#348 Minum Kopi Luwak

[ux_products]

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum meminum kopi luwak? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُحَرِّمُوا طَيِّبَاتِ مَا أَحَلَّ اللَّـهُ لَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا ۚ إِنَّ اللَّـهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik-baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas (pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.”[1]

Ayat dia atas mengandungi peringatan buat orang beriman agar tidak mengharamkan apa-apa yang baik, yang telah Allah SWT halalkan untuk mereka yang terdiri daripada makanan, minuman dan menikahi perempuan sehingga mempersempitkan apa yang telah Allah SWT luaskan untuk mereka. Selain itu, ayat ini juga mengingatkan mereka agar jangan melampaui batas-batas yang telah Allah SWT haramkan kerana sesungguhnya Allah SWT tidak menyukai orang yang melampaui batas.[2]     

Kopi Luwak dan Sejarahnya

Kopi Luwak barasal dari Kepulauan Indonesia dari Jawa dan Sumatra, kawasan yang terkenal dengan kopi yang berkualiti. Kawasan ini juga habitat asli haiwan seakan musang tenggalung bernama Paradoxurus, yang merupakan nama saintifik haiwan yang dikenali sebagai luwak oleh penduduk tempatan. Antara makanan kegemaran haiwan mamalia ini tinggal yang tinggal di pokok-pokok ini adalah biji kopi matang berwarna merah.

Haiwan ini juga makan buah dan biji kopi dengan menelan keseluruhan biji kopi tersebut. Ketika biji kopi berada di dalam perut haiwan ini, ia melalui tindak balas kimia dan proses fermentasi. Proses penghadaman biji kopi ini berakhir setelah ia melalui sistem penghadaman dan dikumuhkan keluar. Biji kopi yang masih dalam bentuk asal dikutip dari lantai hutan, dibersihkan kemudian dipanggang dan dikisar sama seperti biji kopi yang lain. Oleh kerana proses pengutipan yang pelik, tidak banyak kopi luwak yang dihasilkan di dunia. Kopi yang terhasil dikatakan tiada bandingan. Ia mempunyai rasa yang berat dan kaya dengan sedikit perisa karamel atau coklat. Istilah lain yang digunakan dalam menerangkan rasa kopi ini ialah ia mempunyai bau yang unik dan rasa yang exotik. Tekstur dan ketekalan kopi ini adalah seperti sirap dan licin.[3]

Menurut Dr. Zubaidi,[4] kopi luwak atau juga dikenali sebagai civet coffee, adalah antara kopi yang termahal di dunia dan sangat sukar didapati kerana pengeluarannya yang terhad. Harga kopi luwak boleh mencecah antara USD 100 dan USD 600 sekilo bergantung kepada kualitinya. Kopi yang dihasilkan oleh musang liar dalam hutan adalah lebih mahal berbanding kopi yang dihasilkan oleh musang yang dijinakkan.

Dalam kajian yang dijalankan, mendapati bahawa kopi luwak ini selamat diminum. Kuman-kuman yang mungkin berada di usus dan dubur musang dan melekat pada biji kopi sangat sedikit. Oleh itu, ia tidak membahayakan peminum kopi kerana kuman-kuman ini akan hilang setelah melalui proses pembersihan, dan panggangan dengan haba yang tinggi sebelum dibungkus dan dijual.

Dari segi manfaatnya, menurut beliau lagi, tidak banyak kajian yang menyokong manfaat kopi luwak ini. Kopi ini hanya bermanfaat kepada peminumnya hanya kerana ia mempunyai kandungan kafein sebagaimana kopi-kopi yang lain. Sebagai contoh, kopi berkafein bermanfaat untuk mengurangkan risiko menghidap penyakit nyanyuk dan penyakit Parkinson’s. Kandungan antioksidan dalam kopi akan menghalang kerosakan sel-sel otak.[5]

Hukum kopi luwak

Perkara ini ada berkait rapat dengan apa yang telah dibahaskan oleh para ulama mengenai makanan atau biji-bijian yang telah dimakan oleh haiwan ternakan. Kemudiannya, ia keluar daripada perut haiwan tersebut sama ada melalui muntahnya atau kotoran najisnya atau seumpamanya. Imam al-Nawawi ada menyebutkan bahawa:

إذَا أَكَلَتْ الْبَهِيمَةُ حَبًّا وَخَرَجَ مِنْ بَطْنِهَا صَحِيحًا فَإِنْ كَانَتْ صَلَابَتُهُ بَاقِيَةً بِحَيْثُ لَوْ زُرِعَ نَبتَ فَعَيْنُهُ طَاهِرَةٌ لَكِنْ يَجِبُ غَسْلُ ظَاهِرِهِ لِمُلَاقَاةِ النَّجَاسَةِ لانه وان صار غذاءا لَهَا فَمِمَّا تَغَيَّرَ إلَى الْفَسَادِ فَصَارَ كَمَا لَوْ ابْتَلَعَ نَوَاةً وَخَرَجَتْ فَإِنَّ بَاطِنَهَا طَاهِرٌ وَيَطْهُرُ قِشْرُهَا بِالْغَسْلِ وَإِنْ كَانَتْ صَلَابَتُهُ قَدْ زَالَتْ بِحَيْثُ لَوْ زُرِعَ لَمْ يَنْبُتْ فَهُوَ نَجِسٌ

Maksudnya: “Sekiranya seekor haiwan memakan biji tumbuhan dan kemudian biji tersebut keluar dari perutnya dalam keadaan baik. Sekiranya keadaan bijian itu masih kekal sebagaimana asal (tidak berubah), yang mana jika ditanam ia dapat tumbuh, maka ia dikira suci. Akan tetapi mesti dibasuh bahagian luarannya (terlebih dahulu) kerana telah terkena najis.  Juga kerana, jika ia (bijian tersebut) telah menjadi makanan untuk haiwan ternakan tersebut, iaitu daripada apa-apa yang telah berubah menjadi rosak (kerana telah diproses dan diurai), maka ia menjadi (najis), sebagaimana kalaulah ia menelan biji-bijian, kemudian mengeluarkannya. Bahagian dalam bijian tersebut masih suci, manakala kulitnya (bahagian luar) dapat disucikan dengan membasuhnya. Namun, jika keadaan (bijian itu) tidak kekal (yakni telah berubah), yang mana jika ditanam ia tidak dapat tumbuh, maka ia dikira najis.”[6]

Begitu juga, Syeikh al-Ramli ada menyatakan bahawa sekiranya bijian tersebut boleh kembali (dikeluarkan) dalam keadaannya yang masih baik yang mana jika ditanam ia dapat tumbuh, maka ia dianggap sebagai mutanajjis[7] dan bukannya najis. Juga kemungkinan pendapat yang mengatakan ia adalah najis, boleh difahami dalam konteks bijian tersebut sudah tidak lagi kekal dalam keadaannya yang asal. Bijian tersebut diqiaskan pada telur, iaitu sekiranya telur tersebut keluar dalam keadaan masih elok setelah ditelan yang mana ia masih lagi boleh menetas, maka hukumnya adalah mutanajjis dan bukannya najis.[8]

Kemudian, Syeikh Abu Bakar al-Dimyati juga ada menyebutkan bahawa hukum bagi selain daripada bijian seperti telur, kacang badam (almond), kacang walnut dan yang seumpamanya, sekiranya ia dimuntahkan oleh haiwan ternakan atau dikeluarkan melalui kotoran najisnya, hukumnya adalah sebagaimana yang telah disebutkan oleh pengarang kitab Nihayah al-Muhtaj, yang telah mengqiaskannya dengan telur.[9]

Oleh itu, kita ketahui bahawa apa-apa jenis makanan seperti biji-bijian, kacang-kacang, buah-buahan dan seumpamanya, sekiranya ia keluar dari perut haiwan dalam keadaan masih elok dan kulitnya tidak pecah, serta masih kekal dalam rupanya yang asal (tidak berubah), maka ia dikira sebagai mutanajjis, sementara bahagian dalamnya masih dianggap suci dan boleh dibersihkan.

Justeru, biji kopi luwak yang keluar daripada perut luwak, yang masih dalam keadaan baik sebagaimana asalnya — yakni tidak pecah, berlubang atau seumpamanya — dikira sebagai mutanajjis dan bukannya najis. Sekiranya, ia dibasuh dan dibersihkan, ia kembali dianggap suci. Setelah itu, jika ia dihancurkan dan dibancuh air kopi, minuman tersebut adalah halal untuk diminum.

Perkara ini adalah selari dengan kaedah fiqh yang menyebutkan:

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ النَافِعَةِ الإِبَاحَةُ، وَفِي الأَشْيَاءِ الضَّارَّةِ الحُرْمَةُ

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu yang bermanfaat adalah dibolehkan (yakni harus) dan hukum asal bagi sesuatu yang berbahaya adalah diharamkan.”

Selain itu, terdapat juga kaedah fiqh lain menyatakan:

الأَصْلُ بَقَاءٌ مَا كَانَ عَلَى مَا كَانَ

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu itu adalah kekal mengikut keadaan sebelumnya.

Berdasarkan kepada kaedah-kaedah fiqh di atas, didapati kedudukan kopi luwak berasal daripada sesuatu yang bersih dan telah melalui sistem penghadaman binatang, kemudian dikeluarkan dalam bentuk asal tanpa mengalami sebarang kerosakan pada struktur biji kopi yang asal. Justeru, setelah dibasuh dan dibersihkan ia adalah halal untuk diminum sebagaimana hukumnya yang asal sebelum dimakan oleh luwak.

Fatwa-fatwa berkenaan kopi luwak

Selain itu, terdapat juga beberapa fatwa telah dikeluarkan daripada badan berautoriti berkenaan isu ini, antaranya:

  • Menurut Majelis Ulama Indonesia (MUI), biji kopi yang keluar bersama najis luwak adalah dikira sebagai mutanajjis,[10] dan bukannya najis. Justeru, biji kopi luwak itu adalah halal setelah disucikan dan meminumnya adalah dibolehkan. Begitu juga memproduksi dan memperdagangkannya juga adalah dibolehkan.[11]
  • Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-98 yang bersidang pada 13-15 Februari 2012 telah bersetuju memutuskan bahawa biji Kopi Luwak (musang) adalah bersifat mutanajjis dan ia harus dijadikan bahan minuman dengan syarat: (1) biji kopi tersebut masih dalam keadaan baik, tidak berlubang, tidak pecah dan dapat tumbuh jika ditanam; (2) dan biji kopi tersebut hendaklah disucikan terlebih dahulu daripada najis. Selain itu, Muzakarah juga memutuskan supaya Kopi Luwak yang dihasilkan hendaklah mendapatkan sijil pengesahan halal daripada JAKIM atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) sebelum dipasarkan kepada masyarakat Islam.[12]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa kopi luwak adalah halal dan harus untuk diminum, dengan syarat biji kopi yang keluar dari perut luwak tersebut dalam keadaan baik, tidak berlubang dan tidak rosak serta masih dalam keadaannya yang asal. Kemudian, biji kopi itu hendaklah melalui proses pembersihan bagi menghilangkan najis padanya, sebelum diproses dan diminum.

Kami juga ingin mengambil kesempatan di sini untuk menasihati umat Islam agar sentiasa berhati-hati dalam pengambilan apa jua makanan dan minuman agar ia benar-benar bertepatan dengan prinsip halalan tayyiban (halal lagi baik) agar segala daging yang tumbuh pada tubuh badan kita berpunca daripada sumber yang baik seterusnya menjauhkan kita daripada neraka Allah SWT.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 21 Januari 2022 bersamaan 18 Jamadil Akhir 1443H

[1] Surah al-Maidah: 87

[2] Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 122

[3] Lihat http://www.kopiluwak.org/baru/index.html. Diakses pada 20 Januari 2022.

[4] Beliau ialah Pegawai Perubatan Senior di Kumpulan Perubatan Penawar Sdn. Bhd. yang mempunyai 35 cawangan klinik di Johor dan beberapa negeri lain.

[5] Lihat http://drzubaidi.com/blog/kopi-luwak-manfaat-dan-hukum/. Diakses pada 20 Januari 2022.

[6] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/573.

[7] Sesuatu yang terkena najis.

[8] Lihat Nihayah al-Muhtaj, 1/240.

[9] Lihat I‘anah al-Talibin, hlm. 99.

[10] Iaitu sesuatu yang terkena najis.

[11] Lihat http://mui.or.id/wp-content/uploads/files/fatwa/Kopi-Luwak.pdf.

[12] Lihat http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/10294. Diakses pada 20 Januari 2022.

Latest articles

Related articles