Alhamdulilah, kita rafa’kan setinggi syukur kepada Allah SWT, pada hari ni dalam ruangan Tazkirah Harian Ramadhan suka kami bincangkan tajuk Taqwa Adalah Maqasid Puasa. Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”
Surah al-Baqarah (183)
Nas di atas jelas menunjukkan kepada kita betapa maksud puasa itu untuk melahirkan taqwa. Ini adalah khussuiyyat bagi puasa apabila dilakukan dengan sesempurnanya. Sama ada zahir mahu pun adab-adab batinnya. Kami kemukakan di sini beberapa pengertian dan takrif taqwa itu.
Berdasarkan takrif di atas, dapat disimpulkan bahawa takwa boleh menjadikan seseorang melakukan amar ma’ruf dan nahi munkar, di samping taqarrub kepada Allah dengan amalan sunat. Kepentingan takwa amat jelas apabila dinyatakan bahawa manusia yang paling mulia di sisi Allah ialah yang paling bertakwa.
Dalam hal ini, sudah menjadi kemestian bagi Ulul Albab memakaikan sifat takwa ke dalam diri mereka, sesuai dengan fungsi sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi. Antara hikmah dan faedah puasa secara umum yang mungkin dapat dirumuskan ialah:
Puasa yang sempurna akan menyedarkan hati orang yang beriman bahawa dirinya di bawah perhatian Allah SWT. Hal yang demikian adalah kerana orang yang berpuasa akan berasa lapar dan dahaga sebaik sahaja dia melalui sebahagian daripada waktu siangnya. Nafsunya ingin makan dan minum. Namun, perasaan yang menyedari dirinya berpuasa, yang menghalang keinginan tersebut kerana melaksanakan perintah Allah SWT dalam menghadapi pertentangan ini, hatinya sedar akan pemerhatian Allah SWT terhadapnya, lantas mengingati ketuhanan Allah SWT dan keagungan kekuasaan-Nya, di samping sentiasa menyedari bahawa dirinya hamba yang tunduk patuh kepada hukum Allah SWT dan menurut segala kehendak- Nya.
Akhukum fillah,
Dr Zulkifli bin Mohamad al-Bakri
13 Ramadhan al-Mubarak 1444 H