#199: Solat di Masjid dan Meninggalkan Surau

[ux_products]

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Bagaimana perbuatan seorang yang tidak solat di surau yang terletak berhampiran rumahnya, sebaliknya memilih untuk solat di masjid terletak lebih jauh, lebih kurang 7 km daripada rumahnya? Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّـهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّـهَ

Maksudnya: “Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah.”[1]

Maksud memakmurkan masjid adalah dengan menetapinya untuk melaksanakan ibadah di dalamnya dalam rangka meraih keredhaan-Nya. Antaranya seperti melakukan solat, berzikir kepada Allah SWT dan mempelajari ilmu agama. Juga termasuk maknanya adalah dengan membangunkan masjid, menjaga dan memeliharanya.[2] Seseorang hanya dikatakan mengimarahkan masjid sekiranya dia kerap berulang alik ke masjid.[3]

Selain itu, terdapat kelebihan-kelebihan besar yang tertentu buat mereka yang solat secara berjemaah. Sabda Nabi SAW:

صَلاةُ الجَماعَةِ تَفْضُلُ صَلاةَ الفَذِّ بسَبْعٍ وعِشْرِينَ دَرَجَةً

Maksudnya: “Solat berjemaah itu lebih baik (afdhal) daripada solat secara bersendirian dengan dua puluh tujuh kali ganda.”[4]

Begitu juga, terdapat ganjaran buat mereka yang berjalan (menuju) ke masjid sebagaimana di dalam hadis:

فإنَّ أحَدَكُمْ إذا تَوَضَّأَ فأحْسَنَ، وأَتى المَسْجِدَ، لا يُرِيدُ إلّا الصَّلاةَ، لَمْ يَخْطُ خَطْوَةً إلّا رَفَعَهُ اللَّهُ بها دَرَجَةً، وحَطَّ عنْه خَطِيئَةً، حتّى يَدْخُلَ المَسْجِدَ

Maksudnya: “Jika salah seorang daripada kamu berwuduk lalu memperelokkan wuduknya, kemudian mendatangi masjid dengan tidak ada tujuan lain melainkan untuk solat, maka tidak ada langkah yang dilakukannya melainkan Allah akan mengangkat kedudukannya (bagi setiap langkah tersebut) dan menghapuskan daripadanya dosa-dosa sehinggalah dia masuk ke dalam masjid.”[5]

Syeikh Hasan bin Ahmad al-Kaff telah menyenaraikan beberapa faedah solat berjemaah, antaranya :

  • Bebas dan selamat daripada api neraka
  • Selamat daripada sifat orang Munafik.
  • Solat diterima.
  • Mendapat keampunan daripada dosa.
  • Ganjaran pahala yang besar.
  • Menghilangkan penyakit waswas dan dipelihara daripada syaitan.[6]

 

Isu Solat di Masjid yang Jauh dari Tempat Tinggal

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan seperti berikut:

Pada asasnya, mengerjakan solat di tempat yang mempunyai ramai jemaah dan jauh perjalanan adalah lebih besar ganjarannya. Ini seperti yang dinyatakan di dalam hadis daripada Abi Musa Al-Asya’ri R.A Sabda Nabi SAW:

أَعْظَمُ النَّاسِ أَجْرًا فِي الصَّلاَةِ أَبْعَدُهُمْ فَأَبْعَدُهُمْ مَمْشًى، وَالَّذِي يَنْتَظِرُ الصَّلاَةَ حَتَّى يُصَلِّيَهَا مَعَ الإِمَامِ أَعْظَمُ أَجْرًا مِنَ الَّذِي يُصَلِّي ثُمَّ يَنَامُ

Maksudnya: “Manusia paling besar ganjaran pahalanya di dalam solat adalah yang paling jauh perjalanannya, kemudian yang lebih jauh jaraknya. Dan seseorang yang menunggu solat sehingga melakukannya bersama imam lebih besar pahalanya daripada yang melakukannya (bersendirian) kemudian tidur.”[7]

Imam al-Syaukani dalam mensyarahkan hadis di atas semakin jauh jarak perjalan dari rumahnya ke masjid adalah lebih afdhal berbanding jarak rumah yang berdekatan dengannya.[8]

Begitu juga dengan hadis yang menceritakan tentang kelebihan melakukan solat secara berjemaah. Hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar R.A, sabda Nabi SAW:

صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً

Maksudnya: “Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat bersendirian sebanyak 27 darjat.”[9]

Dalam konteks untuk menentukan keperluan mengimarahkan masjid Imam Al-Syirazi menyebut di dalam kitabnya: “Sekiranya berdekatan dengannya terdapat masjid yang kurang jemaahnya maka lebih baik menghadirinya bertujuan untuk meramaikan jemaah daripada menghadiri ke masjid yang mempunyai ramai jemaah.[10]

Begitu juga Imam Nawawi di dalam kitab beliau mengariskan beberapa panduan sepertimana yang dinukilkan di dalam kitabnya:

Lebih afdhal sekiranya mengimarahkan masjid yang jauh dan ramai jemaahnya berbanding dengan masjid yang berdekatan dan kurang jemaahnya melainkan dalam dua perkara:

  • Sekiranya untuk mendamaikan permusuhan di antara jemaah dengan imam atau sekiranya ia hadir ke masjid maka orang ramai akan hadir dengan keberadaannya. Oleh itu sebaiknya hadir ke masjid yang berdekatan dengannya bertujuan untuk mengimarahkannya.
  • Adapun afdhal hadir ke masjid yang lebih dekat sekiranya masjid yang jauh itu berimamkan orang yang sesat, fasik dan tidak mengambil berat tentang rukun solat.[11]

Begitu juga, Ibnu Qudamah di dalam kitabnya menukilkan berkenaan keperluan untuk menghidupkan masjid atau surau yang lebih memerlukan seperti yang dinyatakan: “Sekiranya sekitar tempatnya atau di tempat yang lain terdapat masjid yang tidak mempunyai jamaah melainkan dengan kehadirannya maka hadirnya ke tempat itu lebih utama. Ini bertujuan mengimarahkan dan mendirikan jamaah di dalamnya.”[12]

Kesimpulan

Berdasarkan kepada persoalan yang diajukan di atas dengan melihat kepada nas dan dalil yang didatangkan seharusnya kita meneliti keadaan dan situasi masjid dan surau tersebut. Ia juga dapat dibahagikan kepada beberapa situasi:

  • Sekiranya surau yang berdekatan dengan rumah itu sudah mempunyai jemaah yang ramai maka afdhal menunaikan solat di masjid.
  • Sekiranya surau yang berdekatan itu tidak mempunyai jemaah yang ramai dan memerlukan kepada pengimarahannya maka sebaiknya menunaikan solat di surau.

Oleh itu sebaik-baiknya kita meraikan kedua-dua tempat dengan menggilirkannya sekiranya surau yang berdekatan itu sudah mempunyai jamaah yang ramai. Ini kerana bagi mendapatkan kelebihan ganjaran pahala melakukan solat di masjid serta dapat mengimarahkan surau yang berdekatan dengannya. Namun sekiranya surau yang berdekatan itu tidak mempunyai jamaah yang ramai maka sebaiknya kita dapat mengimarahkan dan menghidupkannya.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 5/1/2022 bersamaan 2 Jamadil Akhir 1443H

[1] Surah al-Taubah : 18

[2] Lihat Aisar al-Tafasir, 2/66

[3] Lihat al-Tafsir al-Kabir, 5/9

[4] Riwayat al-Bukhari (645)

[5] Riwayat al-Bukhari (477) dan Muslim (649)

[6] Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 289-290

[7] Riwayat al-Bukhari (651)

[8] Lihat Nail Al-Autar, 3/159

[9] Riwayat Muslim (650)

[10] Lihat al-Muhazzab fi Fiqh al-Syafi’i, 1/177

[11] Lihat al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, 4/198

[12] Lihat al-Mughni, 2/132

Latest articles

Related articles