Mukadimah
Pada siri mawaqif kali ini, saya mulakan dengan melafazkan, ‘إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ’. Dari hati yang mendalam, saya nyatakan rasa yang amat sedih, simpati dan empati terhadap musibah yang ditanggung oleh saudara-saudara kita di Morocco pada Jumaat, 8 September 2023 akibat gempa bumi yang berlaku berskala 6.8 richter, iaitu pada tahap yang bahaya. Peristiwa yang dahsyat ini sehingga telah mengorbankan ramai nyawa dan memusnahkan banyak bangunan serta rumah kediaman amat menginsafkan kita. Sesungguhnya kuasa dan kudrat Allah SWT tiada siapa pun dapat menghalangnya. Tetapi sebagai seorang Muslim, dengan sifat sabar dan redha dengan takdir Ilahi, maka pasti akan muncul pelbagai hikmah.
Benarlah firman Allah SWT:
وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ
Maksudnya: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”
(Surah al-Baqarah: 155)
Syeikh al-Maraghi menjelaskan: Pada ayat ini, Allah SWT memberi khabar bahawa Dia menguji hamba-hambaNya yang beriman dengan beberapa ujian di saat mereka berada dalam keadaan suka dan duka, dan kesemua ini (mereka yang diuji Allah SWT dalam kalangan hambaNya) mendapat pahala jika mereka bersabar terhadapnya. Mereka kemudiannya mengucapkan lafaz istirja’ bukti sebagai seorang yang sabar dan syukur. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 1/467)
Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan sekali lagi takziah kepada Kerajaan Morocco serta mangsa dan keluarga mangsa atas ujian gempa bumi yang dihadapi ini. Semoga sebuah ketabahan yang tinggi dan kesabaran yang puncak yang disulami dengan keredhaan sentiasa menghiasi kita semua. Amin.
Gempa Bumi Sebagai Tanda Akhir Zaman
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
لا تَقُومُ السّاعَةُ حتّى يُقْبَضَ العِلْمُ، وتَكْثُرَ الزَّلازِلُ، ويَتَقارَبَ الزَّمانُ، وتَظْهَرَ الفِتَنُ، ويَكْثُرَ الهَرْجُ
Bermaksud: “Tidak akan berlakunya Kiamat sehingga diangkat ilmu, banyaknya berlaku gempa, masa berlalu dengan pantas, terzahirnya fitnah-fitnah dan banyaknya pembunuhan.”
Riwayat al-Bukhari (1036)
Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Gempa telah banyak berlaku di belahan bumi Utara, Timur dan Barat, akan tetapi kelihatannya, yang dimaksudkan dengan banyaknya gempa adalah luasnya wilayah kejadiannya dan berlaku secara terus menerus. (Lihat Fath al-Bari, 25/286)
Justeru, menginsafi apa yang berlaku saya nyatakan sewajarnya kita sentiasa mengingati akan pesanan Rasulullah SAW dan bersikap positif untuk menghadapinya dengan penuh ketabahan dan kesabaran.
Adakah Tidak Berselawat dan Bersolat Menyebabkan Gempa Bumi?
Ada orang kata bahawa apa yang berlaku di Turkiye disebabkan kerana ramai yang tidak mentaati perintah Allah SWT seperti solat, berselawat dan lain-lain lagi. Dalam hal ini, suka saya nyatakan bahawa sepatutnya kita melihat kejadian seperti itu sebahagian daripada cara Allah SWT menyedarkan kita untuk menjadi insan yang lebih baik di samping mendekatkan diri kepada Allah begitu juga mengetahui bahawa kuasa Allah SWT tiada tandingan dan bandingannya. Inilah yang dinyatakan oleh Syeikh Muhammad Mutawalli Sya’rawi dalam satu kuliah tafsirnya.
Sebagaimana yang maklum dalam ilmu yang terkait dengan bumi, mereka menyatakan bumi ini mempunyai beberapa kerak (tektonik plat) yang terpisah-pisah di mana tempat kejadian itu juga terletak di garisan sesar (fault lines) yang memang selalu akan terjadi gempa bumi ketika tektonik plat ini bergerak akibat pergerakan seismik bumi. Maka, apabila berlaku gempa dengan pergerakan kerak atau ledakan ia menghasilkan gempa yang kuat. Inilah sunnatullah kepada alam, jadi tidak peliklah gempa bumi ini juga berlaku kepada Iran, Mexico tanpa mengira negara umat Islam atau tidak.
Dengan kenyataan kita sedikit sebanyak melukakan perasaan sahabat-sahabat kita yang terkena musibah tanpa kita mengetahui keadaan sebenar hal mereka. Boleh jadi ramai di kalangan mereka mempunyai akhlak dan amalan yang jauh lebih baik daripada kita. Justeru, sikap husnu dzan sudah barang tentu banyak memberi manfaat kepada kita dan mereka tanpa merasa kesal atas tuduhan terhadap mereka.
Solat Sunat Apabila Berlaku Gempa Bumi
Para ulama Syafi‘iyyah menghukumkan sunat untuk seseorang menunaikan solat dua rakaat secara bersendirian di rumah apabila berlaku gempa bumi. Ia dipanggil solat sunat ayat (tanda-tanda daripada Allah) dan dikerjakan apabila berlaku bencana alam seperti gempa bumi, banjir besar dan lain-lain. (Lihat al-Majmu‘, 5/61; Asna al-Matalib, 1/288)
Sebahagian ulama’ mengkiaskan kepada pelbagai bencana untuk mendekatkan diri kepada Allah melalui solat berdasarkan umum hadith yang diriwayatkan daripada Thabit R.A, katanya:
كَانَ النَّبِيُّ ﷺ إِذَا أَصَابَتْ أَهْلَهُ خَصَاصَةٌ نَادَى أَهْلَهُ: يَا أَهْلَاهُ صَلُّوا صَلُّوا. قَالَ ثَابِتٌ: وَكَانَتِ الْأَنْبِيَاءُ إِذَا نَزَلَ بِهِمْ أَمْرٌ فَزِعُوا إِلَى الصَّلَاةِ
Maksudnya: “Adalah Nabi SAW, apabila ahli keluarganya ditimpa sesuatu kesusahan, Baginda akan menyeru ahli keluarganya: ‘Wahai ahli keluargaku! Solatlah, solatlah.’ Thabit berkata: “Para Nabi, jika mereka ditimpa sesuatu, maka mereka akan segera kembali menunaikan solat.”
Riwayat Ibn Abi Hatim dalam Tafsirnya (7/442), al-Baihaqi dalam Syu‘ab al-Iman (3185) dan Ahmad (49). Dinilai sebagai dha‘if oleh al-Albani di dalam Silsilah al-Ahadith al-Da‘ifah (2760).
Telah datang juga sebuah riwayat daripada Ibn ‘Abbas R.A bahawa beliau mendirikan solat sunat ketika mana berlakunya gempa bumi di Basrah. Lalu beliau berkata:
هَكَذَا صَلَاةُ الْآيَاتِ
Maksudnya: “Beginilah solat ketika nampaknya tanda-tanda (kekuasaan Allah SWT).”
Riwayat Ibn Abi Syaibah (8322), Abdul Razzaq (4969), dan al-Baihaqi (6382). Al-Hafiz Ibn Hajar mengatakan di dalam Fath al-Bari (2/521) bahawa status riwayat ini adalah sahih
Kronologi Peristiwa Gempa Bumi
Hasil maklumat yang saya peroleh daripada salah seorang mahasiswa Malaysia yang menuntut Universiti Cadi Ayyad – Marrakesh, Muhammad Hafidzul Haqeem Noor Zaidi, gempa bumi yang melanda bumi Morocco itu bermula di kawasan berhampiran pergunungan Atlas, atau lebih tepat lagi di wilayah al-Haouz yang terletak kira-kira 100 km dari wilayah Marrakesh.
Rajah 1: Gambar pusat gempa bumi dan kawasan yang terkesan
Adapun wilayah lain yang agak jauh dengan pergunungan ini seperti di wilayah Rabat, Kenitra dan Cassablanca hanya merasai sedikit gegaran sahaja dan tidak mengalami sebarang kesan daripada bencana yang menimpa.
Saya difahamkan, saudara Hafidzul pada malam Jumaat tersebut hanya tinggal berdua sahaja di kediaman mereka. Gegaran mula dirasakan saudara Hafidzul dan rakannya pada jam 11.11 pm. Katanya, gegaran pertama hanya berlaku selama 1 hingga 3 minit sahaja, pada awalnya gegaran yang dirasai perlahan sahaja, kemudian mereka mendapati gegaran tersebut menjadi teramat kuat selama 10 saat sebelum ianya kembali perlahan semula. Beliau dan rakannya yang ketika itu sedang berada di ruang tamu rumah, cuba untuk menyelamatkan diri dengan mencari jalan keluar rumah, akan tetapi ekoran kesukaran yang dihadapi dek bekalan elektrik yang terputus, mereka membuat keputusan untuk naik ke tingkat 3 bumbung rumah bagi menyelamatkan diri. Suasana cemas pada malam itu bersilih ganti dengan derapan tapak kaki orang berlari, jeritan dan tangisan.
Berdasarkan berita yang dikeluarkan oleh United States Geological Survey, gempa kedua berlaku 20 minit selepas itu dengan skala 4.9 richter. Dalam sesetengah kes, mungkin terdapat gegaran susulan yang kuat. Orang ramai melaporkan gegaran dari gempa bumi magnitud awal 6.8 di seluruh Maghribi dan di negara jiran, dengan gegaran lemah dilaporkan sehingga Portugal, Sepanyol dan Algeria.
Hafidzul dan rakannya amat bersyukur kepada Allah SWT kerana mereka selamat daripada sebarang kecederaan. Kediamannya juga tidak mendapat kesan yang teruk, melainkan sedikit kesan pecah pada bumbung rumah yang dahulunya memang sudah keretakan. Tambahnya lagi, kawasan perumahan berhampiran tidaklah teruk terjejas, akan tetapi pasar besar yang menjadi tarikan utama pelancong di wilayah itu, Jami‘ al-Fina’ yang terletak kira-kira 4.2 km terjejas teruk dengan keruntuhan beberapa bangunan kedai di sekitar itu. Masjid Koutoubia yang terletak berhadapan dengan Jami‘ al-Fina’ itu pula terselamat dari sebarang keruntuhan, akan tetapi kelihatan kesan retak padanya akibat gempa tersebut.
Rajah 2: Penduduk bermalam di kawasan lapang semasa gempa bumi berlaku
Rajah 3: Antara kesan keruntuhan yang berlaku di beberapa penempatan bandar
Rajah 4: Antara kesan gempa yang berlaku di luar bandar
Amaran rasmi gempa bumi kemudiannya dikeluarkan oleh pihak Kerajaan Morocco di beberapa kawasan sekitar pergunungan Atlas itu, dan juga di negara Mauritania. Kerajaan Morocco juga mengeluarkan perintah berkabung selama 3 hari selepas hari kejadian tersebut. Minggu pengajian universiti yang sepatutnya dijangka bermula pada 11 September 2023, ditangguhkan oleh pihak Kerajaan Morocco ke minggu seterusnya bagi memberi laluan kepada mahasiswa-mahasiswa yang mungkin menjadi salah seorang mangsa yang terkesan daripada gempa bumi yang berlaku.
Angka Korban dan Kerugian
Daripada hari kejadian, 8 September 2023 sehingga kira-kira jam 1 tengahari Morocco, 14 September 2023, Kerajaan Morocco menerusi media Hespress telah merekodkan angka mangsa yang terlibat dalam kes gempa bumi tersebut.
- Seramai 2946 angka mangsa korban direkodkan.
- Sementara angka kecederaan direkodkan seramai 5674.
Lebih kurang 240 perkampungan yang disenaraikan dalam kawasan yang teruk kesannya akibat gempa bumi yang berlaku dan masih memerlukan bantuan orang ramai.
Dianggarkan kerugian yang dialami oleh Kerajaan Morocco mencecah hampir 10.7 Billion USD, ini berdasarkan anggaran KDNK tahun 2022 negara Afrika Utara sebanyak 134.18 Billion USD mengikut data yang dikeluarkan oleh Bank Dunia.
Bantuan Yang Sampai
Selepas berlalunya peristiwa gempa bumi ini, beberapa bantuan telah disalurkan sama ada dari luar atau dalam Morocco sendiri. Antara negara-negara yang turut bersama menyumbang bantuan kepada mangsa gempa itu adalah United Arab Emirates (UAE). Mereka juga merupakan negara pertama yang menghulurkan bantuan, iaitu pada hari Sabtu sejurus peristiwa gempa bumi berlaku. Bantuan tersebut sampai dengan titah daripada ketua negara itu sendiri, Syeikh Muhammad bin Zayid Alu al-Nihlan sebagai tanda persaudaraan yang benar-benar kukuh antara UAE dan Morocco. Pesawat udara airlift telah dikerahkan untuk bantuan kecemasan.
Bantuan susulan pada hari yang sama juga tiba daripada negara Sepanyol. Perdana Menteri negara itu, Pedro Sánchez menyebutkan dalam sosial media rasmi beliau: “Semua solidariti dan sokongan saya buat rakyat Morocco.” Mereka telah menghantar bantuan kecemasan, termasuk pasukan penyelamat untuk membantu mencari mangsa yang masih terselamat.
Pada hari Sabtu itu juga, Kerajaan Kuwait telah melancarkan kempen bantuan kecemasan buat mangsa-mangsa yang terbabit dalam kejadian gempa yang menimpa bumi Morocco. Kempen ini diumumkan sendiri oleh Kementerian Hal Ehwal Sosial dengan kerjasama Persatuan Bulan Sabit Merah. Ia dilancarkan dengan arahan daripada pemimpin Kuwait, Sahib al-Sumuwwi Amir al-Bilad Nawaf al-Ahmad al-Jaber al-Sabah, dalam kenyataan rasmi beliau di Kuwait News Agency (KUNA), agar segala keperluan kecemasan yang diperlukan oleh mangsa gempa bumi itu disiap siaga.
Sementara itu, raja Bahrain, Hamad bin Isa al-Khalifa dalam kenyataan rasmi beliau di Bahrain News Agency (BNA) juga telah menggesa pihak Royal Humanitarian Foundation (RHF) di Bahrain untuk memberikan bantuan kemanusiaan, bantuan segera dan semua bentuk sokongan yang perlu.
Dalam masa yang sama, pemimpin negara Qatar, Syeikh Tamim bin Hamad al-Thani dalam kenyataan rasmi beliau di Qatar News Agency (QNA) mengeluarkan arahan untuk menghantar pasukan penyelamat dan bantuan perubatan segera kepada Kerajaan Morocco, untuk menyokong usaha bantuan akibat gempa bumi yang melanda beberapa bandar serta wilayah Morocco.
Diikuti pula oleh negara Tunisia pada Ahad lepas, bantuan disalurkan dengan menghantar Pasukan Keamanan Awam ke Morocco untuk menyokong usaha mencari dan menyelamat.
Negara jiran, Algeria, yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Kerajaan Morocco turut memberikan ucapan takziah sebelum mereka kemudiannya mengumumkan pembukaan ruang udara kepada mana-mana penerbangan yang membawa bantuan kemanusiaan ke Rabat.
Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden juga menzahirkan rasa dukacita terhadap tragedi yang menimpa Morocco. Antony J. Blinken di dalam kenyataannya di U.S Department of State: “Amerika Syarikat bersedia untuk memberikan sebarang bantuan yang diperlukan ekoran Morocco ditimpa tragedi ini. Fikiran kami bersama dengan rakyat Morocco, dan kami menawarkan sokongan dan solidariti kami yang tidak berbelah bahagi kepada rakan kongsi kami Morocco pada masa yang tragik ini.”
Tanah Besar China juga mengumumkan bantuan kemanusiaan yang akan disalurkan oleh Persatuan Palang Merah kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Morocco kira-kira 200 ribu USD.
Masyarakat setempat yang terselamat juga mengambil peluang menghulurkan bantuan dalam pelbagai bentuk bagi meringankan beban mereka yang terkesan akibat gempa bumi yang berlaku ini. Galakan derma darah juga telah dibuat secara besar-besaran bagi membantu mangsa gempa, dan saudara Hafidzul sendiri serta kawannya telah mendaftarkan diri untuk menyertai kempen derma darah ini. Katanya, mereka perlu menunggu giliran menderma darah sehingga 2 minggu kerana ramainya rakyat Morocco yang turut serta dalam kempen ini.
Raja Morocco, Amirul Mu’minin Muhammad ke-6 turut berkenan untuk mencemar duli turun ke wilayah Marrakesh bagi melawat mangsa-mangsa yang tercedera dan keluarga mangsa yang terkorban dalam tragedi gempa ini. Baginda juga berbesar hati untuk turut serta dalam kempen derma darah yang dianjurkan sebagai tanda keprihatinan terhadap rakyatnya.
Rajah 5: Amirul Mu’minin Muhammad ke-6 menderma darah di salah sebuah hospital di Marrakesh
Rajah 6: Amirul Mu’minin Muhammad ke-6 melawat salah seorang mangsa yang terkesan
Doa dan Harapan
Gempa bumi adalah tanda-tanda kebesaran Allah SWT dalam penciptaan alam semesta ini, di mana Dia menjadikannya sebagai peringatan, ancaman, atau hukuman terhadap hamba-hamba-Nya. Apabila berlakunya peristiwa sebegini, manusia seharusnya ingat ketika tanda-tanda ini terjadi tentang kelemahan, ketidakmampuan, kerendahan hati, dan kekurangan mereka di hadapan Allah Yang Maha Tinggi. Oleh karena itu, mereka harus berdoa, merendahkan diri, dan berserah diri kepada Allah Yang Maha Kuasa, berharap bahwa Allah akan menghilangkan bencana besar ini dari semua orang
Menginsafi peristiwa dan ujian besar yang menimpa salah sebuah negara Islam ini, pastinya ramai daripada kita merasa sedih, tambahan lagi angka mangsa yang terkorban dan tercedera masih lagi terdapat peningkatan dari hari ke hari. Saya hanya mampu menzahirkan rasa duka ini dengan mengadu kepada Allah SWT yang Maha Kuasa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ، ونَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada kedukaan dan kesedihan. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat lemah dan malas. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Dan kami berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.”
Kami juga ingin mengambil kesempatan ini dengan mengajak umat Islam di Malaysia agar sama-sama mengambil pesanan Rasulullah SAW, seperti yang diriwayatkan daripada Sofwan bin Abdullah bin Sofwan R.A bahawa Baginda SAW bersabda:
دَعْوَةُ الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ مُسْتَجَابَةٌ، عِنْدَ رَأْسِهِ مَلَكٌ مُوَكَّلٌ كُلَّمَا دَعَا لِأَخِيهِ بِخَيْرٍ، قَالَ الْمَلَكُ الْمُوَكَّلُ بِهِ: آمِينَ وَلَكَ بِمِثْلٍ
Maksudnya: “Doa seorang muslim untuk saudaranya sesama muslim daripada kejauhan tanpa diketahui olehnya akan terima. Setiap kali dia berdoa untuk kebaikan kepada saudaranya, disisinya akan ada malaikat yang diutuskan dan mengucapkan: ‘Amin’, dan berkata: ‘Bagi kamu juga akan mendapat seperti itu’.”
Riwayat Muslim (2733), Ibn Majah (2895), Ahmad (20717)
Dan di dalam riwayat lain daripada Abu Darda’ R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَا مِنْ عَبْدٍ مُسْلِمٍ يَدْعُو لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ، إِلَّا قَالَ الْمَلَكُ: وَلَكَ بِمِثْلٍ
Maksudnya: “Tidak ada seorang hamba yang muslim apabila berdoa kepada saudaranya yang berjauhan (tanpa pengetahuannya), melainkan malaikat berkata kepadanya: dan bagi kamu sepertinya (seperti yang didoakan).”
Riwayat Muslim (4912)
Fuqaha’ juga ada menyebutkan, sekiranya berlaku malapetaka dan ujian yang besar hendaklah seseorang itu merintih dengan kerendahan hati dan berdoa kepada Allah SWT. Imam Abdul Hamid al-Syarwani menyebutkan, disunatkan ke atas mereka yang diuji dengan gempa bumi untuk berdoa, dan ianya diqiaskan dengan mereka yang ditimpa dengan ujian angin ribut. (Lihat Hasyiah al-Syarwani ‘ala Tuhfah al-Muhtaj, 3/65)
Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW membacakan doa saat angin ribut bertiup kencang:
اللَّهُمَّ إنِّي أَسْأَلُك خَيْرَهَا وَخَيْرَ مَا فِيهَا وَخَيْرَ مَا أُرْسِلَتْ بِهِ وَأَعُوذُ بِك مِنْ شَرِّهَا وَشَرِّ مَا فِيهَا وَشَرِّ مَا أُرْسِلَتْ بِهِ
Maksudnya: “Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu kebaikannya (angin ini) dan kebaikan yang ada padanya dan kebaikan yang dibawanya. Dan aku berlindung kepada-Mu dari keburukannya (angin ini), keburukan yang ada padanya dan keburukan yang dibawanya.”
Riwayat Muslim (2122)
Mengambil sunnah yang mulia ini, marilah kita sama-sama menadah tangan dan memanjatkan doa kepada Allah SWT:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ خَيْرَهَا وَخَيْرَ مَا فِيهَا وَخَيْرَ مَا أُرْسِلَتْ بِهِ وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّهَا وَشَرِّ مَا فِيهَا وَشَرِّ مَا أُرْسِلَتْ بِهِ
Maksudnya: “Ya Allah! Sesungguhnya kami memohon kepada-Mu kebaikannya (angin ini) dan kebaikan yang ada padanya dan kebaikan yang dibawanya. Dan kami berlindung kepada-Mu dari keburukannya (angin ini), keburukan yang ada padanya dan keburukan yang dibawanya.”
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ
Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”
رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir.”
(Surah al-Baqarah: 250)
رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”
(Surah al-Hasyr: 10)
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”
(Surah al-Baqarah: 201)
سُبْحَانَ رَبِّكَ رَبِّ الْعِزَّةِ عَمَّا يَصِفُونَ ﴿١٨٠﴾ وَسَلَامٌ عَلَى الْمُرْسَلِينَ ﴿١٨١﴾ وَالْحَمْدُ لِلَّـهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
Maksudnya: “Akuilah kesucian Tuhanmu, – Tuhan yang mempunyai keagungan dan kekuasaan, – daripada apa yang mereka katakan! Dan (ucaplah) salam sejahtera kepada sekalian Rasul. Serta ingatlah bahawa segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir seluruh alam.”
(Surah al-Saffat: 180-182)
Saya yakin dan percaya dengan munajat kita kepada Tuhan dan berdoa kepada-Nya, semoga Allah SWT memberi kepada kita semua ketabahan dan kesabaran yang tinggi serta menetapkan kaki-kaki kita.
Sebelum mengakhiri siri Mawaqif pada kali ini, besar harapan saya agar pihak Kerajaan Malaysia dapat turut serta bersama memberikan solidariti dan bantuan dalam apa jua bentuk semampu yang boleh bagi membantu menangani serta meringankan beban mangsa-mangsa gempa bumi Morocco. Saya yakin dengan usaha ini, kerjasama yang erat dapat dijalin disamping mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Kerajaan Malaysia dengan Kerajaan Morocco.
Ini adalah sebahagian daripada tanda sifat kemanusiaan kita serta ihsan yang sewajarnya dizahirkan, terutamanya pada saudara sesama Islam kita. Rasulullah SAW telah menjanjikan bahawa kita akan mendapat pelepasan daripada Allah SWT dengan cara memberi bantuan kepada umat Islam yang ditimpa kesusahan. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ يَسَّرَ اللَّهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ
Maksudnya: “Siapa yang meringankan salah satu daripada kesusahan seorang mukmin di dunia, maka Allah akan meringankan salah satu daripada kesusahannya di hari kiamat. Dan sesiapa yang mempermudahkan sesuatu kesusahan, maka Allah akan mempermudahkan kesusahannya di dunia dan di akhirat.”
Riwayat Muslim (2699), al-Tirmizi (2945), Ibn Majah (225), Abu Dawud (1455) dan Ahmad (7427)
Ingatlah kita semua kepada pesanan Rasulullah SAW:
وَاللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ
Maksudnya: “Dan Allah sentiasa menolong seorang hamba selagimana hamba itu menolong saudaranya.”
Riwayat Muslim (2699)
Kemudian, Allah SWT berfirman bahawa mereka yang lembut hatinya dengan sifat rahmat atau kasih sayang sesama manusia juga termasuk antara orang yang beriman. Ini seiring dengan firman Allah SWT:
ثُمَّ كَانَ مِنَ الَّذِينَ آمَنُوا وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ وَتَوَاصَوْا بِالْمَرْحَمَةِ
Maksudnya: “Selain dari (amalan baik yang telah disebutkan) itu, dia menjadi dari orang-orang yang beriman dan berpesan-pesan dengan sabar serta berpesan-pesan dengan kasih sayang.”
(Surah al-Balad: 17)
Tidak ada balasan yang lebih baik bagi mereka yang mempunyai sifat rahmat ini melainkan mereka akan dirahmati oleh Allah SWT. Rasulullah SAW telah memberikan petunjuk dalam hal ini melalui sabdanya:
الرَّاحِمُونَ يَرْحَمُهُمُ الرَّحْمَنُ ارْحَمُوا مَنْ فِي الأَرْضِ يَرْحَمْكُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ
Maksudnya: “Orang-orang yang penyayang itu akan dikasihi oleh al-Rahman (Allah yang Maha Penyayang). Kasihilah sesiapa yang berada di bumi nescaya kamu akan dikasihi oleh yang berada di atas langit.”
Riwayat al-Tirmizi (1924)
Dalam riwayat lain, daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ لاَ يَرْحَمُ لاَ يُرْحَمُ
Maksudnya: “Sesiapa yang tidak mengasihi, maka dia tidak akan dikasihi.”
Riwayat al-Bukhari (5997)
Dalam hadith di atas, kalimah مَنْ (sesiapa) adalah antara lafaz yang memberi makna umum. Ini memberi makna bahawa Islam menyuruh supaya sikap rahmat dikongsikan terhadap sesiapa sahaja yang berada di atas muka bumi seperti haiwan, tumbuh-tumbuhan, alam sekitar, orang tua, lelaki dan perempuan, kanak-kanak, hatta kepada orang bukan Islam itu sendiri.
Sifat-sifat terpuji ini juga merupakan asbab memperoleh kemuliaan di sisi Allah SWT dan dilapangkan urusannya di akhirat kelak. Diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لا يَظْلِمُهُ وَلا يُسْلِمُهُ وَمَنْ كَانَ فِي حَاجَةِ أَخِيهِ كَانَ اللَّهُ فِي حَاجَتِهِ وَمَنْ فَرَّجَ عَنْ مُسْلِمٍ كُرْبَةً فَرَّجَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرُبَاتِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ
Maksudnya: “Seorang Muslim adalah saudara terhadap Muslim (yang lain), dia tidak boleh menganiaya dan tidak akan dianiaya oleh orang lain. Sesiapa yang melaksanakan hajat saudaranya, maka Allah SWT akan melaksanakan hajatnya. Sesiapa yang melapangkan kesusahan seseorang Muslim, maka Allah SWT akan melapangkan kesukarannya pada hari kiamat.”
Riwayat al-Bukhari (2442)
Di dalam ujian gempa bumi yang menimpa bumi Morocco ini juga, Allah SWT tunjukkan kepada kita mereka yang tinggi kesabarannya apabila diuji bahawa mereka ini termasuk dikalangan orang-orang yang beriman, seperti mana yang disebutkan dalam Surah al-Balad ayat 17 di atas.
Allah SWT juga memerintahkan Rasul-Nya agar disampaikan berita gembira kepada mereka yang ditimpa ujian, lalu menyebut “إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ”. Firman Allah SWT:
وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ ﴿١٥٥﴾ الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ ﴿١٥٦﴾ أُولَٰئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِّن رَّبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ ۖ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَ
Maksudnya: “Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: ‘Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali’. Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya.”
(Surah al-Baqarah: 155-157)
Diriwayatkan daripada Ummu Salamah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَا مِنْ عَبْدٍ تُصِيبُهُ مُصِيبَةٌ فَيَقُولُ: “إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ اللَّهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا”، إِلاَّ أَجَرَهُ اللَّهُ فِي مُصِيبَتِهِ وَأَخْلَفَ لَهُ خَيْرًا مِنْهَا
Maksudnya: Tiada daripada kalangan hamba (Allah) yang ditimpa suatu musibah, kemudian mengucapkan: ‘Innā lillāhi wa innā ilaihi rājiʿun (Sesungguhnya kami milik Allah dan pastinya kami akan kembali kepada-Nya), Ya Allah! Aku mohon akan kurniakanlah ganjaran pada musibahku ini, dan berikanlah ganti yang lebih baik daripada musibah ini,’ melainkan Allah akan memberikan pahala kepadanya kerana musibah itu dan menggantikan yang lebih baik.”
Riwayat Muslim (918)
Indahnya agama Islam ini, syara‘ mengangkat kesedihan sanak saudara mangsa korban dengan menjanjikan buat golongan yang meninggal dunia akibat runtuhan bangunan atau gempa bumi ini juga termasuk dalam orang yang mati syahid akhirat. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, sabda Rasulullah SAW:
الشُّهَدَاءُ خَمْسَةٌ: الْمَطْعُونُ، وَالْمَبْطُونُ، وَالْغَرِقُ، وَصَاحِبُ الْهَدْمِ، وَالشَّهِيدُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ
Maksudnya: “Orang yang mati syahid lima golongan iaitu orang yang mati kerana taun, mati kerana penyakit perut, mati lemas,orang yang ditimpa runtuhan dan syahid di jalan Allah.”
Riwayat al-Bukhari (2829) dan Muslim (1914)
Diriwayatkan juga daripada Jabir bin ‘Atiq R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
الشُّهَدَاءُ سَبْعَةٌ سِوَى الْقَتْلِ فِي سَبِيلِ اللَّهِ: الْمَطْعُونُ شَهِيدٌ، وَالْغَرِيقُ شَهِيدٌ، وَصَاحِبُ ذَاتِ الْجَنْبِ شَهِيدٌ، وَالْمَبْطُونُ شَهِيدٌ، وَالَّذِي يَمُوتُ تَحْتَ الْهَدْمِ شَهِيدٌ، وَالْمَرْأَةُ تَمُوتُ بِجُمْعٍ شَهِيدٌ، وَصَاحِبُ الْحَرِيقِ شَهِيدٌ
Maksudnya: “Orang yang mati syahid selain terbunuh di jalan Allah ada tujuh ; iaitu korban wabak taun adalah syahid, mati kerana tenggelam adalah syahid, penderita penyakit radang paru-paru adalah syahid, mati kerana sakit perut adalah syahid, mati akibat tertimpa runtuhan adalah syahid, seorang wanita yang mati kerana melahirkan anak adalah syahid dan orang yang mati kerana kebakaran adalah syahid.”
Riwayat Malik (36)
Berdasarkan hadith-hadith ini, Imam Syihabuddin al-Ramli mengelaskan orang yang terbunuh dalam runtuhan sebagai syahid di akhirat sahaja. (Lihat Fath al-Rahman bi Syarh Zubad Ibn Ruslan, hlm. 143)
Semoga, sahabat-sahabat yang diuji tergolong dalam kalangan mereka yang dikurniakan kesabaran yang tinggi, dan kita pula dapat tergolong dalam kalangan mereka yang mempunyai sifat rahmat dan kasih sayang. Saya juga berharap agar Allah SWT memakbulkan permintaan-permintaan kita yang baik dan menjauhkan kita daripada bala dan musibah yang melanda.
Saya akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”
Wallahu a‘lam