Sale!
Original price was: RM28.00.Current price is: RM20.00.
Sale!
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
Sale!

Buku Fizikal

Taufan Al-Aqsa

Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM40.00.Current price is: RM30.00.
Sale!
Original price was: RM70.00.Current price is: RM60.00.
Sale!
Original price was: RM310.00.Current price is: RM160.00.

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apa hukum seseorang melakukan solat dengan hanya memakai singlet?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا بَنِي ءَادَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِنْدَ كُلِّ مَسْجِدٍ

Maksudnya: “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadah (atau mengerjakan solat).”[1]

Ibnu Kathir menjelaskan, di dalam ayat ini terdapat makna bahawa sunnah memakai pakaian yang kemas dan sesuai ketika solat, terutama pada hari Jumaat dan hari raya. Begitu juga digalakkan memakai wangi-wangian dan bersiwak kerana ia juga termasuk dalam maksud berhias dan kedua-duanya itu merupakan satu kesempurnaan.[2]

Pada asasnya, menutup aurat adalah merupakan syarat sah solat. Jika aurat terdedah semasa solat maka wajib untuk segera menutupnya. Jika orang yang solat itu lalai dan membiarkan auratnya terbuka tanpa segera ditutup, maka batal solatnya dan hendaklah dimulakan semula. Namun jika dia sempat menutup aurat yang terdedah tadi dengan segera maka solatnya tidak batal dan dia boleh meneruskan solatnya.[3]

Imam al-Syirazi menyebut: “Maka jika terdedah suatu pun daripada jenis aurat, sedangkan dia mampu untuk menutupnya, maka tidak sahlah solat.” Imam al-Nawawi kemudian menjelaskan dengan katanya: Tidak sah solatnya sama ada banyak atau sedikit yang terdedah itu…”[4]

Imam al-Nawawi turut menegaskan dengan katanya: “Menutup aurat ialah syarat sah solat. Jika mana-mana bahagian aurat seseorang yang menunaikan solat terdedah, maka tidak sah solatnya.Tidak kiralah yang terdedah itu sedikit atau banyak. Sama ada lelaki atau perempuan. Sama ada solat bersama orang ramai atau bersendirian. Sama ada solat fardhu atau solat sunat atau solat jenazah atau tawaf atau sujud tilawah mahupun sujud syukur.”[5]

Aurat bagi lelaki di dalam solat adalah bahagian di antara pusat dan lutut. Justeru wajib bagi seseorang lelaki itu menutup bahagian ini dengan pakaian yang bersih dari najis di dalam solat yang didirikan. Sekiranya dibiarkan auratnya terdedah dengan sengaja maka solatnya adalah batal.

Menurut Imam al-Nawawi, wajib menutup aurat dengan sebarang pakaian yang tidak menampakkan warna kulit, dan ia tidak mampu ditutup dengan baju yang jarang. Menutup aurat mencukupi dengan apa jenis pakaian, kulit, kertas atau dedaun yang dikait selagi mana ia tidak menampakkan warna kulit.[6]

Justeru, menutup aurat dengan sempurna adalah termasuk daripada syarat sah solat. Hal ini juga berdasarkan teguran Nabi SAW kepada Jarhad ketika mana pehanya terselak di dalam solat. Kata Nabi SAW:

غَطِّ فَخِذَكَ فَإِنَّهَا مِنْ الْعَوْرَةِ

Maksudnya: “Tutuplah peha mu kerana peha itu aurat.”[7]

Dalam riwayat lain menyebut daripada Aisyah bahawa Nabi SAW bersabda :

لاَ يَقْبَلُ اللَّهُ صَلاَةَ حَائِضٍ إِلاَّ بِخِمَارٍ

Maksudnya: “Allah tidak menerima solat wanita yang haid (iaitu wanita yang telah berlaku) kecuali dengan khimar (penutup kepala).”[8]

Imam al-San’ani menyebut bahawa penafian dengan huruf lam di dalam hadis tersebut adalah penafian yang membawa maksud tidak sahnya dan terbatalnya solat seseorang wanita jika tidak menutup auratnya.[9]

Kadar penutup atau pakaian yang menutup aurat ialah, seperti kata Imam al-Syirazi dalam al-Muhazzab (125/1), “dan wajib penutupan aurat itu dengan suatu yang tidak mensifati warna kulit.” Berkata Syeikh Zainuddin al-Malibari: “(penutupan aurat itu) dengan suatu yang tidak mensifati warna yakni warna kulit (yang boleh dilihat) dalam sebuah majlis percakapan.”[10] Kadar yang boleh dilihat dalam sebuah majlis percakapan ini disyarahkan lagi oleh Syeikh Abu Bakar al-Dimyati sebagai: “Keadaan itu maksudnya jika seseorang memerhatikan orang yang bersolat sambil mendekatkan diri dengan begitu dekat untuk melihat warna kulitnya, maka hal itu tidak memudaratkan (yakni tidak dianggap terbuka aurat).”[11]

Isu Solat Memakai Singlet

Singlet adalah suatu pakaian dalaman yang tidak berlengan dan ia biasanya dipakai oleh orang lelaki. Dalam erti kata lain, seseorang yang menunaikan solat dengan memakai singlet bererti dia solat dalam keadaan memakai baju yang tidak berlengan dan mendedahkan bahagian bahunya.

Berkenaan hal ini, tidak dinafikan bahawa di sana terdapatnya riwayat yang berkaitan. Ini berdasarkan sebuah hadis daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يُصَلِّي أَحَدُكُمْ فِي الثَّوْبِ الْوَاحِدِ، لَيْسَ عَلَى عَاتِقَيْهِ شَىْءٌ

Maksudnya: “Janganlah salah seorang dari kamu solat dengan pakaian yang satu, yang mana tidak ada sesuatu di atas dua bahunya.”[12]

Berdasarkan zahir hadis di atas, terdapatnya larangan ke atas perbuatan solat dalam keadaan bahagian bahu terdedah. Di dalam kaedah usul fiqh mengatakan, bahawa larangan itu membawa erti pengharaman. Justeru, sebahagian para ulama mengatakan bahawa perbuatan tersebut adalah haram.

Ibn Qudamah al-Maqdisi mengatakan: Wajib ke atas seseorang yang solat untuk meletakkan sesuatu daripada pakaian di atas bahunya, sekiranya dia mampu untuk melakukannya. Inilah pendapat Ibn Al-Munzir dan dihikayatkan daripada Abu Ja’far, beliau berpendapat bahawa tidak sah solat bagi sesiapa yang tidak menutup bahunya. Manakala majoriti para fuqaha pula berpendapat: Yang demikian itu tidak wajib, dan ia bukanlah syarat sah solat. Inilah pendapat Imam Malik, dan Imam Al-Syafie, kerana kedua bahu tersebut bukanlah aurat maka ia menyamai baki anggota badan yang lain.[13]

Manakala Imam al-Nawawi di dalam kitabnya al-Minhaj Syarah Sahih Muslim (2/274) apabila mensyarahkan hadis ini beliau berkata: Kata para ulama: Hikmahnya adalah, jika dia memakai baju dan tidak ada sesuatu di atas bahunya, maka tidak selamat daripada terdedah bahagian auratnya, berbeza dengan jika diletakkan pakaian di atas bahu.

Kata beliau lagi: Imam Malik, Imam Abu Hanifah, Imam Al-Syafie serta jumhur berpendapat: Larangan itu menunjukkan kepada makruh tanzih, bukannya kepada pengharaman. Jika seseorang itu solat hanya dengan memakai satu pakaian yang menutup auratnya, tetapi tidak menutup bahagian bahunya maka solatnya dikira sah berserta hukum makruh. Sama ada dia mampu meletakkan sesuatu di atas bahunya ataupun tidak.

Manakala Imam Ahmad dan sebahagian para salaf berpendapat bahawa solatnya tidak sah sekiranya dia mampu meletakkan sesuatu (daripada pakaian) di atas bahunya. Manakala dalam riwayat lain yang juga daripada Imam Ahmad bin Hanbal beliau berpendapat bahawa solatnya adalah sah, akan tetapi berdosa jika dia meninggalkan meletak sesuatu dari pakaian di atas bahunya.

Kesimpulan

Setelah kami meneliti dan menilai isu ini dengan merujuk kepada nas-nas berkaitan berserta pandangan para ulama, kami menyatakan bahawa solat dengan memakai singlet, atau tidak memakai baju yang mendedahkan kedua-dua bahu orang lelaki, hukumnya adalah makruh dan solat tersebut sah. Hayatilah firman Allah SWT:

يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍ

Maksudnya: “Wahai anak-anak Adam, pakailah pakaian yang menutup aurat kami ketika berada di setiap masjid.”[14]

Imam al-Tabari di dalam tafsirnya mengatakan bahawa perkataan ‘خُذُوا زِينَة’ di dalam ayat bererti pakaian yang menutup aurat. Kami berdoa semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Amin.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 5/1/2022 bersamaan 2 Jamadil Akhir 1443H

[1] Surah al-A’aaf: 31

[2] Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/256

[3] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/124 dan al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 206

[4] Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/166

[5] Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/172

[6] Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/171

[7] Riwayat al-Tirmizi (2798) dan beliau menyatakan bahawa hadis ini ialah hadis hasan.

[8] Riwayat Abu Daud (641)

[9] Lihat Subul al-Salam, 14/43

[10] Lihat Fath al-Mu’in, 1/86

[11] Lihat I’anah al-Talibin, 1/134

[12] Riwayat al-Bukhari (359)

[13] Lihat al-Mughni, 1/618

[14] Surah al-A’raf: 31

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *