#8 Penghinaan Terhadap Agama Islam

Mukadimah

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Islam sangat melarang seseorang itu mencela agama lain. Hal ini kerana ia akan menimbulkan kemarahan penganutnya dan akan menyebabkan mereka bertindak balas dan mencela Islam kembali. Firman Allah SWT:

وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ

Maksudnya:Dan janganlah kamu memaki dan mencela sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana nanti mereka akan membalas dengan cara memaki Allah melampau-lampau pula tanpa ilmu.”

(Surah al-An‘am: 108)

Al-Sabuni ketika menafsirkan ayat di atas menyatakan maknanya adalah janganlah kamu memaki atau mencela sembahan-sembahan orang Musyrikin dan berhala-berhala mereka kerana mereka kelak akan membalasnya dengan celaan kepada Allah dalam keadaan jahil dan bersifat melampau disebabkan mereka tidak mengetahui kebesaran Allah SWT. Ibn Abbas R.Anhuma menyebutkan bahawa orang-orang Musyrikin berkata: “Berhentilah daripada menghina tuhan-tuhan kami ataupun kami akan menghina Tuhan kamu.” Maka Allah SWT melarang orang-orang beriman daripada mencela atau memaki berhala-berhala mereka. (Lihat Safwah al-Tafasir, hlm. 380).

Begitu juga Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan, Allah SWT melarang Rasul-Nya dan orang beriman daripada mencela sembahan-sembahan orang Musyrikin sekalipun dalam hal itu adanya maslahah. Akan tetapi mafsadah daripada perbuatan tersebut adalah lebih besar daripada maslahahnya iaitu orang-orang Musyrikin akan membalas kembali dengan mencela Tuhan orang-orang beriman yakni Allah, tiada tuhan yang sebenar-benarnya berhak disembah melainkan Dia.

Hal ini adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma bahawa janganlah kamu wahai kaum Muslimin mencela tuhan-tuhan (yakni sembahan) orang Musyrikin yang disembah selain Allah kerana boleh jadi akibat daripada perbuatan tersebut mereka mencela dan mencerca Allah ‘Azza wa Jalla secara zalim dan melampaui batas bagi menimbulkan kemarahan orang-orang beriman, dalam keadaan mereka jahil dengan takdir Allah dan kebesaran-Nya. Oleh itu, perkara ini menunjukkan bahawa suatu ketaatan atau maslahah, jika ia membawa kepada maksiat atau mafsadah, maka ia ditinggalkan.

Selain itu, para ulama berpendapat bahawa hukum ayat ini — yakni larangan mencerca atau menghina sembahan agama lain — adalah kekal bagi umat ini dalam setiap keadaan. Justeru, selagi mana orang kafir enggan atau tidak mahu tunduk kepada pemerintahan Islam dan kaum Muslimin, serta dibimbangi mereka akan mencela agama Islam atau Nabi SAW atau Allah ‘Azza wa Jalla, maka orang Islam tidak boleh untuk mencela atau menghina salib mereka, agama mereka atau gereja (tempat ibadat) mereka, dan tidak terdedah untuk melakukan apa-apa perbuatan yang membawa kepada perkara itu kerana ia seolah-olah menggalakkan maksiat — iaitu penghinaan kepada Allah dan Rasul-Nya.(Lihat al-Tafsir al-Munir, 7/325-328)

Selain daripada itu, Ibn Kathir dalam tafsirnya turut menyebutkan, Allah SWT melarang Rasul-Nya, Muhammad SAW dan orang-orang yang beriman daripada mencaci sembahan-sembahan kaum musyrikin, walaupun pada cacian tersebut terdapat kemaslahatan (kebaikan). Hal ini kerana perbuatan mencaci sembahan kaum musyrikin tersebut memiliki mafsadah (kerosakan) yang jauh lebih besar daripada kemaslahatan yang terdapat padanya. Iaitu di mana orang-orang musyrikin itu nanti akan membalas balik setiap cacian tersebut dengan cacian yang lain terhadap sembahan orang beriman — yakni Allah SWT — sedangkan Allah SWT ialah Rabb,  yang tidak ada yang berhak disembah selain Dia. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 3/314)

Dalam Tafsir al-Qurtubi pula, disebutkan bahawa Ibn Abbas R.Anhuma berkata:

قَالَتْ كُفَّارُ قُرَيْشٍ لِأَبِي طَالِبٍ إِمَّا أَنْ تَنْهَى مُحَمَّدًا وَأَصْحَابَهُ عَنْ سَبِّ آلِهَتِنَا وَالْغَضِّ منها وإما أن إِلَهَهُ وَنَهْجُوَهُ، فَنَزَلَتِ الْآيَةُ

Maksudnya: Orang-orang kafir pernah berkata kepada Abu Talib (bapa saudara Rasulullah SAW): ‘Laranglah Muhammad dan para sahabatnya daripada memaki dan menghina sembahan-sembahan kami, atau kami akan membalas balik dengan cara mencaci dan menghina Tuhannya.’ Maka turunlah ayat ini.” (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 7/61).

Keadaan ini menunjukkan bahawa meninggalkan suatu bentuk kemaslahatan demi menghindari kerosakan yang lebih besar adalah suatu yang didahulukan. Ini antaranya berdasarkan hadith riwayat Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ مِنْ أَكْبَرِ الكَبَائِرِ أَنْ يَلْعَنَ الرَّجُلُ وَالِدَيْهِ، قِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَكَيْفَ يَلْعَنُ الرَّجُلُ وَالِدَيْهِ؟ قَالَ: «يَسُبُّ الرَّجُلُ أَبَا الرَّجُلِ، فَيَسُبُّ أَبَاهُ، وَيَسُبُّ أُمَّهُ، فَيَسُبُّ أُمَّهُ».

Maksudnya: “Sesungguhnya termasuk sebesar-besar dosa-dosa besar adalah seseorang melaknat kedua orang tuanya. Ditanyakan: ‘Wahai Rasulullah, bagaimanakah seseorang melaknat kedua orang tuanya?’ Baginda bersabda: ‘Seorang lelaki mencaci bapa orang lain, lalu orang itu mencaci pula bapanya, dan dia mencaci ibunya, lalu orang itu mencaci pula ibunya.’”

Riwayat al-Bukhari (5973); Muslim (90) dan Ahmad (6840)

Ibn Hajar al-‘Asqalani menyatakan dalam syarahnya, hadith ini dapat difahami bahawa sesiapa yang meramal perbuatannya akan membawa perkara yang diharamkan maka perbuatan itu haram juga ke atasnya, sekalipun dia tidak bermaksud untuk melakukan perkara yang haram. Beliau menukilkan kata Ibn Battal, katanya: “Hadith ini ialah asal bagi kaedah sadd al-Zarai‘ (menutup jalan-jalan kerosakan).”(Lihat Fath al-Bari, 10/404).

Berdasarkan ayat al-Quran ini, jelas bahawa Allah SWT melarang orang Islam untuk mencela atau menghina agama lain kerana ia menyebabkan mereka membalas balik dengan mencela Allah dan juga agama Islam. Apatah lagi jika ia melibatkan celaan dan penghinaan secara terus kepada agama Islam, sudah pasti larangan dan pengharaman melakukan perbuatan itu lebih jelas lagi.

Jenis-Jenis Penghinaan kepada Islam

Secara umumnya, penghinaan kepada Islam meliputi beberapa perkara. Di antaranya:

Pertama: Penghinaan kepada Allah SWT

Firman Allah SWT:

إِنَّ الَّذِينَ يُؤْذُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ لَعَنَهُمُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ وَأَعَدَّ لَهُمْ عَذَابًا مُهِينًا (57) وَالَّذِينَ يُؤْذُونَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ بِغَيْرِ مَا اكْتَسَبُوا فَقَدِ احْتَمَلُوا بُهْتَانًا وَإِثْمًا مُبِينًا

Maksudnya:Sesungguhnya orang-orang yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya. Allah akan melaknatinya di dunia dan di akhirat, dan menyediakan baginya siksa yang menghinakan. Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang yang mukmin dan mukminat tanpa kesalahan yang mereka perbuat, maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata.”

(Surah al-Ahzab: 57-58)

Ibn Kathir dalam tafsirnya menyebutkan bahawa Allah SWT memperingatkan dan mengancam orang yang menyakiti Allah dengan menentang perintah-perintah-Nya dan melanggar larangan-larangan-Nya serta tiada henti-hentinya melakukan hal tersebut, juga menyakiti Rasul-Nya dengan mencelanya atau merendahkan martabatnya. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 6/480).

Menyakiti atau menghina Allah SWT dalam hal ini tidak bermaksud membahayakan dan memudaratkan Allah SWT. Dalam sebuah hadith qudsi riwayat Abu Zar al-Ghifari R.A, Rasulullah SAW bersabda: Allah SWT berfirman:

 يَا عِبَادِي إِنَّكُمْ لَنْ تَبْلُغُوا ضُرِّي فَتَضُرُّوْنِي، وَلَنْ تَبْلُغُوا نَفْعِي فَتَنْفَعُوْنِي

Maksudnya:  “Wahai hamba-Ku sesungguhnya tidak ada kemudaratan yang dapat kamu lakukan kepada-Ku sebagaimana tidak ada kemanfaatan yang dapat kamu berikan kepada-Ku”

Riwayat Muslim (2577)

Allah SWT juga sudah mengutuk bagi orang yang menyakiti atau menghina-Nya. Laknat atau kutukan itu merupakan pengusiran hamba daripada rahmat di dunia dan juga di akhirat. Manakala, ketika mana Allah SWT menyebutkan sesudah itu berkenaan orang yang menyakiti orang beriman, dan Allah tidak menyebutkan kutukannya dalam dunia dan juga akhirat. Hal ini kerana manusia tidak dianggap sebagai kafir apabila saling menghina dan menyakiti antara satu sama lain dengan cara mengutuk, menuduh, mencela dan seumpamanya.

Mencela dan menghina Allah SWT merupakan kufur di atas kekufuran dan ia berada di atas kekafiran daripada para penyembah berhala kerana mereka menyembah berhala serta mengagungkan batu dengan tujuan untuk mengagungkan Allah SWT. Itulah kesyirikan yang berlaku iaitu mempersekutukan Allah dengan sesuatu dengan yang lain. Sesiapapun yang menghina Allah SWT bermaksud dia sudah menempatkan Allah SWT pada darjat di bawah batu dengan mencela-Nya, sementara orang musyrikin pula tidak mencela sembahan mereka meskipun sambil bermain sebab mereka mengagungkan-Nya.

Ibn Qudamah menyebutkan, sesiapa yang mencaci Allah SWT, maka dia telah kafir, sama ada dia melakukan dalam keadaan bergurau atau tidak. (Lihat al-Mughni, 9/28).

Di antara contoh penghinaan kepada Allah SWT ialah:

●       Menafsirkan kalimah ‘Allah’ dengan anggota kelamin

Terdapat buku yang cuba menyebarkan aliran Batiniyyah yang dicampur dengan ajaran Wujudiyah (Wahdat al Wujud) yang termasuk dalam ajaran Martabat Tujuh yang bercanggah dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Antara kandungan buku tersebut dengan jelas menyatakan berkenaan zikir “ah..ah..ah” yang diambil daripada huruf pertama dan terakhir daripada lafaz al-jalalah (Allah) dan ditafsirkan huruf alif itu adalah kemaluan lelaki dan ha ه  adalah alat kelamin perempuan. Zikir “ah” adalah zikir ma‘rifat Allah kerana diambil daripada lafaz Allah yang tajalli dari ahadiah, wahdah, wahidiyyah, alam arwah, alam mithal, alam ajsam dan alam Insan. Alam insan adalah benih lelaki dan alam ajsam adalah benih perempuan dan kedua-duanya datang dari Allah, sebab itu  ا dan  ه diambil dan simbol alat kelamin lelaki dan perempuan sehingga menjadi sebutan ا ه (ah). Sebutan “ah” dua kali dikatakan dua rakaat Subuh. Allah (الله) empat huruf adalah empat rakaat Zuhur. Adam (ادم) tiga huruf adalah tiga rakaat Maghrib. Hawa’ (حواء) empat huruf adalah empat rakaat Isyak. (Lihat Diskusi Isu Aqidah dan Pemikiran Semasa di Malaysia, hlm. 69).

Ajaran sebegini jelas menghina Allah sebagai Pencipta makhluk dan alam ini dengan menyamakan nama Allah dengan sesuatu yang sangat hina dan dianggap jijik. Ajaran dan penghinaan seperti ini mesti dibendung dan dihalang oleh pihak sewajarnya daripada tersebar kepada masyarakat Islam di seluruh dunia.

●       Menyamakan Allah dengan makhluk

Ajaran Ahmad Laksamana mengertikan Adam (آدم) ialah Allah dalam Muhammad. Muhammad itu bukanlah Nabi Muhammad, sebaliknya bererti manusia. INi bererti Allah ada dalam diri manusia.

Begitu juga Ahmad Laksamana mendakwa Allah dan manusia bergabung atau bersatu pada huruf “م” dan “هاء”. Maka perkataan Allah yang mengandungi empat huruf dan Muhammad yang mengandungi empat huruf, apabila bergabung menjadi tujuh huruf. Ia menjadi bukti kebenaran Martabat Tujuh. (Lihat Diskusi Isu Aqidah dan Pemikiran Semasa di Malaysia, hlm. 79-80).

Kenyataan di atas jelas menghina dan merendahkan kedudukan Allah sebagai Tuhan dan Pencipta yang Maha Berkuasa dengan menyamakan-Nya dengan makhluk.

Kedua: Penghinaan kepada Rasulullah SAW

Isu penghinaan terhadap Baginda Nabi SAW adalah satu perkara yang sangat serius dan tidak boleh dipermainkan. Isu menghina Rasulullah SAW, para sahabat R.Anhum dan juga al-Quran sentiasa wujud dari semasa ke semasa. Seingatan kami, semasa kami menjawat jawatan Mufti Wilayah Persekutuan, kami mengeluarkan banyak artikel untuk mengulas isu ini, antaranya:

  • Bayan Linnas Siri ke-55: Rasulullah SAW: Jangan Sekali-Kali Menghina Baginda![1]
  • Bayan Linnas Siri ke-174: Karikatur dan Penghinaan Terhadap Rasulullah SAW.[2]
  • Irsyad al-Fatwa Siri ke-297: Adakah Penghina Rasulullah SAW Halal Darahnya?[3]

Secara umumnya, terdapat banyak dalil pengharaman perbuatan menghina dan mencerca Rasulullah SAW. Kami bahagikan dalilnya kepada dua, iaitu dalil al-Quran dan al-Sunnah.

Pertama: Dalil daripada al-Quran

Firman Allah SWT:

وَمِنْهُمُ الَّذِينَ يُؤْذُونَ النَّبِيَّ وَيَقُولُونَ هُوَ أُذُنٌ ۚ قُلْ أُذُنُ خَيْرٍ لَّكُمْ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَيُؤْمِنُ لِلْمُؤْمِنِينَ وَرَحْمَةٌ لِّلَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ ۚ وَالَّذِينَ يُؤْذُونَ رَسُولَ اللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Maksudnya: Dan di antara mereka (yang munafik itu) ada orang-orang yang menyakiti Nabi sambil mereka berkata: ‘Bahawa dia (Nabi Muhammad) orang yang suka mendengar (dan percaya pada apa yang didengarnya).’ Katakanlah: ‘Dia mendengar (dan percaya) apa yang baik bagi kamu, dia beriman kepada Allah dan percaya kepada orang mukmin, dan dia pula menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman di antara kamu.’ Dan orang-orang yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

(Surah al-Taubah: 61)

Al-Tabari menyebutkan, bagi orang-orang munafik yang memalukan Rasulullah SAW dengan perkataan-perkataan mereka dan perumpamaan-perumpamaan mereka untuk mendustai Baginda, dan juga mereka yang berkata dengan mulut yang celupar lagi batil, maka bagi mereka ini azab yang memedihkan daripada Allah di dalam neraka Jahanam. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 11/534).

Begitu juga Allah SWT berfirman:

إِنَّ الَّذِينَ يُؤْذُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ لَعَنَهُمُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَأَعَدَّ لَهُمْ عَذَابًا مُّهِينًا

Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang melakukan perkara yang tidak diredhai Allah dan Rasul-Nya, Allah melaknatkan mereka di dunia dan di akhirat, dan menyediakan untuk mereka azab seksa yang menghina.

(Surah al-Ahzab: 57)

Ibn Kathir menyebutkan dalam tafsirnya, Allah SWT menjauhkan mereka daripada rahmat-Nya di dunia dan di akhirat, serta menjanjikan mereka di akhirat nanti azab yang menghinakan dan mereka kekal di dalam azab itu selama-lamanya. (Lihat Tafsir Ibn Kathir,  6/480).

Selain daripada itu, al-Maraghi menyatakan, terdapat sebahagian manusia menyakiti Rasul-Nya seperti orang yang mengatakan Rasulullah SAW itu seorang penyair, ahli nujum, orang gila, dan banyak lagi kata-kata yang menyakitkan Baginda. Sesiapa yang menyakiti Rasul bererti dia telah menyakiti Allah SWT, dan sesiapa yang mentaati Rasul bererti dia telah mentaati Allah SWT. Allah SWT menjauhkan mereka — yang menyakiti Baginda — daripada rahmat dan nikmat-Nya ketika di dunia lagi. Maksudnya, Allah SWT menjadikan mereka terus berada dalam kesesatan dan menjadikan mereka gembira melakukan kesesatannya itu. Kesesatan ini bakal menyeret mereka ke dalam neraka, sebagai tempat yang amat buruk. Kemudian mereka akan dilaknat ketika ketika di akhirat nanti dengan dimasukkan ke dalam neraka yang membakar tubuhnya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 22/35).

Selain itu, al-Maraghi juga ada menjelaskan bahawa menyakiti Rasulullah SAW selepas kewafatannya adalah sama seperti menyakiti Baginda semasa hayatnya. Keimanan kepada Baginda akan menghalang orang beriman daripada melakukan perbuatan yang akan menyakiti Baginda. Ia termasuk dosa dan kederhakaan yang paling besar. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 10/146).

Kedua: Dalil daripada hadith

Terdapat riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

أنَّ أَعْمَى كَانَتْ لَهُ أمُّ وَلَدٍ تَشْتُمُ النبيَّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ وَتَقَعُ فِيهِ فَيَنْهَاهَا فَلَا تَنْتَهِي وَيَزْجُرُهَا فَلَا تَنْزَجِرُ قَالَ: فَلَمَّا كَانَتْ ذَاتَ لَيْلَةٍ جَعَلَت تَقَعُ في النَّبيِّ صَلَّى اللّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَتَشْتُمُهُ فَأَخَذَ المِغْولَ سَيْفٌ قَصِيرٌ فَوَضَعَهُ فِي بَطْنِهَا وَاتَّكَأ عَلَيْهَا فَقَتَلَهَا فَوَقَعَ بَيْنَ رِجْلَيْهَا طِفْلٌ فَلَطَّخَتْ مَا هُنَاكَ بِالدَّمِ فَلَمَّا أَصْبَحَ ذُكِرَ ذَلِكَ لِرَسُولِ اللّهِ صَلَّى اللّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَجَمَعَ النَّاسَ فَقَالَ: أَنْشُدُ اللّهَ رَجُلًا فَعَل مَا فَعَل لِي عَلَيْه حَقٌّ إِلَّا قَامَ فَقَامَ الأَعْمَى يَتَخَطَّى رقَابَ النَّاسِ وَهُوَ يَتَزَلْزلُ حَتَّى قَعَدَ بَيْنَ يَدَي النبيِّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُوْلَ اللّهِ أَنَا صَاحِبُهَا كَانَتْ تَشْتُمُكَ وَتَقَع فِيْكَ فَأَنْهَاهَا فَلَا تَنْتَهِي وَأَزجرُهَا فَلَا تَنْزَجِرُ وَلي مِنْهَا ابْنَان مثلُ الُّلؤْلُؤَتَينِ وَكَانَت بِي رَفِيْقَة فَلَمَّا كَانَتْ الْبَارِحَةُ جَعَلَت تَشْتُمُكَ وَتَقَعُ فِيْكَ فَأَخَذْتُ المِغْولَ فَوَضَعْتُهُ فِي بَطْنِهَا وَاتَّكأْتُ عَلَيْهَا حَتَّى قَتَلْتُهَا فَقَالَ النبيُّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ: ألا اشهَدوا أنَّ دمَها هَدَرٌ

Maksudnya:Seorang lelaki buta mempunyai Ummu Walad yang menghina Nabi SAW dan dia benar-benar telah melakukannya (penghinaan). Lelaki tersebut telah melarang dan mengancamnya, namun dia tidak berhenti dan lelaki tersebut terus melarangnya namun wanita tersebut tidak mengendahkan larangan tersebut. Ibn Abbas meneruskan lagi: Pada suatu malam, wanita itu kembali mencela Nabi SAW, maka lelaki tersebut mengambil sebilah pisau yang tajam dan meletakkannya di perut wanita tersebut lantas menikamnya. Lelaki tersebut telah membunuhnya sementara antara dua kaki wanita tersebut lahir seorang bayi dalam keadaan wanita tersebut berlumuran darah. Apabila tiba waktu pagi, kejadian tersebut diceritakan kepada Nabi SAW, lalu Baginda SAW mengumpul orang ramai dan bersabda: ‘Aku bersumpah kepada Allah SWT atas seorang lelaki, dia telah melakukan sesuatu perbuatan kerana aku dan dia adalah benar (yakni perbuatannya).” Kemudian lelaki buta itu melangkah di antara manusia hingga dia duduk di hadapan Rasulullah SAW. Dia berkata: ‘Wahai Rasulullah, aku ialah suaminya, akan tetapi dia (wanita) telah mencela dan menghinamu. Aku telah melarangnya dan mengancamnya tetapi dia tetap tidak berhenti atau mengendahkannya. Daripadanya aku telah dikurniakan dua orang anak yang merupakan permata, isteriku sangat sayang kepadaku. Namun, semalam dia telah mencelamu dan menghinamu, lalu aku mengambil pisau dan aku letakkan di perutnya lantas aku menikamnya sehinggalah aku telah membunuhnya.’ lalu Nabi SAW bersabda: ‘Ketahuilah bahawasanya darah wanita itu adalah sia-sia (halal).’

Riwayat Abu Dawud (4361)

Terdapat sebuah athar daripada Abd al-Hamid bin Abd al-Rahman bin Zaid bin al-Khattab, sesungguhnya beliau berada di Kufah mewakili Umar bin ‘Abd al-‘Aziz. Beliau telah menulis kepada Umar bin ‘Abd al-‘Aziz: “Aku mendapati seorang lelaki telah mencelamu di Kufah dan telah terbukti bahawa dia benar-benar telah mencelamu, maka aku ingin membunuhnya atau memotong kedua tangannya atau memotong lidahnya atau menyebatnya, akan tetapi aku terfikir untuk merujuk kepadamu terlebih dahulu berkenaan perkara ini.” Maka Umar bin ‘Abd al-‘Aziz menulis kembali kepada beliau: “Salam sejahtera ke atasmu, demi Allah yang diriku berada di tangan-Nya, jika engkau membunuhnya maka aku akan membunuhmu disebabkan olehnya, jika engkau memotongnya maka aku akan memotongmu disebabkan olehnya, jika engkau menyebatnya maka aku akan menariknya daripada engkau. Apabila engkau menerima perutusanku ini, maka keluarlah engkau dengannya ke Kunasah (yakni tempat pembuangan sampah) lalu engkau celalah dia sebagaimana dia mencelaku atau engkau memaafkannya kerana itu adalah lebih aku suka. Hal ini kerana, tidak halal membunuh seseorang Muslim yang mencela salah seorang daripada manusia melainkan seseorang itu mencela Rasulullah SAW.” (Lihat al-Muhalla, 14/434).

Oleh yang demikian, tidak syak lagi bahawa orang yang menghina Nabi SAW wajib dibunuh, seperti yang difatwakan oleh para ulama sejak sekian lama. Di antaranya:

  • Imam Malik dan al-Auza‘i berpendapat bahawa pesalah itu dianggap murtad dan perlu diberikan peluang untuk bertaubat. (Lihat Tabsirah al-Hukkam, 2/212).
  • Begitu juga hukumnya adalah haram dan kufur bagi sesiapa yang menghina mana-mana Nabi atau menjatuhkan darjat dan martabat Baginda seperti menuduh keburukan pada tubuh badannya sebagai pincang, lumpuh atau kurang ilmunya serta jahil. (Lihat al-Fiqh ‘ala Mazahib al-Arba‘ah, 5/372).
  • Selain itu, Ibn Munzir telah menukilkan dalam kitabnya mengenai kesepakatan ulama (yakni ijma‘) bahawa sesiapa yang mencela Nabi SAW, maka wajib dibunuh. (Lihat al-Ijma‘, hlm. 128).
  • Abu Bakar al-Farisi yang merupakan salah seorang ulama bermazhab al-Syafi‘i menyebutkan, sesiapa yang menghina Nabi SAW seperti menuduh Baginda secara nyata maka dia dihukum kafir dengan sepakat ulama, sekalipun dia bertaubat tetap tidak akan gugur hukuman bunuh yang telah ditetapkan ke atasnya. (Lihat Fath al-Bari oleh Ibn Hajar al- ‘Asqalani, 12/348).
  • Imam Ahmad bin Hanbal juga pernah berkata: “Aku mendengar Abu ‘Abdillah berkata: ‘Sesiapa yang mencerca Nabi SAW atau menjatuhkan maruah Baginda, sama ada orang Islam atau bukan Islam, maka mereka hendaklah dibunuh. Aku berpendapat bahawa dia perlu dibunuh tanpa perlu disuruh untuk bertaubat.’” (Lihat al-Sarim al-Maslul ‘ala Syatim al-Rasul, 1/9).

Berdasarkan kenyataan di atas, jelas menunjukkan betapa beratnya hukuman dan balasan kepada mereka yang menghina, mencaci dan menjatuhkan maruah Rasulullah SAW termasuk nabi-nabi yang lain. Oleh itu, amat perlu kita berhati-hati daripada mengeluarkan apa-apa kenyataan dan pendapat yang menunjukkan betapa hinanya Rasulullah SAW kerana itu boleh membawa kepada kekufuran dan kemurkaan Allah SWT.

Dalam konteks Malaysia di mana kita memiliki sistem undang-undang untuk mengekang perlakuan menghina agama Islam, hendaklah kita melaporkan kepada pihak berkuasa apa-apa ucapan, perlakuan dan tindakan yang boleh ditafsirkan sebagai menghina Rasulullah SAW, supaya diambil tindakan mengikut laras undang-undang. Tidak boleh sama sekali mana-mana pihak mengambil tindakan sendiri untuk menghukum, apatahlagi dengan kekerasan kerana hak untuk menghukum ada pada pemerintah sahaja.

Ini selari dengan kesepakatan fuqaha’ yang menegaskan bahawa hak untuk melaksanakan hukuman adalah hak pemerintah ataupun wakilnya. (Lihat Ibn ‘Abidin, 3/158; al-Fatawa al-Hindiyyah, 2/143; al-Bada’i, 7/75; al-Iklil ‘ala Mahawib al-Jalil, 6/ 296; Bidayat al-Mujtahid, 2/444-445; Raudhah al-Talibin, 10/299; Kasysyaf al-Qina’, 6/78)

●       Kisah Ka‘ab bin Asyraf yang memusuhi Nabi SAW

Ketika zaman Rasulullah SAW, telah dicatatkan bagaimana terdapat seorang individu yang sangat memusuhi Baginda, menghina serta menghasut orang ramai supaya memerangi Baginda SAW. Beliau bernama Ka‘ab bin Asyraf, seorang Yahudi yang paling ekstrem dalam membenci Islam, orang-orang Islam, Rasulullah SAW serta dalam membangkitkan seruan untuk memerangi Baginda SAW.

Tatkala berita tentang kemenangan orang-orang Islam dan terbunuhnya tentera Quraisy di Peperangan Badar sampai kepadanya, maka musuh Allah ini mula mencerca Rasulullah SAW dan orang-orang Islam. Sebaliknya, dia memuji musuh mereka dan menghasut mereka untuk segera membunuh musuhnya. Dia kemudian pergi kepada kaum Quraisy dan menemui Muttalib bin Abu Wuda‘ah al-Sahmi. Di sana dia menyenandungkan syair-syair sambil menangisi para korban musyrikin yang ditimbun di telaga Badar. Dengan melakukan itu, dia berharap dapat membangkitkan kemarahan mereka terhadap Nabi Muhammad SAW serta mengajak mereka untuk memerangi Baginda. Kemudian Ka‘ab kembali ke Madinah, dan dia terus menyampaikan syair-syair yang menyinggung perasaan isteri para sahabat, sehingga dengan perkataan yang lancang itu dia menyakiti hati mereka. Ketika itu Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ لِكَعْبِ بْنِ الْأَشْرَفِ؟ فَإِنَّهُ قَدْ آذَى اللَّهَ وَرَسُولَهُ

Maksudnya: “Siapakah yang akan menghadapi Ka‘ab bin Asyraf? Sesungguhnya dia telah menyakiti Allah dan Rasul-Nya!”

Riwayat al-Bukhari (3031) dan Muslim (1801)

Baginda kemudian menyerahkan mandat untuk menghadapi Ka‘ab kepada Muhammad bin Maslamah, ‘Abbad bin Bisyr, Abu Nailah. Muhammad bin Maslamah dilantik sebagai panglima pasukan khas ini.

Pada malam bertarikh 14 Rabiul Awwal tahun ketiga Hijrah, pasukan khas ini datang ke kawasan rumah Ka‘ab bin Asyraf. Ka‘ab keluar dengan pakaian yang berbau harum semerbak. Ia disambut baik oleh Abu Nailah dan Muhammad bin Maslamah lalu diajak bercakap-cakap. Abu Nailah berpura-pura hendak mencium bau wangi pada rambut Ka‘ab lalu beliau menghulurkan tangan membelai-belai rambutnya sambil berkata: “Sungguh, aku belum pernah mengalami malam seharum malam ini.” Ka‘ab bangga mendengar pujian seperti itu. Abu Nailah mengulanginya lagi. Dibelainya lagi rambut Ka‘ab, tapi kemudian direnggutnya sekeras-kerasnya sambil memegang lehernya dan menyeru kepada para sahabatnya: “Bunuhlah musuh Allah ini!” Seketika itu juga beberapa bilah pedang menembus dadanya. Begitulah nasib Ka‘ab bin Asyraf, pemimpin Yahudi yang memusuhi Islam, menyakiti Allah dan Rasul-Nya. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 358-362).

●       Pengakhiran Hidup ‘Utaibah bin Abu Lahab

Beliau ialah ‘Utaibah bin ‘Abd al-‘Uzza (Abu Lahab) bin ‘Abd al-Muttalib, merupakan sepupu Nabi SAW. Ibunya ialah Ummu Jamil binti Harb bin Umayyah. (Lihat Usd al-Ghabah, 3/562). Beliau mempunyai beberapa saudara, antaranya yang bernama ‘Utbah dan Durrah. Kedua-dua saudaranya itu memeluk agama Islam. Hanya ‘Utaibah sahaja yang tidak ikut memeluk Islam.

Diceritakan bahawa Abu Lahab dan anaknya, ‘Utaibah telah menghina Nabi SAW sehinggakan Baginda SAW mendoakan keburukan kepadanya dengan doa:

اللَّهُمَّ سَلِّطْ عَلَيْهِ كَلْبًا مِنْ كِلَابِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, kirimkanlah ke atas mereka seekor anjing (binatang buas) yang Engkau ciptakan daripada haiwan-haiwan buas (ciptaan)Mu.”

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (10346) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (3984).

‘Utaibah telah mati sebelum peristiwa pembukaan kota Makkah. Dia telah diterkam haiwan buas tatkala dalam perjalanan menuju ke bumi Syam. Meskipun ayahnya Abu Lahab berusaha menjaganya, namun doa Nabi SAW yang mustajab tetap tidak mampu untuk menghalangnya.

Terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ahli sejarah berkenaan orang yang terkena doa tersebut. Ada menyatakan bahawa ‘Utbah yang terkena doa itu. Namun, pendapat yang paling kuat adalah yang menyebut bahawa orang yang terkena doa tersebut ialah saudaranya, iaitu ‘Utaibah bin Abu Lahab. Dia telah diterkam oleh singa di kawasan al-Zarqa, di Syam. Kejadian tersebut berlaku pada waktu malam. Ketika itu, dia sedang tidur bersama rombongannya. (Lihat al-Isabah, 6/122 dan Dala’il al-Nubuwwah oleh al-Baihaqi, 2/339).

●       Kisah Abu Amir al-Rahib yang berusaha memerangi Rasulullah

Abu Amir al-Rahib merupakan seorang lelaki daripada Bani Khazraj. Beliau beragama Nasrani dan mempunyai pengaruh besar dalam kabilahnya. Apabila Islam telah menjadi kuat di Madinah, maka Abu Amir menjadi tidak senang. Dia pun pergi ke Makkah dan menemui orang kafir Quraisy untuk mengajak memerangi Rasulullah SAW di Madinah. Mereka pun bersetuju dan menyusun kekuatan sehingga berlaku Perang Uhud.  Dia turut mengajak kaum Ansar untuk bergabung dengannya, namun apabila mereka mengetahui tujuannya, mereka lalu mencela dan mengejinya.

Rasulullah SAW juga telah mengajaknya untuk memeluk Islam serta membaca al-Quran kepadanya sebelum dia lari ke negara Rom. Walaupun begitu, dia tetap menolak untuk masuk Islam. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/211).

Malah, dia berkata kepada Rasulullah SAW: “Aku tidak dapati suatu kaum yang memerangimu, melainkan aku pasti akan bersama mereka.” (Lihat Aisar al-Tafasir, 2/425). Lalu Baginda SAW mendoakannya supaya mati di tempat yang jauh dalam keadaan terusir. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/211).

Akhirnya, dia mati di kota Qansarin (wilayah Rom) akibat doa Rasulullah SAW tersebut ke atasnya. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 8/257).

●       Penulis wahyu yang murtad dan menghina Nabi SAW

Kisah ini disebut dalam hadith yang diriwayatkan daripada Anas R.A, beliau berkata:

كَانَ رَجُلٌ نَصْرَانِيًّا فَأَسْلَمَ، وَقَرَأَ البَقَرَةَ وَآلَ عِمْرَانَ، فَكَانَ يَكْتُبُ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَعَادَ نَصْرَانِيًّا، فَكَانَ يَقُولُ: مَا يَدْرِي مُحَمَّدٌ إِلَّا مَا كَتَبْتُ لَهُ فَأَمَاتَهُ اللَّهُ فَدَفَنُوهُ، فَأَصْبَحَ وَقَدْ لَفَظَتْهُ الأَرْضُ، فَقَالُوا: هَذَا فِعْلُ مُحَمَّدٍ وَأَصْحَابِهِ لَمَّا هَرَبَ مِنْهُمْ، نَبَشُوا عَنْ صَاحِبِنَا فَأَلْقَوْهُ، فَحَفَرُوا لَهُ فَأَعْمَقُوا، فَأَصْبَحَ وَقَدْ لَفَظَتْهُ الأَرْضُ، فَقَالُوا: هَذَا فِعْلُ مُحَمَّدٍ وَأَصْحَابِهِ، نَبَشُوا عَنْ صَاحِبِنَا لَمَّا هَرَبَ مِنْهُمْ فَأَلْقَوْهُ، فَحَفَرُوا لَهُ وَأَعْمَقُوا لَهُ فِي الأَرْضِ مَا اسْتَطَاعُوا، فَأَصْبَحَ وَقَدْ لَفَظَتْهُ الأَرْضُ، فَعَلِمُوا: أَنَّهُ لَيْسَ مِنَ النَّاسِ، فَأَلْقَوْهُ.

Maksudnya:Ada seorang lelaki Nasrani yang memeluk Islam dan membaca surah al-Baqarah serta Ali ‘Imran. Dia menjadi penulis untuk Nabi SAW. Suatu ketika dia kembali menjadi Nasrani dan berkata: ‘Muhammad tidak mengetahui selain apa yang aku tulis kepadanya.’ Lalu Allah mematikannya dan mereka mengebumikannya. Pada pagi keesokan harinya, jasadnya dicampak keluar oleh perut bumi. Orang Nasrani berkata: ‘Ini ialah perbuatan Muhammad dan para pengikutnya, ketika lari daripada mereka maka mereka menggali kubur sahabat kita dan mencampakkannya di atas tanah.’ Mereka pun menggali kubur yang lebih dalam untuknya. Namun, pagi keesokan harinya dia telah dicampak keluar oleh tanah. Mereka berkata: ‘Ini ialah perbuatan Muhammad dan sahabat-sahabatnya, mereka membongkar kubur sahabat kita, kerana dia keluar daripada agama mereka, lalu mereka mencampakkannya di atas tanah.’ Mereka kembali menggali dan memperdalamkan kuburnya semampu mereka. Pagi keesokan harinya, dia kembali dikeluarkan oleh tanah. Akhirnya mereka mengetahui bahawa itu bukan perbuatan manusia. Maka mereka pun mencampakkannya begitu saja.

Riwayat al-Bukhari (3617) dan Muslim (2781)

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah menyebutkan, orang celaka ini yang mendustakan Nabi SAW bahawa dia tidak tahu apa yang Allah tetapkan ke atasnya sehingga Allah menghukumnya dan mendedah aibnya dengan dikeluarkan daripada bumi sekalipun ditanam beberapa kali. Hal seperti ini adalah perkara yang luar biasa menunjukkan setiap seseorang akan hukuman seperti ini apabila dituduhnya kepada Rasul dengan cara mendustakan sedangkan orang mati lain tidak dikenakan hukuman sepertinya. Ini merupakan jenayah yang amat besar, bukan semata-mata kerana murtad, kerana ramai orang murtad mati tetapi tidak dimusibahkan seperti ini. Sesungguhnya Allah ingin membalas kepada penghina Rasul-Nya SAW sehingga dia menzahirkan bagi agama-Nya dan pendustaan kepada pendusta kerana manusia tidak mungkin untuk membalas dan menghukum mereka. (Lihat al-Sarim al-Maslul,  1/122).

●       Pengakhiran Lars Vilks, Kartunis yang Menghina Nabi dan Islam

Vilks mencetuskan kontroversi dan kemarahan umat Islam apabila melukis gambar Nabi Muhammad SAW. Dia hidup di bawah perlindungan polis dan tinggal di lokasi rahsia ekoran menerima ancaman bunuh sejak akhbar tempatan Sweden, Nerikes Allehanda menerbitkan kartunnya yang menghina Nabi Muhammad SAW pada 2007.

Karikatur itu menimbulkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia sehingga menyebabkan Perdana Menteri Sweden, Fredrik Reinfeldt mengadakan pertemuan dengan 22 duta negara Islam bagi meredakan ketegangan.

Pada 5 Oktober 2021, Vilks disahkan terbunuh dalam kemalangan ngeri jalan raya ketika kereta polis dinaikinya terbalik dan terbabas ke lorong bertentangan. Kereta dinaiki Vilks dan anggota polis itu bertembung dengan sebuah lori sehingga mengakibatkan kedua-dua kenderaan itu terbakar.[4]

●       Kenyataan Politikus India yang Menghina Nabi Muhammad SAW

Pada awal Jun 2022, satu kenyataan yang menghina Nabi Muhammad SAW telah dilakukan oleh pegawai parti Pemerintah India, iaitu Parti Bharatiya Janata (BJP), yang juga merupakan parti pimpinan Perdana Menteri India, Narendra Modi.

Nupur Sharma yang merupakan jurucakap Parti Bharatiya Janata (BJP) dilaporkan telah menghina junjungan besar baginda dan isteri Rasulullah, Saidatina Aisyah menerusi satu debat yang diadakan. Manakala Ketua Operasi Media Delhi BJP, Naveen Kumar Jindal pula dilaporkan memuat naik ciapan mengenai Nabi Muhammad SAW, yang turut mencetuskan kemarahan, namun ciapan tersebut kemudian telah dipadam.

Kenyataan Sharma yang ke udara melalui televisyen mencetuskan bantahan dan kemarahan umat Islam di India serta pelbagai negara Islam, malah ramai menuntut wanita itu ditahan. Nupur Sharma kemudian digantung daripada keahlian utama parti atas tindakan tersebut, manakala Kumar Jindal telah dibuang kerja akibat polemik tersebut.

Susulan kenyataan menghina itu juga, kerajaan India telah menerima kritikan dan kemarahan dari dalam dan luar negara. Kenyataan yang disifatkan menghina Islam itu mencetuskan protes dan rusuhan di bandar utara dan kemudian di Mumbai. Ia juga turut menimbulkan kemarahan yang meluas dalam kalangan umat Islam di India dan luar negara.

Negara termasuk Qatar, Arab Saudi, Oman, UAE, Afghanistan, Pakistan dan Iran turut menuntut permohonan maaf daripada India kerana membenarkan kenyataan menghina tersebut.[5]  Emiriah Arab Bersatu (UAE) menegaskan bahawa kenyataan tersebut bertentangan dengan prinsip serta nilai moral dan kemanusiaan.

Universiti Al-Azhar pula menyifatkan kenyataan itu sebagai ‘keganasan sebenar’ dan ‘boleh menjerumuskan seluruh dunia ke dalam krisis serta peperangan yang membawa maut.’ Liga Dunia Islam yang berpangkalan di Arab Saudi menegaskan, kenyataan berkenaan boleh ‘menghasut kebencian,’ manakala Presiden Besar Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi menyifatkannya sebagai ‘perbuatan keji.’[6]

Ketiga: Penghinaan kepada al-Quran

Pada asasnya, al-Quran termasuk dalam kitab suci dan mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW. Al-Quran al-Karim adalah sebuah perlembagaan yang lengkap merangkumi seluruh hukum-hakam Islam. Al-Quran juga adalah sumber yang mencurahkan segala kebaikan dan ilmu ke dalam hati yang beriman. Bahkan, al-Quran adalah alat yang terbaik untuk para ahli ibadat mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan cara membaca dan bertadabbur.

Begitu juga mencintai al-Quran termasuk dalam salah satu tanda kecintaan seorang hamba kepada Allah SWT. Dr. Wahbah al-Zuhaili menukilkan daripada Sahl bin Abdullah yang menyebutkan, tanda seseorang itu mencintai Allah adalah dengan mencintai al-Quran, tanda seseorang itu mencintai al-Quran adalah dengan mencintai Nabi SAW, tanda seseorang itu mencintai Nabi SAW adalah dengan mencintai sunnah, tanda seseorang itu mencintai Allah, al-Quran, Nabi dan sunnah adalah dengan mencintai akhirat, tanda seseorang itu mencintai akhirat adalah dengan mencintai dirinya sendiri, tanda seseorang itu mencintai dirinya sendiri adalah dengan membenci dunia dan tanda seseorang itu membenci dunia adalah dengan dia tidak mengambil daripada dunia itu melainkan sebagai bekalan dan sekadarnya yang cukup sahaja — bagi kehidupan. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 3/208; lihat juga Faidh al-Qadir, 2/66).

Perkara ini turut dinukilkan oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah daripada Ibn Mas‘ud R.A melalui pesananannya bahawa:

لَا يُسْأَلُ أَحَدُكُمْ عَنْ نَفْسِهِ إلَّا الْقُرْآنُ فَإِنْ كَانَ يُحِبُّ الْقُرْآنَ فَهُوَ يُحِبُّ اللَّهَ وَإِنْ كَانَ يُبْغِضُ الْقُرْآنَ فَهُوَ يُبْغِضُ اللَّهَ وَرَسُولَ

Maksudnya:Janganlah ditanya seseorang daripada kamu itu tentang dirinya melainkan al-Quran. Hal ini kerana sekiranya dia mencintai al-Quran maka sesungguhnya dia mencintai Allah, dan sekiranya dia membenci al-Quran maka sesungguhnya dia (sebenarnya) membenci Allah dan Rasul-Nya.” (Lihat Majmu‘ al-Fatawa, 11/216).

Oleh sebab itu, sebahagian ulama meletakkan hukuman yang keras terhadap mereka yang mempermainkan dan menghina al-Quran. AL-Khatib al-Syirbini menyebutkan, di antara perbuatan yang boleh menyebabkan seseorang itu jatuh kufur ialah dia dengan sengaja menghina agama secara terang-terangan atau mengingkarinya seperti mencampakkan kotoran kepada mashaf (al-Quran) kerana perbuatan itu jelas menghina kalamullah, dan menghina atau merendah-rendahkan suatu ucapan (kalam) bermaksud dia telah menghina atau merendah-rendahkan pengucapnya — yakni Allah SWT. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 5/431).

Begitu juga al-Qadhi ‘Iyadh menyatakan, ketahuilah bahawa sesiapa yang (dengan sengaja) merendah-rendahkan al-Quran atau sesuatu daripadanya, atau mencacinya, atau mengingkarinya tidak kira satu huruf atau satu ayat, atau mendustainya atau mendustai sebahagian daripadanya, atau dia mendustai suatu hukum atau berita yang jelas dinyatakan di dalamnya, atau mengisbatkan suatu yang dinafikannya, atau menafikan suatu yang diisbatkannya, dalam keadaan dia mengetahui perkara tersebut atau dia syak pada sesuatu daripada perkara tersebut, maka dia dikira jatuh kafir di sisi ulama secara ijma‘. (Lihat al-Syifa bi Ta‘rif Huquq al-Mustafa, 2/646)

Oleh itu, perbuatan menghina atau merendah-rendahkan al-Quran bukanlah sesuatu perkara yang boleh dipandang remeh atau ringan kerana berkemungkinan pelakunya boleh dianggap telah jatuh kufur.

Di antara bentuk penghinaan terhadap al-Quran adalah dengan cara tidak menghormatinya dan menghinanya seperti:

●       Memijak al-Quran

Dalam laporan Berita Harian yang bertarikh 16 Februari 2020 melaporkan bahawa seorang lelaki berusia 35 tahun telah ditahan reman disebabkan oleh perbuatannya memijak al-Quran dan membuat rakaman suara menghina Islam dalam satu kejadian yang disiarkan secara langsung di sebuah akaun facebook. Rakaman berkenaan memaparkan lelaki itu dengan sengaja memijak al-Quran di atas katil dan juga membuat rakaman suara yang menghina Islam.[7]

Begitu juga dalam laporan Sinar Harian yang bertarikh 22 Disember 2019 turut melaporkan berkenaan seorang pensyarah di Pakistan iaitu Profesor Junaid Hafeez yang merupakan salah seorang tenaga pengajar di Universiti Bahauddin Zakariya di bandar Multan yang dituduh melakukan penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW dan al-Quran secara lisan serta di Facebook pada 2013. Beliau telah dijatuhi hukuman mati selepas disabit bersalah menghina agama Islam.[8]

Selain itu, terdapat juga laporan dalam Berita Harian yang bertarikh 19 Julai 2019 yang melaporkan bahawa empat remaja perempuan berusia 17 hingga 18 tahun ditahan polis berhubung video yang tular mengenai perbuatan seorang daripada mereka memijak al-Quran. Kejadian itu dipercayai berlaku di Kusial, Tanah Merah. Video berdurasi selama tiga minit dan 13 saat yang tular di facebook  itu memaparkan perbuatan seorang remaja perempuan berusia belasan tahun yang memijak al-Quran sambil dirakam menggunakan telefon bimbit.[9]

●       Menjadikan ayat al-Quran sebagai bahan gurauan dan lawak

Firman Allah SWT:

وَلَئِن سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ ۚ قُلْ أَبِاللَّهِ وَآيَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنتُمْ تَسْتَهْزِئُونَ

Maksudnya: Dan jika kamu bertanya kepada mereka tentang ejekan-ejekan itu, tentulah mereka akan menjawab, ‘Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bergurau.’ Katakanlah, ‘Patutkah nama Allah dan ayat-ayat-Nya serta rasul-Nya kamu persendakan?’

(Surah al-Taubah: 65)

Terdapat riwayat daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, beliau berkata:

قَالَ رَجُلٌ فِي غَزْوَةِ تَبُوكَ فِي مَجْلِسٍ يَوْمًا: مَا رَأَيْتُ مِثْلَ قُرَّائِنَا هَؤُلَاءِ أَرْغَبَ بُطُونًا وَلَا أَكْذَبَ أَلْسِنَةً وَلَا أَجْبَنَ عِنْدَ اللِّقَاءِ فَقَالَ رَجُلٌ فِي الْمَجْلِسِ: كَذَبْتَ وَلَكِنَّكَ مُنَافِقٌ لَأُخْبِرَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَبَلَغَ ذَلِكَ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَنَزَلَ الْقُرْآنُ قَالَ عَبْدُ اللَّهِ: فَأَنَا رَأَيْتُهُ مُتَعَلِّقًا بِحَقَبِ نَاقَةِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَنْكُبُهُ الْحِجَارَةُ وَهُوَ يَقُولُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ (إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ) [التوبة: 65] وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: (أَبِاللَّهِ وَآيَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنتُمْ تَسْتَهْزِئُونَ).

Maksudnya:Seorang lelaki berkata semasa perang Tabuk dalam satu perkumpulan: ‘Aku tidak pernah melihat seperti pembaca-pembaca (al-Quran) kita ini, sangat mementingkan perut, sangat berdusta lidahnya dan sangat penakut dalam pertempuran.’ Seorang lelaki dalam perkumpulan itu berkata: ‘Kamu berbohong, malah kamu munafik. Sungguh aku akan memberitahu Rasulullah SAW.’ Perkara itu sampai kepada Nabi SAW dan al-Quran pun turun.” Abdullah R.Anhuma berkata: “Aku melihatnya (lelaki tersebut) bergantung pada pengikat pinggang unta Rasulullah SAW, batu-batu terkena padanya (kerana diseret) sambil berkata: ‘Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bergurau.’ Rasulullah SAW bersabda: ‘Patutkah nama Allah dan ayat-ayat-Nya serta rasul-Nya kamu persendakan?’” (Lihat Tafsir Ibn Abi Hatim, no. 10047, 6/1829-1830).

Keempat: Penghinaan kepada syariah

Syariah Islam sering dikatakan lebih anjal dan fleksibel sehingga menjadi hujah untuk mengatakan bahawa sememangnya Islam sejak dahulu lagi menganjurkan sifat keterbukaan atau inklusif. Hal ini kerana syariah lebih cenderung kepada kefahaman atau interaksi umat Islam terhadap sumber-sumber syarak untuk menghasilkan sesuatu hukum. Secara ringkas syariah menurut metodologi ilmu Islam bererti apa sahaja yang ditetapkan oleh Allah SWT untuk para hambanya baik tentang aqidah, ibadat, akhlak, muamalat dan apa sahaja tata hidup di dunia ini. Namun begitu apabila disebut aqidah dan syariah, kebiasaannya syariah akan lebih didefinisikan sebagai hal-hal yang melibatkan perundangan atau tata cara hidup manusia di dunia.

Di dalam syariah, sekiranya terdapat nas-nas yang jelas tentang hukum sesuatu permasalahan, maka tidak boleh sekali-kali berijtihad walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Hukumnya di sini adalah sama dengan perkara-perkara aqidah yang jelas yang tidak dibenarkan untuk berijtihad. Contohnya, terdapat nas yang mengharamkan riba, maka tidak harus lagi berijtihad tentang hukumnya. Begitu juga seumpama telah ada nas tentang wajib membahagikan harta pusaka dengan kadar satu nisbah dua kepada waris lelaki dan perempuan, maka tidak harus lagi berijtihad untuk memberi kadar yang sama rata antara lelaki dan perempuan.

Seseorang yang memungkiri salah satu hukum daripada hukum-hukum syarak yang sabit dengan dalil qat‘i (putus dan jelas) atau mendakwa terdapat unsur-unsur kekerasan pada hukum tertentu seumpama hudud, atau mendakwa kedapatan beberapa hukum syarak yang tidak lagi sesuai untuk dilaksanakan adalah dianggap sebagai kekufuran dan boleh terkeluar daripada Islam.

Hal ini kerana perbuatan tersebut seolah-olah menghina syariat Islam dengan menganggap syariat Islam tidak sempurna sehingga perlu dipertikaikan akan pensyariatannya. (Lihat Diskusi Isu Aqidah dan Pemikiran Semasa di Malaysia, hlm. 245-247).

Firman Allah SWT:

وَلَئِن سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ ۚ قُلْ أَبِاللَّهِ وَآيَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنتُمْ تَسْتَهْزِئُونَ

Maksudnya: Dan jika kamu bertanya kepada mereka tentang ejekan-ejekan itu, tentulah mereka akan menjawab, ‘Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bergurau.’ Katakanlah, ‘Patutkah nama Allah dan ayat-ayat-Nya serta rasul-Nya kamu persendakan?’

(Surah al-Taubah: 65)

Syeikh al-Tantawi ketika menafsirkan ayat ini menyebutkan, apabila kamu wahai Nabi yang mulia atau orang beriman yang berakal bertemu dengan orang yang bermain-main dengan ayat-ayat Kami dengan cara mendustakannya, mentohmahnya atau menghinanya maka hendaklah kamu melarikan diri daripada mereka atau meninggalkan majlis mereka supaya mereka melihat perbuatan kamu itu (iaitu meninggalkan mereka) seperti tidak senang dengan tingkah laku mereka dan janganlah kamu kembali semula kepada mereka sehingga mereka berbicara tentang perkara yang lain. (Lihat al-Tafsir al-Wasit, 98/5).

Di antara contoh penghinaan kepada syariat ialah:

●       Mempermainkan pemakaian tudung dan penutupan aurat

Pernah terjadi di sebuah kelab komedi, seorang perempuan yang beragama Islam ketika membuat persembahan komedi dengan jelas mengaku bahawa dia seorang Muslimah, dan telah menghafal sebanyak lima belas juzuk al-Quran, namun setelah penjelasan tersebut dilakukan, dia dengan pantas menanggalkan tudung serta pakaiannya dibuka sehingga menjadikannya berpakaian seksi.[10] Hal ini jelas merupakan suatu penghinaan kepada syariat Islam yang mewajibkan umat Islam supaya menutup aurat.

●       Menjadikan larangan orang Islam daripada terlibat dengan arak sebagai bahan jenaka

Antara penghinaan kepada syariat ialah menjadikan larangan arak sebagai lawak jenaka. Sebagai contoh, pernah terjadi di sebuah kelab komedi, seseorang yang melakukan persembahan telah meminta bantuan seorang perempuan beragama Islam yang bertudung dan menutup aurat untuk membuka tin minuman arak untuknya.[11] Hal ini jelas memperlekehkan syariat Islam seolah-olah perbuatan membantu membuka tin arak itu tidak berdosa sedangkan minuman arak itu sendiri merupakan larangan yang jelas di dalam syariat Islam.

Kelima: Penghinaan Kepada Para Sahabat

Para sahabat adalah generasi terbaik yang pernah ada di dalam sejarah islam. Mereka merupakan generasi yang terawal memeluk Islam dan membantu penyebaran Islam ke seluruh alam. Kemuliaan para sahabat disebutkan sendiri oleh Nabi SAW. Nabi SAW bersabda:

خَيْرُ أُمَّتِى الْقَرْنُ الَّذِينَ يَلُونِى ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ يَجِىءُ قَوْمٌ تَسْبِقُ شَهَادَةُ أَحَدِهِمْ يَمِينَهُ وَيَمِينُهُ شَهَادَتَهُ

Maksudnya: “Sebaik-baik umatku ada yang kurun yang mana mereka menyertai aku kemudian orang yang datang selepas mereka kemudian orang yang datang selepas mereka. Kemudian akan datang satu golongan yang mana mendahulukan penyaksian daripada sumpah dan menjadikan sumpahnya sebagai penyaksian (isyarat kepada banyaknya penyaksian dan sumpah yang palsu).

Riwayat Muslim (6632)

Bahkan Allah SWT  meredhai mereka dan ia dinyatakan secara jelas di dalam al-Quran. Firman Allah SWT:

وَٱلسَّـٰبِقُونَ ٱلْأَوَّلُونَ مِنَ ٱلْمُهَـٰجِرِينَ وَٱلْأَنصَارِ وَٱلَّذِينَ ٱتَّبَعُوهُم بِإِحْسَـٰنٍ رَّضِىَ ٱللَّـهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا۟ عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّـٰتٍ تَجْرِى تَحْتَهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيهَآ أَبَدًا ۚ ذَٰلِكَ ٱلْفَوْزُ ٱلْعَظِيمُ

Maksudnya: “Dan orang-orang yang terdahulu – yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang “Muhajirin” dan “Ansar”, dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.”

(Surah al-Taubah : 100)

Al-Syaukani menyebut bahawa Allah redha terhadap amalan ketaatan yang ikhlas yang dilakukan oleh mereka. Dan mereka juga redha terhadap apa yang telah dikurniakan oleh Allah terhadap yang tidak terlintas di sanubari mereka dan tidak terfikir oleh akal. Redha daripada Allah merupakan darjat yang tertinggi dan merupakan kemuliaan yang teragung. (Lihat Fath Al-Qadir, 2/386).

Oleh kerana itu, tidak boleh seseorang itu sewenang-wenangnya mencela atau mencaci, apatah lagi memaki para sahabat. Nabi SAW pernah memberikan peringatan supaya jangan mencela para sahabat Baginda. Daripada Abu Sa‘id al-Khudri, Nabi SAW bersabda:

لَا تَسُبُّوا أَصْحَابِي فَلَوْ أَنَّ أَحَدَكُمْ أَنْفَقَ مِثْلَ أُحُدٍ ذَهَبًا مَا بَلَغَ مُدَّ أَحَدِهِمْ وَلَا نَصِيفَهُ

Maksudnya : “Jangan kamu mencela para sahabatku. Jika salah seorang daripada kamu menginfakkan emas sebanyak bukit uhud, ia tidak akan capai segantang infak yang dilakukan oleh para Sahabat. Bahkan tidak sampai separuh pun.

Riwayat al-Bukhari (3673) dan Muslim (2540)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyatakan: “Ahli Sunnah Wal Jamaah telah bersepakat atas kewajiban untuk tidak mencela seorang pun daripada para sahabat. (Lihat Fath al-Bari, 13/34).

Imam al-Nawawi menukilkan pandangan al-Qadhi ‘Iyadh bahawa kedudukan para Sahabat melebihi orang-orang yang datang selepas mereka. Ini disebabkan apa yang mereka infakkan adalah ketika waktu darurat dan ketika kesempitan, kesemuanya adalah semata-mata untuk membantu, menyokong dan melindungi Nabi SAW. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 8/92).

Al-Tahawi menegaskan, kita mencintai para sahabat Rasulullah SAW dan tidak bersikap berlebihan dalam mencintai seseorang pun dalam kalangan mereka, namun juga tidak bersikap benci terhadap seorang pun dalam kalangan mereka. Kita membenci siapapun yang membenci mereka atau sesiapa sahaja yang menghina mereka. Kita hanya menyebutkan mereka secara baik sahaja. Mencintai mereka adalah agama, keimanan, dan perbuatan ihsan. Membenci mereka bererti kekufuran, kemunafikan dan sikap melampaui batas. (Lihat Syarh al-Aqidah al-Tahawiyah, 2/869).

Ibn Abbas R.Anhuma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ سَبَّ أَصْحَابِي فَعَلَيْهِ لَعْنَةُ اللهِ وَالْمَلَائِكَةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِيْنَ

Maksudnya:Sesiapa yang mencaci para sahabatku, maka dia akan menerima laknat Allah, para malaikat, serta laknat seluruh umat manusia.”

Riwayat al-Tabarani (12740) Hadith ini dinilai hasan berdasarkan kitab Silsilah al-Ahadith al-Sahihah (2340).

Al-Khatib al-Baghdadi menukilkan daripada Abu Zar‘ah al-Razzaq, katanya: “Kalau kita melihat seseorang merendahkan salah seorang sahabat Nabi SAW, maka harus diketahui bahawa dia adalah zindiq. Hal ini kerana Rasulullah SAW adalah benar kewujudannya, al-Quran juga adalah benar kewujudannya. Lalu yang menyampaikan ajaran al-Quran dan sunnah Rasul tidak lain adalah para sahabat Rasulullah SAW. Orang-orang kafir berniat untuk memburuk-burukkan kehormatan para saksi ajaran kitab Allah sehingga hilang ajaran kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya. Sebenarnya merekalah yang patut diburukkan, kerana mereka adalah zindiq.” (Lihat al-Kifayah fi ‘Ilm al-Riwayah, hlm. 97).

Di antara contoh penghinaan kepada para sahabat ialah:

●       Menghina isteri-isteri Nabi SAW

Dr. Mohd. Aizam bin Mas‘od menyatakan dalam bukunya, Diskusi Isu Aqidah dan Pemikiran Semasa di Malaysia, (hlm. 157) bahawa golongan Syiah jelas menghina isteri-isteri Nabi SAW. Perkara ini dinyatakan di dalam kitab Tuhfah al-‘Awam Maqbul oleh al-Syed Manzur Husain bahawa:

Ya Allah, laknatlah olehmu dua berhala Quraisy dan dua Taghut, dua pendusta, dua anak perempuannya yang mana mereka berdua menyalahi perintah Engkau, mengingkari wahyu Engkau, mengingkari nikmat Engkau dan menderhaka terhadap wahyu Engkau dan mengubah agama Engkau dan menyelewengkan al-Quran dan mencintai seteru Engkau dan mengingkari nikmat batin Engkau dan menggagalkan perkara-perkara fardhu Engkau dan melanggar ayat-ayat Engkau dan memusuhi wali-wali Engkau dan melantik musuh Engkau dan memerangi negara Engkau dan merosakkan hamba-hamba Engkau. Ya Allah laknatlah mereka berdua dan pengikut-pengikut mereka berdua dan wali-wali mereka dan penyokong-penyokong mereka, kekasih kekasih mereka. Maka sesungguhnya mereka telah meruntuhkan institusi kenabian.”

Isteri-isteri Nabi adalah Ummahatul Mukminin. Mereka juga adalah tergolong dalam kalangan sahabat Rasulullah SAW yang adil. Oleh itu, haram bagi orang beriman untuk menikahi mereka selama-lamanya, selepas wafatnya Rasulullah SAW. Mereka wajib dihormati dan tidak boleh dicaci dan dicela, ini dinyatakan dalam firman Allah:

 النَّبِيُّ أَوْلَىٰ بِالْمُؤْمِنِينَ مِنْ أَنفُسِهِمْ ۖ وَأَزْوَاجُهُ أُمَّهَاتُهُمْ

Maksudnya: Nabi itu lebih menolong dan lebih menjaga kebaikan orang-orang yang beriman daripada diri mereka sendiri; dan isteri-isterinya adalah menjadi ibu mereka.

(Surah al-Ahzab: 6)

Selain itu, mereka juga merupakan orang yang bekerjasama dengan Nabi SAW dalam menyebarkan dakwah dan menegakkan syiar Islam kepada masyarakat zaman mereka.

Celaan Kepada Allah, Rasul-Nya dan Islam Penyebab Murtad

Mencela Allah SWT menyebabkan seseorang itu kafir dan keluar daripada Islam berdasarkan ijmak ulama. Ishaq bin Rahawayh menyebutkan, para ulama telah bersepakat bahawa sesiapa yang menghina Allah, atau menghina Rasul-Nya, atau menolak apa yang Allah turunkan, atau membunuh Nabi yang diutuskan oleh Allah, maka dia menjadi kafir sebagaimana yang ditetapkan oleh syariat Allah SWT. (Lihat al-Sarim al-Maslul, hlm. 9).

Manakala jika seseorang itu melakukan penghinaan tersebut dalam keadaan marah, maka ia bukanlah alasan, selagi mana kemarahan itu tidak sampai menutup akalnya seperti gila dan yang tidak mengetahui apa yang dikatakannya.

Muhammad bin Soleh al-Uthaimin berkata: “Sekiranya seseorang itu bertaubat daripada sebarang dosa, walaupun dia menghina Islam, maka taubatnya diterima jika dia memenuhi syarat-syarat taubat. Tetapi hendaklah dia mengetahui bahawa sesuatu perkataan itu boleh jadi kufur dan murtad, tetapi orang yang mengucapkannya tidak boleh dihukumkan kafir, kerana boleh jadi terdapat halangan yang menyebabkan dia melakukan perbuatan tersebut. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 2/24).

Jikalau seseorang itu melakukan penghinaan ini secara jahil ataupun dalam keadaan tidak sedar, maka hendaklah ditegur perbuatan tersebut dan dia mestilah bertaubat atas perbuatannya itu.

Berkenaan hal ini, Ibn Qudamah al-Maqdisi menyebutkan, begitu juga setiap orang yang jahil tentang sesuatu yang mungkin dia tidak ketahui, orang seperti ini tidak dihukumkan sebagai kafir sehingga dia mengetahui perbuatan yang dilakukan tersebut adalah perbuatan kafir dan hilang daripadanya syubhah. Maka setelah itu, dia boleh dihukumkan sebagai kafir. (Lihat al-Mughni, 12/277)

Dalam hal ini, sekali lagi ingin saya tegaskan bahawa sebarang hukum atau label kepada penghina agama hanya boleh dijatuhkan oleh pemerintah. Dalam konteks perundangan syariah Malaysia, mana-mana Muslim yang melakukan perbuatan sedemikian lazimnya akan diwajibkan untuk menghadiri sesi istitabah dalam tempoh yang ditetapkan oleh Hakim Mahkamah Syariah di Jabatan Mufti negeri. Ia bagi memulihkan kefahaman akidah pesalah dan memberikan kefahaman yang tepat kepada keraguannya.

Antara usaha yang saya lakukan semasa menjawat jawatan Mufti Wilayah Persekutuan adalah penubuhan Unit Konsultasi Akidah yang mengambil alih tugas istitabah bagi kes-kes pengesahan status agama dan permohonan keluar Islam oleh mualaf yang sebelumnya dijalankan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Kenapa Terjadi Begini?

Antara sebabnya ialah:

Pertama: Kejahilan agama

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa ilmu membezakan di antara orang yang tahu dengan orang yang tidak tahu. Firman Allah SWT:

قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ ۗ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُولُو الْأَلْبَابِ

Maksudnya: “Katakanlah lagi (kepadanya): ‘Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?’ Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.”

(Surah al-Zumar: 9)

Para ulama telah bersepakat bahawa ilmu itu terbahagi kepada dua iaitu ilmu fardhu ain yang diwajibkan ke atas setiap Muslim. Keduanya, ilmu fardhu kifayah iaitu jika sebahagian Muslim sudah melaksanakannya, maka gugurlah kewajipan tersebut kepada sebahagian yang lain dalam kawasan yang sama.  Seterusnya, ilmu fardhu ain itu pula adalah perkara-perkara yang berkait rapat dengan kewajipan yang dituntut ke atas setiap insan. Dalam erti kata lain, dia mesti mengetahui dan mempelajarinya seperti ilmu berkaitan akidah, solat, puasa dan seumpamanya yang melibatkan persoalan asas Islam. (Lihat Jami‘ Bayan al-‘Ilm wa Fadhlihi, 1/56).

Oleh itu, apabila seseorang itu pemahaman dan pengetahuan agamanya kurang, lebih-lebih lagi berkaitan asas Islam yang wajib diketahuinya, maka kebiasaannya dia akan mudah terjebak ke dalam perbuatan dosa atau perkara yang dilarang dalam agama kerana kejahilannya dalam perkara tersebut.

Selain itu, boleh jadi seseorang yang melakukan dosa  dan maksiat seperti membuka tudung atau mendedahkan aurat secara terang-terangan ini, mereka mengetahui akan larangan perbuatan tersebut dalam agama, akan tetapi mereka jahil akan akibat dan hukumannya kelak disebabkan oleh perbuatan mereka itu. Justeru, ilmu agama dan pemahamannya yang sebenar sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak memainkan peranan penting dalam hal ini. Ilmu bukan sahaja menjadi wasilah bagi seseorang untuk mendapat pemahaman yang sebenar dalam beragama dan beramal sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak, bahkan ia juga mencegah seseorang Muslim itu daripada terjebak untuk melakukan perbuatan dosa dan maksiat yang jelas ditegah dalam agama.

Hal ini kerana ilmu agama yang terdiri daripada perkara-perkara asas dalam Islam seperti ilmu berkaitan akidah, ibadah dan juga akhlak, sebenarnya adalah panduan kepada amal perbuatan. Ia merupakan kayu pengukur yang mampu membezakan di antara kebenaran dengan kepalsuan, begitu juga di antara kebenaran dengan kebatilan. Bukan itu sahaja, ilmu agama juga merupakan penawar dalam hidup setiap manusia. Tanpa ilmu, seseorang manusia itu amat sukar untuk merawat penyakit yang dialami terutamanya penyakit-penyakit batin, yang berada dalam diri dan hidup manusia itu sendiri. Rasulullah SAW menyifatkan menuntut dan mendalami ilmu agama sebagai kebaikan yang tidak ada bandingannya kepada seseorang manusia. Terdapat riwayat daripada Mu‘awiyah R.A yang mengatakan bahawa beliau mendengar Nabi SAW bersabda:

مَنْ يُرِدِ اللهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ

Maksudnya: Sesiapa yang Allah SWT inginkan kebaikan untuknya, maka akan diberikan kepadanya kefahaman yang mendalam dalam urusan agama.”

Riwayat al-Bukhari (71) dan Muslim (1037)

Justeru, dalam bahasa mudahnya, semakin kuat kefahaman dan amalan seseorang dalam ilmu-ilmu agama, maka akan semakin dekatlah dia dengan pencipta-Nya dan seterusnya menjadikan dirinya semakin sukar untuk terjerumus ke dalam permainan syaitan yang sentiasa memperdayakannya. Sebaliknya semakin jahil seseorang itu dalam ilmu-ilmu agama, maka semakin mudahlah dia menjadi bahan permainan syaitan dan seterusnya terjerumus dalam perkara-perkara maksiat. Moga kita dijauhi daripada perkara ini.

Kedua: Hilangnya perasaan takut kepada Allah SWT dan kemurkaan-Nya

Di antara perkara yang mencegah manusia daripada menyekutukan Allah SWT dan menjauhkannya daripada melakukan dosa dan maksiat ialah perasaan takut kepada Allah SWT dan balasan-Nya, di samping perasaan takut juga terhadap kemurkaan-Nya. Allah SWT berfirman:

فَلْيَحْذَرِ الَّذِينَ يُخَالِفُونَ عَنْ أَمْرِهِ أَن تُصِيبَهُمْ فِتْنَةٌ أَوْ يُصِيبَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Maksudnya:Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya, beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

(Surah al-Nur: 63)

Perbuatan syirik, dosa dan maksiat yang dilakukan akan memberikan kesan buruk dalam kehidupan pelakunya seperti dijauhkan daripada rahmat-Nya, ilmu dan rezeki, jauh daripada Allah SWT dan ketaatan kepada-Nya, mengalami kesukaran hidup, menggelapkan hati, mencetuskan perbuatan maksiat yang lain dan sukar menjauhi lingkungannya, merosakkan akal, menganggap perbuatan maksiat sebagai perkara biasa, dan dosa-dosa itu akan berbekas di dalam hatinya sehingga dia menjadi orang yang lalai. Apatah lagi dikhuatiri perbuatannya itu akan menjerumuskannya ke dalam kesyirikan dan kekufuran. Allah SWT berfirman:

كَلَّا ۖ بَلْ ۜ رَانَ عَلَىٰ قُلُوبِهِم مَّا كَانُوا يَكْسِبُونَ

Maksudnya:Sebenarnya! (Ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan.”

(Surah al-Mutaffifin: 14)

Justeru, jelaslah bahawa seseorang yang mudah untuk melakukan perbuatan syirik, dosa dan maksiat sebenarnya kerana perasaan takut mereka kepada Allah dan kemurkaan-Nya itu sudah hilang atau lenyap dalam hati sanubari mereka. Hal ini adalah disebabkan oleh kekotoran dosa, maksiat dan kekufuran yang dilakukan itu, telah menyelaputi hati mereka sehingga ia meninggalkan bekas dan kesan, lalu mengakibatkan sinar keimanan dan perasaan takut kepada-Nya itu pun hilang.

Akhirnya, kebaikan tidak lagi dapat menyentuh hati-hati mereka, sebaliknya mereka semakin mudah melakukan dosa dan perbuatan maksiat. Bukan itu sahaja, apabila terlanjur melakukan dosa dan maksiat, mereka tidak lagi menyesali perbuatan mereka itu, malah berbangga pula dengannya. Moga kita dijauhi daripada perkara ini.

Ketiga: Hilangnya perasaan malu

Secara umumnya, perasaan malu termasuk dalam salah satu cabang dalam iman. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الإِيمَانُ بِضْعٌ وَسِتُّونَ شُعْبَةً، وَالحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنَ الإِيمَانِ

Maksudnya:Iman mempunyai lebih daripada 60 cabang dan malu itu merupakan salah satu cabang daripada iman.”

Riwayat al-Bukhari (9)

Selain itu, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كُلُّ أُمَّتِي مُعَافًى إِلَّا الـمُجَاهِرِينَ، وَإِنَّ مِنَ المُجَاهَرَةِ أَنْ يَعْمَلَ الرَّجُلُ بِاللَّيْلِ عَمَلًا، ثُمَّ يُصْبِحَ وَقَدْ سَتَرَهُ اللَّهُ عَلَيْهِ، فَيَقُولَ: يَا فُلاَنُ، عَمِلْتُ البَارِحَةَ كَذَا وَكَذَا، وَقَدْ بَاتَ يَسْتُرُهُ رَبُّهُ، وَيُصْبِحُ يَكْشِفُ سِتْرَ اللَّهِ عَنْهُ

Maksudnya:Setiap umatku dimaafkan kecuali mereka yang menyatakan secara terang-terangan (dosa-dosa yang dilakukannya). Sesungguhnya mereka yang termasuk dalam menyatakan secara terang (dosa-dosa yang dilakukannya) adalah seseorang mengerjakan suatu perbuatan di malam hari, kemudian di pagi harinya (dia menyebarnya), sedangkan Allah telah menutupi (dosa-dosanya), maka dia berkata: ‘Wahai fulan, semalam aku mengerjakan ini dan ini,’ padahal dia menghadapi malam itu dan Allah telah menutupinya, tetapi pada pagi hari, dia membuka apa yang telah ditutup Allah tentangnya.”

Riwayat al-Bukhari (6069)

Menurut Mulla ‘Ali al-Qari, perkataan Mu‘afa “مُعَافًى” bermaksud Allah SWT memberikan seseorang itu kesejahteraan dan keselamatan daripada perkara yang tidak disukai. Kemudian, beliau menukilkan pendapat al-Tibi yang menyatakan, pendapat yang lebih kuat ialah maknanya,  semua umatku ditinggalkan (terlepas) daripada umpatan melainkan golongan yang melakukan maksiat secara terang-terangan. Ini sebagaimana yang disebutkan: “Sesiapa yang mencabut jilbab malu (daripada dirinya), maka tidak dianggap ghibah (ucapan orang lain) buat dirinya.” (Lihat Mirqah al-Mafatih,7/3034).

Perbuatan dosa dan maksiat yang berterusan akan menghilangkan perasaan malu, sedangkan perasaan malu itu sendiri dapat mencegah seseorang daripada melakukan perbuatan dosa atau perkara yang buruk. Dalam erti kata sebenarnya, malu merupakan perasaan yang mendesak seseorang supaya menghindari segala perkara yang keji, dan menggesa supaya dilakukan perkara-perkara yang baik lagi terpuji. Desakan dan gesaan itu pula sudah pasti datangnya daripada jiwa yang hidup dan sedar akan pengawasan Allah SWT terhadap setiap tingkah laku dan perbuatannya yang dilakukan. Dengan yang demikian, terpeliharalah zahir dan batin seseorang daripada segala unsur dan perkara yang menyebabkan kemurkaan Allah SWT.

Justeru, dapat difahami bahawa seseorang yang mudah untuk melakukan dosa atau perbuatan buruk itu sebenarnya adalah kerana sifat malu tersebut telah dicabut daripada dirinya. Lalu mengakibatkan dia tidak lagi merasa bersalah mahupun malu atas dosa yang dilakukannya. Perkara ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Mas‘ud ‘Uqbah bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ مِمَّا أَدْرَكَ النَّاسُ مِنْ كَلاَمِ النُّبُوَّةِ، إِذَا لَمْ تَسْتَحْيِ فَاصْنَعْ مَا شِئْتَ

Maksudnya:Sesungguhnya antara perkara yang didapati oleh orang ramai daripada ucapan-ucapan kenabian, (adalah), ‘Apabila engkau tidak merasa malu maka lakukanlah apa yang engkau mahu.’

Riwayat al-Bukhari (3483)

Keempat: Angkuh, sombong lagi takabbur

Sikap sombong merupakan satu sikap yang amat dilarang keras dalam Islam. Firman Allah SWT di dalam al-Quran:

وَلَا تَمْشِ فِي الأرْضِ مَرَحًا إِنَّكَ لَنْ تَخرِقَ الأَرْضَ وَلَنْ تَبْلُغَ الْجِبَالَ طُولًا

Maksudnya:Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang.

(Surah al-Isra’: 37)

Daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ قَالَ رَجُلٌ إِنَّ الرَّجُلَ يُحِبُّ أَنْ يَكُونَ ثَوْبُهُ حَسَنًا وَنَعْلُهُ حَسَنَةً قَالَ إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ وَغَمْطُ النَّاسِ

Maksudnya: “Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya ada sebesar zarah perasaan sombong. Seorang lelaki bertanya: ‘Sesungguhnya seseorang lelaki menyukai apabila baju dan seliparnya bagus (adakah ini termasuk kesombongan)?’ Baginda SAW menjawab: ‘Sesungguhnya Allah itu indah, Dia menyukai yang indah. Kesombongan itu adalah menolak kebenaran dan memandang rendah terhadap manusia.’

Riwayat Muslim (91)

Imam al-Nawawi berkata, “Hadith ini menunjukkan larangan daripada sifat sombong iaitu menyombongkan diri kepada manusia, merendahkan mereka, serta menolak kebenaran. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 2/91)

Hal ini kerana hanya Allah SWT sahaja yang berhak untuk bersifat dengan sifat al-Mutakabbir. Firman Allah SWT:

هُوَ اللَّـهُ الَّذِي لَا إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ الْمَلِكُ الْقُدُّوسُ السَّلَامُ الْمُؤْمِنُ الْمُهَيْمِنُ الْعَزِيزُ الْجَبَّارُ الْمُتَكَبِّرُ ۚ

Maksudnya:Dia-lah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia; Yang Menguasai (sekalian alam); Yang Maha Suci; Yang Maha Selamat Sejahtera (dari segala kekurangan); Yang Maha Melimpahkan Keamanan; Yang Maha Pengawal serta Pengawas; Yang Maha Kuasa; Yang Maha Kuat (menundukkan segala-galanya); Yang Melengkapi segala Kebesaran-Nya.

(Surah al-Hasyr: 23)

Selain itu, kesombongan dan takabbur juga merupakan sebab manusia berpaling daripada keimanan serta berterusan dalam perkara dosa dan maksiat. Hal ini kerana orang yang sombong lagi takabbur tidak mampu untuk melihat kebesaran Allah SWT dan memahami tanda-tanda kekuasaan-Nya, berdasarkan dalil-dalil yang pasti. Lebih-lebih lagi, kesombongan itu telah mengaburi dan menutupi kedua matanya daripada kebenaran sekalipun ia jelas terpampang di hadapan mereka. Allah SWT berfirman:

سَأَصْرِفُ عَنْ آيَاتِيَ الَّذِينَ يَتَكَبَّرُونَ فِي الْأَرْضِ بِغَيْرِ الْحَقِّ وَإِن يَرَوْا كُلَّ آيَةٍ لَّا يُؤْمِنُوا بِهَا وَإِن يَرَوْا سَبِيلَ الرُّشْدِ لَا يَتَّخِذُوهُ سَبِيلًا وَإِن يَرَوْا سَبِيلَ الْغَيِّ يَتَّخِذُوهُ سَبِيلًا ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ كَذَّبُوا بِآيَاتِنَا وَكَانُوا عَنْهَا غَافِلِينَ

Maksudnya: Aku akan memalingkan (hati) orang-orang yang sombong takbur di muka bumi dengan tiada alasan yang benar dari (memahami) ayat-ayat-Ku (yang menunjukkan kekuasaan-Ku); dan mereka (yang bersifat demikian) jika mereka melihat sebarang keterangan (bukti), mereka tidak beriman kepadanya, dan jika mereka melihat jalan yang (membawa kepada) hidayah petunjuk, mereka tidak mengambilnya sebagai jalan yang dilalui. Dan sebaliknya jika mereka melihat jalan kesesatan, mereka terus mengambilnya sebagai jalan yang dilalui. Yang demikian itu, kerana mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka sentiasa lalai daripadanya.

(Surah al-A‘raf: 146)

Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat di atas menyebutkan, maksudnya ialah Allah SWT menghalang mereka daripada memahami hujah-hujah dan tanda-tanda yang menunjukkan kepada kebesaran-Nya, memahami syariat dan hukum-hakam-Nya, serta hati-hati orang yang takabbur itu daripada ketaatan kepada-Nya. Mereka juga berlagak sombong kepada orang lain tanpa sebarang alasan yang benar, maka sebagaimana mereka bersifat sedemikian, Allah SWT menghinakan mereka dengan kebodohan. (Lihat Tafsir Ibn Kathir,  3/426).

Justeru, jelaslah bahawa di antara sebab perbuatan syirik, dosa dan maksiat adalah kerana keangkuhan dan kesombongan pelakunya sendiri daripada menerima kebenaran sekalipun ia sudah jelas terpampang di hadapan mereka. Akibatnya, Allah SWT menghalang mereka daripada mendapat hidayah dan memahami petunjuk tersebut — disebabkan oleh keangkuhan dan kesombongan mereka sendiri — lalu terjerumuslah mereka ke dalam lembah kebinasaan kerana perbuatan mereka sendiri.

Kelima: Kebebasan dan hak asasi

Begitu juga perbuatan melakukan maksiat dengan anggapan ia adalah kebebasan dan hak asasi mutlak seseorang individu. Sedangkan Islam tidak pernah melarang kebebasan dan hak asasi manusia, namun ia terikat tertakluk kepada kedudukan manusia sebagai makhluk dan hamba Allah SWT. Ia bertepatan dengan fitrah kemanusiaan yang telah diciptakan oleh Allah SWT di dalam diri setiap manusia.

فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًا ۚ فِطْرَتَ اللَّـهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا ۚ لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّـهِ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ

Maksudnya: “(Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah agama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) fitrah (ugama) Allah, iaitu agama yang Dia fitrahkan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”

(Surah al-Rum: 30)

Dalam hal ini, hak asasi manusia menurut perspektif Islam tidak lain bermaksud al-hurriyyah al-fitriyyah iaitu kebebasan manusia menurut fitrah. Sebagaimana kata al-Buti, kebebasan menurut fitrah sekali-kali tidak akan bercanggah dengan sifat perhambaan manusia kepada Allah SWT, bahkan dengan memperhambakan diri kepada Allah SWT, maka ia semakin mengangkat tinggi fitrah kemanusiaan. (Lihat Huriyyah al-Insan fi Zill ‘Ubudiyyatih Lillah, hlm. 119)

Manakala hak asasi manusia menurut worldview Barat adalah berpaksikan fahaman humanisme. Iaitu satu sistem pemikiran atau isme yang memberi penekanan terhadap nilai kemanusiaan dan kebajikannya. Fahaman ini juga menafikan kebergantungan manusia kepada unsur agama dan agama dilihat sebagai suatu yang menyusahkan hidup manusia. Humanisme dengan makna dan pendekatan atheism sebagaimana yang difahami hari ini merupakan cetusan idea tokoh komunisme; Karl Marx. Ini diakui oleh dua orang tokoh yang banyak membincang dan mengkaji latar belakang fahaman ini iaitu Bruno Baucer dan Ludwig Feuerbach. Menurut Karl Marx, humanisme diperkenalkan bertujuan untuk menafikan kewujudan dan kekuasaan Tuhan seterusnya memisahkan manusia daripada agama. Malahan, Marx dengan berani telah menegaskan bahawa manusia adalah pencipta agama dan bukan agama yang mencipta manusia. (Lihat Encyclopedia of Ethics, 2/800-802)

Justeru, dapat difahami bahawa hak asasi manusia menurut Islam merupakan kebebasan manusia menurut fitrah berpandukan wahyu Allah SWT, manakala hak asasi manusia menurut Barat merupakan perjuangan menuntut kebebasan mutlak bagi setiap manusia tanpa berpandukan wahyu dan nilai-nilai agama.

Oleh itu, punca mengapa terjadinya perkara begini adalah kerana mereka terlalu mengikut kebebasan dan hak asasi manusia menurut barat serta mengikut hawa nafsu tanpa mempedulikan panduan wahyu dan nilai-nilai agama dalam kehidupan. Sekiranya mereka menjadikan hak asasi manusia menurut Islam dan panduan wahyu, pasti mereka tidak akan melakukan sesuatu perkara yang boleh menjatuhkan maruah sendiri, apatah lagi yang bercanggah dengan syariat Islam.

Keenam: Agenda musuh Islam

Tidak dapat disangkal lagi, Islam adalah agama yang benar serta satu-satunya agama yang diredhai oleh Allah SWT. Begitu juga ia adalah hak yang menjamin kesejahteraan dan keselamatan manusia di dunia dan akhirat.  Firman Allah SWT:

إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ ۗ وَمَا اخْتَلَفَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ إِلَّا مِن بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْعِلْمُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ ۗ وَمَن يَكْفُرْ بِآيَاتِ اللَّهِ فَإِنَّ اللَّهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ

Maksudnya: Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisab-Nya.”

(Surah Ali ‘Imran: 19)

Sudah pun menjadi lumrah, perkara yang benar selalunya akan mendapat cabaran besar untuk dilaksanakan. Justeru itu, pastinya bagi orang yang beriman yang menjadikan agama Islam ini sebagai agama dan panduan mereka akan sentiasa menghadapi cabaran dan tentangan daripada musuh-musuh Islam, dalam usaha mereka untuk menyekat, memperdaya dan melemahkan keimanan mereka terhadap janji-janji Allah dan rasul-Nya. Ini dijelaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:

يُرِيدُونَ أَن يُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَيَأْبَى اللَّهُ إِلَّا أَن يُتِمَّ نُورَهُ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ

Maksudnya:Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).”

(Surah al-Taubah: 32)

Musuh-musuh Islam sejak zaman berzaman telah berusaha untuk mengekang dan melenyapkan agama Allah ini, bermula dari zaman Nabi Adam A.S sehinggalah kepada utusan Allah SWT yang terakhir iaitu Nabi Muhammad SAW. Bukan itu sahaja, bahkan usaha-usaha itu tidak pernah berhenti malah terus berkembang sehingga zaman ini, melalui pendekatan mereka yang jauh lebih maju dan terancang selari dengan kemajuan zaman. Itulah usaha jahat mereka dan ketahuilah bahawa mereka tidak pernah berputus asa daripada perkara tersebut sehingga hari kiamat. Firman Allah SWT:

وَدَّ كَثِيرٌ مِّنْ أَهْلِ الْكِتَابِ لَوْ يَرُدُّونَكُم مِّن بَعْدِ إِيمَانِكُمْ كُفَّارًا حَسَدًا مِّنْ عِندِ أَنفُسِهِم مِّن بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمُ الْحَقُّ ۖ

Maksudnya: Banyak di antara Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad SAW).

(Surah al-Baqarah: 109)

Ketujuh: Putus Asa dan Kecewa Terhadap Agama

Seseorang yang berputus asa atau kecewa yang melampau, akan terbit daripada mulutnya rasa tidak puas hati dan cuba menyalahkan takdir dan tuhan. Hal ini dapat diketahui melalui percakapannya. begitu juga sifat amarahnya yang dilepaskan sehingga terkeluar kalimat seolah-olah membawa kepada kekufuran dan ketidak percayaan kepada tuhan. ini antara tanda putus asa seseorang itu.

Dalam menjalani kehidupan seharian yang penuh dengan dugaan, cabaran dan rintangan, kita sebagai orang yang beriman, adalah dituntut untuk bersangka baik, berfikiran positif, dan tidak mudah berputus asa dengan rahmat Allah SWT. Hal ini terutamanya apabila kita menghadapi masalah atau berdepan dengan situasi yang sukar atau berada dalam keadaan yang kurang menyenangkan.

Jika ditinjau, terdapat beberapa nas al-Quran dan hadith yang menegah seseorang itu berputus asa daripada rahmat Allah, sebaliknya menyuruh supaya sentiasa meletakkan harapan dan pergantungan kepada Allah SWT.

Antaranya, firman Allah SWT:

وَلَا تَيْأَسُوا مِن رَّوْحِ اللَّهِ ۖ إِنَّهُ لَا يَيْأَسُ مِن رَّوْحِ اللَّهِ إِلَّا الْقَوْمُ الْكَافِرُونَ

Maksudnya: Dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir.

(Surah Yusuf: 87)

Al-Tabari menjelaskan: “Yakni Allah berfirman bahawa janganlah seseorang itu berputus asa daripada (mengharapkan) jalan keluar daripada-Nya, rahmat-Nya, dan janganlah dia bertindak memutuskan harapan kepada-Nya, melainkan orang-orang kafir yakni kaum yang membantah kemampuan Allah untuk menciptakan apa yang Dia kehendaki.” (Lihat Jami‘ al-Bayan, 12/232)

Sayyid Qutb pula menyebutkan, orang-orang beriman, yang mempunyai hati yang berhubung mesra dengan Allah dan mempunyai kelegaan dan keselesaan yang dipupuk oleh bayu rahmat Allah, mereka tidak berputus asa daripada rahmat Allah walaupun mereka dikepung oleh kesusahan dan penderitaan. Hal ini kerana orang yang beriman itu sentiasa berada dalam kelegaan dan keselesaan di bawah naungan iman dan sentiasa berada dalam hubungan mesra dengan Allah. Mereka juga sentiasa tenteram disebabkan keyakinan mereka kepada Allah tatkala mereka dilanda kesusahan dan penderitaan yang mencemaskan. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 4/339)

Selain itu, Allah SWT turut berfirman:

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِن رَّحْمَةِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya:Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.’

(Surah al-Zumar: 53)

Mengenai ayat ini, al-Tabari berkata: “Yakni, janganlah berputus asa daripada rahmat Allah. Inilah seperti yang disebut oleh Ibn ‘Abbas R.Anhuma.” (Lihat Jami‘ al-Bayan, 22/398)

Al-Syaukani pula mengatakan bahawa ayat ini menjadi ayat yang paling memberikan harapan dalam al-Quran kerana mengandungi khabar gembira paling besar. Keistimewaan ayat ini, pertamanya, kerana penyandaran hamba kepada Allah SWT sebagai bentuk penghormatan dan khabar gembira. Kemudian diterangkan bahawa sifat mereka adalah gemar melakukan dosa dan maksiat secara berlebihan, namun diikuti dengan larangan berputus asa daripada mendapatkan rahmat bagi mereka. Maka, dapat difahami bahawa larangan beputus asa ini lebih utama (min bab aula) untuk diterapkan kepada pelaku dosa yang tidak secara berlebihan, malah boleh jadi inilah maksud utama daripada ayat ini. (Lihat Fath al-Qadir, 6/295)

Dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman:

وَمَن يَقْنَطُ مِن رَّحْمَةِ رَبِّهِ إِلَّا الضَّالُّونَ

Maksudnya:Dan tiadalah sesiapa yang berputus asa daripada rahmat Tuhannya melainkan orang-orang yang sesat.”

(Surah al-Hijr: 56)

Ini adalah perkataan Nabi Ibrahim AS yang Allah SWT abadikan dalam surah al-Hijr. Al-Syaukani berkata: Lafaz ‘الضَّالُّونَ’ (orang-orang yang sesat) maksudnya adalah orang-orang yang mendustakan, atau orang-orang yang menyimpang daripada jalan yang benar. Nabi Ibrahim menganggap kecilnya peluang untuk mendapat anak kerana usianya yang sudah lanjut, dan Baginda tidaklah berputus asa daripada rahmat Allah. (Lihat Fath al-Qadir, 6/174)

Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili menjelaskan lagi ayat ini dengan mengatakan bahawa: “Dan tidaklah sikap berputus asa daripada rahmat Allah SWT itu melainkan bagi orang-orang yang sesat dan keliru daripada jalan kebenaran.” (Lihat al-Tafsir al-Munir, 7/305)

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, Rasulullah SAW pernah ditanya tentang dosa-dosa besar, lalu Baginda menjawab:

الْكَبَائِرُ : الشِّرْكُ بِاللهِ ، وَالإِياَسُ مِنْ رَوْحِ اللهِ ، وَاْلقُنُوْطُ مِنْ رَحْمَةِ اللهِ

Maksudnya: Dosa besar itu adalah melakukan syirik kepada Allah SWT, bersikap pesimis terhadap kasih sayang Allah dan berputus daripada rahmat-Nya.”

Riwayat al-Bazzar (18) dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (8783). Al-Haithami berkata dalam Majma’ al-Zawa’id (1/104): “Para perawinya adalah thiqah.” Manakala al-Iraqi dalam Takhrij al-Ihya’ (4/22) menyatakan bahawa sanadnya hasan.

Diriwayatkan daripada Ibn Mas’ud R.A, katanya:

أَكْبَرُ الْكَبَائِرِ: الْإِشْرَاكُ بِاللهِ ، وَالْأَمْنُ مِنْ مَكْرِ اللهِ ، وَالْقُنُوطُ مِنْ رَحْمَةِ اللهِ، وَالْيَأْسُ مِنْ رَوْحِ اللهِ

Maksudnya:Dosa yang  paling besar ialah: Syirik kepada Allah, merasa aman daripada makar Allah, berputus asa daripada rahmat Allah yang berhubung dengan menghilangkan kesulitan.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Kabir (8784), ‘Abd al-Razzaq (19701) dan al-Baihaqi dalam Syu‘ab al-Iman (1019). Dinilai hasan oleh pengarang al-Silsilah al-Sahihah.

Justeru, daripada nas-nas yang dinyatakan di atas, jelas menunjukkan tegahan berputus asa daripada mengharapkan jalan keluar daripada Allah SWT serta rahmat-Nya. Sikap orang-orang yang beriman adalah tidak berputus asa daripada rahmat Allah meskipun mereka dikepung oleh kesusahan dan penderitaan yang dihadapi.

Fatwa-fatwa Ulama Terhadap Penghinaan Islam

Syeikh ‘Abd al-‘Aziz bin Baz, Mantan Mufti Besar Arab Saudi

Menghina agama adalah salah satu dosa yang paling besar dan juga merupakan salah satu kejahatan yang paling besar. Begitu juga dengan menghina Tuhan. Penghinaan kepada agama dan Allah adalah antara yang paling besar membatalkan Islam dan menjadi punca murtadnya seseorang itu daripada Islam dan hendaklah dia diminta untuk bertaubat. Jika dia tidak bertaubat, maka dia boleh dihukum bunuh oleh pihak pemerintah melalui mahkamah syar‘iyyah di negeri yang dia berada, disebabkan oleh kemurtadannya itu. Bahkan sebahagian ulama berpendapat, dia tidak boleh diminta untuk bertaubat, bahkan hendaklah dihukum bunuh. Hal ini kerana kesalahannya adalah sangat besar. Akan tetapi pendapat yang lebih kuat ialah dia hendaklah diminta untuk bertaubat.

Semoga Allah akan memberikan hidayah dan petunjuk, lalu menjadikannya berpegang pada kebenaran. Akan tetapi tidak ada halangan untuknya dikenakan hukuman ta‘zir. Dia boleh dikenakan hukuman ta‘zir dengan disebat dan dipenjara supaya dia tidak kembali melakukan perbuatan menghina itu lagi. Inilah pendapat yang tepat dan kuat yang dikatakan oleh sekumpulan ulama, iaitu dengan menjatuhkan hukuman ta‘zir kepadanya, sekalipun kita telah memintanya untuk bertaubat dan menerima taubatnya itu, tetapi dia dikenakan hukuman ta‘zir atas kesalahan jenayahnya yang besar ini. Kita memohon kesejahteraan kepada Allah.

Sebahagian ulama yang lain pula berpendapat, dia tidak boleh diminta untuk bertaubat, bahkan sebaliknya dia hendaklah dihukum bunuh dalam apa jua keadaan, dan pendapat ini juga adalah kuat. Akan tetapi memintanya untuk bertaubat adalah lebih sesuai  dan utama berdasarkan situasi pada hari ini Insya-Allah, bersama tindakan undang-undang yang sesuai dan penjara yang sewajarnya supaya dia tidak kembali melakukan perbuatan yang mungkar ini. Begitu juga sekiranya dia menghina al-Quran atau menghina Rasulullah SAW, hendaklah dia diminta untuk bertaubat, jika dia bertaubat (maka kita menerima taubatnya itu dan dia dikenakan hukuman ta‘zir yang sewajarnya, dan jika dia enggan untuk bertaubat maka dia akan dihukum bunuh kerana telah menghina agama, menghina Rasulullah SAW dan menghina Tuhan (yakni Allah SWT), yang termasuk dalam perkara yang boleh membatalkan Islam. Begitu juga dengan mempermainkan atau meperlekehkan Allah, Rasul-Nya, syurga-Nya, neraka-Nya atau perintah-perintah Allah SWT seperti solat dan zakat. Perbuatan mengejek dan memperlekehkan perkara-perkara seperti ini juga termasuk dalam perkara yang boleh membatalkan keislaman seseorang. (Lihat Majmu‘ Fatawa, 6/387).[12]

Syeikh Nuh Ali Salman al-Qudhah, Mantan Mufti Am Jordan – Da’irah al-Ifta’ al-Urduniyyah

Sesiapa yang menghina agama Islam, maka dia telah kufur. Dia hendaklah mengucapkan dua kalimah syahadah serta memohon keampunan kepada Allah SWT atas apa yang dia lakukan, jujur ​​dalam taubatnya, dan memperbanyakkan amalan soleh untuk menghapuskan kesalahan ini. Jika dia sudah berkahwin, maka ketahuilah bahawa dengan murtad akan menyebabkan akad nikahnya terbatal, jika dia kembali kepada Islam dan isterinya dalam tempoh iddah, maka dia telah rujuk kepadanya tanpa memerlukan akad yang baru, dan jika dia tidak kembali sehingga tamat iddahnya, maka dia tidak boleh merujuk kembali kepada isterinya kecuali dengan akad yang baru, dan hal ini tidak mengurangi jumlah talak.

Begitu juga hukumnya jika wanita itu yang menghina agama Islam, maka akad nikah dengan suaminya adalah terbatal jika dia telah berkahwin. Sekiranya dia kembali kepada Islam dan ketika itu dia masih dalam iddah, maka pernikahannya boleh diteruskan, tetapi sekiranya dia tidak kembali kepada Islam sehingga tamat tempoh iddahnya, maka dia tidak boleh kembali kepada suaminya kecuali dengan akad yang baru. Sekiranya salah seorang daripada keduanya mencela agama dan belum melakukan persetubuhan, maka tidak ada iddah bagi isterinya dan mereka tidak boleh kembali bersama sebagai suami isteri kecuali dengan akad yang baru. Sekiranya mereka bersama juga tanpa akad yang baru, maka ia tidak mengikut syariat yakni dikira termasuk dalam zina.[13]

Syeikh Muhsin Makmun, Dar al-Ifta’ al-Misriyah

Penghinaan seorang Muslim terhadap agama adalah disebabkan oleh lemahnya iman, maka ia adalah diharamkan (dilarang) dalam syariat dan haram bagi seseorang Muslim yang berakal untuk melakukannya. Akan tetapi kami tidak mengatakan bahawa dia telah jatuh kafir. Dinukilkan daripada kitab al-Dur al-Mukhtar bahawa tidak boleh mengeluarkan fatwa mengenai kekafiran seorang Muslim yang perkataannya itu masih boleh ditakwilkan dengan takwilan yang baik, atau terdapatnya perbezaan pendapat dalam kekufurannya sekalipun dalam perkara itu adalah riwayat yang lemah.

Begitu juga di dalam al-Durar dan lain-lain dinyatakan, jika dalam permasalahan itu terdapatnya aspek-aspek yang mewajibkannya untuk dihukumkan sebagai kafir dan hanya terdapat satu aspek sahaja yang menghalangnya daripada dihukumkan sebagai kafir, maka mufti hendaklah cenderung kepada pendapat yang menghalang daripada dihukumkan sebagai kafir itu. Ibn ‘Abidin menyebutkan, yang dimaksudkan daripada kata-kata mereka itu ialah seseorang itu tidak menjadi kafir disebabkan oleh menghina agama seorang Muslim, yakni tidak menghukumnya sebagai kafir. Hal ini kerana ia masih boleh ditakwilkan iaitu apa yang dimaksudkannya adalah merujuk kepada akhlaknya yang tidak baik dan perlakuannya yang buruk, dan ia bukan hakikat dalam agama Islam, maka janganlah menghukumkannya sebagai kafir ketika itu.[14]

Syor dan Cadangan

Kami akhiri perbincangan ini kepada beberapa poin seperti berikut:

Pertama: Semua pihak hendaklah memainkan peranan mengikut tanggungjawab masing-masing.

  • Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Agama Negeri: Pemerkasaan undang-undang perlu seiring dengan pendidikan dan kefahaman yang dibina dalam kalangan umat Islam. Kita tidak ingin melihat pentadbiran Islam semata-mata sinonim dengan hukuman. Dalam masa yang sama, kita juga tidak ingin melihat pentadbiran Islam terlalu longgar dan tidak nampak ketegasannya. Hal ini kerana pihak kerajaan adalah di antara pembuat dasar dan berkuasa dalam hal tersebut. Ini dapat difahami menerusi maksud ‘mencegah kemungkaran dengan tangan’ yang terdapat dalam hadith:

مَن رَأى مِنكُم مُنكَرَاً فَليُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَستَطعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَستَطعْ فَبِقَلبِه وَذَلِكَ أَضْعَفُ الإيمَانِ

Maksudnya:Sesiapa di antara kamu melihat sesuatu kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya, sekiranya dia tidak mampu hendaklah dengan lisannya, dan sekiranya dia tidak mampu hendaklah dengan hatinya, dan yang demikian itu (mengingkari dengan hati) adalah selemah-lemah iman.

Riwayat Muslim (49) dan Ahmad (11514)

Mengubah kemungkaran dengan tangan sendiri hendaklah dilakukan oleh mereka yang mampu melakukannya, seperti mereka yang memegang jawatan dan badan-badan yang bertanggungjawab dalam hal-hal tersebut — seperti badan kerajaan kerana mereka memegang tampuk pemerintahan dan berkuasa dalam perkara tersebut.

Para pegawai yang terbabit juga perlu dilengkapkan dengan kemahiran dan kemampuan untuk berhujah secara intelektual dalam isu-isu berkaitan salah faham terhadap Islam, termasuk kemahiran berbahasa.

  • Ibu bapa: Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ

Maksudnya: “Setiap bayi yang lahir berada di atas fitrahnya. Lalu ibu bapa-lah yang menjadikan dia Yahudi, Nasrani atau Majusi.”

Riwayat al-Bukhari (1385) dan Muslim (2685)

Ibn Hajar al-Asqalani dalam syarahnya menyebutkan: “Pendapat yang paling masyhur berkenaan maksud fitrah adalah Islam. Ibn Abd al-Barr berkata: ‘Ia adalah suatu yang makruf di sisi kaum salaf umumnya.’ Para ulama telah bersepakat dengan takwilan maksud daripada firman Allah SWT: “(Tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu,” adalah Islam.” (Lihat Fath al-Bari, 3/248).

Justeru, amat penting proses didikan sejak daripada kecil lagi. Benarlah kata pujangga: “Jika ibu bapa lemah mendidik anak di rumah, maka kerajaan akan lemah dan letih mendidik pemuda di jalanan.”

Tidak dapat dinafikan ahli keluarga terutamanya ibu ayah memainkan peranan yang penting dalam membentuk peribadi anak-anak; mengajar mereka akan kewajipan-kewajipan dalam agama, mengingatkan mereka akan batasan-batasannya dan menegur mereka sekiranya mereka membuat kesilapan.

Dalam al-Quran, Allah SWT telah merakamkan kisah Luqman yang telah memberi nasihat kepada anaknya berkenaan beberapa perkara, menerusi ayat 12-19 daripada surah Luqman, dan salah satu daripada nasihat itu adalah mengajak kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran.

Selain itu, Dr. ‘Uwayyad bin Humud al-‘Atawi telah memulakan dalam bukunya, Ya Bunayya! Mau‘izah Luqman libnihi (hlm. 9-12) dengan membahaskan berkenaan pemilihan kalimat dalam al-Quran iaitu Allah SWT menggunakan perkataan (ءاتينا) dalam ayat (وَلَقَدۡ ءَاتَیۡنَا لُقۡمَـٰنَ ٱلۡحِكۡمَةَ), dan bukannya (أعطينا); kerana hikmah merupakan perkara maknawi dan ia tidak dimiliki secara khas oleh sesiapa pun, akan tetapi ia adalah kurniaan daripada Allah kepada siapa yang Dia kehendaki. Selain daripada itu, hikmah juga merupakan himpunan kebaikan seluruhnya sebagaimana firman Allah SWT:

وَمَن یُؤۡتَ ٱلۡحِكۡمَةَ فَقَدۡ أُوتِیَ خَیۡرࣰا كَثِیرࣰاۗ

Maksudnya:Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya dia telah diberikan kebaikan yang banyak.”

(Surah al-Baqarah: 269)

Oleh sebab itu, Allah SWT telah menjadikan hikmah sebagai salah satu sifat buat para rasul dan nabi-Nya.

Termasuk dalam hikmah dan kebijaksanaan dalam mendidik anak-anak di peringkat awal adalah dengan memperbanyakkan pertemuan secara bersemuka antara ibu bapa dan anak-anak mereka. Ini adalah sebagaimana difahami daripada firman Allah SWT:

وَإِذْ قَالَ لُقْمَانُ لِابْنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ

Maksudnya: Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya…

(Surah Luqman: 13)

Jika ayat ini diperhatikan, ia menunjukkan kepada keperluan untuk berdialog dan pertemuan secara bersemuka di antara ibu bapa dan anak-anak. Tujuannya adalah untuk menasihati dan memberikan pesanan buat mereka, dan ia mesti dilakukan dalam suasana yang penuh kasih sayang dan lemah lembut — yakni yang melembutkan hati dan memberi kesan pada jiwa dan bukannya yang boleh melukakan hati dan menyakiti jiwa mereka. Pertemuan secara bersemuka antara anak-anak dan ibu bapa sering kali diabaikan khususnya pada zaman kita, pada hari ini. Pertemuan dan masa khas buat anak-anak meluahkan atau bercerita kepada ibu bapa ataupun bagi ibu bapa untuk bertanyakan perihal anak-anak dianggap sudah tidak lagi penting, yang mana sepatutnya inilah yang sepatutnya dijaga dan diberi perhatian oleh ibu bapa.

  • Guru-guru: Orang yang menunjukkan suatu kebaikan kepada seseorang seperti mengajarkan ilmu, maka dia juga akan memperoleh pahala sepertimana pahala orang yang dia ajarkan. Daripada Abu Mas‘ud Uqbah bin Amir al-Ansari R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ دَلَّ عَلَى خَيْرٍ فَلَهُ مِثْلُ أَجْرِ فَاعِلِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang menunjukkan kepada kebaikan maka dia akan mendapat pahala sepertimana pahala orang yang mengerjakannya.”

Riwayat Muslim (1893)

Imam al-Nawawi dalam menjelaskan hadith ini berkata: “Kelebihan orang yang menunjukkan kepada suatu kebaikan, memberikan perhatian dan membantu orang yang melakukan kebaikan. Pada hadith ini juga terdapat kelebihan mengajarkan ilmu dan kewajiban ibadah terutama kepada orang yang akan mengamalkan ibadah tersebut dari kalangan orang yang rajin beribadah dan selainnya.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 6/370)

Kelebihan yang ada pada para guru ini sangatlah memberi peranan yang besar dalam pendidikan anak bangsa dan masyarakat. Justeru, sudah menjadi tanggungjawab guru untuk mendidik masyarakat dengan menekankan aspek akhlak, adab, dan sivik. Pembentukan akhlak dan pendidikan adab sangat penting dalam masyarakat kita, bukan sahaja untuk mengawal kejadian yang tidak bermoral, tetapi sebagai proses pembentukan akhlak dalam masyarakat ini,, supaya ia boleh menjadikan masyarakat kita hidup dalam keadaan harmoni serta hormat menghormati antara budaya, bangsa dan juga agama.

  • Pendakwah: Para pendakwah perlulah menegur dengan hikmah dan bijaksana. Penyampaian dakwah perlulah dengan tatacara dan adab susila yang terbaik sepertimana yang diajarkan oleh wahyu dan petunjuk daripada Nabi SAW. Allah SWT berfirman:

ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ

Maksudnya: “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik

(Surah Al-Nahl: 125)

Ayat ini menerangkan bahawa dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat itu perlulah dilakukan secara berhikmah. Walaupun berlaku perdebatan dalam mencari kebenaran maka berhujahlah dengan isi-isi yang baik serta disulami dengan adab sopan kerana akhlak yang baik itu menjadi cerminan kepada wajah Islam yang sebenar.

Imam al-Qurtubi di dalam tafsirnya menyebut: Ayat ini menunjukkan suruhan supaya berdakwah kepada agama Allah dan syariat ini dengan cara yang baik dan lembut, tanpa fitnah dan kekerasan. Demikianlah juga orang-orang Islam perlu diberi peringatan sehingga hari kiamat, kerana ia merupakan ketetapan yang tegas terhadap orang-orang yang bermaksiat dala kalangan orang-orang yang mentauhidkan Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 10/200)

  • Jiran tetangga: Agama Islam amat menitikberatkan perkara-perkara berkaitan dengan kejiranan. Hal ini banyak diingatkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW melalui hadith-hadithnya yang menyeru agar berbuat baik kepada jiran tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit. Daripada Abu Syuraih RA, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُحْسِنْ إِلَى جَارِهِ

Maksudnya:Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jirannya.”

Riwayat Muslim (48)

Imam al-Nawawi menukilkan kata-kata daripada al-Qadhi ‘Iyadh bahawa makna hadith ini adalah sesiapa yang beriltizam dengan syariat Islam maka wajib ke atasnya untuk memuliakan atau berlaku baik kepada jiran dan tetamunya. Semua ini menunjukkan akan kepentingan hak berjiran serta galakan memeliharanya. Ini kerana, Allah SWT telah berpesan atau mewasiatkan agar berlaku baik kepada mereka melalui firman-Nya di dalam al-Quran dan juga hadith Nabi SAW. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 2/18)

Justeru, jiran perlulah mengambil prihatin dan cakna terhadap keadaan sekelilingnya. Jikalau terdapat perkara yang jelas bertentangan dengan syara’, maka jiranlah perlu bertindak dengan tindakan yang sewajarnya seperti menegur dengan hikmah, ataupun melaporkan kepada pihak yang berkenaan untuk tindakan lanjut. Hidup berjiran ibarat ‘sakit sama mengaduh, luka sama mengiuk’[15]. Tidak timbul isu “jaga tepi kain” kerana jiran tetangga diibaratkan sebagai adik beradik, saudara terdekat walaupun tidak berasal dari darah daging yang sama. Rasa kebersamaan antara jiran perlu dipupuk untuk mewujudkan sikap ambil peduli demi melahirkan masyarakat prihatin dengan situasi masyarakat setempat dan sentiasa bersedia menegur, memberi nasihat serta melakukan tindakan yang sewajarnya sekiranya terdapat situasi yang menggugat keamanan kawasan kejiranan tersebut.

  • Pengamal media: Media massa sangat memainkan peranan dalam membina pemikiran yang baik dalam kalangan masyarakat. Media massa merupakan medium utama masyarakat memperoleh sumber dan maklumat. Segala bentuk tingkah laku, pemikiran dan budaya sesebuah masyarakat banyak dipengaruhi media massa. Namun ketidakadilan struktur sosial dan media dunia yang memonopoli kepentingan sebelah pihak telah mencetuskan propaganda dan kontroversi yang menyebabkan kecelaruan maklumat berlaku. Media massa merupakan medium yang menerima dan menyampaikan maklumat, perlu dibatasi dengan disiplin ilmu yang kukuh agar maklumat yang tersebar adalah adil dan benar. Oleh itu, agenda dakwah dan Islam haruslah tersusun secara sistematik serta dipergiatkan menerusi media massa untuk membentuk pemahaman yang baik kepada masyarakat

Perkara-perkara yang negatif di dalam media massa perlulah ditapis dengan sebaik-baiknya supaya agenda liberalisme, pluralisme agama dan seumpamanya berjaya dikekang daripada meresapi pemikiran masyarakat kita. Tambahan pula, orang-orang fasiq dengan agenda tertentu yang menguasai media massa cuba untuk menyebarkan ideologi mereka kepada masyarakat melalui isu-isu yang sengaja disensasikan. Justeru, menjadi tanggungjawab mereka yang terlibat dengan media massa dan juga kita untuk menghentikan penyebaran perkara negatif yang terdapat di dalam media massa supaya ia tidak dapat disebarkan dalam masyarakat kita. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”

Ibn Kathir berkata: Allah perintahkan supaya kita thabitkan dahulu perkhabaran orang fasiq sebagai ihtiyat. Ini kerana supaya seseorang tidak berhukum dengan ucapannya menyebabkan dalam keadaan begitu boleh membawa kepada dusta atau tersilap. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 7/370)

Begitu juga sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Hafs bin Asim RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ

Maksudnya: Cukuplah bagi seseorang itu digelar pendusta apabila menceritakan semua yang didengarinya (tanpa tabayyun).

Riwayat Muslim (5)

Hadith ini telah diletakkan pada bab khusus oleh Imam al-Nawawi dengan tajuk: “Larangan terhadap menceritakan semua perkara yang didengari”. Dalam menjelaskan hadith ini, Imam al-Nawawi berkata: Seseorang boleh dikatakan berdusta disebabkan berita yang didengar boleh jadi ditambah-tambah. Adapun makna hadith ini mengandungi peringatan daripada membicarakan setiap yang didengari. Hal ini kerana berita tersebut boleh jadi benar dan boleh jadi ia merupakan berita yang dusta. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 1/75)

Kedua: Kejelasan konsep nasihat-menasihati

Konsep memberi nasihat dan menasihati antara satu sama yang lain merupakan antara tanggungjawab yang penting di dalam agama kita. Firman Allah SWT:

وَالْعَصْرِ ﴿١﴾‏ إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ (2) إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ

Maksudnya:Demi masa (1). Sesungguhnya manusia sentiasa dalam kerugian (2). Melainkan orang yang beriman dan beramal soleh. Juga saling nasihat-menasihati dengan kebenaran dan saling nasihat-menasihati  dengan kesabaran.”

(Surah al-‘Asr: 1-3)

Lafaz “وَتَوَاصَوْا” ialah saling menasihati. Maksud asal perkataan ini ialah meminta daripada orang lain suatu amalan yang diperuntukkan kepadanya disertakan dengan nasihat. Maksud perkataan tersebut dalam ayat ini ialah saling mewasiatkan di antara satu sama lain iaitu saling menasihati. (Lihat Tafsir al-Raghib, hlm. 873).

Seterusnya, Sulaiman al-Asyqar menyatakan, lafaz “وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ” bermaksud saling nasihat-menasihati dengan kebenaran, yang mesti ditegakkan iaitu beriman kepada Allah dan mentauhidkan-Nya, menegakkan syariat-Nya, dan menjauhi larangan-Nya. Manakala lafaz “وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ” pula adalah saling nasihat-menasihati  dengan kesabaran daripada melakukan maksiat kepada Allah SWT, bersabar dalam mengerjakan kewajipan-Nya dan bersabar atas ketetapan-Nya yang menyakitkan. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 821).

Justeru, saling nasihat-menasihati dengan kebenaran dan kesabaran ialah tanggungjawab dakwah yang perlu dipikul oleh umat Islam. Dakwah kekal sehingga hari akhirat kerana pertembungan antara di keimanan dan kekufuran, baik dan buruk, adil dan zalim, hak dan batil akan sentiasa berlaku. Ia merupakan aturan Allah bagi alam ini semenjak Nabi Adam A.S. (Lihat Usul Dakwah wa Turuquha, hlm. 59).

Firman Allah SWT:

وَلَوْلَا دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُم بِبَعْضٍ لَّهُدِّمَتْ صَوَامِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوَاتٌ وَمَسَاجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا اسْمُ اللَّهِ كَثِيرًا

Maksudnya: “Kalaulah bukan kerana Allah menggerakkan hati sebahagian manusia untuk menentang kezaliman yang dibuat oleh sebahagian yang lain, nescaya biara-biara rahib, gereja-gereja Kristian, sinagog-sinagog Yahudi dan masjid-masjid yang disebut nama Allah di dalamnya akan dihancurkan.”

(Surah al-Hajj: 40)

Allah SWT telah mewajibkan tanggungjawab dakwah ke atas hamba-hambanya. Firman Allah SWT:

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Maksudnya:  “Dan hendaklah ada di antara kamu satu golongan yang menyeru kepada kebaikan dan menyuruh manusia berbuat makruf serta melarang mereka daripada segala perkara mungkar. Dan mereka itulah golongan yang berjaya.

(Surah Ali ‘Imran: 104)

Oleh itu, jelaslah bahawa konsep nasihat-menasihati ini adalah sangat penting dalam Islam, lebih-lebih lagi dalam soal amar makruf nahi mungkar.

Ketiga: Menghilangkan sebarang bentuk syubhah dan salah tanggap

Nabi SAW mengajar umatnya menjauhi perkara syubhah sepertimana yang terdapat dalam sebuah hadith, daripada al-Nu‘man bin Basyir berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

الحَلاَلُ بَيِّنٌ، وَالحَرَامُ بَيِّنٌ، وَبَيْنَهُمَا مُشْتَبِهَاتٌ لاَ يَعْلَمُهَا كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى المُشْتَبِهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ وَعِرْضِهِ، وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ: كَرَاعٍ يَرْعَى حَوْلَ الحِمَى، يُوشِكُ أَنْ يُوَاقِعَهُ، أَلاَ وَإِنَّ لِكُلِّ مَلِكٍ حِمًى، أَلاَ إِنَّ حِمَى اللهِ فِي أَرْضِهِ مَحَارِمُهُ، أَلاَ وَإِنَّ فِي الجَسَدِ مُضْغَةً: إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الجَسَدُ كُلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الجَسَدُ كُلُّهُ، أَلاَ وَهِيَ القَلْبُ

Maksudnya:Sesungguhnya yang halal itu jelas, sebagaimana yang haram pun jelas. Di antara keduanya terdapat perkara syubhah yang tidak diketahui oleh kebanyakan orang. Barangsiapa yang menghindarkan diri daripada perkara syubhah, maka dia telah menyelamatkan agama dan kehormatannya. Barangsiapa yang terjerumus dalam perkara syubhah, maka dia seperti seorang penggembala yang menggembala haiwan ternakannya di sekitar tanah larangan yang dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. Ketahuilah, setiap raja memiliki tanah larangan dan tanah larangan Allah di bumi ini ialah perkara-perkara yang diharamkan-Nya. Ketahuilah, sesungguhnya dalam setiap jasad ada seketul daging; apabila ia baik maka seluruh jasad akan menjadi baik, apabila ia rosak maka seluruh jasad akan rosak. Ketahuilah, itulah hati.

Riwayat al-Bukhari (52) dan Muslim dengan sedikit perbezaan lafaz (1599)

Meskipun perkara yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas melalui nas-nas al-Quran dan Sunnah, akan tetapi di antara dua perkara tersebut terletaknya perkara syubhah atau kesamaran yang menjadi keraguan status sama ada ia adalah haram atau halal. Hadith tersebut memberi petunjuk kepada Muslim untuk menjauhi perkara-perkara syubhah kerana dibimbangi akan terjebak ke dalam perkara-perkara yang haram.

Menjauhi perkara-perkara yang syubhah dan samar ini juga sebenarnya adalah bertepatan dengan saranan daripada Rasulullah SAW sendiri. Baginda SAW pernah bersabda:

دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لَا يَرِيبُكَ

Maksudnya:Tinggalkanlah apa yang menjadi keraguan padamu kepada yang tidak meragukan.”

Riwayat al-Tirmizi (2520) dan al-Nasa’i (5727)

Selain itu, Islam juga mengajak manusia supaya membina sesuatu perkara termasuk akidah dan amalan atas keyakinan tanpa syak dan ragu-ragu. Hal ini menjadikan ulama meletak dalam qawaid fiqhiyahnya asas pembinaan hukum dengan yakin bukannya syak waham dan ragu-ragu. Bukan itu sahaja, dengan meninggalkan keraguan menjadikan seseorang itu begitu utuh dan kuat keyakinannya. Justeru, seseorang itu akan boleh menapak ke hadapan untuk mencapai kejayaan yang gemilang dalam hidup mereka. Inilah natijah daripada meninggalkan keraguan.

Begitu juga Firman Allah SWT:

الْحَقُّ مِن رَّبِّكَ ۖ فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ الْمُمْتَرِينَ

Maksudnya:Kebenaran (yang datangnya kepadamu dan disembunyikan oleh kaum Yahudi dan Nasrani) itu (wahai Muhammad), adalah datangnya dari Tuhanmu; oleh itu jangan sekali-kali engkau termasuk dalam golongan orang-orang yang ragu-ragu.

(Surah al-Baqarah: 147)

Ayat ini ditujukan kepada Nabi SAW namun sebagai umatnya kita juga diperintahkan untuk tidak menjadi orang yang ragu-ragu kerana keraguan seringkali membuat jiwa kita mengalami tekanan dan was-was. Maka selayaknya kita mengambil yang yakin dan membuang yang meragukan. Sekali lagi tinggalkan semua yang meragukan baik yang berkenaan dengan perkara dunia mahupun akhirat dan beralihlah pada sesuatu yang menyakinkan dan tidak meragukan.

Penutup

Siri penghinaan demi penghinaan terhadap agama Islam adalah musibah yang perlu kita muhasabah bersama. Ini bukan masanya kita menuding menuding jari dan menyalahkan sesiapa. Semua pihak perlu berganding bahu dan memperkukuh perpaduan sesama umat Islam. Boleh jadi, ia juga satu teguran daripada-Nya agar kita tidak leka dan sedar akan tanggungjawab untuk menjunjung agama-Nya dalam segenap urusan kehidupan.

Kami akhiri perbincangan kali ini dengan beberapa doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”

اللَّهُمَّ أَحْسِنْ عَاقِبَتَنَا فِي الْأُمُورِ كُلِّهَا ، وَأَجِرْنَا مِنْ خِزْيِ الدُّنْيَا وَعَذَابِ الْآخِرَةِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Perelokkanlah kesudahan segala urusan kami, serta lindungilah kami daripada kenistaan hidup di dunia dan seksaan hidup di akhirat.”

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

______________________________

[1] Lihat https://muftiwp.gov.my/artikel/bayan-linnas/1776-bayan-linnas-siri-55-rasulullah-saw-jangan-sekali-kali-menghina-baginda. Diakses pada 25 Julai 2022.

[2] Lihat https://muftiwp.gov.my/artikel/bayan-linnas/3242-bayan-linnas-siri-ke-174-karikatur-dan-penghinaan-terhadap-rasulullah-saw. Diakses pada 25 Julai 2022.

[3] Lihat https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/3208-irsyad-al-fatawa-siri-ke-297-adakah-penghina-rasulullah-saw-halal-darahnya. Diakses pada 25 Julai 2022.

[4] Lihat: https://www.bharian.com.my/dunia/eropah/2021/10/872605/polis-sahkan-tiada-unsur-jenayah-kematian-kartunis-nabi-muhammadhttps://www.utusan.com.my/luar-negara/2021/10/maut-terbakar-kemalangan-kereta-polis-sahkan-tiada-unsur-jenayah-kematian-kartunis-hina-nabi-muhammad/

[5] Lihat https://www.astroawani.com/berita-dunia/india-hadapi-kemarahan-selepas-kenyataan-hina-islam-365013. Diakses pada 25 Julai 2022.

[6] Lihat https://www.bharian.com.my/amp/dunia/asia/2022/06/963227/pegawai-parti-pemerintah-india-hina-nabi-kemarahan-makin-meluas. Diakses pada 25 Julai 2022.

[7] Lihat https://www.bharian.com.my/berita/kes/2020/02/656066/suspek-pijak-al-quran%C2%A0hina-islam-direman-tiga-hari. Diakses pada 22 Julai 2022.

[8] Lihat https://www.sinarharian.com.my/article/62948/GLOBAL/Pensyarah-hina-nabi-al-Quran-dihukum-mati. Diakses pada 22 Julai 2022.

[9] Lihat https://www.bharian.com.my/berita/kes/2019/07/586890/kes-pijak-al-quran-4-remaja-ditahan. Diakses pada 22 Julai 2022.

[10] Lihat https://utusantv.com/2022/07/09/wanita-buka-baju-tudung-di-kelab-komedi-didakwa-hina-agama-islam/. Diakses pada 29 Julai 2022.

[11] Lihat https://www.mstar.com.my/lokal/viral/2022/07/15/viral-foto-perempuan-bertudung-buka-tin-bir-bekas-penuntut-universiti-di-jepun-kongsi-pengalaman-diajak-kongsi-beli-arak. Diakses pada 29 Julai 2022.

[12] Lihat https://binbaz.org.sa/fatwas/7806/حكمسبالدينوالرب . Diakses pada 1 Ogos 2022.

[13] Lihat https://aliftaa.jo/Question.aspx?QuestionId=2606#.Yt9jC3bP3IV. Diakses pada 1 Ogos 2022.

[14] Lihat http://dar-alifta.org/home/viewfatwa?ID=16063

[15] Maksudnya: Sama-sama bertanggungjawab

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *