#364 Maksud Ghurrah dan Tahjil dalam Hadith

[ux_products]

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Apakah maksud perkataan ghurrah (الْغرَّة) dan tahjil (التَّحْجِيلُ) dalam hadith? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Maksudnya:Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.[1]

Al-Maraghi menyatakan bahawa makna ayat di atas adalah sekiranya seseorang itu hendak bangun bagi mendirikan solat — dan masih lagi dalam keadaan berhadas. Hal ini kerana seluruh kaum Muslimin menyatakan bahawa bersuci (yakni berwuduk dan mandi wajib) tidak diwajibkan ke atas orang yang ingin mengerjakan solat melainkan dia masih dalam keadaan berhadas.[2]

Dalam hal ini, terdapat hadith yang menceritakan mengenai kesempurnaan wuduk dan ganjaran buat mereka sebagaimana daripada riwayat Nu‘aim bin Abdullah al-Mujmir, beliau berkata:

رَأَيْتُ أبا هُرَيْرَةَ يَتَوَضَّأُ فَغَسَلَ وجْهَهُ فأسْبَغَ الوُضُوءَ، ثُمَّ غَسَلَ يَدَهُ اليُمْنى حتّى أشْرَعَ في العَضُدِ، ثُمَّ يَدَهُ اليُسْرى حتّى أشْرَعَ في العَضُدِ، ثُمَّ مَسَحَ رَأْسَهُ، ثُمَّ غَسَلَ رِجْلَهُ اليُمْنى حتّى أشْرَعَ في السّاقِ، ثُمَّ غَسَلَ رِجْلَهُ اليُسْرى حتّى أشْرَعَ في السّاقِ، ثُمَّ قالَ: هَكَذا رَأَيْتُ رَسولَ اللهِ ﷺ يَتَوَضَّأُ. وَقَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَنْتُمُ الْغُرُّ الْمُحَجَّلُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ إِسْباغِ الْوُضُوءِ، فَمَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكمْ فَلْيُطِلْ غُرَّتَهُ وَتَحْجِيلَهُ

Maksudnya:Aku pernah melihat Abu Hurairah berwuduk. Beliau membasuh wajahnya, kemudian menyempurnakan wuduknya. Kemudian beliau membasuh tangan kanannya hingga mengenai bahagian atas lengan kanannya (atas daripada siku), kemudian membasuh tangan kirinya pula hingga mengenai bahagian atas lengan kirinya (atas daripada siku). Kemudian beliau menyapu kepalanya. Kemudian beliau membasuh kaki kanannya hingga sebahagian betis, kemudian membasuh kaki kirinya pula hingga sebahagian betis. Setelah itu, beliau berkata: ‘Demikianlah aku melihat Rasulullah SAW berwuduk.’ Beliau berkata lagi: Rasulullah SAW bersabda: ‘Kamu ialah orang yang memiliki cahaya pada wajah dan tangan serta kaki (iaitu pada anggota-anggota wuduk) pada Hari Kiamat kerana menyempurnakan wuduk. Oleh itu, sesiapa dalam kalangan kamu yang mampu, hendaklah dia memanjangkan cahaya itu.’[3]

Imam al-Suyuti menyebutkan bahawa lafaz “الْغرَّة” ialah warna putih yang terdapat pada dahi kuda. Manakala “التَّحْجِيلُ” pula ialah warna putih yang terdapat pada tangan dan kaki kuda. Dinamakan cahaya yang muncul pada anggota-anggota wuduk pada hari Kiamat dengan warna putih yang terdapat pada dahi, tangan dan kaki kuda adalah sebagai satu bentuk perumpamaan.[4] Selain itu, pengarang al-Fiqh al-Manhaji[5] menyatakan bahawa al-Ghurrah ialah membasuh muka ke bahagian kepala, manakala al-Tahjil pula ialah membasuh bahagian atas dua siku dan buku lali. Malah disunatkan untuk melebihkan basuhan pada kesemua anggota wuduk tersebut. Dalam erti kata lain, melebihkan basuhan daripada had basuhan yang wajib seperti melebihkan had basuhan pada bahagian muka di semua sudut muka iaitu sehingga membasuh belakang leher bersama semua bahagian permulaan kepala dan begitulah juga pada tangan dan kaki iaitu sehingga membasuh sekeliling bahagian atas dua siku dan buku lali.[6]

Menurut Imam al-Nawawi, ahli bahasa menyebutkan lafaz “الْغُرَّةُ” bermaksud warna putih yang dahi kuda dan lafaz “التَّحْجِيلُ” pula ialah warna putih yang terdapat pada tangan dan kaki kuda. Para ulama mentafsirkannya dengan cahaya yang muncul pada anggota-anggota wuduk di Hari Kiamat sepertimana warna putih yang terdapat pada kuda. Tambahan lagi, hadith ini diletakkan pada bab galakan melebihkan kadar basuhan wuduk di kepala, tangan dan kaki.[7] Imam al-San‘ani juga ada menyatakan bahawa hadith ini merupakan salah satu dalil yang menunjukkan tuntutan agar melebihkan basuhan kepala, tangan dan kaki ketika berwuduk.[8]

Syeikh Mustafa al-Bugha ketika memberi komentar terhadap hadith ini dalam Sahih al-Bukhari menyebutkan bahawa makna hadith ini ialah cahaya akan terpancar daripada wajah-wajah, tangan-tangan dan kaki-kaki mereka pada Hari Kiamat. Ini merupakan di antara kelebihan-kelebihan yang diberikan terhadap umat ini iaitu Allah SWT menjadikan kelebihan-kelebihan tersebut sebagai penyaksian ke atas manusia.[9]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa lafaz “الْغرَّة” ialah warna putih yang terdapat pada dahi kuda. Manakala “التَّحْجِيلُ” pula ialah warna putih yang terdapat pada tangan dan kaki kuda. Kemudian, ia ditafsirkan sebagai cahaya yang muncul pada anggota-anggota wuduk di Hari Kiamat sepertimana warna putih yang terdapat pada kuda.

Oleh sebab itu, kita disunatkan untuk melebihkan kadar basuhan daripada had basuhan yang wajib pada anggota wuduk. Mudah-mudahan kita termasuk dalam kalangan mereka yang mendapat kelebihan wuduk tersebut di Hari Akhirat kelak.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 26 Januari 2022 bersamaan 23 Jamadil Akhir 1443H

[1] Surah al-Ma’idah: 6

[2] Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/61.

[3] Riwayat Muslim (246)

[4] Lihat al-Dibaj ‘ala Sahih Muslim, 2/31

[5] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/59.

[6] Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/191.

[7] Lihat al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 3/134-135.

[8] Lihat Subul al-Salam, 1/70.

[9] Lihat Sahih al-Bukhari, 1/39.

Latest articles

Related articles