, Syeikh Mulla Ali al-Qari, dan lain-lain. Mereka dianggap bintang dalam mengembangkan ilmu hadith hasil penulisan mereka.

Penulis juga terkenal pada zaman Rasulullah SAW seperti pernah diperintahkan kepada Saidina Ali untuk menulis kandungan perjanjian Hudaibiyyah pada tahun 6 Hijrah. Begitu juga Rasulullah SAW mempunyai penulis yang menghantar surat kepada raja-raja seperti Rom, Parsi, Mesir dan lain-lain.

Amalan seperti ini diteruskan lagi pada zaman sahabat. Surat khalifah dihantar sama ada kepada ketua-ketua negara atau gabenor mahupun panglima tentera. Saidina Umar bin Abdul Aziz banyak mengutuskan surat agar dapat dilaksanakan dasar-dasar kerajaan.

Untuk menjawab persoalan di atas, saya bahagikan kepada dua.

Pertama, upah sebagai penulis seperti akhbar-akhbar utama untuk mendapatkan bahan-bahan berita mahupun maklumat yang sarat dengan pengetahuan dan fakta. Ia diupah dan digaji berdasarkan keupayaan dan kemampuannya dalam melaksanakan tugas penulisan tersebut mengikut kehendak dan terma yang disepakati. Penulisan seperti ini tidaklah menjadi kesalahan bahkan ia adalah amat baik dalam mengasah akal serta ketajaman fikiran di samping gaya penulisan yang boleh memikat seramai mungkin khalayak pembaca.

Kedua, upah sebagai penulis untuk propaganda yang jelas berlaku penipuan fakta, bahasa yang kasar, yang penuh dengan satira dan maklumat yang menyimpang. Penulisan seperti ini dengan mengambil upah, hukumnya adalah haram kerana ia termasuk dalam penipuan. Antaranya menisbahkan kepada yang bukan sebenarnya. Firman Allah SWT:

فَوَيْلٌ لِّلَّذِينَ يَكْتُبُونَ الْكِتَابَ بِأَيْدِيهِمْ ثُمَّ يَقُولُونَ هَٰذَا مِنْ عِندِ اللَّهِ لِيَشْتَرُوا بِهِ ثَمَنًا قَلِيلًا ۖ فَوَيْلٌ لَّهُم مِّمَّا كَتَبَتْ أَيْدِيهِمْ وَوَيْلٌ لَّهُم مِّمَّا يَكْسِبُونَ

Maksudnya: Kecelakaan besar bagi orang-orang yang menulis Kitab Taurat dengan tangan mereka (lalu mengubah Kalam Allah dengan rekaan-rekaan mereka), kemudian mereka berkata: “Ini ialah dari sisi Allah”, supaya mereka dengan perbuatan itu dapat membeli keuntungan dunia yang sedikit. Maka kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa yang ditulis oleh tangan mereka, dan kecelakaan besar bagi mereka dari apa yang mereka usahakan itu.[1]

Al-Qurtubi berkata: Pada ayat ini dan sebelumnya, merupakan amaran daripada menukar, meminda dan menambah pada syariat. Setiap orang yang menukar, mengubah atau mengadakan perkara yang diada-adakan dalam agama Allah, hukumnya tidak harus dan termasuk dalam ancaman yang keras ini, serta azab yang maha pedih. Rasulullah SAW pernah memberi peringatan kepada umatnya tatkala diketahui akan berlaku pada akhir zaman.[2]

Begitu juga seseorang yang mengambil upah untuk menulis tesis master atau PhD, atau yang lain lagi, yang memerlukan kepada ujian atau viva. Dalam hal ini, ia terbahagi kepada dua:

  • Jika diupah sebagai penulis, sedangkan idea, fakta dan segala isi kandungan adalah milik tuan punya tesis, maka hukumnya adalah harus kerana penulis ketika itu bersifat sebagai alat untuk pemudah cara dan menyelesaikan tulisan yang dimiliki oleh pembuat tesis, disertasi dan lain lagi.
  • Jika diupah sebagai penulis dengan semua idea fakta dan segala isi kandungan adalah dari penulis itu sendiri, sedangkan ia tidak dibenarkan oleh pihak universiti atau IPTA atau lain-lain lagi, dan dianggap sebagai plagiat atau bukan idea pemilik tesis itu sendiri. Ini termasuk dalam jenayah akademik atau dikenali sebagai sariqah al-‘ilmi (pencurian ilmu). Ini yang dimaksudkan dengan ghisy atau menipu yang amat ditentang oleh Rasulullah SAW. Sabda Rasulullah SAW:

مَنْ غَشَّنا فَلَيْسَ مِنّا

            Maksudnya: “Sesiapa yang menipu maka dia bukan dari kalangan kami.” [3]

Antara adab menulis yang sepatutnya dijunjung ialah menisbahkan setiap nukilah yang diambil dengan tuan punya asal dan juga pastikan nisbahan tersebut adalah benar, seperti kata pujangga:

إِنْ كُنْتَ نَاقِلًا فَعَلَيْكَ بِالتَّصْحِيحِ        وَإِنْ كُنْتَ مُدَّعِيًا فَعَلَيْكَ باِلدَّلِيلِ

 “Jika sekiranya kamu menukilkannya hendaklah ditashihkan,

              dan jika kamu mendakwa hendaklah kamu menyatakan dalil atau bukti.”

Dengan sebab itu, penulisan perlu menukilkan pendapat seseorang atau buku seseorang dengan merujuk kepada maraji’ atau masadir. Ini merupakan amanah ilmiah yang patut dikekal di mana idea asal oleh penulis dihormati oleh mereka yang datang kemudiannya.

Seperkara lagi, pastikan penulisan dielakkan daripada mencemar maruah seseorang atau bersifat menghina kerana seseorang Islam itu di mana semua orang Islam yang lain selamat daripada lidah dan tangannya. Benarlah sabda Rasulullah SAW:

الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ

Maksudnya : Seorang muslim itu adalah mereka yang membuatkan muslim yang lain selamat dari kejahatan lidahnya dan juga tangannya.[4]

Imam Ibn Battal dalam syarahan beliau ke atas hadis ini berkata :

والمراد بهذا الحديث الحض على ترك أذى المسلمين باللسان واليد والأذى كله

Maksudnya: Yang dimaksudkan dengan hadis ini adalah tuntutan supaya meninggalkan perbuatan menyakiti umat Islam dengan lidah, tangan, dan juga semua yang menyakitkan.[5]

Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa agar kita semua diberikan kefahaman untuk memahami agama dengan sebaik mungkin dan selamat dari menjadi penulis upahan yang semata-mata melihat kepada laba dan keuntungan dunia tanpa mempertimbangkan implikasi dan keburukan akibat fitnah, penipuan dan penyelewengan fakta. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

Bertarikh: 5 Ogos 2022 bersamaan 6 Muharram 1444H

[give_form id=”14962″]

[1] Surah al-Baqarah: 79

[2] Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 2/9

[3] Riwayat Muslim (102), Abu Daud (3452), Ibn Majah (2224), Ahmad (7292) dan al-Tirmizi (1315)

[4] Riwayat Al-Bukhari (6484)

[5] Lihat Syarah Sahih Al-Bukhari, Ibn Battal, 1/62

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *