Soalan
Tular di media sosial beberapa hari ini bahawa terdapat individu yang mengeluarkan kenyataan bahawa Tuhan itu tidak dapat dilihat dan halus, maka individu tersebut menyimpulkan bahawa tuhan itu makhluk halus. Mohon ulasan daripada Datuk.
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Saya mulakan persoalan ini dengan firman Allah SWT:
لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ ۖ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ
Maksudnya : “…Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (ZatNya, sifat-sifatNya, dan pentadbiranNya) dan Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.”[1]
Imam Ibn Kathir di dalam tafsirnya menyebut: “Iaitu tidak ada bagi Allah yang merupakan Pencipta semua yang berpasangan ini sama seperti sesuatu yang lain kerana Allah adalah satu-satunya tempat bergantung yang tidak ada tandingan bagi-Nya”.[2]
Imam al-Syaukani berkata: “ Sesiapa yang memahami dan merenungi ayat mulia ini dengan sebenar-benarnya pasti dia akan melalui di atas jalan yang putih dan jelas di persimpangan perselisihan manusia dalam masalah sifat-sifat Allah. Lebih baik lagi apabila direnungi makna firman Allah: “Dan Dia Maha mendengar lagi Maha melihat”. Hal ini kerana penetapan ini setelah menafikan sesuatu yang serupa mengandungi keyakinan yang mantap dan menjadikan penawar bagi hati. Wahai pencari kebenaran, peganglah pada hujjah yang jelas dan kuat ini, pasti engkau dapat membenteras pelbagai jenis kebid’ahan.[3]
Syeikh Ahmad bin Mustafa Al-Maraghi menyatakan di dalam tafsirnya : “Iaitu tidak ada bagi Allah yang merupakan Pencipta semua yang berpasangan ini sama seperti sesuatu yang sepadan dengannya. Kerana Dia adalah Maha Esa dan menjadi tumpuan makhluk untuk memohon sebarang hajat. Boleh jadi makna ayat tersebut adalah tiada apa-apa pun yang sama dengan-Nya dalam pentadbiran-Nya yang mana Kudrat-Nya adalah Maha Sempurna. Ilmu-Nya Maha Luas dan kebijaksanan-Nya adalah Maha Lengkap.”[4]
Syeikh al-Sya’rawi pula menyebutkan: Sesungguhnya semua sifat-sifat Allah datang dengan contoh untuk memberikan makna yang hampir sahaja, tetapi bukan dengan tujuan untuk memberikan hakikat makna tersebut, kerana Allah SWT tidak ada sesuatu pun yang sama sepertinya.[5]
Huruf kaf di dalam ayat “لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ” adalah mengukuhkan penghujahan, menyucikan dan menafikan persamaan-Nya dengan mana-mana makhluk dengan penafian yang sempurna. Dalam kaedah Bahasa Arab, kaf di dalam satu-satu perkataan boleh membawa maksud sebagai pengukuh (li al-tawkid) atau persamaan (li al-tashbih)
Jika kaf itu berada bersama-sama kata benda (al-ism) yang berbeza dengan dirinya, contohnya jika dikatakan “Engkau umpama bulan (أنت كالبدر)” maka ia adalah bentuk persamaan. Engkau (manusia) dan bulan adalah dua benda yang berbeza. Maka, kaf di sini berperanan untuk memberi makna “Engkau umpama bulan dari sudut keindahannya.”
Jika kaf itu berada bersama-sama kata benda (al-ism) yang sama dengan dirinya, contohnya seperti ayat al-Qur’an di atas, maka ia adalah satu bentuk pengukuhan. Ka dan mithl pada ayat tersebut adalah perkataan sinonim dan ini berperanan memberi penguat kepada ayat tersebut. Sepertimana yang disebutkan oleh Syeikh Ahmad Jabir Jubran, jikalau dikatakan لَيْسَ مِثْلِهِ شَيْءٌ (tanpa kaf), ia membawa makna penafian penyerupaan yang setara (al-mithl al-mukafi’).[6]
Berdasarkan persoalan di atas, kenyataan yang dinyatakan oleh individu tersebut amatlah berat dan boleh menjejaskan akidahnya serta menjebakkan dirinya ke lembah kesyirikan, apatah lagi sekiranya perbuatan tersebut dilakukan dengan sengaja. Sedangkan perbuatan syirik merupakan dosa yang amat besar disisi Allah SWT. Firman-Nya:
إِنَّ اللَّـهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُشْرِكْ بِاللَّـهِ فَقَدِ افْتَرَىٰ إِثْمًا عَظِيمًا
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.”[7]
Ibn Kathir menyatakan di dalam tafsirnya bahawa ia bermaksud Allah SWT tidak mengampun dosa sesiapa yang bertemu denganNya dalam keadaan melakukan syirik kepadaNya.[8]
Walaupun begitu, Allah SWT mengampunkan dosa orang musyrik apabila dia sempat bertaubat kepada Allah SWT sebelum dia meninggal dunia dan bertemu denganNya dalam keadaan yang beriman.
Perbuatan yang zahirnya menunjukkan bahawa seseorang itu mensyirikkan Allah SWT itu merupakan perbuatan yang berdosa. Walaubagaimanapun ia tidak mengeluarkan seseorang itu daripada Islam secara pasti, kerana masih terdapat keraguan padanya sama ada dia melakukannya dalam keadaan jahil, tidak sedar dan tidak beriktikad seperti yang disangka.
Imam al-Sanusi dalam kitabnya al-Muqaddimat[9] membahagikan syirik kepada enam jenis:
- Syirik istiqlal: Menetapkan adanya dua tuhan atau lebih yang berlainan seperti akidah Majusi seperti Hormazd dan Yazdan (Ahura Mazdan dan Aingra Mainyu)
- Syirik tab’id: Menyatukan tuhan daripada beberapa oknum seperti akidah Triniti agama Kristian.
- Syirik taqrib: Beribadah kepada sesuatu selain daripada Allah SWT dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ianya seperti menyembah malaikat, bulan, bintang, matahari dan lain-lain.
- Syirik taqlid: Beribadah kepada Allah kerana mengikut orang lain sebagaimana yang disebutkan dalam Surah al-Zukhruf ayat 23.
- Syirik asbab: Menyandarkan satu kesan terhadap sebab tertentu yang bersifat adat seperti berpegang bahawa manusia kenyang kerana makan, dan bukan Allah SWT yang mengenyangkannya. Ini seperti syiriknya ahli falsafah dan naturalis
- Syirik aghrad: Beramal kerana selain daripada Allah SWT untuk mendapat pujian dan sanjungan manusia iaitu riak.
Bagi syirik istiqlal, tab’id, taqrib dan taqlid, seseorang itu dikira kufur secara ijmak. Bagi syirik aghrad, ianya dikira maksiat dan tidak kufur secara ijmak. Manakala bagi syirik asbab, ia memerlukan perincian. Jika ianya disandarkan kepada sebab tertentu semata-mata, maka dia dikira kufur secara ijmak. Jika dia meyakini bahawa ianya memberi kesan melalui daya yang dijadikan oleh Allah kepada makhluk, dia dikira fasiq dan ahli bid’ah.
Allah sebagai al-Khaliq
Al-Khaliq berasal dari perkataan khalaqa (خَلَقَ), yang bermaksud mengukur, mencipta, membentuk atau memperhalus. Al-Khaliq juga merupakan kata nama fa’il (فَاعِل) kepada perkataan khalaqa (خَلَقَ) yang menjadikannya kata seimbangnya khaliq (خَالِق) yang membawa maksud “menciptakan sesuatu yang baru”, “menciptakan daripada tidak ada”, “menciptakan tanpa satu contoh terlebih dahulu” atau “menciptakan sesuatu yang baru daripada sesuatu yang telah ada.”
Menurut al-Qamus al-Muhit, “Al-Khaliq” merupakan sifat bagi Allah SWT yang bermaksud, mengadakan sesuatu, ataupun menciptakan sesuatu tanpa ada contoh daripada yang sebelum ini, serta yang menjadikan sesuatu daripada tiada”[10]
Menyatakan Tuhan itu makhluk yang dicipta atau adanya sesuatu yang lain yang mencipta Allah SWT adalah bercanggah dengan sifat al-Khaliq (Pencipta) yang ada pada Allah SWT. Firman Allah SWT:
ﺍﻟﻠَّﻪُ ﺧَﺎﻟِﻖُ ﻛُﻞِّ ﺷَﻲْﺀٍ ۖ ﻭَﻫُﻮَ ﻋَﻠَﻰٰ ﻛُﻞِّ ﺷَﻲْﺀٍ ﻭَﻛِﻴﻞٌ
Maksudnya: “Allah menciptakan segala sesuatu dan Dia memelihara segala sesuatu.”[11]
Firman Allah SWT lagi:
هُوَ اللَّهُ الْخَالِقُ الْبَارِئُ الْمُصَوِّرُ لَهُ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَى يُسَبِّحُ لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ
Maksudnya: “Dia lah Allah, Yang Menciptakan sekalian makhluk; Yang Mengadakan (dari tiada kepada ada); Yang Membentuk rupa (makhluk-makhlukNya menurut yang dikehendakiNya); bagiNyalah nama-nama yang sebaik-baiknya dan semulia-mulianya; bertasbih kepadaNya segala yang ada di langit dan di bumi; dan Dia lah Yang tiada bandingNya, lagi Maha Bijaksana.[12]
Sekiranya individu yang menyebut kenyataan bahawa “tuhan itu makhluk halus” dengan niat untuk menyamakan Allah SWT dengan makhluk, hendaklah dia segera bertaubat kepada Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT merupakan الخَالِقُ (Maha Pencipta) yang menciptakan segala yang ada di alam ini. Manakala semua selain Allah adalah makhluk مَخْلُوق yang Allah sendiri menciptakannya. Maha Suci Allah dari disifatkan sebagai “makhluk halus”.
Allah itu wujud tanpa menyamai sesuatu pun di alam ini sama ada jisim ataupun sifat jisim. Jisim pula terbahagi kepada dua, iaitu jisim kathif dan jisim latif. jisim Kathif pula adalah jisim yang dapat dilihat seperti manusia, binatang, bulan, batu dan lain-lain. Manakala jisim latif adalah jisim yang halus dan tidak dapat dilihat dan dirasai dengan tangan seperti cahaya, elektrik, ruh, malaikat, jin dan seumpamanya. Oleh sebab itu, jin mampu masuk ke badan manusia tanpa dapat dirasai dan mereka masuk ke dalam manusia dan menusukkan sifat was-was dalam hati manusia. Kedua-dua jisim ini sama ada kathif ataupun latif tidak akan sama dengan sesuatupun daripada sifat Allah. Bahkan Allah sebagai al-Khaliq ini lah yang menciptakan jisim kathif dan latif.
Sebagai penutup, saya mengambil peluang untuk menasihati kepada semua yang ingin menyampaikan sebarang perkongsian yang melibatkan agama atau yang melibatkan kesucian Allah SWT, hendaklah berhati-hati dengan setiap patah kata yang disebutkan serta merujuk kepada mereka yang lebih arif dalam urusan ini.
Namun sekiranya perkataan tersebut tidak disengajakan, sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun. Sebagai manusia, sudah pasti akan ada salah silap dalam tindak tanduk dan tutur kata. Inilah hakikat dan lumrah seorang manusia yang penuh dengan kekurangan, kelemahan, dan ketidaksempurnaan. Ingatlah bahawa sebaik-baik pendosa, adalah mereka yang bertaubat kepada Allah SWT.
Ini seperti yang disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dzar Al-Ghifari R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ
Maksudnya: Sesungguhnya Allah mengampunkan ke atas umatku (perbuatan-perbuatan yang dilakukan) secara tersilap, terlupa, dan juga suatu yang dipaksa ke atas mereka.[13]
Begitu juga terdapat sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ
Maksudnya: Kesemua anak Adam itu melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat.[14]
Saya menutup dengan sama-sama kita berdoa dan beristighfar:
اَللَّهُمَّ أَنْتَ رَبُّنَا لاَ إِلَـهَ إِلاَّ أَنْتَ، خَلَقْتَنَا وَنَحْنُ عَبِيْدُكَ، وَنَحْنُ عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْنَا، نَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْنَا، نَبُوْءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيْنَا، وَنَبُوْءُ بِذُنُوْبِنَا، فَاغْفِرْ لَنَا فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ إِلاَّ أَنْتَ
Maksudnya: “Ya Allah, Engkau adalah Tuhan kami. Tidak ada tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau, Engkaulah yang menciptakan kami dan kami adalah hamba-Mu. Kami akan setia pada perjanjian kami pada-Mu dan janji-Mu dengan sedaya upaya kami. Kami berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang kami lakukan. Kami mengakui nikmat-Mu kepada kami dan kami mengakui dosa kami, maka ampunilah kami. Sesungguhnya tiada yang mengampuni dosa kecuali Engkau.”
Wallahua`lam.
Bertarikh 16 Disember 2021 M bersamaan 12 Jamadil Awwal 1443 H
[1] Surah al-Syura: 11
[2] Lihat Tafsir Ibn Kathir, 7/194
[3] Lihat Fath al-Qadir, 4/528.
[4] Lihat Tafsir al-Maraghi, 25/15
[5] Lihat Tafsir al-Sya’rawi, 9/595
[6] Lihat Ta’liqat al-Sunniah ‘ala Matn al-Aqidah al-Tahawiyyah, hlm. 11
[7] Surah al-Nisa: 48
[8] Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 1/86
[9] Lihat al-Nasamat al-Quddusiyyah Syarh al-Muqaddimat al-Sanusiyyah, hlm. 50-55
[10] Lihat al-Qamus al-Muhit, hlm. 380
[11] Surah al-Zumar: 62
[12] Surah al-Hasyr: 24
[13] Riwayat Ibn Majah (2043)
[14] Riwayat al-Tirmidzi (2499), Ibn Majah (4251), dan Ahmad (13049). Imam al-Suyuti di dalam al-Jami’ al-Saghir (2674) menyatakan hadith ini sahih