Renungan Ramadhan #15: Lapar Adalah Sebuah Ujian

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT dengan izin-Nya dapatlah kita teruskan lagi Tazkirah Harian Ramadhan dengan tajuk Lapar Adalah Sebuah Ujian. Justeru kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ

Maksudnya: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.

Surah al-Baqarah (155)

وَلَنَبْلُوَنَّكُم 

Ibnu Kathir berkata Allah SWT memberitahu hamba-Nya bahawa Dia akan menimpakan ujian kepada hamba-Nya untuk membezakan yang benar (imannya) daripada yang palsu dan membezakan hambanya yang gelisah dan yang sabar.

Inilah Sunnah Allah SWT di antara hamba-hamba-Nya; kerana jika kebahagiaan atau kemakmuran itu berterusan bagi orang-orang yang beriman dan dia tidak mengalami kesulitan, nescaya bercampur-aduklah kebahagiaan dan kemakmuran itu dengan kefasadan.

Kebijaksanaan Allah SWT menghendaki membezakan orang yang baik daripada orang yang jahat. Inilah faedah musibah, iaitu memelihara iman orang-orang yang beriman dari terhapus, dan tidak pula mereka menolak agama mereka. Allah tidak akan mensia-siakan iman orang-orang yang beriman.

مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ 

Dia memberitahu dalam ayat ini bahawa Dia akan menguji hamba-Nya dengan sebahagian (sedikit) ketakutan (daripada musuh) dan sebahagian (sedikit) dari kelaparan. Ini adalah kerana jika Dia menguji mereka dengan ketakutan, atau kelaparan sepenuhnya, nescaya mereka akan binasa. Musibah (mehnah) hanya menguji, tetapi tidak akan membinasakan.

Seorang ahli tasawwuf ditanya, “Kenapa Allah SWT taklifkan kepada kita untuk berpuasa?” Maka, jawabnya, “Supaya ia melaparkan orang-orang kaya.” Ini kerana, bila seseorang itu lapar nescaya rasa ihsan dan belas kepada orang-orang susah dan miskin begitu meningkat. Justeru, mereka akan membantu golongan fakir miskin dan mereka yang berkeperluan, terutamanya makan minum dan juga keperluan lain. Ini dapat dilihat dengan nyata apabila tibanya Ramadhan al-Mubarak.

Kami nyatakan di sini secara ringkas apa yang disebut oleh Imam al-Ghazali melalui kitabnya, Ihya’ Ulumiddin berkenaan dengan manfaat apabila perut kosong atau lapar.

  • Menjernihkan Serta Menghidupkan Hati

Perut yang kosong dapat menjernihkan dan menghidupkan hati. Perut yang kenyang dapat menumpulkan fikiran – ia menjadikan fikiran kabur, sama seperti keadaan seseorang ketika mabuk, sehingga ia menguasai proses berfikir, memberatkan hati dan melambatkan proses berfikir.

  • Merasa Lazat Dalam Beribadah

Apabila seseorang itu lapar ia dapat melembutkan dan menyucikan hati sehingga berasa lazat dan tekun untuk beribadat. Selain itu manfaat daripada zikir pula akan lebih terasa.

  • Boleh Menghilangkan Rasa Cintakan Dunia

Daripada perut yang lapar ialah seseorang itu merasa hina diri sebagai hamba, hilang cintakan dunia, serta hilang rasa takabbur yang menjadi penyebab kepada kelalaian seseorang daripada menyedari kebesaran Tuhan-Nya. 

  • Tidak Lupa Dengan Azab Dan Balasan Allah

Lapar mengajar kita untuk sentiasa ingat tentang azab dan balasan Allah, berlawanan pula rasa kenyang akan membuatkan seseorang lupa kepada orang yang lapar. Seterusnya, akan mengingatkan kita kepada Hari Pembalasan yang penuh dengan lapar dan dahaga.

  • Boleh Mengekang Keinginan Nafsu

Lapar dapat mengekang keinginan nafsu terhadap apa jua bentuk maksiat. Ia lebih mudah untuk menguasai diri dari dikuasai oleh hawa nafsu. Kegembiraan dapat dicapai apabila seseorang mampu menguasai dirinya sendiri.

  • Tubuh Badan Sentiasa Bersiap Siaga

Ini kerana, lapar dapat mengurangkan tidur dan menjadikan badan sentiasa berjaga. Orang yang memenuhi seleranya akan minum dengan banyak, dan orang yang makan dan minum dengan banyak akan tidur banyak.

Ahli sufi zaman dahulu, ketika makanan dihidangkan, akan sering berpesan kepada murid-muridnya: “Hai murid-muridku, jangan makan banyak, kerana kamu akan minum dengan banyak dan kamu akan cepat kenyang, kemudian kamu akan kehilangan banyak perkara.”

  • Membantu Ibadah Dalam Tempoh Yang Lama

Antara manfaat lapar ia boleh membantu seseorang untuk tumpukan kepada ibadah dalam masa yang panjang. Kenyang itu menjadi penghalang untuk melakukan ibadah dengan sebanyaknya. 

Di samping itu, kenyang menyebabkan seseorang mencuri masa termasuklah akan menyibukkan seseorang untuk aktiviti membeli dan memasak makanan.

  • Tubuh Badan Bertambah Sihat

Hal ini diperoleh dengan makan sedikit dan mengelakkan diri daripada penyakit yang disebabkan makan yang berlebihan.

Badan yang sakit dapat menyebabkan ibadah terhalang, memberi kesan kepada hati, menghalang daripada berfikir dan berzikir serta meningkatkan tekanan dalam kehidupan. Semua hal ini akan membawa kesan pula kepada urusan kewangan kerana perlu mencari penawar untuk mengubati penyakit.

  • Menjimatkan Perbelanjaan

Berbelanja untuk memuaskan keinginannya akan selalu menjadi penghutang kepada perutnya. Setiap hari ia akan bertanya; “Apa yang engkau akan makan hari ini?” Justeru, dengan berlapar sudah tentu dapat menjimatkan perbelanjaan.

  • Lapar Melahirkan Sifat Pemurah

Orang yang biasa lapar akan lebih murah hati untuk memberi makanan kepada anak yatim dan orang miskin. Pada hari akhirat mereka akan dilindungi dengan amalan sedekahnya.

Inilah sebahagian manfaat daripada lapar seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Ghazali. Sesungguhnya, kita hanya mengetahui sedikit sahaja daripada hikmah puasa dan lapar tetapi banyak lagi hikmah yang tidak dijangkau oleh akal fikiran kita. Kita yakin dengan kaedah yang menyebut, segala hukum syarak mempunyai sebab dan diikat dengan maslahah. Semoga Allah SWT natijahkan dari hasil puasa kita dengan taqwa. Amin.

Akhukum fillah,

Dr Zulkifli bin Mohamad al-Bakri

16 Ramadhan al-Mubarak 1444 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *