#37 Renungan di Sebalik Musibah Banjir Libya

Mukadimah

Alhamdulillah, segala puji bagi-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga, para sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya.

Saya dikejutkan dengan suatu banjir yang amat besar berlaku di bumi Libya pada 10 September yang lalu, yang mengakibatkan kematian, kecederaan, kerosakan harta benda, tempat kediaman, serta haiwan dan kendaraan penduduk di tempat kejadian. Menginsafi apa yang berlaku, saya mengucapkan takziah dan doa semoga mereka yang terbabit diberikan kekuatan serta mempunyai kesabaran dan ketabahan yang mendalam. 

Peristiwa banjir besar yang melanda negara Libya ini bermula daripada Taufan Daniel yang dikhabarkan taufan seperti tropika Mediterranean, yang paling dahsyat pernah direkodkan pada tahun 2023 setakat ini. Taufan ini telah menghentam beberapa negara lain seperti  Greece, Bulgaria, and Turki. Setakat ini, negara Libya direkodkan sebagai negara yang paling teruk terkesan akibat Taufan Daniel ini.

Ia dijangka bermula pada Isnin, 4 September dan berpanjangan sehingga Selasa, 12 September yang lalu. Menurut Pusat Meteorologi Kebangsaan Libya, Taufan Daniel itu mencapai puncak di timur laut Libya pada 10 September, dengan angin kencang berkelajuan 70 hingga 80 km per jam. Ini telah menyebabkan gangguan komunikasi, tumbangnya tiang-tiang elektrik dan pokok-pokok. Hujan yang teramat lebat sehingga mencapai bacaan antara 150 hingga 240 mm mengakibatkan banjir kilat di beberapa bandar, termasuk al-Bayda, yang mencatatkan kadar hujan harian tertinggi iaitu 414.1 mm dari 10 Sep, jam 8 pagi sehingga hari seterusnya.

Kesan yang besar akibat banjir besar yang berlaku telah menjejaskan beberapa tempat kawasan di Negara Libya, termasuk pelabuhan minyak, empangan, jambatan, dan juga perumahan. 

Kawasan yang paling teruk terjejas adalah wilayah Derna. Keseluruhan kawasan kejiranan dikatakan telah musnah dan penduduk-penduduk di sana dihanyutkan air selepas dua empangan di Wadi Derna runtuh, sekaligus menyebabkan keadaan ketika bencana ini berlaku tidak terkawal.

Dikatakan, keruntuhan itu berlaku pada malam Ahad. Hujan yang teramat lebat mengakibatkan keruntuhan empangan pertama, iaitu Empangan Abu Mansur yang terletak kira-kira 13 kilometer daripada Bandar Derna. Ia mampu menampung sehingga 22.5 juta meter padu air. Air yang deras akibat runtuhan tersebut telah menghentam empangan kedua pula, iaitu Empangan al-Bilad yang jaraknya 1 kilometer daripada Bandar Derna. Empangan kedua ini pula mampu menampung sekitar 1.5 juta meter padu air. Kedua-dua empangan yang pecah ini menjadi punca utama tercetusnya tragedi bersejarah yang amat dahsyat di bumi Libya, apabila banjir besar menghentam kawasan penempatan yang dianggarkan didiami oleh 100 ribu orang penduduk di Derna dan sekitarnya. 

Kegusaran penduduk tempatan kian bertambah apabila Persatuan Palang Merah memberikan amaran agar semua berjaga-jaga kerana banjir yang berlaku tempoh hari berkemungkinan menghanyutkan beberapa sisa letupan perang dan dikhuatiri masih hidup. Mereka yang berada di lokasi bencana itu dinasihatkan untuk tidak mendekati atau menyentuh apa-apa sahaja yang berkemungkinan menjadi bahan letupan. Sebaliknya ia perlu ditanda sahaja dan dimaklumkan kepada pihak berautoriti untuk menyelesaikan masalah tersebut agar jumlah mangsa korban tidak meningkat lagi.

Peningkatan jumlah mangsa korban akibat banjir ini menjadi kerisauan Kerajaan Libya dan juga penduduk setempat apabila kerja-kerja pengebumian bergerak secara perlahan akibat kekurangan tenaga kerja. Wilayah Martouba dan Umm Al-Razm antara kawasan yang menjadi tempat pengebumian mangsa. Penduduk setempat merayu bantuan dan kerjasama daripada semua pihak dan rakyat untuk membantu mereka mengumpulkan dan mengebumikan jenazah yang tiba secara berturut-turut dari kota Derna dan sekitarnya.

Kepada Kerajaan Libya, saya berdoa semoga terus bersabar dan tabah dalam menghadapi saat-saat yang getir seperti ini. Begitu juga diberi kekuatan sehingga dapat menyelesaikan kemelut yang dihadapi dalam membantu masyarakat yang terbabit dengan ujian yang penuh trajis ini. 

Saya mengambil kesempatan untuk menzahirkan harapan yang tinggi agar isu ini dapat ditangani dengan sesegera mungkin, dan bantuan dapat disalurkan kepada mereka. Alhamdulillah, saya dikhabarkan oleh Muslim Care Malaysia, sebuah NGO yang berpengalaman di peringkat antarabangsa akan datang memberi bantuan beserta dengan beberapa NGO yang lain lagi. Kecaknaan dan keprihatinan mereka, Allah SWT yang mampu membalasnya. 

Banjir dalam al-Qur’an

Terdapat tiga istilah dalam al-Qur’an yang menggambarkan banjir atau mempunyai kaitan dengan banjir. Istilah-istilah tersebut adalah Tagha al-Ma’ (طغيان الماء), Tufan (طوفان), dan Matar (المطر)

Pertama: Tagha al-Ma’ (طغيان الماء)

Firman Allah SWT;

إِنَّا لَمَّا طَغَى الْمَاءُ حَمَلْنَاكُمْ فِي الْجَارِيَةِ

Maksudnya: Sesungguhnya ketika banjir besar itu tiba, Kami telah menyelamatkan nenek moyang kamu dengan mengangkut mereka ke dalam bahtera Nabi Nuh.

Surah al-Haqqah: 11

Ibnu Kathir, ianya bermaksud melimpah melampaui had kebiasaan dan air berada dalam keadaan meninggi. Ini bermakna, kedudukan air itu yang melebih had, Air yang asalnya tidak bergelora, akan bergerak laju apabila bertambah dan membentuk arus air yang deras.Istilah tagha juga dinisbahkan kepada Firaun Surah Taha ayat 24 dan ayat 43, begitu juga dan Surah An-Nazi’at ayat 17. Firaun sebagaimana yang kita maklum, adalah manusia dan pemerintah yang angkuh, sombong, zalim dan melakukan banyak kerosakan. Perumpamaan yang sama digandingkan dengan banjir yang sifatnya merosakkan harta benda dan tanaman serta menerjah dengan ganas.

Kedua: Tufan (طوفان)

فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمُ الطُّوفَانَ وَالْجَرَادَ وَالْقُمَّلَ وَالضَّفَادِعَ وَالدَّمَ آيَاتٍ مُّفَصَّلَاتٍ فَاسْتَكْبَرُوا وَكَانُوا قَوْمًا مُّجْرِمِينَ

Maksudnya: Kami pun menghantarkan kepada mereka taufan, dan belalang, dan kutu, dan katak, dan darah, sebagai tanda-tanda dan bukti yang jelas nyata, maka mereka juga tetap berlaku sombong takbur dan menjadi kaum yang menderhaka.

Surah al-A’raf: 133

Tufan sebagaimana kenyataan al-Khazin adalah Tufan di sini membawa maksud air hujan yang menenggelamkan. Saya tertarik dengan pandangan al-Asfahani yang mengaitkan sifat air tufan dengan perlakuan tawaf yang berpusing mengelilingi Kaabah. Air sebegini bergerak berputar mengelilingi manusia sebagaimana perlakuan tawaf itu mengeliling Kaabah.

Ketiga:  Matar (المطر)

Ada dua ayat al-Qur’an yang menggunakan kalimah ini. Firman Allah SWT:

وَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ إِن كَانَ بِكُمْ أَذًى مِّن مَّطَرٍ أَوْ كُنتُم مَّرْضَىٰ أَن تَضَعُوا أَسْلِحَتَكُمْ ۖ

Maksudnya: Dan tidaklah kamu berdosa meletakkan senjata masing-masing, jika kamu dihalangi sesuatu yang menyusahkan disebabkan hujan atau kamu sakit. Dan hendaklah kamu mengambil langkah berjaga-jaga. Sesungguhnya Allah telah menyediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa yang amat menghina.

Surah al-Nisa’: 102

Firman Allah SWT:

وَلَقَدْ أَتَوْا عَلَى الْقَرْيَةِ الَّتِي أُمْطِرَتْ مَطَرَ السَّوْءِ ۚ

Maksudnya; ‘Dan demi sesungguhnya, mereka (yang menentangmu wahai Muhammad) telah melalui bandar yang telah dihujani (dengan) azab yang buruk’

Surah al-Furqan:  40

Hujan boleh difahami samada dalam bentuk literal, mahupun maknawi. Hujan dalam bentuk literal dengan makna air yang turun daripada langit, adalah sebagaimana Surah al-Nisa’ ayat 102. Adapun dalam Surah al-Furqan ayat 40 di atas, ia adalah hujan maknawi kerana ia merujuk kepada kaum Lut  yang dihujani dengan batu sebagaimana disebutkan dalam tafsirnya. Maka, hujan secara literal hakikatnya merupakan faktor terpenting yang boleh membawa kepada berlakunya banjir. 

Banjir juga berlaku pada zaman Nabi Nuh, zaman Nabi Musa, dan zaman kaum Saba’. Namun, saya tidak berhasrat untuk menghuraikannya dalam penulisan pada kali ini.

Doa-doa Ketika Diuji dengan Bencana

Saya mulakan dengan memetik doa-doa yang ma’thur sama ada dari nas Ilahi atau pun hadith Nabi SAW. Terdapat banyak sunnah yang mungkin kita terlepas pandang apabila berlakunya sebarang bencana alam, sama ada secara umum atau yang terkait dengan bencana banjir yang membadai sesebuah negara tersebut. Adapun sunnah secara umum adalah:

  • Berdoa dan Mengucapkan Inna lillah wa inna ilaihi raji‘un (إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ)

Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ ‎﴿١٥٥﴾‏ الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ ‎﴿١٥٦﴾‏ أُولَٰئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِّن رَّبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ ۖ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَ

Maksudnya: “Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: ‘Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali’. Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya.”

(Surah al-Baqarah: 155-157)

Diriwayatkan juga daripada Ummu Salamah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ عَبْدٍ تُصِيبُهُ مُصِيبَةٌ فَيَقُولُ: “إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ اللَّهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا”، إِلاَّ أَجَرَهُ اللَّهُ فِي مُصِيبَتِهِ وَأَخْلَفَ لَهُ خَيْرًا مِنْهَا

Maksudnya: Tiada daripada kalangan hamba (Allah) yang ditimpa suatu musibah, kemudian mengucapkan: ‘Innā lillāhi wa innā ilaihi rājiʿun (Sesungguhnya kami milik Allah dan pastinya kami akan kembali kepada-Nya), Ya Allah! Aku mohon akan kurniakanlah ganjaran pada musibahku ini, dan berikanlah ganti yang lebih baik daripada musibah ini,’ melainkan Allah akan memberikan pahala kepadanya kerana musibah itu dan menggantikan yang lebih baik.”

Riwayat Muslim (918)

Manakala sunnah yang terkait dengan bencana banjir adalah:

  • Doa Agar dipindahkan Hujan Lebat ke Tempat Lain

Hujan lebat yang berterusan mungkin menjadi salah satu sebab meningkatnya paras air daripada kebiasaan sehingga menyebabkan limpahan air dari sungai, tasik dan sebagainya. Maka antara sunnahnya apabila ditimpa hujan yang berterusan begini adalah berdoa agar hujan tersebut dialihkan ke tempat lain. 

Ini sebagaimana yang warid dalam riwayat daripada Anas bin Malik R.A bahawa Rasulullah SAW berdoa ketika turunnya hujan lebat yang berterusan sehingga banjir:

اللَّهُمّ حَوَالَيْنَا وَلَا عَلَيْنَا، اللَّهُمَّ عَلَى الْآكَامِ وَالْجِبَالِ وَالظِّرَابِ وَبُطُونِ الْأَوْدِيَةِ وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ

Maksudnya: “Ya Allah, turunkanlah hujan di sekitar kami dan janganlah ditimpakan bencana ke atas kami. Ya Allah, turunkannya di dataran tinggi, bukit-bukit, lembah-lembah serta tempat tumbuhnya pokok-pokok.”

Riwayat al-Bukhari (933) dan Muslim (897)

  • Doa Agar Dilindungi Daripada Angin Ribut

Antara sebab lain berlakunya banjir apabila sebuah tempat itu dilanda angin ribut yang kuat, yang mana terkadang membawa bersamanya hujan. Diriwayatkan daripada ‘Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW membacakan doa saat angin ribut bertiup kencang:

اللَّهُمَّ إنِّي أَسْأَلُك خَيْرَهَا وَخَيْرَ مَا فِيهَا وَخَيْرَ مَا أُرْسِلَتْ بِهِ وَأَعُوذُ بِك مِنْ شَرِّهَا وَشَرِّ مَا فِيهَا وَشَرِّ مَا أُرْسِلَتْ بِهِ

Maksudnya: “Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu kebaikannya (angin ini) dan kebaikan yang ada padanya dan kebaikan yang dibawanya. Dan aku berlindung kepada-Mu dari keburukannya (angin ini), keburukan yang ada padanya dan keburukan yang dibawanya.”

Riwayat Muslim (2122)

  • Doa Terselamat Dari Pelbagai Kemalangan 

Diriwayatkan daripada Abu al-Yusr Ka‘b bin Amru bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَدْمِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ التَّرَدِّي وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْغَرَقِ وَالْحَرَقِ وَالْهَرَمِ وَأَعُوذُ بِكَ أَنْ يَتَخَبَّطَنِي الشَّيْطَانُ عِنْدَ الْمَوْتِ وَأَعُوذُ بِكَ أَنْ أَمُوتَ فِي سَبِيلِكَ مُدْبِرًا وَأَعُوذُ بِكَ أَنْ أَمُوتَ لَدِيغًا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari terhimpit dalam kemalangan (bangunan atau kenderaan), dan aku berlindung kepada-Mu dari jatuh dari tempat tinggi (kapal-terbang, gunung atau bangunan), dan aku berlindung kepada-Mu dari tenggelam (lemas dalam air), terbakar dan kenyanyukan. Dan aku berlindung kepada-Mu dari godaan syaitan ketika hampir sakaratul-maut, dan aku berlindung kepada-Mu dari mati dalam keadaan melarikan diri (murtad) dari jalan-Mu, dan aku berlindung kepada-Mu dari terkena sengatan binatang berbisa.”

Riwayat Abu Dawud (1552)

Harapan

Mengambil kesempatan dalam artikel pada kali ini, harapan saya samalah seperti apa yang saya zahirkan berkenaan isu gempa bumi di Morocco. Marilah kita sama-sama membantu mereka dengan seadanya. Kita tidak mengetahui, ini hari mereka. Tetapi boleh jadi suatu masa nanti, sampai giliran kita pula. Semoga Allah SWT selamatkan dan memelihara kita, negara kita, dan juga semua negara-negara yang lain dari bencana.

Akhir kalam, sewajarnya kita kembali kepada-Nya dengan bertaubat dan beristighfar dengan melakukan amal soleh sebanyak-banyaknya, disamping menjarakkan perbuatan-perbuatan yang mengundang bala dan bencana. 

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *