Mukadimah

Dalam menekuni sejarah tokoh-tokoh hebat termasuk para sahabat dan salafus soleh di kalangan tabi’in dan tabi’ tabi’in, saya menemukan banyak contoh-contoh yang unggul. Sebahagiannya saya nyatakan dalam tulisan dan artikel saya sebelum ini berkenaan dengan fiqh politik serta nasihat ulama terhadap pemimpin. Maka, pada kali ini, dengan tema dan tajuk seperti di atas, saya mahu fokus dan tujukan secara khusus bagaimana Umar bin Abdul Aziz menjadi arkitek yang terbaik dalam membina tata kelola dan urus tadbir negara yang diambil dari pemerintah yang sebelumnya. Usaha pengislahan dan tajdid yang beliau laksanakan, mengingatkan kita kepada nostalgia pemerintahan Umar bin al-Khattab.

Pada sisi yang amat ringkas ini, saya mengharapkan kita dapat menekuni secara langsung dan lebih mendalam bagaimana satu perubahan yang total dan mendekatkan kepada manhaj politik pentadbiran yang sebenar yang telah diterjemahkan oleh Umar ibn Abdul Aziz dalam tempoh pemerintahannya. Pada saya, ciri-ciri good governance itu wujud pada kerajaan pimpinan beliau

Usaha yang dilakukan telah merawat suasana dan keadaan yang tempang dengan rebahnya sistem keadilan, rosaknya sistem pentadbiran serta korupsi yang berlaku bermaharajalela. Perbincangan pada kali ini, lebih tertumpu kepada wacana apa yang telah diutarakan oleh pelbagai tokoh. Senario politik tanah air yang ada pasang surutnya, dengan beberapa “kejutan” menarik minat saya untuk menulis isu ini. Saya tujukan kepada semua para pemimpin politik kerana kelihatannya tiada yang mustahil berlaku hari ini. Bekas pemimpin, pemimpin semasa dan bakal pemimpin perlu sentiasa bersedia. Tugas kita adalah menasihati. Semoga tulisan ini memberi kita niat, tekad dan azam untuk mengikuti kejayaan tokoh yang terdahulu.

Kenapa Saya Menulis Tajuk Ini?

Pertamanya, dalam memberi jawapan hal seperti ini, saya meminjam kata-kata Imam Malik:

 لَا يُصْلِحُ آخِرَ هَذِهِ الْأُمَّةِ إلَّا مَا أَصْلَحَ أَوَّلَهَا.

Maksudnya: “Tidak ada yang dapat memperbaiki generasi akhir umat ini, kecuali apa yang telah memperbaiki generasi awalnya.” (Lihat al-Tamhid, 23/10; Majmu’ al-Fatawa, 1/353)

Ini memberi maksud kehebatan kita dan kejayaan kita mengikut neraca yang terbaik adalah kita mengembalikan diri kita kepada mata rantai yang kita sambung dengan sejarah gemilang yang pernah dilakukan oleh para sahabat seperti Saidina Abu Bakar RA, Saidina Umar RA dan lain-lain. 

Kedua, pepatah menyebut:

فَتَشَبَّهُوا إنْ لَمْ تَكُوْنُوا مِثْلَهُمْ    إنَّ التَّشَبُّهَ باِلْكِرَامِ فَلاَحٌ

Contohilah sekalipun kamu tidak setara dengan mereka # Kerana mencontohi yang mulia itu pasti mendapat kejayaan.

Ini memaknakan bahawa dengan cara meniru, mengikuti mereka yang telah mengalami tajribah dan khibrah serta pengalaman yang menatijahkan kejayaan sewajarnya kita ikuti. Kerana kaedah dan hukum sebab menjadi sunnatullah kepada alam ini. Kejayaan ada sebabnya sebagaimana kegagalan ada sebabnya.

Ketiga, beliau adalah contoh pemimpin politik yang unggul.

Bayangkan, usia pemerintahannya hanya dua tahun lebih sedikit. Dalam erti kata lain, paling singkat berbanding dengan mana-mana tokoh yang berjaya dengan cemerlang yang pernah memimpin negara masing-masing. Tetapi dengan izin Allah SWT dan kurniaan-Nya kepada Umar bin Abdul Aziz telah menatijahkan keajaiban sehingga boleh dirujuk oleh semua pihak sama ada yang memujinya mahupun yang menentangnya. Masa yang teramat pendek dapat diisi dengan kejayaan yang cemerlang dalam semua lapangan pentadbiran sehingga ia layak dinobatkan sebagai pemerintahan  yang penuh dengan high integrity dan good governance yang terbaik.

Keempat, yakin dan percaya dengan konsep azam dan tawakkal seperti firman Allah SWT:

فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى الله 

Maksudnya: “Apabila engkau telah berazam maka bertawakallah kepada Allah.”

(Surah Ali ‘Imran: 159)

Justeru, kejayaan bukan milik mereka yang terdahulu sahaja tetapi apabila diisi dengan azam dan tawakkal serta strategi yang benar lagi tepat, akan menatijahkan kejayaan. Inilah tiga sebab saya menulis berkenaan artikel seperti ini. 

Mudah-mudahan sejuzuk daripada kejayaan daripada pemerintahan Umar ibn Abdul Aziz dapat kita terbitkan dan laksanakan dengan jayanya. Harapan saya agar ini menjadi renungan kepada kita bersama seterusnya mengambil muhasabah atas kejayaan mereka semua. 

Dengan nama Allah saya mulakannya.

Malam Pertama Pentadbiran Umar ibn Abdul Aziz

Dapatan saya menunjukkan beliau telah melaksanakan tanggungjawabnya pada malam pertama sehingga hampir kepada larut malam dan fajar menyingsing. Hal ini ditanyakan oleh pembantu yang menulis surat untuk melantik dan memecat gabenor yang sesuai serta menyahkan kezaliman. (Lihat buku Umar ibn Abdul Aziz, hlm. 59)

Baginya bukan hari atau minggu atau bulan bahkan tahun tetapi detik-detik, saat dan minit-minit yang kecil itu lagi sedikit dimanfaatkan dengan sesungguh-sungguhnya. Konsep wal asr seperti nas Ilahi difahami, dihadam dan diamalkan dengan sebaiknya.

Pujangga berkata:

دَقَّاتُ قَلْبِ الْمَرْءِ قَائِلَةٌ لَهُ          إِنَّ الْحَيَاةَ دَقَائِقُ وَثَوَانِ

فَأَحْسِنْ لِنَفْسِكَ بَعْدَ مَوْتِكَ ذِكْرَهَا فَالذِّكْرُ لِلْإِنْسَانِ عُمْرُ ثَانٍ

“Ketukan hati seseorang berkata kepada dirinya,

Sungguh hidup ini meniti perjalanan minit dan saat,

Ehsanlah atas dirimu, penyebutan nama setelah matimu,

Sebutan nama bererti, kehidupan yang kedua.”

(Lihat Mausu’ah al-Raqa’iq wa al-Adab, hlm. 1581)

Umar bin al-Khattab setiap malam selalu membandingkan dirinya dengan mutiara lalu berkata: “Apakah yang kamu lakukan pada hari ini?” (Lihat Masa: Peliharalah, hlm. 46)

Merombak Ketidakadilan Sistem Perundangan

Keadilan dalam kerajaan sesebuah negara merujuk kepada pentadbiran undang-undang dan dasar yang adil serta sama-rata dalam melindungi hak dan kebebasan warganegara dan memastikan individu dan kumpulan dipertanggungjawabkan atas tindakan mereka. Keadilan merangkumi pelbagai prinsip dan nilai, kedaulatan undang-undang, perlindungan hak individu dan tanggungjawab yang sudah pasti perlu selari dengan syarak. Matlamat utama sistem kerajaan yang adil adalah untuk memastikan semua dilayan secara adil dan bermaruah, tanpa mengira latar belakang atau keadaan mereka.

  1. Semasa pemerintahan terdahulu, ramai orang telah dihantar ke penjara kerana sistem yang bermasalah dan beberapa isu penindasan. Atas sebab ini, ‘Umar Ibn ‘Abd Al-‘Aziz membebaskan tawanan dan memberi mereka pengampunan. Waddah ibn Khaithamah berkata: “Apabila ‘Umar Ibn ‘Abd Al-‘Aziz ditabalkan sebagai Khalifah, beliau memerintahkan saya untuk membebaskan semua tawanan yang dipenjarakan oleh pemerintah sebelumnya. Saya membebaskan mereka semua kecuali Yazid bin Abi Muslim.” (Lihat Zamm al-Baghy, m. 84)
  2. ‘Umar Ibn ‘Abd Al-‘Aziz telah mengarahkan pegawainya untuk membatalkan beberapa keputusan yang dibuat oleh al-Hajjaj kepada orang Islam dan orang bukan Islam. ‘Ali bin Abi Hamlah berkata: “Kami orang-orang bukan Arab di Damsyik telah mengadu kepada ‘Umar Ibn ‘Abd Al-‘Aziz berkenaan sebuah gereja yang telah dirampas oleh seorang individu dalam kalangan pemerintah (yang kemudiannya diberikan kepada Bani Nasr di Damsyik). Kemudiannya ‘Umar Ibn ‘Abd Al-‘Aziz mengusir mereka daripada gereja dan mengembalikannya kepada orang Kristian. (Lihat Futuh al-Buldan, hlm. 130)
  1. Al-Waqidi berkata: “Masyarakat Qubrus berpegang teguh dengan perjanjian antara mereka dengan Mu’awiyah bin Abi Sufyan sehingga pelantikan ‘Abd Al-Malik bin Marwan yang menaikannya kepada 1000 dinar. Ini dikekalkan sehingga zaman ‘Umar Ibn ‘Abd Al-‘Aziz. Beliau menolak sebarang keputusan yang tidak berlandaskan syariat dan prinsipnya. (Lihat Futuh al-Buldan, hlm. 159)
  1. Al-Waqidi mencatatkan bahawa ketika ‘Umar Ibn ‘Abd Al-‘Aziz ditabalkan sebagai Khalifah, seorang utusan daripada penduduk Samarqand mengadu kepadanya tentang Qutaibah telah memasuki kota mereka dan menempatkan tenteranya dengan tipu muslihat. ‘Umar memerintahkan gabenornya untuk melantik seorang pembesar yang akan memutuskan sama ada orang Islam harus meninggalkan Samarqand atau tidak. Beliau melantik Jami’ bin Ḥaḍir al-Baji untuk jawatan tersebut. Hakim telah memutuskan bahawa orang Islam harus mengosongkan kawasan berkenaan dan keluar. Penduduk Samarqand enggan berperang dengan orang Islam, dan mereka bersetuju untuk orang Islam tinggal bersama mereka. (Lihat Futuh al-Buldan, m. 411).
  1. ‘Umar Ibn ‘Abd Al-‘Aziz mengembalikan harta yang telah dirampas oleh para penguasa sebelumnya kepada pemiliknya yang sah. Beliau juga memerintahkan mereka untuk mengambil zakat dari harta tersebut hanya untuk satu tahun saja, bukannya membayar untuk seluruh tempoh harta tersebut dikuasai oleh pemerintah. Hal ini kerana harta tersebut ibarat harta yang hilang dan kini telah ditemukan kembali. (Lihat al-Dariyah fi Takhrij Ahadith al-Hidayah, 1/250; Al-Mabsut, 2/209).

Inilah Pendapatku

Semua teks yang dinukilkan di atas adalah sejuzuk dari kehidupan Khalifah Umar ibn Abdul Aziz dalam menegakkan keadilan. Semuanya itu menepati firman Allah SWT:

Pertama: Firman-Nya:

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan.”

(Surah al-Nahl: 90)

Syeikh al-Sa’di menyatakan bahawa berlaku adil itu adalah wajib, sedangkan berbuat baik (Ihsan) adalah merupakan nilai tambah yang disunatkan seperti manusia memberi manfaat dengan hartanya atau jasadnya atau ilmunya atau lain-lain perkara yang bermanfaat. (Lihat Tafsir al-Sa’di, hlm. 447)

Kedua: Firman-Nya:

 كُونُوا قَوَّامِينَ بِالْقِسْطِ

Maksudnya: “Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan.”

(Surah al-Nisa’: 135)

Ibn ‘Asyur berkata: “Ayat ini menghimpunkan kewajiban menegakkan keadilan, penyaksian dengannya, melaksanakannya kerana Allah dan penyaksian kerananya juga.” (Lihat Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir, 4/134-135)

Ketiga: Firman-Nya:

وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ أَن صَدُّوكُمْ عَنِ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ أَن تَعْتَدُوا ۘ وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ 

Maksudnya: “Dan jangan sekali-kali kebencian kamu kepada suatu kaum kerana mereka pernah menghalangi kamu dari masjid Al-Haraam itu – mendorong kamu menceroboh. Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.”

(Surah al-Ma’idah: 2)

Al-Sobuni berkata: Iaitu bertolong-tolonganlah kamu dalam perkara melakukan kebaikan dan kebajikan dan meninggalkan kemungkaran serta (bertolong-tolonganlah dalam) perkara yang membawa ketaatan kepada Allah SWT. (Lihat Sofwah al-Tafasir, 1/301)

Keempat: Hadith Nabi SAW, daripada Anas bin Malik RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اُنْصُرْ أَخَاكَ ظَالِمًا أَوْ مَظْلُوْمًا

Maksudnya: “Bantulah saudaramu yang zalim dan juga yang dizalimi.” 

Riwayat al-Bukhari (2263, 2264 dan 2438)

Bangsa Arab memberi definisi terhadap perkataan al-Nashr (النصر) dengan makna al-I’anah dan al-Ta’yid, keduanya mempunyai pengertian yang serupa, iaitu menolong atau membantu. Rasulullah SAW telah menafsirkan atau menjelaskan makna hadith ini di atas dengan menolong orang yang melakukan kezaliman di sini adalah dengan cara mencegahnya daripada perbuatan yang zalim. Ini kerana, jika dibiarkan begitu saja, ia akan terus melakukan kezaliman tersebut. (Lihat Syarah Sahih al-Bukhari li Ibn Baththal, 6/572)

Umar bin Abdul Aziz telah merealisasikan nas Ilahi dan hadyun nabawi dalam sistem pemerintahannya. Hasilnya, sebagai pemerintah yang adil, sudah pasti dikasihi Tuhan dan seluruh khalayak masyarakat dan rakyatnya. Ketika itulah, hati-hati mereka bersih, selamat dari iri hati, dendam kesumat, tamak haloba dan sifat-sifat mazmumah. Sebaliknya, telah mengambil tempat tersebut sifat-sifat mahmudah dengan makarimul akhlak dan keimanan yang tinggi.

Semua rakyat merasa haknya diberikan dengan sebenarnya dan secukupnya. benarlah nasihat Abu Bakar al-Siddiq:

أَيُّهَا النَّاسُ، فَإِنِّي قَدْ وُلِّيتُ عَلَيْكُمْ وَلَسْتُ بِخَيْرِكُمْ ، فَإِنْ أَحْسَنْتُ فَأَعِينُونِي، وَإِنْ أَسَأْتُ فَقَوِّمُونِي، الصِّدْقُ أَمَانَةٌ، وَالْكَذِبُ خِيَانَةٌ، وَالضَّعِيفُ فِيكُمْ قَوِيٌّ عِنْدِي حَتَّى أَرُدَّ له حَقَّهُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ، وَالْقَوِيُّ فِيكُمْ ضَعِيفٌ عِنْدِيَ حَتَّى آخُذَ الْحَقَّ مِنْهُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ. 

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya aku telah dipilih untuk memimpin kamu semua, dan aku bukanlah yang terbaik dalam kalangan kamu semua semua. Sekiranya aku berbuat baik maka bantulah aku, dan sekiranya aku melakukan kesilapan, maka betulkanlah aku. Kebenaran adalah satu amanah dan dusta itu adalah satu pengkhinatan. Dan orang yang lemah dikalangan kamu semua adalah kuat pada pandanganku, sehingga aku berikan hak kepadanya, Insyaallah. Dan orang yang kuat dikalangan kamu semua adalah lemah pada pandanganku, sehingga aku mengambil kembali hak daripadanya, Insyaallah.” (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibn Hisyam, 4/240 dan ‘Uyun al-Akhbar oleh Ibn Qutaibah, 2/234)

“Circle” Pentadbiran Yang Sihat

“Circle” yang sihat seperti penasihat yang baik boleh menyediakan seseorang pemimpin dengan kepakaran, sumber dan sokongan yang berharga yang boleh membantunya membuat keputusan yang lebih baik dan mencapai matlamatnya.

  1. ‘Umar Ibn ‘Abd Al-‘Aziz berusaha untuk memastikan bahwa beliau dikelilingi orang-orang soleh yang akan menasihatinya dengan kebenaran dan membimbingnya kepada kebenaran. ʿAmr bin Muhajir meriwayatkan bahawa ‘Umar Ibn ‘Abd Al-‘Aziz memberitahukan kepadanya bahawa jika beliau melihat ‘Umar mengikuti selain dari kebenaran, beliau harus memegang bajunya, menggoncang-goncangnya dan bertanya kepadanya, “Apa yang sedang kamu lakukan??” (Lihat Tarikh Madinah Dimasyq, 54/200)
  1. Diriwayatkan juga bahawa ‘Umar Ibn ‘Abd Al-‘Aziz memberi keputusan tentang sesuatu perkara dan Maimun bin Mihran hadir ke mahkamah. Beliau kemudian bercakap dengan ʿUmar Ibn ʿAbd Al ʿAziz dan memberitahunya bahawa ‘Umar telah memberikan keputusan begini dan begitu, yang tidak benar. ʿUmar Ibn ʿAbd Al ʿAziz bertanya kepadanya mengapa beliau tidak membetulkannya ketika itu. Maimun menjawab bahawa beliau tidak mahu memalukan Khalifah. ʿUmar mengingatkannya untuk menegurnya jika beliau ada kesalahan kerana kuasa sentiasa terletak pada orang yang mempunyai kebenaran. (Lihat Tarikh Madinah Dimasyq, 54/200)

Umar bin Abdul Aziz telah memulakan pentadbirannya dengan meminta nasihat dan buah fikiran serta mutiara hikmah dari tokoh ulama. Antaranya al-Hasan al-Basri, Salim bin Abdullah, Muhammad bin Ka’ab, Raja’ bin Haiwah, Ubaidullah bin Abdullah bin Utbah bin Mas’ud yang mereka semua adalah sadah al-tabi’in dan ulama rabbani yang terkenal dengan kealiman, kewarakan, keikhlasan dan keberanian semata-mata takutkan Allah SWT.

Barisan ahli syura seperti ini yang sentiasa dipandu oleh ulama rabbani menjadikan sebarang tindakan Khalifah Umar bin Abdul Aziz menepati syariat Islam. 

Tidak hairanlah beliau cuba meniru dan mengikuti jejak langkah moyangnya Saidina Umar ibn al-Khattab di mana Saidina Umar ketika dilantik menjadi khalifah menyampaikan ucapan:

أَيُّهَا النَّاسُ، مَنْ رَأَى فِيَّ اعْوِجَاجًا فَلْيُقَوِّمْهُ

Maksudnya: “Wahai manusia, sesiapa sahaja di antara kamu yang melihatku melakukan kesalahan (bengkok) maka luruskanlah (tegurlah kesalahanku).”

Lalu seorang Badwi menjawab: 

وَاللهِ لَوْ رَأَيْنَا فِيكَ اعْوِجَاجًا لَقَوَّمْنَاهُ بِسُيُوفِنَا

Maksudnya: “Demi Allah, jika kami melihat kebengkokan (kesalahan) pada dirimu, maka akan kami luruskan dengan pedang-pedang kami ini.”

Mendengar ada orang yang bersedia meluruskan kesalahannya, Saidina Umar RA sangat bersyukur dan berkata:

الْحَمْدُ لِلّهِ الَّذِي جَعَلَ فِي هذِهِ الْأُمَّةِ مَنْ يُقَوِّمُ اعْوِجَاجَ عُمَرَ بِسَيْفِهِ إِذَا اعْوَجَّ.

Maksudnya: “Puji syukur kepada Allah yang menjadikan di antara umat ini, seseorang yang meluruskan kembali kebengkokan (kesalahan) Umar dengan pedangnya.”

(Lihat al-Tasyri’ al-Jina’i al-Islami oleh ‘Abd al-Qadir ‘Audah, 1/512; al-Islam wa Audha’una al-Siyasah, hlm. 244; al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh oleh Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili, 8/211)

Melawan Budaya Rasuah dan Korupsi

Diriwayatkan bahawa ‘Umar pada satu hari ingin memakan sebiji epal. Salah seorang ahli keluarganya memberikannya, apabila dia melihatnya, dia kagum dengan warna dan baunya. Apabila melihatnya, dia meminta hamba lelaki yang memberikannya untuk mengembalikannya kepada pemberi dengan mesej bahawa hadiah itu dihargai dan epal itu mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah, tetapi beliau tidak dapat menerimanya. Hamba lelaki itu memberitahunya bahawa pemberinya adalah anak bapa saudaranya dan dari keluarganya (bermaksud dari saudara-mara warga Umayyah), dan dia juga memberitahunya bahawa Nabi SAW pernah menerima hadiah. Umar menjawab, “Kenapa dengan kamu ini? Bagi Rasulullah SAW itu adalah pemberian, tetapi bagi kami hari ini ia adalah rasuah!” (Lihat Tarikh al-Khulafa’, 1/237)

Inilah Pendapatku

Umar bin Abdul Aziz menganggap dirinya sebagai pengganti kepada Umar ibn al-Khattab bukan kepada Sulaiman bin Abdul Malik. 

Beliau mengembalikan kepada negara bukan hanya tanah pusakanya, tetapi juga barang kemas dan barang bernilai yang isterinya telah terima daripada bapa dan saudara maranya. Beliau menjalani hidupnya dengan begitu sederhana dan zuhud sehingga payah dijumpai oleh mana-mana para rahib seperti beliau, apatah lagi para raja dan maharaja. Pernah beberapa ketika, beliau lewat menghadiri solat Jumaat kerana menunggu bajunya yang tunggal itu kering sesudah dibasuh.

Sebelum pelantikan Umar Ibn Abdul Aziz sebagai khalifah, Baitul Mal diperlakukan seperti harta peribadi raja, dan ahli kerabat diraja memperolehi peruntukan yang besar daripadanya, tetapi sekarang mereka semua terpaksa berpuas hati dengan elaun sara hidup yang amat sedikit.

Pernah berlaku pada suatu ketika, Umar Ibn Abdul Aziz memerhatikan anak-anak gadisnya menutup mulut mereka dengan tangan apabila mereka berbual dengannya. Apabila beliau meneliti, beliau dapati bahawa makanan yang terdapat dalam rumah pada hari itu hanyalah bawang dan kacang. Anak-anak beliau menutup mulut mereka kerana takut mengganggu bapanya dengan bau bawang yang kurang menyenangkan. Dengan berlinangan air mata beliau berkata: “Wahai anakku, adakah kamu inginkan makanan yang enak sedangkan bapamu dihumbankan ke dalam neraka?”

Umar Ibn Abdul Aziz adalah ketua kerajaan bagi sebuah empayar yang terkuat pada zaman itu, tetapi beliau tidak memiliki wang yang cukup untuk mengerjakan ibadah haji. Pada suatu ketika, beliau bertanya kepada khadamnya jika terdapat wang simpanan yang cukup untuk mengerjakan haji. Khadam memberitahunya bahawa wang simpanan yang ada hanya sepuluh atau dua belas dinar sahaja, maka dengan itu beliau tidak dapat menunaikan ibadah haji. Selang beberapa ketika, Umar Ibn Abdul Aziz memperolehi wang yang cukup untuk menunaikan haji hasil daripada pendapatan harta peribadinya. Khadamnya mengucapkan tahniah kepadanya kerana dapat menunaikan ibadah haji.

Akan tetapi Umar Ibn Abdul Aziz menjawab: “Kami telah mengambil manfaat daripada harta ini sekian lama. Sekarang orang Islam berhak menikmati hasilnya.”

Kemudian beliau memasukkan semua hasil pendapatan itu ke dalam Baitul Mal. Perbelanjaan harian Umar Ibn Abdul Aziz tidak melebihi dua dirham. Jika ada mana-mana pegawai yang datang menemuinya dan berbual mengenai hal ehwal peribadi khalifah, nescaya beliau serta merta memadamkan lilin yang dibekalkan oleh pihak kerajaan dan menggunakan lilinnya sendiri. (Lihat buku Umar bin Abdul Aziz, hlm. 60-61)

Inilah yang disebut bahawa rakyat jelata akan meniru kepimpinan mereka masing-masing. Saidina Umar R.A pernah menyatakan:

النَّاسُ عَلَى دِينِ مُلُوكِهِمْ

Maksudnya: “Rakyat akan hidup mengikut agama dan cara hidup pemimpin-pemimpin mereka.”

Ibn Kathir ada menukilkan ungkapan di atas ketika menyebut biografi al-Walid bin ‘Abd al-Malik, katanya: Khalifah al-Walid seorang yang cenderung kepada pembangunan dan pembinaan. Maka rakyatnya juga demikian. Apabila seorang lelaki berjumpa lelaki yang lain, dia akan bertanya: “Apakah yang telah kamu bina? Apakah yang kamu telah bangunkan?” 

Manakala saudaranya, Khalifah Sulaiman cenderung kepada perempuan. Maka begitulah rakyatnya, di mana apabila seorang lelaki bertemu dengan lelaki lain, dia akan bertanya: “Berapa orang perempuan yang telah kamu kahwini? Berapa orang hamba perempuan yang kamu miliki?”

Adapun Khalifah Umar bin ‘Abd al-’Aziz cenderung dalam membaca al-Quran, melakukan solat dan beribadah. Maka demikian juga rakyatnya. Apabila seorang lelaki berjumpa dengan lelaki yang lain, mereka akan bertanya, “Berapa banyak kamu berwirid? Berapa banyak kamu baca al-Quran setiap hari? Kamu solat apa semalam?” Dan orang ramai berkata: “Rakyat akan hidup mengikut cara hidup pemimpin mereka.” (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 9/165)

Rasuah sebagai salah satu sebab utama yang membantutkan pertumbuhan ekonomi, menghilangkan minat pelaburan asing, meningkatkan kos pentadbiran dan urus niaga, menidakkan rakyat daripada mendapat perkhidmatan, serta mendorong berlakunya ketidakstabilan politik. Rasuah juga mengakibatkan pembangunan tidak lestari, pencemaran alam sekitar, pengagihan kekayaan tidak seimbang dan ketirisan khazanah negara. Banyak negara dianugerahi rahmat Ilahi dengan pelbagai sumber kekayaan, tetapi kerana rasuah, ada negara yang terbenam dalam kemelut kemunduran, ada negara yang tertimbus dalam lumpur kemiskinan.

Natijahnya juga, hasil mahsul negara pasti akan lesap. Akibatnya, kemunduran terus melanda, kemiskinan terus merebak. Apabila tidak ada kesungguhan untuk membanteras rasuah, perlakuan rasuah akan tumbuh melebar, subur membesar, lalu diterima sebagai norma dan akhirnya meresap menjadi budaya, akhirnya memusnahkan sesebuah negara bangsa. Itulah penyakit dalam masyarakat, barah, penyakit yang menjalar sedikit demi sedikit, merosakkan satu persatu organ organisasi, hingga akhirnya melumpuhkan keseluruhan organisasi dan membawa “maut” kepada negara. (Lihat al-Mawaqif #17: Korupsi Yang Membarah: Tribut Kepada Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Mohd. Kamal Hassan)

Benarlah kata Badiu’zzaman Sa’id al-Nursi: “Aku melihat Islam di Barat dan mereka mengandungkan anak-anak Islam. Sedangkan aku melihat orang Islam di negara Arab sedang mengandungkan anak-anak orang Barat, dan mereka tidak mampu mengikut Islam sepenuhnya.”

Inilah realiti pada masa kini. Amat jarak dan jauh dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW pada zamannya dan zaman sahabat, begitu juga zaman kegemilangan Islam.

Isu rasuah bersifat sejagat. Buta warna kulit, bangsa, pangkat, keturunan, hatta agama sekalipun. Bagi Muslim, benteng utamanya adalah iman. Justeru, benarlah ucapan Nabi SAW, daripada Anas bin Malik R.A:

لَا إِيمَانَ لِمَنْ لَا أَمَانَةَ لَهُ، وَلَا دِينَ لِمَنْ لَا عَهْدَ لَهُ.

Maksudnya: “Tidak sempurna iman bagi orang yang tidak amanah, dan tidak sempurna agama bagi orang yang tidak setia terhadap janjinya.”

[Riwayat Ahmad (12567), al-Bazzar (7196), Abu Ya’la (2863) dan Ibn Hibban (194). Al-Suyuti dalam al-Jami’ al-Saghir (9685) menyatakan hadis ini sahih. Syeikh Syu’aib al-Arnaut dalam takhrij al-Musnad (13637) menilainya sebagai hasan.]

Imam al-Zahabi dalam al-Kaba’ir berkata: “Khianat merupakan perkara yang amat buruk dalam semua keadaan dan sebahagian daripadanya lebih teruk daripada yang lain.” (Lihat al-Kaba’ir, hlm. 149)

Saya menutup dengan kata-kata:

“Sesungguhnya, kehidupan rakyat di negara yang sifar rasuah akan lebih bahagia, tenang dan damai berbanding dengan negara yang terbelit dan terbelenggu dengan krisis dan bencana rasuah. Kita harus berubah sekarang, atau tiada lagi masa depan buat anak bangsa kita.”

Memudahkan, Tidak Menyusahkan

Pada suatu malam, ketika ‘Umar Ibn ‘Abd AlʿAziz keluar untuk meronda, dia memasuki masjid dan secara tidak sengaja terpijak seseorang yang sedang tidur di sana. Orang itu bertanya kepadanya, “Adakah anda gila?” Umar menjawab, “Tidak, saya tidak gila.” Lelaki itu jelas tidak menyedari siapa yang memijaknya memandangkan hari sudah larut malam. Pengawal peribadi itu merasakan bahawa ini adalah satu penghinaan kepada khalifah dan ingin mengambil tindakan. ʿUmar memberitahunya bahawa lelaki itu telah bertanya kepadanya sama ada dia gila, dan dia menjawab bahawa dia tidak gila. (Lihat Tarikh Madinah Dimasyq, 54/206)

Peristiwa di atas boleh menjadi besar jika berlaku kepada pemimpin yang bersikap dendam dan ego serta takabbur. Walaupun dituduh sebagai gila tetapi hikmah yang dizahirkan oleh Umar bin Abdul Aziz jelas meredakan kemarahan pengawalnya dan isu itu selesai begitu sahaja. Ini kerana orang itu tidak mengetahui bahawa yang melanggarnya itu Umar ibn Abdul Aziz dek kerana malam. Makanya, jawapan Umar itu boleh menyelamatkan seseorang dari dihukum bahkan mengajar kepada pengawalnya akan sikap samahah atau toleransi yang tinggi yang dipamerkan oleh Khalifah Umar ibn Abdul Aziz.

Beliau sendiri pernah menyebut, “Tiada suatu yang lebih baik dihubungkan daripada sifat lemah lembut kepada ilmu dan sifat pemaaf kepada yang berkuasa.” Saya katakan, ucapan Umar bin Abdul Aziz ini menunjukkan bahawa apabila dua kemuliaan iaitu lemah lembut dan ilmu digabungkan serta keampunan dan pemaaf ketika berkuasa merupakan kemuncak nilai keperibadian seseorang yang tiada tolak bandingnya. Inilah sepatutnya yang digalakkan dan perlu diasuh sejak usia kanak-kanak lagi. (Lihat Umar bin Abdul Aziz, hlm. 120)

Memberi sifat rahmah, kasih sayang dan tasamuh kepada rakyat jelata tanpa mengambil kira isu remeh-temeh boleh menatijahkan keharmonian dan respect antara rakyat kepada pemimpin. Hal ini sudah tentu membawa kebaikan bersama dan hiduplah negara dengan penuh kedamaian tanpa diselubungi dengan dendam kesumat, syak wasangka, balas dendam dan sifat-sifat mazmumah yang lain.

Perancangan yang Tersusun dan Tidak Bertangguh

Dia ditanya mengapa dia tidak mahu meninggalkan kerja satu hari ke hari berikutnya. Dia menjawab bahawa bagaimana dia boleh menggabungkan dua hari kerja sedangkan dia tidak dapat melaksanakan tugas yang dia ada selama satu hari? (Lihat Tarikh Madinah Dimasyq, 54/198)

Suka saya nukilkan daripada kitab Qimatu al-Zaman yang menyebut: “Aku melihat ramai orang telah membazirkan masa dalam bentuk yang amat ajaib. Jika malam panjang, mereka bercakap yang tidak memberi manfaat atau membaca kitab yang lagha (sia-sia). Jika siang hari pula panjang, mereka penuhi dengan tidur. 

Ibn al-Jauzi hidup di Kota Baghdad dan membandingkan mereka yang banyak bercakap di atas perahu sedangkan mereka tiada apa-apa. Aku lihat amat sedikit mereka yang faham tentang kewujudan mereka. Justeru, mereka sediakan sebanyak-banyak bekalan untuk bermusafir. Maka bertakwalah kepada Allah dengan kurniaan usia kepadamu dan bersegeralah sebelum ianya luput serta berlumbalah dengan masa yang ada. (Lihat Qimatu al-Zaman, hlm. 100)

Saya katakan, merekalah yang mengubah dunia, membina tamadun peradaban serta melakar sejarah yang dibaca di sepanjang zaman. Walaupun usia dan masa yang digunakan adalah sejuzuk yang amat kecil, tetapi dek kerana manfaat serta impak yang besar kepada ummah dan manusia, maka ianya dikenang dalam kehidupan bagi generasi selepasnya. Itulah hebatnya masa dan nilainya masa.

Saya sudahi dengan nasihat Rasulullah SAW kepada Ibn ‘Umar R.Anhuma, sepertimana kata Ibn ‘Umar: 

أَخَذَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِمَنْكِبِي، فَقَالَ: «كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيبٌ أَوْ عَابِرُ سَبِيلٍ» وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ، يَقُولُ: إِذَا أَمْسَيْتَ فَلاَ تَنْتَظِرِ الصَّبَاحَ، وَإِذَا أَصْبَحْتَ فَلاَ تَنْتَظِرِ المَسَاءَ، وَخُذْ مِنْ صِحَّتِكَ لِمَرَضِكَ، وَمِنْ حَيَاتِكَ لِمَوْتِكَ.

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah memegang bahuku dan bersabda: “Jadilah kamu di dunia ini seolah-olah orang asing atau seorang pengembara.” Ibn ‘Umar RA juga berkata: “Bila kamu berada di waktu petang, maka janganlah kamu menunggu datangnya waktu pagi, dan bila kamu berada di waktu pagi, maka janganlah menunggu waktu petang, gunakanlah waktu sihatmu sebelum sakitmu, dan hidupmu sebelum matimu.”

Riwayat al-Bukhari (6416)  Ibn Majah (4114) dan al-Tirmizi (2333)

Hadis di atas secara amnya mengajar kepada kita bagaimana untuk berinteraksi dengan dunia dan segala isinya. Islam mengajar bahawa dunia ini hanyalah tempat persinggahan di mana kita berada di dalamnya untuk mempersiapkan diri menempuh kehidupan yang kekal abadi di akhirat sana. Maka ambillah dunia sekadarnya dan jadikan akhirat sebagai tujuan utama. (Lihat al-Kafi Syarah Hadis 40, hlm. 375)

Saya katakan Khalifah Umar bin Abdul Aziz pada hakikatnya telah melaksanakan perintah Nabi SAW dengan cemerlang dan berjaya. Ini dapat diukur dengan kejayaan yang dimilikinya, walaupun hanya pemerintahan beliau tidak sampai dua tahun setengah. Tetapi kejayaannya itu patut ditulis dengan tinta emas dalam politik, pembaharuan ekonomi, sosio-budaya, susun atur pentadbiran yang good governance, hak rakyat jelata, hak orang-orang miskin, para ulama, pendakwah, bahkan rakyat yang bukan Islam sekali pun merasa keadilan, kebaikan dan sifat yang terpuji yang telah dipamerkan oleh Umar bin Abdul Aziz.

Solusi yang Menyeluruh dan Holistik

  1. Seseorang pernah menulis surat kepada Umar bahawa di Mosul, Iraq, di mana beliau dilantik sebagai gabenor, kecurian adalah perkara biasa dan beliau ragu-ragu tentang kaedah yang digunakan dalam situasi ini. Dia menulis surat kepada Umar dan memberinya dua pilihan, sama ada untuk menggunakan pendekatan yang sukar di mana sedikit pun petunjuk bahawa seseorang telah melakukan kecurian sudah cukup untuk mengambil tindakan undang-undang terhadapnya. Atau amalkan Sunnah dan tunggu bukti kesalahan orang tersebut. Umar berkata kepadanya bahawa jika kebenaran tidak dapat menyelesaikannya, maka semoga Allah tidak menyelesaikannya, dia mesti mencari bukti untuk memastikan seseorang itu pencuri dan dia mesti mengikut sunnah. Gabenor melaksanakan sunnah dan Mosul mempunyai kadar kecurian yang paling rendah. (Lihat Tarikh al-Khulafa, 1/137) 
  2. Seorang lagi gabenor telah dihantar ke Khurasan dan orang ramai berada dalam keadaan yang sangat teruk dan dia merasakan bahawa hanya pedang dan cambuk sahaja yang boleh memperbaikinya dan dia meminta izin kepada ‘Umar untuk berbuat demikian. ʿUmar memberitahunya bahawa dia menerima suratnya dan hanya keadilan dan kebenaran yang akan membetulkan mereka dan itulah yang harus dia gunakan kepada mereka. (Lihat Tarikh al-Khulafa, 1/242)

Khalifah Umar ibn Abdul Aziz seupaya mungkin ingin mengikuti gaya hidup dan cara Rasulullah SAW serta para sahabat yang digelar Khulafa al-Rasyidin. Pendekatan dengan hikmah dan juga taqwa serta keadilan didahulukan daripada cambuk besi atau undang-undang yang keras terhadap rakyatnya. 

Penggunaan ini membawa kepada penyelesaian dan solusi terbaik, mendidik jiwa di samping merasakan kedamaian dan keamanan yang tinggi sehingga melahirkan kebahagiaan. Taqwa dan iman sentiasa dipasak dalam jiwa-jiwa rakyatnya. Natijahnya, keadilan ditegakkan, kadar jenayah hampir tiada dan rakyat bersyukur dengan rezeki dan nikmat yang Allah SWT kurniakan. Maka, rasa kecukupan telah menguasai kehidupan mereka. Firman Allah SWT:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ

Maksudnya: “Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi.”

(Surah al-‘Araf : 96)

Syeikh Abu Bakar al-Jaza’iri berkata: ‘ بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ’ iaitu jamak kepada “بَرَكَة” dan ia bermaksud berterusan dan berkekalannya kebaikan; ilmu, ilham dan hujan daripada keberkatan langit, manakala tanaman, kesuburan, kemakmuran, keamanan, afiyah daripada keberkatan bumi. (Lihat Aisar al-Tafasir, 1/486)

Menurut Sayyid Qutb, apabila seseorang itu hidupnya bebas dari hawa nafsu dan keterlaluan manusia dan apabila hidupnya menyembah Allah dengan khusyuk, maka hidupnya akan menuju ke arah yang baik dan menjadi produktif, yang wajar menerima pertolongan-pertolongan dari Allah selepas mencapai keredhaan-Nya. Oleh sebab itu, hidupnya tetap dikelilingi keberkatan dan diselubungi kebajikan dan tetap mencapai kejayaan. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 6/245-246)

Akhirnya, kepimpinan melalui teladan, uswah dan qudwah hasanah akan lahirlah negara baldatun tayyibatun wa rabbul ghafur. Inilah bukti dan syahadah tarikh yang tak mungkin dinafikannya.

Keadilan Sosial

Zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz pernah mengalami kemelesetan ekonomi dengan kefakiran rakyatnya. Ramai yang menganggur, harga barang naik, kurangnya keadilan dalam pembahagian hasil mahsul negara kepada rakyat. Justeru, ia merupakan tanggungjawab kerajaan yang mesti ditunaikan. (Lihat Manhaj Umar bin Abdul Aziz fi al-Islah al-Ikhtisadi oleh Dr Ali Jum’ah al-Rawahinah, hlm. 16)

Khalifah Umar bukan hanya mengetahui tetapi merasai denyut nadi rakyat. Begitu juga, seupaya mungkin mencari jalan penyelesaian bagaimana untuk menyelesaikannya. Pernah satu hari, isterinya Fatimah datang menemuinya sedang dia berada di tempat sembahyangnya. Ketika itu, isterinya melihat air matanya mengalir membasahi janggutnya. Lantas, isterinya bertanya, “Hai Amirul Mukminin ada sesuatu yang berlaku ke?” Jawabnya, “Hai Fatimah, sesungguhnya aku telah menggalas urusan umat Muhammad SAW ini, sama ada mereka kulit putih, hitam atau merah. Dan aku berfikir orang yang fakir dalam kelaparan, orang sakit yang terbiar, orang yang tidak bercukupan pakaian, orang yang dizalimi dan dikuasai, orang asing yang menjadi tawanan, orang-orang tua, orang-orang yang mempunyai keluarga yang besar yang tidak berkemampuan dan harta yang sedikit dan seumpama mereka pada pelusuk negeri dan di ceruk-ceruknya. Maka, aku mengetahui bahawa Tuhanku akan bertanya kepadaku berkenaan dengan mereka pada hari kiamat. Maka, aku taku bahawa aku tidak mempunyai hujah yang kuat.” Lantas, beliau menangis. (Lihat Tarikh al-Khulafa oleh al-Suyuti, 1/236, Tarikh Madinah Dimasyq oleh Ibnu Asakir, 45/197)

Gambaran seperti ini menyebabkan beliau menghimpunkan semua kementerian dan pejabat umum bagi menyelesaikan kelompongan yang khususnya untuk diperbaiki. Ini kerana, mereka semua adalah pemegang taruh yang menguasai khazanah negara. Justeru, di sinilah perlu diagihkan dengan penuh adil di samping jaminan antara pemberian kepada yang memerlukan serta kesediaan dalam membangun ekonomi agar sentiasa seimbang dan keperluan hajat dapat diselesaikan secara umum. Justeru dibahagikan kepada fakir miskin sebagai contoh penduduk Basrah setiap orang berhak 3 dirham. Dan beliau memberi atau mengagihkan kepada orang-orang dewasa yang berusia 50 tahun yang sakit dengan 50 dirham seraya berkata, “Aku melihatnya ini seperti rezeki bayi yang baru selesai tempoh menyusu.” Inilah sebahagian keadilan sosial untuk seluruh lapisan masyarakat. Inilah pemerintah yang benar-benar cakna dan prihatin kepada rakyatnya serta mengambil tindakan semaksimum mungkin dan sepantas mungkin. (Lihat Tarikh al-Tabari, 4/70)

Wuhaib bin al-Ward berkata, “Bahawa Umar bin Abdul Aziz telah menjadikan sebuah rumah atau tempat untuk memberi makan kepada orang miskin, fakir, dan orang musafir. Bahkan beliau memberi peringatan kepada penduduk setempat awasilah kamu daripada mengambil habuan makanan dari rumah ini kerana ia diperuntukkan untuk fakir miskin.” 

Satu hari, beliau datang ke rumah yang disediakan makanan untuk fakir miskin ini. Tiba-tiba dia mendapati hamba perempuanya berada di situ bersama dengan bekas yang terdapat balang yang terisi susu. lantas, umar bertanya, “Apa ini?” Jawab hambanya, “Isterimu sedang hamil sebagai mana kamu tahu. Dan dia teringin untuk merasa air susu. Ini kerana seorang perempuan apabila hamil menghendaki sesuatu jika tidak diberi dibimbangi apa yang ada dalam perutnya. Boleh jadi keguguran. Justeru, aku mengambil daripada tempat ini, susu.” Dengan tegas Umar bin Abdul Aziz mengheret tangan perempuan tersebut dan pergi menuju kepada isterinya dengan suara yang tinggi dan lantang seraya berkata, “Jika anak dalam kandungan itu tidak dapat hidup kecuali dengan makanan orang miskin dan fakir maka biarlah Allah tidak memeliharanya.” Kemudian dia masuk bertemu isterinya seraya bertanya, “Apa terjadi kepadamu.” Kemudian beliau berkata, “Kamu menyangka bahawa bayi dalam kandunganmu itu tidak dapat hidup kecuali dengan makanan orang miskin dan fakir? Jika sekiranya benar begitu, biarlah Allah tidak peliharanya atau berlaku keguguran.” Lantas, jawab isterinya, “Pulangkan semula, celaka kamu. Demi Allah aku tidak akan merasakannya walaupun sedikit.” Kemudian, hamba perempuan tersebut memulangkan semula. (Lihat Tarikh Madinah Dimasyq, 54/218)

Tindakan seterusnya beliau membahagikan tugasan umum kepada yang memerlukannya tatkala beliau menulis ke negeri Syam. hendaklah kamu angkat kepadaku, setiap orang buta namanya dimasukkan ke dalam Diwan (daftar yang berhak menerima bantuan), orang yang lumpuh, orang yang cacat, orang yang tua dan sakit yang menghalang baginya untuk solat berdiri. Maka, petugas telah mengangkat kepadanya permohonan tersebut. Lantas, Umar bin Abdul Aziz memerintahkan bagi setiap orang buta, ada pembawanya. Diperintahkan setiap dua orang yang tua dengan satu khadam. Begitu juga, membantu anak yatim, hamba yang diberi pengasuh yang dibahagikan sama rata sehingga selesailah masalah mereka yang berkeperluan. Maka, semua masyarakat yang memerlukan sebarang bentuk bantuan diagihkan mengikut keperluan masing-masing selepas menyelesaikan segala rintangannya. (Lihat Tarikh Madinah Dimasyq oleh Ibnu Asakir, 54/218) 

Dalam bahasa yang mudah, beliau telah membetulkan kesilapan-kesilapan yang lalu yang dianggap sebagai rintangan dalam islah ekonomi dan juga kepincangan dalam pelaksanaan islah dan seterusnya menyusun semula tindakan bagi pembetulan kesilapan mengikut manhaj islah dengan penuh keadilan dan ihsan. rawatan seperti ini telah diterima secara umum berbanding sebelumnya. Tindakan yang tepat, pantas, berkesan dan mengena sasaran dengan penuh keadilan menatijahkan keredhaan, keharmonian dan kebahagiaan masyarakat di zamannya.

Pembaharuan Ekonomi dalam Mengembangkannya

Khalifah Umar bin Abdul Aziz telah melakukan rombakan besar-besaran dan mengubah sistem yang pincang sehingga akhirnya beliau telah berjaya dengan cemerlang. Antara pembaharuan yang dilakukan:

  • Pembaharuan Ekonomi

Banyak pembaharuan besar telah diperkenalkan ke dalam pentadbiran negara. Sebahagian daripada langkah-langkah yang diambil ialah: Sukatan dan timbangan diselaraskan, pegawai-pegawai kerajaan ditegah daripada melibatkan diri dalam perniagaan atau pertukangan, tenaga buruh yang tidak diberi upahnya diharamkan, tanah-tanah rumput dan kawasan simpanan binatang buruan yang dikhaskan bagi kerabat diraja atau orang kenamaan yang lain dibahagi-bahagikan kepada petani yang tidak mempunyai tanah atau dijadikan harta awam. 

Langkah-langkah yang ketat diambil bagi memberhentikan amalan rasuah di kalangan kakitangan kerajaan dan ditegah daripada menerima sebarang bentuk hadiah. Semua pegawai berjawatan tinggi diarahkan menyediakan aduannya secara peribadi, pengisytiharan dibuat pada setiap musim haji bahawa sesiapa yang melaporkan tentang penyelewengan mana-mana pegawai atau memberikan cadangan berguna akan dihadiahkan sebanyak seratus hingga tiga ratus dinar.

  • Pembaharuan dalam Sistem Kewangan

Pembaharuan kewangan yang dilancarkan oleh Umar Ibn Abdul Aziz, iaitu pemansuhan pelbagai cukai yang diharamkan oleh syarak, tidak menimbulkan masalah kewangan atau kekurangan dalam perbendaharaan negara. Begitu juga, beliau sekali-kali tidak membebankan rakyat dengan pelbagai helah dalam menunaikan sistem percukaian. Sebaliknya, rakyat hidup dengan penuh kemakmuran sehingga sukar untuk berjumpa dengan pengemis dan fakir miskin yang herhak menerima zakat.

Yahya Ibn Said meriwayatkan bahawa Umar Ibn Abdul Aziz telah melantiknya memungut zakat di Afrika. Apabila zakat sudah dipungut, beliau mencari orang-orang yang berhajat kepada zakat, tetapi beliau gagal bertemu seorang pun yang boleh diberikan bantuan kepadanya. Seterusnya beliau berkata bahawa dasar-dasar pembaharuan Umar Ibn Abdul Aziz telah membuat semua orang cukup keperluannya, dan dengan itu beliau tidak ada pilihan kecuali membeli beberapa orang hamba sahaya dan memerdekakan mereka bagi pihak kaum Muslimin amnya.

Seorang lagi daripada kaum Quraisy meriwayatkan bahawa semasa pemerintahan Umar Ibn Abdul Aziz yang amat singkat itu, orang ramai biasa mengeluarkan jumlah zakat yang banyak kepada Perbehendaraan Negara untuk diagihkan kepada fakir miskin, tetapi zakat tersebut terpaksa dipulangkan kepada mereka kerana tidak ada orang yang ditemui yang berhak menerima bantuan zakat tersebut. Beliau berkata bahawa semua orang hidup dalam keadaan aman damai dan makmur ketika pemerintahan Umar Ibn Abdul Aziz sehingga tiada seorang pun yang berada dalam kesusahan yang memerlukan kepada bantuan zakat.

Selain daripada kemakmuran rakyat, perubahan yang lebih penting yang dicapai oleh Umar Ibn Abdul Aziz ialah perubahan dalam kecenderungan terhadap sikap rakyat jelata. Masyarakat yang hidup sezaman dengannya meriwayatkan bahawa apabila beberapa orang kawan bertemu pada zaman Khalifah al-Walid, mereka berbual-bual mengenai bangunan dan seni bina, kerana itulah keasyikan al-Walid. 

Khalifah Sulaiman pula berminat kepada perempuan dan majlis makan yang besar-besar, dan itulah yang menjadi keasyikan rakyat jelata pada zamannya. Akan tetapi ketika pemerintah Umar Ibn Abdul Aziz, tajuk-tajuk perbualan berkisar tentang solat, munajat, doa dan ibadah, sama ada perkara yang fardhu atau yang sunat. Setiap kali beberapa orang berhimpun, mereka akan saling bertanyakan mengenai solat-solat sunat yang dikerjakan untuk manfaat kerohanian, bahagian-bahagian al-Quran yang sudah dibaca atau dihafaz, puasa yang dikerjakan setiap bulan dan sebagainya.

Cahaya pembimbing bagi Umar Ibn Abdul Aziz dan daya penggerak di sebalik usahanya ialah keimanan yang teguh, cinta dan takut kepada Allah SWT dan keyakinan terhadap Hari Perhitungan. Apa jua yang dilakukannya adalah semata-mata untuk menuntut keredaan Allah SWT. Itulah yang menyebabkan pemerintah empayar yang terbesar dan terluas pada masa itu memilih hidup sederhana dan zuhud.

Sekiranya ada orang yang menasihatinya agar menaikkan taraf hidupnya, sesuai dengan pangkat dan jawatannya, beliau akan membaca ungkapan al-Quran: 

قُلْ إِنِّىٓ أَخَافُ إِنْ عَصَيْتُ رَبِّى عَذَابَ يَوْمٍ عَظِيمٍۢ

Maksudnya: “Katakanlah sesungguhnya aku takut jika aku derhaka kepada Tuhanku, (akan dikenakan) azab hari yang besar (hari kiamat).”

(Surah al-An’am: 15)

Umar Ibn Abdul Aziz pernah berkata kepada pembantunya: “Allah SWT telah mengurniakan ke atasku sifat bercita-cita dan berhemah tinggi. Sebaik sahaja aku capai sesuatu matlamat yang aku amat kehendaki, nescaya hatiku inginkan matlamat yang lebih tinggi lagi. Sekarang aku telah sampai ke satu martabat di mana tiada lagi sesuatupun yang hendak diidamkan. Sekarang aku hanya bercita-cita untuk memperolehi syurga.”

Beliau juga pernah bertanya kepada seorang yang soleh supaya menasihatinya, maka orang itu berkata: “Apakah keuntungan bagi kamu sekalian manusia masuk syurga, dan kamu masuk neraka? Begitu pula, apakah kerugian kamu, jika sekalian manusia masuk neraka dan kamu masuk syurga?” 

Tatkala mendengar hal itu, Umar Ibn Abdul Aziz begitu bimbang sehingga beliau menangis dengan sekuat hatinya hinggakan api yang menyala dalam pelita jerami itu terpadam dengan air mata tangisannya.

Yazid bin Hausyab pernah berkata bahawa Umar begitu takut kepada Allah sehingga seolah-olah syurga dan neraka itu dicipta oleh Allah hanya bagi beliau.

Sekiranya Allah SWT mentakdirkan supaya Umar Ibn Abdul Aziz menikmati pemerintahan yang lama sebagaimana khalifah-khalifah sebelumnya, nescaya dunia Islam akan dapat menyaksikan satu perubahan menyeluruh dan kekal yang akan mengubah jalan sejarahnya. Akan tetapi Umar Ibn Abdul Aziz meninggal dunia dalam pertengahan tahun 101H, setelah memerintah hanya selama dua tahun lima bulan. Dikatakan bahawa ada tanda-tanda yang menunjukkan bahawa seorang hamba dalam perkhidmatan Umar telah diupah oleh Bani Umayyah untuk meracuninya.

Bagi sesiapa yang ingin mendapat maklumat yang lebih terperinci dan mendalam, sila rujuk buku yang bertajuk al-Khalifah al-Rasyid wa al-Muslih al-Kabir Umar bin Abdul Aziz RA, karya Dr. Ali Muhammad Muhammad al-Salabi terbitan Dar Ibn Kathir.

Penutup

Pujangga berkata, “Kesulitan adalah gejala wajar daripada sebuah kehidupan yang bererti. Setiap orang yang progresif selalu dikelilingi oleh kesulitan.” Walaupun begitu, dalam menekuni kehidupan Umar bin Abdul Aziz sebagai khalifah, dapatlah kita mengetahui bahawa beliau berjaya untuk melaksanakan tugas dengan cemerlang, memberi hak akan hak masing-masing, mempunyai mawaqif yang tegas dalam pemerintahannya, begitu merahmati dan mengasihi kepada rakyat jelata, fakir miskin dan orang-orang yang lemah. Bencikan kepada kezaliman, serta menegakkan keadilan dan sentiasa memberi pesanan kepada gabenornya, kaum keluarganya dan rakyat jelatanya. 

Beliau sendiri mempraktikkan surah al-Asr dengan mengambil pesanan, nasihat dari tokoh-tokoh ulama sezaman dengannya seperti al-Hasan al-Basri, Raja’ bin Haiwah, Salim bin Abdullah, Ubaidillah bin Abdullah bin Utbah bin Mas’ud dan ramai lagi. Ini menjadikan beliau sentiasa terpandu dan dibimbing dari nasihat dan mutiara hikmah dari ulama tabi’in yang rabbani. 

Cukuplah saya menutup perbincangan ini dengan kata Umar ibn Abdul Aziz, “Apabila kamu melihatku menyeleweng daripada kebenaran, maka letakkanlah tanganmu pada bahuku dan goncangkanlahku seraya berkata: ‘Hai Umar, apakah yang telah kamu lakukan?’” Amat nadir dan jarang pemimpin seumpama ini yang berani dan rela ditegur agar tidak menyeleweng. 

Semoga Allah SWT menjadikan pemimpin kita benar-benar bertaqwa sehingga melahirkan negara badatun tayyibatun wa rabbun ghafur.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *