Mukadimah
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Pada 21 September 2023 M bersamaan 5 Rabiulawwal 1445 H, saya telah dijemput ke IPG Kampus Pendidikan Islam (Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam) Bangi bagi menyampaikan satu tausiyah yang terkait dengan seni dalam Islam. Program tersebut yang dikenali sebagai Ihtifal Seni Budaya Islam (ISBI Antarabangsa) sempena dengan pertandingan nasyid peringkat antarabangsa yang dianjurkan oleh IPG secara online. Alhamdulillah, sambutannya amat luar biasa.
Justeru, saya berasa terpanggil untuk menulis seba sedikit yang terkait dengan seni dalam Islam lebih khusus kepada seni suara dan muzik. Semoga ia memberi manfaat kepada kita bahkan ia menjadi salah satu dari medan dakwah yang memberi manfaat kepada ummah.
Masalah Hiburan dan Melapangkan Diri
Memetik lantunan puisi Jalaluddin al-Rumi:
“Irama seruling menyembuhkan kesakitan perpisahan
Melodinya menghilangkan tabir-tabir keterdesakan”
“Apakah yang mampu menjadi racun dan penyembuh sekaligus? Hanya seruling!
Siapakah yang mampu menjadi penenang dan perindu sekaligus? Hanya seruling!”
(Rujuk Mathnawi, 1:11-12)
Disini kita melihat Jalaluddin al-Rumi sendiri mengakui sifat muzik yang bersifat serampang dua mata, dan mampu membawa kesan positif dan negatif.
Kata Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi;
Islam adalah agama yang realiti, tidak tenggelam di dalam dunia khayalan atau terikat dengan contoh-contoh yang tidak jelas. Tetapi, Islam tertegak di atas hukum dan hakikat yang nyata. Islam juga tidak menganggap manusia itu seperti malaikat yang mempunyai dua, tiga dan empat sayap. Akan tetapi, Islam menganggap manusia itu sebagai makhluk Allah SWT yang memerlukan makan dan minum serta berjalan menuju ke pasar.
Justeru, Islam tidak mewajibkan manusia agar semua perkataan yang diucapkan sehari-hari sebagai zikir, semua renungannya sebagai berfikir, semua pendengarannya hanyalah al-Quran al- Karim dan semua masa lapangnya mesti berada di dalam masjid. Bahkan Islam mengiktiraf kewujudan manusia itu dengan fitrah dan tabiatnya yang tersendiri sebagaimana yang diciptakan Allah SWT buat mereka. Allah SWT menciptakan manusia supaya mereka senang, ketawa dan bermain-main sebagaimana diciptakan bagi manusia itu keinginan untuk makan dan minum.
Seketika dan Seketika
Pada hakikatnya, sebahagian sahabat Nabi SAW telah mencapai tahap kerohanian yang tinggi dalam hidup mereka sehingga mereka menyangka bahawa bersungguh-sungguh dan kekuatan beribadat yang jitu menjadi sifat mereka di dalam kehidupan. Bahkan mereka perlu mengenepikan semua kesenangan hidup dan keindahan dunia sehingga mereka tidak boleh lagi bersuka- ria. Malah segala pemikiran mereka mestilah ditujukan hanya kepada akhirat semata-mata serta terhindar daripada dunia dan kesenangannya. Benarkah sebegitu?
Marilah kita hayati kisah seorang sahabat yang bernama Hanzhalah al-Usaidi, iaitu salah seorang daripada penulis wahyu Nabi SAW, beliau memberitahu kita tentang dirinya, dengan berkata: Pada suatu hari, ketika beliau sedang berjalan, beliau telah ditemui oleh Saidina Abu Bakar RA, lalu ditanya: “Apa khabar hai Hanzhalah?” tanya Abu Bakar RA. Beliau menjawab: “Hanzhalah telah berlaku munafik,”. “Subhanallah! Apa yang kau katakan itu?” ujar Abu Bakar RA.
Beliau menjawab “Bagaimana tidak, bukankah apabila kita berada di sisi Rasulullah SAW, Baginda SAW mengingatkan kita tentang neraka dan syurga sehingga kita seolah-olah kita dapat melihatnya dengan mata kita sendiri. Akan tetapi, apabila kita keluar daripada sisi Baginda SAW, kita telah dilalaikan dengan anak-anak dan harta benda kita sehingga kita melupakan peringatan daripada Rasulullah SAW”. “Memang benar apa yang dikatakan olehmu itu hai Hanzhalah” sambut Abu Bakar RA. “Aku juga merasakan sama seperti itu,” beliau menyambung.
Hanzhalah terus menceritakan peristiwa itu lagi lalu beliau berkata: Aku bersama-sama Abu Bakar RA terus berjumpa dengan Rasulullah SAW dan kami duduk di sisi Baginda SAW, lalu aku berkata: “Hanzhalah telah berlaku munafik hai Rasulullah”. Rasulullah SAW bertanya: “Apa yang telah kamu lakukan hai Hanzhalah?”
Aku pun menjawab “Hai Rasulullah! Apabila kami di sisimu, kamu mengingatkan kami tentang neraka dan syurga sehingga seolah-olah kami dapat melihatnya di hadapan mata kami. Tetapi, apabila kami meninggalkan majlismu, kami telah dilalaikan dengan anak dan isteri serta harta benda kami sehingga kami terlupa kepada peringatanmu itu.”
Rasulullah SAW bersabda
وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ إِنْ لَوْ تَدُومُونَ عَلَى مَا تَكُونُونَ عِنْدِي وَفِي الذِّكْرِ، لَصَافَحَتْكُمُ الْمَلاَئِكَةُ عَلَى فُرُشِكُمْ وَفِي طُرُقِكُمْ وَلَكِنْ يَا حَنْظَلَةُ سَاعَةً وَسَاعَةً . ثَلاَثَ مَرَّاتٍ .
Maksudnya: “Demi jiwaku yang berada di dalam tangan- Nya! Sesungguhnya jika kamu menepati keadaan seperti yang kamu biasanya berada di sisiku dan ketika dalam berzikir, nescaya kamu akan disamakan dengan malaikat di tempat-tempat duduk kamu dan di jalan-jalan kamu. Tetapi, hai Hanzhalah! Sesaat begini dan sesaat begitu! Disebutkan ungkapan ini sampai tiga kali.”
Riwayat Muslim (2750) dan al-Tirmizi (2514)
Maka, dapat disimpulkan bahawa kesibukan seseorang dalam ibadah, tidak menafikan keperluan untuk disertakan hak tubuh badan dan hak jiwa yang memerlukan rehat dan sedikit hiburan yang bersesuaian.
Rasulullah SAW Juga Bersifat Manusia
Kehidupan Rasulullah SAW adalah contoh yang menyentuh jiwa bagi kehidupan manusia yang sempurna. Nabi SAW sentiasa bangun sembahyang dengan memanjangkan khusyuknya dan Langisannya. Baginda SAW kerap kali bangun bersembahyang sehingga kedua-dua belah tapak kaki Baginda SAW bengkak.
Tidak kira di dalam kebenaran atau batil, Baginda SAW tidak mempedulikan siapa saja orang itu selagi mana dia berada di sisi Allah SWT. Akan tetapi, di dalam kehidupan seharian dan pergaulan Baginda SAW sesama manusia, Baginda SAW adalah seorang manusia yang sangat suka perkara yang baik. Wajah Baginda SAW sentiasa berseri dan tersenyum, selalu bermain- main dan bergurau, serta tidak suka kecuali perkara yang benar sahaja.
Baginda SAW sangat suka kepada kegembiraan dan apa jua yang berkaitan dengannya. Sebaliknya, Baginda SAW membenci kesedihan dan apa saja perkara yang membawa kepada kesedihan, duka kerana banyak hutang, dan kecewa kerana banyak menanggung kesusahan. Baginda SAW sering memohon perlindungan Allah SWT daripada perkara-perkara ini. Baginda SAW memohon di dalam doanya:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ
Maksudnya: “Ya Allah! Ya Tuhanku! Sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada sifat duka dan sedih!”
Riwayat al-Bukhari (6369), Muslim (2706), Abu Daud (1555), al-Tirmizi (3484), al-Nasa’ie (5449) dan al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (305)
Antara kisah Baginda SAW bergurau yang telah diriwayatkan bahawa pada suatu ketika datang seorang perempuan tua meminta doa Rasulullah SAW untuknya. Perempuan tersebut berkata:
يَا رَسُولَ اللهِ، ادْعُ اللَّهَ أَنْ يُدْخِلَنِي الْجَنَّةَ
Maksudnya: “Hai Rasulullah! Aku mohon kepadamu supaya kamu berdoa kepada Allah SWT agar aku dimasukkan ke dalam syurga.”
Secara bergurau, Baginda SAW berkata kepada perempuan tua itu:
يَا أُمَّ فُلانٍ، إِنَّ الْجَنَّةَ لا تَدْخُلُهَا عَجُوزٌ
Maksudnya: “Wahai ibu! Sebenarnya syurga itu tidak akan dimasuki oleh orang tua.”
Maka terperanjatlah perempuan itu apabila mendengar jawapan Rasulullah SAW lalu dia beredar dalam keadaan menangis kerana dia menyangka dia tidak dapat masuk syurga.
Melihat keadaan perempuan itu yang serius, Baginda SAW segera menerangkan maksud kata-kata itu tadi, dengan bersabda:
أَخْبِرُوهَا أَنَّهَا لا تَدْخُلُهَا وَهِيَ عَجُوزٌ إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى، يَقُولُ: إِنَّا أَنْشَأْنَاهُنَّ إِنْشَاءً، فَجَعَلْنَاهُنَّ أَبْكَارًا، عُرُبًا أَتْرَابًا.
Maksudnya: “Khabarkan kepadanya bahawa dia tidak akan masuk syurga dalam keadaan tua kerana Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya kami menciptakan mereka (bidadari-bidadari) dengan langsung dan kami jadikan mereka gadis-gadis perawan, penuh cinta lagi sebaya umurnya.” [Surah al-Waqiah: 35-37]
Riwayat al-Tirmizi dalam al-Syama’il al-Muhammadiyyah (241), al-Baihaqi dalam al-Ba’th wa al-Nusyur (346), ‘Abd bin Humaid dan al-Tabarani.
Definisi Seni
Saya mulakan dengan definisi atau takrifan perkataan seni. Terdapat beberapa definisi seni mengikut Kamus Dewan:
- Seni ialah sesuatu yang halus (kecil, elok), tipis dan halus.
- Seni bermaksud kecekapan atau kepandaian membuat sesuatu yang indah-indah.
- Seni ialah hasil karya yang dicipta dgn kebolehan atau dgn kepandaian yang luar biasa; hasil daripada sesuatu ciptaan.
Di dalam jiwa atau perasaan manusia, secara semulajadi kita sukakan kepada keindahan dan keindahan itu adalah seni. Seni juga boleh dikatakan sebagai sesuatu yang bersifat abstrak, ianya mungkin dapat dipandang, didengar dan disentuh tetapi juga mungkin hanya dapat dirasai oleh jiwa tetapi tidak dapat dinyatakan melalui kata-kata.
Seni sukar untuk ditakrifkan secara tepat seperti mana ianya sukar untuk menerangkan konsep keindahan dan kesenangan kepada mereka yang tidak pernah melihat atau merasainya sendiri. Al-Farabi menjelaskan seni sebagai ciptaan yang berbentuk keindahan, manakala Al-Ghazali pula menjelaskan seni dengan maksud kerja yang berkaitan dengan rasa jiwa manusia yang sesuai dengan fitrahnya.
Mengikut pandangan masyarakat Barat pula, seni sebenarnya tiada hubungan dengan agama. Ini adalah disebabkan oleh dasar sekularisme yang mengasingkan hal keduniaan dengan agama. Walau bagaimanapun, seni masih dianggap sebagai sesuatu yang ideal dan berkaitan dengan moral.
Di dalam ‘The Encyclopedia Americana’, penulisnya Eugene Johnson menjelaskan seni (art) sebagai kemahiran, misalnya seni pertukangan yang membawa erti kemahiran pertukangan. Dari segi istilah ilmu berkebudayaan, ia membawa erti sebagai segala sesuatu yang indah. Keindahan yang dapat menggerakkan jiwa, kemesraan, menimbulkan keharuan, ketakjuban, kesenangan atau sebaliknya iaitu dendam, benci, cemas dan sebagainya.
Manakala di dalam buku ‘Pandangan Islam Tentang Kesenian’, Sidi Gazalba menjelaskan bahawa kesenian adalah sebahagian daripada kebudayaan yang dicetuskan oleh sesuatu kelompok manusia kerana setiap kelompok masyarakat mempunyai fitrah semulajadi yang cinta kepada seni yang menyenangkan hati melalui pancaindera yang lima. Justeru itu, manusia dikatakan sebagai makhluk seni yang cinta kepada sesuatu yang selamat, memuaskan dan memberi kepuasan melalui pancaindera.
Seni dapat dibahagikan kepada empat bahagian utama :
- Seni melalui pendengaran seperti muzik, deklamasi puisi, prosa, seni suara dan lain-lain.
- Seni melalui penglihatan seperti seni lukis, seni hias, seni bina, seni pakaian dan lain-lain.
- Seni melalui pendengaran dan penglihatan seperti filem, drama, teater, dan lain-lain.
- Seni melalui pembacaan seperti hasil karya, buku, sastera yang berbentuk puisi dan prosa dan lain-lain.
Terdapat istilah-istilah berkenaan muzik dan nyanyian yang sering digunakan dalam hadith dan juga oleh para ulama dalam khazanah keilmuan Islam.
- Al-Ma’azif (مَعَازِفُ) merupakan kata jamak kepada مِعْزَفَةُ , yang bermaksud alat muzik. Ia turut dikenali sebagai الملاهي yang memberi maksud yang sama. (Rujuk Fath al-Bari, 10/55). Ibn Manzur dan Taj al-‘Arus menyebut: Al-Ma’azif ialah al-Malahi. Mufradnya ialah mi’zaf (مِعْزَف) dan mi’zafah (مِعْزَفَة) (Rujuk Lisan al-‘Arab, 9/244 dan Taj al-‘Arus min Jawahir al-Qamus, 24/155 dan Mukhtar al-Sihah, hlm. 467)
- Ibn al-Qayyim pula menyatakan: al-ma’azif adalah seluruh alat muzik atau permainan, dan ini tidak diperselisihkan lagi oleh ahli-ahli bahasa. (Lihat Ighathah al-Lahfan, 1/260)
- Imam al-Zahabi pula berkata: al-ma’azif mencakupi seluruh alat muzik ataupun permainan yang digunakan bagi tujuan mengiringi sesebuah lagu atau sya’ir. (Lihat al-Siyar, 21/158 dan al-Tazkirah, 2/1337)
- Imam al-Qahustani mentakrifkan kalimah al-Ghina’ (الْغِنَاءَ ) sebagai pengulangan suara beserta melodi dan intonasi dalam bersyair dan kombinasi tepukan tangan. (Rujuk Radd al-Mukhtar 6/349)
- Menurut Ibn Khaldun, al-ghina’ merujuk kepada seni komposisi suara dengan kaedah menyusun suara mengikat nada yang tersusun. (Rujuk Tarikh Ibn Khaldun 1/534)
- Bagi kalimah al-lahwu pula, Ibn Manzur mentakrifkannya sebagai sesuatu yang dijadikan alat atau wasilah , dan alat-alat muzik (al-malahi / الملاهي) pula termasuk di bawah kategori al-lahwu(Rujuk Lisan al-Arab 15/278)
- Menurut Imam al-Qurtubi, al-ghina’ dari segi bahasa adalah meninggikan suara ketika bersyair atau yang semisal dengannya (seperti rajaz secara khusus). (Rujuk Kasyf al-Qina’, 47)
Manakala, antara nama-nama alat muzik yang disebut dalam hadith dan kitab para ulama’ ialah Al-Thunbur (sejenis alat muzik bertali seperti gambus), At-Thabl (drum), Al-Mizmar (seruling), Al-Autar (gitar), Al-‘Uud (sejenis alat muzik bertali seperti gambus) dan Al-Duff (gendang).
Falsafah Seni Mengikut Perspektif Islam
Menurut Al-Farabi seni adalah ciptaan yang berbentuk keindahan. Imam Al-Ghazali pula berpendapat seni berkaitan dengan jiwa manusia yang sesuai dengan fitrahnya. Tidak kira seni Islam apapun seperti seni nyanyian, muzik, tarian, lukisan, binaan, pakaian dan kecantikan semuanya hendaklah dilakukan kerana Allah SWT.
Walau bagaimanapun Allah SWT melarang penciptaan seni yang melampaui batas. Firman Allah SWT :
إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas”
(Surah al-A`raf: 31)
Syeikh al-Maraghi berkata bahawa ayat ini menunjukkan bahawa manusia perlu bersikap sederhana dalam melakukan sesuatu kerana Allah tidak suka sama sekali mereka yang melampaui batas. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 4/2174)
Seni Islam hendaklah mempunyai matlamat baik, halal dan berakhlak. Seni berkait rapat dengan kebudayaan. Kebudayaan pula berkait dengan agama. Islam juga adalah agama yang sempurna kerana mempunyai kebudayaan dan kesenian.
Perbezaan antara seni Islam dengan bukan Islam ialah dari segi niat atau tujuan serta nilai akhlak yang terdapat dalam hasil seni Islam. Tujuan seni Islam ini hanya satu iaitu kerana Allah Subhanahu wa ta’ala. Seni Islam merangkumi akhlak, iman, agama serta falsafaSaya percaya bahawa muzik bukanlah semata-mata bentuk hiburan atau sarana untuk kesenangan semata, tetapi juga memiliki dimensi kerohanian yang mendalam. Allah telah menciptakan alam semesta yang mengandungi planet, bintang, matahari, bulan dan lain-lain, dan meletakkan dalam tatanan yang sempurna dan tanpa cela, masing-masing berorbit pada jalannya sendiri. Firman Allah SWT:
وَآيَةٌ لَّهُمُ اللَّيْلُ نَسْلَخُ مِنْهُ النَّهَارَ فَإِذَا هُم مُّظْلِمُونَ ﴿٣٧﴾ وَالشَّمْسُ تَجْرِي لِمُسْتَقَرٍّ لَّهَا ۚ ذَٰلِكَ تَقْدِيرُ الْعَزِيزِ الْعَلِيمِ ﴿٣٨﴾ وَالْقَمَرَ قَدَّرْنَاهُ مَنَازِلَ حَتَّىٰ عَادَ كَالْعُرْجُونِ الْقَدِيمِ ﴿٣٩﴾ لَا الشَّمْسُ يَنبَغِي لَهَا أَن تُدْرِكَ الْقَمَرَ وَلَا اللَّيْلُ سَابِقُ النَّهَارِ ۚ وَكُلٌّ فِي فَلَكٍ يَسْبَحُونَ ﴿٤٠﴾
Maksudnya: “Dan lagi dalil yang terang untuk mereka (berfikir) ialah malam; Kami hilangkan siang daripadanya, maka dengan serta-merta mereka berada dalam gelap-gelita; Dan (sebahagian dari dalil yang tersebut ialah) matahari; ia kelihatan beredar ke tempat yang ditetapkan baginya; itu adalah takdir Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui; Dan bulan pula Kami takdirkan dia beredar melalui beberapa peringkat, sehingga di akhir peredarannya kelihatan kembalinya pula ke peringkat awalnya – (berbentuk melengkung) seperti tandan yang kering. (Dengan ketentuan yang demikian), matahari tidak mudah baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing.” (Surah Yasin: 37-40)
Pergerakan yang tersusun, bersistem dan penuh harmoni yang menggambarkan kebesaran Allah SWT. Muzik, dengan iramanya yang serasi dan melodi yang teratur, mencerminkan keindahan dan harmoninya alam semesta ini. Ia juga menjadi sebuah manifestasi dari kehendak Sang Pencipta.
Muzik dalam Islam difahami sebagai satu wasilah untuk memandu jiwa menuju Allah dan menghubungkan manusia dengan Yang Maha Esa. Muzik dapat menjadi jambatan yang menghubungkan dunia material dengan dunia kerohanian.
Beberapa Kisah Seni Zaman Rasulullah SAW
Pertama: Kisah Nabi SAW dengar bacaan al-Quran oleh Abu Musa al-Asy’ari lantas Nabi SAW bersabda:
يَا أَبَا مُوسَى، لَقَدْ أُوتِيتَ مِزْمَارًا مِنْ مَزَامِيرِ آلِ دَاوُدَ.
Maksudnya: “Wahai Abu Musa, sesungguhnya engkau telah diberi seruling (maksudnya suara yang indah) daripada seruling-seruling Nabi Daud.”
Riwayat al-Bukhari (5048)
Kedua: Hadith Aisyah R.Anha
Daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata:
دَخَلَ عَلَيَّ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَعِنْدِي جَارِيَتَانِ تُغَنِّيَانِ بِغِنَاءِ بُعَاثٍ، فَاضْطَجَعَ عَلَى الفِرَاشِ، وَحَوَّلَ وَجْهَهُ، وَدَخَلَ أَبُو بَكْرٍ، فَانْتَهَرَنِي وَقَالَ: مِزْمَارَةُ الشَّيْطَانِ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَقْبَلَ عَلَيْهِ رَسُولُ اللهِ عَلَيْهِ السَّلاَمُ فَقَالَ: «دَعْهُمَا»، فَلَمَّا غَفَلَ غَمَزْتُهُمَا خَرَجَتَا.
Maksudnya: Rasulullah SAW masuk ke dalam rumahku, dan di sisiku ada dua anak perempuan yang melantunkan nyanyian perang Bu‘ath. Lalu Baginda berbaring di atas tempat tidur dan memalingkan wajah Baginda. Kemudian Abu Bakar masuk seraya memarahiku. Beliau berkata: “Seruling syaitan di sisi Nabi SAW?” Maka Nabi SAW berpaling kepada Abu Bakar dan bersabda: “Biarkanlah mereka berdua.” Ketika Baginda tidak perasan maka aku pun memberi isyarat kepada kedua perempuan tersebut lalu keduanya pun keluar.
Riwayat al-Bukhari (949)
Ketiga: Kisah Nasyid “Tola’al Baru ‘Alaina”
Orang Arab ialah merupakan satu bangsa yang terkenal dengan syair. Mereka menggunakan pelbagai bahasa yang indah untuk menggambarkan sesuatu. Seringkali kita mendengar bahawa sya’ir “Tola’al Baru ‘Alaina” digandingkan dengan kisah Hijrah Nabi SAW dari Makkah ke Madinah. Bahkan ia seringkali dinyanyikan oleh masyarakat kita dan juga di nusantara terutamanya. Saya nukilkan lafaz syair tersebut:
طَلَعَ الْبَدْرُ عَلَيْنَا مِنْ ثَنِيَّاتِ الْوَدَاعْ
وَجَبَ الشُّكْرُ عَلَيْنَا مَا دَعَا للَّهِ دَاعْ
“Purnama telah terbit di atas kami,
dari Tsaniyatil Wada’”,
“Dan kami wajib bersyukur,
atas apa yang diserukan oleh penyeru kepada Allah…”
Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada sanad ‘Ubaidillah bin Muhammad bin Aisyah, katanya:
لَمَّا قَدِمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ , الْمَدِينَةَ جَعَلَ النِّسَاءُ وَالصِّبْيَانُ وَالْوَلاَئِدُ يَقُلْنَ: طَلَعَ الْبَدْرُ عَلَيْنَا … مِنْ ثَنِيَّاتِ الْوَدَاعْ ، وَجَبَ الشُّكْرُ عَلَيْنَا … مَا دَعَا للَّهِ دَاعْ.
Maksudnya: Ketika mana Rasulullah SAW tiba di Madinah, maka perempuan, kanak-kanak dan budak kecil berkata: Purnama telah terbit di atas kami, dari Tsaniyatil Wada’”, “Dan kami wajib bersyukur, atas apa yang diserukan oleh penyeru kepada Allah…”
Hadith ini diriwayatkan oleh Abu al-Hasan al-Khal’i di dalam al-Fawaid (2/59), al-Baihaqi di dalam Dalail al-Nubuwwah (no. 752 & 2019).
Syaikh Muhammad bin Abdullah al-‘Usyan menyatakan: “Imam al-Baihaqi meriwayatkan dengan sanad dari ‘Ubaidillah (Ibn ‘Aisyah), katanya, “Ketika Rasulullah SAW tiba di Madinah, para wanita dan anak-anak mengucapkan: Sya’ir dengan lafaz sebagaimana di atas).” (Lihat Ma Sya’a wa lam Yatsbutu fi al-Sirah al-Nabawiyah, hlm. 87)
Imam al-Baihaqi juga meriwayatkannya di dalam Dala’il al-Nubuwwah pada bab yang lain, iaitu bab orang-orang menyambut Rasulullah SAW ketika pulang dari Perang Tabuk. Kemudian al-Baihaqi menyebutkan:
وَهَذَا يَذْكُرُهُ عُلَمَاؤُنَا عِنْدَ مَقْدَمِهِ الْمَدِينَةَ مِنْ مَكَّةَ وَقَدْ ذَكَرْنَاهُ عِنْدَهُ لَا أَنَّهُ لَمَّا قَدِمَ الْمَدِينَةَ مِنْ ثَنِيَّةِ الْوَدَاعِ عِنْدَ مَقْدَمِهِ مِنْ تَبُوكَ، وَاللهُ أَعْلَمُ فَذَكَرْنَاهُ أَيْضًا هَاهُنَا
Maksudnya: “Ini disebutkan oleh para ulama kami ketika beliau tiba di Madinah dari Makkah, dan kami telah menyebutkan pada tempatnya. Bukan ketika beliau tiba di Madinah melalui bukit Tsaniyatul Wada ketika beliau datang dari Tabuk, wallahu a’lam. Tetapi kami tetap menyebutkannya di sini (dalam bab ini).” (Lihat Dalail al-Nubuwwah, 5/266)
Perkataan Imam al-Baihaqi ini dinukilkan juga oleh Ibn Kathir di dalam al-Bidayah wa al-Nihayah (5/33) dan al-Solehi di dalam al-Sirah al-Syamiah (5/673).
Keempat: Kisah Semasa Menggali Parit, Para Sahabat R.Anhum mengungkapkan:
اللَّهُمَّ لَا عَيْشَ إِلَّا عَيْشُ الْآخِرَهْ فَاغْفِرْ لِلْأَنْصَارِ وَالْمُهَاجِرَهْ
“Ya Allah! Tiada kehidupan kecuali kehidupan akhirat,
Ampunilah kaum Ansar dan Muhajirah.”
(Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 137)
Kelima: Mereka menyanyi dan bernasyid ketika sambutan pengantin.
Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW tidak bersetuju apabila pada suatu hari, ketika seorang gadis ingin meraikan majlis perkahwinan ke rumah suaminya dengan majlis perkahwinan yang sepi tanpa disertai dengan hiburan dan nyanyian. Lalu Baginda menyatakan:
هَلَّا كَانَ مَعَهَا لَهْو؟ فَإِنَّ الأَنْصَارَ يُعْجِبُهُمْ اللَّهْوُ، أَو الغَزَلٌ. وَفِي بَعْض الرِّوَايَاتِ: هَلَّا بَعَثْتُمْ مَعَهَا مَنْ يُغْنِيهِمْ وَتَقُولُ: أَتَيْنَاكُمْ أَتَيْنَاكُمْ فَحَيُّونَا نُحَيِّيكُمْ
Maksudnya: “Mengapa tidak disertakan bersamanya sebarang nyanyian? Sesungguhnya golongan Ansar suka nyanyian atau hiburan.” Dalam sebahagian riwayat yang lain menyebutkan: “Mengapakah kamu tidak mahu menyediakan orang yang akan mendendangkan lagu ini? Lalu dia menyanyikan, ‘Kami datang kepada kamu, kami datang kepada kamu. Maka kamu menyambut kami dan kami juga akan mengalu-alukan kamu.’”
Hadith ini dinilai hasan berdasarkan Irwa’ al-Ghalil (1995). Hal ini kerana terdapat jalan riwayat yang menguatkannya. (Lihat Adab al-Zafaf, hlm. 109).
Daripada Aisyah R.Anha berkata:
أَنَّهَا زَفَّتِ امْرَأَةً إِلَى رَجُلٍ مِنَ الأَنْصَارِ فَقَالَ نَبِيُّ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: يَا عَائِشَةُ! مَا كَانَ مَعَكُمْ لَهْوٌ؟ فَإِنَّ الأَنْصَارَ يُعْجِبُهُمُ اللَّهْوُ .
Maksudnya: “Bahawasanya beliau membawa seorang pengantin perempuan untuk dihantar kepada seorang lelaki daripada kaum Ansar, kemudian Nabi SAW bersabda: “Wahai ‘Aisyah, apakah kamu semua tidak mempunyai hiburan untuk dimainkan? Sesungguhnya orang-orang Ansar menyukai hiburan.”
Riwayat al-Bukhari (5162)
Ibn Abbas R.Anhuma berkata:
أَنْكَحَتْ عَائِشَةُ ذَاتَ قَرَابَةٍ لَهَا مِنَ الأَنْصَارِ، فَجَاءَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ : أَهْدَيْتُمُ الْفَتَاةَ؟ قَالُوا: نَعَمْ . قَالَ : أَرْسَلْتُمْ مَعَهَا مَنْ يُغَنِّي؟ قَالَتْ: لاَ . فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : إِنَّ الأَنْصَارَ قَوْمٌ فِيهِمْ غَزَلٌ، فَلَوْ بَعَثْتُمْ مَعَهَا مَنْ يَقُولُ: أَتَيْنَاكُمْ أَتَيْنَاكُمْ… فَحَيَّانَا وَحَيَّاكُمْ.
Maksudnya: “Aisyah R.Anha pernah mengatur satu upacara perkahwinan salah seorang kerabatnya daripada kaum Ansar. Lalu datang Rasulullah SAW bertanya kepadanya: Apakah sudah engkau berikan hadiah kepada pengantin perempuan itu? Jawabnya: Sudah. Baginda SAW bertanya lagi: Sudahkah kamu aturkan seseorang untuk menyanyi di sana? Jawabnya: Tidak. Maka Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya kaum Ansar itu suka kepada nyanyian Ghazal (sambut menyambut), kalau dapat seorang yang bernyanyi seperti, “Kami datang kepada kamu! Kami datang kepada kamu! Selamat bagi kami, selamat bagi kamu!”
Riwayat Ibn Majah (1900)
Keenam: Kisah Hassan bin Thabit penyair Rasulullah dengan syairnya yang dipuji oleh Rasulullah SAW.
Al-Bara’ R.A berkata: Rasulullah SAW bersabda kepada Hassan:
اهْجُهُمْ – أَوْ هَاجِهِمْ – وَجِبْرِيلُ مَعَكَ.
Maksudnya: “Celalah mereka dengan menggunakan syair – atau kata perawi: sahutlah syair celaan mereka – sedangkan Jibril ada bersamamu.”
Riwayat al-Bukhari (4123, 4124)
Daripada al-Bara’ bin Azib katanya: Rasulullah SAW bersabda kepada Hassan bin Thabit pada peristiwa Quraizah:
اهْجُ المُشْرِكِينَ، فَإِنَّ جِبْرِيلَ مَعَكَ.
Maksudnya: “Celalah kaum Musyrikin dengan melantunkan syair, sesungguhnya Jibril bersamamu.”
Riwayat al-Bukhari (4123, 4124)
Seni Nyanyian Dan Muzik Menurut Islam
Bahan yang dimanfaatkan ialah suara yang membentuk seni suara. Nyanyian ialah kata-kata indah dan baik yang disusun. Tidaksemua nyanyian dan muzik itu melalaikan dan ia mempunyai hukum tersendiri, bergantung pada niat seseorang.
Syarat yang membolehkan nyanyian dan muzik:
- Tema dan isinya sesuai dengan adab dan ajaran Islam.
- Nyanyian yang tidak menyanjungi orang-orang zalim dan fasiq yang melakukan penderitaan terhadap orang Islam.
- Nyanyian tidak mengagungkan orang yang bermata keranjang dan berhidung belang baik lelaki ataupun perempuan.
- Nyanyian dan muzik tidak membangkitkan ransangan nafsu syahwat, cinta dan kerinduan melalui pelbagai bentuk terutamanya generasi muda.
- Nyanyian tidak disertai perbuatan meminum arak, menampakkan aurat atau percampuran lelaki dan perempuan tanpa batas dan pensyaratan
Seni nyanyian dan muzik dalam kehidupan Muslim:
Bacaan Al-Quran Al-Karim dengan tartil, bertajwid dan alunan suara yang merdu oleh para Qari terbaik.
- Suara azan yang indah setiap hari lima kali sehari.
- Nyanyian nasyid memuji Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaih wa sallam.
- Nyanyian yang mengandungi nilai-nilai keimanan, kerohanian dan akhlak mulia.
Faktor mengubah hukum nyanyian dan muzik dari mubah kepada haram
- Faktor penyanyi: Seorang wanita yang tidak halal untuk dipandang dan dibimbangi terjadi fitnah apabila memperdengarkannya.
- Faktor alat muzik: Alat muzik yang mempunyai simbol tukang peminum atau simbol bagi kaum lelaki yang menyerupai kaum wanita seperti seruling, sejenis gitar dan gendang.
- Faktor lagu: Lagu yang mempunyai kata-kata cacian atau kata dusta terhadap Allah dan Rasul-Nya.
Kesenian ialah suatu segi kebudayaan. Seni adalah usaha penciptaan bentuk-bentuk yang menyenangkan. Menurut pandangan Islam kesenian itu adalah halal malahan digalakkan oleh Al-Quran dan Hadis dalam perkara-perkara tertentu. Seni Islam itu halal tidak bererti bahawa setiap unsur atau karya seni dan ciptaan itu halal. Perlu dilihat dahulu saluran, unsur dan bahan yang terdapat dalam seni tersebut. Setiap unsur atau bahan seni, setiap aktiviti atau karya seni adalah haram jika ia mengandungi nilai yang dilarang oleh ajaran Islam. Dan jika setiap unsur atau aktiviti seni itu makruh, menurut pandangan Islam ianya sepatutnya ditinggalkan. Begitu juga dengan karya atau aktiviti seni yang mendatangkan mudarat adalah dilarang dalam Islam. Seni Islam itu bukan sekadar mengandungi moral tetapi juga nilai-nilai akhlak Islam.
Fatwa Para Ulama Klasik dan Kontemporari Berkenaan Keharusan Muzik dan Nyanyian
Terdapat juga sebahagian ulama silam yang mengharuskan alat muzik, antaranya:
Abu Bakar Ibnu al-Arabi setelah membawakan hadith-hadith yang digunakan untuk mengharamkan nyanyian mengatakan tidak ada satu pun dalil yang sahih untuk mengharamkan nyanyian, kerana perawi-perawinya yang tidak tsiqah. Yang lebih sahih ialah riwayat-riwayat tersebut adalah batil. (Rujuk Ahkam al-Qur’an, 3/526)
Ibnu Hazm sewaktu membahaskan hukum nyanyian mengatakan bahawa semua riwayat hadith tentang haramnya nyanyian adalah batil. Tentang ayat 6 surah Luqman yang menjadi pengharaman nyanyian pula, beliau menjelaskan bahawa ayat tersebut menyebutkan satu sifat yang barangsiapa mengerjakannya akan menjadi kafir tanpa diperselisihkan lagi, iaitu apabila dia menjadikan agama Allah SWT sebagai bahan mainan.
Oleh kerana itu, jika seseorang membeli senaskhah al-Quran untuk menyesatkan orang ramai dan menjadikannya sebagai permainan, maka jelas dia adalah kafir. Inilah yang dicela Allah SWT. Allah SWT sama sekali tidak mencela orang-orang yang membeli lahwal hadith itu sendiri yang boleh dipakai untuk hiburan dan menggembirakan hati, bukan untuk menyesatkan orang dari jalan Allah.
Beliau juga mengambil hadith Nabi SAW berkenaan niat untuk menentukan hukum halal dan haram amalan seseorang:
إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى
Maksudnya: Sesungguhnya semua perbuatan itu harus disertai dengan niat dan tiap-tiap orang akan dinilai menurut niatnya.
Sahih al-Bukhari (1)
Jadi barangsiapa mendengar nyanyian dengan niat untuk bermaksiat kepada Allah SWT, maka jelas dia adalah fasiq, dan ini termasuk semua perkara selain nyanyian. Begitu juga barangsiapa berniat untuk menghiburkan hati supaya dia mampu berbakti kepada Allah SWT dan lebih bersemangat dalam berbuat kebajikan, maka dia adalah orang yang taat dan berbuat baik dan perbuatannya pun termasuk perbuatan yang benar. Dan barangsiapa tidak berniat untuk taat kepada Allah dan tidak juga untuk bermaksiat, maka perbuatannya itu dianggap laghwun sahaja yang diharuskan. (Rujuk Al-Muhalla bil Athar, 7/567)
Syeikh Sulaiman al-Jamal yang mensyarahkan Minhaj al-Tullab karangan Syeikh Zakariyya al-Ansari pula memakruhkan nyanyian tanpa alat muzik, meskipun nyanyian itu dinyanyikan oleh ajnabi atau golongan amrad (remaja lelaki yang kurang sifat kelakian). Namun jika ditakuti timbulnya fitnah atau melibatkan pandangan mata yang diharamkan, maka nyanyian tersebut menjadi haram. Adapun nyanyian ibu untuk menenangkan anaknya atau untuk melajukan pergerakan unta yang ditunggang seperti amalan orang Arab, maka tiada keraguan akan keharusannya. Syeikh Sulaiman turut memetik pandangan Imam al-Ghazali yang menyatakan setiap nyanyian bergantung kepada niat; niat untuk bermaksiat dihukumkan maksiat, ketaatan sebagai ketaatan dan jika tidak berniat apa-apa, maka ia dikira sebagai al-lahwu yang dimaafkan. Manakala nyanyian yang disertai alat muzik, maka ia dikira haram. (Rujuk Hasyiyah Jamal ‘ala Syarh Minhaj al-Tullab, 5/380)
Selain itu terdapat juga pandangan dalam mazhab Syafi’e yang mengharuskan al-‘Uud, atas sebab ia mampu mengurangkan kesedihan dan menyegarkan sisi rohani manusia, dan inilah pandangan Abu Mansur al-Baghdadi. (Rujuk Al-Najm al-Wahhaj fi Syarh al-Minhaj, 10/301)
Terdapat juga riwayat oleh Imam al-Muzani yang menyatakan bahawa pada suatu hari beliau berjalan bersama Imam al-Syafi’e dan menemui seorang hamba wanita sedang menyanyi, dan beliau tidak mengingkarinya, bahkan mendengarnya. (Rujuk Tobaqat al-Syafi’iyyah al-Kubra, 2/77)
Imam Qalyubi pula, meskipun mengharamkan nyanyian selain pada hari perayaan, beliau mengharuskan nyanyian dalam keadaan sakit dengan niat untuk menyembuhkan sakit, dengan syarat ia diakui oleh doktor yang ‘adil. (Rujuk Hasyiyah Qalyubi wa ‘Umairah, 4/321)
Imam al-Qurthubi menukilkan kata-kata al-Qusyairi: Alat-alat muzik dimainkan oleh para wanita dihadapan Nabi SAW untuk mengalu-alukan kedatangan Baginda SAW ke Madinah, dan Abu Bakr RA ingin mengherdik mereka supaya mereka berhenti. Tapi Nabi SAW melarangnya dan berkata: “Biarkan mereka wahai Abu Bakar, supaya orang Yahudi tahu agama kita ini fleksibel dan menyenangkan”. Al-Qurtubi turut menambah bahawa semua alat muzik yang digunakan sewaktu hari perkahwinan adalah diharuskan selagi lirik lagu tidak mempunyai unsur-unsur lucah. (Rujuk Tafsir al-Qurtubi, 14/54)
Imam Ibn Abidin al-Hanafi pula sewaktu membincangkan isu muzik dan nyanyian dalam kalangan golongan sufi telah meletakkan beberapa syarat agar ia selaras dengan syarak: majlis itu tidak mempunyai amrad (budak lelaki yang kurang ciri-ciri kelelakian ), tidak melibatkan percampuran jantina dan disertai niat yang ikhlas bukan untuk mengharapkan balasan keduniaan. (Rujuk Radd al-Mukhtar wa Hasyiyah Ibn Abidin, 6/349)
Imam al-Ghazali juga mengharamkan hanya dua alat muzik yang menjadi syi’ar kepada peminum arak, iaitu al-awtar (sejenis alat muzik bertali) dan al-mizmar (sejenis seruling), maka ianya haram. (Rujuk Ihyaa’ Ulum al-Din, 2/272) Selain alat muzik tersebut, seperti duff (gendang), meskipun ia mempunyai loceng, ia dibenarkan. Dapat difahami bahawa Imam al-Ghazali mengharamkan alat muzik tertentu kerana ia berkait rapat dengan aktiviti maksiat, bukan kerana zatnya sebagai alat muzik.
Imam Al-Zahabi pula sewaktu mencatat biografi Abu Muhammad Ishaq bin Ibrahim al-Nadim, telah mengiktiraf beliau sebagai seorang Imam, al-Hafiz, al-Allamah dan seorang ahli muzik (Sahib al-Musiqi). (Rujuk Siyar A’lam al-Nubala’, 11/118-119) Beliau turut menukilkan pandangan Ibn Abd al-Barr yang menyatakan bahawa salah seorang ulama besar dalam bidang hadith, iaitu Abu Salamah al-Majishun – meninggal dunia pada tahun 185 Hijrah- merupakan seorang yang gemar mendengar muzik. Beliau turut diriwayatkan mempunyai hamba-hamba yang bermain alat muzik. Hal ini, menurut Imam al-Zahabi, tidaklah menghairankan, kerana ulama di Madinah terkenal agak bertoleransi dengan muzik. (Rujuk Siyar A’lam al-Nubala’ 10/360 dan 8/372)
Hal ini menunjukkan bahawa muzik adalah dibenarkan, hatta bagi seorang ‘alim dan ia tidaklah menjatuhkan taraf seseorang dari sudut kebolehpercayaan (tsiqah) dan ‘adil mereka.
Imam Ibn Tahir al-Qaysirany pula menyatakan bahawa tiada perbezaan pada hukum mendengar mana-mana alat muzik, dan para ulama mutaqaddimin mengharuskannya kerana tiada dalil-dalil syarak yang mengharamkannya, maka ia kembali kepada hukum asal keharusan setiap perkara. (Rujuk Kitab al-Sama’, hal. 31)
Imam Abdul Ghani al-Nabulsi pula menyatakan bahawa sesiapa yang meneliti hadith-hadith berkaitan pengharaman alat muzik akan mendapati bahawa alat muzik tidak terlepas daripada dikaitkan dengan arak, penyanyi-penyanyi wanita dan perkara-perkara dosa dan maksiat (al-fusuq wa al-fujur). Qaedah mazhab Syafi’e menyatakan mutlaq itu diikat dengan muqayyad. Manakala hadith yang tidak mengikat muzik dengan perkara-perkara seperti arak dan dosa pula berstatus ahad dan hanya bertaraf zhanni bukannya qathi’e. Maka pengharaman muzik sebenarnya adalah kerana keterkaitannya dengan perkara-perkara lain yang diharamkan secara qath’ie melalui dalil-dalil mutawatir. (Rujuk Idhaahat al-Dilalat fi Sama’ al-Alaat, hal. 78)
Imam Al-Syaukani pula meriwayatkan banyak athar daripada sahabat dan tabi’in yang menunjukkan keharusan mendengar nyanyian dan muzik, antaranya Ibn ‘Umar, Mu’awiyah, Amr bin al-‘Aas, Abdullah bin Jaafar dan Hasan bin Tsabit R.’Anhum.
Beliau turut membawakan beberapa riwayat daripada ramai ulama seperti Abu Ya’la, al-Qaffal dan al-Ruyani yang menunjukkan keharusan nyanyian dan alat muzik di sisi mazhab Malik. Abu Thalib al-Makkiy dalam Qut al-Qulub meriwayatkan daripada Syu’bah bahawa dia mendengar bunyi thunbur daripada rumah al-Minhal bin ‘Amr, seorang muhaddith yang terkenal. Ibn Thahir juga menyatakan bahawa tiada khilaf dalam kalangan ulama Madinah akan keharusan al-‘Uud (sejenis alat muzik bertali). Terdapat juga nukilan daripada sebahagian ulama mazhab Syafi’e seperti Imam al-Mawardi, Al-Isnawi, Ibn al-Mulaqqin, Al-Syirazi, Izzuddin Abd al-Salam dan Ibn Thahir yang meriwatkan pandangan yang mengharuskan al-‘Uud.
Adapun nyanyian tanpa disertai alat muzik, sebahagian ulama seperti Ibn Thahir dan Imam al-Ghazzali menyebut bahawa ia disepakati keharusannya oleh para sahabat, tabi’in dan ulama selepasnya. Selain itu, beliau turut menaqalkan kata-kata Imam al-Ghazali yang menyatakan lafaz bathil yang warid dalam hadith-hadith Nabi SAW berkenaan muzik كل لهو يلهو به المؤمن فهو باطل tidak menunjukkan pengharaman, tapi ia menunjukkan akan ketiadaan faedah dan manfaat pada perkara tersebut. Pandangan al-Ghazali ini turut dipersetujui oleh Imam Syaukani yang menyatakan bahawa perkara yang tiada faedah termasuk di bawah kategori al-mubah atau harus. (Rujuk Nail al-Autor, 8/114-118 dan Al-Fath al-Rabbani min Fatawa al-Imam al-Syaukani 10/5206)
Imam al-Syaukani juga telah menulis satu kitab khusus bertajuk Ibtol Da’wa al-Ijma’ fi Tahrim Muthlaq al-Sama’ dalam menepis dakwaan sesetangah ulama yang mendakwa berlakunya ijmak dalam pengharaman alat muzik dan nyanyian.
- Fatwa Dar al-Iftaa’ Misriyyah
Nyanyian dan muzik secara amnya terbahagi kepada dua, iaitu yang diharuskan dan yang diharamkan. Ini kerana nyanyian itu satu bentuk komunikasi dan susunan perkataan. Perkataan yang baik maka ianya baik, perkataan yang buruk maka ianya menjadi buruk.
Adapun pandangan para ulama yang mengharamkan sebahagian alat muzik adalah kerana alat muzik itu dimainkan untuk menggalakkan aktiviti maksiat, dan bukan kerana sifatnya sebagai alat muzik semata-mata.
Mendengar muzik dan nyanyian serta menghadiri konsert adalah harus jika lagu-lagu yang dimainkan berunsur keagamaan dan menyeru kepada patriotisme dan semangat kenegaraan, atau yang menzahirkan kegembiraan sempena perayaan dalam keadaan mengelakkan percampuran bebas lelaki dan perempuan. Selain itu, nyanyian itu sendiri bebas daripada unsur jelek, dosa dan perkara yang diharamkan seperti arak dan kelucahan, tidak menimbulkan nasfu syahwat serta tidak melalaikan daripada perkara-perkara yang wajib. Nyanyian dan muzik yang haram pula ialah yang tidak memenuhi syarat-syarat di atas, serta menimbulkan fitnah, menghilangkan sifat malu dan meruntuhkan akhlak.
- Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Malaysia
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-2 yang bersidang pada 12-13 Mei 1981 telah membuat keputusan seperti berikut:
- Nyanyian yang senikatanya baik, tidak lucah, tidak biadap dan tidak mendorong kepada maksiat, tidak bercampur gaul antara lelaki dengan perempuan dan tidak membawa kepada fitnah adalah harus;
- Jika nyanyian senikatanya tidak baik, lucah, biadap, mendorong kepada maksiat, bercampur gaul lelaki dengan perempuan dan membawa kepada fitnah maka nyanyian itu adalah haram;
- Pancaragam yang melalaikan hukumnya haram;
- Mendengar nyanyian dan pancaragam adalah harus dengan syarat senikatanya baik, tidak lucah, tidak biadap, tidak bercampur lelaki dan perempuan dalam keadaan yang tidak menimbulkan fitnah; dan
- Menyanyi untuk menimbulkan semangat jihad adalah harus.
- Fatwa Syeikh Dr. Yusof al-Qaradhawi
Menurut Syeikh al-Qaradhawi, isu ini menjadi khilaf yang hangat diperdebatkan dalam kalangan ulama. Nyanyian yang disepakati haram ialah nyanyian yang melibatkan maksiat atau mempunyai unsur mengajak ke arah maksiat. Adapun yang disepakati harus pula ialah nyanyian yang menjurus ke arah naluri fitrah yang dialunkan untuk dirinya, nyanyian sesama suami isteri atau sesama kanak-kanak. Selain daripada jenis-jenis ini termasuk di bawah ruang perselisihan para ulama.
Beliau mentarjihkan pandangan yang mengharuskan muzik dan nyanyian dan ia merupakan hukum asal bagi perkara-perkara baik dan dan indah. Namun, terdapat beberapa unsur luaran yang terpalit padanya yang menyebabkan hukum boleh berubah kepada haram atau makruh tahrim.
Beliau turut meletakkan beberapa peringatan dan garis panduan bagi sesiapa yang mendengar nyanyian dan mempraktikkannya:
- Sesiapa yang berniat mendorong diri untuk melakukan maksiat melalui nyanyian, maka dia seorang fasik. Jika bertujuan merehatkan jiwa, membantu untuk taat kepada Allah SWT dan menyegarkan diri, maka ia dikira perbuatan yang baik. Jika tidak berniat samada baik atau buruk, maka ia dikira perbuatan al-lahwu/ al-bathil (sia-sia) yang tidak berpahala mahupun dosa.
- Lirik mestilah tidak mengandungi unsur menyalahi akidah, hukum-hakam dan kewajipan Islam.
- Gaya penyampaian penyanyi mestilah menjaga batas-batas syarak.
- Agama Islam menolak sebarang unsur keterlaluan dalam setiap perkara, meskipun dalam isu ibadah. Keterlaluan dalam perkara harus akan menghabiskan masa yang sepatutnya digunakan untuk melakukan kewajipan.
- Setiap pendengar mestilah menilai dan menentukan sendiri nyanyian yang boleh didengar. Mereka lebih mengetahui bentuk-bentuk nyanyian yang mampu merangsang nalurinya, menggodanya kepada fitnah dan melupakan unsur rohani dalam dirinya. (Lihat Halal dan Haram dalam Islam, hlm. 430-436)
- Syeikh Ali Jum’ah (mantan Mufti Mesir)
Syeikh Ali Jum’ah menegaskan bahawa hukum berkenaan muzik dan nyanyian ini bukannya isu yang melibatkan asas aqidah atau perkara yang dimaklumi dari agama secara dharuriy, dan ia sekadar khilaf fiqh. Maka tidak boleh sama sekali kita menghukum orang lain sebagai fasiq hanya kerana berbeza pandangan dalam isu ini.
Beliau mentarjihkan pandangan yang mengharuskan nyanyian, sama ada disertai alat muzik ataupun tidak, dengan syarat ia tidak mengandungi unsur-unsur kemaksiatan dan perkara yang menyanggahi syarak. Bahkan hukumnya boleh menjadi sunat jika melibatkan puji-pujian kepada Allah SWT dan Nabi-Nya, lagu-lagu yang menaikkan semangat dan kecintaan kepada negara. Namun begitu, sikap berlebih-lebihan padanya akan membawa kepada makruh, bahkan boleh juga membawa kepada hukum haram. (Lihat Al-Qaul al-Mubin fi Ahkam al-Dunya wa al-Din, hlm. 228 dan 233)
- Fatwa Ulama al-Lajnah al-Da’imah
Muzik adalah haram berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah, bahkan muzik juga tidak dibenarkan dalam bentuk nasyid untuk tujuan dakwah. Mereka memilih pandangan Ibn Mas’ud yang mentafsirkan frasa ‘lahwa al-hadith’ dalam ayat 6 Surah Luqman sebagai muzik (al-ghina’). Muzik merupakan perosak hati, jalan ke arah keburukan dan boleh melalaikan kita daripada perkara-perkara kebaikan. (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, 26/222-225)
- Syeikh Mahmud Syaltut
Syariat tidak diturunkan untuk menyekat fitrah manusia yang sukakan keindahan dan kecantikan, tapi Syariat datang untuk mengawal dan mengawasinya agar tidak terjerumus ke dalam perkara-perkara yang jelek dan memudaratkan. Tambah beliau lagi, alat muzik dan nyanyian tidak diharamkan kerana zatnya sebagai alat muzik, tapi hanya jika ada unsur maksiat yang dikaitkan dengannya, atau jika ia membawa kepada gejala-gejala yang tidak bermoral. Jika muzik itu bebas daripada sebarang unsur maksiat, maka adalah diharuskan untuk mendengarnya, mempelajarinya dan menyertai acara-acara muzik. (Lihat Fatawa Mahmud Syaltut, hlm. 385)
- Syeikh Yusuf bin Abdullah al-Judai’
Syeikh al-Judai’ – seorang ulama hadith dari Iraq – ada mengemukakan kajian beliau tentang muzik dan nyanyian. Menurut beliau, antara kaedah usul yang wajib diambil kira dalam meneliti isu ini ialah muzik dan nyanyian merupakan isu adat manusiawi, dan bukannya isu ta’abbudi, dan asal bagi perkara-perkara adat ialah harus. Ia juga merupakan salah satu jenis perhiasan dan kecantikan yang asalnya dihalalkan oleh Allah SWT menerusi firmanNya:
قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّـهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ ۚ قُلْ هِيَ لِلَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ ۗ
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakan-Nya?” Katakanlah: “Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada Hari Kiamat.”
Surah al-A’raf (32)
Beliau juga sewaktu menyimpulkan kajian menyatakan bahawa asal bagi kedua-duanya ialah al-lahwu, dan ia diharuskan untuk tujuan mencapai maslahah yang mu’tabarah, seperti menzahirkan kegembiraan yang syar’ie, mengelakkan rasa jemu dan keletihan. Ia juga mestilah tidak menyebabkan perkara-perkara wajib dan sunat terabai, atau menyebabkan berlakunya perkata-perkara haram. Jika ini terjadi, hukumnya bertukar daripada harus kepada haram atau makruh. (Lihat Al-Musiqi wa al-Ghina’ fi Mizan al-Islam, hlm. 600)
Menurut Ibn ‘Abd Rabbihi al-Andalusi sewaktu menyimpulkan khilaf dalam ulama menyatakan bahawa hukum muzik dan nyanyian sama seperti syair; jika baik kandungannya maka baiklah ia, dan jika buruk kandungannya maka buruklah ia. (Rujuk al-‘Aqd al-Farid, 7/10) Inilah juga kalam Imam al-Syafi’e sewaktu bercakap tentang sya’ir yang diriwayatkan oleh Imam al-Juwainiy:
الشعر كلامٌ، حسنه حسن، وقبيحه قبيح
Maksudnya: Syair itu merupakan himpunan kata-kata, apabila baik lafaz dan kandungannya maka baiklah ia, jika buruk maka buruklah ia. (Rujuk Nihayah al-Matlab, 19/24)
Penutup
Alhamdulillah, selesailah sudah kajian saya secara ringkas sebagai siri mawaqif yang sayai kemukakan kepada khalayak masyarakat hampir saban minggu. Berdasarkan pengamatan saya, nasyid dan lagu-lagu ketuhanan yang baik boleh menjadikan jiwa tenang serta menambahkan keinsafan jika liriknya boleh membina dan membentuk peribadi Muslim yang sejati.
Cabaran terbesar kita, bagaimana ingin menjadikan nasyid atau lagu-lagu ketuhanan sebagai alternatif utama ke arah pembentukan peribadi insan yang unggul. Ia bukan lagi hanya halwa telinga yang membuai-buai, tetapi satu ejen perubahan akhlak ummah.
Akhir kalam, marilah sama-sama kita menginsafi untuk sentiasa kembali kepada fitrah Islam dan berpandu kepada neraca syariat dalam sebarang tindakan termasuklah ketika mana kita mahu berhibur.
يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ نَسْتَغِيثُ، أَصْلِحْ لَنَا شَأْنَنَا كُلَّهُ، وَلاَ تَكِلْنَا إِلَى أَنْفُسِنَا طَرْفَةَ عَيْنٍ
Maksudnya: “Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri (tidak perlu segala sesuatu), dengan rahmat-Mu kami memohon pertolongan, perbaikilah urusan kami semuanya dan janganlah Engkau serahkan kami kepada diri kami walau sekelip mata.”