#153 Main ‘Kutu’ Moden

Soalan

Adakah dibenarkan bermain kutu berdasarkan syara’?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Pada asalnya, bermain kutu dibenarkan selagi mana jauh daripada riba, kezaliman dan unsur-unsur yang haram. Istilah ini di dalam bahasa arab disebut sebagai al-Jum’iyah (الجمعية). Menurut Imam Syihabuddin al-Qalyubi: al-Jum’ah (permainan kutu) terkenal dalam kalangan perempuan dengan setiap orang daripada sekumpulan wanita yang menyertainya membayar dengan kadar yang ditentukan pada setiap bulan. Kemudian ianya dibayar pada setiap orang mengikut gilirannya. Hal ini harus sebagaimana yang dikatakan oleh al-Wali al-Iraqi. [1]

Majlis Hai’ah Kibar Ulama’ menyatakan keputusan mengenai Jum’iyat iaitu permainan kutu pada persidangan mereka kali keempat di Bandar Taif, bertarikh 16-26/2/1410 H:

Majlis Hai’ah Kibar Ulama’ mempertimbangkan permintaan fatwa mengenai al-Jum’iyat yang dikemukakan oleh sebilangan pekerja, guru dan lain-lain kepada Pejabat Penyelidikan Ilmu, Fatwa, Dakwah, dan Bimbingan, dan ianya dirujuk kepada Majlis Hai’ah Kibar Ulama’ mengenai hukum : “Sebilangan pekerja yang kebanyakannya bekerja dalam satu organisasi, sekolah, jabatan, atau lain-lain, bersepakat bahawa setiap seorang daripada mereka membayar sejumlah wang yang sama dengan jumlah yang dibayar oleh orang lain pada setiap akhir bulan, kemudian jumlah keseluruhan yang dibayar pada setiap bulan itu diserahkan kepada salah seorang daripada mereka mengikut gilirannya, dan pada bulan kedua dibayar pula kepada yang lain, dan begitulah seterusnya sehingga masing-masing mendapat sama seperti apa yang diterima daripadanya tanpa ada pertambahan atau pengurangan.

Sebagaimana penyelidikan yang disediakan oleh Syeikh Abdullah bin Sulaiman Al-Mani’ mengenai ketetapan pinjaman yang membawa faedah, kemudian dilakukan perbincangan dan mesyuarat mengenainya, pihak majlis mendapati tidak permasalahan yang menghalang urusan seperti ini, kerana faedah yang berlaku pada penerimanya iaitu pemberi pinjaman tidak mengurangkan sedikitpun daripada wang peminjam, malah ia berlaku pemberi pinjaman dan penerima pinjaman menerima faedah yang sama.  ianya juga adalah untuk kepentingan mereka semua tanpa membahayakan salah seorang daripada mereka atau meningkatkan keuntungan kepada salah seorang daripada mereka. Syariat tidak mengharamkan kepentingan yang tidak memudaratkan sesiapa, malah ia menyatakan kesahihannya“.[2]

Pada asasnya dalam permainan kutu ini, duit yang diperolehi oleh seseorang itu hanyalah duitnya sendiri yang terkumpul pada masa akan datang. Apabila tiba gilirannya, maka sebagai ahli dia akan dapat menggunakannya dengan segera disebabkan bayaran komitmen daripada semua ahli kumpulan. Pada pandangan syara’, ianya dilihat sebagai pinjaman tanpa faedah daripada semua ahli yang menyertainya. Maka, setiap bulan semua ahli yang menyertainya akan membayar pinjaman yang mana duit pinjamannya itu akan kembali kepadanya apabila gilirannya tiba untuk mendapatkan jumlah yang disepakati tersebut.

Sekiranya permainan kutu ini melibatkan pertambahan faedah dan keuntungan seperti dikenakan yuran untuk menyertai permainan ini, maka ianya diharamkan.

Ibn Qudamah menyatakan di dalam al-Mughni: Setiap hutang yang dikenakan syarat tambahan bayaran, maka ianya haram tanpa khilaf. Ibn Munzir menyatakan: Telah disepakati sekiranya pemberi hutang memberikan syarat kepada peminjam dengan tambahan duit ataupun hadiah, maka ia dikategorikan sebagai riba. Hal ini sebagaimana yang telah diriwayatkan daripada Ubai bin Ka’ab, Ibn Abbas dan Ibn Mas’ud bahawa mereka melarang pinjaman yang meminta manfaat dan faedah.[3]

Berdasarkan hal ini, manfaat daripada hutang yang diharamkan ialah manfaat yang dikhususkan kepada pemberi pinjaman. Adapun manfaat kepada peminjam, ia diharuskan. Namun demi memastikannya ianya terjamin dan bebas daripada kezaliman, maka perlu dipastikan semua ahli yang menyertai ini adalah orang yang beramanah dan boleh dipercayai, dikenali dan membuat aqad bertulis untuk kemaslahatan semua. Tanpanya, permainan terdedah kepada penipuan dan gharar. Akad bertulis mengenai hutang ini dinyatakan secara jelas berdasarkan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكْتُبُوهُ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu…[4]

Imam al-Baghawi menyatakan di dalam tafsirnya: Ulama berselisih pendapat tentang kewajipan menulis atau mencatat hutang melalui ayat di atas. Ada sebahagian ulama yang berpendapat bahawa mencatat atau menulis hutang itu adalah wajib. Namun, pendapat oleh majoriti ulama adalah sunat hukumnya dan sekiranya tidak dilakukan tidak mengapa. [5]

Kami berpendapat bahawa permainan kutu sesama kenalan yang amanah dan boleh dipercayai ini diharuskan di dalam syara’. Hal ini kerana ianya hanyalah aktiviti pinjam meminjam dalam jumlah yang terhad dan munasabah serta bertulis tanpa ada isu penindasan dan seumpamanya. Antara hujjah yang kami kemukakan:

Pertama: Sebagaimana kaedah yang digunakan:

أَسْلِفْنِي وَأُسْلِفُك

Maksudnya: “Kamu pinjamkan kepadaku nescaya aku juga akan meminjamkan kepadamu kelak”[6]

Nazih Hammad yang merupakan pengarang kitab Qadhaya Fiqhiyyah Mu’asiroh fi al-Mal wa al-Iqtisad [7] menyatakan, kaedah ini diterima di dalam syara’ sekiranya persepakatan pinjaman antara dua pihak tidak ada faedah dan keuntungan, serta jumlah yang disepakati itu kadarnya adalah sama tanpa ada tambahan, serta tempoh untuk membayarnya juga adalah sama.

Hal ini kerana pinjaman jenis ini yang dijanjikan dengan pinjaman bukanlah dalam perkara pinjaman yang memberikan manfaat dan keuntungan kepada pemberi pinjaman. Hal ini kerana manfaat yang memberikan faedah kepada pemberi pinjaman akan menjadikan ianya riba dan menimbulkan syubhah sebagaimana kaedah yang dinyatakan di dalam hadith yang diriwayatkan dengan sanad yang lemah oleh Abu Talib RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كُلُّ قَرضٍ جَرَّ نفعًا فهو رِبًا

Maksudnya: “Setiap pinjaman yang menghasilkan keuntungan maka itu riba”[8]

  • Kedua: Perbuatan tersebut bukan dalam bentuk faedah yang dilarang.

Majoriti ulama berpendapat bahawa tindakan ini adalah harus di sisi Syariah atas sebab ianya tidak termasuk dalam pinjaman dengan faedah yang ditegah oleh syara’. Jumlah dan tempoh pinjaman juga adalah serupa. Ini menjadikannya tiada sebarang lebihan manfaat yang boleh menjadikannya haram. Manakala syarat untuk memberi pinjam semula tadi, sekalipun dianggap sebagai satu manfaat dan faedah, namun ianya adalah manfaat yang sama kepada dua-dua pihak dan bukan hanya satu pihak yang boleh membawa penindasan.[9]

  • Ketiga: Kezaliman yang berlaku ke atas satu pihak menyebabkan riba diharamkan.

Dalam isu ini tiada sebarang kezaliman berlaku kepada mana-mana pihak kerana kedua-duanya mendapat jumlah, dan tempoh yang sama, cuma di waktu yang berbeza sahaja. Manakala persepakatan dalam pinjaman dibalas dengan pinjaman dengan jumlah dan tempoh sama ini tidak terkandung di dalamnya sebarang kezaliman kepada mana-mana pihak selagi mana tidak dikenakan apa-apa syarat keuntungan di dalamnya.[10]

Ibn Qayyim berkata: “Syariah melarang riba disebabkan kerana kezaliman yang terdapat padanya[11]

Sebagai penutup, kami menyatakan bahawa permainan kutu ataupun Jum’iyat ini adalah diharuskan selagi mana tidak melanggar syarat yang ditetapkan oleh syara’. Kami mengesyorkan beberapa pandangan di dalam permaianan kutu ini:

  • Setiap ahli yang ingin menyertainya mestilah orang yang dikenali, amanah dan juga menepati janji supaya tidak ada kezaliman yang berlaku kepada yang menyertainya di kemudian hari
  • Membuat perjanjian dan akad bertulis
  • Penganjur tidak boleh meletakkan yuran ataupun apa-apa keuntungan daripada hasil permainan kutu ini kerana ianya boleh menjerumuskan ke kancah riba.
  • Tidak dilakukan secara terbuka dan hanya melibatkan kumpulan yang kecil

Namun, kami ingatkan bahawa undang-undang di negara Malaysia melarang permainan kutu ini dan permainan ini salah di sisi undang-undang.  Perbuatan permainan kutu ini telah diperuntukkan di dalam Akta (Larangan) Kumpulan Wang kutu 1971. Menurut Akta 28 Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971, ia ditafsirkan sebagai:

“Kumpulan wang kutu” ertinya rancangan atau perkiraan yang dikenali dengan berbagai-bagai nama sepeti kutu, cheetu, chit fund, hwei, tontine atau sebagainya yang menurutnya peserta-pesertanya membayar yuran berkala atau selainnya kepada suatu kumpulan wang bersama dan kumpulan wang bersama itu dijual atau dibayar kepada peserta-peserta dengan jalan lelong, tender, tawaran, undi atau selainnya dan termasuklah apa-apa rancangan atau perkiraan daripada berbagai-bagai jenis seperti kutu, cheetu, chit fund, hwei atau tontine.”[12]

Sebagai kesimpulan, kami nyatakan bahawa Islam sangat mementingkan keadilan dan melarang kezaliman dalam setiap urusan yang berlaku termasuk di dalam urusan muamalat. Semoga Allah memberikan kita kefahaman di dalam agama ini dan menjauhkan kita daripada terlibat di dalam kancah riba dan kezaliman. Amin

Wallahua`lam.

Bertarikh 2 Disember 2021 M bersamaan 27 Rabiul Akhir 1443 H

 

[1] Lihat Hasyiata Qalyubi wa ‘Umairah ‘ala Syarh al-Mahalli ‘ala Minhaj al-Thalibin, 2/258

[2] Lihat Majallah al-Buhuth al-Islamiah, 27/349-350

[3] Lihat al-Mughni, 6/436

[4] Surah al-Baqarah: 282

[5] Lihat Tafsir al-Baghawi, 1/349

[6] Lihat Mawahibul al-Jalil, 4/395)

[7] Lihat Qadhaya Fiqhiyyah Mu’asiroh fi al-Mal wa al-Iqtisad, hlm. 229

[8] Riwayat al-Dailami di dalam al-Firdaus (4778). Hadith ini dhaif sebagaimana yang dinyatakan di dalam Syarh Fath al-Qadir (7/232). Syeikh Bin Baz di dalam Majmu’ Fatawa (25/256) menyatakan bahawa hadith ini dhaif tetapi maknanya sahih di sisi ahli ilmu. Ibn Hajar al-Asqalani di dalam Lisan al-Mizan (3/128-129) menukilkan bahawa Imam al-Bukhari mengatakan bahawa hadith ini munkar,

[9] Lihat Qadhaya Fiqhiyyah Mu’asiroh fi al-Mal wa al-Iqtisad, hlm. 230

[10] Lihat Qadhaya Fiqhiyyah Mu’asiroh fi Iqtisad wa al-Mal, Nazih Hammad, hlm 231)

[11] Lihat ‘I’lam al-Muwaqqi’ien, 1/386)

[12] Lihat: https://www.ssm.com.my/acts/fscommand/ak0028s0002.htm

[ux_products]

Latest articles

Related articles