Renungan Ramadhan #16: Antara Hikmah Ramadhan, Berpuasa, dan Berbuka

Alhamdulillah, segala puji hanya bagi-Nya selawat dan salam kepada Rasulullah SAW, keluarganya, para sahabatnya dan semua yang mengikut jejak langkahnya hingga ke Hari Kiamat. Dalam ruangan Renungan Ramadhan pada kali ini, sekali lagi saya ingin fokuskan dengan tajuk Hikmah Yang Terkandung Dalam Ibadat Puasa

Kita dituntut untuk memahami dengan lebih mendalam tatkala Allah SWT kita menghayati ibadat puasa yang kita lakukan dengan penuh keimanan. Bermula dengan niat sahur dan bersahur, sehingga kita berbuka puasa, semuanya penuh dengan hikmah. Antaranya ialah:

  • Segera berbuka puasa dengan ruthob (tamar separuh masak) untuk menguatkan tubuh badan dengan sedikit manisan yang boleh menambahkan kekuatannya. Menurut Yusuf Ahmad dalam bukunya Mausu’ah al-Ijaz al-Ilmi fi al- Quran wa al-Sunnah al-Mutahhirah (Ensiklopedia Mukjizat Sains dalam al-Quran dan Sunnah), buah kurma merupakan nikmat agung daripada Allah yang dianugerahkan kepada kita. Ia membekalkan pelbagai zat yang diperlukan oleh badan dan dapat diserap ke dalam sistem tubuh manusia dengan cepat. Glukosa yang terkandung dalam buah kurma boleh dihadamkan dengan pantas dan masuk ke dalam sel hati, otak, darah, sistem saraf, sistem otot dan semua jaringan yang lain. Dengan ini, tenaga manusia dapat dikembalikan dengan kadar segera apabila memakan kurma.
  • Kurma juga adalah makanan paling ideal untuk tubuh manusia kerana ini mengandungi kadar gula yang tinggi dalam bentuk glukosa dan fruktosa, di samping protein, lemak, vitamin A, B2 dan C serta beberapa mineral penting yang lain iaitu kalsium, postassium, fosforus, magnesium, sodium (natrium) dan florin.
  • Bersahur kerana dalam makanan sahur itu ada keberkatan, sebagaimana riwayat al-Bukhari dan Muslim. Hikmahnya ialah supaya menjadikan diri bertenaga ketika berpuasa.
  • Menta’khirkan sahur, seperti riwayat Imam Ahmad, di mana umat Rasulullah SAW sentiasa dalam kebaikan selama mana menta’khirkan sahur. Hikmahnya boleh menghadapi puasa pada siang hari dengan lebih mudah.
  • Dengan meninggalkan kata-kata keji, seperti perintah Rasulullah SAW dalam riwayat al-Bukhari, menjadikan seseorang sentiasa beradab walaupun bukan di bulan puasa kerana barakah adab puasa yang dipatuhinya.
  • Puasa menjadikan seseorang boleh memanfaatkan waktu dengan tadarus al-Quran, beri’tikaf di masjid, menjadi lebih mudah bagi yang mencari pahala di sisi Allah.
  • Berbuka secara jama’ie di bulan puasa mendorong keutuhan hubungan instisusi kekeluargaan akan menjadi lebih harmoni.
  • Dengan memahami hadis Rasulullah SAW, seperti riwayat al-Tirmizi, yang mana siapa yang memberi makan orang yang berpuasa, akan diberi pahala orang puasa tersebut tanpa dikurangi sedikit pun pahalanya. Hikmahnya ialah menjadikan orang beriman berlumba-lumba untuk menjamu orang yang berpuasa. Justeru, jaringan kemasyarakatan menjadi lebih utuh dan padu.
  • Kelebihan bersedekah pada bulan Ramadhan sebagai sedekah yang paling afdhal, seperti riwayat al-Tirmizi, menjadikan orang yang beriman menggandakan sedekah mereka dan juga amalan derma. Dengan ini, sudah tentu membawa masyarakat kepada suasana ta’awun (tolong-menolong)
  • Membaca doa ketika berbuka puasa menjadikan seseorang mengikhlaskan diri kepada Tuhan, mengiktiraf kurniaan rezeki-Nya dan mengharapkan pahala daripada Nya. Hikmahnya boleh menjadikan mukmin sejati yang sentiasa berada dalam muraqabah (pemerhatian) Allah SWT.

Saya menukilkan pendapat Ibn al-Qayyim yang berkata: “Puasa memberi kesan yang menakjubkan dalam menjaga anggota luaran dan kekuatan batin dan yang rosak dan membinasakan tubuh badan) dengan membuangnya demi kesihatan tubuh badan. lanya mengembalikan kekuatan di dalam melawan hawa nafsu dan dapat menolong seseorang kepada mencapai darjat taqwa.”

Akhir kalam, marilah sama-sama kita meningkatkan lagi ketaqwaan kita kepada Allah SWT hasil daripada ibadah puasa dan ibadah-ibadah fardhu dan sunat yang kita lakukan sepanjang bulan Ramadhan ini. Semoga mukhayyam tarbawi Ramadhan boleh kita langsungkan dalam kehidupan kita sehingga kita menemui Ilahi. Amin.

Akhukum fillah,

Dr Zulkifli bin Mohamad al-Bakri

15 Ramadhan al-Mubarak 1444 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *