#25 Memaknai Perpaduan Nasional

Mukadimah

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Telah sampai kepada saya satu soalan khusus berkenaan dengan sokongan terhadap pembentukan perpaduan nasional. Saya yakin dan saya percaya penanya secara jujur ingin mengetahui buah fikiran saya terkait politik semasa yang sedang berlaku di tanah air ini. Saya ada beberapa buah fikiran berhubung konsep perpaduan nasional. Secara asasnya, dua aspek yang akan saya sentuh iaitu sudut masyarakat dan negara.

Paksi Perpaduan Nasional Adalah Kefahaman Beragama

Firman Allah SWT:

إِنْ أُرِيدُ إِلَّا الْإِصْلَاحَ مَا اسْتَطَعْتُ ۚ وَمَا تَوْفِيقِي إِلَّا بِاللَّـهِ ۚ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ

Maksudnya: “Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepada-Nya lah aku kembali.”

(Surah Hud: 88)

Ibn Kathir berkata: (إِنْ أُرِيدُ إِلَّا الْإِصْلَاحَ مَا اسْتَطَعْتُ) “Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku.” Maksudnya, dalam apa yang aku perintahkan kepadamu dan aku melarangmu, aku hanyalah ingin memperbaikimu dengan kemampuanku dan kekuatanku. (وَمَا تَوْفِيقِي) “dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya.” Maksudnya, dalam meraih kebenaran dalam apa yang aku inginkan. (إِلَّا بِاللَّـهِ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ) “melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri” dalam segala urusanku. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/373)

Perpaduan nasional mengacu pada semangat kesatuan, kebersamaan, dan harmoni antara berbagai kelompok dan individu dalam sesebuah negara. Ia memerlukan usaha islah yang jitu dan berterusan. Agama perlu menjadi asas bagi usaha islah, berperanan menghilangkan prasangka dan ketegangan yang mungkin timbul akibat perbezaan ideologi dan aliran. serta memandu nilai-nilai universal seperti kasih, saling menghormati, dan keadilan. Maka, usaha islah dalam masyarakat wajar dimulakan dari kesedaran individu dan penyelarasan pola pemikiran yang melibatkan semua elemen masyarakat, termasuk cara beragama.

Galakan Untuk Bersatu Serta Membina Perpaduan

Firman Allah SWT:

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا

Maksudnya: “Berpegang teguhlah kamu seluruhnya dengan tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah.”

Surah Ali Imran (103)

Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya ke atas ayat ini menyebut: “Iaitu janganlah kamu berpecah belah di dalam agama kamu seperti berpecahnya golongan Yahudi dan Nasrani dalam agama mereka’’. Kemudian beliau berkata lagi: ‘’Boleh juga ia membawa erti janganlah kamu berpecah belah dengan mengikuti hawa nafsu dan kehendak-kehendak yang berbeza, dan jadilah bersaudara di dalam agama Allah. Maka yang demikian itu akan menghalang kamu dari berpecah belah dan saling bermusuhan.” (Lihat al-Jami’ Li Ahkam al-Quran, 4/151).

Ayat ini memberikan arahan dan ingatan kepada umat Islam agar bersatu dan tidak berpecah belah. Umat Islam diminta untuk berpegang teguh kepada agama Islam sebagai tali yang mengikat dan secara tidak langsung menyatukan mereka semua. Dalam konteks ini, tali Allah merujuk pada ajaran dan prinsip-prinsip Islam yang mengatur kehidupan umat. Hanya dengan perpaduan,umat Islam dapat mencapai keberkatan dan petunjuk daripada Allah serta terhindar dari perpecahan dan kebinasaan.

Larangan berpecah belah disebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Arfajah bin Shuraih bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 فَإِنَّ يَدَ اللَّهِ عَلَى الْجَمَاعَةِ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ مَعَ مَنْ فَارَقَ الْجَمَاعَةَ يَرْكُضُ

Maksudnya: “Sesungguhnya tangan Allah bersama dengan al-jama’ah. Dan sesungguhnya syaitan itu akan berlari bersama dengan mereka yang memisahkan diri dari jamaah (kelompok umat Islam).”

Riwayat al-Nasa’ie (4020)

Al-Munawi berkata: Sesungguhnya Allah SWT telah menghimpunkan orang-orang beriman dalam makrifah yang satu dan syari’ah yang satu. Tidakkah kamu membaca firman Allah SWT: ‘إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ’ (“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara.”) [Surah al-Hujurat: 10] Maka sesiapa yang memisahkan diri daripada mereka, maka mereka menyelisihi perintah Allah SWT, lalu mereka melazimi syaitan. (Lihat Faidh al-Qadir, 4/131)

Muhammad bin Isma’il al-San’ani berkata: Maksud, sesungguhnya tangan Allah bersama al-Jama’ah bermaksud, inayah-Nya, rahmat-Nya dan peliharaan-Nya. Manakala sesiapa yang memisahkan diri daripada al-Jama’ah, maka dia berada di jalan syaitan dan pemeliharaannya, dan tidak mendapat pemeliharaan Allah.” (Lihat al-Tanwir Syarh al-Jami’ al-Saghir, 6/389)

Hadith ini menjadi pengajaran tentang bahaya perpecahan dan perlunya menjaga kesatuan. Umat Islam, serta masyarakat secara umum, harus berupaya menjaga kesatuan dan menghindari perpecahan yang dapat dimanfaatkan oleh pihak-pihak yang ingin menciptakan keretakan dan ketegangan dalam masyarakat.

Dalam membangun perpaduan nasional, umat Islam dan seluruh masyarakat perlu memahami pentingnya bersama-sama dalam menghadapi cabaran dan mempromosikan kebaikan. Mengutamakan kesatuan dan menghindari perpecahan adalah langkah penting dalam menciptakan lingkungan yang harmoni, toleransi, dan saling menghormati di tengah keragaman yang ada dalam masyarakat. Dengan demikian, hadis ini memberikan pengajaran tentang perlunya perpaduan nasional, di mana perpaduan merupakan landasan yang kuat bagi kemajuan dan kesejahteraan masyarakat.

Bahaya Berpuak dan Berpecah-Belah

Berpuak-puak dan berpecah-belah merujuk kepada pembentukan kumpulan eksklusif dan bercanggah antara satu sama lain, sama ada berdasarkan faktor agama, etnik, mahupun ideologi politik. Ini berpotensi menjejaskan perpaduan nasional dan membawa kesan negatif yang amat ketara antaranya kerencatan pembangunan sosial dan ekonomi, ketegangan dan konflik sosial, ketidakadilan dan ketidaksaksamaan. Perpecahan masyarakat akhirnya mendatangkan bahaya kepada kestabilan negara dan perpaduan nasional. Secara tidak langsung, ia mengganggu kestabilan politik dan mengurangkan keberkesanan tadbir urus sesebuah kerajaan.

Secara asasnya umat Islam disifatkan sebagai sebuah umat yang satu. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

إِنَّ هَٰذِهِ أُمَّتُكُمْ أُمَّةً وَاحِدَةً وَأَنَا رَبُّكُمْ فَاعْبُدُونِ

Maksudnya: “Sesungguhnya ini adalah umat kamu umat yang satu dan Aku adalah tuhan kamu maka beribadahlah (kepada-Ku).”

Surah Al-Anbiya’ (92)

Ibn ‘Abbas R.Anhuma dan anak-anak muridnya seperti Mujahid dan Sa’id bin Jubair dalam menafsirkan ayat ini mereka berkata: “Agama kamu adalah agama yang satu.”

Imam Hasan al-Basri pula berkata: Maksudnya adalah, “Sunnah kamu adalah sunnah yang satu.” (Lihat Tafsir al-Quran al-Azim, 5/373)

Syeikh Abd al-Rahman al-Sa’di pula menafsirkan ayat tersebut dengan katanya: Kesemua mereka (iaitu para Rasul) berada di atas agama yang satu, jalan yang satu, serta Tuhan yang satu. Lihat Taisir Karim al-Rahman (5/1083).

Begitu juga terdapat sebuah hadis yang menggambarkan keutuhan dan kekukuhan persaudaraan sesama umat Islam yang diriwayatkan oleh Nu’man bin Basyir bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى

Maksudnya: Perumpamaan golongan yang beriman pada sifat berkasih sayang, saling merahmati, dan saling membantu adalah seperti suatu badan. Apabila ada anggota badan yang sakit, ia menyebabkan keseluruhan tubuh badan tidak dapat tidur dan juga menjadi demam.

Riwayat al-Bukhari (5665), Muslim (2586), al-Tirmizi (1847), al-Nasa’ie (2525) dan Imam Ahmad (19188)

Al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqalani menukilkan sebuah kata-kata menarik daripada Imam Ibn Abi Jamrah apabila mengulas hadis ini yang menyebut: ‘’Secara zahirnya sifat saling merahmati, saling berkasih sayang dan saling membantu ini meskipun mempunyai makna yang hampir sama, akan tetapi terdapat perbezaan tertentu padanya. Adapun saling merahmati, yang dimaksudkan dengannya adalah: Saling merahmati sesama mereka dengan ukhuwwah (persaudaraan) keimanan bukan dengan sebab selainnya. Adapun saling berkasih sayang pula membawa maksud: Saling berhubung yang boleh mendatangkan kasih sayang seperti saling menziarahi dan memberi hadiah. Adapun yang dimaksudkan dengan al-ta’athuf ia adalah mereka saling membantu antara satu sama lain.

Beliau berkata lagi: Nabi SAW memberikan perumpamaan iman dengan tubuh badan dan ahli iman diumpamakan dengan anggota tubuh. Ini kerana iman adalah asal dan cabangnya adalah taklif-taklif. Sekiranya seseorang itu mengabaikan taklif (tanggungjawab) maka yang demikian itu memberi kerosakan kepada asal (keimanan). Demikian jugalah jasad adalah asal seperti sebatang pokok dan anggota-anggota badan seperti dahan-dahan pokok. Apabila satu anggota terasa sakit maka sakitlah jua keseluruhan badan. (Lihat Fath al-Bari, 10/439)

Saya pernah dijemput untuk menghadiri satu muktamar bertajuk ‘’Kesatuan Islam: Bahaya Berpuak Dan Berpecah Belah’’ yang bertempat di Makkah al-Mukarramah. Muktamar tersebut berlangsung pada 12 hingga 13 Disember 2019 bersamaan 4 dan 5 Rabi’ al-Akhir 1440 Hijrah.  Muktamar yang dianjurkan oleh pihak Rabithah Al-‘Alam Al-Islami atau Muslim World League ini turut melibatkan penyertaan hampir 1200 orang peserta yang terdiri dari para mufti, tokoh-tokoh agamawan dan pendakwah dari 127 buah negara.

Antara resolusi yang diputuskan adalah, para ulama, pendakwah, dan tokoh-tokoh pemikir umat Islam perlu didekatkan sudut pandang sesama mereka, berserta dengan kefahaman yang matang menurut konsep Islam terkait isu-isu perbezaan pandangan. Menjadi tanggungjawab kepada semua pihak untuk menyatukan saf umat Islam dan menjadi contoh kepada orang lain dalam kalangan bukan Islam, serta menzahirkan prinsip agama kita yang cintakan kesejahteraan dan ketenangan serta menolak sebarang bentuk keganasan dan pelampauan. Resolusi muktamar juga menekankan peri pentingnya menyebarkan prinsip wasatiyah dari sudut keilmuan, pemikiran dan juga kemasyarakatan, serta menjelaskan hakikat agama Islam yang sebenar kepada seluruh masyarakat. Tindakan segera perlu dilakukan bagi menghalang aktiviti-aktiviti yang membawa kepada permusuhan, kebencian, serta perbalahan kumpulan-kumpulan tertentu.

Pengajaran Daripada Perjanjian al-Hudaibiyah

Hudaibiyah adalah nama sebuah sumur di arah Barat Daya dari kota Mekah. Sekarang tempat ini dikenal dengan nama Asyamisiy. Nama Hudaibiyyah menjadi terkenal selepas sebuah peperangan atau perjanjian antara kaum Muslimin dan kuffar Quraisy yang terjadi pada tahun ke-6 Hijriah pada bulan Zulkaedah. Antara pengajaran yang boleh kita peroleh adalah:

  • Tabiat atau konsep syura di dalam Islam: Banyak perkara di dalam peristiwa ini Baginda SAW berbincang atau bermesyuarat dengan sahabat-sahabat Baginda SAW. Ini menunjukkan pensyariatan syura itu sendiri serta kepentingan seorang pemimpin untuk berpegang dengannya 
  • Pensyariatan berdamai di antara umat Islam dan musuhnya: Para ulama dan imam-imam mengeluarkan hukum bahawa dibolehkan berdamai di antara umat Islam dan orang yang diperanginya kepada satu tempoh yang dimaklumi berdasarkan kepada peristiwa ini. Mazhab al-Syafie dan Ahmad serta ramai daripada kalangan ulama cenderung kepada perdamaian tidak boleh dilakukan melainkan diketahui tempohnya.
  • Syarat perdamaian terbahagi kepada dua iaitu sahih dan batil: Syarat sahih adalah yang tidak bertentangan dengan kitab Allah dan sunnah Nabi SAW. Adapun syarat yang bathil adalah yang bertentangan dengan kitab Allah dan sunnah Nabi SAW. (Lihat Fiqh al-Sirah oleh Sheikh Muhammad Said Bin Ramadhan al-Buthi hlm 237-243)
  • Hikmah berlembut dan tidak berkeras: Sifat ini dapat dilihat ketika perjanjian dibuat atau ditulis di antara Rasulullah SAW dan Suhail.
  • Daripada perdamaian kepada pembukaan dan kemenangan: Peristiwa Hudaibiyyah inilah yang merupakan titik tolak kepada pembukaan lembaran baru Islam serta tersebarnya Islam ke seluruh jazirah (semenanjung) tanah arab. (Lihat al-Sirah al-Nabawiyah oleh Sheikh Abu Hasan Ali al-Nadwi hlm 281-287)
  • Pemimpin dan masyarakat perlu sentiasa berbincang, supaya dapat mencetuskan pandangan-pandangan dan solusi bagi keperluan yang diingini oleh masyarakat.

Terlalu banyak pengajaran yang diperoleh dalam peristiwa Perjanjian al-Hudaibiyah. Secara tersurat dan tersiratnya, 6 pengajaran ini memainkan peranan yang penting dalam pembentukan perpaduan nasional yang sebenar.

Apa Langkah Seterusnya?

Tidak salah untuk Muslim menyokong untuk bersama membentuk perpaduan nasional demi kebaikan agama, bangsa dan negara. Sepatutnya perpaduan yang ingin dicapai merentasi sempadan politik, warna kulit, bangsa, bahasa, dan negeri. 

Ia mestilah bermatlamatkan untuk mewujudkan keharmonian, kesepakatan, kerjasama, persefahaman yang baik, toleransi yang tinggi, dan membina serta menyuburkan noktah-noktah persamaan serta mengecil dan menumpulkan duri-duri perbezaan dan perselisihan. Kesemuanya ini bertitik tolak daripada niat yang tulus lagi ikhlas yang terbit dari hati yang suci dan jiwa yang bersih. 

Saya setuju dengan hujah menjadikan Perjanjian Hudaibiyah antara musyrikin Mekah dan Baginda Nabi SAW sebagai ibrah tetapi perlulah ia dilaksanakan dalam konteks yang sebenarnya, iaitu berakhir dengan pembukaan kota Mekah dan kemenangan bagi umat Islam. Hasil perjanjian Hudaibiyah jelas menguntungkan Islam dan umatnya bukan merugikannya. Walaupun Suhayl bin ‘Amru bertegas dengan menolak penamaan “al-Rahman” dan “Rasulullah” pada awal perjanjian berkenaan, tetapi akhirnya gemaan kalimah tersebut telah berkumandang dengan hebatnya di atas Ka’bah yang dilaungkan oleh Bilal bin Rabah al-Habasyi. Benarlah firman Allah SWT:

إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ ‎.‏ وَرَأَيْتَ النَّاسَ يَدْخُلُونَ فِي دِينِ اللَّهِ أَفْوَاجًا.‏ فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ ۚ إِنَّهُ كَانَ تَوَّابًا‏

Maksudnya: “Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah), – Dan engkau melihat manusia masuk dalam ugama Allah beramai-ramai, – Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.

Surah al-Nasr (1-3)

Berkenaan dengan isu bekerjasama dalam perkara yang membawa kebaikan, itulah yang sepatutnya kerana Allah SWT sendiri mendorong kita ke arah melakukan kebaikan.

Firman Allah SWT:

 وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa.

Surah al-Maidah (2)

Syeikh al-Sabuni berkata: Iaitu bertolong-tolonganlah kamu dalam perkara melakukan kebaikan dan kebajikan dan meninggalkan kemungkaran serta (bertolong-tolonganlah dalam) perkara yang membawa ketaatan kepada Allah SWT. (Lihat Safwah al-Tafasir, 1/301)

Semua yang dinyatakan di atas perlulah mengambilkira kepada perkara berikut:

  • Kepentingan Islam dan umat Islam. Hak Islam selaku Agama Persekutuan perlu dijunjung, dan bukan seolah-olah menjadi “Orang Kena Tuduh”. Apatah lagi sebarang tindakan yang merisikokan masa depan agama.
  • Kesatuan yang membawa kedamaian hati, menghormati hak bangsa yang majoriti serta menunaikan tanggungjawab kepada bangsa yang minoriti. Dalam erti kata lain, kefahaman dalam erti yang sebenar fiqh muwatanah mengikut realiti perlembagaan Malaysia.
  • Keadilan politik antara Kerajaan dan Pembangkang.
  • Janji yang dikotakan, dilaksanakan sesegera mungkin tanpa diskriminasi.
  • Elakkan terlalu banyak mengkritik sesama sendiri. Ini akan membawa kepada mudaratnya lebih besar daripada manfaat yang diperolehi. Pada zahirnya nampak kesatuan dan perpaduan tetapi pada batin masing-masing bertelingkah dan mengingkari antara satu sama lain. Benarlah firman Allah SWT:

تَحْسَبُهُمْ جَمِيعًا وَقُلُوبُهُمْ شَتَّىٰ ۚ

Maksudnya: “Engkau menyangka mereka bersatu padu, sedang hati mereka berpecah belah (disebabkan berlainan kepercayaan mereka).”

(Surah al-Hasyr: 14)

Ibn Kathir berkata: “Kamu melihat mereka berkumpul, sehingga kamu menyangka mereka bersatu, sedangkan mereka sangat berselisih. Yang demikian itu kerana mereka adalah kaum yang tidak mengerti.” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 6/318)

Penutup

Firman Allah SWT:

هُوَ اجْتَبَاكُمْ وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ ۚ مِّلَّةَ أَبِيكُمْ إِبْرَاهِيمَ ۚ هُوَ سَمَّاكُمُ الْمُسْلِمِينَ مِن قَبْلُ وَفِي هَـٰذَا لِيَكُونَ الرَّسُولُ شَهِيدًا عَلَيْكُمْ وَتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ ۚ فَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَاعْتَصِمُوا بِاللَّـهِ هُوَ مَوْلَاكُمْ ۖ فَنِعْمَ الْمَوْلَىٰ وَنِعْمَ النَّصِيرُ

Maksudnya: “Dia lah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamanya); dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara ugama, ugama bapa kamu Ibrahim. Ia menamakan kamu: “orang-orang Islam” semenjak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah). Oleh itu, dirikanlah sembahyang, dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dia lah Pelindung kamu. Maka (Allah yang demikian sifatNya) Dia lah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi pertolongan.”

Surah al-Haj (78)

Umat Islam perlu segera sedar bahawa mereka ada jati diri tersendiri yang berbeza daripada yang lainnya. Jati diri yang tidak berpihak ke kanan mahupun kiri. Peribadi sejati yang terzahir pada tanda-tanda dan ciri-ciri berpaksikan Islam. Melihat kepada senario perpecahan umat yang berlaku di dunia pada masa kini, maka menjadi wajib bagi kita mencari jalan penyelesaian yang paling berkesan dengan sesegera mungkin supaya umat Islam kembali berada pada kemuncak kegemilangannya.

Kerajaan perlu serius menzahirkan hasrat kerjasama dengan pihak Pembangkang demi manfaat rakyat jelata. Pembangkang pula perlu konsisten melakukan semak-imbang yang bijak kepada polisi-polisi kerajaan. Saya masih menaruh harapan agar sesiapa sahaja yang menjadi Kerajaan atau Pembangkang pada masa sekarang atau pada masa akan datang, benar-benar menjalankan amanah tersebut dengan sebaiknya. Kedua-duanya tidak boleh lagi memainkan retorik politik jika benar-benar inginkan perubahan kepada masa depan nasib rakyat. Sebarang usaha ke arah tersebut wajar dirai dengan dipandu oleh para ulama rabbani yang ikhlas dan celik dalam soal tadbir urus negara.

Hanya dengan perpaduan nasional yang sebenar, golongan kaya merasa selesa dengan sistem cukai yang tidak menindas bahkan mereka dengan rela dan berbesar hati melipatgandakan pengeluaran zakat, infak dan sedekah serta cukai tanpa sebarang merasa tertekan dan ditindas. Rakyat marhaen pula akan lebih bahagia dengan sistem sokongan yang stabil samada dari sudut ekonomi, politik dan sosial.

Apa sahaja isu dan kehendak yang timbul waima harga barang yang naik, harga petrol yang meresahkan, kos ibadah haji yang lebih rasionaldan 1001 lagi kegusaran rakyat, ada jalan keluarnya jika perpaduan tersebut dimaknai dalam erti yang sebenar. Kita mengharapkan perpaduan yang positif dan bersifat membina, menapak ke hadapan untuk menuju ke kegemilangan, bukan perpaduan yang bersifat negatif serta hipokrit. Apabila telah wujud perpaduan yang sebenar, maka ianya menjadi kewajipan semua anggota masyarakat untuk sama-sama memelihara dan mempertahankannya.

Negara dengan bentuk perpaduan sebeginilah yang layak ditabalkan sebagai negara al-Madinah al-Fadhilah dan negara Madani yang hakiki seperti mana negara kota Madinah yang dibentuk oleh Rasulullah SAW. Ia sarat dengan ciri-ciri keadilan, keamanan, kesolehan, ketaqwaan, kesaksamaan, kehormatan, kemuliaan, kebaikan dan segala nilai serta sifat mahmudah terwujud pada negara tersebut dan rakyatnya.

Realiti sebenar perpaduan ummah pada hari ini sangat menyedihkan, mengecewakan dan memalukan. Perpecahan ummah di seluruh dunia berada pada tahap yang sangat kritikal dan kronik. Oleh sebab itulah, umat Islam dipandang hina, rendah dan mundur. Sewajarnya kita mengambil kecaknaan dan keprihatinan bersungguh-sungguh agar virus perpecahan dalam masyarakat dapat dihapuskan dengan digantikan sebuah masyarakat yang mempunyai kasih sayang dan membina tamadun baru melayakkan untuk meraih Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur.

Saya akhiri dengan doa:

اَللّهُمَّ إِنَّكَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذِهِ الْقُلُوْبَ ، قَدِ اجْتَمَعَتْ عَلَي مَحَبَّتِكَ ، وَالْتَقَتْ عَلَى طَاعَتِكَ ، وَتَوَحَّدَتْ عَلَى دَعْوَتِكَ ، وَتَعَاهَدَتْ عَلَى نُصْرَةِ شَرِيْعَتِكَ ، فَوَثِّقِ اللَّهُمَّ رَابِطَتَهَا ، وَأَدِمْ وُدَّهَا، وَاهْدِهَا سُبُلَهَا ، وَامْلَأَهَا بِنُوْرِكَ الَّذِيْ لاَ يَخْبُوْا ، وَاشْرَحْ صُدُوْرَهَا بِفَيْضِ الْإِيْمَانِ بِكَ ، وَجَمِيْلِ التَّوَكُّلِ عَلَيْكَ ، وَاَحْيِهَا بِمَعْرِفَتِكَ، وَأَمِتْهَا عَلَى الشَّهَادَةِ فِيْ سَبِيْلِكَ ، إِنَّكَ نِعْمَ الْمَوْلَى وَنِعْمَ النَّصِيْرِ ، اَللَّهُمَّ أَمِيْنَ وَصَلِّ اللَّهُمَّ عَلَى سَيِّدَنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلِّمْ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui bahawa hati-hati ini, sesungguhnya telah berhimpun atas dasar kecintaan terhadapmu, bertemu atas dasar ketaatan kepada-Mu dan bersatu atas jalan dakwah kepada-Mu, mengikat janji persetiaan atas dasar meninggikan syariat-Mu.

Oleh itu, Engkau kukuhkanlah ikatannya Ya Allah, kekalkanlah kemesraan hati-hati ini, tunjukkanlah hati-hati ini akan jalan yang sebenar, serta penuhkanlah hati-hati ini dengan cahaya Rabbani-Mu yang tidak pernah malap, lapangkanlah hati-hati dengan limpahan keimanan serta keindahan tawakkal kepada-Mu, hidup suburkanlah hati-hati ini dengan makrifah-Mu dan (jika Engkau takdirkan kami mati) maka matikanlah hati-hati ini sebagai para syuhada dalam perjuangan agama-Mu. Sesungguhnya Engkau sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong.

Ya Allah, perkenankanlah!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *